Saturday, February 15, 2020

Syarah Hadis Tentang Tanda Kelazatan Iman

Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- bersabda :

ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا وَبِالإِسْلَامِ دِينًا وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا

"Telah merasai kelazatan iman bagi mereka yang meredhai Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamnya dan Muhammad sebagai nabinya". [Sunan at-Tirmiḏiyy﹇Kitāb al-Imān﹇no. 2668].

Betapa tergiurnya dia lihat orang yang tidak beriman dan orang yang telah jauh dari imannya berfoya-foya dengan kehidupan dunia. Tergiurnya dia sehingga membawa dia kepada kecemburuan yang amat untuk hidup dan bersuka ria sepertimana mereka yang mahu dalam kehidupan mereka.

Tergiurnya dia sehingga dia mula mempersoalkan dan mula membawa kepada pertikaian dan kebingungan terhadap apa yang selama ini dia genggam dengan sekuat-kuatnya dan terhadap apa yang selama ini dia terus pertahankan dengan apa yang dia dakapkannya dengan seerat-eratnya. Entah kenapa dia masih dalam lamunan dan terumbang-ambing dalam gelora yang membawanya ke arah ketidakwujudan hala tuju.

Dalam keadaan dia yang terasa gugah dan tidak senang jiwa dengan iman yang bergoyang-goyang, dia menatap sahabat, teman, keluarga dan kekasih dari sudut jendela yang jauh sambil membawa jiwa yang hampa dan cemburu. Lihatlah keriangan mereka buat apa sahaja tanpa perlu memikirkan apa yang menjadi tegahan dan larangan yang akan memberi balasan pada suatu hari nanti ke atas mereka dari suatu sistem yang tidak tampak di mata kasarnya dan tidak segera dan jelasnya kedatangannya.

Memang kadangkala takut dan gerun dengan undang-undang negara dan penguatkuasa yang akan perlakukan ke atas mereka apabila mereka menyalahinya, tetapi kalau ada peluang untuk curi-curi dan menyelinap masuk untuk melakukan sesuatu yang tidak legal, maka mereka sangat berkesempatan, berpeluang dan tidak teragak-agak untuk melanggarnya jika dijamin pembebasan dari pendakwaan terhadapnya. Oh! Betapa hebatnya hidup sebegitu!

Lihat mereka yang mahu bercakap apa sahaja dan percaya apa sahaja yang mereka rasakan itu adalah sesuatu kemanisan dan kelazatan serta menghiburkan. Apakah itu kalimah kekufuran atau berdosa itu tidak lagi atau tidak pernah menjadi persoalan yang terlintas di mindanya. Kadangkala, berwaspada juga dari mengungkapkan kata-kata yang menyakiti orang lain yang sehinggakan dia akan dihinjak akibat daripada itu, tetapi kalau dia ingin ❛menjadi dirinya sendiri❜ tanpa peduli apa yang orang lain akan balas dan fikirkan tentangnya, apa yang boleh menghalangnya kalau batasan yang membezakan antara baik dan buruk sudah tiada lagi. Lebih-lebih lagi kalau dia memiliki suatu daya, kemampuan dan posesi yang mengkebalkan dirinya daripada serangan balas, maka dia akan taburkan apa yang dia suka hamburkannya.

Mereka boleh percaya yang mereka mahu dan mencampur adukkan apa yang mereka suka. Bercanggah? Tidak berpijak atas realiti? Tiada bukti? Peduli apa! Asalkan ia menyeronokkan jiwa dan menghiburkan. Mahu percaya tentang syaitan dan malaikat dengan pelbagai rupa, cerita dan khayalan. Silalah! Memang ia fantasi, tetapi siapa peduli? Sangat seronok untuk terus bermain dalam gurauan dan canda romantika.

Mereka mahu percaya atau beragama sepertimana apa yang mereka imejkannya, apa perlu orang lain sibuk? Seronok sungguh kehidupan tanpa perlu terobligasi untuk kebenaran dan disiplin minda yang sentiasa objektif dengan ilmu yang sejati dan kefahaman yang jitu. Tidak perlu risau apa yang akan tergugat dengan suatu kepercayaan terhadap yang tidak nampak. Ke mana yang menyeronokkan, di situlah dia bebas untuk meneguk kelazatannya. Dia hanya mampu terbisu dalam keadaan terbolak-balik antara mahu terus bersabar atau lepaskannya perlahan-lahan.

