Tuesday, February 18, 2020

Kaedah Fiqh "Penerapan Syariah Bersama Tujuannya"

Kaedah fiqh menyebutkan :

تَطْبِيقُ الشَّرِيعَةِ مَعَ مَقْصِدِهِ

"Penerapan syariah bersama tujuannya"

Adalah formulasi daripada penyebutan Wan Ji Wan Husain yang menyebut "Syariah mesti ada maqasid syariah". [Rujuk : https://www.facebook.com/wanji.attaaduddi/posts/1660800163946154].

Hal ini kerana perkara yang dilaksanakan bukan semata-mata kerana hal itu halal atau perkara yang ditinggalkan atas dasar semata-mata hal itu haram, tetapi maqasid syariah meletakkan limitasi agar perlaksanaan atas penghalalan syariat itu tidak mendatangkan kerosakan dan peninggalan yang haram itu tidak menjauhkan maslahat yang lebih besar. Sebab itu dalam apa jua perkara tidak boleh berlebihan sama ada perbuatan atau mewujudkan kesan pada aspek perlaksanaan itu, bahkan tidak boleh dikurangi walaupun atas alasan nama praktikal syariah. Sesungguhnya sifat berlebihan adalah tercela dalam agama. Misalnya firman Allah *Azza Wajalla :

وَهُوَ الَّذِي سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَأْكُلُوا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا وَتَسْتَخْرِجُوا مِنْهُ حِلْيَةً تَلْبَسُونَهَا وَتَرَى الْفُلْكَ مَوَاخِرَ فِيهِ وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ﴿١٤

"Dan Dialah yang menundukkan lautan agar kalian memakan daging segar daripadanya dan mengeluarkan perhiasan daripdanya agar kamu memakainya. Dan kalian melihat kapal-kapal yang berlayar padanya dan agar kalian mencari kurnia-Nya serta agar serta agar kamu bersyukur". [Surah an-Naḥl ayat 14].

Walaupun halal untuk kita menangkap ikan, tetapi maqasid syariah menetapkan limitasinya supaya penangkapan ikan itu tidak mengundang bahaya kepada ekosistem akuatik, mengganggu rantaian pemakanan, menyebabkan ketidakseimbangan alam semula jadi atau menyebabkan ketidakstabilan dalam stok makanan. Jadi, perlaksanaan syariat bukan pada hanya pengiraan hal itu halal semata-mata, tetapi melihat pada pencapaian yang dapat diperoleh dan kesan yang mendatang apabila dilaksanakan. Begitu juga dengan firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā seperti berikut :

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ﴿٣٣﴾ إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ ۖ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٣٤

"Adapun balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan kerosakan di muka bumi ialah dibunuh atau disalib atau dipotong kedua-dua tangannya dan kedua-dua kakinya secara bersilang atau diasingkan daripada negerinya. Demikian itulah kehinaan di dunia dan mereka mendapat azab yang pedih di hari akhirat. Kecuali orang yang bertaubat sebelum kalian menangkap mereka. Maka, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah al-Mā^idah ayat 33-34].

Zahir pada ayat ini menunjukkan bahawa orang yang bertaubat setelah memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan kerosakan di muka bumi dilepaskan jika penguasa tidak menangkapnya sebelum dia bertaubat. Namun, dalam memenuhi kemaslahatan yang lebih besar, penguasa boleh menangkap dan menjatuhkan hukuman yang setimpal dengannya sebagai mendidik masyarakat dan penduduk agar tidak melakukan jenayah di sekelilingnya. Hal ini kerana hukuman yang diturunkan oleh Allah bukan sekadar menghukum semata-mata, tetapi sebagai pendidikan agar tidak mengulangi jenayah atau menggertak orang lain agar tidak melakukan jenayah. Walaupun pada zahirnya kita dilarang untuk menghukum orang yang bertaubat, tetapi jika meninggalkannya menyebabkan kemudaratan yang lebih besar, maka penguasa boleh mengambil tindakan sebagai langkah ancaman kepada sekeliling.

