Tuesday, September 29, 2020

Koleksi Celoteh Peribadi (Bahagian 3)

Celoteh 141 : Yang Membara Dalam Jantung Ketika Menulis «Risalah Ringkas Kesedaran Bahaya Taklid»



Ketika saya menulis «Risalah Ringkas Kesedaran Bahaya Taklid», saya sebenarnya meluahkan rasa berang terhadap pentaklid dungu ketika berhadapan dengan saya. Apabila saya membentangkan hujah saya, yang dia jawab adalah pendapat saya bersalahan dengan mufti suatu negeri dan mempersoalkan siapa saya jika dibandingkan dengan mufti.

Begitulah setiap kali saya mengkritik pendapat dari tokoh ilmuwan bersama pembentangan dalil, setiap kali itu juga mereka menjawab balas dengan menaburkan nama ulama yang dibubuh bersama gelaran ketinggian semata-mata untuk menyahkredit pandangan saya, memperlekehkan saya dan bermati-matian dengan kedegilan untuk memerhatikan hujah.

"Ini ulama yang berbicara, kamu pula siapa?" atau bermacam-macam lagi seumpama ini sudah menjadi menu biasa di telinga saya. Yang mereka pandang adalah peribadi saya, bukan penghujahan yang saya utarakan kepada mereka.

Saya harap kalau saya dipertemukan sekali lagi dengan orang tersebut, saya akan bentangkan apa yang dinyatakan *Alā^uddīn Abū al-Ḥasan al-Ḥanbaliyy ad-Dimašqiyy ini supaya mereka beringat betapa tercelanya taklid di mata para ulama sendiri. 

Saya hampir-hampir sahaja menghamburkan maki hamun kepada mereka ini kerana kebebalan mereka ini yang taklid mereka cukup menebal. Memadailah dengan risalah ringkas ini sebagai tuangan air mendidih dari kemarahan saya untuk membahangkan ubun-ubun mereka supaya mereka tersentak dan menerima realiti.

Saya harap mereka beringat pada ketika seseorang berkata kepada Aḥmad bin Ḥanbal: "Sesungguhnya Ibn al-Mubārok berkata sedemikian". Dia berkata: "Ibn al-Mubārok tidak turun dari langit". Berkata Aḥmad: "Antara yang menyempitkan ilmu seseorang adalah bertaklid". 

Begitu juga dengan kata Ibn al-Jawziyy: "Taklid kepada tokoh besar adalah serosak-rosak kepercayaan. Tidak sepatutnya dia berdebat dengan nama-nama orang. Sepatutnya dia mengikut dalil. Sesungguhnya Aḥmad mengambil pendapat Zayd dalam isu pewarisan datuk dan menyalahi aṣ-Ṣiddīq".

Kalau ini tidak cukup buat mereka menghadamkannya, saya sudah tidak tahu lagi apa yang boleh dibuat untuk membuang ketaksuban dan taklid yang memenjara mereka.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676591498705420288/celoteh-peribadi-141-yang-membara-dalam-jantung

Celoteh 142 : Di Sebalik Penulisan Saya «Wacana Ringkas 79 : Helah Sufi Dalam Mempertahankan Ketaksuban Terhadap Tokohnya»



Walaupun merujuk kepada tokoh sufi secara umum, tetapi ia berlatarbelakangkan pergulatan dengan pecinta dan pengikut Ibn *Arobiyy secara khusus. Ya. Saya sememangnya sedang berlaga dengan mereka untuk konteks penulisan ini.

Walaupun saya bukanlah pengkaji secara mendalam tentang Ibn *Arobiyy, tetapi saya telah melihat perdebatan tentang ini. Dari sudut pembelanya, kita akan dapati yang membelanya adalah golongan yang mempunyai pengaruh sufi yang dominan. Lihat nama-nama mereka yang membelanya. Ia akan membenarkan dapatan saya.

Kemudian, lihat bagaimana cara mereka mempertahankannya apabila dinukilkan kalam Ibn *Arobiyy yang zahirnya kufur dan mereka tidak mampu membentangkan takwilnya. Kaedah mereka berinteraksi dengannya telah pun saya nyatakan dalam penulisan ini. Percayalah bahawa sebeginilah yang akan utarakan untuk mendepani kalam-kalam Ibn *Arobiyy.

Penulisan saya ini khas untuk mengkritik kaedah mereka yang keterlaluan dalam membelanya sehingga ingin menutup kesalahan yang tidak dapat dimaafkan lagi yang mereka sendiri tergamam untuk menerimanya. Saya juga mendedahkan bagaimana wujudnya ketaksuban tersembunyi yang penuh muslihat yang mengelabui orang ramai dan diri mereka sendiri.

Ya. Mungkin anda kata saya sedang bersangka buruk dengan para sarjana sufi, malah berlaga dengan tokoh kebesaran sufi yang membelanya. Namun, harus diingati bahawa saya tidak keseorangan. Ramai lagi ulama yang ulung yang sejelas-jelasnya mengkafirkan Ibn *Arobiyy dan memberikan kritikan yang pedas terhadapnya. Saya di barisan mereka ini.

Cuma, saya tidak menyerang secara khusus pada peribadinya sepertimana yang dilakukan oleh para ulama, tetapi pada para sufi yang membelanya kerana saya tidak mengkaji secara tahqiq dalam hal Ibn *Arobiyy walaupun saya akui ada kalamnya yang zahirnya menunjukkan kekufuran. Saya ingin menyingkapi kesalahan dan kecelaruan mereka dalam manhaj pembelaan seseorang tokoh yang mengandungi ketaksuban tersembunyi.

Apa yang saya mahukan daripada penulisan ini adalah supaya kita semua kembali bersikap objektif, bukan taksub dan bersikap nafi menerima realiti. Sikap ini bukan hanya meruntuhkan dasar ilmu itu sendiri, bahkan ia akan menghapuskan perjuangan dalam menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan.

Saya juga sufi, tetapi saya mahu perubahan dan kembali kepada tradisi ilmu. Bukan hanya bermati-matian untuk berkeras dengan dogma yang menyempitkan minda dan mematikan semangat ilmu itu sendiri.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676597902639038464/celoteh-peribadi-142-di-sebalik-penulisan-saya

Celoteh 143 : Orang Yang Saya Teringat Ketika Menulis «Wacana Ringkas 112 : Sikap Suka Mencurigai Kebaikan Orang Lain»



Sebenarnya, penulisan ini saya merujuk kepada suatu golongan. Cuma, entah kenapa ia tiba-tiba mengingatkan saya kepada seorang mentor saya yang saya banyak ambil inspirasi daripadanya. Saya yang pada hari ini adalah cetusan dan pembentukan yang saya adun daripadanya.

Yang menjadi masalahnya adalah pada beberapa masa lama yang kemudian, dia mulai keterlaluan, melampau dan menyimpang. Saya lihat dia mulai menjadi bongkak yang sejelas-jelasnya bongkak atas nama menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang Allah kurniakan pada-Nya. 

Dia mulai mendakwa bahawa dia sangat menghampiri kedudukan al-Ḥaqq, iaitu Maha Benar kerana kejituannya dalam ijtihadnya. Bahkan, dia akhirnya mengakui bahawa dia adalah al-Mahdī yang kalau sesiapa mempersalahkannya, orang itu akan dituduh kafir dan munafik.

Tidak cukup dengan itu, dia suka membeberkan bahawa orang sekeliling rosak dan ada masalah iman kerana tidak mahu mengikut pandangannya. Begitu bongkak sekali sehingga dia boleh rasa yang dia tidak akan terdedah dalam kesilapan dalam ruang lingkup ijtihad dan begitu yakin menjazamkan bahawa orang lain adalah salah secara pasti. Tidak ada masalah untuk ada keyakinan bahawa pilihan pandangan kita adalah benar, cuma janganlah sampai meletakkan ia adalah kebenaran yang mutlak yang seolah-olah setara dengan kedudukan hadis.

Sememangnya benar sabda Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bahawa seseorang yang berkata bahawa orang ramai telah binasa, maka dialah yang paling binasa. Sememangnya ini adalah betul-betul peristiwa yang saya saksikan di hadapan mata saya dan saya tidak melupakan hal ini kerana mengandungi pengajaran yang hebat buat diri.

Benar, saya akui bahawa saya menzahirkan kesyukuran kepada Yang Maha Pemurah lagi Maha Penganugerah Tabāroka Wa Ta*ālā kerana melimpahkan pelbagai nikmat kepada diri saya. Penzahiran ini adalah disyariatkan dalam agama. 

Akan tetapi, saya berusaha sedaya upaya untuk tidak mengeksploitasi pensyariatan ini untuk menyatakan bahawa saya benar-benar hamba-Nya yang terpilih secara pasti berbanding makhluk-Nya yang lain. Dia lebih tahu hakikat kedudukan saya. Saya juga cuba sedaya upaya untuk tidak berlebih-lebihan dalam penzahiran syukur agar tidak tmapak sememangnya seperti bongkak.

Benar bahawa di beberapa tempat saya agak menekankan keyakinan pandangan yang saya pilih. Sememangnya kita perlu yakin kerana tidak ada guna beramal kalau bersama rasa sangsi dan syak. Akan tetapi, keyakinan itu bukan sampai seakan-akan ia adalah setara dengan teras agama yang tiada pertikaian padanya. 

Dan kita perlu ingat bahawa kita ini adalah manusia yang tidak maksum. Hanya baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam- sahaja yang maksum. Suatu hari, kita pun tidak jangka yang kita akan tersilap.

Saya akui yang saya pernah tersilap setelah berpegang dengan keyakinan penuh terhadap pandangan tersebut selama bertahun-tahun. Namun, entah macam mana, dengan satu titik daripada ilham, terus membatalkan apa yang saya pertahankannya sehabis-habisnya. 

Ia bukan azab, ia adalah nikmat daripada-Nya agar kita terus dalam hidayah dan bimbingan-Nya. Ia akan menjadi ujian jika seseorang itu dalam pergolakan jiwa untuk kekal taksub atas rendah diri dengan menyambut apa yang telah datang.

Apabila saya saksikan sendiri daripada mentor saya, dapatlah saya melihat di mana sempadan seorang yang bongkak dan sekadar menzahirkan kesyukuran kepada Allah serta di mana tahap keyakinan yang patut dipegang oleh seseorang dalam isu-isu yang melibatkan ijtihad dan perbezaan pandangan yang muktabar. 

Di samping itu, saya melihat sendiri bagaimana kebinasaan seseorang apabila terlalu bermegah diri dengan merasakan superioriti yang tidak tercabar dan menganggap inferior terhadap orang lain tanpa hak.

Penulisan ini selain untuk menyinggung orang lain, ia juga adalah nasihat untuk diri saya sendiri. Mungkin sahaja saya sendiri yang menulis ini jauh lebih teruk daripada mereka yang saya selar. Kita memohon kepada Allah agar terselamat daripada kebinasaan diri dalam kehidupan dunia dan hari akhirat serta mengampunkan kita atas keterlanjuran kita dalam berjuang untuk kebenaran yang kita kibarkan benderanya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676598493364797440/celoteh-peribadi-143-orang-yang-saya-teringat

Celoteh 144 : Berang Yang Terbuku Ketika Menulis Judul «Dialog Ringkas 32 : Hipokrit Sebahagian Aswajaean Dalam Prinsip Perkenan Penerimaan Hadis Daripada Ulama»



Saya adakalanya merasa sinis terhadap penulisan yang menyatakan agar jangan menyamakan hadis dhaif dengan hadis palsu atau jangan bermudah-mudahan menghukum hadis sebagai hadis palsu atau raikan hadis yang diperkenankan penerimannya oleh para ulama atau seumpamanya walaupun isi kandungannya adalah benar.

Saya merasa sinis bukan kerana kandungan itu sendiri, tetapi ia selalu sahaja digembar-gemburkan oleh aswajaean. Saya sudah banyak kali mendedahkan sikap hipokrit mereka ini dalam banyak aspek di pelbagai tempat. Cuma, penulisan ini adalah fokus bagaimana hipokritnya dengan pendirian yang mereka selalu jaja ke sana ke sini.

Kata *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal :

حَدَّثَنِي أَبِي رَحِمَهُ اللَّهُ، قَالَ: حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ، عَنْ سُفْيَانَ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خَلِيفَةَ، عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: «إِذَا جَلَسَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى عَلَى الْكُرْسِيِّ سُمِعَ لَهُ أَطِيطٌ كَأَطِيطِ الرَّحْلِ الْجَدِيدِ»

Ayahku -semoga Allah merahmatinya- berkata
*Abdul Roḥmān telah merawi hadis kepadaku Daripada Sufyān Daripada Abū Isḥāq Daripada *Abdullah bin H̱olīfah Daripada *Umar -roḍiyallahu *anh-, dia berkata: "Apabila Dia *Azza Wa Jalla duduk atas kerusi, didengari bunyi padanya seperti bunyi pelana besi". [As-Sunnah, jilid 1, m/s 301, keluaran Dār Ibn al-Qoyyim, tahqiq Muḥammad bin Sa*īd bin Sālim al-Qoḥṭōniyy].

Saya selalu sahaja melihat orang mengejek Ibn Taymiyyah yang membawakan riwayat ini dengan menyamakan anutannya dengan tuhan agama Yahudi yang duduk di atas Arasy. Saya bukan membela Ibn Taymiyyah, saya sedang menyelar sikap mereka dalam berinteraksi dengan riwayat ini.

Mereka tidak tahukah yang para imam ahli sunnah memperkenankan penerimaan riwayat ini? Malah, Aḥmad bin Ḥanbal menilai sahih hadis ini! Saya pasti kebanyakan mereka langsung tidak mahu menerima realiti ini. Mereka sebenarnya berharap kalau tidak pernah wujud pun riwayat ini, apatah lagi kalau ada tokoh hadis yang menerima hadis ini.

Jadi, apa yang mereka buat adalah mereka menyelongkar pendapat ulama yang menolak hadis ini. Kalau mereka ingin memilih untuk menolak riwayat ini, perlukah sampai menuduh orang yang membawa riwayat ini, malah menerima hadis ini sebagai mujassim secara melulu?

Inikah cara mereka meraikan perselisihan pandangan dan berinteraksi dengan hadis yang diperkenankan penerimaan oleh para ulama? Mereka menganggapnya seolah-olah ia bukan suatu riwayat langsung! Bahkan bagi mereka, ia lebih teruk daripada riwayat israiliat!

Jelas mengapa saya sangat sinis terhadap penulisan yang telah disebutkan tadi. Mereka sebenarnya hipokrit dan apa yang mereka jaja itu sebenarnya adalah retorik sahaja. Saya sendiri pun tidak ingin sinis terhadap apa yang mereka sampaikan. Kalau tiada hipokrit daripada mereka yang berleluasa, saya akan sama-sama akan bergandingan dengan mereka dalam meluruskan kefahaman mereka yang salah dalam manhaj interaksi dengan hadis.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676600615811612672/celoteh-peribadi-144-berang-yang-terbuku-ketika

Celoteh 145 : Judul «Wacana Ringkas 68 : Keadilan Hukuman Bunuh Terhadap Murtad» Adalah Bukti Yang Saya Bukan Liberal



Selalu sahaja orang menuduh saya sebagai liberal dalam isu-isu seksual walaupun hakikatnya metodologi penghujahan saya sama sekali tidak sama dengan liberal, tetapi mengikut manhaj yang ditempuhi ahli hadis dan para fuqaha.

Bagi membuktikan bahawa saya bukan liberal, judul penulisan «Wacana Ringkas 68 : Keadilan Hukuman Bunuh Terhadap Murtad» ini cukup untuk menepis tuduhan rambang sebegitu. Bacalah sendiri bagaimana saya mempertahankan pensyariatan hukuman ini dengan berdasarkan pertimbangan maslahat yang sesuai dengan kaedah fiqh.

Kita tahu bahawa dalam isu hukuman had ini, ia adalah suatu subjek yang akan menzahirkan pendirian seseorang itu sama ada seseorang itu ekstrimis atau liberal. Jika kita ingin tahu bagaimana perjalanan manhaj agama seseorang, lihat pada isu perlaksanaan hukuman had.

Kita tahu bahawa ekstrimis akan menjadi isu hukuman had diangkat sebagai suatu cabang tauhid yang dipaksakan kepada seluruh umat Islam agar memperakuinya, melaksanakannya dan melestarikannya, padahal kewajipan ini adalah terletak pada peringkat kepimpinan, bukan rakyat jelata yang tidak memegang apa-apa tampuk kekuasaan. 

Bahkan dipaksakan pengamalannya tanpa melihat sudut hikmah, penyebaran rahmat dan pertimbangan maslahat dalam perlaksanaannya. Bahkan dituduh pula pewacanaan ini adalah usaha untuk merumitkan keadaan dan dalih untuk mengabaikannya, padahal pewacanaan seperti ini adalah supaya kita tidak melunturkan roh pensyariatan kepada umat Islam secara khusus dan umat manusia secara umum.

Manakala, liberal akan mencari jalan untuk tidak mengamalkannya sama sekali sekalipun di lidah mereka berkata bahawa mereka tidak menafikan pensyariatannya. Mereka sebenarnya telah luntur atau mungkin telah hilang sama sekali sentimen persaudaraan sesama muslim atas dasar akidah yang sahih.

Jika ada pun, mereka lebih berkecenderungan dalam berpaksikan zindik dan mereka yang menyimpang daripada ahli sunnah. Bahkan mereka ini sebenarnya sangat suka mendambakan restu sang kafir dan orang yang tidak ada kepedulian terhadap agama ini sebagai teman rapat yang jauh lebih bernilai daripada persaudaraan seagama yang Allah redhai agama ini.

Adapun saya, maka saya sedaya upaya untuk berada di pertengahan. Saya membentangkan cadangan atau pengamalan yang dapat dilihat sebagai memunuhi tuntutan maslahat serta mencapai objektif nilai-nilai murni dalam pensyariatan. Saya cuba memaparkan di mana sudut keadilan hukuman had jika dilaksanakan dengan garis panduan yang sesuai dengan kaedah fiqh dan penyampaian kepada maslahat umum.

Walaupun penulisan ini berkaitan dengan hukum bunuh terhadap pelaku murtad, tetapi cukup ia menjadi bukti pendirian saya dalam isu hukuman had secara keseluruhan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676600996558946304/celoteh-peribadi-145-judul-wacana-ringkas-68

Celoteh 146 : Perdamaian Antara Salafi Dengan Ašᶜarian

Baru-baru ini ada wacana tentang pendamaian antara ašᶜarian dengan salafi. Ia adalah rentetan kepada salah seorang figura dari aliran ašᶜarian duduk sepentas dengan salafi dalam membahaskan isu khurafat. Mereka membuat kata sepakat untuk menolak golongan batiniah yang membawa kepada pembodohan dan kerosakan kepada umat Islam di tanah air kita.

Sebenarnya, ini bukanlah usaha baharu walaupun ia adalah usaha yang dinanti-nantikan oleh sebahagian pihak untuk merealisasikannya demi menentang musuh yang sama yang besar.

Pendamaian ini adalah untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama kerana setiap daripada kita memfokuskan pembinaan keharmonian, pemeliharaan keamanan dan merapatkan perhubungan yang baik antara sesama manusia serta supaya kita dapat menjalani kehidupan tanpa keresahan dan pergolakan.

Untuk konteks antaraašᶜarian dengan salafi, perseteruan antara mereka tidak terpadam dan terpendam, tetapi mereka lebih berhajat untuk meredakan atau mengurangkan sedikit pergeseran antara mereka dan fokus kepada pencantasan akar yang beracun kepada tanaman pemikiran.

Bagi yang mengenali saya, sememangnya saya memiliki perseteruan yang besar dengan ašᶜarian. Sudah banyak penulisan yang saya hasilkan untuk menyinggung dan menyelar golongan ini.

Akan tetapi, dalam masa yang sama, saya akan mengunggulkan mereka apabila mereka berada di atas kebenaran, membela mereka daripada tuduhan yang tidak benar dan mengambil manfaat daripada karya mereka.

Antara usaha yang telah saya lakukan bagi merapatkan jurang antara mereka dengan saya adalah penghasilan judul «Penajaman Deria Dalam Mengenali Sifat Yang Maha Mulia». Boleh dikatakan penulisan ini adalah sebagai terima kasih saya kepada kepada mereka, khususnya di tanah air kita kerana memberikan cetusan dan menuangkan kefahaman saya kepada akidah Islam dengan hujah aqli.

Cuma, apa yang saya buat adalah mengintegrasikannya dengan tradisi ḥanbalian supaya kita melihat bahawa sebahagian isu antara mereka sangat berdekatan. Antaranya adalah saya bersepakat bersama untuk untuk menolak akidah Ibn Taymiyyah yang bermasalah.

Ia bukanlah sesuatu yang baharu atau perkara yang idealistik, khususnya dari kalangan salafi. Saya juga sudah melihat beberapa mereka dari negara Arab yang mendukung aliran ḥanbalian juga berselisih dengan akidah Ibn Taymiyyah, bahkan menolak Muḥammad bin *Abdul Wahhāb, tetapi selalunya golongan ini tidak ramai dan boleh dikatakan kelompok salafi hari ini lebih terpengaruh dengan Ibn Taymiyyah.

Antara yang saya kenal adalah Muḥammad al-Azhariyy al-Ḥanbaliyy, Miš*ān ar-Ruẖoymiyy dan Muḥammad al-Muṭoyriyy atau mereka yang digelar al-Ḥanābilah al-Judud, iaitu neoḥanbalian bagi sebahagian orang. Dengan ini, masih ada lagi golongan ḥanbalian yang terbebas daripada pengaruh Ibn Taymiyyah.

Malah, jika kita membaca karya mutakallimin ḥanbalian sama ada yang ringkas atau padat seperti Risalah Abū Naṣr as-Sijziyy, «I*tiqōd al-Imām al-Munabbal Aḥmad Ibn Ḥanbal» karya Abū Faḍl at-Tamīmiyy, «al-Īḍōḥ Fī Uṣūl ad-Dīn» karya Ibn az-Zāġūniyy, «Ibṭōl at-Ta^wīlāt Li Aẖbār aṣ-Ṣifāt» karya Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy, «Nihāyah al-Mubtadi^īn Fī Uṣūl ad-Dīn» karya Ibn Ḥamdān al-Ḥanbaliyy dan lain-lain, pasti akan menemukan kesamaan yang signifikan dengan ašᶜarian meskipun ada sebahagian isu yang mereka mengkritik aliran itu.

Akan tetapi, sesiapa yang menelaahnya dan membandingkan apa yang menjadi pegangan Ibn Taymiyyah, khususnya isu kejisiman bagi Allah dan berdirinya baharu pada zat-Nya, pasti akan menemukan perbezaan coraknya dari ḥanbalian.

Malah, antara yang saya memandang tinggi adalah *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy, tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Kepekatannya dengan ašᶜarian dan sufi tidak dipersoalkan lagi. Namun, saya banyak mengambil manfaat daripada penulisannya kerana memaparkan daya kritis, kemapanannya dan manhajnya yang mendekati dengan aliran salafi.

Malah, abangnya; Aḥmad al-Ġumāriyy yang terkenal dengan kepekatannya dengan sufi dan lantang menentang wahabi juga menuju kepada akidah yang sama dengan salafi kecuali satu perkara, iaitu kebersamaan Allah di setiap tempat. Bahkan, dia sangat keras kritikannya terhadap aliran itu. Apapun, ini menunjukkan bahawa seseorang boleh sahaja menjadi sufi, tetapi berbeza dengan aliran itu dalam masa yang sama.

Daripada forum Aslein, forum yang mengumpulkan golongan ašᶜarian dan māturīdian di seluruh dunia yang dikelola oleh Sa*īd Fawdah dan lain-lain, saya juga mengambil manfaat daripada penulisan mereka. Begitulah juga dengan beberapa tokoh ašᶜarian yang lain.

Untuk konteks tempatan, walaupun saya banyak mengkritik mereka yang di pihak Sidang Kalam, tetapi dalam masa yang sama, saya juga mengambil manfaat daripada mereka, mengongsikan penulisan mereka, memperkuatkan pandangan mereka, mencadangkan orang ramai untuk menontonnya dan menyebutkannya yang baik tentang mereka.

Begitu juga dengan al-Ḥabīb Ali bin Bagir as-Saqqōf. Saya juga mengambil manfaat daripada kuliahnya dalam pembelajaran kitab yang hebat di Youtube melalui saluran Jinan TV. Begitu juga dengan Wan Ji Wan Hussin. Walaupun beraliran ašᶜarian, tetapi kupasannya dalam isu manhaj sehinggalah kepada uṣūl fiqh, kesufian dan maqasid amat dekat dengan salafi menurut saya.

Bahkan, sesiapa sahaja yang mengaibkan saya, tetapi orang tersebut membawa manhaj yang berkualiti sama ada daripada ašᶜarian atau selainnya, saya tetap akan mencadangkan untuk mengikutinya dan mempelajari daripadanya. Saya cuba tidak mengheretkan isu peribadi untuk sebaran kebaikan kepada umum. Bahkan, saya hadir ke kuliah atau majlis ilmu mereka dengan mengenepikan sebentar konflik bersama dengannya.

Saya sememangnya bersetuju dengan pendamaian dengan meredakan sedikit perseteruan bersama mereka jika ia memfokuskan kepada penentangan kepada musuh yang lebih buruk, iaitu sebahagian mereka yang berakronim aswajaean, lebih-lebih lagi yang terpengaruh dengan batiniah. Pada saya, sesiapa sahaja yang menjunjung dan mengikuti manhaj keluarga al-Ġumāriyy walaupun dia tidak mengenali keluarga ini, maka dia mendapat tempat yang pertama bagi saya untuk berdamai.

Kalaulah saya ingin mengitlakkan dengan apa yang al-Murtaḍō az-Zabīdiyy berkata :

اذا أطلق أهل السنة والجماعة فالمراد بهم الأشاعرة والماتريدية

"Apabila diitlakan kepada ahli sunnah dan al-Jamāah , maka yang dimaksudkan adalah ašᶜarian dan māturīdian". [Itḥāf as-Sādah al-Muttaqīn, jilid 2, m/s 5, keluaran Mu^assasah at-Tārīẖ al-*Arobiyy, Beirut].

Maka saya katakan, tidak ada manhaj yang selamat melainkan mengikuti keluarga al-Ġumāriyy atau salafi. Sesiapa yang berpaling daripada ini, sama ada dia akan terjerumus dalam kerancuan, bidaah dan kerosakan dalam beragama.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/676884969775366144/celoteh-peribadi-146-perdamaian-antara-salafi

Celoteh 147 : Penilaian Baik Dan Buruk Secara Akal Pada Pandangan Saya

Perbahasan tentang penilaian baik dan buruk, khususnya pada isu moral tidak kurang juga mendapat perbincangan yang hebat antara ulama muslim. Di sini, saya bukan untuk membahaskan pandangan ulama tentangnya. Sebagai permulaan, seseorang dijemput untuk membaca jurnal «at-Taḥsīn Wa at-Taqbīḥ *Inda al-Maḏāhib al-Arba*ah : Dirōsah Uṣūliyyah Taḥlīliyyah Muqōronah» karya *Alā^ Muḥammad Ḥalāwah dan Riḍwān bin Aḥmad untuk melihat pandangan ulama berkaitan dengan permasalahan ini.

Asas untuk memahami perbahasan ini yang mungkin kebanyakan karya tidak menekankannya dan mungkin sebahagian orang tidak menyedarinya sehingga ada yang terkeliru tentangnya adalah dengan mencuba untuk duduk di posisi orang yang tidak beragama, kemudian fikirkan sama ada baik dan buruk dapat ditentukan dengan akal ataupun tidak.

Apakah sandaran moral? Adakah kerana undang-undang atau kerana itu sememangnya yang sepatutnya menjadi seorang manusia atau kerana untuk menjaga kepentingan sejagat atau kerana bertunjangkan suatu falsafah? 

Kemudian lihat mengapa adanya falsafah utilitarianisme, nihilisme dan lain-lain terbabit dalam wacana ini. Tentukan sama ada akal mampu mengabsahkan nilai pada moral ataupun tidak. Dari situ, kita akan memahami bagaimana untuk kita meneropong, membedah dan memahami perbahasan dalam permasalahan ini.

Apapun, saya ada pandangan saya yang sendiri yang saya ingin mengongsikannya yang mana ia berbeza daripada apa yang telah dibahaskan, diwacanakan dan dibincangkan. Jika kebanyakan perbahasan penilaian baik dan buruk ini secara akal memfokuskan kepada aspek moral untuk banyak perkara seperti perbuatan berdusta, berzina, membunuh dan lain-lain, maka pada saya, hanya satu sahaja yang boleh ditentukan dengan akal, iaitu keteraturan pada pemikiran. Keteraturan pada pemikiran ini adalah sesuatu yang paling jelas tentang baik dan buruknya.