Dia bangun di awal subuh, kadangkala cemburu melihat mereka yang terus diulit lena tidur dan keasyikan mimpi yang membelainya. Mereka mungkin terdengar azan subuh menyerunya untuk mendirikan solat bersama atau sekurang-kurangnya bangun untuk menghadap Allah secara bersendirian, tetapi dia boleh pula untuk tarik selimut dan membenamkan kepalanya dalam bantal yang empuk dan ditemani katil yang selesa, lalu teruslah tidur dan bangun pada waktu yang mereka mahu apabila ingatannya kepada Allah hanyalah tinggal lafaz dan ejaan.

Sedang yang bangun itu pula bagai menanggung bebanan yang memenatkan seperti nafas nyawa-nyawa ikan yang terus menggagahkan diri untuk melangkah mengambil wuduk dan mengerjakan perintah sambil menahan tangisan mengenangkan nasib diri yang tidak setuah sepertinya.

Begitu juga dengan azan solat waktu lain. Seolah-olah itu cumalah siren ambulans yang melewati yang boleh sahaja untuk seseorang tidak mempedulikannya dan mengendahkannya. Teruslah mereka melayan dan melahap drama, wayang dan apa sahaja aktiviti tanpa perlu risau apa yang akan terluput waktu untuknya.

Namun, dia pula kadangkala terdetik rasa geram, entah mengapa sekarang wakttu ini datang mengganggu di tengah-tengah keseronokan kita. Tidak bolehkah kalau tangguhkan sebentar sehingga dia puas dan selesai? Sambil meruntun sedikit rasa tersinggung, dia menuju ke solat seperti mengembara dengan mengheret timbunan bekalan tanpa kenderaan.

Alangkah seronoknya kalau dia dapat ambil beberapa bahagian yang bukan hak dia untuk kegunaan poket kita sendiri. Dia boleh sahaja untuk beri alasan untuk menanggung kos perjalanan, tambang atau upah supaya dia dapat kaburkan orang yang mengamanahkan wang dan harta kepadanya. Dia boleh sahaja untuk tipu orang yang kita kenal sifatnya tidak terlalu berkira kononnya resit hilang di tengah-tengah perjalanan atau tuan kedai tidak beri resit, lalu dia ambil beberapa baki yang sedikit apabila dia meminta resit.

Dia tunjukkan paparan harga yang melekat di barang dan berkata kepadanya: "Inilah harganya", dalam masa yang sama kita sembunyikan maklumat bahawa pembelian kita ada diskaun dan kita berkata kita membayar sepertimana harga yang tertera dan tertampal, lalu kita ambil senyap-senyap baki itu. Tidak mengapa! Tiada suruhanjaya akan pantau dan ambil tindakan terhadapnya dan orang itu bukannya berkira sangat dengan kita.

Bebas untuk menipu dan menawarkan janji-janji palsu demi mendapatkan apa yang diidamkan. Lebih-lebih lagi jika peluang yang banyak sentiasa membela dirinya. Agama kata apa tentang itu? Ah! Biarkanlah. Kalau dia mahukannya, dia tidak peduli. Tidak perlu terkial-kial cari takwil untuk justifikasikan tindakannya. Asal pandai menipu pun sudah cukup bagus.

Lagipun, dia memang ada bakat untuk menjadi jaguh penipu. Alangkah menguntungkan kehidupan macam itu. Begitulah yang bermain-main dalam mindanya. Aduhai! Mengapalah keinginan ini sentiasa terhalang? Terus-menerus dia mengeluh dan memandang ke langit dengan wajah yang hampa.

Sangat memuaskan kalau dia dapat robekkan dara anak orang lain secara mana yang dia mahu. Wanita mongel yang pengsan dan terkulai di tengah jalan, mengapa tidak ambil peluang ini untuk membedal tubuhnya dan tumpahkan air mani sebanyak-banyaknya? Kemudian, lepaskan dia tanpa dia sedari siapa yang memperkosa tubuhnya. Jadikan dia sebagai patung atau tawanan untuk puaskan nafsunya semahu-mahunya.

