Tuesday, September 29, 2020

Koleksi Celoteh Peribadi (Bahagian 1)

Sebahagian cerita-cerita peribadi telah ditulis dalam kolum «Diari Diri». Namun, di sini adalah sesuatu yang ringkas atau diambil intisari daripada slot tersebut. Penulisan di sini boleh dibaca tanpa mengikut turutan. Nombor sekadar memudahkan rujukan. Penulisan di sini juga mungkin tidak ada tajuk tertentu kecuali jika dirasakan sesuai. Tema yang disentuh ini mungkin juga berulang-ulang dalam beberapa penulisan.

Penulisan di sini juga diambil daripada laman Tumblr saya di : https://amirkazuma.tumblr.com/tagged/celotehperibadiamirkazuma

Celoteh 1 : Saya Menjadi Salafi Yang Bagaimana?

Saya hairan mengapa salafi selalu sahaja disamakan dengan gerakan wahabi. Ini adalah kesilapan yang fatal. Sesiapa yang menyamakan salafi dengan wahabi adalah seumpama orang yang menyamakan sosialisme dengan komunisme.

Mungkin sebab wahabi menjadi tumpuan dominan dalam salafi dan salafi pula berpusu-pusu mempertahankan Muḥammad bin *Abdul Wahhāb; selaku perintis kepada fahaman wahabi apabila dia disergah meskipun mereka tidak pernah membaca karya-karyanya atau mengenali mendalam sosok peribadinya, maka ia dianggap satu hakikat yang sama.

Walhal ia tidak sebegitu. Sebahagian salafi yang tidak menyetujui bahawa ašᶜarian itu dikafirkan dan ditendang keluar dari ahli sunnah bukan bermakna mereka adalah ašᶜarian walau satu aspek pun. Mereka sekadar menepis kesimpulan keterlaluan terhadap sebahagian rakan salafi, bukan menyetujui ajaran ašᶜarian, apatah lagi menjunjung gagasannya.

Umar Muhammad Noor juga meskipun dia bukan salafi, tetapi dia dalam bukunya «Aliran Kritik Hadis Semasa» ketika membincangkan tentang asal usul salafi memaparkan bahawa salafi tidak terhad identitinya pada Muḥammad bin *Abdul Wahhāb dan apa yang berlaku di Najd. Ia tercipta dari konteks sosiobudaya tertentu. Setiap tempat, masa dan situasi ada kepelbagaian dalam mencorakkan identiti salafi walaupun akhirnya akan berpusat pada beberapa prinsip utama yang sama.

Malah, boleh dikatakan rata-rata salafi tempatan secara khususnya bukanlah pengkagum besar Muḥammad bin *Abdul Wahhāb. Buku-bukunya langsung tidak diambil berat dan dijadikan subjek pegangan. Apatah lagi memperjuangkan gagasannya kecuali sebilangan yang sedikit. Rata-ratanya ada corak masing-masing sepertimana ia dilihat pada konteks sosiobudaya tertentu.

Seseorang boleh sahaja menjadi salafi tanpa perlu mengambil tahu tentang Muḥammad bin *Abdul Wahhāb. Menjadi salafi pun bukan bermakna menjadi orang yang menyibukkan masa untuk mempertahankan polemik ke atas Muḥammad bin *Abdul Wahhāb.

Bahkan, saya sendiri tidak menyetujui dan terhadap beberapa kenyataan keras Muḥammad bin *Abdul Wahhāb dalam penentangannya terhadap syirik dan lain-lain. Sebagai permulaan, boleh merujuk «Dā*iyatan Wa Laysa Nabiyyan : Qirō^ah Naqdiyyah Li Maḏhab aš-Šayẖ Muḥammad Ibn *Abd al-Wahhāb Fī Takfīr» karya Ḥasan bin Farḥān al-Mālikiyy dan «ar-Ru^yah al-Wahhābiyyah Li at-Tawḥīd Wa Aqsāmih : *Arḍ Wa Naqd» karya *Uṯmān Muṣṭofā an-Nābulsiyy. 

Malah, salah seorang penghulu ahli hadis dari kalangan salafi seperti al-Albāniyy juga mengakui keekstriman pada Muḥammad bin *Abdul Wahhāb dan pengikutnya. Dia berkata :

الحقيقة محمد بن عبد الوهاب رحمه الله فضله كبير على الأمة الإسلامية لكن فيه شيء من الغلو والشدة

"Hakikatnya Muḥammad bin *Abdul Wahhāb -semoga Allah merahmatinya- memiliki kelebihan yang besar pada umat Islam, tetapi padanya terdapat pelampauan dan kekerasan". [Rujuk https://www.al-albany.com/audios/content/1252/%D8%A7%D9%84%D9%83%D9%84%D8%A7%D9%85-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%AF%D8%B9%D9%88%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D9%8A%D8%AE-%D9%85%D8%AD%D9%85%D8%AF-%D8%A8%D9%86-%D8%B9%D8%A8%D8%AF%D8%A7%D9%84%D9%88%D9%87%D8%A7%D8%A8-%D9%88-%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B7%D8%B1%D8%A7%D8%AF-%D9%81%D9%8A-%D9%85%D8%B3%D8%A3%D9%84%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D9%88%D8%B3%D9%84-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D9%8A-%D8%B5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D9%88%D8%B3%D9%84%D9%85-%D9%88%D8%A8%D8%AC%D8%A7%D9%87-%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D9%8A-%D8%B5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D9%88%D8%B3%D9%84%D9%85].

Dia berkata :

كان في عندهم شدة ويظهر أن هذه سنة الله في خلقه إلآ من عصم الله وقلبك ماهم كما قال عليه السلام : (إن لكل عمل شرّة ولكل شرّة فترة فمن كانت فترته إلى سنتي فقد اهتدى ومن كانت فترته إلى بدعة فقد ضل) ، فالجماعة كان عندهم شيء من الشدة أخذوها طبعا من بعض نصوص محمد بن عبد الوهاب رحمه الله واستمر الأتباع إلى هذا العهد موصولون بهذه الشدة ، وكنا نسمع نحن قديما أن هؤلاء النجديون يكفرون عامة المسلمين .

"Dahulu di sisi mereka terdapat kekerasan dan sesungguhnya zahir ini adalah sunnatullah pada ciptaan-Nya kecuali orang yang Allah melindunginya dan jantungmu adalah apa yang mereka sepertimana baginda -*alayhissalām- bersabda: Sesungguhnya setiap amalan itu ada entusias. Setiap entusias ada tempohnya. Sesiapa yang tempohnya adalah pada sunnahku, maka dia mendapat petunjuk. Sesiapa yang tempohnya adalah pada bidaah, maka dia telah sesat. Kelompok itu dahulu di sisi mereka terdapat sesuatu yang keras yang mereka mengambilnya sebagai karakter daripada sebahagian teks-teks Muammad bin *Abdul Wahhāb -semoga Allah merahmatinya- dan berterusan pengikut itu kepada masa ini yang mereka disambung dengan kekerasan ini. Dahulu kami mendengar bahawa najdian ini mengkafirkan muslimin secara amnya". [Rujuk https://www.al-albany.com/audios/content/1252/%D8%A7%D9%84%D9%83%D9%84%D8%A7%D9%85-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%AF%D8%B9%D9%88%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D9%8A%D8%AE-%D9%85%D8%AD%D9%85%D8%AF-%D8%A8%D9%86-%D8%B9%D8%A8%D8%AF%D8%A7%D9%84%D9%88%D9%87%D8%A7%D8%A8-%D9%88-%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B7%D8%B1%D8%A7%D8%AF-%D9%81%D9%8A-%D9%85%D8%B3%D8%A3%D9%84%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D9%88%D8%B3%D9%84-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D9%8A-%D8%B5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D9%88%D8%B3%D9%84%D9%85-%D9%88%D8%A8%D8%AC%D8%A7%D9%87-%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D9%8A-%D8%B5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D9%88%D8%B3%D9%84%D9%85].

Apabila seseorang merespons dengan berkata: "Khawarij", dia berkata :

أو يقولون عنهم خوارج إلى آخره ، أنا لما بدأت أسافر لتلك البلاد تجلى لي في أتباعهم شيء من هذه الشدة ، يكفي في ذلك أن مجرد ما واحد يتوسل بالتوسل المبتدع عندنا جميعا أن هذا كفر و أشرك ، ما ينبغي أن نقول رأسا كفر أو شرك ، يجب أن نستفصل القول أن هذا الذي يتوسل ماذا يعني ، ماذا يريد ؟ وإلا كفرنا وشركنا إمام من أئمة المسلمين

"Atau mereka mengatakan tentang mereka sebagai khawarij sehingga akhirnya. Aku tatkala memulakan perantauan ke negeri itu, ternyata padaku sesuatu pada pengikut mereka dari kekerasan ini. Cukup pada itu adalah seseorang semata-mata yang bertawassul dengan tawassul yang bidaah di sisi kita secara keseluruhan untuk dikatakan bahawa ini adalah kufur dan syirik. Tidak sepatutnya kita mengatakan pada setiap kepala sebagai kafir atau syirik. Wajib bagi kita meminta perincian pendapat bahawa tawassul yang ini adalah apa yang dikehendaki, iaitu apa yang diinginkan. Jika tidak, kita telah mengkafirkan dan menuduh syirik terhadap salah seorang daripada imam-imam muslimin". [Rujuk https://www.al-albany.com/audios/content/1252/%D8%A7%D9%84%D9%83%D9%84%D8%A7%D9%85-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%AF%D8%B9%D9%88%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B4%D9%8A%D8%AE-%D9%85%D8%AD%D9%85%D8%AF-%D8%A8%D9%86-%D8%B9%D8%A8%D8%AF%D8%A7%D9%84%D9%88%D9%87%D8%A7%D8%A8-%D9%88-%D8%A7%D8%B3%D8%AA%D8%B7%D8%B1%D8%A7%D8%AF-%D9%81%D9%8A-%D9%85%D8%B3%D8%A3%D9%84%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%AA%D9%88%D8%B3%D9%84-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D9%8A-%D8%B5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D9%88%D8%B3%D9%84%D9%85-%D9%88%D8%A8%D8%AC%D8%A7%D9%87-%D8%A7%D9%84%D9%86%D8%A8%D9%8A-%D8%B5%D9%84%D9%89-%D8%A7%D9%84%D9%84%D9%87-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D9%88%D8%B3%D9%84%D9%85].

Oleh itu, saya tidak ada assosiasi dengan wahabi atau mana-mana mereka yang di jaluran ekstrim, radikal dan pelampau. Saya juga mengkritik ekstrimismenya dan membantah imam bagi pendukung aliran ini; Ibn Taymiyyah, khususnya dalam isu penjisiman bagi Allah. 

Apapun, menjadi salafi bukan terikat pada nama-nama orang atau individu. Cukuplah seseorang mempunyai kesedaran fundamentalis lagi keortodoksan yang kuat untuk al-Quran dan sunnah, maka cukup untuk seseorang menjadi salafi. Tidak perlu hanya berputar pada dua tiga nama kerana ramai lagi tokoh ilmuwan agung yang jauh lebih berwibawa dan lebih patut diikuti berbanding Muḥammad bin *Abdul Wahhāb, bahkan Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah.

Walaupun saya adalah pascasalafi sepertimana yang saya terangkan dalam penulisan yang berjudul «Diari Diri : Jika Ada Ideologi Yang Boleh Saya Nisbahkan Kepada Diri Saya», tetapi saya tetap mengambil jalan salafi sebagai dasar. Jika pembaca menelaah penulisan-penulisan saya yang lain, tentu boleh didapati pengaruh salafi yang kuat padanya dan jika dibentangkan kepada aswajaean, pasti mereka akan menuduh saya sebagai wahabi!

Ya. Barangkali beberapa pendapat saya tidak sepertimana salafi yang umum. Cuma, saya berkongsi pada beberapa prinsip mereka. Apapun, saya ingin tegaskan bahawa saya pun boleh menjadi salafi tanpa mengambil tahu siapa Muḥammad bin *Abdul Wahhāb. Malah, saya pun tidak mengambil pendapat al-Albāniyy dalam isu penilaian hadis kecuali jika saya dapati ia bersesuaian dengan ketepatannya.

Kiblat salafi saya pun bukanlah pada Saudi atau Jordan atau Mesir atau mana-mana negara muslim yang lain. Justeru, saya cuba membuktikan bahawa jika saya dapat menjadi salafi tanpa terikat dengan sesiapa, maka orang lain pun boleh. Bahkan, ini juga yang ditampilkan oleh rata-rata asatizah dan ilmuwan salafi tempatan kita.

Kadangkala yang menghairankan saya adalah apabila saya memetik pendapat Ibn Taymiyyah dalam sesuatu isu, tiba-tiba mereka membawa kalamnya yang menjurus fahaman tajsim dan tasybih, kemudian dikaitkan dengan saya dan saya menganut akidah yang sama dengannya.

Mereka fikir ini boleh membenamkan pandangan saya? Tidak! Saya tidak ambil peduli pun kata-katanya tentang hal itu. Saya hanya memetik pada isu yang lain dan jika ada yang berkaitan dengan akidah, fokus saya adalah yang lain, bukan dasar anutannya. Tidak perlu kaitkan saya dengan fahamannya.

Bahkan, saya sendiri menyelar dan mengkritik kebobrokan akidah Ibn Taymiyyah tersebut dalam penulisan saya yang berjudul «Penajaman Deria Dalam Mengenali Sifat Yang Maha Mulia». Mengapa perlu mengelompokkan saya bersama Ibn Taymiyyah? 

Inilah dampak orang yang suka melabel orang lain dan tidak mahu mempedulikan hujah dan pembentangan dalil. Apabila seseorang itu lengah untuk berhujah, maka cara keji ini adalah paling mudah untuk dia melepaskan tanggungjawab ilmiahnya.

Malah, saya juga dikaitkan dengan al-*Uṯaymīn, Ibn Bāz dan nama-nama tokoh salafi yang lain. Siapa mereka ini? Saya pun tidak kenal dengan mendalam dan saya tidak minat sama sekali pada mereka, apatah lagi ingin mengambil inspirasi daripada mereka. 

Mengapa tiba-tiba membabitkan saya dengan nama-nama ini? Saya pun tidak peduli apa yang orang kata tentang mereka pada isu yang tidak ada kena mengena dengan fokus perbincangan saya. Untuk apa mengotorkan nama mereka dan nama saya dengan cara sebegini?

Tidak kenal nama mereka pun bukan bermakna tidak sah seseorang itu menjadi salafi. Siapa kata kewajipan dan rukun menjadi salafi adalah mengenali nama-nama besarnya serta menjadi proponen idea dan pemikiran individu tertentu?

Sememangnya ada sepatutnya untuk kita membaca karya-karya tokoh penting dalam manhaj salafi ini supaya benar penisbahan kita, identiti kita sebagai salafi dan jalan yang kita berjuang di atasnya. Samalah juga sepertimana golongan zaydian yang mengatakan: "Nisbah kami kepada zaydian adalah nisbah pemuliaan, bukan taksub atau taklid". 

Walaupun begitu, bukan semua orang boleh menisbahkan diri kepada zaydian jika dasarnya yang paling asas tidak sama walaupun penisbahan ini bukanlah untuk mengongkong seseorang dalam keberagamaan dari segi idea, metodologi, pilihan pandangan dan lain-lain.

Seperti itu juga dengan mereka yang mengaku salafi. Sekalipun masing-masing ada pembawaannya dan idea masing-masing sepertimana mana-mana aliran yang lain, kita perlu tahu dasar-dasar penting yang menjadi tapak yang kita berpijak bersama supaya perjuangan kita dan praktik manhaj kita adalah di haluan sepertimana yang disebutkan.

Ini supaya seseorang tidak menyandarkan diri sebagai salafi, tetapi sangat melentur dengan penglipur lara, berbenturan pada prinsip yang paling mendasar dalam kesepakatan salafi, ketaksuban kepada tradisi tempatan sama ada pada kepercayaan, pengamalan dan manhaj serta menampilkan kemiripan dengan aswajaean.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666160536682496/celoteh-peribadi-1-saya-menjadi-salafi-yang

Celoteh 2 : Minat Saya Pada Manhaj Ahli Bait : Punca, Sebab Dan Yang Berkaitan Dengan Zaydian


Pengkajian secara mendalam kepada manhaj ahli bait, khususnya zaydian yang menjadi paksi kepada manhaj tersebut antara yang saya ingin merealisasikan impian tersebut.

Ada lima faktor yang mendorong saya untuk menceburkan diri dalam kajian seperti ini dan saya merasakan kajian ini adalah perlu. Yang pertama adalah kerana saya telah mengenali salah satu keluarga ahli bait melalui jalur keluarga al-Ġumāriyy yang merupakan tokoh ilmuwan agung di era ini melalui perkongsian Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ yang salah seorang murid kebesaran bagi keluarga ini, iaitu *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adiknya; *Abdul *Azīz dan Ibrōhīm.

Setiap kali perkongsiannya, saya mendapati perasaan ketakjubannya dan penghormatannya yang besar terhadapnya. Begitu juga kesaksian muridnya yang lain atau kenalan yang rapat dengannya atau yang mendalami manhaj keluarga ini. Malah, perasaan yang sama juga saya dapati setelahmana saya membaca beberapa karya daripada mereka.

Perasaan itu juga yang diserlahkan Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ ketika menceritakan manhaj ahli bait secara umum dan yang lebih luas daripada keluarga tersebut. Oleh itu, saya bertekad untuk mempelajarinya setelahmana Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ telah berjasa kepada saya untuk memperkenalkan keluarga al-Ġumāriyy.

Mungkin sahaja ada khazanah yang bernilai daripada ahli bait selain daripada keluarga al-Ġumāriyy. Jika para pembaca mendapat manfaat yang banyak lagi menakjubkan pada keluarga al-Ġumāriyy, ini tidak menolak kemungkinan bahawa ahli bait secara umumnya ada keunikan yang sememangnya patut kita cari dan amati yang menjangkaui naratif dan tumpuan hanya pada al-Ḥabīb semata-mata.

Yang kedua adalah saya melihat beberapa nama tokoh zaydian dalam «A*lām al-Mu^allifīn az-Zaydiyyah» karya *Abdul Salām bin *Abbās al-Wajīh dan saya mendapati ahli bait padanya tidak terkalah ramainya. Dengan kata lain, ramai dari kalangan ahli bait adalah zaydian dan warisannya juga banyak dan berharga.

Sekalipun zaydian yang mana akidahnya adalah seiras dengan muᶜtazilian pada isu ketuhanan, qodariah dalam isu perbuatan hamba dan takdir serta khawarij dalam isu keabadian pelaku dosa besar dalam neraka dan begitu juga permasalahan yang lain yang menyalahi ahli sunnah, mereka menyimpan khazanah keilmuan yang agung yang tidak patut diabaikan dan diketepikan.

Sepertimana kita memanfaatkan karya az-Zamaẖšariyy dalam bidang bahasa sekalipun dia adalah muᶜtazilian, seperti itulah pada ahli bait dari zaydian. Bahkan, peninggalan zaydian juga memiliki kepelbagaian tema penulisan sama sepertimana ahli sunnah.

Tidak hairan fiqh mereka adalah muktabar di sisi institusi al-Azhar meskipun tidak muktabar pada akidahnya dan ini adalah benar kerana kebanyakan usul pada fiqhnya dekat dengan ahli sunnah. Malah, tidak hairan jika sebahagian zaydian bermazhab šāfiᶜian kerana kedekatannya.

Yang ketiga adalah sememangnya kewajipan kita untuk mengikuti ahli bait sepertimana yang Zayd bin Arqom meriwayatkan bahawa Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

أَمَّا بَعْدُ ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ : أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللَّهِ ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ وَرَغَّبَ فِيهِ ، ثُمَّ قَالَ : وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي ، أُذَكِّرُكُمُ اللَّهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي

"Adapun sesudah itu. Wahai manusia! Sebenarnya aku adalah manusia biasa yang hampir-hampir utusan tuhanku datang, lalu aku menyahutnya. Aku meninggalkan dua bebanan pada kalian. Yang awalnya adalah kitab Allah yang padanya adalah hidayah dan cahaya. Maka, cengkamlah kitab Allah dan berpegang teguhlah dengannya" Lantas, baginda mendorong kepada kitab Allah dan menggalakkannya. Kemudian, baginda berkata: "Ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah pada ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah pada ahli baitku. Aku mengingatkan kalian kepada Allah pada ahli baitku". [Ṣoḥīḥ Muslimno. 4552].

Bebanan yang baginda meninggalkan kepada umatnya semestinya sesuatu yang sangat penting dan tidak patut diperkecilkan. Sewajarnya kita tidak mengalpakan mana-mana peninggalan ahli bait, lebih-lebih lagi yang menyampaikannya kepada sunnah datuknya yang mulia lagi terpuji. Biarpun zaydian, janganlah sampai mereka ini dipencilkan dan disisihkan, apatah lagi dizalimi dan dianiaya.

Jika kita mengiktiraf sumbangan Muḥammad bin Ismā*īl aṣ-Ṣon*āniyy; salah seorang tokoh ilmuwan ahli bait dari zaydian adalah cukup agung sekali dalam pentas keilmuan, mengapa pula yang selebihnya diabaikan dan direndahkan?

Yang keempat adalah ahli bait selalu sahaja menjadi tokoh yang menjadi pemberat yang besar kepada aswajaean. Selalunya, apabila dibawakan kalam daripada ahli bait, mereka akan memberikan perhatian yang lebih besar berbanding yang selainnya. Sebab itulah, saya mendapati keperluan untuk mengkaji pemikiran mereka kerana itu menjadi bekalan bantuan saya ketika berinteraksi dan berhadapan dengan aswajaaean.

Yang kelima adalah apa yang menjadi manhaj berdasar kepada ahli bait sepertimana yang disebut Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ adalah yang dekat dengan salafi, iaitu beriltizam kepada sunnah, berpegang teguh kepada dalil, menjauhi taklid dan mencela ketaksuban. Pada saya, seeloknya kita mempelajari mereka yang berkongsi manhaj yang mendasar secara signifikan supaya kita ada keharmonian dan kedekatan persaudaraan serta mengikis pemisah yang ketara dalam aliran ini.

Malang sekali, apa yang disebutkan oleh Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ ini jauh berbeza dengan apa yang dibawa oleh golongan al-Ḥabīb dan para pengikutnya. Bandingkan mereka dengan keluarga al-Ġumāriyy sudah cukup. Perbezaan manhaj ini akan memberi kesan kepada tradisi keilmuan dan praktik beragama, khususnya kesufian. Saya telah mendedahkan beberapa perkara ini dalam sebahagian penulisan ini.

Saya sememangnya berharap bahawa penulisan Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ berkaitan dengan manhaj ahli bait ini sewajarnya dibaca oleh golongan al-Ḥabīb dan pengikutnya atau ia mesti dihantar ke setiap rumah mereka demi kempen kesedaran dan pendedahan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666328288985088/celoteh-peribadi-2-minat-saya-pada-manhaj-ahli

Celoteh 3 : Saya Tidak Ada Bakat Dalam Karisma Dan Petah Bicara

Saya mungkin berbakat dalam penulisan, tetapi saya merasakan saya tidak ada bakat yang sama dalam pertuturan ataupun penyampaian lisan. Sejujurnya, saya sendiri menghadapi kesukaran untuk memanjangkan ceramah atau kuliah atau syarahan untuk lebih daripada walau lima minit. Saya lebih suka bercakap dengan hanya memfokuskan matlamat yang telah saya rancang dalam minda atau untuk topik tertentu yang saya menguasainya dan berkemahiran padanya.

Jika ada masa yang dikira terlebih daripada apa yang sepatutnya, mungkin itu boleh dikira bonus yang tidak disengajakan atau sesuatu yang saya sendiri pun tidak tahu mengapa. Jika untuk memanjangkan bicara pun tidak boleh, apatah lagi untuk berkomunikasi sebagai dialog atau ngobrol menjadi lebih panjang.

Malah, saya pun tidaklah ada bakat yang sama untuk berdebat atau berucap secara karisma supaya boleh mengagumkan audien. Saya juga ada masalah untuk bercakap secara spontan kerana saya sememangnya ada tabiat untuk mewaspadai apa yang ingin diungkapkan. Kadangkala, untuk menghasilkan penulisan pun, bukan ia muncul sendiri di dalam minda. Ia memerlukan draf yang telah lama tersusun dan pelbagai pengeditan diambil.

Malah, dalam menulis sanggahan terhadap seseorang, adakalanya mengambil masa yang lama sebelum saya dapat menerbitkan penulisan kerana saya adakalanya terheret dalam obsessif yang kompulsif untuk mengkaji dan meneliti lebih dalam sebelum mengutarakan pandangan atau kesimpulan mengenainya atau supaya saya lebih berhati-hati dalam menyandarkan rujukan.

Sebab itu kadangkala saya mengelakkan diri daripada perbincangan terbuka dan memerlukan tindak balas spontan. Selalu sahaja debat atau perbincangan waktu itu tidak memberikan saya kelonggaran untuk berfikr atau mengumpulkan idea atau menyediakan draf atau membuat semakan atau membuat kajian selama sepuluh saat, apatah lagi untuk lima minit hingga sepuluh minit.

Saya tahu kalau saya sertai, kalau saya mempunyai hujah yang kuat pun, saya tetap akan dimalukan dan ditekan dengan kehinaan kerana kurangnya kemampuan karisma dan petah bicara. Justeru, tidak ada guna saya memunculkan diri di hadapan khayalak dan terlibat dalam suasana spontan.

Saya terbuka untuk kelas atau sesi soal jawab atau diskusi, tetapi untuk sesuatu yang memerlukan paparan karisma dan petah bicara, maka ini di luar kemampuan saya. Saya juga memohon maaf jika mengambil masa yang lama kerana kespontanan bukan sesuatu yang saya dapat tangkas dengannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666562551300096/celoteh-peribadi-3-saya-tidak-ada-bakat-dalam

Celoteh 4 : Untuk Mereka Yang Malas Membaca Penulisan Panjang, Tetapi Tetap Berkeras Untuk Menentang

Saya sangat benci apabila ada orang meminta penjelasan daripada saya dan pendirian saya, kemudian apabila saya bawakan penulisan yang agak panjang kerana sangat perlu untuk jelaskan secara tuntas, lalu dia merespons dengan berkata: "Panjangnya! Boleh tolong lukis?" atau apa-apa sahaja keluhan dan rengekan tentang panjangnya penulisan serta alasan untuk tidak membaca atau hanya mengambil ringan dalam pembacaan. Namun, orang inilah yang mengutuk saya dan mencela saya apabila tidak sependapat dengannya dalam isu yang dia minta penjelasan daripada saya.

Sekarang, wahai para saudara sekalian, siapa sebenarnya yang bersikap tidak ilmiah? Siapa sebenarnya yang berbantahan tanpa ilmu? Siapa sebenarnya yang bodoh, tetapi mahu jadi jaguh seperti orang pandai? Siapa sebenarnya yang bersikap taksub?

Siapa sebenarnya yang memilih kebodohan? Siapa sebenarnya yang berlagak pandai? Siapakah sebenarnya yang meninggalkan dasar ilmu? Siapakah sebenarnya yang mengikut hawa nafsu? Siapa sebenarnya hanya tahu menyalahkan orang, tetapi langsung tidak membuktikannya? Siapa sebenarnya yang tidak beradab dengan ilmu?

Silakan nilai. Saya tidak rugi apa-apa pun. Bahkan, dialah yang merugikan diri dia sendiri. Lebih rugi adalah mereka yang sedar hakikat ini, tetapi masih mahu berpihak dengan mereka. Tidak ada walau sekelumit di jiwa mereka rasa benci sikap yang mereka lakukan terhadap hujah ilmu yang dibentangkan. Hanya semata-mata ia sesuai dengan hawa nafsu mereka, sanggup mereka berpihak pada yang salah meskipun faham secara sesungguhnya hujah yang telah dibentangkan.

Ada sebahagian orang yang mempunyai masa yang banyak pun langsung tidak pernah menjadikan keutamaan untuk membaca buku atau belajar. Rasa ltidak bersalah langsung pun habiskan masa seharian untuk permainan, hiburan dan ngobrol kosong.

Kalau ada membaca atau belajar pun, itu pun bukannya serius, apatah lagi untuk diutamakan. Atau ia sekadar mengikut rentak sensasi semata-mata, bukan berakar dari minat yang berakar lagi membara atau didorong oleh sentimen intelektualisme sejati.

Duit yang banyak di poket pun langsung tidak terfikir untuk membeli bahan pembacaan yang berguna untuk mindanya. Kedai buku pun bukan menjadi tempat yang pertama untuk singgah. Pergi ke pesta buku atau apa jua festival yang berkaitan dengan buku pun hanya kerana ingin menemani kawan sahaja atau paling kurang, hanya mencari buku hiburan dan pop yang berkulitkan ilmiah.

Namun, ke sana ke sini mahu tunjuk jaguh yang dialah paling betul dan paling pandai. Sibuk sindir, ejek dan hentam orang yang tidak sependapat.

Orang sebegini kalau kita menjelaskannya dengan tuntas dalam sesuatu isu, dialah yang bertanya kepada sambil mengejek: "Boleh tolong lukis?" atau mereka mempermainkan kita menulis karangan panjang.

Orang yang rapat dengan dia pun akan kata dia ini bukan jenis yang serius untuk membaca dan belajar. Malah, dia sendiri pun akan akuinya. Itu pun masih nak berlagak pandai lagi dan cuba menjadi hero di mata masyarakat bahawa dialah pejuang ilmu dan kebenaran?

Yang menghairankan lagi adalah orang ini sebahagiannya yang berpenampilan akhlak yang membuatkan kita semua merasa segan terhadapnya dan rasa lekeh akhlak kita jika ingin dibandingkan dengannya. Namun, jiwa mereka jauh lebih buas berbanding perusuh yang suka mencarut.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666722385723392/celoteh-peribadi-4-mereka-yang-malas-membaca

Celoteh 5 : Sudut Lain Yang Mungkin Orang Yang Mengagumi Kita Tidak Nampak Padanya

Adakalanya saya melihat ada orang kagum melihat pencapaian saya dalam bahasa Arab yang mampu akses pembacaannya lebih besar dan mengorek isi kandungan yang terdapat dalam penulisan bahasa Arab yang tidak mampu dibuat oleh orang lain. Juga pencapaian saya dalam bidang hadis yang mampu mengaplikasikan kaedah *ilal al-Ḥadīṯ secara praktikal.

Untuk bahagian ini, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah yang mengurniakan segala-galanya dan membimbing saya ke jalan tersebut. Semuanya adalah daripada-Nya. Tidak ada satu pun daripada saya.

Kadangkala, saya agak gembira dengan pencapaian bahagian itu. Namun, ada satu bahagian lain saya merasa masih banyak kelompongan dan jauh ketinggalan berbanding yang lain. Saya juga kadangkala berkongsi perasaan kagum sepertimana mereka memandang saya apabila melihat prestasi dan prestij mereka dalam bahagian tersebut, tetapi mereka sendiri tidak menyedari perasaan saya pada mereka dan adakalanya mereka sendiri tidak sedar kehebatan yang ada pada sisinya atau tidak mengakuinya walaupun ia sememangnya kenyataan yang tidak dapat dinafikan.

Adakalanya, saya juga menyimpan rasa iri hati dengan keunggulan yang diraih olehnya. Saya juga manusia biasa yang kadangkala ada perasaan seperti itu. Namun, semoga Allah tidak memasukkan saya dalam golongan hasad.

Apapun, kadangkala kita melihat orang lain memiliki kehebatan yang tidak terkejar mata memandang, tetapi pada perspektif dirinya sendiri, dia sedar betapa banyak tampungan yang dia perlukan untuk menutup bahagian yang bocor. Mereka juga kadangkala ada rasa tersisih untuk suatu bahagian disebabkan kekurangan bahagian tersebut.

Malah, mereka juga ada yang merasa dengki dengan kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Boleh jadi orang yang memandang kagum dengan kita, sebenarnya dalam masa yang sama memiliki kelebihan yang tidak kita miliki. Dan apabila dibandingkan tahap diri kita antara mereka, boleh jadi ada pemisah ibarat langit dan bumi.

Hidup ini tidak perlu begitu kagum terhadap orang lain, malah kepada diri saya sendiri juga sehingga seolah-olah dia seperti dewa yang tiada pesaing untuknya. Kadangkala, kita juga boleh mengungguli mereka jika kita kerahkan usaha yang selebihnya. Tiada ada yang terlambat selagimana kita masih bernafas.

Kadangkala, mereka yang kita anggapnya sebagai tidak tercabar sebenarnya ada menyimpan rasa hampa melihat kekurangan diri sendiri tanpa kita tahu terhadapnya. Kita hidup bermasyarakat dapat membina tamadun bukan atas kapaisiti individu, tetapi erat genggam tangan bersama yang sama-sama mengakui kekurangan sendiri dan saling mempercayai antara satu sama lain dalam menyempurnakan bahagian yang lompong.

Tentu sahaja tidak ada guna hidup untuk melunaskan hasad yang membara. Adakah kita mahu membunuh pahlawan yang tangkas kerana dengki kemampuannya melawan seteru? Sebenarnya perbuatan kita itu akan merugikan kita. Tanpa pahlawan itu, kita akan membina jurang kelemahan antara pihak pasukan kita dengan lawan kita.

Sebegitulah jika kita hidup hanya untuk menjatuhkan orang. Tanpanya, barangkali institusi atau negara atau komuniti atau orang lain atau mungkin diri kita akan terkesan teruk akibat perbuatan durjana kita. 

Kelebihan yang ada pada orang itu mungkin sahaja bermanfaat pada sesuatu yang di luar kesedaran dan pengetahuan kita. Sebab itulah kita perlu belajar bertoleransi dan akui bakat masing-masing yang unik. Masing-masing Allah berikan bahagian yang terbaik untuk hamba-Nya. Tidak perlu kita tamak.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622666890776625152/celoteh-peribadi-5-sudut-lain-yang-mungkin-orang

Celoteh 6 : Orang Macam Saya Tidak Layak Menyampaikan Amalan Sunnah?

Saya ada mengongsikan beberapa amalan sunnah dalam buku kecil «Ḥiṣn al-Muslim» karya Sa*īd bin *Aliyy bin Rohf al-Qoḥṭōniyy, sebuah buku yang mengumpulkan zikir dan doa yang warid daripada Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam-.

Antaranya adalah amalan yang wajar diamalkan selepas solat, pagi dan petang, sebelum dan selepas tidur serta beberapa doa yang bagus untuk diamalkan. Cuma, saya ambil yang telah saya saring kerana banyak penilaiannya bersandarkan kepada penilaian al-Albāniyy. Apapun, ia adalah buku yang bagus untuk seseorang memilikinya bagi mereka yang ingin merebut pahala melalui amalan sunnah.

Yang anehnya, saya disindir dan diperli dengan respons dengan berkata: "Orang begini mahu memperkenalkan amalan sunnah?". Maha Suci Allah! Mereka sendiri yang mahu saya memperkenalkan ajaran yang betul dan yang boleh diterima semua. Namun, apabila saya memenuhi tuntutan mereka, saya diberi respons buruk sebegitu?

Saya sedar tentang siapa diri saya dan orang lain pun tahu tentangnya. Namun, adakah mereka berharap kalau saya ini jahat -jika ianya benar-, maka saya tidak boleh bercakap yang baik dan berbuat yang baik? Seolah-olah orang macam saya yang hanya kerana ada pendapat yang berbeza dengan arus perdana, terus dianggap saya tidak perlu menunaikan solat, berzakat, membaca al-Quran, berzikir, menyampaikan hadis dan lain-lain amalan kebaikan.

Sejujurnya, saya sangat benci kepada perokok. Namun, saya sama sekali tidak pernah memandang snis atau memperkecil kesungguhan mereka yang mahu beramal baik dan menyampaikan kebaikan seperti yang saya nyatakan. Biarlah amalan kebaikan itu boleh dinikmati dan dilakukan oleh sesiapa pun.