Kita lihat pada prinsip awal pada logik. Setiap manusia akan menerima bahawa satu tambah satu adalah dua, sebahagian benda lebih kecil daripada seluruh benda, ayah lebih tua daripada anak, tidak boleh terkumpulnya dua perkara yang bertentangan dalam masa yang sama seperti wujudnya sesuatu dan tidak wujudnya sesuatu dalam masa yang sama dan lain-lain. 

Sesiapa yang berkata dengan selain ini, ia dinilai buruk dan dicela sebagai bodoh atau dungu. Inilah keteraturan yang paling mendasar dan semua orang tidak boleh ada lagi keraguan padanya.

Begitu juga pada keteraturan yang bersifat kompleks yang didapati melalui fikiran yang dalam, kajian yang luas, aplikasi kaedah saintifik yang sistematik dan pengujian beberapa kali. Apabila telah ada dapatan yang konkrit lagi mapan untuk membuktikan keabsahan bagi suatu dakwaan atau validitas bagi suatu andaian atau pembenaran bagi suatu hipotesis atau sokongan bagi suatu pendapat, maka menyalahinya adalah perbuatan yang bodoh dan merosakkan minda yang sihat kerana menerima sesuatu yang tidak sepertimana realitinya atau menyalahi keteraturan yang beriringan.

Kemudian, timbul pula persoalan, jika keteraturan adalah sesuatu yang dipuji dan dinilai baik oleh setiap manusia, mengapa ada orang yang sengaja hidup dalam kucar-kacir, keributan dan keserabutan? Malah, yang lebih membingungkan sekali adalah mengapa mereka ini dalam masa yang sama bahagia dan sentosa dengannya? Jawapan saya adalah kerana isu pemaknaan. Ia adalah sikap sejauh mana seseorang itu menghargai keteraturan itu.

Kadangkala, orang itu mengiktiraf keteraturan pada satu tambah satu adalah dua. Namun, pengiktirafan bukan bermakna ia akan melahirkan rasa pemaknaan dalam jiwanya. Adakalanya, dia sanggup memanipulasikan satu tambah satu menjadi tiga jika ada kepentingan untuk dirinya sama ada kepentingan politik, peribadi, keseronokan yang dia menikmatinya atau seumpamanya. 

Begitu juga dengan adakalanya mereka mengetahui bahawa undang-undang menjamin kesejahteraan sejagat bagi setiap warganegara. Akan tetapi, pengiktirafan itu tidak memberikan apa-apa makna kepada dirinya jika dia adalah pengamal rasuah atau terlibat dalam skandal jenayah yang mampu mengancamnya.

Sekalipun sesuatu itu diperakui keteraturannya, kadangkala makna boleh dicabul, dikotori dan dimanipulasi. Atas sebab itulah wujudnya agama-agama yang membodohkan akal penganutnya sehingga menjadi ignoran dan menjadi penyebab kepada kedunguan yang telah hilang rasionalitinya.

Mereka bagaikan orang gila dalam kalangan orang yang waras. Agama yang mereka bawa ini kononnya untuk memberikan makna bagi kehidupan manusia, tetapi akhirnya ia dalam masa yang sama menjadi tunjang kepada pembunuhan kepada pengiktirafan kepada keteraturan.

Kenapa makna ini wujud? Ini kerana ia adalah sebab yang mendorong manusia itu meneruskan kehidupan dan melangsungkan rentas perjalanan hayatnya. Tanpa makna, itulah yang mendorong manusia untuk membunuh dirinya dan merasa kemurungan terhadap kehidupan yang sedang dia bernafas di dalamnya. 

Akan tetapi, makna ini bukan semestinya baik. Ada juga yang buruk seperti yang dijelaskan tadi kerana makna adalah pendorong untuk manusia hidup dan melakukan sesuatu dalam kehidupannya meskipun dia mengakui bahawa dua lebih banyak daripada satu. 

Orang yang sudah kehilangan maknanya dalam hidup seumpama orang yang berkata: "Satu tambah satu adalah dua. Lantas? Apakah dengan mengetahui dan mengiktiraf perkara ini akan menyelesaikan penderitaan yang saya hadapi sekarang ini?".

Keteraturan dan makna wujud bersamaan dan saling beriringan. Keteraturan akan melahirkan kaedah saintifik dan makna akan menyemaikan wacana falsafah. Kaedah saintifik akan memelihara keteraturan dan falsafah akan membantu untuk membina makna bagi keteraturan itu untuk manusia. Akan tetapi, walaupun keteraturan itu sudah ada penilaian secara akal, tetapi makna ini terdedah dengan pelbagai kelompongan.

Jawapannya adalah mudah. Jika keteraturan adalah sesuatu yang boleh diterima untuk setiap orang sama ada melalui pada prinsip awal atau melalui pemerhatian walau sesiapapun mengkaji, tetapi bagaimana dengan makna? Daripada siapa untuk kita ambil, berpegang dan tunduk kepadanya?

Sebahagian orang tidak mahu tunduk dan ambil dari seseorang ahli falsafah kerana dia bukan hamba padanya dan dia adalah orang yang merdeka yang tidak dipaksa keinginannya dan pilihannya. Mengapa pula perlu tunduk dan mengikut moral dan pegangan daripada orang yang entah daripada siapa, apatah lagi daripada seterunya sekalipun dari orang berilmu?

Atas sebab itulah agama Islam datang untuk memberikan keteraturan dan dalam masa yang sama memberikan jawapan bagi makna yang konkrit lagi sejati yang dicari oleh setiap manusia yang mana sesiapa yang menyalahinya pasti termasuk orang yang jahat, keji dan perbuatan tersebut adalah buruk dengan jelas. Agama yang berhak diikuti adalah agama yang berfakta, rasional, masuk akal dan memberikan makna yang sejati. Semua ini ada pada agama Islam. Segala puji bagi Allah.

Agama Islam diambil perkataannya daripada ₍Aslama₎ (أَسْلَمَ), iaitu menyerahkan diri. Jika kita tunduk dengan dapatan sains yang tidak boleh dipertikaikan lagi dan ia akan menatijahkan yang sama bagi sesiapa sahaja yang mengkaji, maka kita juga akan tunduk kepada Allah Yang Maha Bijaksana kerana makna yang dibangunkan melalui kalam-Nya dan sabda rasul-Nya adalah berteraskan keteraturan.

Makna yang didirikan dalam agama ini sama seperti keteraturan yang didirikan dalam sains dan orang ramai tunduk dengan dapatannya, faktanya, prinsipnya, hukumnya dan lain-lain. Dengan ini, awal dan hujung sebagai penganut Islam adalah sepertimana firman Allah *Azza Wa Jalla :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku". [Surah aḏ-Ḏāriyāt ayat 56].

Apakah Allah menundukkan manusia tanpa ada sebab? Sudah tentu sama sekali tidak. Agama Islam bukan agama yang hanya percaya sahaja tanpa mempertautkan dasar kepercayaan secara rasional atau dengan kata lain agama ini bukan agama yang ikut semberono, tetapi ikut kerana memahami latar belakangnya dan pendirian mendasarnya terlebih dahulu sebelum mempercayainya untuk mengikutinya. Atas sebab itulah banyak dalam ayat al-Quran menyebutkan pengutusan rasul dengan bukti, bukan hanya ucapan dan seruan untuk percaya semata-mata.

Saya beri contoh mudah mengapa akhirnya umat Islam akan tunduk kepada sebuah entiti yang bernama tuhan yang sejati. Tanpa agama, bagaimana jawapan untuk bagi sebuah moral? Mengapa manusia perlu berbuat baik? 

Jawapan bagi umat Islam adalah mudah dan ia adalah kerana Allah yang menyuruhnya dan inilah yang menjadi tambatan nilai bagi moral. Oleh itu, sesiapa yang berdusta, membunuh, berzina, mencuri dan lain-lain, maka kejahatannya telah jelas tanpa syak lagi kerana itulah yang dinyatakan oleh Allah melalui dasar bukti yang nyata serta telah digariskan piawaiannya. 

Inilah makna yang baik bagi kehidupan manusia dan umat Islam secara khusus. Sesiapa yang menyalahinya, maka dia adalah orang yang jahat tidak kira untuk Muslim atau selainnya.

Cuba bayangkan pula dengan orang yang tidak ada agama. Apakah tambatan nilai bagi moral? Adakah kerana tunduk kepada undang-undang? Adakah tunduk kepada suatu falsafah? Atau manusia perlu menjadi baik kerana dia adalah manusia? 

Siapa pula yang berautoriti dalam menentukan baik dan buruk? Mengapa pula dia perlu ikut kata orang lain hanya kerana dia seorang ilmuwan atau pihak di jawatan tinggi dalam masyarakat? Adakah seseorang sebagai ahli falsafah dan pihak pegawai kerajaan ada hak untuk menundukkan bagaimana sepatutnya yang dikatakan moral?

Apa masalahnya jika seseorang ingin curang selagimana selamat daripada sengketa antara pasangan? Apa masalahnya jika seseorang itu merogol wanita lain jika itu selamat dari penghukuman undang-undang, serangan daripada orang ramai serta boleh mendiamkan wanita itu? 

Siapakah mereka untuk memaksa kepada seluruh manusia bahawa ini adalah perbuatan yang salah? Apakah mereka itu tuhan kepada moral manusia dan manusia lain perlu tunduk kepada ketetapannya? Apa haknya untuk memperhambakan seseorang yang merdeka dengan suatu ikatan moral yang dia mengobligasikannya kepada umum? 

Kalau mereka tidak suka terhadap perbuatan itu, apa hak mereka untuk memaksakan supaya orang lain merasai sama sepertimana mereka rasakan? Saksikanlah keserabutan mereka dalam membentangkan jawapan mereka.

Segala puji bagi Allah atas nikmat agama Islam. Maka, sambutlah seruan firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā ini :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

"Wahai manusia! Telah datang kepada kalian nasihat daripada tuhan kalian, penyembuh terhadap apa yang di dalam dada, petunjuk dan rahmat bagi orang beriman". [Surah Yūnus ayat 57].

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/677596085254078464/celoteh-peribadi-147-penilaian-baik-dan-buruk

Celoteh 148 : Akui Kelemahan Setiap Orang



Adakalanya kita perlu menyedari dan mengiktiraf kekurangan daripada mana-mana tokoh ilmuwan. Kekurangan dalam suatu lapangan bukanlah kehinaan sama sekali, lebih-lebih lagi jika tokoh ilmuwan itu dikenali dengan kecekapan dalam sesuatu bidang yang setara dengan barisan pemuka yang terbilang atau mengungguli mereka yang lain. Semua orang akan menghadapi masalah yang sama.

*Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- berkata :

وكثير من الأولياء لا يعرفون الأحكام الشرعية

"Kebanyakan daripada para wali tidak mengenali hukum-hakam syariat". [Awliyā^ Wa Karōmāt, m/s 49, keluaran Maktabah al-Qōhiroh].

Sekalipun sebahagian para wali Allah ini dikagumi dan dicontohi dari sudut ketakwaannya, kesolehannya, kewarakannya dan kezuhudannya, tetapi adakalanya mereka ini tidak sama sekali tidak mahir dalam ilmu periwayatan, ilmu fiqh dan juga kaedah-kaedah ilmu yang kompleks. 

Kata-kata mereka berupa nasihat dipandang tinggi dan keteladanan mereka adalah yang terbaik untuk diambil, tetapi dalam urusan selain itu, ia tidak begitu menyerlah. Atas sebab itulah *Abdullah al-Ġumāriyy menghasilkan «Awliyā^ Wa Karōmāt» bagi membentangkan beberapa kritikan terhadap kisah karamah para wali Allah yang tidak disedari kelompongannya oleh sebahagian orang yang mengamalkan tasawwuf.

Atas sebab itulah walaupun seseorang itu dikenali dengan kesolehannya, belum tentu kita boleh mengambil riwayat hadis daripadanya. Mālik bin Anas berkata :

لَا يُؤْخَذُ الْعِلْمُ عَنْ أَرْبَعَةٍ، وَيُؤْخَذُ مِمَّنْ سِوَى ذَلِكَ: لَا يُؤْخَذُ مِنْ صَاحِبِ هَوًى يَدْعُو النَّاسَ إِلَى هَوَاهُ، وَلَا مِنْ سَفِيهٍ مُعْلِنٌ بِالسَّفَهِ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَرْوَى النَّاسِ، وَلَا مِنْ رَجُلٍ يَكْذِبُ فِي أَحَادِيثِ النَّاسِ، وَإِنْ كُنْتَ لَا تَتَّهِمُهُ أَنْ يَكْذِبَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَا مِنْ رَجُلٍ لَهُ فَضْلٌ وَصَلَاحٌ وَعِبَادَةٌ إِذَا كَانَ لَا يَعْرِفُ مَا يُحَدِّثُ

"Tidak diambil ilmu dripada empat orang, tetapi diambil daripada selain daripada empat orang itu. Pertama, tidak diambil ilmu daripada ahli hawa nafsu yang menyeru kepada hawa nafsunya. Kedua, tidak juga daripada sang dungu yang menampakkan kedunguannya walaupun dia terdiri daripada orang yang paling banyak periwayatannya. Ketiga, tidak juga daripada seseorang yang berdusta dalam hadis-hadis orang ramai walaupun engkau tidak menuduhnya berdusta terhadap Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Keempat, tidak juga daripada seorang lelaki yang ternama, soleh dan ahli ibadah apabila dia tidak mengerti apa yang dia riwayatkan". [Al-Muḥaddiṯ al-Fāṣil Bayna ar-ar-Rōwī Wa al-Wā*ī, karya ar-Rōmaharmuziy, m/s 403, keluaran Dār al-Fikir, Beirut, tahqiq Muḥammad *Ajjāj al-H̱oṭīb].

Al-Ḥizāmiy berkata :

فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِمُطَرِّفِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ: مَا أَدْرِي مَا تَقُولُ، غَيْرُ أَنِّي أَشْهَدُ لَسَمِعْتُ مَالِكًا يَقُولُ: أَدْرَكْتُ بِبَلَدِنَا هَذَا، يَعْنِي الْمَدِينَةَ، مَشْيَخَةً لَهُمْ فَضْلٌ وَصَلَاحٌ وَعِبَادَةٌ، يُحَدِّثُونَ، فَمَا كَتَبْتُ عَنْ أَحَدٍ مِنْهُمْ حَدِيثًا قَطُّ قُلْتُ: لِمَ يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: لِأَنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْرِفُونَ مَا يُحَدِّثُونَ

Aku menyebutkan hal ini kepada Muṭorrif bin *Abdullah. Dia pun berkata: "Aku tidak tahu apa yang engkau katakan. Namun, aku benar-benar bersaksi bahawa aku memang mendengar Mālik berkata:
Aku telah menemui para syeikh yang ternama, soleh dan ahli ibadah yang meriwayatkan hadis di negeri ini, iaitu Madinah. Namun, aku tidak menulis hadis dari seorang pun dari kalangan mereka sama sekali. Aku berkata: Kenapa wahai Abū *Abdullah?. Dia berkata: Kerana mereka tidak mengerti apa yang mereka riwayatkan". [Al-Muḥaddiṯ al-Fāṣil Bayna ar-ar-Rōwī Wa al-Wā*ī, karya ar-Rōmaharmuziy, m/s 403, keluaran Dār al-Fikir, Beirut, tahqiq Muḥammad *Ajjāj al-H̱oṭīb].

Abangnya, Aḥmad al-Ġumāriyy juga berkata :

كان أستاذنا بخيت رحمه الله مع تضلعه في العلوم مزجى البضاعة في الحديث كسائر علماء الأزهر المتأخرون

"Dahulu ustaz kami, Baẖīt -semoga Allah merahmatinya- walaupun cekap dalam pelbagai ilmu, tetapi sedikit bekalannya dalam bidang hadis sepertimana sekalian ulama al-Azhar yang terkebelakangan". [Ju^nah al-*Aṭṭōr Fī Ṭurf al-Fawā*id Wa Nawādir al-Aẖbār, m/s 73].

Adakalanya, kita perlu memaparkan kelemahan orang lain bukan kerana untuk mengaibkannya. Akan tetapi, supaya kita semua meletakkan kedudukan seseorang di tempat yang seberhaknya. Ini supaya kita sama sekali tidak sesuka hati mengajukan pertanyaan kepada yang bukan ahlinya atau mengambil berat terhadap pandangan daripada orang yang tidak menguasainya.

Adakalanya, tokoh ilmuwan tersebut tidak memberitahu bahagian yang dia lemah dan kurang kerana itu adalah keaiban untuk dirinya. Bahkan, jika dia menceritakan, ia boleh menjadi kesempatan sebahagian pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merobek kredibilitinya dan menjatuhkan kedudukannya.

Atas sebab itulah ilmuwan lain perlu menyingkapkan dan mengingatkan kepada orang lain agar orang itu tidak membebankan apa yang ilmuwan tersebut tidak berkemampuan padanya dan di luar kepakarannya. Tugas ini hanyalah untuk orang yang berkeahlian dalam bidang tersebut dan benar-benar melihat kekurangan orang lain padanya serta bersikap tulus dalam menyingkapkannya.

Malah, adiknya; *Abdul *Azīz al-Ġumāriyy dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī» menyatakan bahawa dia tidak berminat untuk mendalami ilmu kalam. Oleh itu, ini secara tidak langsung menyatakan kekurangannya dalam ilmu kalam dan wajib bagi kita tidak mengajukan pertanyaan kepada orang yang tidak berminat untuk menguasai ilmu itu.

Begitu juga sebahagian ahli kalam yang berprestij, tetapi dilihat kelompongannya dalam bahagian hadis. Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy menyebutkan kalam aḏ-Ḏahabiyy tentang Faẖruddīn ar-Rōziyy dan dia tidak membantahnya :

رأس في الذكاء والعقليات لكنه عري من الآثار وله تشكيكات على مسائل من دعائم الدين تورث حيرة , نسأل الله أن يثبت الإيمان في قلوبنا.

"Pemuka bagi sang cerdas dan cendekiawan, tetapi terkosong dari atsar. Dia mempunyai syak wasangka terhadap permasalahan-permasalahan dari tonggak-tonggak agama yang menimbulkan kehairanan. Semoga Allah meneguhkan iman dalam jantung kita". [Lisān al-Mīzān, jilid 6, m/s 318, keluaran Dār al-Bašā^ir al-Islāmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Fattāḥ Abū Ġuddah].

Bagi sesiapa yang membaca «Mafātīḥ al-Ġoyb» karya ar-Rōziyy, pasti akan mendapati sebahagian hadis yang tidak ditemukan asalnya. Sedemikian nasib yang sama juga pada Abū Ḥāmid al-Ġozzāliyy. Begitu juga sebahagian fuqaha yang mahir dalam ilmu fiqh, tetapi tidak cekap dalam ilmu hadis seperti *Abdul Karīm ar-Rōfi*iyy. Bagi sesiapa yang membaca takhrij bagi kitabnya «aš-Šarḥ al-Kabīr», pasti akan melihat sebahagian hadis yang disebutkan di dalam kitab tersebut tidak memiliki asalnya.

Malah, sebahagian ustaz tempatan kita juga walaupun mahir dalam ilmu kalam, tetapi mereka mengakui kelemahannya dalam ilmu fiqh dan ilmu hadis. Namun, sekalipun begitu, jangan terlalu fokus kepada kekurangan sehingga ia dijadikan modal untuk merendahkan dan menjatuhkan kredibiliti seseorang. Fokuslah dan ambillah manfaat pada bahagian kepakarannya. Kekurangan itu adalah pakaian bagi setiap orang yang bernama manusia serta kita semua saling memerlukan dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Saya juga masih banyak kekurangan dan kelompongan yang perlu saya baiki dari semasa ke sama. Saya bukanlah yang layak untuk duduk di barisan mereka yang berkaliber, apatah lagi berambisi untuk merebut kedudukan pengaruh daripada tokoh ilmuwan yang jauh lebih gemilang daripada saya. 

Oleh itu, tidak perlulah mengharapkan yang terlalu banyak daripada saya. Ambillah apa yang bermanfaat daripada saya. Jika didapati kekurangan dari sisi saya, tinggalkanlah dan ambillah daripada mereka yang berhak untuk diambil.

Saya hanya menyampaikan sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat yang telah Dia limpahkan kepada saya berdasarkan kadar yang ada pada diri saya serta menggalas amanah yang dibebankan kepada saya untuk bersuara apa yang saya tahu dan faham yang mana ia tidak boleh saya menyembunyikannya dan berpura-pura tidak tahu. 

Akan tetapi, saya juga adalah manusia yang bukan sahaja memiliki kekurangan, tetapi juga salah dan tempang. Saya memohon keampunan daripada Allah atas kesilapan saya dan mengharapkan agar Dia memperbaiki apa yang saya kurang.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/678330140263120896/celoteh-peribadi-148-akui-kelemahan-setiap-orang

Celoteh 149 : Ikutan Agama Antara Saya Dengan Suatu Pengikut Syeikh Tarekat



Lucu sebahagian gelagat pengikut sebuah tarekat apabila ingin mempertahankan tindakan syeikhnya yang bersalaman dengan wanita bukan mahramnya dan membenarkan wanita itu mencium tangannya. Terhegeh-hegeh membawakan pandangan ulama sama ada yang klasik atau yang kontemporari yang mana yang terkenal yang memberi pandangan ini adalah Yūsuf al-Qoroḍōwiyy untuk membuktikan bahawa sebahagian mereka membenarkannya dan ini termasuk dalam perselisihan yang muktabar.

Masa inilah mereka mula menyelongkar pandangan yang dianggap syaz atau paling berlapik adalah ia pandangan yang menyalahi majoriti ulama semata-mata untuk tidak mahu syeikh dipersalahkan. Walaupun keharusan itu adalah untuk suatu keperluan, tetapi hakikat pengamalannya mungkin sahaja tidak sebegitu. Boleh jadi sememangnya syeikh tersebut bersalaman dan berciuman bukan untuk suatu keperluan.

Ambillah pandangan saya dan kehujahan saya dalam berpendapat keharusan bersalaman dengan wanita sepertimana yang saya telah bahas dalam penulisan saya yang berjudul «Hukum Bersentuhan Kulit Dengan Bukan Mahram Baginya» jika diyakini itulah kebenarannya tanpa taklid.

Segala puji bagi Allah. Dengan izin-Nya dan kurnia-Nya, penghujahan saya lebih teratur dan lebih meyakinkan tanpa gentar untuk menyalahi sekalian ulama dalam permasalahan ini dan bersama dengan Yūsuf al-Qoroḍōwiyy dalam hal ini.

Saya pada mulanya memang mengambil bulat-bulat penjelasannya dengan sedikit modifikasi dalam mengambil pandangan ini. Akan tetapi, saya melihat dia begitu berlapik dalam penjelasannya kerana tidak mahu kelihatan menyalahi sekalian ulama secara jelas atau mengeluarkan pandangan yang kelihatan aneh ini secara tajam dan saya ada beberapa perkara yang tidak berpuas hati. Atas sebab itulah saya menghasilkan judul penulisan tersebut.

Cuma, saya selalu sahaja dicemuh bermacam-macam kerana saya mengambil pendirian yang menyalahi keseluruhan umat atau menyalahi majoriti besar sehingga memilih selainnya dikira syaz dan ganjil, khususnya dalam isu seksual.

Sekarang, sebahagian sufi, khususnya yang membela tarekat tersebut dan syeikhnya secara spesifik bergegas untuk mengambil pandangan yang ganjil yang mereka sendiri dahulu mencela saya dalam isu ini. Akhirnya, terserlah jua sikap hipokrit mereka atau mereka sendiri menjilat ludah mereka sendiri.

Saya dari dahulu konsisten dan tidak terhegeh-hegeh untuk mencari pandangan yang lain walaupun syaz demi membela seseorang atau sesuatu kelompok. Prinsip saya dalam isu seksual sudah jelas dan itulah yang saya pegang yang saya akan bawa ke hari akhirat meskipun saya perlu mengkritik tokoh ilmuwan yang besar dan menyalahi sekalian mereka.

Mereka yang selama ini tidak henti-henti mencemuh saya kerana memilih pandangan yang ganjil akhirnya menghadap apa yang mereka menistakan saya dahulu. Lihat bagaimana gelagat mereka sekarang ini dalam menghadapi cemuhan orang terhadap tarekatnya dan syeikhnya. Jangan selepas ini tiba-tiba ada yang ingin mengambil penghujahan saya demi menjustifikasikan apa yang syeikhnya lakukan.

Benar bahawa saya tidak mempersalahkan syeikh mereka kerana wanita bukan mahramnya bersalaman dengannya dan mencium tangannya tanpa pengingkaran dan mungkin sahaja bukan keperluan yang mendesak untuk melakukannya kerana pada saya, itu bukanlah salah di sisi saya. Akan tetapi, manhaj saya dengan mereka adalah jauh berbeza.

Saya sudah lama berpendirian tentang keharusan bersalaman dengan wanita bukan mahram dan mengizinkan penciuman tangannya. Oleh itu, kalau ada mana-mana orang melakukan sedemikian, saya tidak mengingkarinya. 

Namun, mereka pula dari awal mengingkarinya dan mencemuh habis-habisan orang yang berpendapat sebaliknya dan melakukannya. Lalu, apabila dapat tahu syeikh mereka melakukannya, mereka bergegas mencari-cari dalil dan pandangan ulama demi membela syeikh mereka. 

Kalaupun mereka tidak bersetuju dan mengingkari perbuatan syeikh tersebut, mereka mendiamkannya dan buat-buat tidak tahu, tetapi mereka bertalu-talu mencela saya sekalipun saya berpendapat atau melakukan yang sama dengan syeikh mereka. Inilah beza saya dengan mereka, khususnya dalam isu ini.

Selepas ini kalau syeikh mereka membenarkan pengikutnya melancap pun, pasti mereka mula menyelongkar pandangan ulama yang membenarkannya seperti Ibn Ḥazm dan pendahulunya seperti aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekumpulan dengannya. Jangan kata ini mustahil pula.

Kemudian, saya berharap mereka yang mencela saya dalam isu melancap tidak terhegeh-hegeh mengambil penghujahan saya dalam mempertahankan keharusannya kalau benar mereka konsisten terhadap kebenaran dan ikutan majoriti, bukan ketaksuban yang selalu mereka canang. Jika tidak, maka terbuktilah sebenarnya ikutan mereka adalah syeikhnya, bukan sepertimana yang didakwa.

Kemudian, mereka yang melabel saya sebagai wahabi kerana mengkritik beberapa tradisi daripada kesufian, menyinggung ašᶜarian serta memangkas pemikiran dan manhaj mereka jangan pula terhegeh-hegeh mengambil manfaat daripada penulisan saya, khususnya dalam isu ini atas alasan wahabi pun adakalanya berpihak pada kebenaran demi menjustifikasikan apa yang tarekatnya dan syeikhnya lakukan.

Selama ini mereka mengutuk saya sebagai wahabi seakan-akan kesesatannya adalah segenap segi, tidak ada bahagian yang betul dan tiada bahagian penghujahan yang konkrit. Selepas ini, apa akan jadi agaknya kalau syeikhnya pula membenarkan lancap atau lebih ekstrim daripada itu seperti pencampuran lelaki dan perempuan dalam aktiviti riadah?

Sesiapa sahaja yang mengenal saya, pasti sudah memahami bagaimana manhaj saya dalam ikutan keberagamaan. Ikutan saya adalah dalil yang berteraskan al-Quran dan sunnah serta metodologi yang jitu.

Saya akan bersepakat dengan keseluruhan para ulama atau sebahagian mereka sekalipun dari aliran berbeza jika itu diyakini kebenarannya dan saya akan menyalahi sebahagian mereka sekalipun dari aliran yang sama atau keseluruhan mereka jika saya meyakini kebenaran yang saya ikuti.

Saya mengikut seperti pesanan *Aliyy bin Abū Ṭōlib -roḍiyallahu *anh- untuk mengenali kebenaran terlebih dahulu, barulah kita akan mengenal ahlinya. Segala puji bagi Allah. Dialah saksi apa yang terbuku di jiwa saya.

Pun begitu, saya juga ada pernah melakukan kesalahan dan menarik balik beberapa pandangan saya. Akan tetapi, saya akan merubah pandangan saya apabila ia terbukti kesilapannya yang tidak boleh dipertahankan lagi, bukan kerana disebabkan perubahan pandangan oleh seseorang individu atau sesuatu kelompok.

Pandangan saya dalam agama tidak dipengaruhi oleh sesiapa atau mana-mana kelompok, tetapi saya hanya menerima dan tunduk kepada mana-mana penghujahan ilmiah yang menepati al-Quran, sunnah, rasional dan metodologi ilmu yang jitu.