Wanita yang tidak terdaya atau terdedah kepada lemah, bukankah bagus kalau rebut peluang ini? Lebih-lebih lagi kalau tiada siapa yang akan mampu mengejarnya untuk melenyak apa yang dia perbuat dan dia akan dijamin selamat sampai dia mati. Berseronok dia ratah farajnya dengan tamak sambil mentap wajah wanita itu merintih maruahnya dinodai seumur hidup. Peduli apa? Peluang tidak disangka dan dijangka! Mengapa perlu bazirkannya? Nafsu pun dah terlalu lapar, mengapa perlu biarkan kebuluran?

Kadangkala, apabila dia membaca komik, menonton filem, menelaah biografi atau memerhati cebisan kehidupan di luar, menjelmalah fikiran di minda: "Mengapalah aku tidak dilahirkan sebegini?" dan "Mengapa hidup aku sangat malang seperti ini?". Alangkah bagusnya kalau dia sememangnya dilahirkan dari bukan Islam dan tidak tahu apa-apa walau sedikit pun tentang Islam. Senang untuknya realisasikan apa yang dia lihat dari komik dan filem tanpa perlu segan silu dan rasa bersalah.

Semakin bertambah kemurungannya dan semakin bertimpa-timpa bisikan-bisikan negatif yang memujuk rayu di jiwanya. Kadangkala dia buat-buat tidak tahu, tetapi dia tidak dapat nafikannya. Dia hampir-hampir sahaja mahu membenarkannya apa yang dia nampak itu sebagai anugerah dan hampir-hampir terputus ikatannya dengan iman walaupun dia telah mendaki gunung yang tinggi.

Walaupun di lidahnya meratib nama-nama Allah yang mulia, berkumat-kamit munajat, menyebut-nyebut doa dan mengulang-ulang zikir, tetapi di jantungnya ada secebis pengharapan bahawa dia ditakdirkan untuk terluput dari kepercayaan dan pengamalan ini secara halal. Di lidahnya puja puji Allah, tetapi di jiwanya ada kehampaan dan kecewa dengan apa yang dia rasakan belenggu dan pemaksaan.

Fikirannya sentiasa terbawa-bawa dengan rasa cemburunya melihat nun di luar sana yang seperti merpati bebas dari sangkar. Wajahnya seperti tidak peduli dan berpaling kerana tersentak dengan rapuh rupanya, tetapi sanubarinya cuba memanjang-manjangkan lengan untuk sampai ke sana.

Ya, apa yang dilihat di sana memang mempesonakan dan menakjubkan. Tidak puas hanya dengan melihat dan menatap dengan jantung yang terasa terkongkong dan tidak kesampaian. Tiada siapa pun akan mampu menafikan ekstasi dan kenikmatannya apabila ia dirasai dan merenangi di dalamnya.

Namun, itu semua sekadar enak di lidah, tetapi tidak mengenyangkan. Itu semua adalah melazatkan, tetapi tidak membahagiakan. Semakin kita ketagih dengannya, semakin bertambah lapar dan menambahkan selera yang tidak berpenghujung. Kita merasai sedanya makanan ringan itu dengan terus-menerus memakannya tanpa berhenti, tetapi ia langsung tidak mengurangkan derita di perut.

Apa yang kita cari dalam kehidupan ini? Adakah dengan betapa banyaknya nikmat yang kita nikmati, maka inilah kehidupan yang seharusnya untuk dipertahankan dan melaburkan seluruh nyawa untuk membinanya? Jika penderitaan dan kepayahan itu merupakan malapetaka dan bencana, lantas mengapa masih terus untuk kekal di dalamnya dan tidak berganjak walaupun dia sangat berpeluang untuk berhijrah ke bumi yang menjanjikan kemewahan? Adakah mereka telah gila dan tidak berakal?

Tidak sama sekali! Bukan sepertimana yang disangkakan. Itu kerana mereka memahami apa tujuan dan hala tuju pencarian dalam kehidupan. Ia telah kukuh dalam jiwa dan bersebati penghayatan mereka dalam sanubari mereka. Sebab itulah mereka lebih rela untuk berpaut kesempitan ini berbanding menukar ganti sesuatu yang menghancurkan makna kebahagiaan mereka yang hakiki.

Itulah kebenaran. Yang menjelaskan realiti sebenar tentang kebahagiaan. Yang memberikan makna sebenar tentang keseronokan dan keriangan dalam kehidupan. Yang membawakan erti segala-galanya tentang apa yang mencukupkan dan memewahkan manusia. Yang merealisasikan segala apa yang jiwa berhajat untuk memenuhinya. Apabila seseorang menyedarinya, dia akan mengerti betapa besarnya anugerah yang diberikan ke tangannya.