Bagi saya, tidak ada siapa yang benar-benar hitam atau putih. Manusia adalah warna-warni yang pelbagai. Malah, kalau ada penzina pun, saya tidak akan suruh mereka berhenti bersolat hanya kerana sebab itu. Kita tidak berhak untuk menutup pintu-pintu kebaikan. Kalau dia menasihati saya tentang kesalahan bacaan tajwid, saya akan terima nasihatnya.

Malah, dalam sejarah keilmuan muslim, sememangnya ada sebahagian ulama yang tinggi kedudukannya terbabit dengan homoseksual seperti Yaḥyā bin Akṯam; tokoh ilmuwan dan ketua hakim di Baghdad, *Aliyy bin Ḥamzah al-Kisā^iyy; tokoh qiraat yang terbilang dan Ismā*īl bin *Abdullah al-Anṣōriyy atau dikenali sebagai Ibn al-Anmāṭiyy.

Bacalah bagaimana pujian ulama terhadap mereka dan usah terkejut dengan persaksian para ilmuwan tentang homoseksual mereka. Kalau begini, adakah kita ingin menafikan kedudukan ilmunya, pengajarannya, penyampaiannya tentang kebenaran, seruan kepada kebaikan, nasihat yang berguna untuk jiwa dan lain-lain hanya kerana ada pembabitan mereka dengan homoseksual?

Apapun, yang baik, kita terima. Yang buruk, kita tolak. Dan tidak ada manusia yang jika baik, maka baik kesemuanya. Pasti akan ada sudut kejahatannya tersendiri. Begitu juga orang yang jahat. Kita bukannya ada pemisah yang nyata seperti malaikat dan syaitan. Kita ada pada kedua-duanya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622925818504609792/celoteh-peribadi-6-orang-macam-saya-tidak-layak

Celoteh 7 : Tidak Perlu Begitu Serius Dengan Saya

Sememangnya saya aktif dalam kegiatan penulisan ilmiah dan banyak menyuarakan dalam isu-isu agama. Cuma, saya bukanlah sampai ke tahap yang tidak mampu mempelawa dengan kenakalan, melayani secara santai dan bersahaja atau sepertimana orang yang kering dengan hiburan atau tidak meraikan gurau senda.

Walaupun saya bergiat dalam kegiatan keilmuan agama, saya bukanlah hidup seperti rahib atau puritan. Saya tidaklah sepanjang masa hanya untuk membaca buku agama atau mendengar kuliah agama, di samping beribadah. Adakalanya, saya pun suka membaca komik dan manga, lebih-lebih jika ia menambahkan kosa kata atau menambahkan perspektif dan idea tentang sesuatu perkara.

Saya seorang yang wibu yang meminati anime. Bagi yang maklum, kebanyakan anime ini memang tidak lepas dari babak mesum dan erotik. Saya juga amat menggemari lagu-lagu genre metal. Sangat tidak mungkin orang yang terlalu serius, khususnya kerahiban dan puritan akan menggemari lagu-lagu ini.

Adakalanya saya terhibur dengan meme dan mengongsikannya kepada rakan-rakan untuk menikmati bersama. Malah, saya juga menghasilkan meme yang jika ia tidak melucukan, mungkin ia sedikit menghiburkan, di samping sebahagiannya menyelitkan beberapa catatan ilmiah tentangnya.

Sudah tentu secara jelasnya bahawa saya ini erotikawan berdasarkan penampilan dan perkongsian saya pada media sosial. Saya memang kadangkala ada menyertai perbualan atau aktiviti bersama yang membangkitkan berahi. Kalau sesiapa yang mengikuti media sosial saya, bukannya semua yang saya kongsi berkisarkan ilmiah. Ada sebahagiannya erotika, perkongsian muzik, meme dan lain-lain.

Saya bersikap serius kerana ia adalah penulisan formal atau jika ia melibatkan perbincangan yang memerlukan sikap objektif atau jika berada di tempat yang ada kehormatannya. Mood seperti ini sememangnya tidak boleh dielakkan. Jika sesi soal jawab biasa atau perbualan biasa, maka saya tidak perlu terikat sangat dengan cara itu. Saya kadangkala cuba membuat jenaka dan menyampaikannya dengan cara yang bersahaja.

Apapun, saya berharap saya tidak menggemakan aura yang boleh membina kasta antara saya dan orang lain. Saya mahu orang lain juga menjadi orang yang celik dan entusias dalam pengetahuan, dalam masa yang sama senang untuk berhibur.

Cuma, saya kurang berkemampuan untuk menginisiatifkan atau memanjangkan atau mungkin mengakhiri perbualan. Saya bukannya tidak suka aktiviti sosial, cuma jika ia memerlukan perbualan yang panjang, ia adalah sesuatu yang sukar untuk saya.

Saya tidak ada masalah untuk jika kita boleh berhibur tanpa ada perbualan yang panjang. Namun, saya kurang suka jika masing-masing berasa kejanggalan jika berlakunya senyap yang berpanjangan sepanjang aktiviti. Atas sebab itulah, adakalanya saya lebih suka bersendirian.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622926138014154752/celoteh-peribadi-7-tidak-perlu-begitu-serius

Celoteh 8 : Selisihi Saya Apabila Saya Menyalahi Kebenaran

Nota Ini adalah penulisan yang diringkaskan daripada «Diari Diri : Usah Gentar Menyelisihi Saya Jika Saya Menyalahi Kebenaran».

Walaupun saya selalu berpesan kepada para pembaca, pengikut atau sahabat untuk sentiasa menyelisihi sesiapa sahaja yang dirasakan bersalahan dengan kebenaran walaupun daripada tokoh kenamaan yang berpengaruh yang besar, ia juga termasuk saya sendiri yang mungkin lebih rendah daripada mereka semua itu. Allah lebih tahu tentang semua itu.

Yang wajib diikuti adalah al-Quran dan sunnah serta bukti-bukti kebenaran dan hujah ilmiah. Tokoh dan saya sendiri bukanlah maksum.

Inilah pesan oleh para ilmuwan sepanjang zaman dari awalnya sehingga kini yang menyeru kepada pembebasan fanatisme dan ketaksuban kepada seseorang individu atau sesuatu pihak, malah kepada diri mereka sendiri.

Bermula daripada zaman keemasan tiga kurun, iaitu zaman para sahabat Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam-, zaman tabiin, zaman pengasasan mazhab, zaman kestabilan kodifikasi hadis sehinggalah zaman yang seterusnya yang dinamakan khalaf, kontemporari atau mutaakhirin. Abū Ḥanīfah berkata :

لا يحل لمن يفتى من كتبي أن يفتي حتى يعلم من أين.

"Tidak halal untuk seseorang berfatwa daripada kitab-kitab aku yang dia berikan fatwa sehinggalah dia mengetahui sumbernya". [Al-Intiqō^ Fī Faḍō^il aṯ-Ṯalāṯah al-A^immah al-Fuqohā^ Mālik Wa aš-Šāfi*iyy Wa Abū Ḥanīfah -Roḍiyallāhu *Anhum-karya Ibn *Abdur Barrm/s 145keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Mālik bin Anas berkata :

كل أحد يؤخد عن قوله ويترك إلا صاحب هذا القبر صلى الله عليه وسلم

"Setiap orang diambil pendapatnya dan ditinggalkan melainkan penyemadi di dalam kubur ini, iaitu Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^karya a-ahabiyyjilid 7m/s 178keluaran Dār al-adīṯ, al-Qōhiroh].

Ibn Wahb berkata :

قال مالك: الحكم حكمان حكم جاء به كتاب الله وحكم أحكمته السنة. قال: ومجتهد رأيه لعله يوفق. وقال: ومتكلف فطعن عليه.

Mālik berkata: "Hukum itu ada dua, iaitu hukum yang datang daripada kitab Allah tentangnya dan hukum yang sunnah tetapkannya". Dia berkata: "Pandangan mujtahid kadangkala bertepatan". Dia berkata: "Orang yang mengada-adakan dicela terhadapnya". [Jāmi* al-Bayān al-*Ilm Wa al-Faḍlkarya Ibn *Abdul Barrjilid 1, m/s 77 keluaran Dār Ibn al-Jawziyytahqiq Abū al-Ašbāl az-Zuhayriyy].

Aš-Šāfi*iyy berkata :

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بها ودعوا ما قلته.

"Apabila kalian mendapati dalam kitabku menyalahi sunnah Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, maka berfatwalah dengannya dan tinggalkan apa-apa yang aku perkatakan". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^karya a-ahabiyyjilid 8m/s 248keluaran Dār al-adīṯ].

Aḥmad bin Ḥanbal berkata :

لا تقلدني ولا تقلد مالكا ولا الثوري ولا الأوزاعي وخذ من حيث أخذوا.

"Jangan engkau bertaklid kepadaku dan jangan engkau bertaklid kepada Mālik, aṯ-Ṯawriyy dan al-Awzā*iyy, tetapi ambillah daripada mana yang mereka ambil". [I*lām al-Muwaqqi*īn *An Robb al-*Ālamīnkarya Ibn al-Qoyyim al-Jawziyyahjilid 2m/s 138keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyahtahqiq Muammad bin *Abdul Salām Ibrōhīm].

Tidak terkira banyaknya kalam seperti ini untuk dimuatkan dalam satu artikel ini. Nasihat yang seumpama ini boleh dilihat dalam «ar-Rodd *Alā Man Aẖlada Fī al-Arḍ Wa Jahila Anna al-Ijtihād Fī Kull *Aṣr Wa Farḍ» karya Jalāluddīn as-Suyūṭiyy.

Malah, nasihat sebegini pada zaman ini bukan sahaja terhad pada modernis atau golongan salafi. Ia juga nasihat daripada ahli bait, khususnya keluarga al-Ġumāriyy dan mereka yang melangkah di atas jalan ini. *Abdul Ḥayy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli uṣūl yang berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- berkata :

ولسنا نقصد بهذه الدعوة إلى هدم المذاهب الفقهية وترك عمل بأقوال الأئمة بالكلية، فإن هذا أمر لا نريده ولا يخطر ببالنا لأننا أول من يعمل يها ويتبعها. وإنما نقصد ترك العمل بالقول الذي ظهر خطأه وكان النص يخالفه. فهذا هو الذي نريده ونقصده إذ لا معنى لاتباع قول تبين بالدليل أنه خطأ والجمود عليها والدفاع عنه بارتكاب التأويلات الباردة والتحملات الفارغة فإن الإمام ليس معصوما من الخطأ، بل هو عرضة كما هو شأن بني آدم كلهم وقد اعترف الأئمة كلهم بهذا وبينوا البيان الشافي أنهم يخطئون كما يصيبون وإن الواجب اتباع الحق عند خطأهم

"Kami bukan memaksudkan dengan seruan ini kepada perobohan mazhab-mazhab fiqh dan meninggalkan pengamalan pendapat-pendapat para imam dengan keseluruhan. Sesungguhnya ini adalah perkara yang kami tidak memaksudkannya dan yang tidak terlintas di fikiran kami kerana kamilah orang yang awal yang beramal dengannya dan mengikutinya. Sebenarnya, kami memaksudkan peninggalkan pendapat yang jelas kesalahannya dan naṣ menyelisihinya. Inilah yang kami mengkehendakinya dan memaksudkannya memandangkan tidak ada makna pengikutan pendapat yang telah nyata dengan dalil bahawa ia adalah salah, bersikap jumud terhadapnya serta mempertahankannya dengan menunggang pentakwilan yang rapuh dan spekulasi yang kosong. Sesungguhnya imam itu bukanlah terbebas dari kesilapan, bahkan ia bersebati sepertimana keadaan anak-anak Ādam keseluruhannya. Para imam keseluruhannya telah pun mengiktiraf ini dan menghuraikan penjelasan yang menyembuhkan bahawa mereka selalu tersilap sepertimana mereka selalu betul. Sesungguhnnya yang wajib adalah mengikuti kebenaran ketikamana terjadi kesalahan mereka". [Iqōmah al-Ḥujjah *Alā *Adam Iḥāṭoh Aḥad Min al-A^immah al-Arba*ah Bi as-Sunnahm/s 23-24].

Dia juga berkata :

ولسنا نقصد بهذه الدعوة إلى نبذ مذهب مالك وترك العمل به. كلا! ثم كلا! لا نريد هذا ولا يخطر ببالنا فإننا أول من يعمل به ويفتي الناس بأقوال الإمام مالك وأقوال أتباعه من أئمة مذهبه. ولكنا إذا صح الحديث وكان دالا على الحكم نصا لا ظاهرا ولم نجد له معارضا صحيحا مقبولا من جهة القواعد الحديثية والأصولية، تركنا حينئذ منصوص المذهب وعلمنا بالحديث ونكون حينئذ نحن المقلدين لمالك حقا وصدقا لعلمنا بوصيته بترك قوله إذا كان مخالفا للحديث التي تعتبر من أعظم الأصول التي بنى عليها مذهبه. وعلمنا أيضا بقاعدة مراعة خلاف العلماء التي هي أصل من أصول مذهبه. وعلمنا أيضا بقاعدة لا اجتهاد مع النص. وقد بينا هذا مفصلا فيما تقدم. وإنما أعدناه هنا لننبه على أن اتهامنا بالدعوة إلى نبذ العمل بمذهب مالك ناشئ عن خفاء هذه القواعد الثلاث عليهم لعدم قراءتهم أصول الفقه وعلوم الحديث قراءة مفيدة وعدم اطلاع على فقه المذهب.

"Kami bukan memaksudkan dengan seruan ini kepada penyisihan mazhab Mālik dan meninggalkan pengamalan dengannya. Sama sekali tidak! Kemudian, sama sekali tidak! Kami tidak mengkehendaki ini dan tidaklah ia terlintas di fikiran kami kerana sesungguhnya kamilah orang yang awal yang mengamalkan dengannya dan memberi fatwa kepada orang ramai dengan pendapat-pendapat al-Imām Mālik dan pendapat para pengikutinya dari kalangan imam-imam mazhabnya. Akan tetapi, apabila sahih hadis itu dan ia menunjukkan ke atas hukum itu secara naṣ yang tidak jelas dan kami tidak menemukan pertentangan yang sahih lagi diterima terhadapnya dari arah kaedah-kaedah hadis dan uṣūl, maka kami meninggalkan yang telah dinyatakan naṣ mazhab itu pada ketika itu. Kami mengetahui mengetahui tentang hadis itu dan kami pada ketika itu menjadi orang yang bertaklid kepada Mālik secara hak dan benar kerana kami mengetahui tentang wasiatnya tentang meninggalkan pendapatnya apabila ia menyalahi hadis yang diambil kira sebahagian daripada yang paling gadang pada dasar-dasar yang dia membina mazhabnya ke atasnya. Kami juga mengetahui tentang kaedah pemerhatian perselisihan ulama yang ia adalah salah satu dasar dariapda dasar-dasar mazhabnya. Kami mengetahui tentang kaedah yang tidak ada ijtihad bersama naṣ. Kami telah menjelaskan ini secara terperinci pada apa yang telah lalu. Sebenarnya kami menyediakannya di sini untuk kami mengingatkannya tentang bahawa seruan kami kepada penyisihan mazhab Mālik adalah berpunca daripada ketersembunyian kaedah yang tiga ini ke atas mereka kerana ketiadaan pembacaan mereka dalam uṣūl fiqh dan ilmu-ilmu hadis dengan pembacaan yang memberi faedah dan ketiadaan penelaahan ke atas fiqh mazhab itu". [Naqd Maqōl Fī Masā^il Min *Ilm al-Ḥadīṯ Wa al-Fiqh Wa Uṣūlih Wa Tafḍīl Ba*ḍ al-Maḏāhibm/s 81].

*Abdullah bin *Abdul Qōdir at-Talīdiyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- berkata tentang prinsipnya dalam isu taklid :

نعم لا يمنع العوام والقاصرين من أهل العلم من تقليد مذهب من المذاهب المشهورة ما لم يتبين لهم مخالفته لصريح السنة ويرى مع ذلك تقليد الأئمة الأربعة وغيرهم في الأمور الاجتهادية التي لا نص فيها نفيا ولا إثباتا. ثم إنه يدين الله تعالى بأن كل الأئمة والمجتهدين رحمهم الله تعالى على هدى من الله تعالى في الجملة، أصابوا أم أخطأوا في اجتهادهم فأن أخطأهم مغفور لهم كما معروف لأهل العلم ولا يضللهم ولا يطعن في أحد منهم

"Ya. Orang awam dan golongan yang terhad dari kalangan ahli ilmu tidak ditegah dari bertaklid dengan mazhab dari mana-mana mazhab yang masyhur selagi mana tidak jelas bagi mereka kesalahannya terhadap kejelasan sunnah dan dia berpandangan, meskipun demikian, bertaklid kepada imam yang empat dan selain mereka dalam perkara ijtihad yang tidak ada naṣ padanya sama ada penafian atau penetapan. Kemudian, sesungguhnya dia membenarkan ِAllah Ta*ālā bahawa setiap imam dan mujtahid -semoga Allah Ta*ālā merahmati mereka- di atas petunjuk daripada Allah Ta*ālā pada keseluruhan. Sama ada mereka betul atau salah dalam ijtihad mereka, sesungguhnya kesalahan mereka diampunkan untuk mereka sepertimana yang dikenali kepada ahli ilmu dan dia tidak menyesatkannya serta dia tidak mencela seseorang daripadanya". [Ḏikriyāt Min Ḥayātīm/s 97keluaran Dār al-Qolam, Damsyik].

Muḥammad bin Ismā*īl aṣ-Ṣon*āniyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- menyebutkannya :

ولقد راجت هذه الدعاوى الفارغة على جماعة من علماء الإسلام صاروا كالعامة في قبول المحالات، فلقد ألف الحافظ السيوطي رسالة نقلها المنجلي في تطورات الولي"، وأتى فيها بحكايات باطلة، وأقوال عن الأدلة عاطلة، حتى كأنَّه ما عرف السنة والكتاب، ولا ملأ الدنيا بمؤلفاته التي أتى فيها بكلِّ عجاب، فلا يغتر الناظر بنقل ما يخالف السنة والكتاب، وإن حكاه من العلماء بحرُ علمٍ عبابٍ، وما أحسن ما قاله ابنُ الجوزي في كتابه صيد الخاطر قال: "واعلم أنَّ المحقق لا يهوله اسمٌ معظمٌ، كما قال رجل لعلي رضي الله عنه: أتظن أنَّا نظن أنَّ طلحة والزبير كانا على باطل؟ فقال له عليٌّ عليه السلام: "إن الحق لا يعرف بالرجال، اعرف الحق تعرف أهله" ولعمري إنَّه قد وقر في النفوس تعظيم أقوام، فإذا نقل عنهم شيءٌ فسمعه الجاهلُ بالشرع قبله لتعظيمهم في نفسه.

"Telah terserak dakwa-dakwa yang kosong terhadap sekelompok daripada ulama Islam. Mereka menjadi seperti orang awam dalam penerimaan yang mustahil. Al-Ḥāfiẓ as-Suyūṭiyy telah mengarang «al-Munjalī Fī Taṭowwurōt al-Waliyy». Dia membawakan hikayat-hikayat batil padanya dan kata-kata yang kontang daripada dalil sehingga seolah-olah dia tidak mengenali sunnah dan al-Kitāb. Tidaklah dia memenuhi dunia dengan karangan-karangannya yang dia membawakan setiap keanehan padanya. Janganlah peneliti terpedaya dengan nukilan apa yang menyalahi sunnah dan al-Kitāb kendatipun ulama yang selautan ilmu yang melimpah yang menghikayatkannya. Betapa bagusnya apa yang Ibn al-Jawziyy berkata tentangnnya dalam kitabnya «Ṣoyd al-H̱ōṭir». Dia berkata: Ketahuilah bahawa orang yang tahqiq tidak dimomokkan dengan nama yang diagungkan sepertimana kata seseorang berkata kepada *Aliyy -semoga Allah meredhainya-: "Adakah engkau menyangka bahawa kami menyangka bahawa Ṭolḥah dan az-Zubayr berada di atas kebatilan?". *Aliyy -*alayhissalām-: "Sesungguhnya kebenaran tidak dikenali dengan orangnya. Kenalilah kebenaran, pasti engkau mengenali ahlinya". Demi umurku! Sesungguhnya telah membekas pengagungan beberapa kaum pada jiwa. Apabila dinukilkan sesuatu daripada mereka, lalu orang jahil pada syarak mendengarnya, dia menerimanya dengan pengagungan terhadap mereka pada jiwanya". [Al-Inṣōf Fī Ḥaqīqoh al-Awliyā^ Wa Mā Lahum Min al-Karōmāt Wa al-Alṭōfm/s 76keluaran Dār Ibn *Affān Li an-Našr Wa at-Tawzī*tahqiq *Abdul Rozzāq bin *Abdul Musin al-Badr].

Ḥasan bin *Aliyy as-Saqqōf; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- berkata :

يجب تعديل المنهج التفكري عندنا حيث يجب النظر أولاً في الكتاب ثم في السنة ، و بعض الناس يقولون هذا القول ولكنهم لا يطبقونه ؛ حيث نراهم يأخذون بحديث شاذ مردود أو منكر و يتركون نص آية صريحة ! وعلى هذا فلا ينبغي أن يقال : أنت الآن تقول برأي المعتزلة أو الخوارج أو نحو هذا الكلام ؛ لأن العبرة بالدليل و بالحجة الشرعية لا بقول فلان و فلان ، فالذين يريدون الوصول للحق من أهل العلم ينظرون في أي مسألة من جهة أدلتها لا من جهة من يقول بها تحقيقا ً لقول القاعدة المشهورة ( اعرف الحق تعرف أهله ) و ( الحق لا يعرف بالرجال ) . فالحق لا يعرف بأن الطائفة الفلانية أو الفلانية تقول به ، و إنما يعرف بصحة الدليل ، فلن يمنعنا إذن أن نقول بأي قول رأينا صحة دليله بأن الإباضية يقولون به أو الزيدية أو الإمامية أو الجهمية أو الظاهرية أو غير ذلك ! لأن الآبائية مرفوضة شرعا ، وهي مذكورة بالذم في كتاب الله تعالى ، قال الله تعالى { بَلْ قَالُوا إِنَّا وَجَدْنَا آبَاءَنَا عَلَىٰ أُمَّةٍ وَإِنَّا عَلَىٰ آثَارِهِمْ مُهْتَدُونَ }

Wajib untuk meluruskan manhaj pemikiran di sisi kita ketikamana wajib pemerhatian pada awal dalam al-Kitāb, kemudian dalam sunnah. Sebahagian orang berkata dengan kata-kata ini, tetapi mereka tidak menerapkannya ketikmana kita melihat mereka mengambil hadis yang syaz lagi tertolak atau munkar atau meninggalkan naṣ ayat yang jelas! Atas sebab inilah tidak sepatutnya untuk dikatakan: "Engkau sekarang berpendapat dengan pendapat muᶜtazilian atau khawarij" atau seumpama kalam ini kerana ibrah adalah dengan dalil dan dengan hujah syariat, bukan dengan pendapat fulan dan fulan. Orang yang berkemahuan untuk sampai kepada kebenaran dari kalangan ahli ilmu adalah orang yang melihat pada setiap permasalahan dari sudut dalil-dalilnya, bukan dari arah siapa yang berpendapat dengannya kerana perealisasian untuk kaedah yang masyhur: "Kenalilah kebenaran, pasti engkau mengenali ahlinya" dan "Kebenaran tidak dikenali melalui seseorang". Kebenaran tidak dikenali bahawa sekelompok fulan atau fulan lain yang berkata dengannya. Sebenarnya, ia dikenali dengan validitas dalil. Lalu, kita berpendapat dengan mana-mana pendapat yang kita melihat sebagai sahih dalilnya tidak menghalang kita meskipun ibāḍian atau zaydian atau imāmian atau jahmian atau ẓōhirian atau selain itu! Ini kerana sentimen kenenek-moyangan tertolak secara syarak dan ia disebutkan dengan celaan dalam kitab Allah Ta*ālā: {Bahkan mereka berkata: "Sesungguhnya kami mendapati nenek-moyang kami atas suatu agama dan sesungguhnya kami orang yang mendapat petunjuk di atas peninggalan mereka}. [Rujuk  https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=393424060694970&id=352929991411044].

Ini juga kata-kata Muḥammad Ibrōhīm al-*Ašmāwiyy; professor bidang hadis dari Universiti al-Azhar kepada para pemuda dalam berinteraksi dengan para ulama :

ليس من شرط العلماء العصمة، ولا السلامة من الورطة، فتعاملوا معهم على هذا الأصل، وانظروا إليهم على أنهم بشر يصيبون ويخطئون، ولا تنظروا إليهم على أنهم أنبياء معصومون، ولكل جوادٍ كَبْوَة، ولكل سيفٍ نَبْوَة، ولكل عالمٍ هفوة، ومن غلبت حسناتُه سيئاتِه فقد فاز، وجاوز القنطرة واجتاز، والكامل من عُدَّتْ هفواتُه، والفاضل من أُحصيتْ سقطاتُه!وقد نصحتكم حتى لا تكرروا خطأ وقع فيه من سبقكم، حين ظنوا أن شيوخهم لا يخطئون، وأنهم على الدوام مصيبون، حتى إذا أعلنوا خطأهم ارتد الشباب على أدبارهم، ونكصوا على أعقابهم، ومن بقي منهم بقوا في حيرة من أمرهم، والسعيد من وُعظ بغيره، والعاقل من استفاد من تجارِب الآخرين! فإذا رأيتموني أو غيري من أهل العلم أخطأنا أو تناقضنا - وكلنا عرضةٌ لذلك - فاحملونا على الأصل الذي قررته لكم، وهو أنه ليس من شرط العلماء العصمة، وأن العبرة بغلبة الحسنات على السيئات، فإنكم إن فعلتم ذلك أمنتم من الصدمات!

Bukanlahlah kemaksuman itu adalah salah satu syarat ulama dan tidak juga selamat daripada dilemma. Berinteraksilah dengan mereka atas dasar ini dan perhatikanlah kepada mereka dalam keadaan mereka adalah manusia biasa yang benar dan melalui kesilapan. Janganlah memandang mereka ini dalam keadaan para nabi yang maksum. Setiap yang mulia ada ketersungkurannya, setiap pedang ada ketumpulan dan setiap orang yang berilmu ada kegalatan. Sesiapa yang kebaikan-kebaikannya mendominasi kejahatannya, maka dia berjaya, dia telah melangkaui jambatan itu dan mengharunginya. Orang yang sempurna adalah orang yang dibilang kegalatan-kegalatannya dan orang yang paramarta adalah orang yang dibilang kesilapan-kesilapannya!

Aku telah pun menasihati kalian sehingga kalian tidak mengulangi kesilapan yang orang sebelum kalian telah terjebak padanya ketikamana dia menyangka bahawa syeikh mereka tidak melakukan kesilapan dan mereka dalam kesentiasaan betulnya sehingga apabila mereka memaparkan kesalahan mereka, para pemuda ini berpaling ke belakang mereka dan mundur ke berungkur-ungkuran. Orang yang setia dari sebahagian mereka akan kekal dalam kehairanannya terhadap keadaan mereka. Orang yang bahagia adalah orang yang diperingatkan dengan selainnya. Orang yang berakal adalah orang yang mengambil faedah daripada pengujian orang lain!

Maka, apabila kalian melihatku atau selainku dari kalangan ahli ilmu yang kami tersilap atau melakukan percanggahan -setiap daripada kami terdedah kepada itu-, maka bawalah kami dalam dasar yang telah aku tetapkannya kepada kalian. Ia adalah kemaksuman bukan syarat ulama. Sesungguhnya ibrah pada dominannya kebaikan berbanding keburukan. Sesungguhnya jika kalian melakukan sedemikian, maka kalian merasa aman dengan pembenturan-pembenturan itu. [Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=2956004247975360&id=100006974414369].

Betapa pentingnya untuk mengingatkan tentang hal ini bahawa kita perlu bertegas dan berprinsip untuk meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai hakim yang adil untuk seluruh umat serta menjauhkan diri daripada ikut-ikutan yang tidak mempunyai dasar. Inilah sebabnya betapa perkara ini perlu diperingatkan dari semasa ke semasa.

Ini juga pesan yang tertuju kepada diri saya sendiri. Saya juga manusia yang sentiasa tersilap dan terbabas. Saya menyedari hal ini apabila saya membaca semula penulisan saya sendiri yang perlunya kepada editan kepada penulisan atau menghasilkan penulisan baharu. Selaras perkembangan ilmu dan pengalaman, kadangkala ia menimbulkan kesedaran bahawa dahulu kita seolah-olah sudah mencapai kemuncak yang tertinggi, tetapi rupa-rupanya, ia masih ada lagi pendakian yang perlu diteruskan.

Kita sendiri akui kesilapan diri kita sendiri, lalu apakah kita membiarkan sahabat yang kita sayangi terus dalam igauan yang kita ini adalah sempurna dan tiada cacat cela? Kerana saya menyayangi sahabat saya dan mahukan mereka sentiasa berpijak di atas kebenaran, sebab itulah saya mencoretkan nasihat ini.

Apapun, menyelisihi insan semestinya dengan ilmu dan hujah. Bukan hanya sekadar bermain ₍Ad Hominem₎, menjadikan kesan ₍Halo₎ dan kesan Kontras sebagai neraca atau ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ atau menggunakan pelbagai bias yang lain semata-mata untuk mempertahankan pendapat sendiri.

Sebegitu adalah sang bodoh yang ingin keluar daripada kebodohannya, tetapi terpantul semula dalam kebodohannya. Saya juga sudah paparkan hujah saya untuk menjustifikasikan pendapat saya. Maka, tinggal mereka yang ingin menilai membuat penyemakan sama ada benar atau tidak apa yang saya utarakan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622976563497058304/celoteh-peribadi-8-selisihi-saya-apabila-saya

Celoteh 9 : Apabila Sampai Masa Untuk Menyelisihi Saya, Maka Lakukannya

Nota  Ini adalah ringkasan dan intisari daripada judul «Diari Diri : Usah Gentar Menyelisihi Saya Jika Saya Menyalahi Kebenaran».

Saya berpesan supaya sentiasa iltizam dengan kebenaran dan jauhi ketaksuban kepada seseorang, termasuk diri saya sendiri atau sesuatu pihak. Dahulukan kebenaran berbanding insan, termasuk saya meskipun insan tersebut dijulang tinggi, dipuja melambung dan dibesar-besarkan aura sakralnya.

Saya mengingatkan hal ini kerana ia kembali kepada pengalaman yang pernah saya lalui. Jika sesiapa yang membaca penulisan-penulisan saya, boleh dikatakan banyak juga berkisar tentang terhadap ketaksuban, antitalfīq, sikap enggan untuk kebenaran, mendahulukan sentimen dan lain-lain. Ya. Saya sebenarnya seorang yang berpijak di atas landasan itu dan saya memang tegar dengannya.

Sememangnya saya agak sempit kompromi saya untuk mana-mana yang datangnya daripada salafi dan saya agak keras permusuhan saya dengannya. Sebab itulah saya sangat memahami sikap mereka tersebut yang saya gambarkan dalam penulisan saya kerana saya sendiri telah menempuh dalam dunia tersebut.

Sehinggalah pada suatu hari, saya dipertemukan dengan seorang salafi. Entah bagaimana dia boleh mempengaruhi saya dalam membina serta meriset kefahaman saya tentang manhaj dalam agama. Saya memang suka mengikuti penulisannya dan saya ada menyimpan beberapa penulisan daripadanya. Sampai sekarang, saya masih ada simpan penulisannya.

Penulisannya bukanlah berputar kepada mempertahankan aliran salafi. Namun, lebih kepada keharmonian antara salafi dan lawannya yang tegar, ašᶜarian-sufi. Masa itu, saya pun agak ada kecenderungan kepada fahaman salafi, cuma lebih kepada pengharmonian sepertimana yang dia bawakan, bukan kepada ketaksuban jenis yang lain.

Tidak lama kemudian, dia menuju kepada fasa yang baharu. Dia menuju kepada zaman ijtihad. Ya, dia agak berani untuk mengatakan dia seorang mujtahid. Masa inilah dia mula membangunkan mazhabnya sendiri dan mempertahankan pendapat-pendapatnya yang mewakili dari mindanya sendiri.

Sejujurnya, saya memang mengikut langkahnya untuk berubah kepada yang baharu. Pada mulanya, saya teragak-agak dan masih belum berani sepertinya. Namun, setelah beberapa masa melihat bagaimana luasnya dunia yang kita boleh teroka apabila kita menjadi independen, maka saya mula mengorak langkah.

Dalam ramai orang, saya paling takut untuk menyelisihinya. Sebab saya kenal ketegasannya dan sikap kerasnya terhadap musuh dan lawan yang menentangnya. Malah, dia sentiasa membawakan hujah-hujahnya yang saya kira agak sukar untuk dijatuhkan. Apabila saya ada pendapat yang menyelisihinya, saya meletakkannya ke bawah dan mengunggulkan pendapatnya terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, saya banyak mempelajari daripadanya dan dia sememangnya membumikan pengaruhnya dalam diri saya. Saya yang sekarang adalah pengaruh daripadanya. Waktu ini pun, masih tidak lekang fanatik saya terhadapnya.

Entah bagaimana suatu hari, dia terlalu ekstrim dan mula menyimpang. Pada mulanya, saya cuba bersangka baik kerana sebelum ini saya melihat tindakannya ada justifikasinya. Saya juga ada menyimpan rasa marah dan berang terhadapnya kerana melampaunya. Namun, saya tetap memendamkannya dan cuba menahan pedih dalam bersangka baik.

Pada masa itu, saya juga malu untuk bersama dengannya atau mengambil penulisan daripadanya kerana kontroversi yang mencalit namanya. Sehinggakan saya tidak mahu menyebut namanya, malah dalam penulisan ini pun, saya masih enggan untuk menyebutkan namanya kerana teruknya pengaruh pada namanya.

Sampai suatu masa, saya menetapkan keputusan. Saya tidak ada lagi kaitan dengnanya dan saya mengambil haluan yang berbeza daripadanya. Saya terpaksa tinggalkannya kerana dia sudah mula merapu dan menyimpang terlalu jauh.

Saya keberatan pada mulanya, tetapi lama kelamaan, saya terasa beban itu diangkat. Saya rasa aman sedikit dan merasa sedikit keluasan dalam minda saya. Pada mulanya, saya ada merasa resah kerana tanpanya, bagaimana mungkin saya dapat melangkah ke haluan ini?

Hari ini, segala puji Allah, dengan izin-Nya, saya boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu ambil peduli tentangnya. Jika tidak, maka tidaklah terbentang penulisan yang para pembaca telah menelaahnya sekarang. Andaikata dia berdiri di hadapan saya untuk menentang pendapat saya, maka saya berharap Allah berikan kekuatan kepada saya untuk menghadapinya.

Saya kadangkala menjenguk dia untuk melihat perkembangannya. Pun begitu, sampai hari ini dia masih dengan mengarutnya. Saya berharap dia kembali sepertimana dia dahulu yang mempamerkan kejaguhan kepada berprinsip kuat dengan ikutan al-Quran dan sunnah.

Saya agak sedih yang seorang insan menjadi titik peralihan dalam saya menjadi sebegini. Kalaulah dia tidak sebegitu, sudah tentu saya akan julangnya sebagai tokoh agung saya, ilmuwan yang paling saya hormati dan pemikir tajam yang mengagumi saya yang menyeru kepada pengukuhan kefahaman dan entusiastik terhadap kebenaran.

Namun, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Di tangan-Nya milik semua hidayah dan Dialah yang menyesatkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Akhirnya, mahu atau tidak mahu, peristiwa sebegini mengheret kita untuk kembali kepada-Nya dan sentiasa berpaut dengan tali-Nya.