Adapun mereka itu, maka mereka mengenali kebenaran melalui orangnya. Dalil al-Quran dan sunnah serta hujah rasional pun tidak bermanfaat apa-apa melainkan yang memihak kepada syeikhnya.

Apabila syeikhnya melakukan sesuatu yang di luar apa yang menjadi pegangan mereka dan berbeza pada tanggapan mereka, barulah mereka mula mencari dalil yang berpihak pada syeikhnya sekalipun ia adalah takalluf, takwilan yang jauh, istidlal yang salah dan kerancuan rasional. Seakan-akan kebenaran perlu mengikut rentak syeikh ini dan kebenaran berubah dengan perubahan syeikh. Mereka boleh ke kanan dan ke kiri bila-bila masa sahaja kerana kebenaran mengikuti syeikhnya.

Itulah keaiban yang besar bagi orang yang tidak mahu menjadikan firman Allah *Azza Wa Jalla dan rasul-Nya -ṣollallahu *alayhi wasallam- sebagai ikutan yang terulung. Itulah ketempangan bagi orang yang membelakangkan hujah ilmiah yang konkrit sebagai paksi dalam set pemikiran untuk mencari kebenaran.

Kemudian, tidak perlu membandingkan saya dengan mereka untuk melihat hipokrit mereka. Lihatlah sikap mereka pada orang lain. Saya masih ingat lagi bahawa mereka ini mengutuk habis-habisan orang yang berpendapat bahawa peha bukan aurat dan menganggap ia adalah pendapat minoriti, bahkan seolah-olah syaz dalam agama. 

Namun, apabila syeikhnya bersalaman dengan wanita yang bukan mahram, mereka pula menggeladah pendapat ulama yang minoriti, bahkan dianggap syaz oleh majoriti semata-mata untuk menjustifikasikan bahawa syeikhnya tidak bersalah.

Mereka dalam masa yang sama juga mengutuk bertalu-talu orang yang mencampuradukkan mazhab dalam masa yang sama atau melakukan talfiq sebagai orang yang ingin membangunkan mazhab kelima dan tidak menghormati ulama ketika berselisih pandangan. 

Bahkan, mereka mengutuk juga orang yang berusaha untuk berijtihad bagi dalam sesuatu isu dan membawa pandangan baru dalam baru sebagai orang yang ingin membawa mazhab kelima di zaman ini! Jelas pada mereka bahawa mereka ini tidak dapat meraikan praktik beragama seperti ini!

Namun, mereka ini tidak segan silu dan tidak peduli jika tarekat mereka dan syeikh mereka ini langsung tidak bermazhab atau mencampuradukkan mazhab atau talfiq kepada mazhab lain sekalipun ia adalah syaz atau yang paling minoriti atau melakukan ijtihad yang baru asalkan dapat membela syeikh mereka daripada dipersalahkan! 

Bahkan, tidak peduli jika tarekat mereka dan syeikh mereka menjadi mazhab kelima sama ada dengan pencampuran mazhab atau adanya ijtihad baru daripadanya! Mereka juga tidak peduli pun untuk mengkritik pandangan ulama berbeza, khususnya apabila seterunya meneguhkan pandangan tersebut atas dasar meraikan perselisihan yang muktabar, padahal teras perbuatan mereka adalah untuk menegaskan bahawa syeikh mereka kononnya berdiri di atas hujah yang kuat walaupun sebenarnya mereka hanya tidak mahu syeikh mereka dipersalahkan atau sekurang-kurangnya perbuatan syeikh itu ada meritnya walaupun sebenarnya itu melanggar prinsip yang mereka cela pada orang lain!

Betapa keji makhluk yang hidup seperti ini. Kita bersyukur kepada Allah kerana Dia memperlihatkan noda, aib, kebejatan, tembelang, ketempangan dan hipokrit mereka ini. 

Demi membela tarekat dan syeikh pujaan mereka, mereka tidak segan silu melakukan apa yang mereka cela terhadap orang lain demi memenangkan apa yang di pihak mereka! Ini pun bukti yang tidak cukup sehingga mereka kekal membutakan mata mereka sendiri?

Kita tidak perlu lagi bersusah payah untuk menerangkan bagaimana sepatutnya keberagamaan kita. Cukuplah kita paparkan sikap mereka ini, lalu biarkan mereka dan para audiens yang lain berfikir sejenak, kemudian melihat sendiri kerancuan yang ada pada keberagamaan seperti mereka. Semoga Allah memelihara kita daripada kebejatan dan korupsi seperti ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/679034520836702208/celoteh-peribadi-149-ikutan-agama-antara-saya

Celoteh 150 : Mengapa Banyak Mengkritik Sesama Muslim?



Sebahagian orang mempersoalkan mengapa saya begitu banyak mengkritik sesama umat Islam, khususnya aswajaean, ašᶜarian dan lain-lain? Mengapa saya kurang memberikan perhatian dalam melawan aliran yang jauh lebih sesat seperti liberal, pengikut falsafah yang menyimpang, antihadis dan juga golongan yang menjadi seteru kepada Islam?

Sebenarnya, kalau pun saya tidak menyibukkan diri untuk memenuhi tuntutan mereka, maka beberapa daripada golongan mereka sendiri telah pun terkehedapan, menyerlah dan berkepakaran dalam bahagian tersebut sekalipun mereka adalah pentaksub yang nyata terhadap tradisi tempatan dan beberapa tokoh ilmuwan yang berpihak kepadanya. 

Malah, isu yang berkaitan dengan anti-Islam sebagai khusus, ia akan mendapat sambutan dan penglibatan dalam pelbagai pihak dalam mempertahankannya dan mendepaninya tanpa mengira mana-mana aliran dalam agama ini.

Mereka ada jawapan yang terbaik untuk menjelaskan kekeliruan golongan yang menyimpang itu dan mematahkan sangkalan terhadap Islam. Ia dimanfaatkan tanpa mengira individu atau kelompok dalam sesuatu aliran dalam agama ini. 

Adakalanya jawapan mereka sudah cukup padu, jitu dan tuntas sehingga tidak perlu seseorang mengeluarkan artikel sendiri bagi merespons isu yang ditimbulkan. Cukup dengan menukilkan penulisan daripada mereka dan menjadikannya sebagai panduan dalam wacana dalam isu yang dibangkitkan dan dipertikaikan.

Sekalipun begitu, kalau saya ingin memperkenalkan Islam kepada masyarakat, apakah saya akan memperkenalkan manhaj sepertimana manhaj mereka yang bercelaru, caca merba, punah ranah dan penuh dengan kontradiksi? 

Inilah isu utama yang saya hadapi sehingga saya perlu bertungkus lumus dan memperbanyakkan kritikan terhadap manhaj mereka ini kerana mereka adalah paling dominan dan paling berpengaruh dalam masyarakat.

Tidak ada guna memperkenalkan keagungan dan kemuliaan Islam jika manhaj yang dibawa adalah seperti ini. Bagaimana ingin dibanggakan dengan seseorang tidak boleh mempersoalkan Ibn *Arobiyy al-Ḥātimiyy dan tokoh sufi yang diangkat sebagai wali Allah, tetapi tidak ada masalah dalam mengkritik Ibn Taymiyyah dan menyalahi ahli bait dari keluarga al-Ġumāriyy dalam beberapa permasalahan? 

Apa guna mengajak orang bukan Islam kepada perbincangan kritis, tetapi sesama umat Islam, cukup tunduk dan taklid terhadap apa yang menjadi ketetapan mazhab dan apa yang telah difatwakan oleh seseorang atau sekelompok ilmuwan serta dilarang sama sekali mempersoalkannya, apatah lagi menyalahinya dan mengkritiknya?

Atas sebab itulah mengkritik mereka adalah seumpama kerana mereka melakukan kesalahan manhaj yang merupakan cabang kesalahan dari golongan liberal, pengikut falsafah dan lain-lain. Lebih teruk lagi adalah kesalahan mereka sama kaprah dengan golongan yang sesat, tetapi ia dibaluti dengan alasan bahawa ia sekadar isu ranting, isu piscisan dan isu remeh yang patut ditoleransi atau tidak perlu menyibukkannya. 

Mereka tidak sedar bahawa kesilapan itu sebenarnya diamalkan juga oleh golongan yang mereka kritik dan golongan yang dianggap telah sesat yang telah hampir keluar daripada Islam. Bahkan, barangkali lebih teruk lagi.

Misalnya adalah mereka menganggap bahawa falsafah neoplatonisme dalam martabat kewujudan sebagai falsafah asing dan termasuk dalam falsafah yang menyimpang. Akan tetapi, dalam masa yang sama, mereka menerima martabat tujuh atau martabat kewujudan yang intinya adalah serupa dengan falsafah tersebut, cuma berbeza bungkusan pada luaran. 

Yang lebih teruk lagi adalah tidak ada siapa boleh mempersoalkan keabsahannya kerana ia kononnya adalah ilmu tasawwuf tahap tinggi yang telah diterima oleh para sufi yang diangkat sebagai wali Allah atau jika ingin diselamatkan pun, ia dianggap sebagai hanya cabang akidah yang tidak perlu dipolemikkan.

Kalau begini, tidak ada guna mengkritik falsafah yang sesat secara komprehensif kalau akhirnya asas pegangannya juga adalah dengan model yang sama dengan mereka, tetapi berbeza bentuk dengan jenama Islam. 

Ia seolah-olah berkata kepada masyarakat: "Bisnes kami bukan sepertimana pemasaran berbilang aras!". Namun, apabila diteliti, model bisnesnya tidak tumpah berbeza dengan apa yang mereka mendakwa bahawa mereka menafikan persamaannya.

Lantaran itu, pembersihan dan pembaharuan dalam sesama komuniti muslim adalah diperlukan supaya kita juga tidak bergusti dengan golongan lain dalam lumpur najis yang sama untuk menentukan siapa yang paling bersih. Tidak ada guna membongkar kebejatan falsafah dan melondehkan tembelang sebahagian kelompok yang sesat, tetapi dalam masa yang kita masih meniti di atas garisan yang sama, tetapi berbeza warna dan jenama.

Usaha pengislahan untuk seluruh manusia tidak dapat dijayakan selagimana pengislahan dalam komuniti muslim tidak direalisasikan atau kita juga sama-sama teruk dengan orang yang sekeliling dalam kalangan bukan muslim sama ada pada sudut pemikiran atau sosial. 

Kita mungkin hebat dalam mengkritik dan mempertahankan apa yang menjadi pegangan Islam. Namun, itu semua akan menjadi indah khabar daripada rupa sahaja jika manhaj yang diamalkan tidak konsisten, berkecamuk dan tidak teratur, tetapi dengan rupa yang kritis, intelektual dan ketajaman.

Sekarang, fahamlah mengapa adanya kritikan terhadap sesama muslim kerana sebahagian masalahnya adalah cukup serius lagi melata sehingga perlu dikehadapankan dalam pentas wacana umum yang tidak boleh disembunyikan lagi di balik tabir. Kesilapannya setara kaprahnya dengan golongan sesat dan yang asing daripada Islam.

Saya bukanlah mengambil ringan untuk kritikan golongan sesat yang nyata jauh lebih berbahaya berbanding apa yang menjadi manhaj rata-rata umat Islam. Saya telah pun menghasilkan beberapa penulisan untuk merespons dan menjawab syubhat mereka serta mengkritik metodologi mereka.

Akan tetapi, pertembungan terhadap sebahagian daripada umat Islam ini akan menjadi lebih rumit apabila mereka ini gemar berselindung di sebalik imam, syeikh dan ulama demi menjustifikasikan apa sahaja yang dia bertekad terhadapnya sekalipun salah dan tempang. 

Mereka tidak mengaku bahawa mereka taksub, tetapi mereka berkata bahawa mereka mengikuti para ulama yang berpedomankan al-Quran dan sunnah. Hakikatnya, bukan seperti itu yang didakwakan.

Atas sebab itulah, konfrontasi terhadap mereka ini lebih ruwet kerana mereka enggan untuk mengikuti hujah ilmiah. Selagimana tidak ada nama ulama yang mereka redhai dalam pembentangan hujah kita, selagi itulah apa jua pendapat kita tidak diambil kira atau ditoleransi meski betapa konkritnya penghujahan ini. 

Bahkan, sikap kita dalam memilih pendapat yang berbeza daripada mereka dan mengkritik pandangan mereka dianggap telah celupar terhadap ulama, tidak hormat dengan kewibawaannya dan mencela pilihannya!

Perkara ini tidak sepertimana kita berhadapan dengan golongan sesat yang lain atau golongan bukan Muslim. Amatilah perbezaannya dan fahamilah mengapa kita adakalanya kita menajamkan kritikan kita terhadap sebahagian muslim!

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/680945070532362240/celoteh-peribadi-150-mengapa-banyak-mengkritik

Celoteh 151 : Bagaimana Komuniti Peminat Tokoh Ilmuwan Ahli Bait Dari Keluarga Al-Ġumāriyy Memuliakan Tokoh Ini?



Sepanjang saya mengikut rapat dengan murid kepada tokoh ilmuwan ahli bait dari keluarga al-Ġumāriyy dan mereka yang di komuniti peminatnya, saya tidak pernah nampak mereka membesar-besarkan dan menceritakan kisah yang mencarik adat dan kejadian yang aneh daripada mereka.

Sememangnya sebahagian dari ahli keluarga ini ada menceritakan pengalaman mereka yang itu dalam karya mereka, tetapi muridnya dan komuniti ini sama sekali tidak menggembar-gemburkan dan membesar-besarkannya seakan-akan ia adalah sesuatu yang signifikan untuk diperkenalkan dan disebarkan.

Komuniti ini sememangnya mengamalkan tidak mengambil peduli tentang kisah sebegini. Mereka tidak peduli kalau mereka tahu atau tidak tahu. Pada mereka, karya-karya peninggalan mereka dan sumbang bakti keilmuan tokoh dari keluarga ini adalah karamah yang berharga lagi dibanggakan serta disebut-sebutkan dengan penuh pengagungan.

Komuniti ini lebih suka bercerita tentang manhaj mereka, mengkaji pola pemikiran mereka, meneliti pendalilan mereka dalam perbahasan suatu permasalahan dan menjengah keilmuan mereka melalui khazanah yang mereka tinggalkan kepada kita semua, bukan mengejar, menggeledah dan mencari-cari kisah yang ajaib seperti ini.

Inilah keistimewaan yang saya secara peribadi berasa bangga dengan komuniti ini. Peninggalan dan manhaj keluarga al-Ġumāriyy adalah warisan dan tradisi keilmuan, seni berfikir serta semangat intelektualisme. 

Sesiapa yang menjulang tinggi keluarga ini sememangnya merasakan wajib dan bertanggungjawab untuk menyebarkan dan menghidupkan perjuangan pembaharuan dan kerancakan keilmuan yang berteraskan pengikutan dalil dan sunnah dengan menjadikan karya mereka sebagai inspirasi.

Kita sebagai komuniti peminat keluarga ini adalah penyambung kepada legasi keilmuan dan pemikiran, bukan ketaksuban dan fanatik yang hanya tahu memuja orang lain sahaja sepertimana sang fanatik yang memuja idola mereka seperti artis dan pemain sukan

Saya bukanlah mahu merendahkan atau memperkecilkan tokoh yang disebutkan ini. Akan tetapi, saya tidak suka melihat sikap sebahagian orang yang memuja tokoh ahli bait atau mana-mana ulama seperti ini. .

Tidak ada masalah berkongsi karamah yang ada pada seseorang tokoh ulama kerana banyak sahaja kitab biografi yang muktabar yang memuatkan cerita ini dalam selitan, tetapi kemuliaan mereka bukan semata-mata kerana itu dan bukan sebegini cara memuliakan mereka.

Jika seseorang lihat sendiri bagaimana komuniti peminat ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy ini memuliakan keluarga ini, pasti akan melihat perbezaan yang nyata jika dibandingkan orang fanatik seperti ini dan dia akan faham mengapa saya tidak suka cara sebegini dalam memuliakan para ulama.

Bahkan, sikap tidak suka memperbesarkan kisah karamah ini adalah sepertimana Muḥammad Tawfīq Romaḍōn al-Būṭiyy; anak kepada Muḥammad Sa*īd Romaḍōn al-Būṭiyy menceritakan tentang datuknya. Apabila dibacakan sebahagian karamah dari orang soleh, dia akan menyuruh untuk melangkaunya. Ini kerana kata Tawfīq bahawa kita tidak mengingkarinya, tetapi kita tidak melihatnya sebagai timbangan untuk menilai kedudukan seorang hamba di sisi Allah. [Rujuk : https://www.facebook.com/watch/?v=414716806725446].

Malah, Muḥammad Sa*īd Romaḍōn al-Būṭiyy berkata ketika berbicara tentang seseorang yang melihat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- secara jaga :

إن التاريخ لايعلم أن في العصور المفضلة الثلاثة، بل الأربعة، من ادعى هذه الرؤية.. فهي إما أنها لم تقع، أو إنها ربما وقعت لبعض منهم، ولكنه لم يزعمها لنفسه ولم يتحدث بها، لا في مجالسه الخاصة، ولا على الملأ وأمام عامة الناس، كما يفعل بعضهم اليوم. إذن فالذي يدعي أنه رأى، أو يرى رسول الله يقظة في زماننا هذا ينبغي أن يعزر لأنه كاذب. إذ لو رآه فعلاً بناء على الإمكان العقلي، لكان إذن من أصلح الصالحين ولحملته حاله المتميزة من الصلاح والفضل والتقوى والقرب من الله، على أن يصمت ولا يجلجل بهذا الأمر بين الناس، بل لا بدّ أن تحمله حاله تلك على أن لا يفتح فمه بهذا الخبر لأحد، وأن يزداد وجلاً وتواضعاً وخوفاً من الله عز وجل. ولماذا يحدث الشيخ مريديه بمثل هذه المزاعم أو الأخبار؟!. أمَا إنها لا تقنع مرتاباً بالحق، ولا تعرّف جاهلاً بالدين، ولا ترقق قلباً جللته القسوة، ولا تقرب فاسقاً إلى حظيرة التوبة والالتزام. أغلب الظن أنه لا يملك حصيلة من العلم واسعة بدين الله عز وجل يردّ بها غائلة الجاحدين ويروي بها غلّة الجاهلين، ويحبّب بها الإيمان بالله إلى القلوب، فهو يغطي جهالته هذه بما يتسنى له من دعوى الخوارق والكرامات وأعاجيب التحويلات. فلئن صح أن تكون هذه الدعاوى، أو حتى هذه العروض، من نوع العمل الإرشادي وجهود الدعوة إلى الله والتبصير بدين الله، فما أيسر أن تكون عروض السحرة وقرناء الجان، ومن تبعهم من الممخرقين وذوي المهارات اليدوية، مادة متميزة رائعة في عمل الدعوة الإسلامية والإرشاد الديني.

Sesungguhnya sejarah tidak diketahui bahawa pada fasa masa yang ketiga yang istimewa, bahkan yang keempat ada orang yang mendakwa penampakan ini. Maka, ia sama ada tidak berlaku atau sesungguhnya ia berkemungkinan terjadi pada sebahagian mereka, tetapi dia tidak mendakwanya untuk dirinya dan tidak berbicara tentangnya walaupun di majlis yang khas dan tidak pada pembesar atau di hadapan orang ramai secara umum sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian mereka pada hari ini. Dengan itu, yang mendakwa bahawa dia melihatnya atau melihat Rasulullah secara jaga pada zaman kita, ini sepatutnya diperingatkan kerana dia berdusta memandangkan kalau dia betul-betul melihatnya berasaskan kemungkinan secara aqli, kalau begitu pasti dia termasuk orang yang paling soleh dari kalangan orang soleh dan pasti halnya yang eksklusif dari segi kesolehan, kelebihan, takwa dan kedekatan kepada Allah membawanya. Sepatutnya dia berdiam dan tidak berbuat kecoh dengan perkara ini dalam kalangan orang ramai. Bahkan, tidak dapat tidak halnya itu membawa kepada tidak membuka mulutnya dengan khabar ini kepada seseorang dan ia menambahkan kegementaran, ketawadukan dan ketakutan terhadap Allah *Azza Wa Jalla.

Mengapa syeikh itu menceritakan kepada muridnya dengan semisal dakwaan atau khabar ini? Sama ada kerana ia tidak puas dengan kebenaran kerana kesangsian, ia tidak memperkenalkan orang yang jahil terhadap agama ini, ia tidak menyantuni jantungnya yang kekerasan menyelubunginya dan ia tidak mendekati kefasikan kepada kritikal taubat dan iltizam. Sangkaan yang paling dominan adalah bahawa dia tidak memiliki penghasilan jumlah ilmu yang luas terhadap agama Allah *Azza Wa Jalla yang pelampau para penentang menolaknya dan pelampau yang jahil meriwayatkannya serta dia menjadikan kecintaan iman kepada Allah dengannya pada jantungnya. Lantas, dia menutup kejahilannya terhadap ini dengan apa yang dia merasa puas terhadap dakwaan carikan adat, karamah, keajaiban dan transmogrifikasi. Jika validnya dakwaan ini atau sehingga presentasi ini dari jenis amalan berbimbingan, kesungguhan dakwah kepada Allah serta pencelikan terhadap agama Allah, maka betapa mudahnya presentasi para penyihir dan qarin jin serta orang yang mengikuti mereka dari kalangan pemukau dan orang yang memiliki kemahiran kraftangan menjadi material yang eksklusif lagi menarik perhatian dalam pengamalan dakwah dan bimbingan keagamaan. [Al-Ḥikam al-*Aṭō^iyyah : Šarḥ Wa Taḥlīl, jilid 1, m/s 297, keluaran Dār al-Fikr al-Mu*āṣir].

Ini menyatakan bahawa cerita karamah ini tidak perlu diperbesarkan kerana itu bukanlah kepentingan besar dalam tasawwuf. Apatah lagi jika penceritaan itu ada tujuan yang halus. Itu tentu lagi lebih tercela.

Seperti ini juga yang Aḥmad bin Ḥanbal memberi nasihat tentangnya. Al-Marwaḏiyy berkata :

وَعَنِ المَرُّوْذِيِّ، قَالَ: أَدْخلتُ إِبْرَاهِيْمَ الحُصْرِيَّ عَلَى أَبِي عَبْدِ اللهِ - وَكَانَ رَجُلاً صَالِحاً - فَقَالَ: إِنَّ أُمِّي رَأَتْ لَكَ مَنَاماً، هُوَ كَذَا وَكَذَا، وَذَكَرَتِ الجَنَّةَ. فَقَالَ: يَا أَخِي، إِنَّ سَهْلَ بنَ سَلاَمَةَ كَانَ النَّاسُ يُخْبرُونَه بِمِثلِ هَذَا، وَخَرَجَ إِلَى سَفكِ الدِّمَاءِ، وَقَالَ: الرُّؤيَا تَسُرُّ المُؤْمِنَ وَلاَ تَغُرُّهُ.

Aku membawa masuk Ibrōhīm al-Ḥaṣriyy bertemu Abū *Abdullah -dan dia adalah seorang yang soleh-. Dia berkata: "Sesungguhnya ibuku melihatmu dalam mimpi. Ia sebegini sebegini dan menyebutkan tentang syurga". Dia berkata: "Wahai saudaraku! Sesungguhnya orang ramai mengkhabarkan Sahl bin Salāmah dengan semisal ini dan dia keluar untuk menumpahkan darah". Dia berkata: "Mimpi untuk menggembirakan orang beriman, bukan memperdayakannya". [Siyar A*lām an-Nubalā^, karya aḏ-Ḏahabiyy, jilid 11, m/s 227, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut].

Karamah atau apa sahaja kelebihan yang ada bukanlah segala-galanya dan bukanlah justifikasi untuk segala perkara, khususnya untuk perkara yang melanggar syariat atau tipu daya yang halus daripadanya. Ia sama ada ujian yang diberikan Allah untuk kita atau sekadar untuk menggembirakan kita, bukan memperdayakan kita.

Perkara ini langsung tidak ada pada komuniti peminat keluarga al-Ġumāriyy. Komuniti ini sangat menitikberatkan apa yang terkandung di karya mereka, apa manfaat yang kita boleh timba daripadanya dan apa inspirasi yang boleh kita cedok dari paparan keilmuan mereka. Segala puji bagi Allah.

Kemudian, segala puji bagi Allah kerana telah membantu saya untuk menghasilkan beberapa penulisan tentang keluarga ini sama ada dalam satu tema yang khas atau sisipan dalam suatu perbahasan di pelbagai tempat. Saya berharap perkongsian saya tentang keluarga ini sedikit sebanyak mencetuskan inspirasi untuk mengenali keluarga ini, seterusnya ahli bait yang berkualiti secara umum dan memberi manfaat keilmuan yang berharga dari pandangan keluarga ini.

Ambilan : 
https://amirkazuma.tumblr.com/post/681088526018871296/celoteh-peribadi-151-bagaimana-komuniti-peminat

Celoteh 152 : Apakah Mungkin Saya Ini Salafi Dan Juga Sufi Kuburian?


Mungkin sebahagian orang mengelompokkan saya sebagai wahabi kerana saya banyak mengkritik ašᶜarian, menyinggung sebahagian apa yang ada pada sufi yang berupa kebejatan dan menghalakan serangan ke atas aswajaean secara umum. Akan tetapi, saya berpuas hati dengan buku «Penziarah Kubur Bukan Penyembah Kubur» karya Maᶜruf Khozin yang menjadi karya rebutan bagi aswajaean.

Malah, saya akan mencadangkan pembacaan buku ini bagi memahami beberapa isu yang menjadi pertikaian, khususnya terhadap sufi dalam permasalahan ziarah kubur dan membantah mereka yang bersikap keterlaluan terhadap permasalahan ini kerana kandungan buku ini sarat mengandungi nukilan daripada dan tentang para Sahabat -semoga Allah meredhai mereka- serta pengamalan atau penyebutan para ulama tentang ziarah kubur.

Bahkan, saya akan membela beberapa pandangan yang ada dalam buku ini. Malah, saya menyangka kuat bahawa kalau tokoh ahli bait dari keluarga al-Ġumāriyy kecuali Muẖāmmad az-Zamzamiyy dan peminat mereka mengetahui tentang buku ini, mereka akan berkongsi perasaan sepertimana saya kerana inilah pendapat yang mereka tuju.

Pendirian yang saya ambil ini sememangnya akan menggusarkan beberapa sahabat dan saudara saya dari kalangan salafi kerana saya tidak mengambil haluan arus perdana yang ditempuhi mereka meskipun saya berbeza dengan mereka dalam permasalahan sifat Allah dan beberapa pandangan fiqh pilihan mereka. Apapun, ini adalah pilihan saya yang saya yakin terhadap kebenarannya dan saya tidak peduli jika saya dicela sebagai kuburian dari pihak mereka.

Untuk pengetahuan bagi pihak salafi, Abū Mu*āḏ Musliṭ bin Bandar al-*Utaybiyy dan Abū *Abdullah *Ādil bin *Abdullah Āli Ḥamdān yang kedua-duanya adalah pentahqiq bagi kitab «Iṯbāt al-Ḥadd Lillah Wa Bi Annahu Qō*id Wa Jālis *Alā al-*Arš» karya Abū Maḥmūd Muḥammad ad-Daštiyy berkata ketika mempertikaikan aḏ-Ḏahabiyy dalam penolakannya terhadap penggunaan had kepada Allah :

وللأسف فإن كثيرا من المشتغلين بتدريس عقائد أهل السنة والتأليف فيها قد تابعوا الذهبي في هذه المسألة وغيرها من المسائل التي خالف فيها أهل السنة كمسألة الطعن في الأقران والمقام المحمود والصورة والتبرك بقبر النبي صلى الله عليه وسلم والتمسح به وشد الرحل إليه وغيرها من المسائل!

"Yang mendukacitakan adalah sesungguhnya kebanyakan orang yang sibuk dengan pengajaran akidah ahli sunnah dan pengarangan padanya telah seiring dengan aḏ-Ḏahabiyy dalam permasalahan ini dan selainnya dari permasalahan yang dia menyelisihi ahli sunnah padanya seperti permasalahan celaan terhadap persaingan, kedudukan yang terpuji, ₍aṣ-Ṣūroh₎, bertabarruk pada kubur Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, mengelusnya, tekad kembara kepadanya dan selainnya dari permasalahan itu".

Sememangnya dimaklumi bahawa aḏ-Ḏahabiyy menjadi rujukan dan ikutan salafi arus perdana dalam manhaj akidah serta sememangnya seorang yang bersikap keras terhadap ašᶜarian sepertimana yang disebutkan muridnya; Tājuddīn as-Subkiyy dalam «Ṭobaqōt aš-Šāfi*iyyah al-Kubrō». 