Walau sebesar segenggam tangan, ia lebih bermakna daripada segunung emas yang ia tidak mampu menggalasnya. Kalau ia menjual belinya, tahulah dia betapa hina dan jijiknya perbuatan itu. Dia sungguh benci orang yang mensia-siakan rahmat itu yang orang lain sangat mengharapkan agar diagihkan kepadanya. Sudah diberi santapan yang mengenyangkan perut, tetapi masih mencari-cari hidangan yang hanya menambahkan lapar hanya kerana ia manis.

Menjadi pembodek dan pembela sang zalim merupakan kejahatan dan kerosakan yang sangat besar walaupun seseorang itu dikurniakan bermacam-macam kesenangan yang ditamakkan. Sebab itu seseorang itu sanggup untuk bersusah payah dan merentasi arus yang perit bukan kerana mereka itu gila atau sengaja memperbodohkan diri.

Namun, ia kerana mereka memahami makna sebenar tentang kebahagiaan dan kebenaran yang selayaknya dianuti dan menjadi prinsip hidup. Mendapat banyak perkara yang menyedapkan bukan semestinya hal itu menjamin kebahagiaan yang hakiki. Ini juga bukan bermakna kebahagiaan akan sentiasa sahaja mengalami penderitaan yang berpanjangan.

Itu bergantung kepada perspektif dan aliran kehidupan masing-masing. Namun, kalau berpanjangannya penderitaan itu, tetaplah tu lebih baik daripada daripada kenikmatan yang berterusan tetapi tersembunyinya perangkap menjerat mangsanya.

Betapa sayang dan merasa mewahnya dengan segenggam yang dia capai. Seperti kuatnya ikatan kasih seorang ibu kepada anaknya, begitulah padunya erat kesetiaannya. Seperti sang ibu sangat bersyukur dan bangga melahirkan anak yang menyejukkan matanya, seperti itulah dia merasa bertuah dan kegembiraan memperoleh apa yang selama ini menjadi kejahilannya dan kebingungannya.

Cukuplah dia dengan apa yang dia peroleh walaupun dia tidak disogok dan ditaja. Dia tidak peduli jika terbelahnya bumi dan musnahnya langit, yang penting adalah dia tidak akan sesekali hampa dengan apa yang dia genggam. Baginya, itulah hidup dan matinya. Tidak ada lagi yang lain yang dapat mengalihkan perhatiannya dan melepaskan genggamannya.

Sekarang, fahamlah kita bahawa betapa besarnya makna hadis ini walaupun kalimahnya dan ungkapannya sangat ringkas dan tampak seperti apa yang dikatakan telah maklum yang tidak perlu kemahiran berfikir aras tinggi untuk menyusun seperti ini.

Pada mulanya, saya sangka dalam memahami tentang hakikat kemanisan iman perlunya ada gubahan yang berayat sastera dan pengungkapan yang tampak berwarna-warni sepertimana madah manis sang sufi sehinggalah saya menemukan syarah Salman Ali tentang hakikat kemanisan iman apabila hadis kedua pada hadis 40 karya an-Nawawiyy. Sedikit banyak membuka perspektif yang berbeza dan dimensi yang baharu betapa agungnya pengungkapan ini yang tersirat dan tersisip makna yang mendalam.

Pada masa itu, kegiuran saya dengan madah seri dalam menerobos alam sanubari menjadi sirna dan hancur setelah mengerti makna hebat pada hadis ini. Lalu, dengan itu saya tidak berhajat lagi dengan syarah yang lain dan sama sekali tidak terpesona dengan pujangga yang dibubuh wangian.

Apa yang saya terangkan di sini adalah inspirasi dan terkesan daripadanya, malah dalam masa yang sama, ia menyelongkar pusaran jiwa saya sehingga saya kira sangat padan untuk kongsikan idea yang ada pada saya yang dengan itu mudah-mudahan bermanfaat kepada sahabat sekalian.

Mungkin akan ada yang terkesan dengan apa yang selongkarkan, lalu dengan itu mudah-mudahan ia membawakannya kepada kefahaman yang bermanfaat seperti ini seumpama mana yang disyarahkan oleh Salman Ali.