Saya berpesan tentang ini kerana saya juga tidak tahu bagaimana nasib saya di pengakhiran atau pada masa akan datang. Allah adalah Empunya kepada jalan yang lurus dan taufik. Saya kadangkala bercakap seperti saya lebih baik daripadanya, namun saya mungkin sahaja akan tertimpa nasib yang sama sepertimana insan tersebut. Allah lebih tahu.

Saya memohon perlindungan agar saya dijauhi daripada kecelakaan sedemikian. Kita semua pun perlu berserah kepada Allah agar Dia menyelamatkan kita daripada kesesatan dan malapetaka tersebut.

Apapun, jika sampai masanya perlu untuk berselisih, maka jangan gentar buat sedemikian. Takutlah kepada Allah. Janganlah takut kepada manusia, termasuk diri saya. Junjunglah kebenaran. Kenali kebenaran, maka kita akan mengenal ahlinya. Sebesar mana aura yang disakralkan oleh pengikut atau diri kita, itu bukan penentu kebenaran. Ia adalah pada al-Quran dan sunnah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622976761208143873/celoteh-peribadi-9-apabila-sampai-masa-untuk

Celoteh 10 : Sudah Tahu Bodoh, Tetapi Masih Mahu Keras Bermusuhan

Saya kadangkala hairan orang yang menganggap saya ini bodoh dan memandang lekeh terhadap saya atau menuduh saya memandai-mandai dan berlagak pandai, selalunya kerana berlaku penyelisihan pendapat daripada mereka atau kerana saya memang terkenal dengan pendapat yang pelik. Namun, ada dari kalangan mereka langsung tidak ada ilmu alat yang diperlukan atau kemahiran beberapa bahagian ilmu atau selok-belok sekurang-kurangnya asas untuk berjalan dalam ilmu tersebut.

Saya tidak mencela mereka jika mereka tidak mahu mengikut pendapat saya kerana mereka jahil. Sesiapa pun ada bahagian kejahilan masing-masing, termasuk diri saya sendiri. Namun, ini khas tertuju mereka yang sudah tahu mereka ignoran dan jahil dalam isu atau topik yang dibincangkan, namun berkeras juga untuk menentang semacam dia pandai.

Ada sesetengah mereka langsung tidak tahu bahasa Arab. Bayangkan kalau saya atau orang lain kemukakan rujukan bahasa Arab, bagaimana mungkin mereka dapat membandingkan dan membuat analisis terhadap penghujahan yang saya atau orang lain utarakan? Malah, faktor kelemahan mereka dalam bahasa Arab pun menyebabkan mereka tidak mampu menelaah penghujahan tokoh ikutan mereka sendiri.

Contohnya, mereka ingin terus setia dengan pendapat mazhab šāfiᶜian, namun mereka sendiri tidak dapat membaca karyanya dalam berbahasa Arab. Jika mereka sendiri tidak boleh memahami penghujahan tokoh mereka sendiri, maka itu cumalah ikut-ikutan yang bukan berdasarkan ilmu. Jika begitu, bagaimana mungkin mereka boleh membuat analisis dan perbandingan dengan pendapat yang berbeza dengannya?

Mereka sendiri tidak mampu menelaah penghujahan tokoh mereka supaya mereka boleh mempertahankannya, bagaimana mereka boleh mencela pandangan yang berbeza seolah-olah ia salah? Apakah sebab tidak sama dengan tokoh ikutannya terus dianggap salah? Bagaikan orang buta sedang mempertahankan bahawa obornya lebih terang daripada yang lain.

Benar kata Leonardo Da Vinci tentang tentang sikap ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ atau penyandaran kepada pihak berpengaruh: "Sesiapa yang menjalankan argumentasi dengan menyandarkan kepada pihak berpengaruh, dia tidak menggunakan kecerdasannya; dia sekadar menggunakan memorinya".

Orang buta itu cuma gunakan memorinya yang dia diberitahu bahawa obor yang dia pegang itulah lebih terang, bukan mahu buka mata untuk melihat yang lain. Buta mata zahir mungkin tidak dapat dirawat, tetapi buta mata batin, boleh diubati dengan belajar, bersikap terbuka dan tawaduk.

Apa yang mereka buat adalah menyerahkan semua urusan untuk menulis dan menjawab hujah ilmiah kepada orang lain. Mereka tidak ada kemampuan kendiri untuk membuat analisis dan menelaah karya yang diperlukan untuk menghadapi pertentangan. Atau mungkin sengaja tidak mahu melakukannya. Dia menyerahkan orang lain untuk menjadi pandai supaya orang itu boleh membelanya, tetapi dia sendiri tidak mahu jadi pandai dan bergantung kepada orang tersebut.

Dalam keadaan dia tidak tahu apa-apa, tetapi masih tergamak mahu menzahirkan penentangan yang bukan dalam lapangannya. Orang begini kita akan dengar cakapnya? Apakah itu bukan sikap memandai-mandai dan berlagak pandai yang mereka selalu sahaja lemparkan kepada orang lain, tetapi tidak sedar ia terkena pada diri sendiri?

Ada juga yang tidak puas hati dengan pendapat saya yang mendhaifkan sesuatu hadis. Namun, mereka bukan sahaja tidak tahu bahasa Arab, kitab al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl pun tidak pernah dibuka, apatah lagi kitab *ilal al-Ḥadīṯ yang entah-entah itu di luar jangkauan garapan mereka. Wacana tentang manhaj mutaqaddimin dan mutaakhirin dalam interaksi hadis pun barangkali sesuatu yang sangat terasing bagi mereka.

Saya tidaklah kata saya mempunyai tahap pengetahuan yang luas sepertimana tokoh yang mereka selalu sanjung. Sejujurnya, walaupun saya mempunyai kemahiran bahasa Arab, segala puji bagi Allah, saya masih perlu mengerahkan kesungguhan untuk mempelajari lebih dalam. Ini kerana lain orang, lain cara penyampaian dalam bahasa Arab bergantung kepada tahap mereka dalam bidang bahasa tersebut dan latar belakang kemahiran mereka. Kadangkala, saya pun akan menemukan kesulitan untuk mencerap intipati daripada karya mereka.

Namun, sekurang-kurangnya saya menonjolkan dan membuktikan kemampuan saya bahawa saya ada ilmu alat yang diperlukan atau kemahiran yang sepatutnya dikuasai atau selok-belok pengetahuan untuk mendirikan dan mempertahankan hujah saya. Saya tidak bercakap kosong dan bermain-main.

Kalau ingin bertelagah, lebih baik ia adalah pertemuan buku dengan ruas. Sama-sama boleh melihat dimensi yang kita perhati, kemudian sama-sama boleh membuat keputusan berdasarkan paras mata yang memandang setara tahapnya.

Terpulang ingin mengatakan bahawa saya berlagak. Allah lebih tahu. Kalau saya ingin berbangga pun, sekurang-kurangnya saya berbangga bahawa saya berpihak kepada kebenaran dan berdiri di atas hujah dan berpaksikan ilmu. Saya bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan nikmat ini.

Akan tetapi, mereka yang berbangga-bangga dengan kebodohan mereka dan kemampuan untuk menghadapi hujah ilmiah hanya dengan celaan, kata-kata kesat, menyindir, menganggap bodoh, memandang rendah, mencemuh dan memaki, yang ini bagaimana pula?

Setakat ingin menjadi wira kepada orang sekeliling dengan hanya pandai menghamburkan perkataan yang menyakitkan lawan sehingga kalau ia boleh dibunuh dengannya, ia akan melakukannya dan ejekan yang membolehkan orang sekeliling gelak berdekah-dekah dalam mempersenda orang lain. Inikah yang dibanggakan mereka? Inikah yang mereka ingin dakwah kepada masyarakat? Inikah agama yang mereka orang ramai mengamalkannya?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622976948243759104/celoteh-peribadi-10-sudah-tahu-bodoh-tetapi

Celoteh 11 : Saya Tidak Ada Pengaruh Yang Menarik Untuk Didengarkan Hujah Saya

Sejujurnya, saya tidak pandai menggunakan kata-kata yang boleh menyakitkan hati lawan dan membuatkan teman-teman saya gelak berdekah-dekah. Kalau ingin bertelingkah dengan bertukar-tukar caci maki, saya mungkin orang yang paling awal tersungkur dan berundur mengalah.

Saya tidak ada kemampuan karisma atau petah bicara untuk mempengaruhi kekaguman para audien yang beribu-ribu jumlahnya. Penyamapaian saya mungkin membosankan dan saya mungkin tergagap-gagap yang terganggu kelancarannya atau saya terdiam untuk beberapa ketika kerana ingin menyusun poin, penjelasan dan berfikir supaya pengungkapan dan pengisian saya menepati dengan suasan dan audien.

Saya sendiri akui saya tidak ramai pengikut tegar sehingga ramai orang boleh taksub dengan saya supaya saya dapat mengeksploitasi kepentingan ini untuk menzahirkan bahawa saya adalah benar dan menjatuhkan orang yang saya mahu. Akan tetapi, saya tidak meredhai ini kerana saya berulangkali memperingatkan kepada mereka untuk menjauhi ketaksuban terhadap mana-mana individu atau kelompok.

Cuma, tanyalah iman dalam jantung masing-masing. Yang mana satu kita akan pilih? Celaan yang disaluti dengan kata-kata yang penuh berpengaruh dan mengujakan audien dan ia adalah dari orang yang ramai menyokongnya di sekelilingnya, tetapi ia adalah hamburan kata-kata kosong dan nista atau kita ingin pilih kebenaran dan hujah ilmiah meskipun ia kelihatan bosan untuk ditelaah atau disampaikan dengan cara yang tidak begitu menarik?

Tidak semestinya pada pertentangan antara saya dengan lawan saya sahaja, tetapi juga pada orang lain. Saya juga bukan ingin mendakwa bahawa pilihan saya adalah yang terbaik lagi selamat kerana saya pun bukanlah sesiapa dan sesuatu yang istimewa untuk setiap orang.

Pun begitu, pilihan ini akan menentukan haluan keberagamaan kita sama ada kita beragama atas landasan ilmu atau hanya mengikut sang bodoh yang hanya tahu mencerca dan ia juga penentu jalan kita semua di akhirat kelak. Atas sebab itulah kita patut buat pilihan yang bijaksana.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622977202544427008/celoteh-peribadi-11-saya-tidak-ada-pengaruh-yang

Celoteh 12 : Jangan Mencampuradukkan Tempat Ilmiah Untuk Sesuatu Selainnya

Kadangkala, saya lihat sebahagian orang yang apabila ada penulis sedang bersikap objektif dan ilmiah dalam penulisannya yang tidak menyerang mana-mana individu atau pihak atau jika menzahirkan penentangan pun, dia tidak sampai mengeluarkan kata-kata yang nista, mereka tidak segan silu membangkitkan isu peribadi penulis di tempat tersebut. Lebih-lebih lagi jika sememangnya ia adalah musuh yang memang tidak ada lagi kompromi.

Setiap tempat ada penghormatannya. Masjid ada penghormatannya. Tidak boleh kita sibuk dengan urusan dunia atau bergaduh di dalamnya. Istana pun ada penghormatannya. Perpustakaan pun ada penghormatannya. Hospital pun ada penghormatannya.

Malah, bukan tempat sahaja yang ada penghormatannya. Situasi tertentu juga kita perlu menjaga kehormatannya. Apabila sedang bermesyuarat, janganlah bermain-main. Begitu juga dengan yang lain. Bagaimana mungkin tempat atau situasi yang memerlukan pembudayaan ilmiah langsung tidak boleh dijaga adabnya?

Saya sensitif dengan hal ini kerana satu sebab ini. Bayangkan jika tempat sepatutnya kita perlu objektif dan ilmiah, tetapi dia mengotorinya dengan membangkitkan isu-isu yang tidak berkaitan atau isu peribadi. Bayangkan, di masjid dia buat sama macam warung kopi. Sebegitulah yang dia buat sekarang.

Orang sebeginikah kita akan percaya bahawa mereka akan mendengar hujah dan menelitinya? Apabila mereka tidak boleh menjaga adab-adab di tempat ilmiah dan tidak membudayakan budaya ilmiah, yakinkah kita bahawa mereka akan benar-benar untuk kebenaran? Sebab di tempat untuk mencari kebenaran, mereka boleh pula membuat najis di dalamnya. Inikah sikap orang yang ingin mengutamakan kebenaran?

Saya pun ada silap silap, kekurangan dan aib. Pun begitu, banyak mana pun nista yang kita tanggung, sekurang-kurangnya menyumbangkan pada diri sendiri atau sekeliling untuk menjaga tempat yang mempunyai kehormatan sendiri. Janganlah membabi buta sahaja.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/622977427317063680/celoteh-peribadi-12-jangan-mencampuradukkan

Celoteh 13 : Saya Yang Kerdil Disasarkan Pengujian Bermacam-Macam, Tetapi Mengapa Tidak Menguji Tokoh Mereka Sendiri?


Saya juga bukanlah ahli ilmu yang sememangnya layak untuk orang berebut-rebut menadah ilmu dari saya, dimintai fatwa, berceramah bersiri dan duduk sebaris dengan mereka yang sudah pun jauh mengungguli saya.

Akan tetapi, dengan sekelumit ilmu yang ada dan sebahagian lapangan yang telah kita kuasainya dengan baik, sekurang-kurangnya itu telah mencukupkan kita untuk menyampaikan kebenaran, menjelaskan penghujahan ilmiah, mencantas kebatilan dan membetulkan kesalahan.

Ini bukan sahaja tanggungjawab ilmiah bagi setiap muslim yang ada penguasaan dalam bahagian tersebut, ia juga sebagai tanda cara kita menzahirkan kesyukuran dengan menunaikan hak ilmu kepada masa yang sesuai dan tempat yang munasabah.

Sejujurnya, saya tidak segan untuk mengatakan saya ini jahil dan banyak kelompongan yang perlu ditampung. Terpulanglah kalau ada orang mahu mengejek dan mempermainkan saya apabila saya dilontarkan longgokan soalan yang kelihatan sukar untuk dijawab dan dikupas. Terpulanglah kalau ada yang tidak mahu menghargai luahan rendah diri saya.

Akan tetapi, saya ingin berkata kepada mereka yang cuba mahu menjatuhkan kredibiliti saya, mencemarkan saya, memperlekehkan saya dan mengejek saya dengan menguji saya bermacam-macam, saya mahu mereka lakukan yang sama pada Abdul Rashid Muhamat Akip yang sememangnya layak digelar Baba yang merupakan gelaran tertinggi dalam ahli ilmu tempatan kita.

Sebelum lontarkan soalan, mulakan dahulu dengan meminta izin kepadanya untuk bertanya bermacam-macam soalan untuk menguji sejauh mana tahap keilmuan Abdul Rashid Muhamat Akip. Jika ada tiga puluh soalan, beritahulah dia bahawa kalian ada tiga puluh soalan untuk bertanya demi pengujian. Saya juga ingin tahu apa responsnya.

Jangan sebab saya musuh atau seteru kalian, maka kalian cari apa sahaja jalan untuk morebekkan saya melalui pelbagai pengujian. Cubalah pula dengan Abdul Rashid Muhamat Akip.

Bukankah kalian selalu mencanangkan untuk masyarakat mengambil tokoh ilmuwan yang berkualiti? Mengapa tidak menjalankan pengujian kepada seseorang sama pemikiran dan aliran terlebih dahulu? Adakah kerana bias atau hipokrit?

Ambilan :  https://amirkazuma.tumblr.com/post/623002360196825088/celoteh-peribadi-13-saya-yang-kerdil-disasarkan

Celoteh 14 : Mengapa Saya Tidak Membaca Novel Atau Karya Fiksyen?

Semenjak melibatkan diri dalam Wattpad, saya banyak mendapat cadangan novel yang dibaca. Kebanyakannya berkisar percintaan dan tidak kurang juga novel erotika. Saya juga ada pengikut yang menulis novel atau karya fiksyen.

Saya kalau boleh mahu memberi penghargaan kepada para pengikut dengan membaca novel karya mereka. Cuma, maafkan saya. Saya tidak berkemampuan untuk melakukan sedemikian kerana penulisan novel bukan genre yang saya minat dan bukan yang mudah saya hadam.

Sebab utamanya adalah saya ada masalah untuk menghasilkan visualisasi dalam minda. Ya. Saya lemah atau tidak berupaya untuk melakukannya ketika membaca setiap patah perkataan. Walau macam mana saya buat, saya memang tidak berbakat pada itu.

Misalnya, apabila disebutkan tentang ciri-ciri istana dengan ayat-ayat berbunga, putitis, bombastik dan kiasan yang mencengkam, saya mengalami kesukaran untuk merakamkan suasananya dalam minda. Itu belum lagi beberapa babak yang agak kompleks seperti pertarungan, kuasa yang ada pada karakter dan lain-lain.

Sebab itu, saya lebih suka kepada komik atau manga atau karya yang sudah siap visualisasinya. Atau sekurang-kurangnya, saya lebih gemar untuk membaca puisi. Sejujurnya, mungkin otak saya lebih sesuai dengan cara yang mudah dan perlu dimanjakan dalam bab visualisasi.

Apapun, saya ada seorang kawan yang adakalanya berkongsi cerpen dengan saya. Menariknya, cerita dia mudah dihadam dan saya boleh mengikutinya dari awal hingga hujung cerita. Barangkali salah satu sebabnya adalah gaya bahasanya tidak terlalu rumit dan terus kepada isi. Tidak merelet dengan gubahan-gubahan yang diberat-beratkan. Jika begini, maka mungkin saya pertimbangkan untuk menelaah novel tersebut.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623139834967605248/celoteh-peribadi-14-mengapa-saya-tidak-membaca

Celoteh 15 : Dunia Saya Tentang Mengenali Jenama Dan Model Peralatan Moden

Saya kadangkala hairan bagaimana orang boleh mengingat dan pelbagai jenama kereta dan jenis-jenisnya, jenama motor dan jenis-jensinya, model telefon, model komputer serta pelbagai barangan lain yang boleh dikatakan sebagai bahan moden.

Apabila saya masuk dalam perbualan seperti ini, saya terasa saya berada di dunia yang asing. Saya selalunya terkelu dan terdiam seribu kata untuk berbicara apabila berborak dengan topik sebegini tidak kiralah daripada yang muda ataupun yang tua.

Saya pernah cuba ambil tahu tentang ini dan meneroka selok belok hal ini, tetapi entahlah. Otak saya seperti tidak mahu dengan pengisian sebegini. Ia seolah-olah tidak sedap untuk saya cerna dan menikmatinya sepertimana perkara lain yang saya ambil tahu tentangnya.

Sejujurnya, saya tertanya-tanya sama ada kelangsungan hidup seseorang memiliki daya tahan yang efisyen jika tidak tahu menahu terhadap ini. Kita tidak mengandaikan seseorang itu hidup di ceruk desa yang memang jauh daripada semua itu, tetapi di tempat-tempat yang menerima pengaruh kepesatan meskipun di pekan yang biasa-biasa. Bagaimana?

Pengetahuan tentang pengurusan kenderaan sama ada kereta atau motor sememangnya wajar diambil tahu jika kita adalah penunggangnya atau pemandunya secara rutin. Sebegitu juga dengan telefon, komputer dan perkakas elektrik yang lain. Isu-isu tentang sekuriti, gejala kerosakan dan lain-lain sememangnya perlu diusahakan untuk mengambil tahu.

Namun, bagaimana tentang pengetahuan model dan jenama tentangnya? Adakah ia penting untuk kelangsungan kehidupan? Inilah yang saya tertanya-tanya. Setakat ini, saya tidak ada masalah melainkan jika ingin membeli model yang baru kerana kekurangan pengetahuan tentangnya dalam pemilihan yang terbaik atau ketika ingin berborak kerana saya tidak memiliki banyak modal untuk perbualan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623140212615331840/celoteh-peribadi-15-dunia-saya-tentang-mengenali

Celoteh 16 : Antara Impian Saya Dalam Bidang Penulisan

Saya sebenarnya berimpian untuk menterjemah beberapa tesis, jurnal atau karya ilmu uṣūl fiqh, kaedah fiqh dan ilmu hadis yang lebih mendalam atau lebih tuntas yang berbahasa Arab. Buku-buku kritikal sebegini sangat jarang untuk dijumpai di pasaran arus perdana.

Ini kerana saya melihat banyak buku-buku hadis, tetapi orang ramai masih tidak tahu dan banyak buku-buku fiqh, tetapi orang ramai tidak tahu bagaimana cara garapan ahli fiqh dalam mendepani isu fiqh atau merungkai permasalahan adalah kerana tidak ada karya-karya yang menyajikan alat-alat dan bekalan cerapan, peta selok belok dalam sesuatu permasalahan serta khazanah untuk kemahiran asas dalam pembentukan kesistematikan cerapan dalam minda. Sebab itulah karya sebegini wajar diketengahkan kepada orang ramai.

Sayangnya, industri buku kita di iklim yang suram. Industri terjemahan negara kita pun tidak serancak seperti di negara jiran; Indonesia. Akhirnya, peluang untuk penulisan komersial tidak begitu disambut mesra di rantau tempatan.

Komersial? Sudah tentu. Penterjemahan adalah bidang kerja professional dan ada kemahirannya. Saya mahu sahaja buat secara sukarela, tetapi saya juga sibuk dengan urusan lain. Dan kalau makanan dan minuman serta belanja kos sara hidup boleh turun dari langit setiap kali diminta, saya boleh memperuntukkan masa untuk menelannya.

Saya dapat tahu ada usaha untuk penterjemahan Kutub Sittah ke dalam bahasa Malaysia. Saya sebenarnya tidak setuju dengan usaha ini kerana sudah berlambak buku-buku hadis di pasaran. Malah, saya lihat usaha ini tidak melihat realiti terhadap keperluan masyarakat sepertimana yang saya telah jelaskan tadi.

Kita sudah ada «Bulūġ al-Marōm» dan syarahannya dalam bahasa Melayu, tetapi masyarakat masih kurang celik apa alat-alat yang diperlukan dan kemahiran yang seharusnya dikuasai dalam menghasilkan pemahaman sedemikian. Mereka tiada pendedahan kaedah atau formula yang menjadi panduan dalam garapan kefahaman. Sebab itulah masyarakat sukar untuk menjadi kritis yang sistematik. Saya harap mereka peka terhadap hal ini dan mengambil berat keperluan mereka.

Bercakap tentang karya penterjemahan Indonesia. Saya sebenarnya ada menyimpan rasa skeptik dengan beberapa hasil kerjanya. Saya pernah menemui beberapa karya terjemahan apabila dibandingkan dengan teks asli bahasa Arab, kadangkala penterjemah langkau beberapa ayat yang tidak diterjemahkan. Mungkin sebab teks asli tersebut tidak dapat difahami, lalu dilangkau dan diringkas sehingga tampak ia menjadi satu petikan daripada yang asli.

Malah, perbincangan saya dengan beberapa rakan saya pun menzahirkan rasa yang sama tentang isu kualiti. Saya mengingatkan supaya berhati-hati dengan karya terjemahannya walaupun judul bukunya kelihatan canggih dan aras yang tinggi.

Kemudian, antara impian yang saya ingin menghasilkan penulisan adalah pentakhrijan hadis beberapa kitab pondok demi menyambut usaha tokoh ilmuwan ahli bait dari keluarga al-Ġumāriyy dalam melakukan usaha takhrij ini seperti Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy yang telah menghasilkan takhrij bagi kitab «Bidāyah al-Mujtahid Wa Nihāyah al-Muqtaṣid» karya Ibn Rušd melalui kitabnya «al-Hidāyah Fī Taẖrīj al-Bidāyah» dan takhrij bagi kitab Aḥādīṯ aš-Šihāb Fī al-Amṯāl Wa al-Mawāʿiẓ Wa al-Ādāb» karya Muḥammad bin Salamah al-Quḍō*iyy melalui kitabnya «Fatḥ al-Wahhāb Taẖrīj Aḥādīṯ aš-Šihāb».

Sebegitu juga adiknya; *Abdullah yang mentakhrij kitab «Minhāj al-Wusūl Ilā *Ilm al-Uṣūl» karya al-Bayḍōwiyy melalui kitabnya «al-Ibtihāj Taẖrīj Aḥādiṯ al-Minhāj». Begitu juga adiknya; *Abdul *Azīz yang telah menabur bakti dalam usaha ini seperti yang dia menceritakannya dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī».

Kemudian, saya juga ingin menghasilkan karya yang komprehensif dalam membahaskan tentang isu al-₍Fiqh al-Iftirōḍiyy₎, iaitu fiqh spekulatif dengan membahaskan sejarahnya, kepentingannya, pandangan para ulama tentangnya, garis panduannya, perbincangan yang ada dalam setiap aliran dan mazhab dalam Islam, perbincangan untuk konteks kontemporari, perkara-perkara yang dahulunya sekadar andaian telah terjadi realitinya, perkaitannya dengan tema fiqh yang lain seperti ₍Fiqh al-Muwāzānah₎, ₍Fiqh at-Tawaqqu*₎, kesannya terhadap beberapa cabang ilmu serta pelbagai lagi yang lain.

Pada saya, belum ada karya yang khas sama ada berbentuk tesis, jurnal atau buku kajian yang membahaskannya secara tuntas melainkan sekadar karya-karya kecil yang tidak begitu luas skop capaiannya dan berselerak bagi setiap temanya. Jika ada rakyat Malaysia ingin mencipta nama di mata dunia, mungkin boleh menghasilkan karya seperti ini.

Kemudian, saya juga ingin menghasilkan fiqh perbandingan yang tidak hanya terhad pada empat mazhab sahaja, tetapi saya juga ingin memasukkan pandangan salaf, khususnya yang tidak, fiqh mazhab zaydian, jaᶜfarian, pandangan Ibn *Arobiyy dan pandangan para ulama yang tidak ternisbah dalam mana-mana mazhab atau pandangan ashab bagi sesuatu mazhab, tetapi tidak menjadi pendapat pilihan bagi mazhab.

Kemudian, dalam bidang fiqh, saya juga ingin menghasilkan karya yang memfokuskan perbahasan hukum-hakam yang berkaitan dengan perkahwinan kanak-kanak dalam karya klasik atau kontemporer dan hukum-hakam yang berkaitan dengan hamba sahaya sebagai mengenang dan mengimbau perbahasan fiqh yang klasik yang mungkin tidak ada pada zaman sekarang ini.

Kemudian, dalam bidang hadis, saya ingin menghasilkan kajian tentang taᶜlil hadis oleh al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy, al-Bayhaqiyy dan Ibn *Asākir serta perbandingan antara ketiga-tiganya. Saya juga ingin menghasilkan syarah kepada «Ṣoḥīḥ Ibn H̱uzaymah» dan beberapa kitab hadis induk lagi primer yang lain yang belum diberi perhatian untuk syarahannya.

Selain itu, saya ingin juga menghasilkan karya yang berkaitan dengan hadis-hadis yang menjadi subjek kepada ₍at-Talaqqī Bi al-Qobūl₎, iaitu yang diperkenankan penerimannya. Ia adalah hadis yang tidak termasuk dalam hadis sahih, tetapi ia dijadikan hujah oleh para ulama sama ada dalam lapangan akidah, bidang fiqh dan arena uṣūl fiqh.

Dalam bidang yang lain, saya ingin menghasilkan kitab bantahan syarahan kitab Ibn *Arobiyy ke atas syarahan yang lain yang mana saya ingin memaparkan percanggahan setiap pensyarah kitab terhadap kitabnya, khususnya «al-Futūḥāt al-Makkiyyah» dan «Fuṣūṣ al-Ḥikam» sepertimana yang dilakukan oleh Aḥmad al-Ġumāriyy yang memaparkan pertentangan Muḥammad Zāhid al-Kawṯariyy melalui kitabnya «Bayān Talbīs al-Muftarī Muḥammad Zāhid al-Kawṯariyy» atau nama lainnya adalah «Rodd al-Kawṯariyy *Alā al-Kawṯariyy» atau sanggahan al-Kawṯariyy terhadap al-Kawṯariyy.

Kemudian, saya juga ingin membina perpustakaan digital sepertimana Maktabah Syamilah dengan memfokuskan karya-karya ahli bait tanpa mengira apapun aliran. Pada saya, karya ahli bait ini tidak diberikan hak yang sewajarnya dan dicurahkan perhatian terhadapnya dalam pemeliharaan khazanahnya.

Sebahagian karya mereka ada yang boleh diisytiharkan sudah hilang ditelan zaman walaupun era pengkomputeran tidak jauh untuk seratus tahun. Lihat apa yang terjadi pada karya keluarga al-Ġumāriyy kecuali *Abdullah sudah memadai. Bagaimana pula dengan mereka yang lain?

Bagi pecinta ahli bait, tidak sewajarnya ia diambil ringan, lebih-lebih lagi jika kita memandang berat terhadap pesanan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- untuk mengikuti ahli bait. Lantas, jika pesanan adalah penting, mengapa tidak ada usaha untuk pemeliharaannya dan pemerkasaannya sepertimana usaha pada Maktabah Syamilah?

Namun, antara sebab yang saya terhalang untuk merealisasikannya adalah saya belum cukup ilmu untuk menghasilkan judul yang besar seperti ini. Untuk mencapai tahap ini, sememangnya memerlukan ketekunan yang paling maksimum dan kerajinan yang tidak tertunda. Akan tetapi, merenung kedudukan pada capaian saya, ia mungkin hanya tinggal angan-angan atau impian yang tidak kesampaian.

Pun begitu, saya berharap jika saya tidak dapat merealisasikannya, akan ada yang menyambut usaha ini yang bukan sahaja akan mengharumkan nama negara dengan penghasilan karya dari seorang warganegara Malaysia yang kitabnya menjadi rujukan dunia, bahkan ia adalah sumbangan kebajikan ilmu untuk semua orang yang mengharapkan manfaatnya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623140551711227904/celoteh-peribadi-16-antara-impian-saya-dalam

Celoteh 17 : Mengapa Saya Suka Mendengar Lagu Metal?

Saya selalu sahaja menerima respons yang agak pelik apabila mendapat tahu saya mendengar lagu genre heavy metal atau apabila saya berkongsi lagu-lagunya. Saya pernah mendapat respons bahawa genre heavy metal atau nama ini kadang dirangkumkan bersama genre ekstrim heavy metal dan inilah yang selalu dirujuk atau yang pendeknya adalah metal bukanlah muzik kerana lagunya yang ganas dan nyanyian yang menjerit-jerit.

Usah risau. Saya tidak tersinggung atau tercabar dengan respons sebegitu. Pada saya, ini sekadar seseorang yang tidak terbiasa dengan genre ini, kemudian tersentak dengan kelainan yang tidak dapat mereka hadam dan tidak memahami keseniannya. Apa yang saya lakukan di sini adalah sekadar perkongsian mengapa saya menyukai genre tersebut.

Untuk pengetahuan. dalam menghasilkan muzik metal, ia bukan proses yang mudah. Bukan calang-calang orang boleh memahirinya. Dalam bab vokal, bukan semuanya hanya menjerit atau mengeram tidak tentu hala. Menjerit atau menggeram pun ada tekniknya.

Pig squeal, ₍death growling₎, ₍mid range growl₎, ₍low growl₎, ₍low guttural₎, ₍inhale scream₎, ₍fry scream dan bermacam-macam lagi. Bagi genre metalcore atau deathcore yang ada menggunakan vokal jernih, tentu sahaja perlu kemahiran supaya alunan suaranya enak didengar.

Sukacita dimaklumkan, bukan semua genre metal yang hanya mengisi lagu dengan jeritan atau menggeram. Jika kita dengar lagu-lagu genre metal yang terdahulu, ada yang tidak ada jeritan langsung. Genre seperti glam metal dan power metal tidak ada jeritan. Sebahagian simfonik, folk atau progresif juga sebegitu.

Anda suka mendengar daripada Metallica? Ya. Thrash metal ini sebahagiannya langsung tidak ada jeritan. Anda minat dengan Avenged Sevenfold? Ya. Metalcore walaupun dominannya adalah jeritan, geraman dan dicampur dengan vokal jernih, kumpulan ini banyak menghasilkan lagu yang bervokal jernih sahaja.

Kenal Limp Bizkit dan Linkin Park? Para komuniti metal memasukkan mereka dalam kumpulan NU metal. Saya tahu ada yang tidak percaya kumpulan seperti ini adalah kumpulan metal, tetapi itulah realiti dan itulah pengiktirafan dari komuniti tersebut. Saya tidak tahu kalau ada orang tidak percaya bahawa System Of A Down adalah kumpulan metal. Sebab metal bukan melihat pada suara sahaja, tetapi lebih fokus kepada cara penghasilan muzik.

Kita lihat pada drum. Genre metal memang terkenal dengan ₍blast beat₎. Anda boleh katakan ia adalah seni di mana menghasilkan bunyi seperti tembakan mesingan. Ia bukan main ketuk sahaja. Untuk menghasilkan blast beat, kira-kira ada lebih 50 cara dan teknik padanya.

Ia juga boleh berkembang dari semasa ke semasa. Satu lagu mungkin memerlukan tiga atau empat kemahiran serentak dan digabungkan. Bayangkan kalau satu kumpulan itu ada yang sampai 100 lebih lagu. Tidak mungkin hanya dengan beberapa cara yang sama.

Untuk gitar pula, ia bukan sekadar menggoreng secara membantai sahaja. Kemahiran seperti ₍trimolo picking₎, ₍down-picking₎, ₍drop picking₎, ₍palm-muted₎ dan lain-lain kemahiran. Bagi yang ingin menghasilkan gaya djent, ini juga bukan mudah.

Setakat ini, di negara kita belum ada kumpulan muzik atau penyanyi solo yang mahu dedikasikan secara serius dengan gaya muzik ini. Genre metalcore dan deathcore terkenal dengan ₍breakdown₎. Ini pun ada bermacam-macam gaya. Groove metal pula ada bermacam-macam gaya pada rifnya.

Bayangkan pula jika ada kumpulan mahu menghasilkan subgenre seperti progresif, simfonik dan folk yang memerlukan instrumen tambahan selain daripada dua tersebut. Tentu sahaja ada kemahiran lain yang perlu dikuasai. Maksudnya, pemain-pemain instrumen dalam metal adalah terdiri daripada orang yang berkemahiran tinggi.

Sebenarnya, penghasilan lagu genre metal masih banyak ruang inovasi. Anda pernah menemukan blackened symphonic technical atmospheric death metal bergaya Djent? Saya pun tidak pernah dan saya tidak rasa ia wujud pada waktu sekarang ini.

Namun, boleh jadi pada masa akan datang ia benar-benar ada walaupun saya rasa ia adalah hampir kepada mustahil. Apa yang saya sebutkan ini salah satu contoh daripada di mana muzik metal boleh mengembangkan bakatnya. Justeru, genre metal adalah lagu didasari daripada kreativiti dan inovasi, bukan hanya membuas sahaja.

Kemudian, kita menuju kepada isu yang lain. Tema apa yang disentuh dalam lagu metal? Mungkin tanggapan paling popular adalah lagu syaitan dan antiagama. Ya. Saya tidak menafikannya.

Sebenarnya, jika bercakap tentang antituhan atau mempersenda tuhan, ada juga lagu pop, rap, hip hop dan yang lain-lain juga membawa yang sama. Jika black metal, sememangnya lubuk lagu-lagu syaitan dan antituhan. Jika death metal dan grindcore, memang kegemaran lagu-lagu gore. Deathcore juga ada banyak lagu-lagu sedemikian.

Namun, bukan semua sebegitu. Ada lagu-lagu tentang mitologi Greek, sains fiksyen, sejarah, suara-suara politik, keluhan hidup, malah tentang cinta pun ada. Infecting The Swarm, kumpulan teknikal death metal sebagai contoh. Ia ada menghasilkan lagu-lagu yang bertemakan fiksyen tentang virus. Ring of Saturn, kumpulan deathcore yang mendedikasikan lagu-lagu tentang makhluk asing. Sabaton ada lagu-lagu tentang peperangan. Kalau ingin lirik lagu yang puitis dan bahasa yang bersastera, Cradle of Filth salah satunya.