Buku Maᶜruf Khozin ini memaparkan sebahagian apa yang ada pada aḏ-Ḏahabiyy dalam isu kuburan yang dipertikaikan pentahqiq. Oleh itu, menentang ašᶜarian dan bertegas kepada manhaj salaf tidak semestinya akan berpihak kepada salafi yang arus perdana pada hari ini.

Ini juga seiras dengan Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam isu hentaman terhadap ašᶜarian, tetapi dalam masa yang sama, membela beberapa praktik dan tradisi kesufian yang mana salah satunya adalah isu yang berkaitan dengan kubur.

Sememangnya sebahagian orang akan tercengang kehairanan bagaimana seseorang yang mengkritik ašᶜarian, tetapi dalam masa yang menjadi sufi yang tegar lagi pekat seperti Aḥmad al-Ġumāriyy atau membela amalan yang sinonim dengan sufi walaupun hakikatnya bukan sedemikian seperti aḏ-Ḏahabiyy. Namun, bagi mereka yang mengenali keluarga al-Ġumāriyy, mereka tidak akan hairan dengan keunikan yang padanya.

Setelah mengenali manhaj keluarga ini yang berdiri di atas pembebasan daripada taklid, iltizam kepada dalil sekalipun menyalahi majoriti ulama, bahkan seluruh daripada mereka dan merancakkan tradisi keilmuan yang sarat dengan intelektualisme, mereka mudah untuk mengakui kepelbagaian pemikiran, manhaj dan corak keberagamaan yang pada setiap individu dari tokoh ilmuwan seperti aḏ-Ḏahabiyy, lebih-lebih yang menghala ke arus yang sama dengan keluarga ini.

Mereka yang mengikuti rapat dengan manhaj keluarga ini akan sentiasa mengutamakan ikutan kepada kebenaran tanpa mengira daripada pihak sufi atau mereka yang selalu digelar wahabi. Inilah yang selalu sahaja pihak pentaklid tidak akan faham seninya kerana set pemikiran mereka hanya satu garis lurus dan hanya melihat pada satu sudut sahaja. Bahkan, apa yang ada di fikiran hanyalah binari, iaitu kata mereka: "Sama ada kamu adalah wahabi atau di golongan kamu".

Orang sebegini tidak akan dapat menghargai keunikan yang ada pada setiap para ulama, apatah lagi setiap individu yang dilihat biasa-biasa sahaja atau sekadar di tahap ustaz. Orang sebegini juga tidak akan dapat menikmati karya ahli bait dari keluarga al-Ġumāriyy sepertimana yang sepatutnya, bahkan barangkali akan menjadi seteru yang besar kerana terdapat perbezaan yang mendasar antara mereka.

Kita lihat walaupun Aḥmad al-Ġumāriyy dalam «al-Burhān al-Jaliyy Fī Taḥqīq Intisāb aṣ-Ṣūfiyyah Ilā *Aliyy» mengutuk tajam terhadap Ibn Taymiyyah kerana isu ahli bait, namun dia menyetujui pandangan Ibn Taymiyyah dalam ketiadaan majaz dalam al-Quran, isu lafaz talak tiga kekal satu dan ketidakabadian neraka. Semua ini boleh dilihat dalam «Darr al-Ġomām ar-Roqīq Bi Rosāʾil aš-Šayẖ as-Sayyid Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq». 

Malah, dalam isu ketidakabadian neraka, dia juga memuji Ibn Taymiyyah memiliki keunggulan berbanding Taqiyuddīn as-Subkiyy dalam beberapa tingkat dan dalam isu ketiadaan majaz dalam al-Quran, dia juga memujinya sebagai mazhab yang bernilai lagi diterima!

Adiknya; Muḥammad az-Zamzamiyy dalam «az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh» dalam menyinggung abangnya; Aḥmad al-Ġumāriyy dalam isu pembinaan kubah di atas kubur, dia menyatakan rasa cukup terhadap karya Muḥammad al-Albāniyy yang membantahnya sekalipun dia ada mengarang karya yang menyelisihi al-Albāniyy dalam isu sifat Allah. Walaupun tidak disebutkan nama kitabnya, namun yang dimaksudkan adalah «Taḥḏīr as-Sājid Min Ittiẖōḏ al-Qubūr Masājid».

Sedemikian yang mereka tonjolkan dalam sikap adil mereka dalam memperakui kebenaran dari pihak yang berbeza dan bertegas untuk memilih pandangan yang bersalahan dengan kelompoknya jika itu yang nyata kebenarannya. Lantas, mengapa pula saya tidak boleh memanfaatkan karya dari organisasi yang saya berseteru dengannya apabila nyata kebenaran dari pihak mereka?

Apakah kerana kita bermusuhan dengan sesuatu aliran, maka kita perlu benci keseluruhan yang ada pada mereka? Ini tidak ubah dari otak binari dari pentaklid yang tegar dengan ketaksubannya dalam satu sisi atau beberapa dari sudut yang kecil sahaja daripadanya yang tidak mampu menghadam dan menanggung kepelbagaian.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/682068094246666240/celoteh-peribadi-152-apakah-mungkin-saya-ini

Celoteh 153 : Sumber Kritikan Saya Terhadap Ibn *Arobiyy

Kebanyakan kritikan yang saya tujukan kepada Ibn *Arobiyy secara khusus adalah berasaskan apa yang para ulama yang diangkat dan diterima oleh para sufi membangkitkan isu kontroversi tentangnya dan mencurahkan sengatan tajam terhadapnya, ia bukan dari dapatan pengamatan dan kajian yang saya sendiri mengeluarkannya melainkan sekadar menguatkan apa yang disebut mereka.

Antaranya adalah seperti apa yang *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menghunuskan kritikannya terhadapnya meskipun dia memanggilnya sebagai aš-Šayẖ al-Akbar seperti isu kematian Firaun dalam keadaan beriman dalam «Bida* at-Tafāsīr», isu bumi hakikat dalam «Rof* al-Iškāl *An Mas^alah al-Muḥāl» dan penolakan keabsahan kisah Sahl at-Tustariyy yang mengetahui kondisi anak muridnya sejak zaman arwah dalam «Awliyā^ Wa Karomāt».

Antaranya adalah penyebutan Ḥasan bin *Aliyy as-Saqqōf; tokoh ilmu kalam berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang mengutip pandangan Ibn *Arobiyy dalam menguatkan kritikannya terhadap ašᶜarian, sekaligus ia menimbulkan kaget mereka yang selama ini menyangka bahawa Ibn *Arobiyy termasuk dari ašᶜarian. [Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=2339409046096452&id=352929991411044].

Antaranya adalah kritikan *Abdul Fattāḥ Abū Ġudah terhadap Ibn *Arobiyy dalam penerimaan dan penolakan hadis berdasarkan kasyaf dalam komentarnya di «al-Maṣnū* Fī Ma*rifah al-Ḥadīṯ al-Mawḍū*» selepas membawa kenyataan al-*Ajlūniyy dalam «Kašf al-H̱ofā^ Wa Muzīl al-Iltibās *Ammā Ištaharo Min al-Aḥādīṯ *Alā Alsinah an-Nās» yang mengutip pandangan Ibn *Arobiyy dalam «al-Futūḥāt al-Makkiyyah» tentang hal itu.

Antaranya adalah sepertimana yang dibangkitkan oleh *Alā^uddīn Muḥammad al-Buẖōriyy dalam «Fāḍiḥah al-Mulḥidīn Wa Nāṣiḥah al-Muwaḥḥidīn» seperti isu kesatuan yang mutlak dan yang berkaitan dengan fahaman Waḥdah al-Wujūd, isu penerimaan kitab «al-Fuṣūṣ» melalui mimpi, isu penyembahan kaum Mūsā -*alayhissalām- terhadap pengambilan patung anak sapi sebagai tuhan adalah betul, tetapi tersalah dalam pengibadahannya kerana hanya mengkhususkan satu objek, bukan keseluruhannya dan pengubahan makna ₍al-*Aḏāb₎ (الْعَذَاب) kepada ₍al-*Uḏūbah₎ (الْعُذُوبَة) serta lain-lain.

Malah, sebahagian apa yang disebutkan *Alā^uddīn al-Buẖōriyy ini juga sesuatu yang disebutkan ulama lain ketika membicarakan kontroversi Ibn *Arobiyy dan ulama tersebut adalah yang golongan para pembela Ibn *Arobiyy menyanjungi dan bukan calang-calang orang serta yang meletakkan mereka dalam barisan ulama yang mereka terima.

Antara sebab utama saya melakukan sebegini adalah sekiranya saya mendedahkan apa yang saya menemukannya sendiri sepertimana yang saya lakukan terhadap Ibn Taymiyyah atau selain mereka dan ia pula tidak ditimbulkan oleh mana-mana para ulama yang dalam lingkungan penerimaan mereka, apa yang saya bentangkan sama ada ditolak mentah-mentah atau mereka memberikan alasan yang biasa seperti ia ditulis dalam keadaan mabuk rohani atau ia adalah sisipan palsu.

Maka, ia tidak ada manfaat langsung jika sebegini yang saya lakukan. Atas sebab itulah saya hanya menterhadkan perbincangan apa yang telah dibahaskan ulama yang diterima mereka dan membantu mereka untuk mengukuhkan lagi nilai yang mereka menyebutkan tentangnya jika diperlukan.

Sejujurnya, saya pada awalnya tidak mahu bertekak tentang Ibn *Arobiyy kerana saya tetap di atas prinsip bahawa tiada yang maksum selain Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Akan tetapi, apabila saya melihat kondisi yang kritikal pada mereka apabila berhadapan dengan isu Ibn *Arobiyy, akhirnya mahu atau tidak mahu, saya perlu ambil tahu serba sedikit dan menjadikan isu ini dalam mengetengahkan wacana yang sesuai untuk lapangan kesufian.

Yang mengecewakan adalah apabila saya mengutip pandangan daripada ulama, saya pula yang menjadi sasaran celaan dan melupakan nama ulama yang saya kutip daripadanya. Mereka mengumbar dendam terhadap saya tanpa mereka sedar bahawa mereka sebenarnya telah melontarkan kenistaan mereka terhadap para ulama yang diangkat mereka.

Malah, saya pula dituduh sebagai orang yang memusuhi wali Allah. Lantas, apakah yang mereka ingin mengatakan terhadap para ulama yang mengindikasikan kekafiran terhadapnya seperti Burhānuddīn al-Baqō*iyy, Nūruddīn al-Bakriyy aš-Šāfi*iyy, Tayiuddīn as-Subkiyy, Zaynuddīn al-*Irōqiyy, Abū Zur*ah al-*Irōqiyy, al-Mizziyy, Sirōjuddīn al-Bulqīniyy, Badruddīn Ibn Jamā*ah, Ibn H̱oldūn, Najmuddīn al-Bālisiyy, Abū Ḥayyān al-Andalusiyy dan Šamsuddīn Muḥammad bin Yūsuf al-Jazariyy aš-Šāfi*iyy?

Apakah mereka bukan wali Allah untuk para pembela ini membakulsampahkan dan enggan mengendahkan apa yang mereka telah fatwakan dan bentangkan penghujahan mereka? Siapakah yang memusuhi wali Allah sekarang ini? Para pembela ini tidak takutkah sikap penafian dan penghamburan celaan itu sedang menuju kepada para wali Allah secara tidak langsung?

Yang melucukan lagi adalah mereka mengatakan bahawa saya yang tidak memahami kalam Ibn *Arobiyy dalam permasalahan yang dipertikaikan, namun mereka melupakan nukilan ulama yang saya kutip untuk kritikannya dalam permasalahan itu. Mereka yang mendesak saya untuk mengikut para ulama, tetapi apabila saya menyetujui mereka dalam hal itu, saya dicemuh habis-habisan kerena saya tidak memihak pada mereka.

Mereka ini sebenarnya menyeru agar mengikut rentak mereka atas nama ikutan kepada ulama atau sebenar-benarnya mengikut ulama atas dasar semangat keilmuan yang sejati? Mengapa mereka perlu sasarkan celaan terhadap saya? Mengapa tidak bentangkan kritikan mereka terhadap apa yang telah dikritik para ulama yang saya menukilkannya? Jika mereka jahil, maka sepatutnya mereka senyap. Atau mereka lebih tahu dan lebih pandai daripada para ulama sehingga sanggup untuk menyatakan hujah yang berlawanan dengan ulama?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/682657402240319488/celoteh-peribadi-153-sumber-kritikan-saya

Celoteh 154 : Ragam Netizen Dan Sebab Kita Tidak Perlu Melayani Karenah Mereka

Nota : Penulisan ini adalah intisari daripada penulisan saya yang berjudul «Diari Diri : Apa Sebab Saya Tidak Merespons Sebahagian Pertanyaan Dan Pertikaian?».

Netizen ini tidak ubah seperti perusuh rawak yang mudah hanyut dalam sensasi panas dan dimainkan dengan sentimen. Apabila sesuatu isu dihangatkan dengan sentimen dan memprovokasi persepsi yang negatif atau kurang menyenangkan dari kalangan orang ramai, mereka ini pantas menyerbu seakan-akan haiwan buas yang kelaparan untuk meratah mangsa sasaran.

Kadangkala, sekumpulan pihak yang memiliki ramai pasukan pun letih melayan karenah mereka, apatah lagi jika berkeseorangan. Namun, bukan semua perlu dilayan kerana rata-ratanya adalah makian, cercaan, kutukan, celaan, sindiran, olok-olokan, fitnah dan lepas cakap.

Kita tidak perlu mengejar piala kemenangan di media sosial, apatah lagi di dunia ini. Kepuasan semua orang dan meraih kemenangan adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Yang mampu adalah sama ada meredakan keadaan atau sekadar ubah persepsi masyarakat.

Menang atau kalah yang hakiki adalah di akhirat kelak dan kita tidak perlu menghadapi pergelutan yang tidak berkesudahan sepertimana di dunia ini kerana Dia akan memutuskan hukuman yang saksama terhadap hamba-Nya dan tiada siapa yang mampu memanjangkan polemik ini secara sengaja di sana melainkan dengan izin-Nya.

Jika rata-rata netizen yang datang mengutuk, biarkanlah Allah mengadili mereka kelak. Jika mereka merasakan bahawa itu mendatangkan keredhaan Allah, biarkanlah dia. Kita sepatutnya fokus yang lebih bermakna dan lebih bermanfaat dari melayan seribu orang yang seribu personaliti.

Jika dua ratus orang netizen yang berpusu-pusu datang kepada saya untuk meminta penjelasan atau mengajak berbincang, mungkin sahaja hanya satu atau dua orang sahaja yang dari kalangan yang berpengetahuan lagi matang yang mana mereka berbaloi untuk diberikan penjelasan dan berbincang secara baik.

Orang yang bijak adalah melayani orang yang layak untuknya dan memperuntukkan masa yang berharga untuk orang yang sebetulnya, bukan dengan semua orang secara rambang dan sembarangan.

Namun, adakalanya sebahagian mereka yang datang kepada saya dengan menampilkan perwatakan yang cukup manis dan berperilaku penuh kesantunan, tetapi hakikat sebenarnya adalah mereka ini berhati serigala, kedegilannya lebih berbatu berbanding kelunakan luarannya dan kebenciannya lebih dahsyat daripada yang rata-ratanya datang dengan mengamburkan kutukan, makian dan celaan. Bahkan, kebodohan dan kedunguan mereka jauh lebih teruk berbanding netizen yang suka merusuh.

Saya sedaya upaya tidak tertipu dengan orang sebegini kerana melayani mereka ini sama sahaja membuang masa yang suntuk sepertimana netizen yang dangkal dan suka menerjah dan melagak satria pada orang sekeliling.

Masa kita sangat suntuk untuk diberikan ruang kepada mereka dan terlalu berharga untuk menyerahkannya kepada mereka yang tidak menghargainya sekalipun yang datang kepada kita adalah menampilkan akhlak yang mempesonakan dan adab yang mengujakan, tetapi akhirnya dia tidak ubah seperti netizen yang lain atau lebih buruk lagi.

Kadangkala, apabila kita tidak melayani netizen perusuh ini atau sang santun yang serong ini, mereka selalu sahaja mendesak di pelbagai tempat dan berulang kali: "Mengapa tidak menjawab persoalan saya?", "Mengapa tidak mengendahkan saya?", "Mengapa tidak respons penjelasan saya?" atau seumpamanya.

Padahal, mereka ini didapati atau menampilkan orang yang sekadar mahu untuk memperpanjangkan pergaduhan dan perseteruan demi meraih kesatriaan di samping temannya yang mengikut rapat atau mereka hanyalah ingin menantikan peluang dan mencari bahagian yang mereka boleh menjadikannya sebagai modal untuk mengutuk, mengejek dan mencerca.

Semakin dilayan, semakin menambahkan populariti orang yang tidak berhak untuk diperkenalkan kepada masyarakat melainkan kebodohan mereka dan semakin tidak berkesudahan tikam lidah sesama sendiri, lebih-lebih lagi jika ia adalah rata-rata netizen yang dungu.

Walau apapun, mereka pada akhirnya bukan termasuk yang berbaloi untuk dibincangkan secara baik. Lebih baik mengalah dalam pergelutan kebudak-budakan ini, lebih-lebih lagi yang sememangnya nyata bukan yang ada kematangan, berpengetahuan, rasional dan bersikap objektif. Biarlah kita dimalukan di media sosial atau di dunia yang sementara ini kerana tidak melayani majlis mereka.

Pun begitu, kita sememangnya patut memberikan penjelasan sebaik yang mungkin dan sedaya yang ada yang dapat mengisi bahagian lompong yang terselindung dari orang ramai yang meradang, memperbaiki bahagian yang mereka bengkok dan mencerahkan apa yang kabur pada pancaindera mereka. Kalaulah ada sedikit peluang untuk ini, maka rebutlah kesempatan ini.

Mereka mungkin tidak menerima penjelasan dan pandangan kita untuk berhari-hari, berbulan-bulan, bahkan bertahun-tahun lamanya memandangkan kita semua ada ego masing-masing dan jika tidak, kita juga memerlukan masa untuk membuat pertimbangan.

Akan tetapi, jika ia bermanfaat, sampaikanlah dan berdoa kepada Allah agar mudah-mudahan kebenaran terungkap pada diri kita dan orang sekeliling. Jika ia tidak diterima, maka biarlah Allah menguruskan selebihnya.

*Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dalam «an-Naqd al-Matīn Li Kitāb Fatḥ al-Ma*īn» menyifatkan kritikan *Aliyy bin Muḥammad bin Nāṣir al-Fuqoyhiyy terhadap kitabnya «Fatḥ al-Mu*īn Bi Naqd Kitāb al-Arba*īn» melalui kitab «al-Fatḥ al-Mubīn Fī ar-Rodd *Alā Naqd *Abdillah al-Ġumāriyy Li Kitāb al-Arbā*in» sebagai kekanak-kanakan ilmiah.

Kalau boleh, *Abdullah al-Ġumāriyy tidak perlu melayan dan memperpanjangkan polemik ini dengan berbalas-balas buku untuk saling berbantah. Akan tetapi, setelah mendapat permintaan yang mendesak dari sebahagian muridnya dan rakannya, maka dia pun menghasilkan kitab «an-Naqd al-Matīn» dalam meresponsnya.

Dari sini, kita pelajari beberapa perkara. Pertama, adakalanya kita tidak perlu melayan mereka yang sememangnya tidak layak dilayan sekalipun mereka terkenal dan berpengaruh di mata masyarakat kerana mereka bukan berada di posisi yang sesuai untuk diberikan layanan yang seberhaknya. Mereka yang kekanak-kanakan ilmiah pun tidak perlu diperuntukkan masa yang mahal untuknya, apatah lagi netizen yang bengis, tolol dan hanya tahu memberontak.

Kedua, mungkin ada yang akan menyindir *Abdullah al-Ġumāriyy sebagai bacul dan pengecut kerana tidak mahu menjawab balas kritikannya terhadapnya dan hanya merespons setelah didesak. Dia mungkin sahaja akan dipersoalkan oleh sebahagian seterunya secara berkali-kali dengan kata-kata: "Mengapa tidak menjawab balas?", "Mengapa tidak merespons kritikan?", "Mengapa berdiam diri?" dan pelbagai lagi.

Akan tetapi, jika dipertimbangkan bahawa kepuasan semua orang tidak mungkin dicapai dan kemenangan di dunia adalah sukar diraih melainkan bersusah payah atau polemik tidak mudah terhenti, maka adakalanya kita perlu mengalah, tarik diri dan membiarkan sahaja apa yang orang ingin mengatakan tentang kita. Biarkan sahaja para pembaca dan para peneliti menilainya dalam perbalahan antara dia dengan al-Fuqoyhiyy, seterusnya pihak yang lain yang saling bertelagah.

Ketiga, jika masih ada ruang untuk menyampaikan kebenaran dan menjelaskan kekeliruan serta ia ada manfaat berbanding berdiam diri, maka gunakanlah ruang itu. Walaupun «an-Naqd al-Matīn» adalah kitab yang belum sempat disempurnakan pada hayatnya, namun sekurang-kurangnya adanya usaha dan tekad walaupun sedikit yang berjaya disampaikan dan direalisasikan.

Ia mungkin boleh menjadi khabar gembira kepada teman agar membuktikan sedikit sebanyak bahawa kita mempunyai jawapan yang mapan untuk kemusykilan yang ditimbulkan atau ia setidak-tidaknya ia menjadi kegerunan kepada lawan bahawa kita mampu berhadapan dengan mereka walaupun dengan satu percikan dan mengajak mereka untuk sama-sama memerhatikan hujah serta amati pendirian kita.

Walau satu perenggan dalam hantaran di media sosial pun sebagai sekadar mencuri masa untuk melayan karenah netizen, jika ia ada sedikit harapan untuk mencetuskan impak yang positif, maka lakukanlah. Kemudian, abaikan mereka yang memberontak, berdegil, mengeksploit, mengambil kesempatan untuk menjayakan tipu dayanya dan mencari peluang demi kejelekan yang bersalut indah.

Cuma akhirnya, bukan semua waktu dan keadaan kita perlu melayani netizen kerana kebanyakan mereka hanya tahu merusuh dan bukannya termasuk yang berbaloi untuk berbincang. Pengalaman telah mengajarkan kita dan apa yang dilalui menambahkan kita mengenal lebih banyak wajah netizen yang beragam.

Saya menasihati ini bukan kerana saya lebih banyak berpengalaman dalam mendepani netizen atau dari kalangan yang terbaik. Ada orang mungkin sahaja telah melalui lebih banyak daripada saya.

Cuma, bagi yang tidak ada gambaran tentangnya dan tidak pernah melaluinya, saya berharap agar nasihat dari saya yang kerdil ini mengisi bekalan untuk situasi suatu hari nanti jika Allah berkehendak untuk berlaku dan kita memohon agar terlindung dari kejahatan para manusia sekeliling.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/683971813025431552/celoteh-peribadi-154-ragam-netizen-dan-sebab

Celoteh 155 : Rasa Malu Melihat Penulisan Yang Lama

Ḥamzah *Abdullah al-Malībāriyy sepertimana yang diceritakan dalam «al-Mu*jam al-Jāmi* Fī Tarōjim al-*Ulamā^ Wa Ṭolabah al-*Ilm al-Mu*āṣirīn» karya anggota Multaqō^ Ahl al-Ḥadīṯ bahawa dia merasa malu untuk membaca tesis masternya di universiti al-Azhar yang mengandungi takhrij 300 hadis *Abdullah bin *Umar dalam «Musnad Aḥmad» kerana perlaksanannya adalah bercorakkan tesis yang telah lengkap pendahuluannya dalam bahagian hadis dari pengkaji dahulu dan kebanyakannya adalah penilaian yang dia bertaklid dengan Aḥmad Muḥammad Šākir disebabkan kurang penguasaan dalam ilmu hadis pada masa itu.

Apa yang berlaku pada al-Malībāriyy juga adalah pada *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan yang berketurunan -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Dia dalam «Sabīl at-Tawfīq Fī Tarjamah *Abdillah Ibn aṣ-Ṣiddīq» menyatakan bahawa dia tidak redha terhadap kitabnya sendiri «al-Kanz aṯ-Ṯamīn Fī Aḥādīṯ an-Nabiyy al-Amīn» kerana kitab ini ditulis dalam penjara dan terhad rujukannya untuk penyemakan sehingga terkandungnya hadis-hadis dhaif di dalamnya.

Adiknya; Muḥammad az-Zamzamiyy dalam «az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh» juga menyatakan bahawa dia menarik balik dari beberapa permasalahan dalam «al-Intiṣōr Li Ṭorīq aṣ-Ṣūfiyyah al-Aẖyār» kerana didapati ia menyalahi sunnah dan dalil. Bahkan, kitab yang terbaru ini juga menentang beberapa amalan yang terdapat dalam kitab lama yang diamalkan oleh sebahagian sufi yang jahil.

Sebegitu juga dengan *Abdullah bin *Abdul Qōdir at-Talīdiyy; tokoh ilmuwan ahli bait yang dia menyatakan bahawa dia tidak redha dengan beberapa penulisan lamanya sepertimana yang dia menyebutkannya dalam «Ḏikriyāt Min Ḥayātī» kerana perubahan pandangannya.

Saya juga berperasaan yang sama, iaitu malu dan tidak redha terhadap penulisan yang lama apabila dibentangkan kepada saya. Ini kerana saya mendapati saya tidak ubah seperti budak mentah yang merasa pandai. Setiap kali saya membacanya, saya akan mengetawakannya kerana ketidakmatangannya dan memarahinya kerana kebodohannya.

Mungkin sekali orang akan melihat bahawa ia kelihatan bernas, mantap, rasional dan jitu. Namun, saya pada hari ini pula melihat sebaliknya. Sepertimana mereka tidak menyedari kelompongan yang ada padanya, maka saya dahulu pun tidak menyedarinya. Pada masa itu, saya seakan-akan tidak tercabar dan tidak mampu digugat. Namun, pencaturan Allah mengatasi segala-galanya. Saya sendiri menyaksikan sendiri kesalahan yang kaprah dan ketempangan yang memalukan diri saya sendiri.

Walaupun ia adalah pengalaman yang pahit untuk saya sehingga saya tidak tergamak untuk menjengah penulisan lama saya, tetapi saya menjadikannya ia sebagai salah satu fasa dalam hidup saya sebagai penuntut ilmu dan penerokaan pencarian kebenaran. Pada masa itu, saya merasakan bahawa saya telah mantap dan ulet, tetapi selaras dengan perkembangan usia bersama penambahan ilmu dan kefahaman, ia memperlihatkan kepada saya yang sebaliknya.

Saya juga tidak mendakwa bahawa saya yang sekarang ini akan sama pada hari kemudian. Mungkin sekali saya yang pada masa akan datang akan melihat yang berbeza. Allah jualah yang membolak-balikkan jantung hamba-Nya dan segala ketentuan adalah di tangan-Nya. Jika tidak mustahil apa yang berlaku pada saya pada masa lalu boleh berubah sehingga saya yang sekarang, boleh jadi untuk pada masa akan datang jua.

Akan tetapi, saya menganggapnya ia sebagai pengalaman yang mengembangkan fikiran saya dan proses pematangan saya. Bagi yang telah mengenali saya dan mengikut rapat bersama saya, maka dia tahu apa yang menjadi prinsip apabila diperlihatkan perubahan bagi seseorang manusia.

Kalaulah saya akhirnya melencong kepada yang salah dan lebih teruk daripada dahulu -semoga Allah melindungi saya dan kita semua daripada ini-, maka di situlah dia berpisah dan perlu menyuarakan kebenaran serta mengutamakannya lebih daripada orang lain. Jika saya masih setia di atas kebenaran dan pertambahan dalam kebaikan, maka saya berharap itu adalah rahmat daripada-Nya dan semua Dia mencururi saya dan kita semua di atas jalan yang bahagia di dunia dan di akhirat.

Maka, sesiapa yang membaca penulisan saya selain di Wattpad atau laman-laman rasmi yang saya mengiktirafnya, ketahuilah bahawa ia telah ditarik balik dan saya tidak meredhainya. Oleh itu, saya tidak memperkenankan pembacaannya dan saya berharap tiada siapa lagi yang mengungkitnya setelah mengetahui yang ini, apatah lagi menjadikan penulisan lama saya sebagai bahan sergapan untuk diri saya.

Untuk pengetahuan, «al-Kanz aṯ-Ṯamīn Fī Aḥāḏīṯ an-Nabiyy al-Amīn» karya *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dikritik teruk oleh al-Albāniyy dalam «Silsilah al-Aḥādīṯ aḍ-Ḍo*īfah Wa al-Mawḍū*ah Wa Aṯaruhā as-Sayyi^ Fī al-Ummah». Padahal, sudah dimaklumkan pendirian *Abdullah al-Ġumāriyy terhadap kitabnya itu. Berkemungkinan al-Albāniyy mengkritiknya dalam tidak tahu pendiriannya.