Kadangkala teks yang disebutkan dalam al-Qur^ān dan hadistidak dapat diamalkan kerana faktor konteks berbeza. Inilah peranan maqasid syariah dalam regulasi kesemua ini. Bukan kerana teks al-Qur^ān dan hadis itu tidak relevan dan telah mansukh, tetapi konteks yang ingin diterapkan berbeza dengan penyebutan teks pada konteks itu. Perlu difahami bahawa intipati penting dalam agama ini ialah penjagaan maslahat kepada penganutnya. 

Oleh itu, mana-mana pengamalan dan perlaksanaan yang kesannya membawa kepada kemudaratan diri sendiri dan kerosakan yang lebih, maka perbuatan itu haram dilakukakan dan diimplemntasikan walaupun seseorang berhujah dengna teks al-Qur^ān dan hadis. Maka, seseorang yang berjaya mewujudkan maslahat yang lebih besar pada diri sendiri, orang lain dan sekitarnya, maka itulah yang dituntut dalam syariat ini walaupun tidak disebutkan dalam al-Qur^ān dan hadis atau zahirnya bertentangan dengan al-Qur^ān dan hadis. Bukanlah itu merupakan yang lebih baik daripada al-al-Qur^ān dan hadis kerana tidak ada yang lebih berautoriti dan lebih agung daripada kedua-dua sumber ini, tetapi mana-mana yang menjamin kebaikan kepada seluruh umat, maka itulah sebenarnya bertepatan dengan kandungan al-Qur^āndan as-Sunnah padanya.

Misalnya seperti firman Allah Ta*ālā seperti berikut :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ۚ مِّن قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ الظَّهِيرَةِ وَمِن بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ۚ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَّكُمْ ۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ ۚطَوَّافُونَ عَلَيْكُم بَعْضُكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٥٨﴾ وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ﴿٥٩

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba sahaya mereka dan mereka yang belum baligh meminta izin sebanyak tiga kali, iaitu ketika sebelum solat subuh, ketika kalian menanggalkan pakaian kalian pada tengahari dan selepas waktu isyak. Itulah tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atas kalian dan juga mereka pada selepas itu. Sebahagian kalian saling keluar masuk sesama kalian. Demikian itu Allah memperjelaskan keterangan itu kepada kalian. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Jika kanak-kanak kalian telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sebagaimana orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikian Allah memperjelaskan keterangan-keterangan-Nya pada kalian. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana". [Surah an-Nūr ayat 58].

Walaupun Allah menyuruh agar meminta izin pada tiga waktu, tetapi sebenarnya tuntutan ini berlaku untuk sepanjang masa, iaitu meminta izin setiap kali ingin masuk ke bilik. Walaupun tiga waktu tersebut merupakan kebiasaan, boleh jadi terdapat suatu konteks yang masyarakatnya mempunyai waktu yang berbeza daripada yang disebutkan dalam al-Qur^ān ini sama ada bertambah atau berkurang atau fleksibel waktunya.

Sekalipun praktiknya berlawanan dengan zahir yang disebutkan dalam teks al-Qur^ān ini, bukan bermakna hal itu bercanggah denganal-Qur^ān. Sebenarnya, praktik itu memenuhi konteks al-Qur^ān yang dituntut perlaksanaannya, iaitu supaya kemasukan yang tiba-tiba tidak menyebabkan kejutan pada seseorang di dalam bilik dalam keadaan aurat terbuka. Begitu juga ini sama sekali tidak menunjukkan bahawa ada keterangan lebih baik daripada al-Qur^ān kerana pengamalan yang berbeza itu sendiri menepati kehendak al-Qur^ān dalam perlaksanannya. Sekalipun konteks berbeza, namun objektif perlaksanan untuk mencapai sasaran yang dimaksudkan, maka itu sama sekali tidak bercanggah dengan al-Qur^ān.

No comments:

Post a Comment