Mahu atau tidak mahu, kita perlu lihat apa yang kumpulan itu bawa secara satu persatu. Bukan memukal semua adalah sama. Untuk menyemak kandungan lirik secara umum atau tema yang dibawa oleh suatu kumpulan muzik, boleh dirujuk di laman web Metal-Archive.

Jika diteliti tema lagu secara spesifik, ada juga yang agak mesra pendengar umum. Contohnya Set Your Anchor oleh Eternal Lord. Lagu deathcore yang menceritakan tentang suasana dan perasaan pelayaran ketika dilambung badai. Contoh lain adalah The Sound of Truth oleh As I Lay Dying. Lagu metalcore tentang sikap seseorang dalam menerima kebenaran. Contoh lain adalah Enemy Within oleh Arch Enemy. Lagu melodic death metal tentang bisikan dan musuh yang menghasut untuk membunuh diri. Dan banyak lagi.

Mungkin ada yang tertanya, mengapa perlu menghasilkan lagu ganas dan menjerit sebegini? Sebelum itu, bukan semuanya ganas. Doom metal adalah lagu yang dapat dikatakan lagu perlahan dan tenang. Ia seumpama lagu yang boleh mendodoikan orang tidur. Bahkan, saya secara peribadi merasa kebosanan untuk melayaninya kerana ia terlalu perlahan tempo muziknya dan durasinya yang panjang.

Berbalik kepada persoalan. Saya dapat katakan satu sebab. Untuk mengekspresikan rasa yang kuat dalam jiwa. Ya. Bukannya semata-mata untuk mengganas atau membuas pada kesemuanya.

Saya berikan contoh To Catch A Flame oleh Oceans Ate Alaska. Walaupun genre metalcore, tetapi puitis dan lagu yang berkaitan dengan luahan cinta. Namun, mengapa perlu menjerit dan lagu ganas? Sebab untuk ekspresikan gelojak cinta yang meronta-ronta dalam jiwa melalui suara yang kuat dan melodi yang bertenaga. Mudah, bukan?

Contoh yang lain adalah Green Eyes oleh Iwrestledabearonce. Lagu melodic deathcore tentang tarikan pemanipulasi yang ingin mengeksploitasi diri kita. Kalau dilihat pada liriknya, nampak biasa-biasa sahaja. Namun, apabila disampaikan dengan suara yang berupa amukan dan muzik yang bertenaga, ekspresi itu menjadi kuat. Malah, jika ingin membuat lagu kutukan terhadap konspirator dan ahli politik yang korup atau orde yang bejat, tentu lagu-lagu yang agresif sebegini lebih menyampaikan rasa dan mesej.

Bukan semuanya hanya tertuju kepada agresif. Ada juga sememangnya untuk sedih. Untuk ini, selalunya metalcore atau doom metal boleh melakukan yang ini.

Maksud saya sedih di sini, bukan iramanya perlahan atau lembut sepertimana lagu pop yang lain. Ia juga bernada agresif dan bertenaga, tetapi menghasilkan sentuhan yang membawa kepada kesedihan. Beberapa contoh yang saya boleh beri ialah Say Goodbye oleh I Killed The Prom Queen, Hansha oleh Oceans Ate Alaska, Sayonara oleh Cian.

Malah, ada subgenre yang bernama ₍depressive suicidal black metal₎ yang sememangnya khas untuk membawa alunan yang sedih, sekalipun ada kerancakan kerana pengaruh black metal. Justeru, lagu metal bukan lagu yang bersifat agresif sahaja. Ia sama sahaja mengikut kesesuaian muzik dan perasaan yang ingin diluahkan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623141021392502784/celoteh-peribadi-17-mengapa-saya-suka-mendengar

Celoteh 18 : Lagu Metal Apa Yang Akan Para Normi Minat?

Saya pernah terjumpa satu soalan: "Rasanya lagu metal yang bagaimana yang sesuai untuk normi seperti saya?". Sejujurnya, saya tidak ada jawapan mudah untuk ini. Sebabnya adalah genre metal ada pelbagai. Ia mencecah lebih 10 jenis.

Lagipun, saya tidak mendengar semuanya. Saya lebih minat kepada genre metalcore dan subgenrenya, deathcore dan subgenrenya, death metal dan subgenrenya serta black metal dan subgenrenya. Kadangkala saya melayani groove metal dan grindcore. Yang lain bukan minat saya. Justeru, apa yang saya minat, belum tentu ia sama dengan orang lain punya citarasa.

Cuma, kalau tidak tahu apa citarasa yang sesuai, cubalah dengar lagu-lagu yang popular atau dari kumpulan yang popular. Kalau thrash metal, cubalah dengar daripada empat kumpulan yang besar; Metallica, Anthrax, Slayer dan Megadeth. Kalau NU metal, tiga yang besar adalah Slipknot, Korn dan Limp Bizkit. Untuk metalcore, yang paling popular adalah Avenged Sevenfold yang mesra semua pendengar kerana ia adalah kumpulan yang mengekalkan vokal jernih dalam lagu-lagunya. Atau boleh cuba System Of A Down, Iron Maiden atau yang lain. Terokailah sampai jumpa apa yang ingin dicari.

Sebenarnya, pada awalnya, saya bukanlah peminat genre metal. Saya pun antara orang yang benci dengan genre ini kerana tanggapan saya bahawa ia sekadar lagu terjerit-jerit dan lagu yang ganas.

Saya cuma mula berjinak-jinak dengan genre tersebut setelah saya bergelumang lama dengan lagu post-hardcore, seperti dari Funeral For A Friend dan The Redjumpsuit Apparatus, hardrock seperti dari Breaking Benjamin, emo punk yang masa itu selalu berada di atas carta yang tertinggi dan lagu rock yang lain.

Lama-kelamaan saya mula boleh senang untuk mendengar lagu metal daripada kumpulan seperti Mushroomhead, Whitechapel, Rammestein, Arch Enemy dan lain-lain. Saya mempunyai minat yang kuat setelah mendengar lagu-lagu daripada Asking Alexanderia dan kefahaman tentang dunia metal.

Saya tidaklah menjadi peminat lagu metal secara tiba-tiba. Ia proses berperingkat. Jika metal terlalu berat, maka mulakan dahulu yang lebih ringan daripadanya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623141275845181440/celoteh-peribadi-18-lagu-metal-apa-yang-akan

Celoteh 19 : Bagi Yang Meragui Kemampuan Ilmu Saya

Saya sedar bahawa ada sesetengah orang tidak yakin dengan kemampuan ilmu saya. Itu tidak ada masalah bagi saya. Itu hak masing-masing untuk mengekspresikannya. Namun, jangan lupa yang orang lain pun ada hak untuk meragui kemampuan ilmu mereka. Jangan hanya melihat orang lain, tetapi lupa pada diri sendiri.

Apapun, saya sendiri pun tidak mahu diikuti pendapat saya hanya kerana kekaguman atau ketaksuban atau memenuhi selera mana-mana individu atau pihak. Saya hanya mahukan pendapat saya didasari pemahaman terhadap hujah yang kukuh. 

Saya tetap membuka cabaran untuk meragukan mana-mana penghujahan saya dalam penulisan. Mahakarya saya atau magnum opus untuk diri saya adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan *Ilal al-Ḥadīṯ». Silakan tunjuk dan buktikan di mana kesilapan saya dalam penulisan tersebut. 

Begitu juga penulisan-penulisan yang lain. Jika tidak ada, lebih baik senyap dan tidak perlu membuat onar dengan penentangan terhadap yang dia sendiri tidak tahu atau menghamburkan sesuatu yang menyakitkan secara sengaja semata-mata kerana tidak sehaluan.

Lontarkan kritikan atau pandangan ilmiah yang membina. Semua itu boleh jadi pengisian penting untuk mengukuhkan lagi pendapat saya atau memperbaiki penulisan saya. Kadangkala, mungkin orang lain nampak kesilapan yang tidak saya nampak padanya. Sebab itulah saya berhajat untuk pertukaran idea yang intelektual, bukan sekadar kata-kata kosong atau celaan atau sindiran atau persenda.

Saya menyedari terhadap kedudukan diri saya. Masih banyak kelompongan dan perlu giatkan lagi pembelajaran dan penerokaan. Saya juga manusia yang tidak lepas daripada salah, kekurangan dan aib. Jika mahu dibanding dengan tokoh-tokoh yang selalu dijulang, mungkin sekali saya sangat jauh dibanding daripadanya. Allah lebih tahu terhadapnya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623165615935520768/celoteh-peribadi-19-bagi-yang-meragui-kemampuan

Celoteh 20 : Belajar Tinggi-Tinggi, Balik Sama Macam Orang Bodoh

Kita lihat kepada konteks ilmu agama. Saya fikirkan kita semua pun ingin menadah ilmu daripada mereka yang telah melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau lebih mendalam sehingga ke luar negara. Mereka yang telah ke sana mungkin lebih banyak belajar daripada para tokoh ilmuwan yang terbilang dan mereka juga mungkin lebih rajin belajar daripada kita.

Dengan kedalaman ilmu yang ada dan bermacam-macam kitab yang telah mereka khatam, mungkin mereka mempunyai fikiran yang matang dan terlatih untuk berdepan dengan pelbagai kalangan orang daripada yang jahil sehingga yang pandai. Mereka juga mungkin peroleh pelbagai cetusan dan inspirasi daripada suasana intelektual dan budaya ilmiah di sana.

Inilah sebabnya kita tidak mahu melepaskan peluang keemasan sebegini. Kita belajar bukan sahaja menimba ilmu hanya pada kelas sahaja, tetapi melalui perbincangan atau mungkin debat.

Namun malangnya, sebahagian orang yang telah mencapai tahap sebegitu, apabila pulang ke tanah airnya sendiri, apabila berselisih pandangan dengan orang lain, dia tidak ubah berselisih cara orang yang lebih rendah atau lebih dungu daripadanya atau orang yang seperti tidak pernah belajar langsung.

Mereka gemar bermain ₍Ad Hominem₎, bermain kesan ₍Halo₎, kesan Kontras, ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, falasi ₍Bandwagon₎ pelbagai bias kognitif dan bias yang lain semata-mata untuk menyahkreditkan pendapat orang lain. Malah, dalam merespons pembentangan ilmiah, mereka tidak membalas yang sama. Yang mereka buat adalah dengan menyindir, mencela, meperlekeh dan mencemuh.

Apa beza dengan sang bodoh dan dungu yang lain dalam berbalah? Itukah apa yang mereka dapat daripada pendidikan guru yang tidak terkira jumlahnya? Itukah yang mereka bawa pulang setelah menelaah pelbagai kitab yang kompleks?

Kita minta bedah dan kutip apa yang terkandung dalam kitab dan apa yang guru mereka pernah ajar dan bimbing mereka, tetapi yang mereka buat adalah selongkar hal peribadi orang lain untuk mencari yang mana satu poin yang tidak boleh dipakai demi untuk menjatuh tarafkan kehujahan orang lain.

Mereka berkata kepada para audien bahawa mereka boleh membawakan dalil untuk menyatakan orang ini berperilaku buruk di matanya, tetapi apabila diminta untuk membawakan dalil daripada al-Quran dan hadis, mereka lebih suka berdalih dan memberi beragam alasan. Kenapa apabila mencari dan membentangkan hal peribadi orang lain, itu lebih laju daripada mencari dalil untuk sokongan hujah mereka?

Lebih baik sijil mereka itu dikoyakkan sahaja. Kitab Arab yang mereka simpan itu lebih baik beri kepada orang lain yang lebih lebih pandai memanfaatkan dan menghargai ilmu. Orang sebegini langsung tidak mensyukuri nikmat Allah yang Dia beri dalam mendalami ilmu dan melanjutkan pelajaran ke luar negara, tetapi balik mahu menjadi orang yang sama dengan orang bodoh apabila berbalah.

Kadangkala, saya terfikir bahawa adakalanya benar ungkapan yang menyebutkan: "Hujan batu di negeri orang, hujan emas di negeri sendiri". Rezeki kepandaian dan kematangan yang dicari di hujung dunia adakalanya diperoleh secebis, tetapi tanpa sedar, di tanah tumpahnya darahnya tersimpan khazanah yang berharga yang terselindung dari dimanfaatkan kerana cerapan teropong hanya untuk melihat yang jauh.

*Abdul Ḥayy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh uṣūl fiqh berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- berkata dalam meluahkan rasa kekecewaan terhadap universiti al-Azhar yang menawarkan pengajian yang tidak ubah berbeza kejumudannya sepertimana tanah airnya di Morocco :

وقد كنت أعتقد أن الفقهاء المالكية بالأزهر الذين يدرسون الفقه يخالفون الفقهاء المغاربة في منهج تدريسهم للفقه فيبحثون عن أدلة الفروع المقررة في كتب الفقه في كتب السنة وينبهون الطلبة عليه وعلى وجه دلالتها على أحكام الفروع المذكورة في كتب المذهب بدون ذكر أدلتها. فإذا هم مثل فقهاء المغرب لا بخطر ذكر أدلة الفروع على بالهم، بل ينكرون كل الإنكار العمل بالدليل ولو كان نصا صريحا لا يحتمل التأويل! وإنما يسردون الأقوال سردا لا يستفيد منه الطالب شيئا زائدا على ما هو مذكور في الكتاب مع التعقيد والإبهام والإغلاق!

"Dahulu aku mempercayai bahawa fuqaha mālikian di al-Azhar yang mengajarkan fiqh menyalahi fuqaha Morocco dalam metodologi pengajaran mereka dalam fiqh, lalu mereka membahaskan dalil-dalil cabang yang tersedia dalam kitab fiqh pada kitab sunnah dan mereka mengingatkan para penuntut untuknya dan untuk bentuk pendalilannya ke atas hukum-hukum cabang yang disebutkan dalam kitab-kitab mazhab yang tidak menyebutkan dalilnya. Ternyata mereka semisal fuqaha Morocco yang tidak terfikir menyebutkan dalil cabang di benak fikiran mereka. Bahkan, mereka mengingkari dengan sepenuh ingkar terhadap pengamalan dengan dalil walaupun ia adalah naṣ yang jelas yang tidak dimungkinkan pentakwilan. Mereka cuma menyenaikan pendapat-pendapat dengan senarai yang penuntut ilmu itu tidak memperoleh faedah daripadanya walau sesuatu pun yang menambah atas apa yang disebutkan dalam kitab bersama perumitan, pengaburan dan penguncian!". [Naqd Maqōl Fī Masā^il Min *Ilm al-Ḥadīṯ Wa al-Fiqh Wa al-Uṣūlih Wa Tafḍīl Ba*ḍ al-Maḏāhib
m/s 63-64].

Bukanlah salah ulama dari al-Azhar itu sendiri walaupun ada kritikan terhadapnya kerana di sana masih ada ilmuwan yang disegani, diperakui kewibawaannya dan tiada galang ganti untuknya. Cuma, bagaimana *Abdul Ḥayy al-Ġumāriyy mampu teguh di atas prinsipnya semenjak dari tanah airnya di Morocco sehingga ke Mesir, lalu pulang dengan semangat yang sama dan mendepani harapan yang tidak kesampaian dalam perantauannya inilah yang patut diamati.

Kita mengharapkan emas di negara orang, tetapi rupanya tiada beza sepertimana negara sendiri. Mungkin sahaja di mana sahaja seseorang itu berada, dia berpeluang untuk mendapatkan kejayaan selagimana seseorang itu memanfaatkan peluang yang ada di sekitarnya. Meskipun bukan sang perantau, dia boleh mendapat kejayaan sepertimana perantau yang lain.

Sebegitulah Mālik bin Anas. Walaupun tidak ada pengembaraannya ke serata wilayah empayar muslim demi menuntut ilmu sepertimana yang lain, dia tetap menyerlah sebagai tokoh gemilang sepanjang zaman sepertimana yang lain yang dikenali dengan perantauannya yang luas.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623287839968395264/celoteh-peribadi-20-belajar-tinggi-tinggi-balik

Celoteh 21 : Mengapa Saya Menzahirkan Erotisisme Di Laman Maya?

Nota  Penulisan ini diambil intisarinya daripada penulisan saya yang berjudul «Diari Diri : Mengapa Saya Menampilkan Erotisisme Di Ruangan Maya?».

Saya sebenarnya mempunyai kawan, teman atau sahabat yang sememangnya suka melayani pornografi dan pembacaan erotik. Namun, saya menyedari sesuatu. Ada daripada mereka tidak mahu mempelajari agama lebih mendalam kerana bagi mereka mereka sudah terjebak dan terlibat dalam kancah dosa. Bagi mereka juga, agama untuk orang yang selain mereka.

Justeru, mereka merasakan orang seperti mereka tidak layak untuk terlibat dalam apa sahaja yang berkaitan dengan pemahaman yang lebih tuntas, komprehensif dan mendalam pada hal ehwal agama. Mereka akan menjauhkan diri daripada orang yang mereka rasakan mempunyai kekhususan dalam agama. Mereka bukan sahaja merasakan diri mereka dalah berdosa, malah mereka takut jika mereka rapat dengan orang sebegini, mereka akan diserang dan masa lapang mereka boleh terganggu untuk melayan karenah orang agama.

Menariknya adalah sesuatu yang menghairankan saya adalah ada di antara mereka lepasan tahfiz atau sedang menduduki atau sudah melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian agama secara khusus. Namun, entah mengapa mereka ada bahagian yang lain daripada yang lain. Selama ini, saya sangka saya berada di pihak terasing.

Nampaknya, saya tidaklah bersendirian dalam hal ini, iaitu mendalami ilmu agama, tetapi dalam masa yang terlibat dan minat dalam aktiviti erotisisme. Cuma, bezanya saya bergiat aktif dalam penulisan dan penyampaian agama. Bezanya lagi saya ada hujah untuk pendirian saya, manakala yang lain sekadar minat sahaja.

Apapun, saya sedar bahawa peranan kita sebagai pendakwah selagimana kita hidup. Kita perlu menyampaikan pemahaman agama kepada setiap lapisan golongan. Sebab itulah saya bawa kelainan daripada yang lain untuk mendekati golongan seperti ini. Namun, bukanlah sekadar mengikut rasa suka hati sahaja. Ia berasaskan hujah dan ilmu. Bacalah penulisan saya yang berkaitan dengan seksual. Itulah sandaran saya dalam saya dalam melaksanakannya.

Saya katakan kepada mereka bahawa apa yang mereka lakukan selama ini tidaklah berdosa jika kita berpegang kepada pendapat al-Qolyūbiyy seperti berikut :

وَخَرَجَ بِهِ رُؤْيَةُ الصُّورَةِ فِي الْمَاءِ أَوْ فِي الْمِرْآةِ فَلَا يَحْرُمُ وَلَوْ مَعَ شَهْوَةٍ

"Terkecuali daripadanya (pengharaman lihatan badan) ialah lihatan bayangan pada air atau pada cermin. Tidaklah ia haram walaupun bersyahwat". [Ḥāšiyatā Qolyūbiy wa *Umayrah *Alā Šarḥ al-Muḥallā *Alā Minḥāj at-Ṭōlibīnjilid 3m/s 209keluaran Dār al-Fikr].

Dan juga pendapat al-Bujayrimiyy seperti berikut :

وَخَرَجَ بِهِ رُؤْيَةُ الصُّورَةِ فِي نَحْوِ الْمِرْآةِ وَمِنْهُ الْمَاءُ فَلَا يَحْرُمُ وَلَوْ مَعَ شَهْوَةٍ

"Terkecuali daripadanya (pengharaman lihatan badan) ialah lihatan pada bayangan di cermin dan air termasuk daripadanya (pengecualian). Tidaklah ia haram walaupun bersyahwat". [Tuḥfah al-Ḥabīb *Alā Šarḥ al-H̱otībjilid 4m/s 372keluaran Dār al-Fikr].

Mereka berdua ini bukan calang-calang orang. Mereka adalah ilmuwan yang terkemuka. Daripada pendapat ini, mereka menyatakan bahawa tidak haram melihat paparan aurat pada imej pantulan cermin dan bayangan air kerana apa yang dilihat itu bukanlah aurat yang sebenar yang berjasad atau bertubuh, tetapi yang diserupakan dengannya. Dibolehkan melihatnya walaupun dalam keadaan syahwat. Maka, kes ini juga sama untuk paparan skrin digital atau hologram. Justeru, apa yang selama ini mereka yang merasakan perbuatan mereka berdosa, tetapi sebenarnya tidak.

Tidak cukup hanya dengan mengeluarkan kenyataan ini. Saya juga perlu buktikan bahawa ia tidak berdosa. Sebab itu, jika seseorang mengikuti laman sosial saya, kadangkala saya berkongsi erotika. Tidak hanya terhad penulisan agama sahaja.

Dan ini sudah semestinya kerana hidup kita tidak boleh serius selalu. Ada masa kita perlu berhibur seperti memanah, berenang, berlumba lari, mendengar syair dan lain-lain kalau kita hidup di zaman atau tempat yang hiburannya sebegitu.

Apapun, apabila mereka menyedari bahawa saya membuat sesuatu yang lain, mereka merasakan bahawa agama ini hakikatnya tidak mengasingkan mereka atau memusuhi mereka. Ketika saya menulis tentang ilmu agama, mereka merasakan bahawa jurang mereka dirapatkan berbanding sebelum ini kerana mengenali diri saya.

Mereka mula ada perasaan untuk belajar agama, sekaligus menanam sentimen keagamaan dalam jiwa dalam kehidupan mereka. Malah, mereka yang sebelum ini tidak mahu terbabit dengan apa sahaja yang berkaitan dengan agama atau tidak mempedulikannya mula minat untuk ambil tahu isu dan perbahasan yang berkaitan dengannya.

Mereka mula bertanya kepada saya tentang pelbagai perkara dalam isu agama. Saya bukanlah yang terbaik untuk mereka dan saya bukanlah ilmuwan yang terulung, apatah lagi sifu yang diletakkan harapan tinggi. Saya cumalah menyampaikan apa yang saya tahu dan melaksanakan tanggungjawab untuk tidak menyembunyikan ilmu kepada orang yang berhajat kepadanya atau yang ingin menuju kebaikan. Malah, ini juga cara saya untuk melaksanakan kesyukuran kepada Allah atas nikmat yang Dia limpahkan kepada saya dengan menjawab dan menyampaikan apa yang saya tahu kepada yang bertanya dan ingin tahu.

Segala puji bagi Allah. Semoga Allah tambahkan kebaikan mereka di dunia dan di akhirat kerana minat mereka untuk mendalami agama.

Cuba bayangkan kalau mereka ini tidak didekati dan dirapati. Pasti mereka akan masih dalam kemabukan hedonisme dan hanya mengambil sambil lewa dalam urusan agama buat dirinya. Bahkan, kepada siapa lagi yang mereka akan tanya jika agamawan selalu menyisihkan mereka ini? Mereka mungkin akan memandai-mandai sendiri, memberikan pandangan di luar kemampuan mereka atau mereka tidak akan mendalamkan minat mereka untuk terus meneroka.

Saya bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyak kesyukuran kerana saya telah melihat hasilnya. Sebahagian daripada mereka sudah ada motivasi untuk mempelajari bahasa Arab biarpun status erotisisme mereka. Kalaulah mereka ini tidak didekati dan dirapati, kamu boleh agak apa yang mereka akan kekal berada padanya.

Saya juga ingin membuktikan bahawa jika erotikawan seperti saya pun boleh menguasai bahasa Arab, mendalami ilmu hadis, mewacanakan ilmu agama, terlibat dalam aktiviti keagamaan seperti ceramah, daurah, kursus, kelas, forum dan debat serta mempunyai sentimen keagamaan, mereka juga boleh. Janganlah sebab kegemaran mereka dengan erotika, terus mahu memilih untuk mengabaikan agama. Mereka juga boleh bergerak seiring.

Saya menampilkan diri saya seperti ini untuk menjernihkan citra yang mereka persepsikan tentang agama pada hakikatnya tidak sedemikian rupa. Tidak sama sekali! Orang seperti mereka juga boleh menemani rapat dengan agamawan yang mereka kenal keilmuannya, kesolehannya, kezuhudannya, kewarakannya dan lain-lain nilai murni.

Mereka juga boleh menadah ilmu dan mendapat pendidikan jiwa. Itulah yang saya mahu tampilkan. Mereka juga boleh melibatkan diri dalam perbincangan ilmiah dan bergiat aktif dalam aktivis yang berkaitan dengan perjuangan keagamaan. Mereka juga boleh mempunyai sentimental keagamaan yang tinggi sepertimana para agamawan lain dalam mendepani isu sensitif dan mencabar. Saya mahu setiap orang daripada kalangan muslim mendapat bahagian tanpa diskriminasi dan prejudis.

Sudah tentu, saya tetap akan memberi penekanan kepada adab apabila berada di tempat-tempat tertentu. Saya juga tidaklah sepanjang masa berpenampilan seolah-olah bukan imej agamawan yang berarus perdana. Jika saya ingin menunaikan solat di masjid atau surau, saya sendiri berjubah dan berkopiah serta kadangkala berserban. Begitu juga jika ingin menghadiri program-program atau kelas keagamaan. Saya sendiri lebih selesa untuk memakai kurta atau berpakaian yang lebih formal.

Kalau saya ingin berdiskusi di laman maya, saya sendiri akan menggunakan imej yang lebih bersusila demi atmosfera yang mesra. Ia sama seperti pepatah: "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung" atau ungkapan Inggeris: "Apabila engkau berada di Rom, buatlah cara orang Rom".

Setiap tempat ada kehormatannya. Istana ada kehormatannya, masjid ada kehormatannya, perpustakaan ada kehormatannya, tempat ilmu ada kehormatannya dan sebagainya. Janganlah sepanjang masa bawa masuk atau terbabit dengan kelucahan. Jagalah kehormatannya. Inilah yang saya selalu pesan.

Saya tahu bukan semua orang akan menyetujui apa yang saya lakukan ini. Yang suka berkongsi erotika pun ada yang mengecam tindakan saya. Yang minat dengan erotika pun tidak mahu menerima pendapat al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy. Kemudian, berkeras bahawa apa yang mereka lakukan adalah berdosa. Mereka tetap insisten untuk mengatakan bahawa apa yang mereka buat adalah berdosa meskipun saya sudah jelaskan berkali-kali bahawa ia adalah tidak, melalui penulisan-penulisan saya.

Kemudian, dengan tanggapan mereka bahawa perlakuan itu adalah dosa, mereka menyatakan bahawa saya tidak patut campuradukkan agama dengan erotika. Biarlah ia asing-asing. Saya sampai terpaksa menerjah semula kerana ada di antara mereka ini juga memang kuat permusuhannya dengan saya mengatakan: "Kalau kamu menganggap itu berdosa, maka sepatutnya kamu jangan campuradukkan hidup kamu sebagai muslim dengan hal itu. Tidak perlu solat selagimana jiwa masih seronok layan erotika dan pornografi. Begitukah?".

Kalau mereka rasa mereka boleh teruskan solat walaupun berdosa, saya yang berpandangan bahawa ia adalah tidak berdosa dan tidak ada masalah apa-apa pun kalau dalam masa yang sama, saya ingin menyampaikan ilmu agama.

Faktor ketidakmahuan mereka untuk menerima pendapat al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy adalah kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah dengar dalam hidup mereka. Saya faham bahawa lumrah manusia akan memusuhi apa yang dia tidak tahu, lebih-lebih lagi jika ia sesuatu yang dianggap pelik.

Namun, saya harap mereka akan menggunakan akalnya untuk membuat pertimbangan dengan sebaik-baiknya. Ataupun sekurang-kurangnya membaca penulisan saya tentang hal ehwal seksual untuk membuat perbandingan. Tidak menerima pendapat saya pun tidak mengapa, asalkan sekurang-kurangnya mereka tahu hujah saya dalam tindakan saya.

Apapun, saya juga melihat beberapa perubahan kefahaman dan perspektif apabila saya mendekati mereka dengan cara ini. Saya berharap ini adalah dakwah yang mulia dan diberkati. Saya sedar bahawa apabila saya menggalas tanggungjawab sebagai pendakwah, saya sebenarnya memberikan pengaruh dan getaran inspirasi kepada orang ramai. Saya harap kerja dakwah yang saya lakukan adalah yang diberkati dan dinaungi rahmat Allah Tabāroka Wa Ta*ālā. Saya memohon kepada-Nya agar dianugerahkan kebaikan di dunia dan di akhirat atas hasil usaha saya.

Jika apa yang saya sampaikan adalah benar dari sisi hujah ilmiah dan kebenaran, saya panjatkan kesyukuran kepada-Nya setinggi-tinggi kesyukuran. Jika salah, maka sampaikanlah kepada saya dan berbincang kepada saya. Saya memohon keampunan daripada-Nya kerana saya juga manusia yang punya aib, kekurangan dan kesalahan. Semoga mereka yang menyampaikan kebenaran kepada saya akan dilimpahkan kasih sayang-Nya yang berkekalan abadi.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623300251747598336/celoteh-peribadi-21-mengapa-saya-menzahirkan

Celoteh 22 : Penulisan Saya Tentang Isu Seksual Mungkin Berdepan Dengan Kesukaran Untuk Memahami Jika Tiada Ilmu Alat Yang Diperlukan

Saya memang menjangkakan bahawa penulisan isu seksual akan mendapat sambutan. Saya menyedari Wattpad memang lubuk bacaan erotik walaupun bukan itu tujuan asal pembangunan laman ini. Sebab itu, saya cuba membuat kelainan bahawa selain daripada berhibur dengan erotisme, elok juga kita bekalkan diri kita dengan kefahaman dan intelektual.

Saya bersyukur kepada Allah jika penulisan saya ini memberi manfaat kepada para pembaca. Semoga ia mengisi pemahaman para pembaca dengan jitu dan kukuh. Jika para pembaca bersetuju dengan apa yang saya utarakan, maka semoga Allah perkukuhkan kita di atas kebenaran. Jika ada yang tidak bersetuju, lontarkan hujah ilmiah.

Jika saya salah, saya memohon ampun kepada Allah. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada aib, kekurangan dan kesilapan. Mereka yang membawa hujah ilmiah, semoga Allah sentiasa mengekalkan mereka dalam momentum keilmuan.

Apapun, saya mengingatkan bahawa pembacaan tentang isu seksual yang berkaitan dengan agama akan sukar difahami atau mungkin tidak akan difahami jika seseorang itu tidak menguasai uṣūl fiqh, kaedah fiqh dan ilmu hadis serta bahasa Arab. Ini kerana saya menulis dengan mengaplikasikan ilmu tersebut, bukan secara tiba-tiba masuk ke dalam perbahasan tersebut.

Maksudnya, saya menggunakan kaedah-kaedah dalam ilmu uṣūl fiqh dan ilmu hadis serta bahasa Arab dalam membuat penilaian, analisis dan pertimbangan yang berkaitan dengan isu seksual. Kemudian, barulah saya dapat mendirikan hujah dan pendirian seperti itu. Bukannya saya terus masuk perbahasan tanpa ada apa-apa alat-alat yang diperlukan.

Sebab itulah saya menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah lain seperti uṣūl fiqh, ilmu hadis dan lain-lain kerana di situ ada tersimpan kaedah-kaedah yang saya gunakan dalam mencerap isu-isu agama. Kalau yang sudah celik dengan kaedah-kaedah tersebut, mungkin tidak ada masalah jika tidak membacanya. Namun, dialu-alukan untuk menelaah dan berkongsi pandangan serta berbincang padanya. Jika tidak, lebih elok cuba menelaah dahulu beberapa penulisan saya yang lain di samping membaca penulisan saya yang berkaitan dengan seksual.

Apapun, semoga Allah memberikan bimbingan kepada kita semua agar kita memperoleh kefahaman yang lurus dan terurai segala kebingungan dalam minda kita.

Ambilan :  https://amirkazuma.tumblr.com/post/623350423362895872/celoteh-peribadi-22-penulisan-saya-tentang-isu

Celoteh 23 : Kepentingan Memetik Pandangan Ahli Ilmu

Walaupun kita ada hujah kita tersendiri dan penjelasan yang kuat, kita tetap perlu mencari dan memetik pandangan ahli ilmu dalam sesuatu isu tersebut. Walaupun kita sama pandangan dengan ahli ilmu tersebut, kita perlu tetap menyatakan siapakah ahli ilmu yang berpandangan sedemikian.

Saya pada mulanya tidak melakukan sebegini dalam penulisan saya. Saya terus sahaja masuk kepada topik dengan menyatakan pendapat saya secara peribadi dan mengisi penulisan dengan hujah. Lama kelamaan, saya nampak betapa pentingnya untuk buat sedemikian.

Pertama, untuk mendiamkan pihak lawan. Kadangkala, apabila kita berikan pandangan, lebih-lebih lagi jika ia menyelisihi pandangan orang lain, ada orang menganggap bahawa ia adalah terbit daripada idea kita sendiri. 

Walhal, sebenarnya tidak. Sudah ada pun ahli ilmu yang berpendirian sebegini. Kita cuma mempertahankannya atau mencari hujah sokongan daripada pendapat tersebut. Selagimana mereka tidak tahu ada pandangan ahli ilmu terdahulu, mereka akan serang kita habis-habisan.

Misalnya, dalam berpandangan keharusan melancap. Saya mengutip pandangan ahli ilmu yang mengharuskannya daripada «Iẖtilāf al-Fuqohā^» karya Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy. Penulisan saya dahulu, saya tidak memetik pandangan mereka. 

Namun, ada orang ini menganggap bahawa saya membuat pendapat saya sendiri yang tidak didasari oleh mana-mana ahli ilmu. Seolah-olah ia terbit daripada idea saya sendiri dan saya menyeleweng daripada ahli ilmu muktabar.

Setelah saya kutip pandangan ahli ilmu terdahulu, walaupun mulut mereka masih tidak senyap untuk mengutuk, namun tahapnya tidaklah seteruk sepertimana keadaan mereka yang belum tahu mengenainya. Sekurang-kurangnya pendapat saya ada dari sandaran ahli ilmu. Kerja saya cuma mencari hujah sokongan untuknya.

Kedua, proses kutipan pandangan ahli ilmu semestinya kita perlu membaca karya-karya mereka atau karya yang mengutip pandangan mereka. Dalam proses pembacaan itu, kita mungkin akan terjumpa hujah yang dinyatakan masing-masing. 

Kadangkala sehebat mana pun pandangan kita, tidak salah untuk membandingkan pelbagai pandangan. Boleh jadi kita terlepas sesuatu hujah sehingga kita tidak nampak kelompongan hujah kita.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623350756726145024/celoteh-peribadi-23-kepentingan-memetik

Celoteh 24 : Mengapa Memblokir Saya Yang Mengongsikan Penulisan Yang Baik?


Sebelah kiri adalah sudut pandang hantaran dari akaun yang sememangnya saya wujudkan khas yang tiada elemen erotisisme, manakala sebelah kanan adalah sudut pandang dari akaun yang ada elemen erotisisme.

Ia adalah hantaran yang saya kongsi dari sebuah halaman Facebook beraliran salafi. Sebelah kanan masih tetap nampak hantarannya, sedangkan yang di sebelah kiri adalah hantaran yang tidak ternampak lagi. Yang dapat saya katakan, yang sebelah kiri telah diblokir.

Saya rasa terkilan mengapa sebegini layanan diberikan kepada saya yang mengongsikan nasihat dan penulisan yang sememangnya baik dan bermanfaat untuk dibaca, ditatap dan direnungi oleh setiap orang. Hanya kerana saya menampilkan erotisisme, terus saya dibuang daripada akses kepada kebaikan yang berterusan dan menyebarkan mesej-mesej yang bermanfaat kepada umat sekeliling.