Atas sebab itulah saya memberitahu awal-awal lagi tentang pendirian saya pada penulisan saya yang lama agar tidak berlaku sebegini dan tidak berlaku juga yang sama menakutkannya dengannya adalah mereka yang mengambil pandangan saya berasaskan penulisan saya yang lama.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/684623352305975296/celoteh-peribadi-155-rasa-malu-melihat-penulisan

Celoteh 156 : Bahasa Arab Itu Sukar?

Bahasa Arab itu sukar? Kalau mahu bertanya tentang fakta, memang bahasa Arab termasuk bahasa yang susah sepertimana yang dilaporkan oleh World Economic Forum pada 25 Julai 2018 yang ia kutip kesimpulannya daripada kajian Effectice Language Learning. Ia terletak dalam kategori kelima dan ini merupakan kategori yang tertinggi pada tahap kesukaran.

Bahasa lain yang termasuk dalam kategori ini ialah bahasa Cina, Korea dan Jepun. Itu pun penilaian aras kesukaran itu adalah didasari dengan sejauh mana kehampiran persamaan dengan bahasa Inggeris. Justeru, jika penutur yang bukan dari Inggeris, tentu sahaja ia berbeza.

Kalau ditanya pendapat saya secara peribadi, saya pun tidak tahu untuk menafikannya atau mengiyakannya. Sebabnya adlaah awal-awal yang saya belajar dahulu adalah melalui kaedah pembelajaran yang sukar untuk saya adaptasi dengannya. Sehinggakan saya melalui fasa kebingungan dan kekeliruan.

Saya dapat maju ke hadapan pada hari ini setelah saya mengharungi suatu kaedah pembelajaran lain yang sangat unik daripada saya belajar pada mula-mula dahulu sehingga saya lebih mudah untuk fahami simpang-siur dan selok-belok tatabahasa yang membolehkan saya sampai ke destinasi ke mana sahaja yang saya ingin pergi dengan izin Allah.

Saya tidak tahu kalau suatu hari saya kembali tidak tahu apa-apa, kemudian saya mempelajari kembali dengan kaedah itu, mungkin masa itu saya dapat tetapkan sama ada bahasa Arab itu sendiri yang sukar atau kaedah pembelajaran itu yang sebenarnya memainkan faktor yang dominan.

Sebab utama saya tidak dapat mengatakan bahawa kaedah pembelajaran itu merupakan faktor yang dominan adalah kerana sebelum saya meruntuni kaedah yang baru saya telah memiliki asas, sudah pandai merujuk kamus dalam mencari akar kata dan memahami ibarat-ibarat dalam teks Arab, tetapi yang banyak membingungkan saya adalah mengaplikasikan kemahiran tatabahasa secara optimum.

Walaupun kaedah tersebut membawa saya kepada dunia yang baharu sehingga saya dapat iᶜrab dan membariskan kitab berpandukan kaedah tatabahasa yang betul, tetapi saya tidak dapat simpulkan bahawa kaedah sememangnya faktor yang dominan, bukan bahasa itu sendiri yang sememangnya sukar untuk dipelajari dan dicerna.

Saya berharap agar ada eksperimen untuk perkara ini supaya jawapan bagi persoalan ini dapat diusulkan dengan tuntas, iaitu sama ada kaedah memainkan peranan penting secara signifkan ataupun tidak.

Kalau ditanya apa cabaran saya pada masa sekarang ini, maka cabarannya ialah memperoleh sebanyak mungkin kosa kata dan mampu berinteraksi dengan lenggok dan pengolahan bahasa yang berbeza pada bidang yang berbeza.

Isu kosa kata mungkin tidak ada masalah sangat berbanding dengan beradaptasi dengan kepelbagaian pengoalahan bahasa dalam pelbagai bidang. Maksud saya pada pengolahan dan lenggok bahasa adalah bagaimana perkataan dan kalimah itu digunakan dan disusun supaya menjadi satu ayat ketika menerangkan sesuatu.

Misalnya seperti seseorang ingin menggambarkan kecantikan bunga. Ada pelbagai ungkapan yang masing-masing menyampaikan satu maksud yang sama. Ayat biasa seperti: "Bunga itu cantik", ayat komunikasi seperti: "Cantik betul bunga itu" dan lain-lain bidang atau lapangan mungkin akan lebih beraneka seperti: "Kecantikan ada pada bunga itu", "Bunga itu memiliki kecantikan" dan lain-lain.

Ini contoh yang mudah, tetapi realitinya, ada yang sangat mencabar dan payah. Walaupun masing-masing ingin menyatakan kecantikan bunga itu, tetapi apabila apabila masuk ke dalam medan tertentu, ayat pengolahan boleh menjadi bermaca-macam bentuk

Kadangkala lenggok bahasa dalam kitab tidak sama dengan cara pengoalahan dan lenggok dalam akhbar. Kadangkala terdapat perbezaan cara itu dalam kitab klasik dengan kitab moden. Juga tidak sama dalam penulisan formal dan biasa berbanding dengan karya sastera. Dan seterusnya.

Isu tatabahasa tidaklah begitu dipermasalahkan untuk keadaan saya yang sekarang melainkan hal-hal yang melibatkan lebih dalam. Akan tetapi, itu pun kadangkala tidak banyak atau tidak ada aplikasinya kalau hal tersebut dipelajari.

Saya boleh membariskan kitab tanpa berkempompongan dengan izin Allah, tetapi kadangkala apabila berhadapan dengan cabaran ini, kemahiran tatabahasa tidak dapat berfungsi dengan baik sekalipun bekalannya telah cukup. Walaupun yang diperselisihkan kadangkala sekadar ₍Fā*il₎ dan ₍Maf*ūl bih₎, ia boleh memberi kesan pada makna dan kefahaman secara signifikan.

Sebab itu jika ditanya sama ada bahasa Arab itu sukar ataupun tidak, ia juga perlu dilihat konteks dan aspek yang mana satu yang dimusykilkan. Kalau dari segi tatabahasa, saya tidak nafikan ada beratus-ratus peraturan tatabahasa yang tersedia untuk pelajar menghadamkannya. Senang atau tidak untuk seseorang mahir dan menguasainya, itu berbalik kepada kaedah pembelajaran dan individu itu sendiri.

Namun, kalau aspek penggayaan bahasa, itu pun berlaku dalam mana-mana bahasa. Interaksi bahasa dalam undang-undang dalam bahasa selain Arab pun bukan sama dengan apa yang dipersembahkan dalam sastera. Ini perkara yang memang tidak dinafikan lagi dan diketahui secara umum.

Aspek yang lain adalah pada kemahiran komunikasi sama ada penulisan atau pertuturan. Kemahiran ini pun mendatang setelah ada kosa kata yang mencukupi dan telah terbiasa dengan pengungkapan kata-kata sama ada pada pembacaan atau pendengaran sehingga ia boleh meniru atau menggubahnya, lalu membawanya kepada realiti.

Ada satu lagi aspek yang lain, iaitu bahagian isytiqaq atau ilmu derivasi yang merupakan ilmu tentang pembentukan kata yang meneroka dasarnya, penggunaannya dan kesesuaiannya. Misalnya ialah apa kata dasar bagi ₍Ašyā^₎ (أَشْيَاء) yang merupakan jamak kepada ₍Šay^₎ (شَيْء) sehingga ia termasuk dalam ₍al-Mamnū* Min aṣ-Ṣorf₎ yang tidak sepertimana perkataan lain di atas paten yang sama seperti ₍Asmā^₎ (أَسْمَاء) dan ₍A*dā^'₎ (أَعْدَاء)? Apakah perbezaan ₍*Alāqoh₎ (عَلَاقَة), ₍Iṭṭilā*₎ (اطِّلَاع), ₍Daroyān₎ (دَرَيَان) dan ₍Šu*ūr₎ (شعُوُر) walaupun kesemuanya boleh bermakna ₍*Ilm₎ (علم)?

Ilmu ini memang penting lebih-lebih lagi jika seseorang itu ingin menjadi ahli tafsir atau terlibat dalam hal ehwal komunikasi supaya makna yang seakan-akan serupa ini tidak bertukar-tukar dan tidak menimbulkan pertembungan konflik dalam menyampaikan maklumat dan menerangkan hakikat.

Namun, perlu diingatkan bahawa mahirnya seseorang dalam tatabahasa Arab belum tentu akan mahir dalam ilmu ini. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu jika persoalan ini diajukan kepada orang yang hanya dalam lapangan kaedah tatabahasa, belum tentu mereka mampu selesaikan persoalan ini melainkan mereka juga perlu menyelam pada perkara ini.

Walaupun begitu, ilmu ini menghasilkan seseorang itu teliti dalam pengungkapan kata dan penafsiran bahasa yang digunakan dalam sesuatu teks agama. Tidak dinafikan bahawa ini juga merupakan keperluan, tetapi penerokaan yang mendalam sehingga sepertimana tahqiqnya ahli bahasa kadangkala bukan menjadi tuntutan melainkan mereka yang memang mendambakannya.

Ini kerana kadangkala pendasaran kata itu tidak muktamad dan diperselisihkan. Kadangkala telah dinyatakan kesimpulannya, terutamanya dalam kamus atau di awal-awal perbahasan atau kitab dalam menerangkan sesuatu istilah dari sudut bahasa sehingga pelajar tidak didesak untuk menggali pendasarannya lagi.

Kalau tahu pun, kadangkala tidak begitu berpengaruh dalam aplikasi walaupun menarik untuk diketahui. Misalnya, kalau kita tahu pembentukan ₍al-A*ṣō^₎ (الأَعْصَاء) yang merupakan jamak kepada ₍al-*Asō₎ (الْعَصَا) itu diingkari oleh Sibawayh, apa yang boleh menjadi pengaruh dalam aplikasi jika hal itu tidak diingkari oleh ahli bahasa yang lain? Pencapaian ini tidak dimiliki secara sama bagi setiap penuntut bahasa Arab.

Maka, dengan sebab itulah jalan kemahiran dalam penuntut bahasa berbeza-beza, tetapi yang paling asas adalah memahami kaedah tatabahasa dan pengkayaan kepada kosa kata. Kemudian, masalah yang seterusnya adalah perkara yang mendatang dan hal itu akan bergantung kepada ke mana hala tuju pembelajaran pelajar, bukan teras utama yang dikongsi bersama.

Justeru, sukar ataupun tidak, saya tidak dapat berikan jawapan yang putus. Akan tetapi, yang penting adalah berterusan dalam belajar. Kadangkala pemahaman bukan datang dengan sekali penelitian atau sekali kelas.

Usah berputus asa jika tersangkut pada perkara yang kita sangat minat terhadapnya. Jika haiwan ternakan diajar beberapa kali boleh memahami tunjuk ajar pengembalanya, tidak mungkin manusia yang diajar berkali-kali akan bertambah dungunya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/685043064067293184/celoteh-peribadi-156-bahasa-arab-itu-sukar

Celoteh 157 : Bahagian Apa Yang Saya Begitu Berang Dengan Aliran Ašᶜarian?



Karya «Ḏamm al-Ašā*iroh Wa al-Mutakallimīn Wa al-Falāsifah» susunan Ṣōdiq bin Salīm bin Ṣōdiq mengumpulkan kalam Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang sufi yang mencela dan menyergah aliran ašᶜarian bertalu-talu dari pelbagai karya.

Para pembaca mampu merasakan kemarahan yang membakar membara sepanjang coretan penanya dan setiap patah ungkapannya dalam menyinggung aliran ini. Bahasanya sangat tajam dan celotehnya sebahagiannya panjang mengisi celaan habis-habisan terhadap aliran ini. Saya sendiri dapat merasakan bahang amukannya kerana saya tahu bagaimana hakikat aliran ini dan saya telah mendedahkannya dalam pelbagai tempat penulisan.

Saya kalau dapat menyifatkan ašᶜarian dengan penyifatan yang kasar, saya akan katakan aliran ini yang dalam pemahaman manhaj salaf, mereka ini adalah aliran syok sendiri dengan delusi sendiri dan tidak sedar di mana bumi yang dia berpijak.

Gambaran mereka tentang manhaj salaf menampakkan mereka ini seolah-olah tidak pernah menelaah karya salaf yang menentang jahmian, tidak pernah mengambil berat, malah buat-buat tidak tahu. Mereka kononnya mengangkat salaf, tetapi hakikatnya mereka menyelisihinya dan menentangnya.

Mereka dakwa salaf tidak pernah memahami naṣ-naṣ sifat Allah yang mutasyabihat dengan makna zahir. Padahal perkataan ₍Istawā *Alā₎ (اسْتَوَى عَلَى) difahami dengan makna zahirnya, iaitu ₍*Alā₎ (عَلَا), iaitu berada di atas sepertimana yang dinyatakan Mujāhid dalam riwayat al-Buẖōriyy secara taᶜliq dalam «Ṣoḥīḥ» miliknya. Dari pemaknaan inilah para salaf mengisbatkan sifat ₍al-*Uluww₎ bagi Allah *Azza Wa Jalla. Ini juga membatalkan dakwaan mereka yang salaf ini adalah mengamalkan tafwid.

Lihat sebahagian yang sudah di kemuncak delusi apabila kita mengemukakan pandangan salaf. Contohnya, pandangan daripada Ibn *Abdul Barr dalam permasalahan ini. Ada yang sampai menuduhnya sebagai orang yang bercelaru dalam akidah. Tuduhan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy sebagai mujassim sudah pun tersebar meluas.

Malah, ada yang sampai menuduh *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal sebagai pendusta dan meragukan penisbahannya kitab «as-Sunnah» adalah miliknya. Begitu juga ada yang menuduh Abū Bakr al-H̱ollāl sebagai mujassim.

Mereka melakukan tuduhan sebegini kerana tidak dapat menerima hakikat yang mereka ini sebenarnya telah menyanggahi salaf. Ya. Tuduhan ini biasanya datang daripada mereka yang ekstrim. Namun, yang tidak ekstrim bagaimana pula? Mereka tidak menuduh, tetapi pandangan para salaf sudah cukup memedihkan jiwa mereka. Setiap coretan menyebabkan mereka gelisah dan gelabah kerana ia menjadi pedang yang menghunus terhadap mereka.

Mereka akan memilih senyap dan buat-buat tidak tahu pada akhirnya demi mempertahankan kelangsungan delusi yang mereka telah ketagih candunya. Mereka terus berusaha bersungguh-sungguh untuk meluaskan pengaruh supaya orang ramai tidak menyedari dan tidak cakna dengan kitab tersebut. Mereka juga tidak ada masalah jikalau kitab itu pupus di telan zaman dan orang ramai meninggalkan pembacaannya. Apabila karya yang menentangnya tidak lagi wujud, ia sudah ada alasan untuk mengukuhkan kedudukannya.

Mereka menuduh mujassim dan menyindir sebagai ḥašywiah terhadap orang yang mengisbatkan suara bagi kalam Allah. Padahal, itu adalah pandangan yang dipilih Aḥmad bin Ḥanbal dari nukilan anaknya, *Abdullah dalam «as-Sunnah» dan al-Buẖōriyy dalam «H̱olq Af*āl al-*Ibād.» Tidak tahu? Tersentak? Itulah reaksi kebanyakan aliran ini yang telah lama terpuruk dalam delusinya.

Ada juga yang mencela aliran ḥanbaliandengan menyifatkannya sebagai bidaah kerana berpandangan seperti ini. Bayangkan kalau kita menyifatkan yang sama sepertimana mereka lakukan kerana menyelisihi para imam salaf. Itu sudah cukup membuatkan kekecohan daripada mulut mereka yang meraung-raung kerana tidak dapat menerima hakikat.

Abū Muḥammad Maḥmud bin Abū al-Qōsim ad-Daštiyy dalam «Iṯbāt al-Ḥadd Li Allah Wa Bi Annahu Qō*id Wa Jālis *Alā al-*Arš» membawa syair daripada Muḥammad bin *Abdul Wāḥid ad-Daqqōq yang menyifat aliran ini adalah saudara penyembah al-*Uzza dan al-Lāt pun sudah cukup membuatkan mereka naik angin.

Tuduhan mereka terhadap Aḥmad bin Ḥanbal dan al-Buẖōriyy sebagai mujassim secara tidak langsung kerana mengisbatkan suara bagi kalam Allah bagaimana? Tuduhan mereka terhadap ad-Dārimiyy, *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal, Abū Bakr al-H̱ollāl dan Ibn *Abdul Barr bagaimana? Diam seribu bahasa.

Saya dahulu adalah ašᶜarian dalam isu gambaran manhaj salaf. Namun, setelah saya megamati karya-karya salaf, nyatalah pada saya yang selama ini saya dalam ignoran dan salah faham. Semoga Allah mengampunkan saya atas kebodohan saya. Dan saya bersyukur kepada-Nya dengan setinggi-tinggi kesyukuran kerana mengeluarkan saya daripada omongan yang tidak berpijak realiti.

Saya tidak bersendirian dalam hal ini. Malah, sebahagian orang juga mengalami perubahan tanggapan setelah membaca karya-karya salaf. Sebab itulah saya telah banyak kali di banyak tempat untuk mengingatkan orang ramai supaya menelaah karya salaf, khususnya yang memiliki tema dalam penentangan terhadap Jahmiyyah.

Setiap kali saya ajak mereka untuk membaca karya-karya salaf, mereka mencuka muka dan zahir di wajah mereka rasa ketidaksenangan. Sebab mereka tahu yang mereka perlu menelan kepahitan yang membunuh delusi mereka.

Dengan amalan bermazhab, sangat bersungguh lagi menegaskan agar merujuk kitab muktamad mazhab. Kitab «al-Fiqh al-Manhajiyy» itu kalau mereka rasa mereka boleh buang dan menghapuskannya, pasti mereka lakukannya kerana ia adalah karya yang bukan rujukan muktamad. Apatah lagi kitab «al-Mawsū*ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah», itu adalah martabat yang rendah menurut mereka. Kutipan daripada kitab tersebut dicampak tanpa perlu rasa bersalah dan rasa untuk menyelidik pun.

Apabila dalam memahami manhaj salaf, karya-karya yang terkebelakangan pula dijadikan hakim dan neraca. Sang rendahan dalam ilmu pun akui yang karya salaf perlu dijadikan pedoman dalam mendeskripkan manhaj mereka. Namun, mereka ini lebih teruk dari sang rendahan ini. Malah, lebih teruk dari penyifatan tolol dan dungu kerana sudah lama bergenang dalam delusi.

Mana-mana kritikan yang menyalahinya, bersepah kad falasi ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ ditaburkan untuk menunjukkan kita ini adalah orang yang setahun jagung melawan ulama besar, menyifatkan kita dengan sifat rendah lagi nista, menyahkreditkan pendapat kita dan terus mengeraskan kepala batunya.

Kami tidak hormat ulama? Mereka menuduh secara langsung terhadap Aḥmad bin Ḥanbal dan al-Buẖōriyy sebagai mujassim kerana mengisbatkan suara bagi kalam Allah adalah penghormatan? Kalian mengotorkan nama terhadap beberapa tokoh salaf seperti Abū Sa*īd ad-Dārimiyy, Abū Bakr al-H̱ollāl, *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal dan Ibn *Abdul Barr itu adalah cara mereka memuliakan para sarjana? Ambil makna zahir dituduh melakukan tajsim, sedangkan itu adalah cara salaf dan itu dikira menyanjungi kedudukan tokoh salaf?

Setiap kali kitab «H̱olq Af*āl al-*Ibād» dibentangkan, cepat-cepat mereka ingin menghalangnya, menyeret-nyeret alasan untuk tidak mengkajinya dan merendahkan kita yang kononnya kita tidak sepandai pengarang untuk memahami karya tersebut. Itu semua alasan-alasan basi lagi sampah untuk menyembunyikan delusi mereka.

Kalau saya menukilkan daripada kalam Abū Sa*īd ad-Dārimiyy, tanpa ragu lagi mereka mengenpikannya kerana dituduh mujassim. Walhal, tuduhan itu tidak pernah datang daripada mana-mana pendahulu mereka walaupun ašᶜarian setelah 1000 tahun kewafatannya.

Lihatlah sendiri siapa sebenarnya yang tidak ada akhlak terhadap metodologi ilmu. Bacalah karya-karya salaf dan bandingkanlah sendiri yang siapa sebenarnya delusi. Dengannya, saya harap kalian tahu mengapa Aḥmad al-Ġumāriyy sangat persisten dalam menghentak aliran ini dan mengapa saya menzahirkan kelancangan saya terhadap mereka.

Kebanyakan mereka yang mencela Aḥmad al-Ġumāriyy, para salafi secara umum dan juga saya sendiri adalah mereka yang tidak pernah menghadam karya-karya salaf. Saya berani jamin untuk ini. Tanyalah mereka sendiri atau tanyalah diri sendiri bagi yang mencela saya kerana saya menyinggung aliran ašᶜarian dalam permasalahan isu salaf. Sudahkah mereka membaca kitab yang saya tegaskan dalam penulisan ini?

Kalau saya dan selain saya salah faham, bentangkan pendirian dan penghujahan kalian bagaimana tepatnya pemahaman kalian dalam isu tafwid, isu pemahaman makna zahir bagi naṣ-naṣ mutasyabihat, cara berhadapan dengan tuduhan mujassim dari tokoh ašᶜarian terhadap mereka yang mengisbatkan suara bagi kalam Allah dan menilai semula sama ada tuduhan terhadap sebahagian tokoh salaf itu sebagai mujassim adalah ekstrim atau tidak berdasarkan kajian kepada karya-karya salaf.

Mana-mana karya yang tidak merujuknya, lebih baik campak sahaja ke dinding sepertimana kalian campak mana-mana karya yang bukan muktamad dalam mazhab fiqh. Kita tidak mahu membuang masa dan meleretkan lagi perbalahan. Marilah kita rujuk kepada karya yang disepakati bersama.

Seruan kami tidak lain tidak bukan untuk memberikan mereka ruang untuk menyerlah dan supaya kita boleh tahu sejauh mana mereka dapat membuktikan ketepatan mereka dalam gambaran mereka tenang salaf melalui karya-karya salaf sendiri. Jika mereka menolak tawaran yang baik ini, mereka sendiri sebenarnya menyia-nyiakan diri mereka dan berdegil untuk bergelumang dalam delusi mereka.

Saya telah pun membentangkan prinsip saya dalam penulisan saya dalam kolum «Akidah Dan Manhaj». Banyak juga di tempat lain yang saya menyatakan pendirian dan penghujahan saya. Penulisan saya ini boleh dicari.

Saya tidak berbicara kosong dan selain saya dari kalangan tokoh jaguhan yang lebih unggul daripada saya juga sedemikian dengan mereka melakukan kajian daripada karya salaf. Sekarang, persembahkan dari sisi kalian bagaimana harmoninya manhaj kalian dan realiti pengamalan salaf. Buktikan yang kalian bukan berdelusi.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/685190364553953280/celoteh-peribadi-157-bahagian-apa-yang-saya

Celoteh 158 : Ibrah Dari Persahabatan Zaydian Dan Ašᶜarian Dalam Isu Ahli Bait

Nota : Penulisan ini adalah intisari dari penulisan yang berjudul «Diari Diri : Persahabatan Yang Erat Bersama Musuh Aliran».

Apabila saya mengikuti mereka yang mendalami tentang mazhab ahli bait -*alayhim as-Salām- dan menjadi espouser baginya, saya melihat mereka memandang ašᶜarian dan zaydian sebagai satu serumpun yang hanya ada perbezaan kecil sahaja atau seakan-akan semirip yang masing-masing cerminan yang sama antara satu sama lain. Padahal, zaydian memiliki jurang perbezaan yang sangat besar dengan ašᶜarian dalam isu akidah.

Sesiapa yang ingin melihat perbezaan besarnya, boleh memulakan pembacaan «Ṣoḥīḥ Šarḥ al-*Aqīdah aṭ-Ṭoḥāwiyyah» karya Ḥasan bin *Aliyy as-Saqqōf. Walaupun kitab «al-*Aqīdah aṭ-Ṭoḥāwiyyah» ini adalah kitab induk bagi māturīdian dalam akidah, tetapi syarahan Ḥasan as-Saqqōf berorientasikan zaydian sehingga benar-benar memperlihatkan perbezaan yang ketara. Bahkan, kita boleh menelaah kritikan Ḥasan as-Saqqōf terhadap pegangan yang ada dalam kitab itu.

Secara ringkas, zaydian ini sememangnya menganut akidah persis muᶜtazilian dalam isu sifat Allah, qodariah dalam perbahasan takdir dan khawarij dalam isu keabadian seseorang dalam neraka bagi pelaku dosa besar. Ia sememangnya mengingatkan kepada peristiwa pengujian al-Quran kepada semua ulama pada zaman salaf dan beberapa siri pergulatan bersama fahaman sesat yang lain pada zaman itu.

Perbezaan besar ini tidaklah selebar antara ašᶜarian dan salafi secara umum kerana ia hanya berkisarkan isu sifat Allah. Akan tetapi, bagaimana dalam para espouser mazhab ahli bait ini berinteraksi zaydian dan ašᶜarian seperti satu kembar seiras?

Mungkin sukar untuk membayangkan bagaimana rapatnya antara para espouser mazhab ahli bait dari kalangan ašᶜarian dan zaydian. Jika diumpamakan dengan perhubungan yang erat antara seorang salafi dan seorang yang lain dari ašᶜarian, gambaran itu sukar untuk menampilkan realitinya kerana ia seakan-akan biasa sahaja atau suam-suam kuku sahaja.

Pada saya, yang lebih dekat adalah seakan-akan *Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang sangat membenci ašᶜarian yang kalamnya terhadapnya sangat teruk sepertimana yang boleh dikumpulkan Ṣōdiq bin Salīm bin Ṣōdiq dalam «Ḏamm al-Ašā*iroh Wa al-Mutakallimīn Wa al-Falāsifah» dengan adiknya; *Abdullah yang sangat pekat dengan pegangan ašᶜarian.

Sekalipun begitu, mereka berdua masih tetap dalam hubungan yang erat dan *Abdullah berutus surat dengan abangnya dengan penuh penghormatan untuknya sepertimana yang boleh dilihat dalam ensiklopdia karya beliau.

Ia juga seumpama *Abdullah al-Ġumāriyy dengan Muḥammad Zāhid al-Kawṯariyy yang dikenali sebagai ketaksubannya yang tebal terhadap ḥanafian dan memaki hamun pelbagai ulama. Sebahagian kebejatan ini didedahkan oleh *Abdullah al-Ġumāriyy sendiri dalam «Bida* at-Tafāsīr». Kita tidak tahu mengapa *Abdullah memilih untuk setia kawan bersama orang seperti ini yang mana dia sendiri jelas akan kebusukan perangainya.

Pun begitu, zaydian dan ašᶜarian juga ada siri kritikannya sesama mereka sepertimana berlalunya aliran ašᶜarian dalam siri kritikan terhadap muᶜtazilian. Ḥasan as-Saqqōf menyuarakan kritikannya terhadap ašᶜarian. Gurunya; *Abdullah al-Ġumāriyy juga banyak mengkritik muᶜtazilian dalam «Bida* at-Tafāsīr», khususnya bahagian tafsir muᶜtazilian yang mana zaydian boleh berpihak padanya.

Malah, jika dilihat pada luar skop espouser mazhab ahli bait dari kalangan ašᶜarian, ada siri kritikannya terhadap zaydian secara tidak langsung atas tema kritikan terhadap muᶜtazilian atau qodariah atau khawarij. Kalau terzahirnya zaydian di tanah air kita di pentas umum, maka ia sama sahaja konfrontasi dengan ketiga-tiga aliran ini berbanding kita berkonfrontasi atas tema zaydian.

Kita boleh mengambil pelajaran daripada mereka bagaimana mereka mengekalkan toleransi yang mendalam dan persahabatan yang utuh biarpun kedua-dua di antara mereka memiliki jurang perbezaan dalam akidah yang sememangnya termasuk dalam lapangan bidaah yang berat dan jika timbulnya wacana mengenainya, ia boleh berbahang dan berbisa.

Sebab utama yang boleh diambil kira adalah kedua-dua golongan ini kekal teguh atas dasar sentimen untuk memelihara pertalian bersama tokoh ahli bait yang wujud dalam komuniti zaydian dan ašᶜarian. Walaupun hakikat perbezaannya adalah antara muᶜtazilian dengan ašᶜarian, tetapi tema perbezaan itu diketepikan atas nama perbezaan antara zaydian dengan ašᶜarian dan dieratkan atas dasar pengaguman ahli bait, menggali warisan ilmunya, mencedok pemikirannya, memanfaatkan khazanah peninggalannya dan memelihara hak mereka dari disisihkan, dizalimi dan dimusuhi.

