Thursday, February 20, 2020

Apakah Ada Hadis Sahih Yang Tidak Dapat Beramal Dengannya?

Ibn Wahb berkata :

لو لا مالك بن أنس والليث بن سعد هلكت، كنت أظن أن كل ما جاء عن النبي صلى الله عليه وسلم يفعل به

"Kalau bukan kerana Mālik bin Anas dan Layṯ bin Sa*d, nescaya aku binasa. Dahulu aku menyangka bahawa semua yang datang daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- perlu beramal dengannya". [Tārīẖ Baġdād, karya al-H̱oṭīb al-Baghdādiyy, jilid 14, m/s 524, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf].

Abū *Abdullah Muḥammad berkata :

قال ابن عيينة: الحديث مضلة إلا للفقهاء. يريد: أن غيرهم قد يحمل شيئًا على ظاهره، وله تأويل من حديث غيره. أو دليل يخفي عليه، أو متروك أوجب تركه غير شيء مما لا يقوم به إلا من استبحر وتفقه.

Ibn *Uyaynah berkata: "Hadis itu menyesatkan kecuali pada fuqaha'". Yang dimaksudkan ialah selain mereka kadangkala berhujah sesuatu pada zahirnya, walhal padanya ada takwil daripada hadis yang lainnya atau dalil yang tersembunyi padanya atau ditinggalkan atau menetapkan peninggalannya yang bukannya sesuatu daripada yang dapat menjustifikasikan dengannya melainkan orang yang berilmu dan faqih". [Al-Jāmi* Fī as-Sunan Wa al-Adab Wa al-Maġōzī Wa at-Tārīẖ, karya Ibn Abū Zayd al-al-Qoyrowāniyy, m/s 118-119, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut, tahqiq Muḥammad Abū al-Ajfān dan *Uṯmān Biṭṭīẖ].

Apakah sememangnya ada hadis sahih yang kita tidak beramal dengannya dan penggunaannya tidak tekal sepanjang masa serta ia mempunyai takwilan dan makna tersembunyi? Ya, ada. Namun, sebelum itu perlu dijelaskan terlebih dahulu bahawa yang dimaksudkan tidak dapat beramal dengannya bukan semestinya bermaksud hadis itu tidak diamalkan selama-lamanya seperti hukumnya mansuh atau mustasyibhat. Tetapi maksudnya ialah keberamalan hadis itu tidak meluas sehingga ketiadaan pengamalannya lebih dominan berbanding pengamalannya disebabkan berbeza konteks dan berbeza orang yang ditaklifkan syarak.

Maksudnya, kefungsian hadis itu masih wujud, tetapi tidak begitu meluas praktikalnya. Jika suatu konteks atau orang yang ditaklifkan syarak itu menepati kehendak pada hadis itu, maka hadis itu diamalkan. Jika tidak, maka tidak boleh mengaplikasikannya. Adil ialah meletakkan sesuatu di tempatnya yang munasabah. Sifat syariat ini ialah memberi keadilan kepada penganutnya. Menyalahletakkan pengamalan hadis itu pada bukan tempatnya merupakan kezaliman sedangkan itu bukan tuntutan Allah dan Rasul-Nya. Tidak memakainya bukan bererti syariat itu tidak relevan atau menyalahi teks secara zahirnya bukan semestinya berpaling daripada agama ini. Selagimana seseorang berlayar di atas laluan kaedah-kaedah agama ini, maka pengamalannya adalah menepati syariah sekalipun tidak memakai lafaz teks al-Qur^ān dan hadis ataupun zahirnya menyalahi teks kedua-dua itu.

Oleh itu, pengamalan hadis perlu ditimbang melalui neraca uṣūl fiqh dan kaedah-kaedah agama ini supaya tidak berlakunya penyalahgunaan teks agama sekalipun seseorang itu berencana untuk menegakkan agama. Wajar kita mengenal beberapa hadis yang tidak dapat beramal dengannya supaya kita jelas hal ini. Hadis tersebut ialah :

Pertama : Daripada Abū Huroyroh -roḍiyallahu *anh- :

"أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْمُبَاشَرَةِ لِلصَّائِمِ فَرَخَّصَ لَهُ وَأَتَاهُ آخَرُ فَسَأَلَهُ فَنَهَاهُ فَإِذَا الَّذِي رَخَّصَ لَهُ شَيْخٌ وَالَّذِي نَهَاهُ شَابٌّ".

"Bahawasanya seorang lelaki bertanya kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- tentang penciuman untuk berpuasa, maka baginda membenarkan. Datang kepada baginda yang lain, lantas bertanya tentangnya, maka bagida pun melarangnya. Ternyata yang baginda berikan keizinan adalah seorang lelaki tua dan yang baginda menegahnya adalah pemuda". [Sunan Abū Dāwud, kitāb aṣ-Ṣoum, no. 2042].

Sudut ketiadaan pengamalan hadis ini ialah pembezaan penciuman. Kadangkala boleh jadi seseorang yang tua tidak mampu menahan diri berbanding yang lebih muda. Atas dasar itu, hukum hadis ini tidak dapat diamalkan secara dominan melainkan jika konteks yang dimaksudkan sesuai dengan hadis ini.