Seolah-olah ia hanya untuk aliran, kelompok atau kumpulan mereka sahaja. Entah bagaimana kalau ašᶜarian sufi yang mengongsikan penulisan ini. Adakah mereka juga tiada hak untuk mendapatkan nasihat sebegini dan mengedarkannya kepada teman-temannya? Bagaimana kalau sememangnya benar-benar seorang yang fasik?

Saya mengongsikan penulisan kerana ia adalah benar dan bermanfaat untuk para pembaca yang lain. Jika ada yang saya tidak setuju walau satu bahagian pun, selalunya saya abai. Atau kalau saya ingin berkongsi, saya akan sisipkan komentar bersama. Jika terlalu teruk, saya akan hasilkan penulisan yang khusus jika ada dorongan dengan izin Allah.

Untuk hantaran ini, saya tidak komen apa-apa pun. Saya hanya klik kongsi sahaja tanpa ada apa-apa kata. Namun, sebegini juga dilayan? Sebelum ini pun sama juga terjadi beberapa kali. Apabila dapat tahu erotisisme dalam profil saya, terus diblokir. Padahal, saya tiada niat untuk bermusuhan atau mencari modal untuk menjatuhkan lawan.

Saya ingin mengambil manfaat tanpa mengira dari sesiapa pun, baik ašᶜarian-sufi, salafi atau selain daripada mereka. Masing-masing ada sudut pandang tersendiri. Apabila kita boleh melihat pelbagai pandangan, prospek ilmu dan cerapan kita akan luas, malah boleh menjadi lebih dalam.

Bukankah pahala akan bertambah apabila semakin ramai yang memperoleh peringatan dan cetusan daripada penulisan tersebut jika ia adalah benar? Ilmu yang bermanfaat sepatutnya disampaikan tanpa mengira apa jua golongan. Justeru, apa masalahnya jika ašᶜarian sufi yang menyebarkannya kepada teman-temannya yang sama-sama manhaj dengannya apabila benar nasihat itu?

Bukankah kebaikan akan sampai kepada empunya hantaran ini jua? Bukankah bertambah lagi kebaikan jika teman-teman yang ašᶜarian sufi itu juga mendapat manfaat yang sama sepertimana yang diidamkan? Bukankah sesuatu yang menyeronokkan dan melegakan apabila nasihat itu dikongsikan tanpa ada apa-apa suara sumbang?

Saya tahu penampilan erotisisme adalah musuh untuk kalian. Namun, apa salahnya kalau saya ingin mengutip kebaikan daripada kalian? Walaupun kalian meminggirkan saya, namun saya tetap mahu mengutip berlian yang bermanfaat walaupun daripada musuh saya. Kalian mungkin hanya memikirkan saya, cuba fikirkan pula mereka yang barangkali lebih teruk daripada saya.

Salahkah mereka ambil butir-butir kebaikan daripada penulisan kalian dengan tulis hati tanpa ada niat yang kotor di sebaliknya? Lagipun bukannya dia menyerang kalian pun walaupun kalian selalu sahaja mengherdik mereka. Apapun, saya akan sedaya upaya untuk berprinsip Aḥmad bin Ḥanbal sepertimana yang disebutkan *Abdullah bin al-Warrōq yang berkata :

كُنْتُ فِي مَجْلِسِ أَحْمَدَ بنِ حَنْبَلٍ، فَقَالَ: مِنْ أَيْنَ أَقبَلتُم؟ قُلْنَا: مِنْ مَجْلِسِ أَبِي كُرَيْبٍ. فَقَالَ: اكتُبُوا عَنْهُ، فَإِنَّه شَيْخٌ صَالِحٌ. فَقُلْنَا: إِنَّه يَطْعُنُ عَلَيْكَ. فَقَالَ: فَأَيُّ شَيْءٍ حِيلَتِي، شَيْخٌ صَالِحٌ قَدْ بُلِيَ بِي.

Aku di majlis Aḥmad bin Ḥanbal. Dia berkata: "Daripada mana kalian menghadap?". Kami berkata: "Dari majlis Abū Kuroyb". Lalu, dia berkata: "Tulislah daripadanya. Sesungguhnya dia syeikh yang baik". Kami berkata: "Sesungguhnya dia selalu mencelamu". Dia pun berkata: "Apa lagi alasanku? Dia syeikh yang baik yang diuji dengan aku". [Siyar A*lām an-Nubalā^jilid 11m/s 317keluaran Mu^assasah ar-Risālah].

Sekalipun saya dicela, saya tetap akan mengutip faedah daripada mereka dan akan menyarankan untuk mengikuti atau menghadiri majlis mereka jika mereka benar-benar di atas manhaj yang lurus.

Kemudian, adakah penulisan yang baik hanya untuk sesama kalian sahaja? Dikatakan aš-Šāfi*iyy berseloka :

أحب الصالحين ولست منهم # وأرجو أن أنال بهم شفاعة

وأكره من تجارته المعاصي # وإن كنا سواء في البضاعة

Aku mencintai sang soleh, namun daku bukan daripada mereka

Aku berharap agar aku peroleh syafaat melalui mereka

Aku membenci mereka yang bergelumang dengan kemaksiatan

Meski kami pun sama pada barang dagangan

Jika pelaku maksiat yang mungkin sememangnya adalah pada diri kita, tetap kita mahu mencintai orang soleh dan mengharapkan kebaikan daripadanya, mengapa apabila ada orang lain berbuat sama seperti kita, terus kita menyingkirkannya? Apa rasanya kalau orang lain berbuat sedemikian terhadap kita? Renungkanlah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623495738654179328/celoteh-peribadi-24-mengapa-memblokir-saya-yang

Celoteh 25 : Jika Māhir al-Faḥl Diragui Kebolehannya, Apatah Lagi Saya

Yāsīn Māhir al-Faḥl. Nama yang agak terkenal dengan ahli hadis kontemporari yang bermanhaj mutaqaddimin. Mungkin tidak begitu terkenal di tanah air kita. Apapun, jika seseorang yang ragu dengan kemampuan insan ini, di Google sahaja kita boleh temukan pelbagai PDF untuk menelaah dan meneliti karyanya. Kemudian, nilailah bagaimana kemampuannya.

Apapun, yang ingin disebutkan adalah kalau nama sebegini pun seseorang boleh meragukannya, apatah lagi dipermainkan, sudah tentu saya juga tidak akan terlepas. Apatah lagi apabila seseorang mengetahui sisi erotisisme saya. Kali ini bukan sahaja diragukan, malah Ad-Hominem akan menjadi modal dalam serangan terhadap saya. Sebaik mana pun penghujahan saya berikan, isu-isu peribadi akan disasarkan, bukannya hujah yang saya berikan.

Saya akui setiap orang berhak untuk meragukan kemampuan seseorang yang belum terbukti padanya. Sebab itulah saya hasilkan penulisan untuk tampilkan bagaimana kemampuan ilmu saya. Nilailah dengan adil. 

Akan tetapi, kalau hendak meneliti dari kaca mata aliran semata-mata, tidak ada manfaat apa-apa pun. Sudah tentu pendapat saya akan ditolak dan hujah ilmiah saya diperkecilkan jika tidak menepati citarasanya.

Pun begitu, kalau mereka mahu semua orang mengakui adanya hak untuk seseorang meragui kemampuan seseorang, maka mereka juga berhak untuk diragui. Kalian mahu mempersenda pandangan Yāsīn Māhir al-Faḥl kerana kalian tidak mengenalinya, bagaimana pula kalau orang lain melakukan yang sama terhadap kalian? Apa rasanya? 

Sudah-sudahlah hanya melihat orang sahaja. Lebih baik fokus untuk pembinaan dan pengelokan diri.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623496191915720704/celoteh-peribadi-25-jika-m%C4%81hir-al-fa%E1%B8%A5l-diragui

Celoteh 26 : Pembacaan Kita Pada Hari Ini Mungkin Akan Dinikmati Pada Beberapa Tahun Akan Datang

Pelbagai faktor, pendorong dan penggerak seseorang mahu membaca. Adakalanya, ia adalah faktor desakan dan tekanan daripada lawan yang menyebabkan mereka mereka membuat kajian dan analisis. Adakalanya kerana dia ingin membuat persiapan pada suatu perkara tertentu yang akan menyambutnya kelak seperti menghadapi peperiksaan, menjalani latihan, pengajaran, menghadapi kes-kes mahkamah dan sebagainya.

Adakalanya kerana memang minatnya yang mendalam, tetapi terhad hanya pada bidang yang dia suka menceburinya. Jika dia minat ekonomi, maka pembacaannya adalah ekonomi. Dan seterusnya. Adakalanya kerana memang minatnya atau suka-suka sekadar ingin mencuba. Ruang minatnya luas dan sememangnya dia entusias terhadap pembacaan.

Walau apapun, budayakanlah membaca dalam hidup. Tidak semestinya pembacaan itu perlu menghabiskan pembacaan banyak buku dan pantas. Lebih baik berulang-ulang serta perlahan-lahan, lalu setiap kali membacanya, faedah baru akan diperoleh daripadanya. Itulah antara tanda buku rujukan atau bahan pembacaan yang terbaik.

Jika tidak peroleh apa-apapun atau kita tidak tahu faedah untuk kita tahu hal tersebut, kita mungkin akan nampak pada beberapa tahun akan datang. Jika tidak diperoleh pun, paling kurang pun kita telah mengisi masa dalam hidup kita dengan sesuatu yang bermanfaat.

Bercakap tentang faedah yang kita nampak pada beberapa tahun akan datang, izinkan saya mengongsikan pengalaman saya. Saya pernah membaca kisah ini pada masa yang entah bila, tetapi saya dapat jangkakan, ia memang sudah lama :

عَبْدُ اللهِ بنُ مُحَمَّدٍ الوَرَّاقُ: كُنْتُ فِي مَجْلِسِ أَحْمَدَ بنِ حَنْبَلٍ، فَقَالَ: مِنْ أَيْنَ أَقبَلتُم؟ قُلْنَا: مِنْ مَجْلِسِ أَبِي كُرَيْبٍ. فَقَالَ: اكتُبُوا عَنْهُ، فَإِنَّه شَيْخٌ صَالِحٌ. فَقُلْنَا: إِنَّه يَطْعُنُ عَلَيْكَ. فَقَالَ: فَأَيُّ شَيْءٍ حِيلَتِي، شَيْخٌ صَالِحٌ قَدْ بُلِيَ بِي.

*Abdullah bin al-Warrōq berkata; Aku di majlis Aḥmad bin Ḥanbal. Dia berkata: "Daripada mana kalian menghadap?". Kami berkata: "Dari majlis Abū Kuroyb". Lalu, dia berkata: "Tulislah daripadanya. Sesungguhnya dia syeikh yang baik". Kami berkata: "Sesungguhnya dia selalu mencelamu". Dia pun berkata: "Apa lagi alasanku? Dia syeikh yang baik yang diuji dengan aku". [Siyar A*lām an-Nubalā^jilid 11m/s 317keluaran Mu^assasah ar-Risālah].

Seperti biasa, saya sekadar ambil tahu dan melalukan sahaja. Walaupun saya mungkin sekali pernah kongsi di laman sosial saya, namun saya tidak ambil berat untuk menyimpannya atau meneguhkannya dalam ingatan buat masa jangka panjang. Sebabnya adalah saya tidak begitu nampak kepentingan apa-apa untuk simpan ini lama-lama.

Namun, pada hari ini, ada satu desakan yang menyebabkan saya mula teringat kisah ini dan saya sangat berhajat untuk membawakan kisah ini untuk diketengahkan. Berkat dengan pembacaan pada waktu masa lama yang lalu, dengan izin Allah dan segala puji bagi Allah, terdetik dalam jiwa tentang kisah ini ketika saya memerlukannya untuk menzahirkan poin. Sekarang, tampaklah bahawa manfaat pembacaan kita mungkin akan dinampakkan faedahnya pada suatu waktu akan datang.

Antara yang lain adalah kalam Šihābuddīn ar-Romliyy :

خَرَجَ مِثَالُهَا فَلَا يَحْرُمُ نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةٍ كَمَا أَفْتَى بِهِ جَمْعٌ لِأَنَّهُ لَمْ يَرَهَا

"Terkecuali pada yang diserupakannya (aurat), maka tidaklah haram lihatannya pada bahagian cermin sepertimana yang para jemaah memfatwakannya kerana dia tidaklah melihatnya (secara hakiki)". [Nihāyah al-Muḥtaj Ilā Šarḥ al-Muḥtājjilid 6m/s 187keluaran Dār al-Fikr].

Mereka yang mengenali saya akan kenal bahawa saya selalu membawakan kalam ini sebagai sokongan untuk membezakan hukum jasad yang sebenar dengan sesuatu yang diserupakan dengan jasad. Namun, sebelum saya menjadikannya sebagai sokongan, saya pada mulanya sekadar ambil tahu sahaja dan membaca sekali lalu.

Pada masa itu, saya tidak faham apa tentang apa yang ingin dimaksudkannya. Bagaimana boleh lihatan aurat pada bayangan air dan imej cermin boleh berbeza hukumnya dengan yang sebenar? Pada masa itu, saya memang seperti kebanyakan orang yang berpandangan bahawa kedua-duanya sama dan tidak ada beza.

Namun, beberapa tahun kemudian, barulah saya dapat memahami aplikasi kaedah fiqh dalam kalam ini. Masa itu, saya faham betapa benarnya pendapat ini dalam fiqh dan saya menemukan sebab untuk saya berpegang dengan pendapat ini.

Segala puji bagi Allah. Saya tidak dapat bayangkan kalau hidup saya tidak pernah membaca kalam ini. Barangkali sampai sekarang saya akan menyatakan bahawa sama sahaja hukumnya melihat aurat pada jasad yang sebenar dan melihat aurat yang terpapar di paparan skrin digital. Sekali lagi, pujian yang setinggi-tinggi pujian untuk Allah.

Malah, yang mengujakan adalah apabila saya menonton anime Psycho-Pass bagi musim ketiga, ada babak yang mana ia menjelaskan tentang pemanipulasian ekonomi. Apabila saya melihat konsepnya, ia sama seperti pembacaan saya dahulu tentang krisis ekonomi pada tahun 2008. Pada masa itu, saya cepat-cepat menelaah semula buku «Panas, Rata, Sesak» karya Thomas L• Friedman untuk mengulangkaji apa yang saya pelajari dahulu.

Maka, dengan itu, pupuklah budaya membaca. Walaupun kita tidak nampak besarnya faedah pada waktu sekarang, jika diizinkan oleh Allah, kita akan melihatnya pada suatu hari nanti.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623528433688936449/celoteh-peribadi-26-pembacaan-kita-pada-hari-ini

Celoteh 27 : Jika Tidak Suka Dengan Penulisan Saya, Sila Tinggalkan

Selama ini saya menulis hanya kerana Allah *Azza Wajalla semata-mata dan juga berkhidmat untuk ilmu sebagai lambang kecintaan saya terhadapnya. Saya sudah lama bergerak bersendirian. Saya tidak pernah menagih sesiapa untuk membaca penulisan saya selama saya bersendirian, bahkan sehingga sekarang pun. Segala puji bagi Allah. Semoga Allah mengekalkan saya di atas rasa kecukupan ini.

Penulisan saya yang ada ini dahulunya tidak dibuka kepada orang ramai. Saya faham ia adalah kontroversi dan pelik daripada yang lain. Saya pada mulanya hanya berkongsi kepada orang tertentu atau membuka penulisan di tempat yang sukar ditemui oleh orang ramai dan saya membiarkan mana-mana yang lalu lalang yang menemukannya secara tanpa sengaja atau kebetulan yang ingin mengambil manfaat sahaja.

Pada awal tahun 2020 baru-baru ini sahaja saya saya mencuba untuk ke arah khalayak. Saya ingin melebarkan kepada audien yang lebih ramai. Salah satu sebabnya adalah apabila orang ramai bertembung dengan penulisan saya, barangkali ada ahli ilmu yang menelaah penulisan saya dan boleh memberikan beberapa komentar dan pandangan yang produktif. Saya boleh belajar daripada mereka dan pertukaran idea boleh menjadi ligat aktif.

Segala puji bagi Allah. Penulisan saya yang telah saya mengkhalayakkannya telah sampai kepada beberapa orang dari kalangan yang memiliki literasi ilmu agama sehingga saya mendapat penambahbaikan dan input yang positif dari perbincangan, wacana bersama mereka, bahkan dari sekadar borak yang biasa.

Antara sebab yang lain adalah saya telah bertambah beberapa kenalan. Beberapa daripadanya ada minat, hobi, citarasa dan corak pemikiran yang sama seperti saya. Saya menyedari bahawa mereka juga mahu mendakap suatu kefahaman sepertimana yang saya faham atau berhampiran dengannya. Sebab itu saya buka penulisan saya kepada umum kerana mungkin ada daripada mereka yang saya tidak kenal sedang mencari jawapan sepertimana saya berpegang dengannya.

Segala puji bagi Allah. Pengkhalayakan penulisan saya ini mencapai beberapa orang yang setuju dengan idea, pandangan dan kefahaman saya serta mahu mengambil dan mengikuti pandangan ini. Malah, ada dari kalangan yang kurang literasi dalam ilmu agama memaparkan keinginan yang membara untuk mempelajari bahasa Arab kerana terinspirasi daripada perkongsian saya dan kerana mereka mahu melangkah sepertimana langkah saya melakukan.

Cuma, saya tidak menafikan bahawa saya tidaklah bertembung dengan orang yang sefikrah dan sefahaman dengan saya sahaja. Adakalanya saya bertembung dengan orang yang cukup membenci saya dan seteru yang tidak diundang.

Kalaulah hidup di dunia ini, boleh diketahui apa yang ada di isi jantungnya dan mindanya, pasti saya akan pilih yang tertentu sahaja untuk mengembangkan idea. Namun, disebabkan kita tidak hidup sedemikian, saya tidak boleh pilih siapa audien yang akan menelaah penulisan saya. Mungkin sahaja penulisan saya akan sampai kepada orang yang berbeza aliran dan pemikiran.

Saya mohon maaf. Saya tidak boleh mengelakkan pertembungan seperti ini. Sepertimana saya pun tidak sengaja bertembung dengan penulisan-penulisan yang menyelisihi pemikiran saya, orang lain juga menghadapi yang sama. Saya harap ini cukup mejelaskan kita berada dalam situasi yang tidak mampu dielakkan.

Kalau sesiapa yang terbaca penulisan ini dan tidak dapat menyetujui atau menerima apa yang saya bentangkan, kalau tidak mampu memberi jawapan balas hujah ilmiah atau komentar yang produktif, lebih baik diam dan tinggalkan. Tidak perlu menghamburkan najis yang sememangnya sengaja bertujuan menyakitkan orang lain tanpa hujah.

Kalau mahu saya berubah, berikan saya petunjuk dan bimbing saya. Sekadar lempar najis, kemudian mengharapkan orang akan berubah dan mengikut cara mereka beragama. sebegitukah yang dimahukan? Hidup ini terlalu singkat untuk melayani perangai buruk yang membabi buta tidak tentu arah disebabkan kejahilan dan tiada bekalan ilmu di jantungnya untuk menghadapi hujah-hujah lawan.

Saya sendiri sudah tegaskan berkali-kali bahawa saya sendiri tidak suka jika pendapat saya diikuti selagimana tidak memahami landasan kebenarannya. Saya tidak mahu pendapat saya diikuti secara bulat-bulat atau hanya kerana rasa kagum terhadapnya.

Saya pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak ada pengetahuan bahasa Arab, uṣūl fiqh, kaedah fiqh dan ilmu hadis, lebih baik tidak mengikut pandangan saya. Saya juga telah tegaskan bahawa jika pendapat saya bertentangan dengan al-Quran dan sunnah serta bukti-bukti yang kukuh, maka tinggalkan saya.

Dosa kedegilan dan pengingkaran serta penentangan saya -jika ada dan semoga Allah menghindarkan kita semua dari perbuatan terkutuk itu- akan saya tanggung di akhirat. Biarlah saya tanggung dosa ini seorang diri, janganlah orang lain pun mahu ikut bersama. Harap ini cukup untuk menyatakan bahawa saya tidak menagih adanya pengikut dalam hidup saya.

Saya juga manusia yang penuh aib, kekurangan dan kesilapan. Siapalah saya jika mahu dibandingkan tokoh-tokoh kebesaran lain yang disanjung tinggi? Allah lebih tahu tentangnya.

Namun, bukan bermakna saya tidak berusaha untuk yang terbaik. Penulisan-penulisan saya menjadi saksi kesungguhan saya. Silalah telaah dan nilaikan. Kalau menepati kebenaran, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat kepada Allah Tabāroka Wa Ta*ālā. Jika saya salah, saya memohon ampun kepada-Nya dan saya akan membetulkannya. Dan semoga saya dan kita semua termasuk orang yang sentiasa memperbaiki dan diri dan istiqamah di atas jalan yang lurus hingga akhir nafas kita.

Apapun, saya tidak rugi apa-apa pun kalau tidak ada orang mahu mengikut pendapat saya. Kerugian sebenar adalah mengikut yang batil, tidak kiralah sama ia diikuti orang ramai atau seorang diri. Kalau tidak mahu menjadi sahabat saya pun, jadilah lawan yang membina dan produktif.

Kalau masing-masing mahu saling membalas maki, celaan, sindiran, perlekehan dan kata-kata nista, manfaat apa yang kita dapat? Hujah dibalas hujah. Kebijaksanaan dibalas kebijaksanaan. Tonjolkan kemampuan ilmu kita, bukan jiwa buas kita.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623610923949703168/celoteh-peribadi-27-jika-tidak-suka-dengan

Celoteh 28 : Ingat Ini Sepanjang Menelusuri Penulisan Saya

Terima kasih kerana sudi membaca karya-karya saya. Semoga ia adalah bermanfaat dan memberikan inspirasi atau cetusan atau kefahaman dan membangkitkan entusias terhadap ilmu. Di sini, ada beberapa perkara yang para pembaca harus semat dalam ingatan sepanjang pembacaan saya memandangkan ia adalah prinsip yang amalkan dalam menghasilkan penulisan.

Pertama, penulisan ilmiah saya, terutamanya agama adalah berasaskan kemahiran ilmu bahasa Arab, uṣūl fiqh, kaedah fiqh dn ilmu hadis serta beberapa ilmu yang lain. Saya tahu ada beberapa daripadanya kontroversi dan pelik daripada yang lain. Namun, saya tidak akan sama sekali bercakap kosong. Penulisan saya adalah saksi. Dipersilakan nilai.

Jika ada sesiapa yang tidak bersetuju, sila kemukakan hujah. Jika tidak ada apa-apa kata yang bermanfaat atau komen membina, lebih diam dan tinggalkan sahaja. Kalau rasa celaan, makian, sindiran, perlekehan, cemuhan, kutukan, ejekan, gertakan dan lain-lain jenis kenistaan boleh menjadi hujah ke mahkamah di akhirat, dipersilakan lakukan. Saya tidak akan memanjangkan hal itu di dunia. Kita akan sambung di akhirat. Jika dibawakan hujah, kita boleh sambung perbincangan kita.

Kedua, saya juga manusia yang penuh dengan aib, kekurangan dan kesilapan. Apatah lagi untuk dibandingkan tokoh-tokoh ilmuwan lain yang disanjung tinggi. Allah lebih tahu tentangnya.

Saya juga ada menarik balik beberapa pandangan setelah semakin luas penerokaan ilmu dan setelah mendapat teguran ilmiah serta penegakan hujah ke atas saya. Saya memohon keampunan kepada Allah atas kegelinciran saya.

Namun, bukan bermakna saya tidak akan berbuat yang terbaik. Saya akan sedaya upaya secara maksimum untuk mengkaji, menilai, menganalisis dan membandingkan pelbagai penghujahan dan pandangan sebelum menerbitkan penulisan. Beberapa penulisan saya menjadi saksi kesungguhan saya. Jika ada yang dirasakan saya terlepas pandang, boleh maklumkan.

Ketiga, saya akan berkata sepertimana Abū Ḥanīfah berkata :

لا يحل لمن يفتى من كتبي أن يفتي حتى يعلم من أين.

"Tidak halal untuk seseorang berfatwa daripada kitab-kitab aku yang dia berikan fatwa sehinggalah dia mengetahui sumbernya". [Al-Intiqō^ Fī Faḍō^il aṯ-Ṯalāṯah al-A^immah al-Fuqohā^ Mālik Wa aš-Šāfi*iyy Wa Abū Ḥanīfah -Roḍiyallāhu *Anhum-karya Ibn *Abdu; Barrm/s 145keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah].

Saya juga akan berkata sepertimana Mālik bin Anas berkata :

إنما أنا بشر أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكلما وافق الكتاب والسنة فخذوا به وكلما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه.

"Aku cumalah seorang manusia yang kadangkala benar dan kadangkala tersilap. Maka, hendaklah kalian telitilah pandanganku. Apabila bertepatan dengan al-Quran dan sunnah, maka ambillah ia. Apabila tidak bertepatan dengan al-Quran dan sunnah, maka tinggalkanlah ia". [Jāmi* al-Bayān al-*Ilm Wa al-Faḍlkarya Ibn *Abdul Barrjilid 1m/s 775keluaran Dār Ibn al-Jawziyytahqiq Abū al-Ašbāl az-Zuhayriyy].

Saya juga akan berkata sepertimana aš-Šāfi*iyy berkata :

كل ما قلته فكان من رسول الله صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تقلدوني

"Setiap apa-apa yang aku berpendapat tentangnya, lantas terdapat hadis daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menyalahi pendapatku setelah terbukti kesahihannya maka hadis itu lebih utama dan jangan kalian bertaklid kepadaku". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^karya a-ahabiyyjilid 8m/s 248keluaran Dār al-adīṯ].

Maksudnya, jika ada mana-mana pendapat saya yang bertentangan al-Quran dan sunnah setelah terbukti kehujahan ilmiahnya, bukan hanya bermain ₍Ad Hominem₎, ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, menggunakan kesan ₍Halo₎, kesan Kontras, ₍Bandwagon₎ dan lain-lain falasi dan bias, maka buanglah pendapat saya itu. Jangan ikutinya, jangan beri kompromi dan selisihilah saya.

Inilah prinsip para jaguhan ahli ilmu terdahulu sampai sekarang yang konsisten menentang fanatisme. Maka, saya juga akan berkata yang sama.

Tinggalkan saya jika saya tetap berdegil. Kecelakaan itu akan kembali kepada saya apabila saya sengaja menutup mata dan berpaling serta menentang kebenaran tersebut. Biarlah saya tanggung dosa ini seorang diri. Orang lain janganlah ikut bersama setelah tahu pendapat saya bertentangan dengan kebenaran.

Keempat, saya sarankan supaya tidak mengikuti pandangan saya bulat-bulat atau sebab hanya rasa kagum sahaja. Jika tiada ilmu alat atau kemahiran yang diperlukan, terutamanya dalam hal ehwal agama seperti bahasa Arab, uṣūl fiqh, kaedah fiqh dn ilmu hadis, lebih baik jangan ikuti.

Saya sendiri tidak mahu pandangan saya diikuti tanpa diselidik, diuji dan dibandingkan dengan pelbagai pandangan. Sepertimana ahli ilmu jaguhan mengingatkan tentang untuk tidak fanatik meski terhadap diri mereka sendiri, demikian juga saya mengingatkan yang sama.

Kelima, saya tidaklah serius sepanjang masa. Saya serius apabila membuat penulisan formal atau terlibat dalam perbincangan yang memerlukan sikap objektif. Saya boleh sahaja santai dan berhibur bersama. Ada masa juga saya dan kita semua perlu relaks dan kasual.

Kalau sesiapa yang mengikut media sosial saya seperti Facebook atau Twitter atau Discord, akan lihat keterbukaan saya untuk bersahaja dan bersantai.

Namun, saya juga akan cuba menjaga sensitiviti pada tempat-tempat yang ada kehormatannya. Majlis dan diskusi ilmu ada kehormatannya. Masjid ada kehormatannya. Istana ada kehormatannya. Dan seterusnya. Kalau ia sememangnya tidak memerlukan untuk bergurau senda atau bersikap lenang lenang, maka saya akan hormati tempat tersebut dengan izin Allah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623611367133429760/celoteh-peribadi-28-ingat-ini-sepanjang

Celoteh 29 : Saya Tidak Layak Bercakap Tentang Agama?

Nota  Sebahagian intisarinya diambil daripada «Diari Diri : Mengapa Saya Menampilkan Erotisisme Di Ruangan Maya?».

Saya adalah erotikawan. Kalau sesiapa yang mengikuti media sosial saya, tidaklah saya hanya kongsi pengetahuan, tetapi juga erotika. Saya kalau boleh mahu terhadkan hal itu hanya untuk golongan tertentu sahaja dan tidak berbicara tentang agama dengan mereka walau sepatah pun.

Namun, saya dan para muslim yang lain juga memikul tanggungjawab untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh manusia tanpa mengira lapisan. Justeru, bagaimana untuk sampaikan dakwah dan pemahaman Islam kepada mereka?

Sebelum itu, saya menyedari bahawa antara sebab para erotikawan ini tidak mahu mendekati atau mendalami agama adalah kerana mereka merasakan apa yang mereka buat adalah berdosa -walhal, hakikatnya tidak sebegitu dan saya telah jelaskannya dalam beberapa penulisan saya- dan mereka rasa mereka telah dicemari dengan noda.

Lalu, dengan sebab itu, mereka merasakan bahawa ilmu agama tidak layak untuk mereka menjamunya meskipun terhidang percuma. Bagi mereka, hanya orang selain mereka sahaja boleh menyantap menu-menu yang ada dalam agama. Malah, antara sebab mereka mejauhi golongan agamawan kerana mereka selalu sahaja akan dicemuh dan diserang oleh golongan ini sehinggakan mereka tidak dapat menjalani aktiviti dengan aman.

Sebab itu, saya berpenampilan erotikawan, selain daripada kegemaran saya, ia juga kerana pendekatan. Saya melihat apabila saya melakukan sebegini, iaitu menyeimbangkan penyebaran ilmu agama, nasihat dan pengisian agama dengan aktiviti erotisisme, saya lihat ada di antara mereka mula mahu mendekati agama.

Mereka merasakan bahawa jurang mereka dengan meja pembelajaran agama didekatkan. Dengan cara saya sebegini, mereka tidak lagi menganggap bahawa agama ini menyisihkan atau memusuhi mereka. Ia boleh dirasai rahmatnya walau sesiapapun jua.

Saya bersyukur kepada Allah apabila melihat perkembangan ini. Walaupun sedikit untuk setakat ini, saya harap ia cukup memberi manfaat kepada mereka yang terbuka jantungnya untuk mempelajari dan hidup beragama.

Saya tahu bukan semua orang suka cara saya. Saya selalu sahaja diherdik, ditempelak dan disindir "Orang sebeginikah mahu bercakap tentang agama?". Kendatipun saya sedang kongsi ilmu fiqh, uṣūl fiqh, ilmu hadis, bahasa Arab dan lain-lain berkaitan dengan wacana agama secara ilmiah, semua itu tidak dipandang langsung.

Bukan mahu lihat apa yang saya sampaikan itu betul atau tidak atau mahu memberikan respons yang ilmiah. Yang mereka cuma lihat adalah penzahiran erotisisme saya. Lemparan ₍Ad Hominem₎ memang sudah biasa terhadap saya.

Namun, yang melucukan juga adalah apabila ada lebai yang pakai jubah dan berkopiah berlilit serban bercakap yang merapu, mereka berkata: "Harap sahaja berjubah dan berserban, tetapi ceramah mengarut!". Akhirnya, penampilan bukanlah pengukur mutlak terhadap tahap kemampuan ilmu seseorang.

Pakailah apa-apapun. Kebenaran atau kebatilan bukan mengira penampilan. Jika wali Allah ada di mana-mana dan mereka tidak menzahirkan sepertimana penampilan agamawan, ahli ilmu juga ada di mana-mana.

Malah, kita banyak mendengar kisah ahli ilmu dan golongan soleh yang mendapat pengajaran dan keinsafan melalui interaksi orang yang entah dari ceruk mana, malah ada dari pendosa. Tidak ada pula mereka mendiskriminasi bahawa mereka tidak layak menyampaikan nasihat kerana tiada nama yang berpengaruh, tiada sanad, tidak berpenampilan seperti agamawan dan lain-lain. Mereka tetap belajar dan merasa insaf kerana kebenarnanya.

Yang mencela saya ini pun bukan semestinya orang yang kita anggap agamawan, tetapi mereka yang suka tonton dan kongsi gambar atau video lucah juga tidak suka cara saya. Mereka tetap insisten untuk mengatakan bahawa apa yang mereka buat adalah berdosa meskipun saya sudah jelaskan bahawa ia adalah tidak, melalui penulisan-penulisan saya.

Kemudian, dengan tanggapan mereka bahawa perlakuan itu adalah dosa, mereka menyatakan bahawa saya tidak patut campuradukkan agama dengan kelucahan. Biarlah ia asing-asing. Saya sampai terpaksa menerjah semula kerana ada di antara mereka ini juga memang kuat permusuhannya dengan saya mengatakan: "Kalau kamu menganggap itu berdosa, maka sepatutnya kamu jangan campuradukkan hidup kamu sebagai muslim dengan hal itu. Tidak perlu solat selagimana jiwa masih seronok layan benda lucah. Begitukah?".

Kalau mereka rasa mereka boleh teruskan solat walaupun berdosa, saya yang berpandangan bahawa ia adalah tidak berdosa dan tidak ada masalah apa-apa pun kalau dalam masa yang sama, saya ingin menyampaikan ilmu agama.

Walau apapun, saya tetap akan sampaikan kebenaran dan pemahaman agama. Karya-karya saya menjadi saksi apa yang telah saya lakukan. Kalaupun tidak ada orang mahu mengikut saya, maka saya tidak ada masalah apa-apa.

Apa yang saya lakukan adalah kerana entusias dan khidmat terhadap ilmu, bukan menagih perhatian daripada orang lain. Kalau ada orang mahu ambil ilmu daripada saya, semoga ia bermanfaat. Jika ia adalah benar, maka saya panjatkan kesyukuran kepada Allah.

Jika ada kesilapan, saya juga manusia yang penuh dengan aib, kekurangan dan kesalahan. Tegurlah saya dengan cara yang ilmiah dan produktif. Saya sendiri pun menarik balik pandangan jika teguran itu benar. Dalam masa yang sama, saya memohon keampunan kepada Allah atas kesilapan saya. Semoga kita semua teguh di atas jalan yang lurus hingga akhir hayat kita.

Sebagai pengakhiran, walaupun saya erotikawan, saya tetap memberikan perhatian yang tinggi terhadap ilmu dan menjaga kehormatannya. Ini juga antara yang saya pesan kepada orang yang mahu mengikuti saya.

Ada tempat kita perlu menjaga adabnya kerana adanya kehormatan. Majlis atau diskusi ilmu ada kehormatannya, istana ada kehormatannya, masjid ada kehormatannya dan begitu juga yang lain. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Kata pepatah Inggeris: "Apabila kamu di Rom, buat cara orang Rom". Sebegitulah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623757398550708225/celoteh-peribadi-29-saya-tidak-layak-bercakap

Celoteh 30 : Saya Pun Manusia Penuh Dengan Aib, Kekurangan Dan Kesilapan

Saya menemukan suatu kisah yang agak menginsafkan daripada Muḥammad al-Ġozzāliyy. Dia berkata :

قلت لرجل تَعَوَّد شُربَ الخمر: " ألَا تتوب إلى الله؟ ". نظر إليَّ بانكسار ودمعت عيناه، قال: " ادع الله لي ". تأمَّلْتُ في حال الرجل، وَرَقَّ قلبي. إن بكاءه شعور بمدى تفريطه في جنب الله، وحزنِه على مخالفته، ورغبته في الاصطلاح معه. إنه مؤمن يقيناً، ولكنه مُبْتَلَى! هو يَنْشُد العافية ويستعين بيَ على تقريبها. قلت لنفسي: قد تكون حالي مثل حال هذا الرجل أو أسوأ. صحيح أنني لم أذق الخمر قط؛ فإن البيئة التي عشت فيها لا تعرفها. لكنّي ربما تعاطيت من خمر الغفلة ما جعلني أذهل عن ربي كثيراً وأنسى حقوقه. إنه يبكي لتقصيره، وأنا وأمثالي لا نبكي على تقصيرنا. قد نكون بأنفسنا مخدوعين. وأقبلتُ على الرجل الذي يطلب مني الدعاء ليترك الخمر، وقلت له: "تعالَ نَدعُ لأنفسنا معًا: ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين".