Pada kelompok ini, sama ada pada zaydian atau ašᶜarian, kedua-duanya adalah gudang yang menyimpan rizab yang bernilai yang mana tidak patut seseorang daripadanya berebut antara satu sama lain dan berpuak-puak atas eksploitasi nama ulama yang berzuriat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- . 

Sepatutnya mereka adalah kerabat yang berkongsi darah dari datuk yang sama, adik-beradik yang bagai air yang dicincang tidak putus dan sepupu yang bagai kuku dengan isi, bukan saling eksploitasi, saling mempergunakan dan saling dipergunakan untuk kepentingan tertentu.

Atas sebab itulah mereka tidak ingin mendalamkan seteru sesama mereka. Masing-masing mungkin bergeseran secara kasar dan wujud persaingan yang sengit yang mana masing-masing ingin mengekalkan hegemoni mereka dan melebarkan pengaruh mereka. Namun, kecintaan terhadap ahli bait dan pengagungan terhadap karya peninggalannya adalah lebih utama dan mengatasi perbezaan aliran.

Perhubungan seperti ini sangat sukar untuk direalisasikan jika dibandingkan dengan keeratan antara muslim dengan nonmuslim apabila tiada sentimen yang padu untuknya kerana ada masanya ia akan teruji. Ini kerana jika ingin dibandingkan dengan nonmuslim, zaydian dan ašᶜarian masing-masing mendakwa mereka mewakili Islam yang sebenar dan bergerak atas nama Islam pada manusia secara umum berbanding jenama aliran mereka.

Nonmuslim yang jahil, tentu lagi muslim yang tidak mengerti akan keliru akan golongan yang benar. Maka, atas sebab itulah kadangkala berlakunya pergulatan yang berangasan supaya masing-masing dapat menawarkan Islam yang sejati kepada orang ramai. Adakalanya, atas dasar kecintaan ahli bait semata-mata akan dipudarkan sebentar apabila melibatkan isu ini memandangkan jurang perbezaan antara kedua-duanya jauh lebih besar.

Apapun, dalam kehidupan realiti pun yang di luar skop agama pun, sememangnya masing-masing cuba menampilkan kebenaran sejati dan yang paling terbaik untuk manusia serta kita semua sememangnya berkewajipan untuk melaburkan usaha dalam mencari yang validitas apa yang didakwa. Ia seperti soal pemilihan kepimpinan yang tertinggi; siapakah yang layak menjadi presiden, persoalan sama ada bumi itu rata atau bumi itu sfera, persoalan tentang apakah vaksin itu selamat atau tidak dan pelbagai lagi.

Cuma, yang menariknya adalah bagaimana mereka kekal persahabatan ini walaupun kontrovesinya pandangan tersebut atau aliran yang dibawa. Selalu sahaja kita dicela kerana kekal berdampingnya, memberi penghormatan yang baik untuknya dan bergerak di atas suatu kepentingan bersama seolah-olah isu kontroversi pada sosok seseorang itu tidak memberi apa-apa bekas sepertimana celaan yang akan ditimbulkan pada *Abdullah al-Ġumāriyy kerana kekal bersahabat dengan al-Kawṯariyy yang terkenal dengan sikap biadapnya terhadap ulama agung.

Ini kerana bersahabat dengan nonmuslim, meskipun dari kalangan evangelis, mungkin boleh diberikan toleransi sekalipun terasa beban untuk menerimanya kerana kita tahu pegangan sebenarnya. Akan tetapi, ini melibatkan golongan bidaah, lebih-lebih lagi yang berat lagi parah yang menampilkan imej muslim dan bendera Islam. Pendirian yang tidak jelas inilah yang dikhuatiri.

Pada mereka, jika golongan yang terang-terangan memusuhi Islam pun kita tidak boleh merapatinya dan merapatinya seakan-akan termasuk memberikan sokongan moral terhadapnya, apatah lagi jika ingin kekal bersahabat dengan golongan yang kerap menyergah aliran kebenaran. Persepsi seperti ini sememangnya valid dan kebimbangan mereka adalah tulen lagi berasas.

Hakikatnya, tanpa merapati dengan golongan bidaah pun, sebahagian orang juga terbelenggu dengan syubhat dari yang bukan muslim dan terpengaruh dengan ideanya dengan pelbagai medium meskipun tanpa melalui tangan evangelis. Maka, isu kesesatan dan penyesatan ini merentasi aliran dan agama.

Cuma, saya katakan bahawa masing-masing dalam dunia ini akan bergolak untuk mengkehadapankan kebenaran di sisinya tanpa mengira aliran atau agama, bahkan di luar isu agama pun adanya sebegini. Kebebasan ini diperakui dalam undang-undang ataupun isu kemanusiaan itu sendiri.

Tanpa meraikan kebebasan ini, agama Islam pun tidak dapat menyebar dan kita sendiri dianggap bersikap totalitarian dan bersikap sepihak kerana seakan-akan hanya kita sahaja boleh bersuara dan berjuang, tetapi orang lain dikensor apabila menyatakan pendirian mereka.

Kalau ini berlaku pada agama lain, kita sendiri pun tidak redha dan kita juga akan kekal memberontak dengan radikal untuk mengunggulkan hak kita. Atas sebab itulah masing-masing meraikan kebebasannya atau jika tidak, yang ada hanyalah pergolakan yang hilang toleransinya.

Cuma, masing-masing perlu akui dan sedar boundari antara satu sama lain, di samping menjaga hak sebagai warganegara dan hidup dalam komuniti sesama manusia. Kita dapat melangsungkan keharmonian dan menikmati kestabilan kerana kita saling memahami tentang ini dan bekerjasama atas matlamat yang besar, iaitu hidup damai tanpa pergolakan. Seterusnya kepada isu-isu yang lain yang menyusul.

Perbezaan, persaingan dan perebutan adalah perkara biasa memandangkan itulah lumrah kehidupan manusia dan ia bukan semata-mata berkaitan dengan agama. Namun, kita perlu bersikap matang dalam mendepani perbezaan dan beradaptasi dengan orde setempat supaya tidak mencetuskan ketegangan yang di luar daripada garisan merah.

Kita mungkin boleh bersosial bersama, berkawan atau bergerak dalam satu komuniti untuk satu matlamat yang sama seperti isu keadilan, tadbir urus, ketelusan, alam sekitar dan lain-lain. Pun begitu, ada masanya, kita perlu bertegas pada bahagian yang tidak kita kompromi dan batasan yang kita boleh bertoleransi pada aspek tertentu. Apabila ia melibatkan isu perayaan yang berkait dengan suatu agama sebagai contoh, umat Islam bertegas untuk tidak terlibat dan terbabit dengannya.

Sedemikianlah antara zaydian dengan ašᶜarian, bahkan dengan salafi sekalipun. Kita semua ada pengiktirafan yang besar untuk ahli bait dan penghargaan yang mendalam untuk peninggalan mereka. Kita akui bahawa tokoh ahli bait ini terdiri dari pelbagai aliran, bukan hanya terhad pada satu sahaja. Masing-masing ada sumbangan dan jasanya.

Masing-masing boleh berwacana dan berdiskusi bersama tentang bahagian yang memberi faedah kepada umat meskipun berbeza aliran. Bahkan, memberikan kerjasama yang baik dalam usaha membina intelektualisme dan pembinaan sahsiah kepada generasi muslim secara umumnya tanpa ekstrim dengan golongan tertentu. Bahkan, menyantuninya dengan sebaik-baiknya atas dasar berbuat baik kepada ahli bait dan atas dasar kecintaan kepada khazanah mereka sekalipun pelbagai alirna.

Walaupun az-Zamaẖšariyy adalah muᶜtazilian tegar, tetapi tafsirnya dimanfaatkan dan diperakui keagungannya. Sebegitu juga dengan warisan, idea dan penulisan ahli bait. Cuma, masing-masing akan bertegas tentang bahagian yang mereka tidak kompromi dan mereka akan menampilkan perbezaan yang jelas di antara mereka serta memandang besar terhadap isu kontroversi dari pihak yang lain.

Masing-masing akan berkata bahawa tidak boleh menghadiri kuliah akidah daripada aliran salafi atau ašᶜarian atau zaydian yang menyeleweng menurut masing-masing atau membenarkan pengajarannya disebar secara umum, di samping menyeretkan kritikan yang agresif antara satu sama lain sepertimana salafi dan ašᶜarian akan berkata sedemikian untuk kuliah akidah dan penyebaran pemikiran az-Zamaẖšariyy sekalipun mereka mungkin bertoleransi untuk medan bahasa.

Ia mungkin berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana adanya pasang surut dan hari tidak selalunya cerah. Ada masanya kita bekerjasama dan saling berdamai serta mampu beramah mesra antara satu sama lain. Ada masanya kita akan saling berasak yang sememangnya tidak ada kemaafan langsung akibat parahnya perbezaan antara masing-masing.

Kitaran ini tidak akan berhenti sehinggalah hari kiamat. Namun, sentiasalah beringat dengan firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ ﴿٣٤﴾‏ وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ﴿٣٥

"Tidaklah sama kebaikan dengan keburukan. Tolaklah dengan yang paling terbaik, lalu tiba-tiba yang ada permusuhan antara engkau dengan dia seakan-akan ia adalah teman rapat yang mesra. Tidaklah mencapainya melainkan orang yang bersabar dan tidaklah mencapainya melainkan orang yang bernasib untung yang hebat". [Surah Fuṣṣilat ayat 34-35].

Oleh itu, jangan terikut dengan kesimpulan simplistik bagi sebahagian orang bahawa isu kontroversi yang ada pada seseorang itu adalah sebab untuk kita menjauhinya dan tidak perlu ada perkaitan antara dia dengannya sama ada dalam bentuk persahabatan atau apa jua bentuk! Jika ada, maka ia seolah-olah menggambarkan wujudnya sokongan moral atau advokasi yang tersirat terhadapnya atau pendapatnya atau fahamannya sebelum meneliti terlebih dahulu dengan lebih saksama.

Netizen dan persepsi orang sememangnya ada seribu reaksi yang berbeza. Mengapa kita perlu melayaninya dan terlalu terikut dengan rentak dan keinginan seribu respons ini? Kita akhirnya tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Lebih baik kita bergerak atas dasar apa yang kita merasakan ia adalah haluan yang tepat dan pilihan yang betul meskipun tidak disukai oleh orang sekeliling.

Jika kita tidak diuji dengan terpalit kepada apa-apa isu kontroversi sama ada kerana kita ini bukan orang popular atau banyak berpihak pada permainan selamat atau bukan para pejuang yang tegas untuk suatu prinsip, sememangnya sedap lidah untuk beri kesimpulan simplistik sebegitu dan pendirian yang sembarangan seperti itu. Namun, jika suatu hari kita sendiri diuji, pada masa itu, saksikanlah sendiri sama ada kesimpulan sebegitu adalah cara yang tidak matang atau keputusan yang bijak. Fikirkanlah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/685435709089366016/celoteh-peribadi-158-ibrah-dari-persahabatan

Celoteh 159 : Pertikaian Yang Tidak Mudah Diselesaikan

Nota : Penulisan ini adalah intisari daripada penulisan saya yang berjudul «Diari Diri : Apa Sebab Saya Tidak Merespons Sebahagian Pertanyaan Dan Pertikaian?».

Saya pernah melihat suatu ciapan di media sosial Twitter tentang orang yang mempertikaikan keadilan Islam dalam pembahagian harta warisan yang melebihkan nisbah untuk lelaki berbanding perempuan. Tidak ada pembahagian sama rata dan menurut mereka ini, pembahagian sebegini adalah diskriminasi terhadap wanita, seterusnya ketetapan yang tidak bersikap adil.

Antara sebab saya menjauhi polemik di Twitter adalah kerana masalah dalam penyusunan satu ayat untuk dimuatkan dalam satu ciapan memandangkan satu ciapan diterhadkan kepada beberapa patah perkataan yang sedikit sahaja, sedangkan penjelasan sebelum satu noktah pun perlu panjang lebar.

Bahkan, untuk merespons pertikaian ini, ia mungkin memerlukan beberapa bebenang daripada ciapan bagi menjelaskan falsafah di belakangnya dan memperlihatkan aspek secara menyeluruh dalam keadilan pembahagian supaya dapat difahamkan bahawa kelebihan yang dilebihkan ke atas seseorang tidak dianugerahkan melainkan ada sebab di belakangnya.

Sedemikian juga permasalahan tentang kemampuan hafalan para imam hadis yang mampu menanggung ratusan ribu hadis. Ini agak sukar dijelaskan jika seseorang itu tidak pernah bergelumang dalam kajian hadis kerana ia adalah bukti yang pembuktiannya secara kendiri bagi ahlinya.

Bahasa Arab orang yang mempertikai sudahlah jahil. Kitab al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl tidak pernah kenal. Kerja takhrij tidak pernah dibuat. Bagaimana mungkin orang yang sudah melalui masa yang lama dan susah payah akan dapat memberikan pengertian yang sama terhadap orang yang jahil, ignoran, degil dan gopoh?

Saya sendiri terpaksa menulis agak panjang untuk merespons pertikaian ini. Kemudian, adakah orang yang berakal satu ciapan ini mahu ambil berat dengan bukti yang saya kemukakan dan merenung semula kedudukan dirinya dalam ilmu hadis, apatah lagi menghargai bagaimana seni peninggalan karya-karya yang berkaitan dengan hadis untuk memahami bagaimana para imam hadis mampu menanggung ratus ribu hadis dalam hafalannya?

Adakalanya, mempertikaikan sesuatu isu sememangnya semudah satu ciapan serta orang ramai yang dangkal akalnya serta kurang cermatnya akan mudah termakan dan beranggapan bahawa ia adalah satu kenyataan yang mengandungi seribu poin yang mendalam! Padahal, ilmu dan kefahaman bukan semestinya semudah dengan simpulan satu ciapan dan diselesaikan dengan satu ciapan atau beberapa yang sedikit daripadanya.

Dalam memahami suatu konsep, perlu meninjau dalam pelbagai aspek dan memerlukan kesungguhan kesabaran dalam menelaah, mendengar, menekuni, mempelajarinya dan mengamatinya. Sesungguhnya penulis atau pembentang itu pun perlu bersabar untuk menjelaskannya secara panjang lebar, menyusun secara baik beberapa blok yang berlainan agar dapat dilihat secara bersamaan dan menyeluruh serta membaikkan penjelasan agar mudah difahami oleh audiens.

Namun, bukan semua orang akan ambil berat tentang susah payah ini, apatah lagi menghargainya kerana mereka lebih suka cara singkat dan mereka tidak ingin mendengar penjelasan yang panjang atau membaca kupasan yang terperinci melainkan apa yang mereka mahu sahaja.

Adakalanya, saya didesak untuk menampilkan penjelasan kepada mereka tentang beberapa pendirian dalam suatu perkara meskipun saya sudah membentangkannya dalam penulisan saya di pelbagai tempat. Tinggal lagi untuk orang menggembleng sedikit usaha untuk mencarinya dan menelaahnya. Akan tetapi, saya terpaksa memilih untuk mengabaikannya dan tidak melayaninya untuk beberapa sebab.

Antaranya adalah kita perlu akui bahawa seribu netizen ada seribu ragam, seribu persepsi, seribu tanggapan dan seribu rasa. Bukan semuanya berbaloi untuk dibincangkan walaupun dari kalangan seribu orang memandangkan kebanyakannya adalah keras kepala, kebudak-budakan dan hanya tahu merusuh. Ada yang bersembunyi di sebalik perilaku yang penuh adab dan santun, tetapi jiwa serigalanya lebih buas dari yang liar pada luarannya.

Kita memang tidak akan mampu memuaskan semua orang, lebih-lebih lagi yang ada seribu ragam. Waktu kita yang sangat suntuk dan terlalu berharga untuk dihabiskan demi merebut kemenangan di media sosial. Biarkan mereka ini mahu merebel dan mengganas.

Antaranya adalah seperti yang telah dijelaskan tadi bahawa tidak semua ia mudah diselesaikan dengan hanya satu ciapan atau dua dan hanya satu sesi atau dua. Orang yang mempertikaikan boleh jadi dari kalangan orang yang gopoh dan kurang bersabar. Mengapa saya atau orang lain yang yang tidak meresponsnya pula dikecam?

Adakalanya, dalam satu isu, ada tujuh poin pertikaian yang perlu diselesaikan dan dibincangkan satu persatu secara objektif dan diteruskan dengan kesabaran. Tanyalah diri sendiri. Adakah rata-rata orang akan sanggup bersikap matang untuk fokus kepada setiap satu tanpa mereweang dan beranjak jauh serta bersedia dengan persiapan yang sewajarnya untuk berbincang secara ilmiah?

Kalau satu poin tidak mendapat satu kesepakatan dan kesefahaman bersama atau toleransi antara satu sama lain, boleh jadi yang lain-lain akan melahirkan lebih banyak bibit pertikaian. Atas sebab itulah dari awal lagi kita tidak meresponsnya kerana kita cakna akan satu poin atau beberapa daripadanya atau kesemua daripadanya tidak memperoleh atau kita cakna dengan sebahagian sikap orang yang datang memahukan perbincangan.

Lebih baik kita tidak membuang masa untuk sesuatu yang akhirnya sia-sia, terkandas, menambahkan lagi jurang pemisah antara kita, menyemarakkan lagi perseteruan, menebalkan lagi kedegilan, menyusutkan persaudaraan dan mengeraskan lagi blok pemisah. Kadangkala, membiarkan pertikaian sepertimana yang ada sekarang tanpa meresponsnya mungkin lebih baik berbanding kita mendirikan diskusi yang akhirnya membawa kita kepada semua itu.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/685632435490340864/celoteh-peribadi-159-pertikaian-yang-tidak-mudah

Celoteh 160 : Jangan Taat Suruhan Saya Kepada Kemungkaran



Jika saya -semoga Allah melindungi saya dan kita semua dari perbuatan terkutuk ini- sampai menyuruh sebegini, maka ingkarilah dan janganlah menurutinya. Jika ragu, persoalkanlah dan desaklah agar saya menegakkan hujah yang bernas dan justifikasi yang munasabah serta jangan menurutinya selagimana belum yakin.

Saya telah mengingatkan di banyak tempat agar menjauhi taksub terhadap sesiapa pun meskipun terhadap diri saya. Malah, saya menegaskan bahawa walaupun saya erotikawan dan sama-sama minat dalam erotisisme, tetapi jangan sampai menjadikan saya sebagai idola yang dipuja sehingga menjadi fanatik terhadap saya. Saya bukan tokoh besar yang layak dibanggakan sepertimana mereka yang lain yang sudah pun menempa nama di pentas kegemilangan.

Kalau semmangnya benar pun saya sekedudukan, saya menegaskan bahawa kalau saya dapat membina mazhab saya sendiri, saya tidak akan mengiktiraf sesiapa pun yang tidak ada ilmu alat yang mencukupi dan mampuberfikir secara independen sebagai pengikut saya meskipun berbaris orang ramai di luar untuk menyambut saya.

Saya hanya mahu persahabatan yang sejati atas sekadar minda sedar dengan kritis dan independen, bukan hanya membuta tuli sahaja. Malah, saya pun tidak akan berkonversasi dalam hal seksual melainkan seseorang itu yang mulakan terlebih dahulu atau diyakini bahawa kita dapat saling memahami.

Pun begitu, bukan bermakna saya tidak memperakui hubungan saudara sesama Muslim dan kemanusiaan yang menjadi asas konstruk sosial kita. Akan tetapi, itu pun bukan alasan yang munasabah untuk meneruskan perbuatan tercela ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/688334211554394112/celoteh-peribadi-160-jangan-taat-suruhan-saya

Celoteh 161 : Penisbahan Yang Pada Asalnya Ingin Saya Menisbahkan Diri

Saya sebenarnya ingin menisbahkan diri kepada ġumārian, iaitu merujuk kepada manhaj yang dibawa oleh Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dan anak-anaknya; Aḥmad, *Abdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, *Abdul Ḥayy, *Abdul *Azīz, Ibrōhīm dan al-Ḥasan kerana saya berkongsi prinsip dalam penentangan taklid tercela dan ketaksuban mazhab serta menjadi sufi yang kritis. Saya banyak mengambil pendapat arus perdana kesufian daripada mereka. Bahkan, saya sangat banyak mengambil inspirasi dan mencedok manfaat daripada mereka.

Namun, saya tidak berkongsi dasar dalam pengangkatan menantu Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, iaitu *Aliyy bin Abū Ṭōlib -roḍiyallahu *anh- seolah-olah lebih daripada sahabat baginda yang lain.

Saya tidak menganggap bahawa mereka yang diredhai Yang Maha Mengasihani semua sama sahaja. Namun, saya mengatakan bahawa setiap sahabat baginda ada kelebihan masing-masing yang tersendiri lagi unik. Untuk mengistimewakan lain daripada yang lain adalah sesuatu yang sukar untuk dibuktikan.

Kemudian, saya tidak berkongsi dasar dalam perseteruan terhadap salafi secara tegar. Walaupun Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy bukan ašᶜarian, namun pergelutannya dengan salafi adalah sesuatu yang nyata dalam sejarah atas nama penentangan terhadap wahabi.

Saya pula lebih cenderung untuk merapati dan berganding bersama aliran salafi serta jika ada konflik pun, sama ada ia adalah isu peribadi atau beberapa perkara yang berkaitan dalam pendapat arus perdana.

Malah, saya merasakan jika saya menisbahkan diri saya kepada ġumārian, ia akan menyebabkan kekaburan bahawa seolah-olah saya ini daripada zuriat keluarga tersebut, padahal saya tidak ada pertalian darah dengan mereka. Oleh kerana itu, saya perlu meninggalkan penisbahan ini supaya tidak salah faham.

Lalu, pilihan saya seterusnya adalah salafi. Saya berkongsi prinsip dalam menghidupkan tradisi salaf yang menggesa kepada ijtihad, memurnikan pewacanaan hadis dan berkongsi prinsip mereka dalam isu interaksi naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah *Azza Wa Jalla.

Cuma, bahagian saya yang berbeza adalah pengadaptasian ilmu kalam, seterusnya pengembangan pemikiran induktif dan penerimaan praktik kesufian. Saya lebih setuju untuk mengadaptasikan ilmu kalam yang lebih terkhusus untuk menjawab syubhat terhadap agama dan menggerakkan pemikiran secara induktif dalam membina ketajaman hujah dan keluasan dimensi cerapan.

Perbezaan ini cumalah sekadar perbezaan yang kecil sahaja, tetapi ia mampu mengubah identiti bagi salafi itu sendiri. Agak sukar untuk menemukan salafi yang benar-benar beradun dengan sufi.

Walaupun sebahagian salafi ada yang terbuka untuk aliran sufi, tetapi masih ada pemisah jelas yang menampakkan kedua-dua ini tidak mampu menyambut tangan dari pihak masing-masing yang menghulur.

Atas sebab itulah saya membawa gagasan pascasalafi. Saya membuat pendefenisian semula dalam aliran salafi. Saya mengambil salafi sebagai dasar kerana aliran ini yang saya tidak ada perselisihan yang besar antara saya dengannya.

Boleh baca selanjutnya di penulisan saya yang berjudul «Jika Ada Ideologi Yang Boleh Saya Nisbahkan Kepada Diri Saya».

Ambilan : 
https://amirkazuma.tumblr.com/post/688337930147840000/celoteh-peribadi-161-penisbahan-yang-pada

Celoteh 162 : Reaksi Orang Yang Tidak Percaya Bahawa Orang Seperti Saya Menulis Secara Ilmiah




Saya sudah biasa menerima pertanyaan yang kehairanan dan reaksi aneh melihat saya yang erotikawan menulis dengan kepaduan ilmiah semampu yang saya boleh dengan bantuan dan limpah kurnia-Nya. Segala puji bagi Allah atas kesemua itu. Saya tidak ada apa untuk dibanggakan. Itu semua milik dan kepemurahan daripada-Nya.

Apapun, saya akan cuba sedaya upaya dengan mengharapkan pertolongan daripada Allah untuk memberikan khidmat yang terbaik dalam ilmu. Meskipun saya dicela kerana erotisisme saya dan saya diragui kemampuan ilmu saya, tetaplah saya menulis kerana mencari redha-Nya, serta kepuasan saya dalam mendalami ilmu dan menabur bakti untuk kaum muslim yang ingin mengambil manfaat.

Mungkin sahaja persepsi ini timbul kerana rata-rata orang beranggapan bahawa erotisisme dan keagamaan ini sesuatu yang terpisah dan tidak mungkin beradun sama. Bahkan, mereka menganggap erotisisme adalah sesuatu yang keji dan tidak patut bersama sekali dengan agama yang suci.

Pada saya, ini sebenarnya persepsi yang tidak tepat. Saya telah menjustifikasikannya di banyak tempat tentang perkara ini untuk membetulkan salah faham tentang ini. Akan tetapi, ia sememangnya sukar untuk diterima dan sememangnya kadangkala penjelasan kita membuahkan hasil yang meleset kerana sudah lama mengeras pengingkaran mereka.

Cuma, saya ingin mereka sedar tentang ulama terbilang yang terlibat dengan homoseksual seperti Yaḥyā bin Akṯam, *Aliyy bin Ḥamzah al-Kisā^iyy dan Ibn al-Anmāṭiyy sepertimana yang saya telah memperkenalkan mereka dalam penulisan saya yang berjudul «Analisis Pendalilan Dalam Pengharaman Liwat».

Apakah kerana homoseksual mereka yang merupakan salah satu cabang daripada erotisisme ini membuatkan kita tidak mahu mengakui ketokohan mereka dalam keilmuan dan memanfaatkan buah idea mereka serta menimba ilmu daripada mereka? Pasti kita tidak akan melakukan sebegitu.

Saya bukanlah untuk mengatakan bahawa saya setara dengan kedudukan mereka dalam kewibawaan ilmu dan kedudukan yang besar dalam sejarah ilmuwan muslim. Akan tetapi, saya ingin menegaskan bahawa erotisisme dan agama tidaklah terpisah sepertimana budaya dan agama. Kekejian pada erotisisme sama ada kerana wujudnya stigma yang memekat dalam fikiran umat atau sememangnya masyarakat lebih suka keberagamaan sepertimana puritan dan rahib.

Ia adalah sesuatu yang boleh berganding bersama. Sememangnya benar perlunya ada kawalan syariat untuk erotisisme itu sepertimana kita meyakini bahawa tokoh ulama yang disebutkan tadi pun mengawal homoseksual mereka agar terikat dengan syariat dan tidak melampaui batas.

Cuma, poin yang ingin ditegaskan adalah erotisisme bukanlah sesuatu yang terpisah daripada agama. Sesiapa sahaja yang memiliki kemampuan, kelayakan dan kewibawaan boleh menyuarakan tentang agama, berwacana tentang agama, berjuang untuk agama dan hidup dengan agama sekalipun erotikawan.

Mereka tidak didiskriminasi, lebih-lebih lagi diperakui dan diyakini kebolehannya walaupun erotisisme mereka dicela dan dikutuk. Apapun, mudah-mudahan Allah menempatkannya dalam orang yang soleh, di atas jalan yang sejahtera serta aman daripada marabahaya dunia dan akhirat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/688338450129289216/celoteh-peribadi-162-reaksi-orang-yang-tidak

Celoteh 163 : Apa Yang Menyebabkan Saya Menarik Balik Pandangan Qadim Itu Tidak Terbebas Dengan Masa?

Saya pada mulanya menolak pendefinisian qadim itu adalah terbebas dari masa dengan justifikasi jika tiada masa, bagaimana mungkin adanya permulaan bagi alam ini jika tiada pencetus yang menggerakkan permulaan.

Saya membentangkan alasan bahawa jika terbebas dari masa, ia akan menatijahkan premis sama ada menerima alam itu qadim atau cetusan qudrah Allah yang pertama kali itu berlaku untuk perlaksanaan permulaan ciptaan alam.

Saya akui saya tersilap dalam hal ini dan saya kembali kepada kesepakatan para ulama bahawa Allah terbebas dari sudut masa. Saya memohon maaf jika ada yang mengambil pendapat saya dahulu dan saya memohon untuk menarik balik. Saya memohon kepada Allah agar Dia mengampuni kesilapan saya dan kekeliruan saya dahulu. Saya telah pun membetulkannya dalam penulisan saya yang berkaitan.

Bagaimana saya dapat sedar kepincangan pandangan saya yang lama ini? Entah bagaimana tiba-tiba datangnya ilham yang menyebabkan saya terfikir terhadap suatu permisalan di mana saya mengandaikan api dari pemetik api itu adalah qudrah Allah yang terpancar secara qadim lagi azali.