Saya juga ada memasang angan-angan kalaulah saya berpeluang untuk membuat karya khusus untuk pengumpulan hadis, saya akan mulakan penyusunan hadis dengan hadis ini sepertimana kebiasaan para karyawan lain yang memulakan penyusunan hadis dengan hadis setiap amalan itu bergantung pada niatnya dan saya juga mengakhirinya juga dengan hadis ini.

Malah, saya akan jadikan hadis ini sebagai wasiat saya jika diberikan kesempatan yang terakhir untuk menyampaikan pesanan. Sesungguhnya hadis ini memiliki nilai relevan yang sentiasa berkekalan sepanjang masa. Lebih-lebih lagi di masa sekarang yang ruang untuk seseorang berpaling daripada keimanan merupakan sangat mudah diakses dan sentiasa berlegar di sekeliling kita.

Cabaran yang sangat besar sehingga ia mampu merentap iman seseorang walaupun ia melalui fasa pengukuhan yang panjang sepertimana pantasnya ular merentap tikus. Kalau ia tidak mencabut, sekurang-kurangnya ia tidak lagi berfungsi.

Jadilah seperti orang yang bergerak di atas perahu iman, tetapi masih tersisa ketidakredhaannya terhadap Allah sebagai Tuhannya, Muḥammad sebagai nabi dan Islam sebagai agamanya. Masih ada secebis bahagian angan-angannya kalaulah dia langsung tidak tahu apa yang dikatakan Islam dan kebenaran.

Kadangkala, bukan faktor kurangnya ilmu dan kefahaman, tetapi kurangnya pengukuhan, iaitu kemampatan rasa sentuhan dalam jiwa itu. Dia tahu hakikat realiti sebenarnya, tetapi dia tetap berpaling daripadanya kerana kemampatan sentuhan itu tidak sebati, padu dan rapat dengannya. Jiwa yang masih tersisa mengharapkan adanya kehidupan lain selain beragama Islam tanda wujudnya kelompangan sehingga racun tersebut dapat menyelinap masuk.

Ia bukanlah proses yang lama, lalu seseorang boleh membiarkannya setelah sampai masanya. Ia adalah proses yang berterusan kerana iman sentiasa mengalami fasa pasang dan surut. Kadangkala, kita tidak akan sedar betapa besar ia terbocor apabila dibiarkan atau ia digugah.

Kekukuhan itu boleh hilang seperti pohon akan layu jika seseorang tidak konsisten dalam menyiraminya. Sebab itu, setiap hela nafas adalah peringatan kepada kita untuk terus berjuang dan bersemangat dengan kerohanian Islam. Jasad mungkin tua, tetapi jiwa tidak mengenal usia.

Manifestasi pengukuhan adalah pada perletakan keutamaannya. Apakah yang tidak akan sanggup dia memberikan bermacam-macam alasan untuk menjauhinya? Apakah yang dia akan rela untuk mendampinginya dan berusaha untuk menghabiskan masa dengannya? Apakah sesuatu yang dia tidak akan peduli kalau kehilangannya?

Sebab itulah kepedulian kita kepada individu yang berbeza tidaklah sama kerana wujudnya kepelbagaian perletakan keutamaan. Apabila kita mulai sibuk dengan seseorang, lama-kelamaan kita akan mulai merenggang dan tidak lagi rapat dengan seseorang yang lain. Sehingga apa yang terjadi pada orang lain itu tidak menjadi pertanyaan kita setiap hari.

Rahsia yang dalam pun tidak kita bukakan pintu untuknya kerana dia tidak tampak nilai keutamaan padanya. Begitulah apabila seseorang lebih sibuk mencari perhatian makhluk berbanding terhadap Allah. Dia lebih rasa puas untuk kongsikan keresahan dan keluhannya kepada orang lain, tetapi dengan Allah, dia sama sekali tidak merasa Allah itu Maha Mendengar dan sentiasa dalam dampingan hamba-Nya yang tulus.

Seolah-olah luahan dan munajat kepada Allah hanya seperti bicara kepada dinding yang tidak memberi perhatian kepada kita dan tidak akan perbuat apa-apa terhadap apa yang kita mengeluhkannya. Itulah tanda jantung yang telah mati dari ingatan kepada Allah yang sebenarnya dan hilangnya kemanisan dalam iman.

No comments:

Post a Comment