"Aku berkata kepada seorang lelaki yang terbiasa meminum arak: Apakah engkau tidak mahu bertaubat kepada Allah?. Dia memandangku dengan hati yang remuk dan mengalir air matanya. Dia berkata: Berdoalah kepada Allah untukku. Aku memerhatikan pada keadaan orang itu. Sayu hatiku. Sesungguhnya tangisannya adalah perasaan atas kapasiti perlanggarannya pada hak Allah, bersedih atas menyelisihi-Nya dan berkemahuan untuk perdamaian bersama-Nya. Sesungguhnya dia adalah mukmin dalam keadaan yakin, tetapi diuji! Dia mencari pemurniaan dan meminta pertolongan dengannya atas dasar kedekatannya. Aku berkata pada diriku: Boleh jadi halku semisal hal orang ini atau lebih buruk. Benar bahawasanya aku belum pernah merasa arak sama sekali. Sesungguhnya situasi yang aku hidup di dalamnya tidaklah engkau mengenalinya. Akan tetapi, barangkali aku mengambil sebahagian daripada arak kelalaian yang menjadikan aku mengalpakan tuhannu banyak kali dan aku melupakan hak-hakNya. Sesungguhnya dia menangis kerana kegelincirannya dan aku dan orang yang sepertiku tidak pernah menangis atas kegelinciran kami. Kadangkala kami diperdaya dengan diri kami. Aku menghadap orang itu yang meminta doa daripada aku untuk meninggalkan arak dan aku berkata: Marilah kita berdoa bersama-sama untuk diri kita: {Wahai tuhan kami! Kami telah menzalimi diri kami. Jika Engkau tidak mengampukan kami dan mengasihani kami, pasti kami benar-benar menjadi orang yang rugi}". [Rujuk https://www.facebook.com/iumsonline/photos/a.206131722753233/3469321423100897/?type=3&theater].

Betapa mereka yang kita merasakan seseorang yang ada kedekatan dengan tuhan pun ada masalahnya tersendiri yang kita tidak sedar dan melihat. Kita tampak manis raut wajahnya yang sentiasa mencoret senyuman, tetapi di batinnya penuh dengan sesalan dan tangisan. Tuhan lebih tahu betapa beratnya apa yang ditanggung yang tidak terlihat di mata manusia yang lain.

Kita rasa mereka sudah suci dan sudah mencapai kedudukan orang yang layak menjadi kekasih-Nya, tetapi di jiwanya belum tenteram untuk memohon keampunan untuk aib yang setiap kali dia selongkar dalam dirinya.

Kita memang pendosa, tetapi barangkali mereka juga lalui dosa yang kita tidak ketahui dan tidak nampak yang mana mereka tergelincir atau tidak menyedarinya. Namun, beza kita mungkin sejauh mana kita mempunyai kesungguhan untuk kembali kepada-Nya dan melazimi penjagaan diri.

Mungkin sahaja sesiapa yang sudah lama mengikuti penulisan saya ada menyimpan rasa kekaguman melihat bagaimana saya pamerkan kemampuan ilmu saya dan penghujahannya. Semua itu adalah pemberiaan Allah dan saya bersyukur dengan sebanyak-banyak kesyukuran kepada-Nya.

Namun, saya sendiri berdepan dengan aib dan kekurangan saya dalam kehidupan seharian. Rasanya, kalau sesiapa yang tahu apa yang melumuri dalam diri saya, mungkin dia tidak mahu lagi mendengarkan penjelasan-penjelasan saya meskipun saya cuba dengan sebaik mungkin mengungkapkannya dengan baik dan ilmiah. Allah lebih tahu bagaimana buruknya keadaan yang saya lalui.

Beberapa penulisan saya memang ada siri-siri kritikan terhadap seteru atau lawan atau orang yang saya tidak sependapat. Namun, bukan semestinya saya lebih baik daripada mereka. Barangkali kesilapan mereka diampunkan oleh Allah dan diberikan satu pahala atas kesungguhannya untuk kebenaran.

Barangkali dia mempunyai bahagian yang lebih unggul dan jauh meninggalkan saya sama ada diketahui atau tidak. Mungkin sahaja kritikan saya ada didasari rasa tidak tulus kerana Allah dan mengharapkan agar manusia menyajung saya.

Mungkin sahaja kritikan saya tidak disampaikan dengan cara beradab yang betul sehingga saya berlebihan dalam mengkritik. Dan banyak dosa dan kesilapan yang saya lakukan yang tidak saya sedari. Semoga Allah memaafkan saya dan kita semua.

Saya kadangkala mengkritik penulisan sebelum melihat penulisnya. Sememangnya saya mementingkan hujah berbanding tubuh badan seseorang itu. Saya cuba mengelakkan diri daripada bermain ₍Ad Hominem₎, ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, bermain kesan ₍Halo₎, kesan Kontras dan ₍Bandwagon₎ serta lain-lain bias dan falasi.

Akan tetapi, saya tidak lihat bagaimana rentas kehidupan yang telah dilalui seseorang penulis. Ada di antara mereka dipenjara beberapa kali. Ada di antara mereka pernah diugut atau dicuba untuk dibunuh. Bermacam-macam lagi keperitan yang tidak dapat dibayangkan.

Saya selama ini seperti menganggap bahawa mereka ini cuma duduk menulis dan mengajar, kemudian diulang-ulang rutin itu sehingga mati, rupanya hidup mereka penuh pancaroba dan onak duri kehidupan mereka setelah membaca kisah hidup mereka.

Saya tahu bahawa itu bukan alasan untuk membenarkan kesalahan dalam agama dan pemikiran, namun sekurang-kurangnya mengenali perjalanan hidup mereka ini memberikan rasa simpati dan kelunakan. Mereka tidak hanya hidup hanya dengan bercakap, menulis dan mengajar, mereka hidup dengan membuktikan cita-cita mereka dan pegangan mereka melalui perjuangan. Mereka menzahirkan keikhlasan dan menjadikan kalimah Allah di tempat yang tertinggi.

Semoga Allah memberkati perjuangan mereka dan memaafkan kesilapan mereka. Sekarang, bagaimana pula diri kita? Terus dalam hidup di zon selesa dan bercakap seperti pejuang? Mari sama-sama muhasabah diri kita.

Kita semua perlu bersyukur bahawa antara rahmat Allah yang Dia berikan kepada kita adalah tertutupnya aib dari pandangan manusia. Kalau setiap masa disingkapi aib kita, nescaya tidak ada manusia yang mahu menghadap kita. Nikmat apa lagi yang mahu kita dustakan?

Ya Allah! Kami telah menzalimi diri kami. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan mengasihani kami, nescaya kami termasuk orang yang rugi. Ya Allah! Perkenankanlah hajat ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623840223155159040/celoteh-peribadi-30-saya-pun-manusia-penuh

Celoteh 31 : Saya Tidak Akan Layan Debat Atau Diskusi Isu Isbat Sifat Allah Sama Ada Dari Salafi Atau Ašᶜarian Yang Tidak Membaca Karya «An-Naqḍ *Alā Al-Marīsiyy»

Dalam isu yang berkaitan dengan naṣ sifat Allah, saya tidak akan layan mana-mana debat atau diskusi tidak kira sama ada dari ašᶜarian atau salafi bagi mereka yang tidak menelaah dan tidak mampu menghadam kitab «an-Naqḍ *Alā al-Marīisiyy» karya Abū Sa*īd ad-Dārimiyy.

Demi pedang yang mencantas para musuhnya! Pada hemat saya, inilah kitab yang akan menjadi hakim yang terbaik dalam menghakimi pergelutan dlaam merebut citra manhaj salaf yang sebenar. Dipersilakan baca dan anda lihat mengapa saya begitu fanatik dengan kitab ini.

Sesungguhnya ad-Dārimiyy hidup di zaman keagungan salaf yang menimba ilmu dari mahaguru dari ahli hadis seperti Yaḥyā bin Ma*īn dan Aḥmad bin Ḥanbal. Benar-benar dia mempertahankan manhaj salaf dengan bahasa yang mudah, tetapi tajam dan penuh bijaksana. Dia terlangkau dari perebutan salafi dan ašᶜarian dalam menentukan di mana dia berada.

Sebab itulah saya menjadikan rujukan salaf sebagai hakim dan memilih yang terbaik supaya ia mampu meleraikan sengketa dan menuai kebenaran daripada perselisihan tersebut serta menegakkan keadilan dalam penghayatan manhaj salaf yang murni lagi sejati.

Dari pihak ašᶜarian, mereka acapkali mencanangkan kata-kata: "Zahir makna bukan yang dimaksudkan" bagi lafaz yang ada dalam al-Quran dan hadis yang zahirnya menisbahkan ciri-ciri tasybih kepada Allah serta berpegang kepada tafwid makna. Bagi mereka, menetapkan kaifiat adalah bukan dari manhaj salaf.

Tidak boleh memahami dari makna zahirnya menurut mereka. Mereka yang membaca akan lihat bagaimana ad-Dārimiyy akan membantai secukup-cukupnya pemahaman ini, mencantas habis-habisan dan menumpaskan delusi bohong ini dengan libasan yang menyeluruh lagi padu yang melumpuhkan lidah mereka dari berbicara yang nista sebegitu.

Malah, mereka mendakwa bahawa manhaj mereka harmoni dengan pendapat salaf, tetapi dalam masa yang sama menuduh buruk terhadap kenyataan "Allah di langit di atas Arasy-Nya", "Dia turun ke langit dunia sepertimana yang Dia kehendaki" dan seumpama dengan ini. Sememangnya jelas bahawa mereka sangat jauh dalam menelaah dan menelusuri kalam-kalam salaf dalam hal ehwal isbat.

Kalaulah mereka membaca karya ini, pastinya mereka akan tertunduk malu dan melihat betapa banyaknya kelompongan pada akalnya yang bersalut bisa kebodohan. Mereka akan terpaku, tergamam dan terkelu melihat persembahannya yang memukau pembaca, tetapi melemahkan seterunya dari cuba menyainginya.

Bahkan, pelampau mereka yang barangkali atau pastinya jahmian berbaju ašᶜarian tergamak menuduh ad-Dārimiyy sebagai mujassim atau melakukan tasybih yang tidak pernah terjadi sepanjang 1000 tahun. Tokoh besar dari ašᶜarian pada waktu itu sama sekali tidak celupar mulut sedemikian.

Jelaslah bahawa betapa hebatnya karya ini dalam membeberkan tembelang sebahagian jahmian yang menyelinap dalam ašᶜarian. Kitab ini berjaya membongkar penyangak yang berselindung dalam ašᶜarian dan merobek pegangan mereka yang kononnya tulen dengan manhaj salaf dengan pedang yang menyampaikan kesakitan dan kelukaannya sehingga tampak amukan mereka.

Dari pihak salafi pula, mereka juga memandang jelek mereka yang memperincikan penafian Allah dari unsur makhluk yang berupa jisim, aradh, ruang dan tempat. Seakan-akan ia adalah pengaruh daripada ilmu kalam. Sedangkan imam ikon ini juga jelas menafikan ciri jisim dan anggota bagi Allah dalam karya ini! Bahkan, mengkafirkan mereka yang berkata adanya anggota pada Allah!

Apakah ini bukan kebenaran yang patut disambut baik? Lihatlah bagaimana cemerlangnya dia dalam menafikan tasybih dan menepis tuduhan itu dari jahmian yang celaka.

Dengan Abū Naṣr as-Sijziyy, al-Ismā*īliyy, Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy atau selepas ad-Dārimiyy yang tiada kena mengena dengan ašᶜarian, khususnya dari kalangan ḥanbalian apabila menafikan Allah dari sebarang jisim, anggota, tempat dan mengambil ruang, mereka menempelak: "Hey! Ini bukan manhaj salaf! Manhaj salaf adalah mendiamkan diri daripadanya!".

Mereka mengotorkan kitabnya atas nama tahqiq dengan komentar sebegini atau mengutip kalam ini dengan menempatkannya di ulasan yang merendahkannya! Namun, mana suara mereka terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy apabila menegaskan yang sama?

Lalu, apa? Apabila ašᶜarian berbicara sama dengan as-Sijziyy, al-Ismā*īliyy, Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy dan senada dengan ḥanbalian yang lain, mereka menyahkreditkan pendapat mereka hanya kerana menegaskan Allah itu ternafi daripada jisim! Semudah itu mereka melakukan penolakan dan hanya berasaskan sandaran sedemikian untuk membuangnya!

Seolah-olah pendapat dan penilaian mereka adalah sama hina dengan sampah yang dibuang! Seolah-olah mereka ini tidak tahqiq dan tidak membuat pemerhatian dari guru-guru mereka dan tokoh kebesaran semasa mereka dalam prinsip akidah yang diwarisi dan diperjuang zaman-berzaman!

Mereka kadangkala bersikap rigid sehingga menganggap pintu takwil tertutup rapi dan tidak ada ruang baginya. Mana-mana yang melakukan takwil dianggap sama dengan penegasian terhadap sifat Allah! Duhai! Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang terkenal dalam penentangan takwilnya sehingga dianggap ultra ahli isbat tetap menyatakan adanya takwil melalui petunjuk yang mengemudinya di kitab ini!

Lihat kemampuan bahasanya dan pengamatannya dalam menentukan sesuatu naṣ itu boleh ditakwil atau tidak. Naṣ apa dan macam mana? Apa pertimbangannya? Makna apa yang boleh dipalingkan daripadanya? Bacalah ia! Semoga ia melapangkan mindamu yang sempit!

Sebab itulah saya sangat menyarankan, malah kalau tidak keterlaluan, saya mewajibkan mereka untuk menghadam kitab ini bagi sesiapa yang mendakwa bahawa dia berjalan di atas manhaj salaf. Keagungan kitab ini akan menyajikan kemurniaan, kesejatian, keterujian dan kemapanan interaksi salaf dalam isu interaksi dengan naṣ yang berkaitan dengan sifat Allah.

Mana-mana yang tidak membaca karya ini, maka terdedahlah dia kepada status yang diragukan dan penyimpangan tersembunyi dalam manhajnya!

Bagi yang ingin memahami bagaimana manhaj salaf dalam isu ini, saya telah bentangkan secara terperinci dalam penulisan saya yang berjudul «Penjelasan Interaksi Dengan Naṣ Tentang Sifat Allah».

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/631350724706664448/celoteh-peribadi-31-saya-tidak-akan-layan-debat

Celoteh 32 : Komentar Untuk Mereka Yang Berang Terhadap Penulisan Saya Yang Berjudul «Penjelasan Interaksi Dengan Naṣ Tentang Sifat Allah», Terutamanya Daripada Ašᶜarian

Sangat melucukan saya melihat respons orang yang berang dengan penulisan saya yang berjudul «Penjelasan Interaksi Dengan Naṣ Yang Berkaitan Dengan Sifat Allah», terutamanya ašᶜarian. Ada yang mengeluarkan saya daripada ahli sunnah kerana saya tidak sependapat, malah menentang ašᶜarian.

Penulisan saya yang sarat dengan nukilan tidak dijawab dengan ilmiah seakan-akan tidak dipedulikan. Malah, dianggap sebagai eksploitasi demi mendukung kefahaman saya. Itu sahaja yang mereka boleh buat. Mereka tidak ubah seperti budak-budak yang emosional yang cetek akal mahu membantah orang dewasa yang waras berilmiah.

Untuk pengetahuan mereka, dalam menukil pendapat pada penulisan tersebut, saya menjadikan tiga lapisan. Lapisan pertama adalah sebagai hujah utama dan tiang pendirian asas seperti karya salaf seperti dua karya ad-Dārimiyy yang berjudul «ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah» dan «an-Naqḍ *Alā al-Marīsiyy», «ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah Wa az-Zanādiqoh» karya Aḥmad bin Ḥanbal, «H̱olq Af*āl al-*Ibād» karya al-Buẖōriyy, «as-Sunnah» karya *Abdullah bin Aḥmad bin Ḥanbal, «as-Sunnah» karya Abū Bakr al-H̱ollāl, «al-Iẖtilāf Fī al-Lafẓ Wa ar-Rodd *Alā al-Jahmiyyah Wa al-Mušabbihah» karya Ibn Qutaybah dan «at-Tabṣīr Fī Ma*ālim ad-Dīn» karya Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy. Atau karya yang mengumpulkan nukilan daripada salaf seperti «Iṯbāt al-Ḥadd Lillah Wa Bi Annahu Qō*īd Wa Jālis *Alā al-*Arš» karya Abū Muḥammad Maḥmūd bin Abū al-Qōsim ad-Daštiyy, «al-*Uluww Li al-*Aliyy al-Ġoffār» karya aḏ-Ḏahabiyy dan «Ijtimā* al-Juyūš al-Islāmiyyah *Alā Ḥarb al-Mu*aṭṭilah Wa al-Jahmiyyah» karya Ibn Qoyyim al-Jawziyyah.

Lapisan kedua adalah sokongan dan penguat seperti «Risālah as-Sijziyy Ilā Ahl Zabīd Fī ar-Rodd Man Ankaro al-Ḥarf Wa aṣ-Ṣowt», «Ibṭōl at-Ta^wīlāt Li Aẖbār aṣ-Ṣifāt» karya Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy, «Ṭobaqōt al-Ḥanābilah» karya Ibn Abū Ya*lā al-Ḥanbaliyy, «I*tiqōd A^immah Ahl al-Ḥadīṯ» karya Abū Bakr al-Ismā*īliyy, «Šarḥ as-Sunnah» karya al-Barbahāriyy, «al-Ibānah al-Kubrō» karya Ibn Baṭṭoh, «Šarḥ Uṣūl al-*Itiqōd» karya al-Lālikā^iyy, «*Aqīdah as-Salaf Wa Aṣḥāb al-Ḥadīṯ karya aṣ-Ṣōbūniyy» dan «at-Tamhīd Li Mā Fī al-Muwaṭṭo^ Min al-Ma*ānī Wa al-Asānīd» karya Ibn *Abdul Barr.

Lapisan ketiga adalah sisipan dan sampingan atau pembantu untuk menjelaskan masalah yang sesuai dengan pemahaman salaf apabila tiada dari penjelasan kalam salaf itu sendiri seperti karya-karya Ibn Taymiyyah, karya-karya Ibn Qoyyim al-Jawziyyah, «al-Ḥujjah Fī Bayān al-Maḥajjah» karya Abū al-Qōsim Ismā*īl bin Muḥammad, karya-karya Ibn Qudāmah, «al-Asmā^ Wa aṣ-Ṣifāt» karya al-Bayhaqiyy dan yang lain-lain. Dengan kata lain, tanpa rujukan ini pun, pendirian saya tetap tidak goyah dan tergugat.

Setelah anda tahu lapisan ini, maka sesiapa yang ingin berdepan dengan saya sama ada debat atau diskusi, jika mereka tidak menelaah dan menghadam rujukan lapisan pertama yang saya bentangkan, saya tidak mahu membuang masa untuk melayani orang yang sengaja menjauhkan diri daripada penulisan salaf.

Saya yakin kebanyakan mereka tidak berani untuk membacanya dan tidak akan mampu menghadamnya kerana itu pasti akan membongkarkan tembelang manhaj mereka. Apa yang mereka selama ini buat adalah berpura-pura tidak tahu kewujudan, bahkan tersimpan dalam lubuk jantung bahawa kitab ini tidak akan wujud sama sekali.

Semakin mereka membaca, semakin bertubi-tubi kepedihan mereka kerana mereka tidak mampu merasakan keharmonian antara manhaj mereka dan realiti sebenar pemahaman salaf melalui kata-kata mereka.

Tidak percaya tentang hal ini? Cubalah tengok apa yang pelampau daripada mereka lakukan terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy. Disebabkan tidak mampu menghadamnya, mereka menuduhnya sebagai mujassim yang tidak pernah dituduh sedemikian oleh mana-mana ahli ilmu termasuk daripada ašᶜarian sepanjang seribu tahun!

Lihatlah betapa hebatnya ad-Dārimiyy membongkar kepalsuan dan kebatilan mereka, lalu mencantasnya habis-habisan. Sekarang anda faham mengapa saya begitu fanatik dengan karyanya dan saya mengangkatnya sebagai hakim yang mutlak dalam menentukan citra manhaj salaf sebenar dalam isu isbat sifat Allah.

Salah satu sebab mengambil karya Abū Sa*īd ad-Dārimiyy sebagai hakim adalah kerana dia hidup di zaman salaf. Semestinya dia terjangkau dari perebutan sama ada dia berpihak kepada ašᶜarian atau salafi yang kini. Karyanya juga menjelaskan secara terperinci manhaj ahli sunnah dan penghujahannya melawan jahmian yang kini sebahagiannya menyusup dalam ašᶜarian.

Dapat dikatakan kesemua kefahaman salaf tercoret dan disampaikan dalam karya tersebut. Bukan sesuka hati saya menjulangnya dan fanatik terhadapnya. Sebab saya telah menelaah dan menghadam, lalu membandingkannya dengan pendapat salaf yang lain dan saya peroleh kebenaran yang agung daripadanya. Saya tidak berkata-kata kosong, bahkan saya mengikut dasar ilmu yang kukuh.

Sebab itu, saya sanggup berkata bahawa mana-mana ašᶜarian dan salafi yang enggan membaca karya-karya lapisan pertama yang telah saya sebutkan, diragukan manhajnya. Jika anda mengaku bahawa pengikut mazhab šāfiᶜian, maka perlunya anda membaca kitab-kitab muktamad padanya, mengapa yang mengaku pengikut salaf dan seragam dengan salaf tidak pernah menelaah karya-karya salaf dan tidak pernah berinteraksi dengan kalam-kalam mereka?

Dalam memahami manhaj salaf, saya sama sekali tidak menjadikan karya yang terkemudian atau kontemporari sebagai tempat bergantung saya kecuali sebagai papan tanda arah. Itu sahaja. Jika ada sesiapa yang mendakwa saya menjadikan Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah atau tokoh-tokoh salafi yang lain sebagai neraca atau seumpamanya, maka jelaslah ini suatu kebohongan.

Demi pohon tirus yang tegap berdiri tinggi! Saya pernah sahaja baca sanggahan terhadap Ibn Taymiyyah dan pengikutnya, tetapi tidak terdetik dalam jiwa untuk terasa apa-apa kesakitan. Malah, saya tidak merasa perlunya perhatian untuk menangkisnya. Allah saksi jiwa saya untuk ini.

Saya teguh dengan prinsip bahawa saya akan setia dan mengambil berat dengan nukilan salaf dan mana-mana yang terkemudian menyalahinya, saya tidak mempedulikannya dan berpaling daripadanya meskipun dari Ibn Taymiyyah.

Antara yang lebih jelas lagi adalah saya telah membantah akidah Ibn Taymiyyah sendiri dalam penulisan saya yang berjudul «Penajaman Deria Dalam Mengenali Sifat Yang Maha Mulia». Oleh itu, saya tidak ada kena mengena dengan anutan Ibn Taymiyyah ataupun pengikutnya.

Apabila saya mengutip pandangan Ibn Taymiyyah, bukan bermakna saya meniti di atas haluannya. Saya mengutipnya untuk objektif lain, iaitu sekadar penguatan atau menjelaskan apa yang saya fahami tanpa menggunakan ayat saya sendiri.

Tentu sahaja lagi karya-karya ašᶜarian. Saya bukan tidak pernah membaca sama ada yang ultra atau moderat. Kalau dibawa nukilan mereka dari yang terdahulu, barangkali saya telah mengetahui sebahagiannya dan apa yang mereka akan ulas.

Saya menyelisihi mereka kerana saya telah membuat perbandingan dengan kalam salaf. Fahaman mereka telah saya membandingkannya dengan rujukan lapisan pertama. Saya uji sejauh mana keseragaman dan keharmonian manhaj mereka. Semenagnnya saya dapati ada jurang besar antara mereka dan kefahaman para salaf.

Terpulanglah kalau ašᶜarian mahu mengeluarkan saya daripada ahli sunnah kerana berselisih dan mengkritik mereka. Namun, percayalah, manhaj mereka tidak ada nilai relevan selagimana mereka tidak mahu menghadap realiti.

Selagimana mereka alergik dengan karya-karya salaf dan tidak mampu menghadamnya serta takut untuk menukilkannya dan membahaskannya, maka mereka sekadar melalak dan sembang. Tidak akan saya percaya pun dakwaan itu benar selagimana bersikap enggan.

Seperti biasa, kad kegemaran mereka adalah ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ dan kesan Kontras. Mereka menukil pendapat yang terkemudian, lalu berkata: "Ini ulama besar kenamaan! Mereka lebih tahqiq daripada kamu!" demi menyahkreditkan pendapat saya.

Seolah-olah mereka lupa rujukan yang saya bentangkan itu juga adalah daripada para ulama yang terbilang. Tidaklah berapa banyak yang mereka nukil, saya katakan kepada mereka: "Wahai si jadong! Pemahaman salaf yang perlu ikut mereka yang terkemudian atau sebaliknya?".

Kalau benar manhaj mereka benar, silalah bentang bagaimana ia harmoni dengan kalam salaf. Jika mereka masih gelisah dengan rujukan lapisan pertama, maka sebenarnya mereka tidak ada keyakinan yang teguh bahawa manhaj mereka sebenar. Orang yang berakal cerdas pasti nyata hal ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/631433308712140800/celoteh-peribadi-32-komentar-untuk-mereka-yang

Celoteh 33 : Saya Menyalahi Kesepakatan Dan Memilih Pandangan Syaz?

Sesiapa yang membaca penulisan saya dalam beberapa isu, sememangnya ada beberapa yang sememangnya menyalahi kesepakatan ahli ilmu atau dengan kata lain pendapat yang saya utarakan dan tegakkan hujahnya berbeza daripada mana-mana ahli ilmu yang tidak pernah dinyatakan seumpama demikian yang sebelumnya. 

Atau juga saya mengambil dan mempertahankan pandangan ahli ilmu yang paling minoriti yang mampu dibilang dengan jari sebelah tangan sahaja dan mereka ini menyalahi yang paling majoriti daripada mereka.

Saya menulis dan menzahirkan pandangan itu bersama hujah dalam keadaan saya tahu keadaan hal itu. Saya sama sekali tidak menafikan hal itu, bahkan saya juga sentiasa sahaja dicela kerana hal tersebut. 

Akan tetapi, perlawanan arus perdana ini bukanlah sesuatu yang baharu yang mana kadangkala ahli ilmu yang terkenal pun ada juga mengeluarkan pandangan yang tidak didahului oleh sebelum mereka atau mereka bersama pandangan ahli ilmu yang lain yang tidak sampai lima jari bilangannya.

Lihat tuduhan mujassim ke atas Abū Sa*īd ad-Dārimiyy sebagai contoh. Ia langsung tidak didahului oleh mana-mana ahli ilmu pun walau dari pemuka-pemuka agung ašᶜarian sepanjang seribu tahun setelah pemergiannya. Ia juga digembar-gemburkan dan dipertahankan oleh golongan yang terkemudian.

Banyak juga contoh-contoh yang lain. Bagi yang selanjutnya, saya telah mencoretkannya dalam penulisan saya yang berjudul «Diari Diri : Antara Ikutan Ulama dan Pandangan Peribadi Saya Dalam Agama». Pendapat yang syaz, bahkan menyalahi ijmak ada di mana-mana golongan.

Jika ditanya sama ada mereka sedar bahawa apa yang mereka lakukan adalah menyalahi kesepakatan ahli ilmu sebelum ini, mereka sudah tentu mengiyakannya, malah mempertahankannya sampaikan mereka sanggup membawanya ke hari akhirat.

Kita akan lihat mereka bermati-matian dalam menegaskan bahawa apa yang mereka lakukan adalah dari pertimbangan metodologi ilmu yang menurut mereka mapan, jitu lagi sejati. Mereka tidak mengeluarkan pandangan atas dasar lepas cakap atau penelitian yang pendek. Seberapa banyak pun kita hamburkan celaan terhadap mereka, tetap mereka tidak berganjak dari pandangan tersebut dan mereka akan tegaskan bahawa mereka berdiri di atas kebenaran.

Sememangnya ada sebahagiannya sememangnya salah dan sebahagiannya boleh diambil kira serta sebahagiannya sememangnya benar yang sukar untuk disangkal kehujahannya. Apapun, saya katakan bahawa saya juga seperti mereka tersebut yang teguh dengan pendapat mereka yang terasing daripada yang lain.

Saya juga ada manhaj ilmu yang saya telah uji ketekalan dan kemapanannya dalam membuat sesuatu penilaian. Saya tidaklah membangunkan pendapat hanya berdasarkan hawa nafsu atau sekadar berbicara tanpa membuat persediaan yang secukupnya. Penulisan-penulisan saya adalah bukti terhadap penegasan saya ini.

Jika mereka boleh untuk berdiri di tempat yang paling minoriti, mengapa pula saya tidak boleh? Jika kalian akui bahawa mereka bersandarkan hujah ilmu bahawa titian mereka di tempat tersebut adalah kebenaran, mengapa pula saya dikira cakap kosong?

Sejujurnya, saya sangat benci apabila Abū Sa*īd ad-Dārimiyy dituduh mujassim. Pendirian saya dalam beberapa penulisan sangat jelas dan Allah adalah saksi bagaimana berangnya saya terhadap orang tersebut.

Namun, saya sama sekali tidak memandang lekeh kemampuan ilmunya dan saya akui pemilihan mereka dalam tuduhan tersebut adalah kerana berasaskan manhaj ilmu, bukan kata-kata serampangan. Apabila saya berhadapan dengan mereka, saya tidak memandang rendah terhadap mereka. Jawapan balas saya juga adalah dengan hujah ilmu.

Maka, tidak bolehkah sekurang-kurangnya kita menghormati budaya dan memuliakan kedudukan ilmu dengan membincangkan secara objektif? Saya tidak ada masalah untuk kalian menyelisihi saya dan saya hormat pilihan anda meskipun sebahagiannya saya sangat benci terhadapnya selagimana itu didasari ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan.

Saya akan berhadapan dengan kalian dengan pembentangan hujah ilmu dan penulisan saya akan menjadi saksi pembelaan saya. Mengapa sekurang-kurangnya tidak boleh memberi kerjasama dalam memberi jawapan balas secara ilmiah?

Saya memilih pandangan yang menyalahi kesepakatan atau paling majoriti pada sesuatu isu kerana saya berpegang pada prinsip manhaj ilmu. Bukanlah saya menuju kepadanya kerana semata-mata ingin mengikut hawa nafsu. Penulisan saya adalah bukti terhadap ini.

Saya ingin menegaskan bahawa bukan semua pandangan paling minoriti yang saya berpihak padanya kerana saya dapati ia bersalahan dengan dalil dan kehujahan ilmu yang tidak boleh diselamatkan lagi.

Misalnya, pengharaman memakan khinzir hanya sebatas bahagian daging sahaja. Saya sama sekali tidak berpihak pandangan ini setelah saya meneliti hujah ilmu. Malah, banyak pendapat yang syaz dalam «al-Aqwāl aš-Šāḏḏah Fī Bidāyah al-Mujtahid Li Ibn Rušd: Jam*an Wa Dirōsah» karya Ṣōliḥ bin ʿAliyy bin Muḥammad ašh-Šhimrōniyy yang saya tidak ambil.

Jika kalian berasa bahawa pendapat kalian tidak mengikut hawa nafsu, mengapa respons kalian seolah-olah semacam sang jadong yang terdesak untuk menang? Kalian mendakwa kalian berdiri di atas hujah. Lalu, mengapa sikap kalian yang mendepani saya seolah-olah tidak memiliki persiapan, malah ketandusan bekalan yang diperlukan? Kemudian, mahu saya tunduk dengan kebenaran yang kononnya berada di atas sandaran keilmuan? Ini seruan kepada ilmu atau kebodohan?

Untuk pandangan ahli ilmu yang paling minoriti pula, saya ingin tanyakan kepada mereka yang berpegang pada prinsip "perselisihan ahli ilmu adalah rahmat". Mengapa tidak boleh pula saya atau mereka yang lain mengambil pandangan dari ahli ilmu tersebut?

Mengapa apabila diambil pandangan daripada mereka tidak dianggap rahmat? Adakah mereka mengeluarkan fatwa tersebut dengan hawa nafsu sehingga orang yang mengambilnya dikira mengikut hawa nafsu mereka?

Saya hairan bagaimana seseorang boleh menuduh mengambil pendapat tersebut dicela hanya kerana tidak berada di arus majoriti. Salah dan benar hanya kerana ia adalah pendapat yang paling ramai dipegang.

Mereka tidak mampu menganalisis dalil untuk pertimbangan dari sudut ilmu dalam menentukan kebenarannya. Yang menentukan kebenaran hanya kerana ia pilihan ramai. Semudah itukah? Adakah ahli ilmu yang melangkah di aliran yang paling minoriti tidak ada manhaj ilmu dalam menegakkan kebenaran haluan mereka.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/632386762537304064/celoteh-peribadi-33-saya-menyalahi-kesepakatan

Celoteh 34 : Balasan Orang Yang Bermain ₍Ad Hominem₎

Baru-baru ini, saya mendapat pendedahan bahawa terdapat seseorang yang suka mencela dan meremehkan serta memandang lekeh terhadap seseorang yang lain yang memiliki PhD dalam sesuatu bidang kerana perbezaan pendapat dan aliran pemikiran akhirnya terciduk ketika ingin melanjutkan ujian kelayakan peringkat Master. Malah, sebahagian subjek mendapat gred gagal yang teruk dalam bidang ilmu yang telah lama dia berkecimpung dengannya.

Bersorak gembira sebahagian orang apabila mendapat tahu pendedahan ini. Cukup-cukup mereka mengejek semula dan memberi hentaman balas terhadap pencela tersebut. Sudah lama agaknya mereka menyimpan dendam dan memendam kemarahan.

Saya tidaklah setuju pendedahan tersebut kerana ia membuka aib orang lain dan merendahkan orang lain dengan sesuatu yang bukan sepatutnya. Saya dapat makluman ini kerana hangat menjadi bualan di media sosial sehingga saya tidak boleh menjauhinya. Cuma, elok kita muhasabah mengapa perkara ini terjadi, iaitu mengapa orang terlalu gembira untuk mendedahkan ini kepada khayalak?

Ini kerana orang tersebut seringkali mempersenda figura yang memegang lulusan PhD. Yang diutarakan bukan hujah balas secara ilmiah, tetapi sindiran yang banyak menjurus kepada penghinaan dan cemuhan yang merendahkan kemampuan ilmunya.

Boleh dikatakan, sikapnya dalam mendepani figura tersebut hanya dengan ₍Ad Hominem₎, bukan objektif dalam pertukaran pendapat. Atas sebab inilah yang membenihkan berang kepada pengikut figura tersebut yang menanti waktunya untuk meletus.

Pengajaran kepada kita adalah apabila kita gemar mencela orang dengan bermain kad ₍Ad Hominem₎, kita juga akan dibalas yang sama. Kalau bukan pada hari ini, mungkin hari esok Allah tunjukkan kepada kita.