Manakala, haba yang terkeluar daripada api itu diumpamakan sebagai alam, tetapi tidak terkeluar bersamaan dengan api itu sendiri. Hanya sahaja ia terbit pada waktu yang Dia telah kehendaki sejak azali pada taalluq
tanjīzĩqodīm.

Maksudnya adalah sifat kehendak-Nya yang telah menetapkan permulaan kejadian alam pada suatu ketika yang hanya Dia mengetahuinya diumpamakan sebagai petikan pada butang cucuhan yang telah ditekan sejak azali yang mencetuskan api yang diumpamakan sebagai sifat qudrah secara bersamaan pada qidamnya.

Ini sekadar permisalan untuk mendekatkan kefahaman sahaja. Saya tidaklah mengatakan bahawa haba itu adalah sebahagian dari materi zat-Nya atau sifat-Nya. Namun, saya ingin memfokuskan bahawa haba itu adalah punca dari sifat-Nya.

Akan tetapi, ilham ini terus bermain di fikiran saya dengan kuat sehingga saya tidak menemukan alasan yang lebih kuat untuk menyangkalnya. Akhirnya, saya pasrah dan mengakui kepincangan saya.

Saya berharap ia adalah ilham daripada Allah kerana ia mengembalikan saya kepada apa yang telah disepakati oleh keseluruhan ulama akidah dalam definisi qadim. Saya harap ilham ini juga boleh menjadi hujah terhadap orang yang ada pandangan seperti pandangan saya yang lama ini.

Untuk selanjutnya pada perkara ini, boleh baca penulisan saya yang berjudul «Penajaman Deria Dalam Mengenali Sifat Yang Maha Mulia».

Dari sini, betapa pentingnya penekanan saya kepada para pembaca sekalian agar jangan bertaklid kepada saya dan mengikuti pandangan saya secara taksub. Pastikan ia didasari dengan hujah dan pertimbangan neraca ilmu yang kukuh.

Saya selalu sahaja mengingatkan di banyak tempat agar mencari kelompongan dalam poin penghujahan saya. Apabila tidak menemukannya, barulah diambil pandangan saya.

Saya mungkin tersilap dan saya mungkin tidak sedar kelompongan hujah saya. Saya tidak mahu iman seseorang bergantungan pada insan yang lain. Saya mahu mereka independen, melangkah dengan kaki sendiri dan didasari minda yang kritis.

Saya mengalu-alukan sebarang kritikan yang bernas dan membina kerana ia membantu saya meningkatkan mutu penghujahan saya dan sekaligus memberi manfaat ilmiah bersama.

Celoteh 164 : Yang Tiruan Membawa Kerinduan Kepada Yang Asli


Entahlah. Saya pun tidak tahu mengapa saya ada rasa pilu dengan gambar ini walaupun sebilangan orang menjadikannya ia sebagai jenaka.

Siapa sahaja yang tidak rindu untuk menjejakkan kaki tanah yang penuh berkat yang terisi sejarah penting dalam umat Islam dan peninggalan yang memberi bekas kepada jiwa orang yang beriman?

Sememangnya tidak sah umrah sebegini dan seseorang tidak dapat bertabarruk sepertimana di tanah asalnya, cuma jika ia dapat melegakan kerinduan, maka diharapkan sedemikian. Lebih-lebih lagi di situasi pandemik yang peluangnya semakin sukar dan tersepit melainkan jika Allah mengkehendakinya.

Sebab itulah walaupun lakaran capal Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang dianggap remeh itu pun ada yang ambil berat. Kita tidak tahu bagaimana penilaian sentimental bagi masing-masing.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/688348899303358464/celoteh-peribadi-164-yang-tiruan-membawa

Celoteh 165 : Perbezaan Nyata Antara Keluarga Al-Ġumāriyy Dan Golongan Al-Ḥabīb


Mungkin orang tertanya-tanya, mengapa saya selalu sahaja membanding-bandingkan antara keluarga al-Ġumāriyy dengan golongan al-Ḥabīb meskipun kedua-duanya adalah berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-? Malah, ketikamana saya memperkenalkan keluarga ini, saya kelihatan seperti memperkecilkan golongan al-Ḥabīb.

Jawapannya adalah bacalah hantaran yang ini daripada Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ; murid ternama yang mempelajari daripada keluarga al-Ġumāriyy, iaitu *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adiknya, *Abdul *Azīz dan Ibrōhīm. Bacalah dan bandingkanlah.

Jelas sememangnya ada perbezaan yang nyata antara kedua-duanya pada tradisi keilmuan dan manhaj mereka. Apa yang disebutkan oleh Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ ini juga disebutkan oleh beberapa kenalan yang rapat dengannya serta inilah yang termanifestasi dalam karya keluarga ini bagi sesiapa yang membacanya.

Pernah golongan al-Ḥabīb mendidik dan menyatakan sedemikian kepada muridnya dan pengikutnya sebegini? Mungkin hampir tidak ditemukan perkara sebegini. Pengikutnya pula menjadi sang pengikut buta tanpa mempedulikan sama ada penyampaiannya atau pengamalannya mengikut sunnah atau tidak.

Yang mereka lakukan hanyalah mengeksploitasi nama ahli bait demi mengkultuskan dan mengkuduskan apa sahaja daripada zuriat baginda serta tidak boleh dipersoalkan, malah menganggap kritikan terhadap ahli bait adalah sama sepertimana musuh ahli bait dan pembenci keturunan baginda.

Sesungguhnya keluarga al-Ġumāriyy berlepas diri daripada perbuatan sebegini. Mereka tidak pernah menggunakan ahli bait pada diri mereka demi memperdaya orang ramai agar mengikutinya secara membuta tuli.

Mereka sendiri menyeru kepada orang ramai kepada mengerahkan ijtihad, beriltizam dengan sunnah, berpegang teguh kepada dalil, menjauhi ketaksuban, mencela taklid yang keji serta memperhebatkan pembudayaan ilmiah.

Terpulanglah sesiapa yang ingin menyangka saya sedang melaga-lagakan ahli bait. Akan tetapi, bagi para pembaca yang ingin bersikap saksama, bacalah dan fikirkanlah. Realiti praktik manhaj keilmuan antara kedua-duanya sememangnya jelas, bukan dapatan saya yang berkongsi tentangnya secara berlebih-lebihan dengannya.

Bacalah beberapa penulisan saya tentang keluarga al-Ġumāriyy, kemudian telaahlah sendiri perbezaan besar antara keluarga ini dengan golongan al-Ḥabīb yang mendominasi naratif tentang ahli bait pada era ini. Jika tidak berpuas hati pada dapatan saya, dipersilakan baca karya mereka dan ikutilah mereka yang pernah menjadi muridnya atau menjadi kenalan rapatnya atau yang mendalami pemikiran mereka. Nilailah dengan saksama.

Ambilan : 
https://amirkazuma.tumblr.com/post/688449134381924352/celoteh-peribadi-165-perbezaan-nyata-antara

Celoteh 166 : Mengutip Pandangan Ulama Terkemudian, Bukan Bermakna Paksi Ikutan Kita Pada Mereka


Sebahagian orang tidak faham apabila saya dan sebahagian saudara salafi apabila mengambil penjelasan dan kupasan daripada yang terkemudian seperti Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah dan para pengikut setia kepada kedua-duanya, maka paksi saya dan mereka adalah mengikut nama-nama mereka yang terkebelakangan.

Padahal, kita mengutipnya kerana ia telah menjelaskan apa yang bersepadan dengan idea kita, tetapi kita tidak perlu menghuraikannya dengan kata-kata sendiri. Cukup mengutip daripada orang yang telah menjelaskan sepertimana yang kita ingin menjelaskannya. Atau kita sekadar ingin menjadikannya sebagai penguat, bukan isi utama atau teras pegangan.

Mana-mana yang terkemudian yang bersalahan dengan yang terdahulu, maka kita akan mendahulukan apa yang disebutkan pendahulu kita dan menyisihkan kesalahan daripada yang terkemudian. Inilah yang sebahagian orang yang gagal faham, khususnya mereka yang mengejek nama-nama tokoh kontemporari, lalu kita pula diheret bersama dengan tokoh yang disebutkan untuk dibakulsampahkan bersama.

Sedangkan, kita tidak ada assosiasi pun dengan mereka dan prinsip kita sangat jelas. Namun, cara ini digunakan kerana sudah kehabisan modal untuk berhujah secara matang atau ingin meneruskan permusuhan di atas sentimen kebencian yang tidak berkesudahan atau mereka tidak dapat menafikan yang mereka berpijak kepada realiti disebabkan manhaj dan fahaman mereka tidak sepertimana yang dicanangkan dan menepati apa yang disebutkan para pendahulu, tetapi mereka menyasarkan singgungan terhadap kita kerana ingin menutup kebejatan diri.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/688837926451347456/celoteh-peribadi-166-mengutip-pandangan-ulama

Celoteh 167 : Kepincangan Pengkadaran Kerosakan Pada Isu Wanita Yang Mendakwa Menghafal 15 Juzuk Daripada Al-Quran Menanggalkan Tudungnya Dan Pakaiannya Di Kelab Komedi

Saya bukanlah menyokong perlakuan seorang wanita di kelab komedi yang mendakwa menghafal 15 juzuk daripada al-Quran yang menanggalkan tudung dan pakaian sehingga separuh berbogel atas alasan untuk melawak. Malah, orang fasik sepertinya tidak perlu dibela, apatah lagi dipertahankan habis-habisan seakan-akan sama seperti golongan yang tertindas atau mangsa.

Namun, apabila sebahagian penceramah menyebarkan hadis palsu, mengapa sebahagian orang, khususnya dari kalangan pengikut tidak menzahirkan rasa berang yang sama sepertimana terhadap wanita itu? Padahal, ini jelas-jelas menghina agama Islam dengan penyebaran yang tidak berasas terhadap agama ini.

Mengapa apabila sebahagian syarikat yang memperdaya warga muslim yang ingin mengerjakan haji sehingga mereka semua yang berjumlah lebih 300 orang terkandas, sangat lesu paluannya dan hanya sekadar merasa simpati terhadap jemaah yang menjadi mangsa? Padahal, ini adalah jenayah yang jauh lebih besar dari sekadar menanggal baju sambil berbangga bahawa dia telah menghafal separuh daripada al-Quran.

Sebabnya adalah individu atau pihak itu adalah berpengaruh atau memiliki kedudukan yang besar sama ada kewangan, ekonomi dan politik. Atas sebab itulah jika ia meletus pun, ia hanyalah hangat-hangat tahi ayam dan bakaran yang biasa-biasa sahaja, lalu diakhiri dengan tiupan angin di tanah yang kosong.

Orang yang tidak ada apa-apa seperti wanita itu menjadi sasaran yang dahsyat kerana dia bukan memiliki pengaruh seperti sebahagian penceramah dan taikun besar. Disebabkan itulah mereka menderaskan tekanan yang hebat terhadapnya sehingga dia diburu, ditangkap dan disabitkan jenayah serta kelab itu sehingga ditutup sementara kerana dia cumalah sang kerdil lagi kelas bawahan jika dibandingkan dengan penceramah popular atau taikun yang kaya.

Sampai sekarang kita tidak mendengar sebahagian penceramah yang merepek, menyebarkan hadis palsu dan membawa ajaran sesat tidak diambil tindakan atau paling kurang pun sekadar bertemu secara mesra atas tema perbincangan dua hala. Kita pun tidak tahu apakah pengakhiran taikun yang sudah terbabit dengan salah laku, jenayah dan penipuan kewangan sama ada sudah mendapat hukuman setimpal atau hukuman yang dirasakan belum cukup adil atau masih bebas atau tiada khabar lagi tentangnya. Namun, wanita itu juga diberikan sehabis-habis upaya untuk dilenyekkan dan dicari-cari maklumat terkini.

Begitulah apabila prioriti dan pengkadaran jenis kesalahan tidak dihadam dengan sebaiknya. Yang kecil diberikan kempen pembasmian cukup besar, sedangkan yang besar pula hanya dimuktamadkan dengan berkata: "Serahkan kepada pihak berautoriti" dan seumpamanya yang cukup ringan.

Samalah juga apabila isu pornografi dengan rokok. Apabila dapat tahu seseorang menonton pornografi, habis siang dan malam mahu menengking secukup-cukupnya dan kalau boleh, mereka ingin membelasahnya sampai melunyai orang itu. Bahkan, sampai ada yang menghalaunya dari kelas kerana hal ini.

Namun, rokok yang jauh lebih berbahaya daripada pornografi terus diberikan toleransi walaupun dalam keadaan tidak suka, masih diberikan ruang selagimana mereka merokok di luar premis atau di luar penampakan mereka, malah duduk bersama untuk bersosial! Bahkan, perokok pula dibiarkan di jalanan seolah-olah ia pemandangan biasa yang sama seperti sampah sarap di tepi jalan. Bayangkan kalau terlihat orang menonton pornografi di tempat terbuka.

Begitulah hipokrit sebahagian orang. Apabila saya menegur perkara ini, saya menganggap bahawa isu yang kecil ini seolah-olah tidak ada apa-apa dan boleh diketepikan terus atau beranggapan saya membela pelaku kepada kesalahan kecil. Inilah orang yang melakukan falasi ₍Strawman₎ dan mengatakan apa yang saya atau orang lain tidak mengatakannya.

Yang saya memaksudkan adalah layanan dan kadar tekanan kita patut selaras dengan isu yang kita berhadapan dengannya. Janganlah disebabkan seseorang itu berpengaruh dan terkenal atau syarikat itu kaya dan ada kedudukan yang besar dalam ekonomi dan politik diberikan tekanan yang cukup-cukup makan sahaja atau menganggap seakan-akan ia adalah kesalahan yang biasa kedengaran setiap tahun, tetapi orang yang kerdil pula dilibas habis-habisan seakan-akan penceramah terkenal dan taikun yang berkuasa ini membuat kesalahan yang jauh lebih kecil daripadanya.

Lebih-lebih lagi yang menegur atau menzahirkan rasa kemarahan terhadap wanita itu adalah individu atau organisasi atau persatuan atau insan yang berpengaruh dalam masyarakat. Mereka sudah cukup memiliki kekuatan, tetapi dihabiskan segala keberanian untuk sang kerdil, tetapi layu di hadapan penceramah terkenal atau taikun yang kaya-raya. 

Malang sungguh pihak yang diharapkan untuk menjadi lawan yang setanding untuk penceramah terkenal atau taikun yang besar, tetapi hanya mengerahkan kekuatan untuk yang kecil, lemah dan pisicisan, tetapi senyap dan menikus di hadapan orang yang mempunyai kekuatan seimbang. Inilah masalahnya apabila prioriti dan penilaian kadar kepada sebuah permasalahan itu bercelaru. Golongan ini selayaknya dipanggil sebagai pembuli dan penindas, bukan pendekar dan pembela. 

Apabila kita berkata sebegini kepada mereka, mereka pula mempersoalkan pula tentang tindakan dengan bertanya: "Mengapa kalian tidak menggalas tanggungjawab sepertimana yang kalian pinta kepada kita dan terlalu mengharapkan kami untuk berbuat kerja?". Mereka tidak sedar bahawa suara mereka dan kekuatan mereka mampu menaungi ribuan netizen atau sekurang-kurangnya hampir kepada jumlah itu dan kekuatan mereka setanding dengan ribuan netizen atau hampir dengannya.

Jika mereka bersuara, sudah cukup memberikan pihak lawan rimas, mengambil kira tuntutan mereka dan dirasakan tekanannya. Lantas, mengapa kita yang hanya seorang diri atau hanya dapat mengumpulkan sejumlah yang sangat sedikit berbanding mereka ini mengharapkan kita menampilkan kelebihan yang setara dengan mereka? 

Ini seolah-olah seorang politikus atau parti politik berkata kepada rakyat yang mengkritiknya: "Kalau kamu rasa hebat sangat, mengapa tidak kamu pegang tampuk pemerintahan ini?". Atau mereka ini juga sama seperti mendesak kita yang rakyat biasa untuk tampil bersuara untuk melawan seorang raja, sedangkan mereka memangku jawatan yang berkuasa atau yang sesuai atau yang cukup untuk membina kelebihan dalam memberikan pengaruh kepadanya. Di mana mereka tatkala kelebihan ini di sisi mereka?

Mereka ini sama ada mengabaikan kelebihan yang ada pada diri mereka, lalu mereka hanya membuli sang kerdil dengan membawa bersama sejumlah geng yang besar atau menggunakan kabel berpengaruh yang dia rapat dengannya dalam membelasahnya atau mereka ini tidak kompeten terhadap kelebihan yang ada pada mereka, lalu mereka hanya mengelilingi di dataran selamat dengan menyasarkan yang kecil supaya mereka tidak dihinjak oleh orang yang mereka setara dengannya atau lebih hebat daripadanya dan menyalahkan orang lain demi menutup kepincangan diri.

Saya bercakap ini bukan kerana ingin membela wanita itu atau kelab yang menjadi platform untuk persembahannya. Perhatikan sebaik-baiknya isu yang saya sedang fokus wacananya. Jangan membuat falasi ₍Strawman₎. Kalau mereka selalu mendesak orang lain supaya tidak salah interpretasi terhadap kenyataannya, maka saya pun mendesak yang sama untuk isu ini.

Saya berharap jika permasalahan yang seumpama ini berulang sama, maka cukuplah apa yang telah saya menyebutkannya di sini untuk dijadikan sandaran. Cukuplah kita sedar betapa teruknya apabila kita tidak mengadili dan meletakkan tahap keparahan bagi suatu kesalahan dengan sebetulnya. 

Jika penyakit pun perlu dirawat dengan cara yang berbeza, mengapa pula kesalahan yang melibatkan sosial pun boleh sesuka hati dengan mengikut sentimen dan sensasi semasa? Ini seolah-olah seseorang membesar-besarkan penyakit demam dan selsema kerana ia jauh lebih memberi komersial dan perhatian daripada reaksi masyarakat berbanding fokus kepada denggi dan pencemaran alam.

Mungkin ada yang beranggapan saya sedang mencurahkan bebelan untuk falasi ₍Whataboutsim₎. Saya mengatakan bahawa wanita itu adalah fasik dan kelab komedi itu pula penaung untuk persembahan yang memainkan agama sebagai jenaka yang mana ia wajar ditutup atau digantikan polisi yang lain bersama pemantauan. Adakah ini tidak cukup lagi?

Adakah perlu saya menumpahkan segala kemarahan saya dengan coretan yang panjang pada isu ini untuk menampakkan bahawa saya sangat prihatin dan peka dalam isu ini? Adakah saya perlu memaki dan mengongsi semua penulisan dan berita tentangnya untuk menampakkan saya menentang keras terhadapnya?

Sejujurnya saya katakan bahawa isu wanita itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan sindiket penipuan umrah dan haji serta penceramah penglipur lara. Tiga ratus orang mangsa yang mana isu ini datang bersamaan dengan isu wanita itu masih lagi dipandang kecil? 

Lihat kes wanita ini. Berhari-hari dijadikan polemik tanpa henti. Sekarang, apa jadi dengan perkembangan jemaah? Apakah mereka akan mendapat ganti rugi sepenuhnya? Bagaimana nasib mereka dibela? Bagaimana dengan taikun yang menjadi dalang bagi jenayah ini?

Lantas, apa guna kalau kita menghentam habis-habisan terhadap wanita itu, sedangkan penceramah penglipur lara penyebar hadis palsu ini yang terang-terangan penghinaan terhadap Islam masih lagi bebas berceramah tanpa hadangan, dipandang seakan-akan tokoh ilmuwan dan dapat penyiaran di stesen televisyen? Itulah sebabnya saya menyorotkan topik pengkadaran ini kerana inilah yang sedang berlaku.

Terpulanglah untuk orang yang berkata saya sedang berfalasi ₍Whataboutsim₎ dalam menyentuh isu ini. Yang penting adalah para jemaah terbela dan pemangsa mereka dihukum dengan setimpal serta kes ini dapat dibasmi secara habis-habisan dan kita tidak mahu lagi terjadinya kes seperti ini pada tahun yang berikutnya. Malah, para penceramah yang terkenal dari kalangan penglipur lara dan memiliki rekod yang suka lepas cakap sehingga menyebarkan hadis palsu juga dapat dikenakan tindakan dan disekat daripada terus berceramah.

Janganlah mereka yang memiliki keupayaan yang besar dan dibelakangi oleh ramai pengikut serta memiliki posisi yang besar dalam masyarakat hanya menonjolkan kegagahan pada yang kecil lagi kerdil, tetapi mengelak dari lawan mereka yang setara dengannya yang lebih utama untuk difokuskan dan lebih diharapkan untuk berkonfrontasi dengannya.

Kemudian, mungkin ada yang tertanya tentang mengapa saya pada isu ini tampak seperti berfalasi ₍Whataboutsim₎. Saya terkenang apabila portal daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia menyiarkan artikel yang bertajuk «Wanita Hina Islam Biadab, Banteras Juga ‛Pelawak’ Di Masjid» bagi merespons isu ini juga disindir dan disinggung atas alasan berfalasi yang sama.

Padahal, dahulu apabila saya dan orang lain mengkritik dan mencela sebahagian penceramah pelawak penglipur lara yang terkenal, khususnya dalam isu hadis palsu, kami dituduh dan dicerca sebagai pemecah belah masyarakat, menghina usaha dakwah, tidak menghormati ilmuwan agama, dilabel wahabi dan pelbagai lagi. Sekarang, wanita yang mereka kutuk ini pada hakikatnya tidak ubah beza dengan penceramah kegemaran mereka dalam menghina Islam, tetapi dengan cara berbeza. 

Betapa ironi dan hipokrit mereka ini. Adakah sebab penceramah itu berserban, berjubah dan berkain rida, sentiasa menutur kata-kata manis, menyajikan cerita-cerita yang enak didengari, menyenangkan pendengar dengan perbahasan yang tidak membebankan dan lantang melawan wahabi? 

Inikah merit mereka untuk menganggap bahawa penyebaran hadis palsu itu adalah isu kecil atau tidak serius atau seakan-akan ia bukan hadis palsu langsung dan menganggap mana-mana kritikan tajam terhadapnya, khususnya terhadap kes yang di garisan merah adalah usaha untuk menjatuhkannya dan mencemarkan maruahnya?

Apa guna mengutuk wanita itu kalau mereka sendiri melakukan sesuatu yang setara dahsyatnya atau mungkin sahaja lebih, bahkan memberi ruang kepada penceramah penglipur lara ini terus bersiaran dengan penuh senyuman dan berceramah di masjid dengan aman sambil meneruskan kejahatannya disaluti dengan lawak dalam ayat-ayat agama?

Sebegitu juga dengan politikus yang dahulunya berkempen tentang memartabatkan agama dan memperjuangkan hak komuniti muslim. Apabila mendapat kekuasaan, mereka hanya mengerahkan kekuatan untuk menekan wanita itu sehabis-habisnya, namun apabila isu jemaah haji yang terkandas kerana sindiket penipuan, ia hanyalah sekadar api yang panas dan membara di malam hari yang menantikan hari siangnya untuk terpadam. 

Perkembangan terkini dan usaha progresifnya hanya seperti sang mengantuk untuk mengawasi sempadan, padahal isu wanita itu dengan jemaah haji tidak jauh beza waktu ia menjadi sensasi. Entah bagaimana nasib mangsa dan entah apa pengakhiran bagi mereka yang terlibat dalam jenayah penipuan ini. 

Adakah nasib mangsa akan terbela dan dijamin ganti ruginya yang penuh? Adakah benar-benar penjenayah ini akan mendapat hukuman yang melegakan semua mangsanya? Adakah selepas ini usaha pembanterasan akan lebih efektif supaya setiap taikun ini menjadi terancam untuk meneruskan kejahatannya?

Inilah tujuan saya dalam membangkitkan isu ini. Saya bukanlah sesuka hati untuk berfalasi ₍Whataboutsim₎. Saya hanya sekadar untuk membandingkan kes wanita ini dengan sebahagian pengikut penceramah penglipur lara dan pihak yang memiliki cengkaman yang kuat yang kononnya memperjuangkan nasib masyarakat dan maruah agama, tetapi hanya menyasarkan cakaran terhadap yang lemah dan kerdil untuk kekal selamat.

Saya berharap tidak ada salah faham tentang apa yang saya ingin fokus dalam perbincangan dan wacana ini, seterusnya saya berharap bahawa para pengikut penceramah penglipur lara untuk mempertimbangkan tentang jenayah dalam penyebaran hadis palsu dan saya berharap agar individu atau pihak sama ada organisasi atau kumpulan yang memiliki kedudukan besar yang menyamai suara ribuan netizen dan mampu memberikan rasa gelisah kepada lawan agar tidak hanya menyasarkan yang kerdil, tetapi mengabaikan yang gadang yang setara dengannya kerana ingin bermain selamat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/689595975896006656/celoteh-peribadi-167-kepincangan-pengkadaran

Celoteh 168 : Kami Bukan Orang Baru Yang Menuduh Ibn Taymiyyah Sebagai Mujassim

Bagi yang mengenali Abdul Aziz Mustafa Kamal, tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa dia adalah salafi dan pembela Ibn Taymiyyah.

Namun, saya melihat bahawa kebanyakan daripada pembela Ibn Taymiyyah ini tidak menyedari fakta yang penting bahawa yang menuduh Ibn Taymiyyah sebagai mujassim adalah Taqiyuddīn as-Subkiyy yang sezaman dengannya dalam «ad-Durroh al-Muḍiyyah Fī Rodd *Alā Ibn Taymiyyah». Ia bukan daripada ašᶜarian yang terkemudian atau mana-mana orang yang mempunyai motif buruk terhadapnya.

Saya pernah melihat pembela Ibn Taymiyyah berkata bahawa tidak ada penghormatan terhadap orang yang menuduh Ibn Taymiyyah sebagai mujassim lagi musyabbih. Adakah mereka akan berkata sebegitu kepada Taqiyuddīn as-Subkiyy? Kemudian, dalam masa yang sama, mereka berharap orang lain menghormati kewibawaan Taqiyuddīn as-Subkiyy setelah menyatakan sedemikian?

Apa yang saya lakukan dalam penulisan saya yang berjudul «Penajaman Deria Dalam Mengenali Sifat Yang Maha Mulia» dan beberapa orang yang jauh lebih baik daripada saya dari kalangan penuntut ilmu dan para ulama adalah sekadar menguatkan dapatan Taqiyuddīn as-Subkiyy. Kami sama sekali bukan buat sesuatu yang baharu.

Kalau benar mereka menghormati kedudukan Taqiyuddīn as-Subkiyy sebagai lawan yang setara dengan Ibn Taymiyyah, maka hormati kami dalam mengukuhkan pandangannya dalam isu konfliknya terhadap Ibn Taymiyyah dalam isu ketuhanan. 

Sekarang, fahamlah mengapa saya memetik kenyataan ini daripada seorang salafi pembela Ibn Taymiyyah tentang Taqiyuddīn as-Subkiyy. Jangan beranggapan bahawa perseteruan terhadap Ibn Taymiyyah seolah-olah seperti tokoh sunnah berseteru dengan tokoh bidaah atau tuduhan mujassim ini dari orang yang lekeh dari ahli kalam yang membenci Ibn Taymiyyah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/693411629086490624/celoteh-peribadi-168-kami-bukan-orang-baru-yang

Celoteh 169 : Kekecewaan Terhadap Usaha Pelestarian Khazanah Karya Ahli Bait

Saya kagum melihat kesungguhan usaha pihak salafi dalam memelihara khazanah tokoh ilmuwannya sehinggakan ceramah kuliahnya disimpan rakaman audionya dalam laman web khas mereka dan disediakan bersama transkrip pada bicara dalam audio itu.

Apabila saya melihat dari pihak yang lawan menjadi salafi, khususnya dari kalangan ašᶜarian, māturīdian dan sufi, usah kata rakaman audio dan transkripnya yang tidak dapat disimpan dengan baik. Adakalanya, karya mereka tidak dipelihara dengan baik sehingga tidak sampai seratus tahun pemergian salafi yang hidup pada zaman pita rakaman dan kamera yang terhad untuk yang dipikul di bahu, karya tersebut boleh dikatakan hilang ditelan zaman dan tidak ditemui sekalipun ada rekod penisbahan judul karya itu kepadanya atau karya itu masih lagi dalam bentuk manuskrip yang sehingga sekarang belum dicetak.

Mereka sendiri tidak ada perisian seperti Maktabah Syamilah untuk mengumpulkan khazanah-khazanah mereka. Bahkan, para pecinta ahli bait yang memandang tinggi terhadap tokoh-tokoh ilmuwannya yang merupakan zuriat terbaik di muka bumi dan peninggalan beban yang diwasiatkan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- pun seolah-olah tidak ada usaha sepertimana yang dilakukan salafi.