Kedua : Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

الراكب شيطان والراكبان شيطانان وثلاثة ركب

"Pengembara sendiri adalah syaitan, pengembara dua bersamaan adalah syaitan dan tiga orang adalah pengembara". [Sunan Abū Dāwud, kitab al-Jihād, no. 2243].

Sudut ketidakpengamalan hadis ini ialah berbeza suasana dan tempat. Zaman itu disebabkan sekelilingnya adalah padang pasir dan liputan perhubungan terlalu terhad, maka ini suatu perkara yang bahaya bagi pengembara seorang diri, mahupun dua orang. Apabila seseorang tercedera mahupun hilang tungangannya, maka ini suatu yang sukar bagi seorang diri jika situasinya mendesak untuk mencari bantuan perubatan dan kenderaan. Jika dua orang, kemungkinan suatu yang beban untuk membantu seorang lagi yang tertimpa musibah dan dalam masa yang sama menguruskan bahagiannya berupa penjagaan tungangannya mahupun barangannya. Jika tiga orang, maka risiko lebih berkurangan dan bantuan mudah diakses.

Berbeza dengan suasana yang sekelilingnya seperti suatu yang padat dengan penduduk, kemudahan komunikasi dengan pihak autoriti yang mampu membantu dan lain-lain kemudahan menjadikan risiko itu dikurangkan dan keselamatan lebih terbuka luas. Maka, mengembara seorang diri dapat dijamin pengurangan risikonya. Kepadatan penduduk di sekeliling dengan pembinaan lebuh raya atau banyaknya kawasan yang didiami manusia di sekitarnya mengurangkan khuatir kita untuk mendapatkan bantuan jika berlakunya kecemasan. Alat komunikasi yang moden seperti telefon membolehkan seseorang menyampaikan maklumat secara pantas ketika diperlukan walaupun sepanjang perjalanan kita di kelilingi dengan sunyi sepi dari kediaman manusia.

Sekalipun begitu, pengamalan hadis ini masih wujud jika konteks suasana, realiti dan tempat selari dengan hadis ini. Misalnya, seseorang ingin menggunakan laluan yang sunyi sedangkan dia dalam keadan berseorangan diri dan liputan komunikasi kepada pihak berautoriti yang mampu membantu adalah sukar, maka hadis ini boleh dipakai sekalipun bukan di padang pasir atau berkenderaan moden. Malah, konteks hadis ini juga terpakai untuk tiga orang walaupun teks hadis telah melayakkan pengharusan tiga orang jika ketiga-tiga orang itu berkongsi sama masalah, iaitu masalah liputan komunikasi. Dengan itu, kefungsian hadis ini masih wujud dan boleh dijadikan pengamalan atau sekurang-kurangnya sebagai peringatan supaya kita perhatikan risiko kembara kita.

Ketiga : Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-bersabda :

الوَزْنُ وَزْنُ أَهْلِ مَكَّةَ وَالْمِكْيَالُ مِكْيَالُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ

"Sukatan mengikut sukatan penduduk Madīnah dan timbangan mengikut timbangan penduduk Makkah". [An-Nasā^iyy dalam as-Sunan as-Sughrō, no. 2282].

Ini telah jelas pada zaman ini bahawa timbangan dan sukatan tidak lagi menggunakan piawaian daripada Makkah dan Madīnah. Namun, kebanyakannya diambil daripada sukatan negara di bahagian barat. Sungguhpun begitu, pengamalan ini masih tetap menepati dasar syariat dan kaedah agama kerana pada asalnya saranan untuk mengikut piawaian Makkah dan Madīnah supaya timbangan dan sukatan itu dapat dilaksanakan secara adil. Apabila ada kaedah lain mampu mencapai objektif yang sama, maka kaedah tersebut boleh digunakan.

Keempat : Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

لَهُ فِرَاشٌ لِلرَّجُلِ ، وَفِرَاشٌ لِامْرَأَتِهِ ، وَالثَّالِثُ لِلضَّيْفِ ، وَالرَّابِعُ لِلشَّيْطَانِ

"Satu katil untuk tidur seorang lelaki, satu lagi katil untuk wanita dan katil yang satu lagi untuk tetamu. Dan katil keempat untuk syaitan". [Ṣoḥīḥ Muslim, kitāb al-Libās wa az-Zinah, no. 3893].

Pengamalan lafaz hadis ini bukanlah sesuatu yang mungkin kerana yang dimaksudkan di sini bukannya tidak boleh bagi satu keluarga memiliki empat katil, tetapi yang ditekankan di sini ialah pembaziran dalam memiliki kediaman. Hal ini kerana katil keempat di sini merujuk kepada katil yang dibeli tetapi tidak pernah digunakan dan tidak diperlukan untuk dimiliki di rumah. Maka, hadis ini merupakan peringatan untuk tidak membazir, bukan memiliki katil keempat itu sendiri.

No comments:

Post a Comment