Jika kita suka londehkan orang lain dengan memperlekeh yang kosong dari hujah ilmiah, maka seteru kita pun akan gemar berbuat yang sama. Kadangkala, sikap kita terhadap lawan mampu memberi pengaruh kepada pemikiran dan sikap lawan terhadap kita.

Untuk kes ini, saya teringat buku «Do As I Say (Not As I Do) : Profiles In Liberal Hypocrisy» karya Peter Schweizer yang mana dia menempelak sebahagian figura besar liberal dan para advokatornya yang seringkali mengaibkan golongan konservatif dan banyak menyerang peribadi dengan membangkitkan beberapa isu peribadi yang kononnya konservatif dan hipokrit adalah dua wajah yang sama, padahal liberal jauh lebih teruk yang mana mereka bercakap soal keadilan, memperjuangkan kesejahteraan ekonomi dan juara pembela moral, tetapi rupa-rupanya, mereka juga terlibat dengan skandal yang membabitkan alam sekitar, kapitalisme dan beberapa manipulasi kewangan.

Ini juga pengajaran kepada diri saya sendiri. Kadangkala, walaupun saya telah berulang kali mengingatkan untuk menjauhi ₍Ad Hominem₎, mungkin sekali saya tidak terlepas melakukan yang sama tanpa saya sedar.

Saya memohon keampunan kepada Allah atas kesalahan yang tidak saya sedari atau yang saya lakukan tanpa berfikir semasak-masaknya. Malapetaka yang menimpa mungkin kerana denda daripada Allah akibat dosa dan kebejatan yang kita lakukan sama ada pada diri sendiri atau orang lain atau alam.

Kalau kita sentiasa menyelongkar aib peribadi orang lain, maka orang lain pun akan berbuat yang sama ke atas kita. Kalau hidup kita selalu mengkhianati kepercayaan orang lain, maka orang sekeliling pun akan mengkhianati kita. Kalau hidup kita gemar menyinggung orang lain, maka orang lain pun menyinggung kita yang sama. Kalau hidup kita selalu mengungkit dan mengata orang lain, maka orang lain pun akan berbuat yang sama pada kita.

Kalau hidup kita sentiasa bermurah hati kepada orang lain, maka orang ramai akan membalas yang sama kepada kita. Kalau hidup kita senitasa memberi jasa kepada orang lain, maka orang lain akan memberikan yang sama kepada kita.

Apa yang orang lakukan pada kita adakalanya refleksi kepada apa yang kita selalu buat pada orang lain. Semoga kita terhindar daripada kejahatan diri kita yang mana kejahatan itu akan menimpa balik kepada kita dan semoga kita semua memberikan gelombang yang positif kepada orang lain agar ia memancar semula kepada diri kita.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633789043020333056/celoteh-peribadi-34-balasan-orang-yang-bermain

Celoteh 35 : Wajah Para Pengkritik Saya

Dalam kritikan terhadap saya, kebanyakannya tertumpu kepada pandangan saya yang tidak didahului oleh sesiapa pun dan pandangan yang paling terpencil yang saya pertahankan. Saya mengalu-alukan segala kritikan yang membina, sihat, berbudaya lagi ilmiah. Kritikan kalian juga sebenarnya boleh jadi penambahbaikan penulisan saya.

Saya juga kadangkala menyemak penulisan saya dari semasa ke semasa untuk mencari kelompongan jika ada. Jika ada yang salah, saya akan usaha perbetulkannya sepantas yang mungkin. Jika masih ada penjelasan yang belum cukup, saya tambah. Mungkin orang lain lebih nampak sesuatu yang saya tidak nampak.

Cuma, saya paling benci kritikan dari manhaj yang hipokrit dan bercelaru yang selalunya datang dari aswajaean. Apabila adanya kritikan saya terhadap ulama atau tokoh-tokoh mereka, terutamanya apabila pandangan saya tidak didahului oleh sesiapa pun, saya diherdik bermacam-macam dan dicemuh habis-habisan.

Tuduhan tidak hormat ulama atau membakulsampahkan pendapat ulama atau membelakangkan ulama terhadap saya sudah biasa sangat dan sudah menjadi mantera yang diulang-ulang meski saya bawa penjelasan, pembentangan dan kupasan daripada al-Quran dan hadis pun masih tetap diingkari. Apa sahaja dalil yang dibawa dan diterangkan pun tetap ditutup mata dengan kad ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, kesan Kontras dan ₍Ad Hominem₎.

Yang anehnya, mereka ini juga membela tuduhan mujassim terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang tidak pernah dituduh sedemikian sepanjang seribu tahun setelah kewafatannya. Malah, terus menjaja dengan kalimah yang buruk ke sana ke sini untuk mencemarkan nama ahli hadis yang terbilang.

Sekarang, mereka menepuk air di dulang, lalu terpercik ke muka sendiri! Kalau mereka mendakwa mereka tidak setuju dengan tuduhan tersebut, mereka buat-buat buta terhadap orang yang terus mempromosikan tuduhan itu. Namun, menjadi bising apabila saya yang berpandangan yang tidak didahului sesiapa.

Mana penghormatan ulama yang mereka selalu menempikkan kalimah itu ke sana ke sini? Mana sanad pengajian mereka? Siapa guru mereka? Alahai! Pertanyaan ini yang bertujuan untuk melakukan ₍Ad Hominem₎ terhadap saya atau menyorokkan kekeringan idea untuk menjawab pembentangan hujah saya sebenarnya memakan diri mereka.

Yang anehnya lagi apabila saya mengambil dan membela pandangan aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekumpulan dengannya yang mengharuskan lancap sepertimana yang dinukilkan Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy dalam «Iẖtilāf al-Fuqohā^» serta pandangan al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy yang mengharuskan melihat bayangan berupa badan pada air dan cermin walaupun bersyahwat, tiba-tiba mereka ini menyerang saya secukup-cukupnya seolah-olah mereka tidak kenal siapa aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim, al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy.

Seolah-olah ketiga-tiga ini seperti rendahan hingusan dari kalangan pencela-pencela ini. Seakan-akan ketiga-tiga ini mengeluarkan fatwa dengan hawa nafsunya sehingga orang yang mengambil pandangan mereka dikira pengikut hawa nafsu.

Mana modal hormat ulama yang selalu mereka laungkan? Mana adab mereka terhadap ahli ilmu yang mereka selalu canang-canangkan? Dicampak ke belakang mereka sebegitu sahaja sebab isu lancap dan lihatan aurat. Saya akan katakan kepada mereka sepertimana yang mereka katakan kepada saya.

Adakah kalian lebih hebat daripada aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim, al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy? Apa kelayakan ilmu kalian untuk mengkritik, malah mencela pandangan ini? Siapa guru kalian? Apa sanad pengajian kalian pada kitab ini? Kalian ikut pemahaman sendiri? Nah! Sekarang mereka menjilat ludah mereka sendiri.

Kemudian, mereka sendiri menjilat ludah mereka lagi dengan berkata bahawa ikutan kita perlu bertepatan dengan pemahaman naṣ-naṣ agama yang sebenar. Padahal, itulah yang saya tegaskan ketika mereka tidak henti-henti berlidah puaka terhadap saya.

Sekarang tiba-tiba mereka mahu menjadi ulama untuk membahaskan al-Quran dan hadis secara terus? Sekarang tiba-tiba mereka mahu menjadi orang yang mendahulukan dalil al-Quran dan hadis berbanding tokoh? Jika saya menegaskan prinsip ini, kalian bukan main mengungkapkan nista terhadap saya. Sekarang, kalian ingin memakai pakaian yang kalian sendiri menghinakannya?

Walhal, jika kalian cuba membentangkan perbahasan dalil al-Quran dan hadis demi mempertahankan pandangan yang majoriti, saya juga melakukan sedemikian untuk menepis bahawa ahli ilmu yang berpandangan minoriti ini tidak berfatwa dengan omongan kosong.

Saya juga sedang memberi khidmat kepada legasi ilmu yang mereka wariskan supaya pandangan mereka ini tidak direndah-rendahkan dan tidak dihalang untuk dihina oleh orang yang terkemudian. Salahkah saya membela ahli ilmu daripada dihina sepertimana yang kalian sedang lakukan apabila saya menukil dan mempertahankan pandangan ini?

Sebab itulah, saya lebih menyenangi perbahasan ilmu dengan para salafi. Meski saya juga ada berbeza pandangan dengan pandangan arus perdana salafi, jarang sekali untuk menemukan hipokrit sebegini. Ya, sememangnya mereka juga rasa tersinggung apabila tokoh mereka dikritik, akan tetapi, itu langsung tidak memalingkan prinsip mereka untuk melihat penghujahan dalil.

Setiap kali ada perbalahan, masing-masing terus objektif untuk melihat sandaran daripada al-Quran dan hadis serta kaedah ilmu. Tidak ada mantera yang diratib-ratibkan aswajaean yang sememangnya bertujuan untuk ₍Ad Hominem₎ atau berdalih.

Sebab itu apabila adanya kritikan, saya lebih mendahulukan kritikan salafi daripada aswajaean. Jelaslah bahawa bagaimana manhaj boleh mempengaruhi sikap dan budaya ilmu. Jika berada di manhaj membawa kepada permainan falasi dan bias, itulah tanda-tanda manhaj ilmu yang bercelaru. Jika berada di manhaj yang sentiasa bersikap objektif dan mementingkan keilmuan berbanding sentimen, maka inilah manhaj yang sebenar.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633885520307601408/celoteh-peribadi-35-wajah-para-pengkritik-saya

Celoteh 36 : Mengapa Saya Tidak Banyak Menyentuh ₍Tazkiyah an-Nafs₎?

Ada yang bertanya kepada saya, mengapa saya tidak banyak menyentuh ₍Tazkiyah an-Nafs₎ dalam penulisan atau menghasilkan satu slot khas untuk membicarakan hal itu. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan ₍Tazkiyah an-Nafs₎. Mungkin sekali dia memahami bahawa ₍Tazkiyah an-Nafs₎ yang dimaksudkan adalah bicara tentang amalan-amalan jantung, adab dan pengisian motivasi. Saya tidaklah menyalahkan kefahaman ini dan saya tidak ada niat untuk mengherdik pertanyaan ini. Cuma, maksud yang dia fahami perlu diluaskan cerapan dimensinya.

Sukacita saya ingatkan bahawa telah banyak penulisan saya yang membicarakan tentang manhaj fikir dan manhaj ilmu yang seterusnya mampu memberi implikasi kepada keadaan jiwa dan perilaku seseorang. Saya sering menegaskan untuk sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah serta sentiasa menjadikannya sebagai hakim yang tertinggi.

Jika kita membelakangkannya, pasti ia akan membawa kepada bentuk pemikiran yang keruh dan perangai yang jelek dalam perbahasan ilmu. Contohnya, mempersenda seruan kepada al-Quran dan Ssunnah, menuduh bahawa kita tidak hormat ulama, merendahkan orang lain kerana tidak sependapat setelah membentangkan dalil dan lain-lain. Tidakkah ini pendidikan kepada penyucian jiwa?

Kemudian, di banyak tempat juga saya sentiasa mengingatkan tentang falasi seperti ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, ₍Argumentum Ad Misericordiam₎, ₍Argumentum Ad Ignorantiam₎, kesan Kontras, kesan ₍Halo₎, ₍Bandwagon₎, ₍Strawman₎, ₍Red Herring₎, ₍Cherry picking₎ dan lain-lain.

Falasi-falasi inilah yang menjerumuskan seseorang untuk membuka telinga dalam mendengarkan hujah pihak lain, menyombongkan diri, memperlekeh orang lain, menyahkredit pendapat orang lain tanpa hak, berhujah dengan cara yang bercelaru dan lain-lain. Bukankah ini juga pendidikan kepada penyucian jiwa?

Banyak lagi yang sama ada secara langsung atau tidak langsung yang merujuk kepada penyucian jiwa dan amalan jantung. Apapun, penyucian jiwa tidak akan dapat dijayakan jika tidak berdiri di atas manhaj ilmu yang autentik, tulen lagi mapan. Sebab itu pemahaman adalah asas kepada segala sesuatu.

Jika penyucian jiwa adalah sepertimana yang difahami oleh penanya itu, maka sebenarnya sudah banyak penulisan atau ceramah yang berkaitan dengan hal itu tersebar sehingga saya tidak ada hajat lagi untuk menambahkannya. Malah, telah banyak penulisan hal ini dalam beberapa grup di Telegram, halaman Facebook dan lain-lain sehingga saya sendiri pun tidak sempat untuk mengikuti secara keseluruhannya. Sebab itulah saya fikir saya tidak perlu lagi menjadi penambah bagi yang telah melambak.

Kebanyakan kandungannya saya setuju dengannya. Sesiapa yang mengikuti media sosial saya di Facebook, sememangnya saya suka kongsi penulisan daripada orang lain tentang hal itu. Jika saya ingin berkata pun, saya akan katakan sama seperti mereka. Justeru, cukup saya menukilkan atau mengongsikan sahaja. Tidak perlu lagi saya berbicara atau menulis.

Malah, antara sebab saya tidak memberanikan diri saya untuk menulis tentangnya kerana saya khuatir yang saya termasuk dalam firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ ﴿٢﴾ كَبُرَ مَقْتًا عِندَ اللَّـهِ أَن تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ ﴿٣

"Wahai orang yang beriman! Mengapa kalian berkata apa yang kalian tidak lakukan? Besarnya kemurkaan di sisi Allah terhadap apa yang kalian berkata apa yang kalian tidak lakukan". [Sura aṣ-Ṣoff ayat 2-3].

Saya menyedari bahawa diri saya punyai aib yang besar lagi banyak. Saya tidak sanggup untuk mengatakan yang kalaulah ia diketahui oleh orang yang saya tidak lakukannya, pastinya saya akan dicemuh habis-habisan. Sebab itulah saya fikir, lebih elok untuk saya berdiam diri daripada apa yang saya tidak mampu menyematkannya dalam jiwa dan amal secara konsisten.

Cuma, bukan semestinya apa yang saya tidak sebutkan, maka itu yang saya tidak lakukan. Yang saya ingin katakan adalah bahawa saya tidak mahu apabila saya membuat peringatan atau teguran, tetapi hakikatnya itu yang tidak saya lakukan, maka ia menjadi palitan terhadap diri saya apabila ia diketahui di mata orang.

Akhirnya, nasihat yang saya sebutkan mungkin tidak akan diambil kira atau diberi perhatian. Menanggung hal ini sememangnya berat untuk saya. Sebab itu saya sekadar mengongsikan daripada orang lain.

Dan yang anehnya, mereka yang menjadi seteru atau musuh saya selalu sahaja ingin saya berkata yang baik meskipun saya telah menjelaskannya, membahaskannya, merincikannya dan membentangkannya dalam penulisan, tetapi tidak dibantah secara ilmiah.

Namun, apabila saya berkata yang baik seperti doa dan zikir sebelum tidur, zikir selepas solat, mengupas kalam al-Ḥikam milik Ibn *Aṭō^illah dan lain-lain, mereka secara nyata atau terselindung menyindir saya.

Apa guna? Lebih baik saya berpada dengan perkongsian dari tinta orang lain, tetapi tidak diingkari atau dipandang sinis. Berbanding pada yang dari lidah saya, barangkali ia langsung tidak dihargai walau sebaik mana pun.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633888321299447808/celoteh-peribadi-36-mengapa-saya-tidak-banyak

Celoteh 37 : Untuk Mereka Yang Datang Kepada Saya Demi Tujuan Yang Buruk

Kalau memang perangai laksana lalat, memang najis sahaja yang dia cari dan itulah tempat kegemarannya untuk dia menghurung.

Yang erotisisme dari saya dijadikan isu pembantaian yang berpanjangan. Walhal, saya telah menghasilkan ratusan penulisan sama ada yang panjang atau yang pendek yang di luar dari topik erotisisme. Namun, tidak pernah pula diambil peduli. Entah-entah jenguk pun tidak pernah. Apatah lagi membaca.

Saya sudah mewujudkan halaman Perkongsian Amir Kazuma di Facebook untuk berkongsi penulisan ilmiah dari pelbagai tempat. Sememangnya saya tidak aktif setiap hari. Pun begitu, telah banyak yang telah saya kongsi di sana sama ada penulisan panjang atau pendek dan sama ada penulisan keagamaan atau selainnya tanpa mengira aliran.

Kalau tidak senang dengan saya di wahana yang saya berkongsi erotika, silalah berinteraksi dengan saya di wahana yang lain untuk diskusi ilmiah atau perhubungan secara bebas tanpa erotisisme. Saya terbuka untuk bersahabat untuk pelbagai ragam orang sekalipun ultraortodoks selagimana tidak menyusahkan hidup saya atau sesiapa jua.

Malah, bukan saya seorang sahaja dalam hidup kalian. Banyak lagi orang lain atau wahana yang mengongsikan pembacaan ilmiah. Ikutilah mereka dan bacalah penulisan daripada mereka. Saya bukannya satu-satu orang dalam menjalankan kerja itu dan mereka yang lain adakalanya jauh lebih berkualiti lagi berwibawa berbanding saya yang mana kalian lebih patut untuk diberikan perhatian yang lebih.

Saya tidak peduli pun jika ada yang menyisihkan saya atau memburukkan saya. Saya tidak pernah menagih daripada sesiapa untuk beri perhatian kepada saya, menjenguk saya agar mengikuti buah fikir daripada saya dari semasa ke semasa dan sanjungan daripada orang. Saya tidak peduli pun jika saya berseorangan dan saya tidak minta untuk menjadi orang yang penting dalam hidup sesiapa.

Cuma, kalau datang kepada saya untuk menjadi lalat, usah habiskan masa dengan saya. Carilah orang yang lain yang lebih mententeramkan jiwa kalian dan berbaloi untuk diperuntukkan masa.

Saya akui bahawa saya sememangnya lebih hina daripada najis jika ingin dibandingkan figura yang hebat di luar sana. Maka, tidak perlulah cari yang najis seperti saya. Pergilah menyibukkan diri untuk orang yang jauh lebih berbaloi dan lebih berharga untuk kalian menadah ilmu daripadanya dan berdamping bersamanya. Jika saya hanya menimbulkan penyakit untuk kalian, tinggalkan sahaja dan saya tidak ada masalah untuk tiada siapa menyapa saya.

Kalau datang untuk menyelongkar kesalahan, kekurangan, ketempangan dan keaiban saya, memang boleh ditemui. Pun begitu, lebih baik kalian menyibukkan diri untuk fokus kepada orang yang tidak perlu sesiapa mencerca, mencemuh, mengutuk, mempersenda dan mempermainkan orang lain. Hari kalian bersama mereka jauh lebih bahagia berbanding menghabiskan masa dengan saya atau orang lain yang baginya menyakitkan hatinya.

Kemudian, datang kepada saya yang bertujuan untuk mempersenda, mengejek, mencerca dan berkata-kata kesat untuk apa? Jika ingin berbalas yang sama seperti kalian buat, saya tidak ada masa. Masa kita semua terlalu berharga untuk diperuntukkan pada kebodohan ini.

Sejujurnya, saya pun bukan pandai mencarut, mencerca dan berkata-kata kesat seperti kalian sehingga mampu membuat orang sekeliling tertawa berdekah-dekah dan mampu menyakiti orang lain semaksimumnya yang mana kalau kalian boleh membunuhnya dengan cara itu, pasti kalian akan melakukannya.. Saya mungkin orang yang pertama akan kalah dalam bersaing dengan kalian.

Namun, itukah yang kalian ingin buat ketika di mahkamah Allah Ta*ālā di hari akhirat kelak? Penulisan saya akan menjadi hujah saya di hadapan-Nya. Kalau kalian merasakan itu adalah hujah yang ingin dibentangkan di hari akhirat kelak, dipersilakan untuk meneruskannya. Cuma, saya tidak akan menyambung tikam lidah bersama kalian di dunia yang tidak memberi apa-apa manfaat.

Dan kepada kebodohan itukah yang kalian kata itu adalah hujah kalian dalam dakwah? Kalau sekadar mendepani orang lain dengan hanya mencela dan mengaibkan orang lain, itukah nilai ilmu yang dibanggakan? Agama apa yang ingin kalian bawa? Agama cercaan terhadap orang lain yang tidak menyetujui dan menyelisihi kalian?

Kemudian, kalau datang kepada saya untuk mengaibkan saya dan mengetawakannya bersama rakan-rakan sekeliling, saya berharap kalian juga akan lalui yang sama pada saya. Lantas, kalian sendiri rasalah bagaimana perasaan semua penghujahan kalian dinyahkreditkan kerana orang hanya fokus untuk mengaibkan kalian berbanding berinteraksi secara rasional, matang dan objektif. Saya juga mahu pada masa itu, kalian merasa sendiri betapa buruknya apa yang kalian telah lakukan pada diri saya dan orang lain.

Kalau mahu mengaibkan saya di belakang saya, itu saya tidak boleh halang. Cuma, saya paling benci kalau di tempat yang kita boleh berbincang secara elok dan objektif sesama kita seperti muzakarah dan diskusi ilmiah, dibangkitkan isu peribadi semata-mata untuk memperlekehkan penghujahan saya, menyahkreditkan pembentangan saya, menggagalkan kredibiliti saya serta merangkul kemenangan secara kotor, di samping memalukan saya di mata orang ramai.

Saya berdoa kepada Allah untuk orang yang berbuat macam ini agar Allah memperlihatkan aibnya pada orang ramai dan orang ramai akan mempermainkannya sepertimana dia mempermainkan saya. Saya harap pada masa itu dia sedar betapa jeleknya falasi ₍Ad Hominem₎ dalam meja diskusi.

Sudah banyak tempat saya telah memperingatkan bahana buruk falasi ini. Ia adalah falasi yang paling jelek dari kalangan falasi yang lain. Ia memang menjanjikan kemenangan dengan yang paling mudah, tetapi harga yang dibayar sangat tinggi. Bahkan, mungkin iman pengamal falasi ini juga akan tergadai tanpa mereka sedar.

Saya mendoakan sebegini kerana ia adalah keparahan yang ada pada setiap orang tanpa mengira sang ilmuwan atau sang jahil. Saya ingin mereka sedar betapa teruknya peluru falasi ini di meja diskusi secara khusus.

Namun, memandangkan nasihat saya secara baik dan pembentangan secara ilmiah pun tidak diambil berat, saya harap mereka merasa sendiri apa yang saya atau orang lain rasakan ketikamana menjadi mangsa falasi ini agar mereka faham realiti sebenarnya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633983623624867840/celoteh-peribadi-37-untuk-mereka-yang-datang

Celoteh 38 : Mengapa Saya Setuju Seorang Ustaz Perlu Menguasai Bahasa Arab?

Baru-baru ini, saya melihat banyak kempen kesedaran untuk meninggikan kriteria yang melayakkan seseorang itu digelar ustaz atau ustazah, iaitu penguasaan bahasa Arab. Sebenarnya, tidak perlu dikempenkan tentang hal ini pun memandangkan setiap orang tahu bahawa ini sememangnya ilmu alat yang diperlukan bagi mencapai tahap ahli ilmu.

Cuma, kempen ini diperhebatkan kerana berleluasanya ustaz jadian atau pengajar agama yang ekspres atau syeikh palsu yang menjadi tempat rujukan masyarakat, tetapi memiliki banyak kesilapan ilmu yang serius dan menyebarkan salah faham yang parah kepada sekeliling. Salah satu sebabnya kerana dapat dihidu kurangnya penguasaan bahasa Arab. Oleh sebab itu, mereka tidak tahan dengan situasi ini, maka dihebatkan lagi kempen ini supaya orang memilih ustaz atau ustazah yang berkualiti.

Di samping itu, tahap kecelikan dan pendidikan juga yang berubah yang tidak sama sepertimana dahulu telah menyebabkan suasana yang mendesak untuk seseorang yang menjadi ahli ilmu kepada masyarakat untuk meningkatkan lagi kemahiran ilmu. Sudah tentu tidak sesuai diangkat sebagai tokoh ilmuwan dalam masyarakat, tetapi tahap penguasaan ilmu sama sahaja seperti orang awam dan masyarakat sekeliling.

Saya sememangnya setuju bagi ustaz atau ustazah yang aktif berdakwah dan mengajar di pelbagai tempat perlu ada kemahiran dalam ilmu ini. Jika seorang ustaz atau ustazah yang tidak aktif kerana mungkin tidak kerap merantau atau mengajar di tempat seperti terhad di sekolah atau beberapa buah masjid dan surau sahaja, mungkin ini diberikan sedikit kelonggaran berbanding ustaz atau ustazah yang aktif.

Pendapat saya adalah mereka diberikan sedikit kelonggaran, bukan pengecualian. Lebih-lebih lagi jika pengajarnya adalah kebanyakannya terdiri daripada warga kota atau orang dewasa yang memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi.

Maksud kita untuk kemahiran bahasa Arab bukanlah sampai mampu berdebat atau menghasilkan syair dalam bahasa Arab. Memadai untuk mampu membaca kitab Arab tanpa baris.

Sebab utama perlunya penguasaan bahasa Arab adalah kerana mereka menjadi tempat rujuk masyarakat. Orang sekelilingnya dan pengikutnya pula akan menjadikannya sebagai tempat bertanya dan tempat dipegang pandangannya.

Apabila diajukan pertanyaan, sudah tentu ada soalan-soalan yang memerlukan rujukan yang banyak perlu ditelaah, penelitian yang lebih mendalam atau soalan yang di luar latar belakang pendidikan kita. Sudah tentu bahasa Arab sangat diperlukan supaya akses kepada rujukan menjadi lebih banyak dan kebanyakan penulisan yang kritis terbentang dalam karya berbahasa Arab sama ada bentuk kitab, jurnal ataupun artikel. Jika tidak, maka cakupan rujukannya adalah terhad, lalu capaian ilmunya juga akan menjadi terhad.

Jika seseorang itu ingin dilantik sebagai mufti bagi kerajaan, semestinya perlunya penguasaan bahasa Arab. Bagaimana mungkin seorang ustaz atau ustazah yang kata-katanya lebih kerap dirujuk berbanding fatwa rasmi kerajaan atau ustaz atau ustazah itu lebih dikenali berbanding mufti kerajaan boleh memandang sambil lewa terhadap bahasa Arab?

Kemudian, menjadi ustaz pun, kita tidak akan terlepas dari berhadapan dengan pelbagai aliran pemikiran. Debat dan pertukaran idea sememangnya akan bertembung pada banyak masa, lebih-lebih lagi apabila di era globalisasi yang begitu mudah dan pantas pengaliran maklumat dan penyampaian ilmu. Untuk menyaring dan menapis pelbagai data ini, perlunya kemahiran ilmu yang secukupnya. Sudah tentu bahasa Arab adalah ilmu alat yang paling krusial.

Kelak apabila berlakunya diskusi atau penyanggahan kerana berbezanya pendapat, pasti disuruh untuk merujuk sesuatu karya bahasa Arab. Bagaimana jurang kefahaman antara dua atau lebih pendapat dapat didekatkan jika wujudnya kekurangan bekalan dalam bahasa?

Mungkin seorang ustaz atau ustazah boleh menjauhi debat, tetapi pendakwah juga bukan menyuruh kepada kebaikan sahaja, tetapi menegah kepada kemungkaran. Sekarang ini, banyak ideologi dan pemikiran yang sesat dan menyesatkan serta kesilapan yang fatal bertebaran. Tugas ini tergalas di bahu mereka. Mereka adalah pemain aktif dalam masyarakat dan diharapkan keberadaannya dalam mempertahankan kebenaran. Jika bahasa Arab adalah sesuatu yang mencabar baginya, bagaimana lagi jika pemikiran yang berbelit-belit dan berhajat kepada ilmu alat yang kritis?

Lebih baik mereka menangguhkan dahulu pengajaran atau pengajian. Dalami dahulu ilmu bahasa Arab yang merupakan ilmu yang sangat penting lagi mendesak. Ilmu bahasa Arab sebenarnya tidaklah susah, lebih-lebih lagi yang telah pun bergelar ustaz dan ustazah.

Jika mengkhususkan diri selama sebulan, dengan izin Allah, mereka boleh mula membaca kitab Arab tanpa baris. Lagipun, ustaz dan ustazah janganlah malu mempelajari bahasa Arab walau dari pelajar sekolah yang jauh lebih muda. Ia tidak akan lebih memalukan berbanding ke sana ke sini dengan aura keperwiraan, tetapi langsung tidak ada kemahiran asas bahasa Arab.

Bahkan, apa yang disarankan ini sebenarnya untuk kebaikan mereka juga. Bukan untuk menyusahkan atau menyisihkan mereka. Kita mahu mereka mendalami ilmu yang melahirkan pemikiran kritis dan pemahaman yang mendalam pada ilmu agama. Sambutlah saranan yang baik ini. Usah merugikan diri sendiri.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/633997303388192768/celoteh-peribadi-38-mengapa-saya-setuju-seorang

Celoteh 39 : Hipokrit Aswajaean Yang Mengkritik Saya

Sudah tentu saya juga seumpama dengan insan yang lain yang tidak terlepas daripada kritikan sama ada dari aswajaean atau daripada salafi. Saya mengalu-alukan kritikan yang membina kerana itulah yang membantu dalam memperkukuh penulisan saya dan menampakkan kelompongan apa yang saya tidak nampak. Jika benar kritikan tersebut, saya memohon keampunan daripada Allah dan menarik balik pandangan itu.

Cuma, dalam berhadapan dengan kritikan, entah mengapa yang paling keras permusuhan terhadap saya dan dalam masa yang sama sangat banyak penzahiran hipokrit mereka dalam manhaj adalah dari aswajaean. Meski saya juga dikritik oleh warga salafi, tetapi aswajaean adalah yang paling bercelaru dalam pertentangan saya dengannya.

Mereka berang dengan pendapat saya yang tidak didahului oleh sesiapa pun, tetapi mereka juga menyokong dan menjaja tuduhan mujassim terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy yang tidak pernah dituduh sedemikian setelah 1000 tahun setelah kewafatannya.

Mereka menuduh saya tidak menghormati ulama apabila saya membentangkan kritikan dengan hujah ilmiah. Ditambah lagi dengan dipersoalkan pula kelayakan untuk menduduki hak mengkritik ahli ilmu. Malah, seruan kepada al-Quran dan sunnah tidak pula diendahkan atas alasan para ulama lebih memahaminya.

Namun, apabila saya mengikuti dan membela pendapat ulama seperti aḍ-Ḍoḥḥāk bin Muzāḥim dan sekumpulannya yang mengharuskan melancap, pendapat al-Qolyūbiyy dan al-Bujayrimiyy yang menyatakan tidak haram melihat bayangan badan pada air dan cermin meskipun bersyahwat, merekalah paling awal tercabut rasa segan dalam mengutuk. Kemudian, tiba-tiba mahu saya mengikut hujah al-Quran dan sunnah pada hal ini.

Mereka membenci ₍Tatabbu* ar-Ruẖoṣ₎, iaitu menjejaki keringanan atas alasan ia adalah ikutan hawa nafsu, tetapi mereka juga bersikap longgar dan bermudah-mudahan terhadap hadis dhaif yang sememangnya jelas berujuan mempertahankan hawa nafsunya.

Jarang saya ingin menemukan salafi yang hipokrit sebegini. Sungguhpun mereka ada merasa tersentak kerana mendengar pendapat yang tidak didahului oleh sesiapa atau pendapat yang menyalahi mereka atau tokoh mereka dikritik, tetapi apabila diajak untuk menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai hakim dan subjek perbincangan, mereka mudah untuk patuh dan terbuka terhadapnya.

Tidak seperti aswajaean yang memilih-milih. Suatu perkara mereka mahu pendapat ahli ilmu ini diterima tanpa kritik dan suatu perkara yang lain mereka tidak mahu pendapat ahli ilmu tersebut diambil dan perlu diteliti hujahnya. Entah apa kerancuan di kepala mereka.

Sebab itulah saya lebih menyenangi dengan salafi meskipun mereka tidak sependapat dengan saya. Jika diajak untuk transparensi, mereka bersiap sedia untuk melaksanakannya. Apabila ingin berbahas secara objektif, mereka akan memenuhinya dengan baik.

Tidak seperti aswajaean. Jika kita ingin bersikap transparensi untuk bertanya tentang kepastian dalil, itu pun dimarahi dan digertak. Apatah lagi jika diajak untuk berbahas, sudah tentu dicemuh dan ditolak dengan kasar. Keras penentangan mereka adalah didasari kebodohan dan sentimen. Sekurang-kurangnya salafi punyai prinsip yang utuh berbanding mereka yang penuh dengan kucar-kacir.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634165669510971392/celoteh-peribadi-39-hipokrit-aswajaean-yang

Celoteh 40 : Penulisan Saya Bukan Berkaitan Dengan Seks Sahaja

Saya akui bahawa penulisan saya yang mendapat perhatian yang tinggi adalah perbahasan yang berkaitan dengan seks. Mungkin nama saya dengan isu yang berkaitan dengan seks sama ada penulisan ilmiah atau penzahiran erotisisme langsung sama sekali tidak terpisah daripada saya sepanjang hidup ini dan setelah pemergian saya.

Sejujurnya saya tidak menyesal atas apa yang saya lakukan dan perjuangkan. Saya akan menanggungnya di hari akhirat kelak. Penulisan saya akan menjadi saksi pembelaan saya di hari akhirat kelak.

Cuma, saya memohon keampunan daripada Allah jika adanya berlebihan, kesia-siaan atau kesalahan yang saya tidak sedari. Jika ia adalah mampu ditarik balik selagimana saya hidup dan berkemampuan, maka silalah maklumkan kepada saya agar saya membetulkan apa yang salah dan meluruskan apa yang menyimpang.

Apapun, saya ingin nyatakan adalah jika sesiapa yang menelaah penulisan saya, pasti dia akan mendapati bahawa penulisan saya yang tidak berkaitan dengan seks adalah lebih banyak daripadanya. Banyak daripadanya adalah pencerahan tentang manhaj pemikiran, prinsip-prinsip ilmu, perbahasan uṣūl fiqh, hadis, konflik aliran, isu-isu kemasyarakatan dan lain-lain.

Demi Allah! Kalaulah saya diberi kesempatan dan kemampuan oleh Allah untuk menjadi penulis aktif, pasti penulisan saya yang bukan berkaitan dengan seks akan menjadi selautan yang tidak mampu diukur kuantitinya berbanding penulisan tentang seks.

Malah, pada karya yang saya anggap sebagai mahakarya atau magnum opus, saya sama sekali tidak menjulang penulisan yang berkaitan dengan seks meskipun saya menyimpan rasa kebanggaan bersama kesyukuran kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana curahan ketekunan dan kerah penelitian dalam menghasilkan karya yang terbaik.

Antara magnum opus saya adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan *Ilal al-Ḥadīṯ», «Antara Sumber Rujukan Taᶜdil Dan Tajrih Perawi», «Penjelasan Interaksi Dengan Naṣ Yang Berkaitan Dengan Sifat Allah», «Merungkai Paradoks Antara Ketetapan Takdir Dengan Kebebasan Ikhtiar Manusia» dan «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy». Jika saya ingin mengemukakan penulisan yang terbaik saya pun, saya tidak akan mendahulukan penulisan yang berkaitan dengan seks.

Sebab utama saya tidak mengkehadapankan penulisan berkaitan dengan seks adalah kerana ia penulisan yang berorientasikan respons konflik terhadap saya, lebih-lebih lagi berkaitan dengan penglibatan saya dalam erotisisme, bukan atas dasar minat saya yang asli dalam membentangkan dan perkongsian ilmu saya.

Dengan kata lain, penulisan yang berkaitan dengan seks hanya sekadar menjawab tuduhan dan celaan terhadap saya, bukan dalam kerangka mempersembahkan apa yang sebenarnya menjadi dorongan untuk berkongsi tanpa mengira respons balas negatif yang mendatang.