Kita ambil contoh daripada keluarga al-Ġumāriyy sudah memadai. Walaupun karya *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy sama ada berbentuk buku atau artikel dalam majalah berjaya diensklopediakan, tetapi masih belum ada perisian khas sepertimana Maktabah Syamilah untuk melestarikan dan memesradigitalkan karyanya. Itu belum lagi karya adik-beradiknya yang lain yang masih terabai.

Ada karya abangnya; Aḥmad al-Ġumāriyy masih lagi berbentuk manuskrip penulisan tangan dan sampai sekarang tidak dicetak seperti «al-Iqlīd Fī Tanzīl Kitab Allah *Alā Ahli at-Taqlīd» dan «al-*Atb al-I*lāniyy Li Man Waṯṯaqo Ṣōliḥan al-Fulāniyy». 

Ada karya adik-adiknya yang lain yang entah di mana simpanannya, entah bila akan ditemui semula dan entah bila dicetak sekalipun ada rekod penisbahan pemilikan judul kitab itu. Beberapa kuliah audio Muḥammad az-Zamzamiyy dan anaknya; *Abdul Bārī berjaya disimpan, tetapi masih belum ada transkip, apatah lagi buku khas yang mengumpulkan transkripnya sepertimana yang dilakukan pada salafi yang lain.

Apa yang terjadi sebenarnya? Di mana semangat pecinta ahli bait untuk memperkasakan karya ulamanya dan melestarikan khazanahnya? Adakah jauh ketinggalan berbanding salafi? Saya sangat berharap ada perpustakaan digital khas seperti Maktabah Syamilah yang memfokuskan karya-karya ahli bait memandangkan ahli bait adalah beban peninggalan yang diwasiatkan oleh Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Namun, entah bila kita akan menikmati manfaat itu.

Saya dapat mengutarakan dua sebab mengapa ini terjadi. Pertama, boleh jadi kebanyakan ilmuwan ahli bait berpihak pada kelompok mereka pada masa kini dan setaraf dengan mereka sama ada dari segi tahap keilmuan, kesolehan dan kedudukannya. Maka, kebanyakan orang yang tidak memandang tinggi terhadap ahli bait menganggap bahawa ahli bait dan ulama yang lain adalah sama. 

Maka, bagi mereka, ambil yang mana-mana pun tidak ada masalah. Adakalanya, yang ahli bait begitu dipinggirkan dan tidak diutamakan yang sewajarnya bersama kecintaan yang mendalam sepertimana yang dilakukan pada tokoh-tokoh dan karya yang selain daripada ahli bait.

Ramai sahaja daripada mereka berkata bahawa ahli bait adalah zuriat yang dimuliakan di muka bumi ini. Akan tetapi, apabila melihat senarai karya-karya yang mereka selalu rujuk, yang telah mereka baca dan yang menjadi keutamaan langsung tidak diberikan kepada ahli bait. Nama-namanya banyak yang selainnya. Seakan-akan tokoh ilmuwan ahli bait ini sama sahaja seperti tokoh yang lain sehingga mana-mana boleh diambil atau karya ahli bait tidak ada masalah dipinggirkan.

Kedua, barangkali berlaku banyak perpecahan dalam kalangan mereka sehingga sukar untuk mereka bersatu dalam menjayakan usaha untuk membangunkan perisian yang sama seperti Maktabah Syamilah. Boleh jadi perpecahan adalah disebabkan tuduhan terhadap orang lain dengan label wahabi yang sembarangan atau mana-mana yang tidak semanhaj dengannya, dianggap bukan kelompok yang patut diberikan keutamaan atau beri ruang kepadanya.

Tokoh ahli bait ini sememangnya tidak terhad pada ašᶜarian semata-mata, ada yang salafi seperti Muḥammad Būẖubzah bin al-Amīn, *Alawiyy bin *Abdul Qōdir as-Saqqōf, Ḥasan bin *Aliyy al-Kattāniyy dan saudaranya; Ḥamzah dan ada juga daripda zaydian yang jumlahnya sangat ramai serta sebahagiannya mungkin syiah imāmian. Itu belum lagi subpecahan yang ada pada masing-masing yang mungkin sahaja ada perbezaan yang jelas.

Bahkan, antara andaian saya adalah karya Aḥmad al-Ġumāriyy tidak mendapat tempat sepertimana adiknya; *Abdullah kerana ketidaksukaan sebahagian orang yang cakna bahawa Aḥmad al-Ġumāriyy ini sangat kuat mengutuk ašᶜarian meskipun dia adalah sufi. Ḥasan bin *Aliyy as-Saqqōf dalam «al-Jawāb ad-Daqīq *Alā Mā Waqo*a Fī Kitāb Darr al-Ġommām ar-Roqīq» mendakwa bahawa teks-teks kutukan Aḥmad al-Ġumāriyy terhadap ašᶜarian adalah yang telah diseleweng walaupun ini adalah dakwaan kosong dan tidak berasas.

Kalaulah masing-masing saling berpecah antara satu sama lain, ada sentimen tersendiri dan tidak dapat menghargai keunikan yang ada pada setiap satu daripada ilmuwan, sampai bila-bila kita akan ketinggalan dalam pecutan yang telah didedikasikan oleh salafi terhadap khazanah tokohnya sama ada karyanya atau kuliah audionya. 

Tokoh ahli bait yang salafi mungkin akan ditolak habis-habisan kerana sentimen akidah dan manhaj yang ekstrim. Sebegitu juga salafi yang menolak ahli bait dari aliran selainnya dan termasuk daripada golongan bidaah atau kalaupun mereka menerimanya sebagai ahli sunnah, ia di kelas yang rendah.

Akhirnya, pelestarian khazanah peninggalan bait sepertimana pihak salafi yang lain tinggal angan-angan dan impian yang tidak kesampaian. Dukacita untuk kita menghadapi situasi sebegini.

Yang lebih mendukacitakan lagi adalah mereka yang selalu mendakwa bahawa ikutan mereka adalah yang paling majoriti pun tidak dapat memelihara karya mereka dengan jumlah yang ramai. Malulah kalau seringkali mengutuk wahabi sebagai golongan minoriti, tetapi golongan mereka sendiri tidak dapat menjaga peninggalan tokoh-tokoh dari golongan sendiri.

Tidak ada guna mengutuk dan menempelak wahabi yang giat aktif menyebarkan dakwahnya, fahamannya dan hegemoninya kalau diri sendiri masih berpecah, luntur semangat untuk membuat alternatif yang setara dan berdaya saing serta tidak menghargai keunikan yang ada pada dalam sama aliran.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/693540605710712832/celoteh-peribadi-169-kekecewaan-terhadap-usaha

Celoteh 170 : Liberal Yang Mempersoalkan Keberagamaan Saya

Aneh dengan sebahagian liberal yang mempersoalkan keberagamaan saya kerana saya kelihatan salafi, fundamentalis, tradisionalis, ortodoks dan konservatif, tetapi saya terkait dengan erotisisme dan menikmatinya. Malah, menzahirkan sama ada berpenampilan erotikawan atau perkongsian bahan erotika di media sosial sepertimana yang bukan rata-rata agamawan yang dirupakan dengan salafi, fundamentalis dan seterusnya.

Kalaulah kita mempersoalkan keberagamaan mereka, pasti mereka ini melenting dan mengejek kita dengan pelbagai nistaan seperti jumud, simplistik dan pelbagai lagi. Mereka cuba mencanang-canangkan bahawa keberagamaan merekalah yang progresif, kritis, segar dan bermakna. 

Liberal yang mengutuk saya ada dua pihak. Yang pertama adalah yang membenci erotisisme dari segenap sudut sama ada erotika, pornografi atau aktiviti seksual. Yang kedua adalah yang sememangnya seorang erotikawan dan menyokong atau terbabit dengan perlakuan seksual yang dianggap bebas sama ada homoseksual atau perhubungan terbuka.

Cuma, kedua-dua pihak tetap berperilaku aneh sekali. Pihak pertama adalah kalau mereka membenci erotisisme dari segenap sudut dan melemparkan celaan yang bermacam-macam kepada saya, maka pihak yang kedua akan membalas semula untuk merefutasi dan menanggap buruk terhadap mereka kerana acah-acah suci daripada seks, rahib dan puritan. 

Yang menghairankan adalah ada daripada pihak pertama adakalanya memberi toleransi kepada pihak kedua atau senyap-senyap sebenarnya terbabit dengan erotisisme sama ada ketika pergaulan, sosial atau borak kosong. Mengapa tidak boleh pula menerima dari pihak saya? Padahal, boleh jadi saya dan pihak yang kedua sebenarnya tidak ada beza pun dari sudut erotisisme.

Pihak kedua yang terang-terangan mempromosikan, berkongsi, memperjuangkan dan mengamalkan erotisisme secara terbuka dihamparkan permaidani toleransi. Bahkan, ada yang bersahabat rapat dan mengambil pandangannya dalam mengkritik atau mencela golongan yang dianggap sebagai ortodoks, konservatif, fundamentalis dan tradisionalis. Lantas, mengapa pula saya tidak boleh menjadi salafi dan ortodoks dan dalam masa yang sama, saya adalah erotikawan?

Pihak kedua pula adalah mereka mencela saya pada apa yang mereka sendiri terbabit dan membawanya dalam kehidupan seharian. Tidakkah ini hipokrit? Ada sebahagian mereka terang-terangan mempromosikan gerakan menormalisasikan homoseksual dan meraikannya sebagai pengiktirafaran umum serta memperjuangkan hak pasangan itu untuk mengamalkan orientasinya tanpa didiskriminasi. Namun, saya yang berpandangan keharusan liwat ditempelak dan dikeji. Apa masalah mereka?

Kedua-dua mereka menentang saya kerana saya mengkritik pemikiran liberal dan menyanggah alirannya serta menganggap bahawa mereka ini adalah aliran yang bercelaru dan penuh kucar-kacir. Saya tidak merasakan sebenarnya mereka membangkitkan isu erotisisme kerana itu punca utama pergolakan saya bersama mereka. Akan tetapi, ia sekadar modal untuk memburukkan saya dan mempermainkan saya.

Apabila saya adalah seorang erotikawan, tetapi masih berpegang dan setia dengan manhaj salafi, pemikiran ortodoks, titian konservatif, sandaran fundamentalis dan hamparan tradisionalis, saya dipersoalkan dengan berkata: "Kalau kamu seorang yang salafi yang dikenali dengan ketegasannya dan kebengisannya, mengapa terjebak dengan erotisisme? Agama apa seperti ini? Tidak sangka orang seperti kamu bernafsu kuat!".

Padahal, kalaulah agamawan lain mempersoalkan dan berkata yang seumpamanya pada aliran, pemikiran dan manhaj mereka, pasti kita disindir sebagai tidak mengerti keluasan pemikiran, kepelbagaian pandangan, naratif yang baru dan capaian yang kritis serta diejek sebagai jumud, sempit pemahaman dan tersepit dalam dogma sendiri.

Apabila kita mempersoalkan mereka yang mendakwa bahawa mereka beriman dan beramal dengan hadis, tiba-tiba mereka menolak beberapa hadis yang tidak memenuhi kepuasan mereka tanpa analisis sanad, bahkan sanggup mengambil pandangan tokoh yang membenci ilmu hadis, institusinya dan ilmuwannya untuk mengukuhkan pandangan mereka atau mencela agamawan yang mereka lawan, kita akan melihat respons mereka yang memogok dan merebel.

Apabila kita menyindir mereka sebagai bercelaru sepertimana yang saya menyebutkan di sini, lihat pula ejekan balas terhadap saya. Akhirnya, kita sebenarnya saling berkelahi kerana apa? Silalah para pembaca untuk menilainya dengan saksama.

Bagi yang mengenali saya, sudah pasti tahu prinsip saya. Saya berusaha sedaya upaya dengan izin dan bantuan daripada Allah untuk beriltizam dengan kebenaran walaupun pandangan itu memihak daripada pihak zindik dan heretik sekalipun. Saya memilih pandangan yang banyak membenarkan perkara yang terkandung dalam erotisisme bukan kerana hawa nafsu saya dan saya mengkritik liberal bukan kerana saya tidak konsisten.

Saya tahu apa yang saya pilih, di samping saya tidak terpuruk dalam kongkongan atau ketaksuban terhadap mana-mana individu atau kelompok untuk menjadi erotikawan sambil terus menerus menyanggah liberal atau sesiapa sahaja pun walaupun dari teman salafi. Apabila nyata kebenaran, itulah yang saya akan tegakkan, perjuangkan, pertahankan dan bawa meskipun ia adalah erotisisme dan kritik terhadap liberal.

Saya sedar bahawa kita mungkin saling bertelagah antara satu sama lain kerana masing-masing ada pemikiran, pendapat dan pembawaan sendiri. Tidak ada siapa pun dapat mengelakkan konflik atau pertembungan yang sengit atau sekurang-kurangnya perselisihan yang memisahkan antara dua individu.

Akan tetapi, kita semua perlu matang dan sentiasa objektif dalam perbincangan ilmiah dan berinteraksi dengan pelbagai pandangan. Kita jangan berlebihan dalam pergaduhan sehingga mengheret isu-isu peribadi atau sampingan atau luaran yang tidak sepatutnya. Bahkan, elakkan dari sikap hipokrit seperti mengecam apa yang kita sendiri selama ini buat atau melakukan apa yang kita kecam pada keadaan tertentu. Inilah yang paling dibenci dalam perbezaan pandangan.

Selagimana kita dapat mengusahakan penyatuan dan perpaduan, maka itulah yang seharusnya perlu dicapai. Jika akhirnya jalan masing-masing adalah terpecah, maka toleransi perlu diwujudkan. Jika ia adalah perbezaan yang masing-masing atau salah satu dari pihak melihatnya sebagai perbezaan yang mendasar dan serius dampaknya, maka Allah jualah penentunya dan terserah pada pemerhati untuk menilainya dengan saksama.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/693682395712520192/celoteh-peribadi-170-liberal-yang-mempersoalkan

Celoteh 171 : Perlunya Merapati Sang Fajir Bagi Tujuan Dakwah

Dikatakan aš-Šāfi*iyy berseloka :

أحب الصالحين ولست منهم # وأرجو أن أنال بهم شفاعة

وأكره من تجارته المعاصي # وإن كنا سواء في البضاعة

※Aku mencintai sang soleh, namun daku bukan daripada mereka

Ku berharap agar aku peroleh syafaat melalui mereka

Aku membenci mereka yang bergelumang dengan kemaksiatan

Meski kami pun sama pada barang dagangan※

Sebab itulah kita jangan sesuka hati menyisihkan sang fajir yang bergelumang dengan maksiat dan melayani mereka dengan bengis. Mereka ini cuma diuji oleh Allah dengan kemaksiatan atau kejahilan yang menyelubungi mereka sepertimana para agamawan diuji dengan rasa diri itu baik dan dipilih Allah.  

Kalau kita sebagai agamawan tidak suka diperlekehkan oleh golongan fajir kerana sikap pengkastaan dan layanan buruk sepanjang masa, maka agamawan juga tidak boleh sesuka hati memperlekehkan golongan fajir seolah-olah mereka ini terlalu kotor untuk didekati dan berinteraksi dengannya, apatah lagi menjauhkan mereka dari hak keberagamaan yang mereka berhak untuknya. 

Kita semua ada cabaran masing-masing, tetapi berbeza rupa syaitannya dan jenis bisikannya. Jangan sangka sebab seseorang itu tidak merokok atau tidak pernah menonton video lucah, maka dia terselamat dari musuh yang halus dan licik, apatah lagi tipu daya tuhan yang jauh lebih unggul daripada segala-galanya. Sang soleh dan sang fajir masing-masing perlu merendah diri dan sama-sama muhasabah diri.

Sang soleh perlu sedar bahawa ketaatan yang dapat mereka tumpahkan dan ibadah yang dapat mereka laksnaakan adalah rahmat daripada Allah dan anugerah-Nya. Jika dia ujub, riyak dan sombong, dikhuatiri nikmat itu akan ditarik atau dia menjadi yang lebih teruk daripada sang fajir yang dia kutuk.

Sang soleh perlu terbuka untuk merapati bagi tujuan bimbingan dan dakwah tentang keagungan nilai menjadi seorang hamba yang cekal dalam kebaikan dan setiap dalam keberagamaan yang murni. Itulah tanggungjawab yang dipikul oleh setiap mereka yang berkemampuan dan berkebolehan untuk membawa seramai yang boleh ke arah haluan ini.

Sang fajir juga perlu beringat bahawa hidup ini tidak sepatutnya dikotorkan dengan dosa dan wajib memperbaiki diri agar dapat menjadi hamba Allah yang dipilih. Oleh itu, dampingilah orang yang soleh, pelajari kebaikan daripadanya dan contohi teladan yang bermakna yang mereka tampilkan. Walaupun pahit teguranya atau kita tidak suka beberapa sikap daripada sebahagian orang yang soleh, jika ia baik, maka usah diabaikan.

Ini mengingatkan saya ketika mendekati para erotikawan kerana mereka ini walaupun mereka ini merasakan diri ini pelaku maksiat, tetapi mereka suka mengambil tahu isu agama dan ada keinginan untuk mendalami ilmu agama serta ada kesedaran yang tersisa dalam mempertahankan agama. Begitulah apabila saya berkongsi ilmu agama dan berwacana tentangnya pada mereka sepanjang merapati mereka. Namun, orang agamawan selalu sahaja menyisihkan mereka dan bersikap bengis terhadap mereka.

Mereka ini bukan perlu disisihkan hanya beralasankan perbuatan maksiat mereka, tetapi mereka perlu dibantu dan dididik untuk menjadi yang lebih baik. Mereka memerlukan dorongan untuk berubah dan kita perlu bersabar dalam berdakwah kepada mereka sama ada kerana karenah mereka atau mengambil masa yang lama untuk mereka berubah dan sedar.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat melihat di mata kepala saya sendiri perubahan daripada mereka dan hasil perapatan saya bersama mereka. Mereka mula cakna untuk ambil tahu dan belajar ketikamana sebelum ini mereka tidak nampak begitu minat atau tidak peduli terhadap agama mereka. 

Mereka mula mengajukan pertanyaan kepada saya tentang kemusykilan yang ada pada isu agama walaupun saya bukanlah orang yang terbaik untuk mereka dan bukanlah setara dengan mufti atau ilmuwan kenamaan yang menyerlah dengan kewibawaannya. Apabila mereka membuka perbincangan, nampak minat mendalam untuk mengkaji, peningkatan ilmunya, pertambahan pemahamannya dan luasnya capaiannya. 

Perlahan-lahan mereka menjadi progresif dan tampak kesungguhan mereka untuk belajar dan mara ke hadapan walaupun perlahan dan sebelum ini agak sukar untuk mereka berubah. Sekalipun erotikawan, tidak ada yang menghalang entusias mereka apabila ingin mempelajari agama. 

Mereka ini jika kita benar-benar tulus ingin menbentuk mereka, pasti mereka akan menjadi acuannya. Kalau sepanjang masa kita mengabaikannya hanya kerana dia terbabit dengan tontonan erotika, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mereka berubah setelah ternyata bahawa mereka ada minat untuk agama, lebih-lebih lagi kita yang sesuai menjadi orang yang berinteraksi dengannya?

Malah, kalaulah saya meninggalkan mereka sepertimana yang dilakukan para agamawan kebiasaannya melakukannya, pasti mereka akan kekal ignoran dalam agama atau mungkin lebih teruk lagi. Dikhuatiri apabila mereka ingin memahami agama, sama ada mereka akan memandai-mandai sendiri atau merujuk kepada orang yang tidak sepatutnya kerana agamawan yang mereka ingin rujuk seringkali mengabaikan hak pertanyaannya dan perbincangannya dengan mengeji dan mengutuk mereka kerana isu erotisisme pada mereka.

Kalaulah mereka terjebak ke arah ajaran sesat lagi menyeleweng disebabkan orang agamawan menyisihi mereka dan memulaukan mereka serta mengabaikan hak mereka untuk bertanya tentang agama atau mendalaminya atas alasan mereka ini pelaku maksiat yang tidak ada keberkatan atas ilmunya, maka adakah mereka ingin bertanggungjawab?

Bahkan, ada yang sanggup halau mereka dari kelas apabila didapati mereka menonton video lucah, tetapi masih memberikan ruang untuk perokok selagimana bukan di hadapan mereka dan di luar kelas walaupun diketahui bahawa perokok jauh lebih dahsyat daripada sekadar menonton video lucah! Adakah mereka akan bertanggungjawab jika mereka menjadi orang yang membenci agamawan dan terjebak kepada fahaman yang menyeleweng apabila mereka terjauh daripada pengajian manhaj yang lurus?

Saya faham jika agamawan tidak mahu tercemar namanya apabila ada merapati sebahagian orang sebegini. Akan tetapi, cubalah bayangkan kalau itu adalah adik-beradik atau keluarga kita. Adakah kita akan memutuskan hubungan dengan mereka, bermasam muka terhadap mereka, berpaling daripada sejauh-jauhnya dan tidak mahu melayani lagi?

Saya berharap para agamawan bersikap sebagai pendakwah lagi pembimbing, bukan seorang yang kedekut dan hanya tersepit di dinding mereka. Janganlah sebab kita tidak suka dalam beberapa perkara, kita mengabaikan mereka, lebih-lebih lagi jika mereka ada hak untuknya seperti hak orang yang bertanya untuk kepada ahli ilmu.

Kalaulah selama ini orang yang memusuhi agama bertanya kepada kita tentang agama, lebih-lebih lagi pertanyaan yang bebas daripada unsur provokatif dan nampak ketulusan ingin mengetahuinya, adakah kita akan mengabaikannya atas alasan mereka ini berakidah kufur, lantang dalam menentang agama dan kerap melawan orang agama? Jika mereka ini jauh lebih teruk daripada fajir sebelumnya boleh diberikan layanan yang sepatutnya, mengapa sukar sekali untuk si fajir yang lain?

Kalaulah mereka berubah atas sebab penjelasan yang kita berikan dan jawapan yang kita kemukakan, tidakkah ini adalah rahmat yang wajar disyukuri? Sebab itulah kita perlu merapati mereka kerana kita tidak tahu di mana antara mereka yang boleh berubah atau apa potensi pada mereka yang dapat kita asah untuk mereka menyerlah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/693716094236737536/celoteh-peribadi-171-perlunya-merapati-sang

Celoteh 172 : Keralatan Yang Tidak Disengajakan Dalam Membaca Kitab Bahasa Arab Tanpa Baris Adalah Perkara Biasa

Walaupun Rozaimi Ramle dari pihak salafi dan Ahmad Faiz Hafizuddin yang merupakan antitesis kepadanya serta masing-masing adalah dari dua pihak yang saling berlawanan, kedua-duanya sepakat bahawa setiap daripada seorang pengajar yang membaca kitab Arab tanpa berbaris adakalanya tersilap sama ada membariskannya atau menyebut perkataan.

Saya sendiri secara peribadi pun berhadapan dengan yang sama. Walaupun kami sudah ada pengetahuan ilmu nafu dan sorof yang cukup untuk mampu membaca kitab berbahasa Arab tanpa baris dengan limpah kurnia daripada Yang Maha Penganugerah, bukan bermakna kita boleh konsisten tanpa melakukan ralat.

Cuma, kita mungkin akan memperbetulkannya apabila menyedarinya dan jika kita tidak menyedarinya, kita mampu menerima teguran daripada orang lain untuk itu dengan izin Allah dan tidaklah jahil dalam iᶜrab untuk perkataan itu. Hanya sahaja kita tersilap. Sama ada kita menyedari atau tidak. Bukan kerana disebabkan kejahilan kita semata-mata sepertimana seseorang yang mahir mengeja pun adakalanya melakukan kesilapan dalam ejaan.

Hanya orang yang bodoh, menyimpan permusuhan yag tidak matang dan terdesak untuk mencari bahan untuk menjatuhkan pihak lain sahaja akan menjadikan modal ini sebagai yang dibesar-besarkan. Mereka tidak membezakan antara kejahilan, tetapi memandai-mandai dengan kesilapan yang tidak disengajakan, lalu mereka berkata kepada orang ramai: "Lihat! Orang ini membaca kitab Arab pun salah!" dan menambahkan lagi kata-katanya: "Orang sebegini mahu mengajar agama dan berlagak ulama?" bertujuan untuk memalukan orang itu, menghinjaknya habis-habisan dan ketawa berdekah-dekah bersama rakan sekeliling.

Semoga Allah menimpakan ujian yang sama sepertimana mereka yang lakukan terhadap kami dan semoga Allah mengheret kepada situasi sepertimana yang kami sedang lalui disebabkan mereka. Kelak mereka tahu betapa bodohnya cara berselisih dengan orang lain sebegini.

Yang lebih menghairankan lagi adalah orang yang mengejek sebegini adalah dari kalangan orang yang tidak tahu bahasa Arab, tetapi menjadi burung kakak tua kepada orang yang dia ikuti yang menyindir saya dan orang lain sebegini. Mereka ini hanya mampu menjadi pengikut buta kepada seseorang, kemudian ke sana ke sini mahu melagak wira pembela agama kepada orang sekeliling. Tidak malukah mereka dan tidak sedarkah mereka bahawa mereka jauh lebih jahil daripada orang yang mereka kutuk sekurang-kurangnya dalam bahasa Arab?

Mereka ini sendiri tidak tahu sama ada pembacaan kitab bahasa Arab orang yang dia menjadi burung kakak tua untuknya itu benar atau tidak, bahkan berpengetahuan atau tidak. Kemudian, mereka ingin berhadapan dengan orang yang dia selalu kutuk untuk lapangan yang mereka sendiri jahil dan tidak tahu. Ironinya adalah mereka mereka menuduh orang lain memandai-mandai, tetapi mereka sendiri memandai-mandai dalam berseteru dengan musuh dengan menjadi burung kakak tua yang merasakan genius bertutur.

Orang yang bertaklid sewajarnya diam dan jangan terbabit dengan perbalahan yang dia bukan berkeahlian padanya. Jika dia tidak mampu membezakan kesilapan yang tidak sengaja dan kejahilan yang seseorang memandai-mandai dengannya, maka usah menjadi minyak kepada api dan gerombolan yang buta yang tidak tahu ke mana dia dibawa. 

Dia sendiri tidak tahu bahasa Arab. Lalu, bagaimana mungkin dia mampu meyakinkan orang lain dan mengajarkan orang lain tentang siapakah yang berkebolehan dan siapakah yang bercelaru dalam bahasa Arab? 

Tambah lagi pelik adalah orang ini juga pengikut kepada orang yang tidak tahu bahasa Arab sama sekali, tetapi melagak pandai dengan penuh yakin untuk mengelabui sekeliling. Bahkan, kalau ditanya pengikutnya sekalipun tentang pengetahuan bahasa Arab pada orang yang dia ikuti, dia sendiri akan mengetahui hanya sedikit atau tidak berkemampuan langsung untuk berkemahiran dalam pembacaan kitab. Bahkan, orang itu sendiri pun akan mengakui yang sama atau memperakuinya kemampuan dirinya.

Adakalanya, kita tertanya-tanya. Apakah sudah kemaruk untuk mengajar dan menjadi wira dalam masyarakat dalam keadaan buta pada kedudukan diri dalam lapangan tersebut sehingga sanggup menceroboh masuk rimba yang bukan kawasannya atau berdelusi terlalu pekat sehingga tidak boleh melihat realiti betul dan salah atau jahil dan mahir ketikamana membaca kitab berbahasa Arab?

Orang seperti inilah kami tentang. Mereka bukan lagi yang melakukan keralatan yang tidak disengajakan, namun mereka adalah orang yang memperdaya kedudukan ilmu mereka dengan pengelabuan dan perselindungan di kalangan orang yang jahil. Kami menentang bukan kerana dia tersilap dalam membaris atau menyebut perkataan, tetapi kejahilan yang dia bersusah payah untuk menampilkan diri itu berpengetahuan.

Atas sebab itulah berbeza orang yang berilmu dengan orang yang jahil. Orang yang berilmu akan mampu membezakan siapakah sang dungu yang memakai jubah cendekiawan dan perbezaan dua kesilapan pada pembacaan teks Arab tanpa baris. 

Segala puji bagi Allah atas kurniaan yang besar kepada kami. Semoga kami termasuk orang yang bersyukur dan melaksanakan balasan itu dengan pengabdian yang penuh, teguh di atas kebenaran dan sentiasa mempertahankan manhaj yang jernih dengan tulus.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/694032919345463296/celoteh-peribadi-172-keralatan-yang-tidak

No comments:

Post a Comment