Malah, aplikasi dalam penulisan seks juga banyak mengambil dari kemahiran bahasa Arab, ilmu hadis dan uṣūl fiqh. Dengan kata lain, dalam membahaskan topik berkaitan dengan seks, ia tidak lari daripada ilmu ini. Prinsip dan kaedah pemahaman saya sebahagiannya telah diabadikan dalam penulisan saya yang berkaitan. Saya tidak menulis dengan syahwat, tetapi saya menulis berpandukan ilmu dan hujah ilmiah. Silalah telaah karya-karya saya. Ia adalah bukti bagi kenyataan saya.

Sebab itulah saya juga berpesan dengan tegas bahawa mereka yang membuta tuli mengikut pandangan saya dalam isu seks. Dalami dan mahirkan diri dengan ilmu alat dan kemahiran yang diperlukan sebelum mengambil pandangan saya. Beberapa penulisan saya sudah membantu dari segi pendedahan, tips dan nasihat supaya seseorang mampu mencapai tahap yang dihajatkan.

Sibukkan dengannya dan semoga dengan izin Allah, kalian mampu menelusi perbahasan saya dengan kefahaman yang utuh. Bahkan, mampu memperbaiki bahagian yang saya silap yang saya tidak sedari serta mengungguli apa yang saya tidak mampu mencapainya meski saya berusaha bersungguh untuknya. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak menulis dengan syahwat, tetapi saya menulis berpandukan ilmu dan hujah ilmiah.

Saya berpesan seperti ini kerana inilah pesanan imam empat mazhab dan ahli ilmu supaya tidak bertaklid dan mengambil pandangan secara membabi buta, lebih-lebih lagi mereka yang memiliki kemampuan ilmu dan daya yang besar untuk membuat penyemakan dan penganalisisan.

Silalah semak pendapat saya sama ada menepati al-Quran dan sunnah ataupun tidak. Hidup beragama mesti dengan ilmu dan hujah yang kukuh, bukan syahwat, sentimen, keinginan sendiri atau kepuasan sesuatu pihak.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634493602966454272/celoteh-peribadi-40-penulisan-saya-bukan

Celoteh 41 : Erotikawan Yang Tidak Menerima Pendapat Yang Menyebelahi Erotisismenya

Saya hairan dengan mereka yang suka melayani pornografi dan erotika, tetapi mereka tidak dapat menerima penghujahan saya bahawa ia tidaklah berdosa. Mereka tetap berkeras untuk mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah berdosa yang mana ia dijanjikan balasan buruk daripada Allah! Malah, menuduh saya sebagai menunggang agama demi menggapai keseronokan nafsu dan erotisisme.

Rupanya sama-sama minat pun kadangkala tidak menatijahkan sefahaman. Kadangkala, persangkaan saya bahawa mereka akan mudah menerima penjelasan saya meleset kerana selama ini saya tidak pernah terfikir pun hal itu. Apabila menemukan orang sebegini, maka sememangnya setiap orang memiliki pemikiran yang berbeza-beza walaupun sama minat.

Ada beberapa sebab mereka mungkin tidak dapat mencerna dengan mudah terhadap pendapat saya walaupun ia sebenarnya memihak kepada rutin, kegemaran dan minat mereka.

Faktor utama adalah mereka masih terikat dengan keberagamaan sepertimana yang ortodoks dan menjadi tradisi tempatan. Dimensi kefahaman mereka hanya terhad sepertimana yang dia diajarkan dan sepertimana yang dia lihat pada sekelilingnya. Bagi mereka, pendapat sebegini dilihat asing dan sememangnya reaksi sebahagian orang akan menolak mentah-mentah yang asing pada mereka.

Reaksi sebegini bukan hanya pada erotikawan seperti mereka, tetapi untuk rata-rata muslim selain mereka. Mungkin ini reaksi yang bagus kerana boleh dikatakan keberagamaan sebegini, khususnya di tanah air kita masih di ruangan yang selamat dan boleh dipercayai. Cuma, mereka kurang pendedahan untuk menyoroti wacana yang kritis dan bebas dari belenggu tradisi tempatan.

Mereka mungkin sukar untuk menyatakan bahawa tidak haram melihat aurat yang terpapar di skrin digital sekalipun dibentangkan hujah ilmiah untuknya dan pandangan ulama mengenainya. Persekitaran dan warisan yang mereka terima menentang dan mengingkari sehabis-habisnya.

Cuma, beza erotikawan dan selain mereka adalah mereka berhibur dengan erotika dan pornografi, tetapi mereka masih tetap dengan keyakinan bahawa ia adalah haram dan berdosa. Pun begitu, ini menunjukkan mereka masih ada keimanan yang berbaki dan pegangan yang sedikit teguh dalam beragama serta masih mempercayai autoriti pihak beragama.

Jika kita akan berbalah dengan mereka ini, mereka akan jauh dari penghujahan liberal, khususnya untuk menjustifikasikan keharusan apa yang mereka buat dan tetap bertegas bahawa ia adalah haram, tetapi mereka masih mengakui bahawa mereka adalah insan yang pelaku dosa serta masih mengharapkan hidayah dan petunjuk daripada Allah.

Bagi saya, ini adalah sudut yang positif. Saya memang merasa kurang puas hati dengan ketidakterbukaan mereka untuk pandangan yang lebih utuh yang lebih memihak kepada mereka berasaskan penghujahan yang mapan.

Akan tetapi, mereka mungkin perlu ambil masa untuk mengendurkan diri untuk mengakui realiti bahawa penerimaan agama ini bukan hanya telan bulat-bulat sepertimana yang diajar dan memerlukan ligat intelektual dalam minda supaya seseorang itu beragama di atas jalan yang lurus.

Saya berharap mereka terbuka dan tidak lagi terbeban dengan merasakan dosa yang mereka sebenarnya tidak patut tanggung pun. Malah, sekalipun saya mendapat penolakan daripada mereka pada kali pertama atau beberapa kali, saya masih berharap agar kita dapat terus bersahabat dan terus di atas keteguhan iman yang diredhai Allah serta menuju kepada keberagamaan yang berpaksikan kecelikan lagi progresif.

Antara faktor lain adalah mereka mungkin meragukan kedudukan saya dalam memberi pandangan tentang agama. Saya mungkin tidak dikenali sebagai para agamawan sepertimana yang mereka tanggap dan jika mereka mengenali saya, sememangnya saya terpalit dengan pelbagai pandangan kontroversi, khususnya isu seksual. Pasti mereka akan teragak-agak jika tidak menolak sebegitu sahaja.

Saya faham sebab ini yang menjadikan mereka enggan untuk menerima pandangan yang menongkah arus daripada orang yang bukan ustaz untuk mereka menaruh kepercayaan ilmunya. Ini bermakna mereka mendapat pendidikan yang betul dan merujuk orang yang benar dalam urusan agama.

Pada saya, ini masih sudut positif kerana mereka menahan diri untuk mempercayai ilmu agama daripada orang yang bagi mereka tidak diketahui latar belakangnya dan status kewibawaan ilmunya. Saya akui bahawa saya sememangnya hamba yang hina dina lagi penuh nista yang tidak layak untuk dibandingkan dengan beberapa figura yang menyerlah di luar sana.

Cuma, jika mereka terbekal dengan minda yang kritis sepertimana golongan salafi atau al-Ġumāriyy, mereka mungkin sekurang-kurangnya akan mempertimbangkan pandangan saya jika mereka tidak mahu menolak secara mentah-mentah. Kedua-dua golongan ini akan mengikuti apa sahaja kebenaran dari mana-mana pihak sekalipun dari seteru mereka jika ia menepati kebenaran. Apatah lagi dengan orang yang tidak dikenali sekalipun.

Saya pula bukanlah berhujah secara kosong dan hanya bercakap sembarangan dalam mempertahankan pandangan saya. Rujuk penulisan saya dan semua itu adalah saksi untuk saya sehinggalah di hari akhirat kelak.

Saya mungkin tidak ada gelaran agamawan yang tinggi sepertimana tokoh yang lain dan saya mungkin sahaja orang yang disisihkan dan tidak dihargai lagi dihinakan oleh sekeliling. Namun, saya sedaya upaya membentangkan yang terbaik agar pandangan saya ini tertegak dengan kukuh dan bertahan tanpa digoyahkan oleh sesiapa pun.

Faktor yang lain adalah masalah pada sebahagian agamawan juga yang berfatwa yang sebaliknya semata-mata untuk menjaga kepentingannya. Kita ambil contoh pendapat fuqaha šāfiᶜian tentang ketidakharaman aurat yang diserupakan atau aurat yang bukan hakiki seperti yang menyata di bayangan air dan imej di pantulan cermin.

Pendapat ini terlalu terselindung melainkan orang yang benar-benar tekun meneroka sahaja. Kita tidak akan dengar mana-mana agamawan untuk berfatwa tentang ini sama ada di wahana umum atau selainnya. Mereka pasti akan menjawab bahawa sama sahaja hukumnya pada melihat aurat pada tubuh badan dan yang terpapar di skrin digital.

Walaupun sebahagian agamawan kita sangat fanatik dengan šāfiᶜian dan mengeji sesiapa sahaja yang keluar daripada mazhab ini, khususnya mereka yang tinggal di Malaysia. Akan tetapi, mereka sendiri berfatwa sebaliknya dalam isu ini dan mereka sendiri menyalahi pendapat muktamad mazhab kerana pandangan ini bagi mereka tidak selamat untuk orang sekeliling dan tidak berpihak pada kepentingan mereka.

Persekongkolan mereka tanpa dirancang ini akhirnya masyarakat awam terjauh untuk mendengar pandangan ini, termasuk diri saya pada awalnya kendatipun pandangan ini menepati dasar kebenarannya. Tidak hairan orang ramai akan merasa pelik apabila dikatakan berlainan hukumnya pada aurat yang ada pada anggota tubuh dan aurat yang terpapar pada skrin.

Bukan sahaja orang awam yang akan merasa janggal apabila mengetahui pandangan ini, golongan dari yang literasi tinggi dalam ilmu agama pun sampai lancang menyatakan bahawa pandangan ini adalah syaz meskipun ia adalah pendapat muktamad dalam šāfiᶜian dan ḥanafian disebabkan kedangkalan mereka untuk memahami justifikasinya.

Untuk ini, mereka yang tahu tentang pendapat ini dan meyakini kebenarannya, lebih-lebih lagi yang suka mencela orang lain keluar daripada mazhab šāfiᶜian untuk muhasabah dan sedar bahawa perbuatan mereka untuk berfatwa sebaliknya adalah jenayah terhadap umat semata-mata untuk kepentingan diri atau tipu daya bahawa ia adalah untuk kebaikan umat.

Mereka yang menterhadkan diri dengan hanya pandangan muktamad mazhab dan memperkecilkan yang selainnya, kemudian berfatwa sebaliknya, lalu berkata itu adalah pandangan mazhab šāfiᶜian atau mengaburkannya seolah-olah itulah pandangan mazhab itu menanggung dosa pendustaan yang jelas!

Saya harap para erotikawan faham tentang ini dan mengapa ia menjadi pelik untuk mereka. Jika mereka sedar tentang faktor ini, maka diharapkan agar mereka lebih terbuka untuk melihat di luar tradisi serta tidak tersepit dengan hanya apa yang telah diajar dan diwariskan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/634653384305180672/celoteh-peribadi-41-erotikawan-yang-tidak

Celoteh 41 : Mengapa Saya Yang Pernah Menyelisihi Keseluruhan Ahli Ilmu Membela Dan Menjunjung Mereka Dan Manhaj Mereka?



Bagi yang pernah mengikut penulisan saya, mereka pasti akan dapati yang beberapa pendapat saya tidak didahului oleh sesiapa pun yang sebelumnya atau dengan kata lain, saya berselisih pandangan dari keseluruhan pandangan ahli ilmu terdahulu. Saya pernah mencoretkan pengakuan khas tentang ini di penulisan saya yang berjudul «Diari Diri : Antara Ikutan Ulama dan Pandangan Peribadi Saya Dalam Agama».

Namun, mereka yang menelaah penulisan saya, pasti juga mendapati bahawa saya nyatakan kebersamaan saya dengan keseluruhan ilmuwan muslim dan menjunjung manhaj ilmu mereka yang dibawa. Salah satunya adalah ketika penentangan saya pada golongan batiniah.

Jika mereka tanya saya mengapa, maka saya katakan bahawa biarpun saya menyelisihi pandangan mereka dalam beberapa perkara, bukan bermakna itu cukup merendahkan autoriti mereka dan mencabut kredibiliti mereka dalam kewibawaan mereka. 

Sepertimana kritikan kita pada ahli ilmu yang lain yang sama sekali tidak menatijahkan perlucutan kedudukan mereka, seperti itulah yang terjadi mereka. Saya suka perumpaan yang menyatakan bahawa ahli ilmu ini umpama air dua qullah yang tidak akan menjadi najis hanya dengan beberapa percikan.

Tidak semua orang benar dalam segenap perkara. Saya mencintai dan menghormati mereka setelah terbukti kesarjanaan dan keistimewaan mereka, tetapi jangan sampai dilupakan untuk menjunjung dan menyayangi kebenaran dan manhaj ilmu.

Namun, jika salah pun, belum tentu ia adalah fatal sehingga memusnahkan kepercayaan kita padanya. Hanya satu atau dua isu atau beberapa isu yang tidak begitu parah sama sekali tidak cukup untuk membenamkan kebaikan yang terserlah pada mereka.

Sebeginilah prinsip yang disebutkan Ibn Ḥajar al-Haytamiyy yang berkata :

اعْلَمْ أَنَّ الِاعْتِرَاضَ عَلَى كَامِلٍ بِرَدِّ شَاذَّةٍ وَقَعَتْ لَهُ لَا يَقْدَحُ فِي كَمَالِهِ وَلَا يُؤْذِنُ بِالِاسْتِهْتَارِ بِوَاجِبِ رِعَايَةِ حَقِّهِ وَأَفْضَالِهِ إذْ السَّعِيدُ مَنْ عُدَّتْ غَلَطَاتُهُ وَلَمْ تَكْثُرْ فَرَطَاتُهُ وَزَلَّاتُهُ وَكُلُّنَا مَأْخُوذٌ مِنْ قَوْلِهِ وَمَرْدُودٌ عَلَيْهِ إلَّا الْمَعْصُومِينَ وَلَيْسَ الِاخْتِلَافُ بَيْنَ الْعُلَمَاءِ الْعَامِلِينَ مُؤَدِّيًا لِحِقْدٍ بَلْ لَمْ يَزَالُوا مِنْ ذَلِكَ مُبَرَّئِينَ

"Ketahuilah bahawa pertentangan terhadap orang yang sempurna dengan sanggahan yang ganjil yang terjadi padanya tidaklah dicela pada kesempurnaannya dan tidak diizinkan untuk sewenang-wenangnya dengan sebab kewajipan pengawasan haknya dan kelebihan-kelebihannya memandangkan yang bahagia adalah orang yang berbilang keralatannya, tetapi tidak menjadi banyak gampangnya dan kegelincirannya. Setiap daripada kita diambil daripada kata-katanya dan ditolak ke atasnya melainkan para maksum. Tidak ada perselisihan di antara ulama yang beramal dalam keadaan menyampaikan kepada hostiliti, bahkan mereka terbebas daripada itu". [Al-Fatāwā al-Fiqhiyyah al-Kubrōjilid 3m/s 3keluaran al-Maktabah al-Islāmiyyah].

Sebab itulah walaupun saya menyatakan kritikan saya terhadap mereka, saya tetap menghargai ketulenan manhaj mereka secara keseluruhan, sumbangan mereka terhadap dunia ilmu, kesungguhan mereka untuk berkhidmat demi ilmu dan perjuangan mereka dalam menegakkan kebenaran dan manhaj ilmu yang lurus. Saya banyak mengambil manfaat daripada mereka, merasai kemanisan warisan yang mereka lestarikan dan mempersembahkan kepada saya sesuatu yang tidak mampu saya nafikan keunggulannya.

Sebab itulah jika ada sesiapa yang menyelisihi manhaj ilmu yang sebenar seperti golongan batiniah setelah terbukti kebenarannya, maka saya berdiri teguh bersama mereka. Ya. Majoriti bukan sebab utama saya berdiri bersama mereka, tetapi saya menyatakan bahawa majoriti ini telah membuktikan kebenaran mereka sehingga saya wajib bersama mereka dalam mendukung hal ini. 

Malah, boleh dikatakan bahawa majoriti lebih banyak merangkul kebenaran berbanding yang minoriti. Sebab itulah saya tetap mendakap majoriti meskipun ada beberapa bahagian yang tidak dipersetujui.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/635536847852961792/celoteh-peribadi-42-mengapa-saya-yang-pernah

Celoteh 43 : Manfaatkan Warisan Para Ulama Meskipun Dicela Oleh Mereka

Saya sememangnya ada pandangan yang saya bersendirian padanya dan menyalahi sekalian ulama dalam sesuatu isu. Pun begitu, saya tetap menyarankan setiap orang agar sentiasa iltizam dengan jalan yang ditempuhi oleh para ulama, mengikut manhaj yang mereka bina dan perjuangkan, memanfaatkan karya-karya mereka untuk membenihkan kefahaman yang lurus dalam beragama dan jangan sama sekali mencela atau merobekkan kredibiliti atau meragukan ketulusan mereka dalam menyumbangkan ilmu kepada masyarakat.

Saya sedar yang kalau para ulama yang saya bela, julang dan kagum padanya mengetahui tentang diri saya, pasti sahaja saya akan disergah, dirobek kredibiliti saya dan berusaha untuk menjatuhkan saya. Akan tetapi, jika mereka ini adalah insan yang memiliki gudang ilmu yang besar, penyebar manfaat yang besar kepada umat dan meniti di atas manhaj yang lurus, maka saya tetap akan menyarankan untuk mengambil ilmu daripadanya dan mempelajari daripadanya. Malah, saya tetap akan pelajari daripadanya jika apa yang saya cari ada pada insan ini.

Tidak ada guna menyimpan dendam yang mendalam atau mewujudkan permusuhan sehingga masing-masing ingin menjatuhkan sesama sendiri. Ia tidak menguntungkan umat dan saya pun bukanlah apa-apa jika ingin dibandingkan orang yang telah menempa nama sebagai tokoh dan mengungguli saya dalam banyak aspek. Mereka sedang diuji dengan saya sepertimana Abū Kuroyb diuji dengan Aḥmad bin Ḥanbal. *Abdullah bin al-Warrōq berkata :

عَبْدُ اللهِ بنُ مُحَمَّدٍ الوَرَّاقُ: كُنْتُ فِي مَجْلِسِ أَحْمَدَ بنِ حَنْبَلٍ، فَقَالَ: مِنْ أَيْنَ أَقبَلتُم؟ قُلْنَا: مِنْ مَجْلِسِ أَبِي كُرَيْبٍ. فَقَالَ: اكتُبُوا عَنْهُ، فَإِنَّه شَيْخٌ صَالِحٌ. فَقُلْنَا: إِنَّه يَطْعُنُ عَلَيْكَ. فَقَالَ: فَأَيُّ شَيْءٍ حِيلَتِي، شَيْخٌ صَالِحٌ قَدْ بُلِيَ بِي.

; Aku di majlis Aḥmad bin Ḥanbal. Dia berkata: "Daripada mana kalian menghadap?". Kami berkata: "Dari majlis Abū Kuroyb". Lalu, dia berkata: "Tulislah daripadanya. Sesungguhnya dia syeikh yang baik". Kami berkata: "Sesungguhnya dia selalu mencelamu". Dia pun berkata: "Apa lagi alasanku? Dia syeikh yang baik yang diuji dengan aku". [Siyar A*lām an-Nubalā^jilid 11m/s 317keluaran Mu^assasah ar-Risālah].

Apa yang boleh saya lakukan lagi? Ini adalah ujian Allah kepada saya untuk saya menghadapinya dengan cekal dan redha dengan ketentuannya.

Saya tetap akan mempertahankan pandangan saya walaupun saya dibenci. Selagimana belum ada hujah yang kuat untuk membatalkannya, selagi itulah setiap umat Islam wajib mendakap dengan erat apa yang dia yakini pada keutuhannya.

Pun begitu, bukan bermakna saya tidak akan bertoleransi dengan perbezaan pandangan, lebih-lebih jika ia adalah lapangan subjektif dan ijtihad. Kalau pun ia adalah isu yang tidak dapat ditoleransi, bukan bermakna itu menjadi sebab utama untuk menjatuhkan seseorang. Selagimana kita boleh kekalkan persaudaraan, maka kita tetap pelihara jalinan ini dan berjuang bersama dalam isu-isu agama yang disepakati bersama.

Kalau kita ada pandangan yang bersendirian, lalu apa? Menjadi seorang yang membenci para ilmuwan yang ada di sekeliling kita dan sepanjang sejarah kita? *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- dalam «Ḏawq al-Ḥalāwah Bi Imtinā* Nasẖ at-Tilāwah» mengakui secara bangga dengan memuji Allah bahawa dia menyalahi sekalian ulama dalam isu nasakh pembacaan al-Quran.

Malah, abangnya; Aḥmad menyalahi sekalian ulama salaf dan khalaf dalam isu kebersamaan Allah di mana sahaja hamba-Nya berada. Perkara ini boleh dirujuk kalamnya yang dikumpulkan oleh Ṣōdiq bin Salīm bin Ṣōdiq dalam «Ḏamm al-Ašā*iroh Wa al-Mutakallimīn Wa al-Falāsifah».

Namun, adakah mereka berdua menjadi pembenci para ulama dan memusuhi setiap apa yang datang daripada ilmuwan yang tidak senada dengannya? Tidak sama sekali! Bahkan, mereka menghidupkan tradisi para sarjana pendahulu mereka, mencadangkan pembacaan kitab mereka dan mengambil manfaat daripada karya mereka sekalipun amat tegas dalam penentangan terhadap ketaksuban, perlawanan kepada taklid yang tercela dan seruan kepada pengamalan ikutan kepada sunnah.

Tidakkah kita boleh meneladani tokoh seperti ini dalam bermanhaj dan berinteraksi dengan para ulama? Oleh itu, tetaplah kita ambil apa yang menjadi ketetapan para ulama dan hargai warisan mereka, di samping wajibnya kita berdiri di atas minda yang kritis supaya agama kita berteraskan dalil dan ikutan kepada sunnah, bukan hanya penyandaran kepada tokoh semata-mata.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/635589105988894720/celoteh-peribadi-43-manfaatkan-warisan-para

Celoteh 44 : Saya Sudah Letih Untuk Menjaga Reputasi


Benar. Manusia ini ada yang seperti lebah yang suka menghinggap ke kelopak bunga. Ada yang seperti lalat yang suka menghurung kepada najis. Lebah diumpamakan orang yang sentiasa peka dengan kebaikan diri kita, manakala lalat diumpakan orang yang sentiasa menggeledah kesalahan, kekurangan dan aib kita.

Apabila menyedari bahawa manusia ini ada yang seperti lalat, fahamlah mengapa hidup ini agak mustahil untuk mencari redha dan kepuasan seluruh manusia. Berbuat baik dan berbakti dengan penuh tulus sekalipun, jika seseorang sememangnya mahu menjadi lalat, apa lagi yang boleh dibuat?

Kadangkala, apabila kita mengkritik pemimpin politik, kita pasti akan dituduh bahawa kita akan berpihak pada suatu parti politik. Walhal, saya dan mereka yang lain yang menjadi mangsa seperti ini hakikatnya tidak pernah berpihak dengan mana-mana parti pun. Mereka yang mengenali lama saya dan orang lain tersebut, pasti akan menafikan hal ini.

Kadangkala, apabila sudah menjadi lalat yang tegar, kesalahan-kesalahan yang kecil yang boleh dimaafkan atau sekadar isu teknikal sahaja juga diperbesar-besarkan seakan-akan ia adalah malapetaka yang meruntuhkan tamadun.

Misalnya, tersilap ejaan pun mahu dijadikan modal untuk mengetawakan orang lain. Namun, pernahkah mereka memuji kita apabila jutaan ejaan kita yang tepat? Tidak pernah pun. Mereka sememangnya lalat yang suka mencari keburukan.

Kadangkala, meskipun sudah menegur dengan cara yang paling manis, sopan dan lunak pada bahasa dan pertuturan serta paling baik akhlaknya pun masih lagi sukar untuk dihadam, diterima dan diberikan layanan yang baik. Itu pun masih dikata bahawa kita ini tidak beradab kerana tidak sependapat atau mengkritik orang lain. Sememangnya lalat tidak mahu memerhati inti yang baik dari nasihat. Yang dipedulikan adalah sikap kita yang menyelisihinya dan tidak menyetujuinya.

Kadangkala, sesuatu kesilapan itu sudah kita peringatkan berkali-kali yang mungkin mencecah puluhan atau ratusan serta kesilapan itu adalah sesuatu yang besar dan serius yang telah banyak kali kita hadap. Kita terpaksa menggunakan suara yang lantang dan bahasa yang agak tajam supaya memberi bekas kepada pelaku tersebut agar mereka beringat. Lantas, mereka berkata kita kurang kesabaran dan tidak berbudi.

Padahal, kita telah lama pun bersabar dan memberikan peringatan secara baik beberapa kali sebelum mereka berkata sedemikian. Namun, kemarahan kita barangkali sudah kemuncak kerana telah berleluasa atau telah berulang kali sehingga kelunakan tidak boleh lagi digunakan. Daki yang melekat sesungguhnya perlu disental dengan kuat.

Samalah seperti kita sudah luluh hati dan bersikap berjaga-jaga apabila kita telah banyak kali ditipu orang yang berhutang dengan kita. Akhirnya, apabila ada orang meminta hutang dari kita, lalu kita bersikap cerewet dan enggan memberi, kita akan dikata bahawa kita ini bakhil, tidak memahami kesusahan orang lain dan lain-lain. Padahal, kita adalah pemiutang yang disakiti. Pengalaman lepas mengajarkan kita tentang sikap manusia.

Seperti itulah situasi dalam nasihat. Pengalaman lalu mengajarkan bahawa nasihat yang cukup baik pun diambil mudah dan dipandang kecil. Akhirnya, apabila kita mula menukar cara pendekatan dengan memberikan teguran secara keras, kita dikata bahawa kita tidak beradab dan bersopan. Sedangkan kesopanan kita kita seperti dipinggirkan, dibuli dan dipandang ringan.

Bukan bermakna sepanjang masa kita bersikap panas baran dan kasar hanya kerana kita sudah letih untuk menjaga reputasi. Saya katakan bahawa jika seseorang datang ke sini untuk menjadi lebah, maka kita akan memberi layanan seperti lebah. Jika seseorang datang ke sini untuk menjadi lalat, maka kita akan memberi layanan seperti lalat.

Jika datang ke sini dengan tujuan yang murni, maka kita akan tolong untuk beri nasihat secara baik dan bantuan secara ihsan. Jika datang ke sini dengan tujuan yang bobrok, maka hadaplah apa yang kita akan berikan. Jika kami masih boleh memberikan layanan yang baik, itu adalah hari tuahnya. Jika tidak, maka semak semula apa tujuan anda ketika datang ke sini.

Kalau datang ke sini dengan tujuan yang murni, tetapi saya tetap bersikap kasar, maka saya meminta maaf dan saya memohon keampunan daripada Allah. Saya ini juga manusia. Kadangkala, saya juga berhadapan dengan hari yang buruk dan gelojak perasaan yang kacau-bilau sehingga menyebabkan pertimbangan kita terganggu. Kadangkala, pengalaman yang trauma dan pahit juga menyebabkan saya terpaksa bertindak sebegini semata-mata untuk berhati-hati atau berdasarkan keseriusan tahap masalah itu.

Saya pun sudah lesu untuk memberi perhatian kepada reputasi. Lebah akan menceritakan kebaikan tentang saya. Lalat akan menceritakan keburukan tentang saya. Memang akan dua versi cerita saya. Namun, adakah benar? Boleh jadi kedua-duanya benar kerana saya memberikan layanan kepada mereka yang bersesuaian dengan mereka.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/639244965142315008/celoteh-peribadi-44-saya-sudah-letih-untuk

Celoteh 45 : Mengapa Saya Tidak Setuju Bahawa Pilihan Muzik Adalah Citarasa Peribadi?

Sebahagian orang berkata: "Pilihan muzik adalah citarasa peribadi. Lagipun, muzik boleh berubah dari semasa ke semasa sepanjang generasi. Sudah menjadi kebiasaan yang generasi terdahulu akan meluat dengan lagu kegemaran generasi sekarang".

Saya secara peribadi tidak setuju dengan kenyataan ini. Bagi saya, muzik adalah cerminan kepada personaliti diri seseorang. Dengan kata lain, personaliti seseorang akan membentuk citarasa muziknya.

Terutamanya setelah saya bergaul dan memerhati pengguna Tiktok, Instagram, peminat K-pop dan generasi sekitar generasi Baby Boomer dengan generasi X yang awal. Ia penuh dengan dunia ketololan simper, sang jalang murahan, sang miang yang candal, hipster yang bedegong, pendukung minda Barat, normi yang dangkal minda, aliran kiri yang bangsat dan pahlawan keadilan sosial yang keparat. Ini semua menjadi jelas di mata saya ke mana pilihan muzik bagi mereka semua ini.

Jika anda termasuk orang yang agak tidak berkenan dengan kelompok ini, anda pasti akan sedar jenis muzik kegemaran dari kalangan kelompok mereka ini.

Kebetulankah? Tidak! Ia adalah pola yang tekal yang dikongsi secara meluas yang tiada siapa yang mampu menafikannya.

Sebab itulah kebanyakan muzik pop dan trendi, terutamanya yang menjadi pilihan pengguna TikTok dan Instagram adalah muzik yang saya jauhkan diri. Sebab utamanya adalah saya tidak mahu mengenangkan bedebah-bedebah ini.

Saya selalunya tidak ingin berkata bahawa sesuatu muzik itu adalah sampah, tetapi saya terpaksa membuangnya semua itu ke tong sampah kerana saya mahu membebaskan minda saya dari terkenang mereka ini.

Ya. Sesiapa yang mengenali saya, pilihan muzik saya adalah genre metal dan beberapa dari rock. Beberapa sahabat saya yang berkongsi pandangan tentang kelompok yang disebutkan tadi juga mungkin memilih genre yang lain.

Namun, kami semua sepakat bahawa kami meluat dengan muzik yang digemari oleh kelompok tadi. Kami semua menuju kepada muzik yang mereka ini tidak akan mengambil berat terhadapnya atau hanya sedikit tahap kesukaanya padanya.

Kita memilih haluan yang berbeza bukan kerana mengikut rentak orang ramai atau fanatik dengan komuniti yang kita bina, tetapi kerana kita berkongsi nilai yang sama dan memahami maknanya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/639272855903813632/celoteh-peribadi-45-mengapa-saya-tidak-setuju

Celoteh 46 : Cabaran Saya Dalam Memahami Ilmu Agama

"Ilmu agama ini tidaklah sukar. Hanya sahaja bahasa dan pengungkapan sahaja yang menjadi cabaran". Begitulah bisikan di jiwa saya. 

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah dengan setinggi-tinggi kesyukuran dan sebanyak-banyak pujian kepada-Nya yang menganugerahkan saya kefahaman dan membimbing saya agar memperoleh khazanah-khazanah ilmu yang berharga. Semuanya dorongan dan kekuatan dari tangan-Nya.

Dengan limpah kurnia-Nya yang tidak berbilang banyaknya, saya dibukakan banyak pintu kefahaman untuk saya meraih pelbagai bahagian daripada banyak ilmu yang merata bertebaran. Dengan izin-Nya dan saya panjatkan puji-pujian kepada-Nya, saya menguasai bahasa Arab, mampu mengamati perbahasan uṣūl fiqh, mendalami kupasan dalam ilmu hadis dan mengaplikasikannya dalam penulisan saya. Meskipun sedikit dan minimum di mata orang lain, tetapi cukuplah itu saya mengucapkan segala puji bagi-Nya Yang Maha Pemberi lagi Maha Pengasih, kemudian segala puji bagi-Nya.

Dengan kekuatan-Nya yang dibekalkan kepada saya, saya telah pun menelaah beberapa karya-karya Arab yang berkaitan dengan ilmu agama sama ada tesis, artikel dan kitab; klasik dan moden. Segala puji bagi-Nya, saya mampu memahami konsep, gambaran dan hala tuju pada perbahasan dalam karya tersebut. 

Pembacaan saya mungkin tidaklah sebanyak daripada orang yang berdiri bersama kejaguhan dan kegemilangan, namun sepanjang penelusuran saya, dengan izin-Nya, saya dapat menadah beberapa isi yang terkandung daripadanya. Segala puji bagi tuhan sekalian alam.

Cuma, yang menjadi cabaran bagi saya adalah bagaimana untuk memperoleh pemahaman di sebalik ungkapan yang sebahagiannya rumit, berbelit, berbunga, bombastik dan lain-lain. Saya kadangkala mengambil beberapa waktu untuk pecahkan kod-kod yang mengaburkan keefisyenan pemprosesan mata saya pada esensi kefahaman tersebut.

Jurang yang saya hadapi ketika ini bukanlah kurangnya kefahaman latar belakang sesuatu perbahasan meskipun sebahagiannya adalah sedemikian. Jurang yang saya hadapi adalah bagaimana untuk memahami pengungkapan dan penyusunan ayat yang sebegitu sehingga saya dapat menghubungkan titik isi kepada titik isi yang lain yang  dapat saya cerna dengan kehendak-Nya.

Ketikamana saya berjaya menyahkodkan kerumitan tersebut, di jiwa saya lantang berkata: "Rupanya tidaklah sukar perbahasan ini. Hanya cara pengungkapan kalimah sahaja yang menjadi rintangan. Mengapalah saya tidak memahami dengan cara sebegini dari awal tadi?".

Sememangnya saya merasa teruja dan gembira atas perolehan kefahaman yang telah berjaya dibuka dengan kurnia-Nya. Dari masa itu juga saya pelajari bahawa pengungkapan bahasa merupakan cabaran besar buat saya.

Saya seperti di situasi Reisi Munakata dalam anime K: Seven Stories, episod 1 yang berkata: "Dalam kebanyakan kehidupanku, aku mampu untuk memahami hampir semua perkara dengan intuisi. Apa makna setiap perkara dan bagaimana perkara itu sepatutnya menjadi. Aku memahami apa yang betul dan apa yang salah. Seperti apa seseorang itu dan posisi apa yang sesuai untuk mereka. Sekalipun demikian, satu soalan yang merunsingkan selalu sahaja membingungkan aku. Siapakah aku?".

Seperti itu jugalah situasi yang saya hadapi. Dengan segala puji Allah atas segala limpahan-Nya, saya dapat menerobos isi perbahasan dalam setiap peringkat sekalipun adakalanya berhadapan dengan cabaran. Namun, yang selalu sahaja saya hadapi kerunsingan adalah pengungkapan dan bahasa. Ia bagaikan saya perlu menyusun pazel jigsaw untuk suatu gambar yang mudah.

Malah, ini juga apa yang disebutkan Abū Ḥāmid al-Ġozzāliyy :

وإذا أنت امعنت النظر واهتديت السبيل عرفت قطعاً أن أكثر الأغاليط نشأت من ضلال من طلب المعاني من الألفاظ، ولقد كان من حقه أن يقدر المعاني أولاً ثم ينظر في الألفاظ ثانياً، ويعلم أنها اصطلاحات لا تتغير بها المعقولات. ولكن من حرم التوفيق استدبر الطريق، ونكل عن التحقيق.

"Apabila engkau memperdalam pemerhatian dan mendapat petunjuk jalan itu, engkau mengenali secara pasti bahawa yang paling banyak kecelaruan terbit adalah dari sebab kesesatan orang yang mencari makna daripada lafaz-lafaz itu. Betul-betul sememangnya haknya adalah menentukan makna-makna itu pada awal, kemudian dia melihat pada lafaz-lafaz itu pada seterusnya. Dia akan mengetahui bahawa ia adalah istilah-istilah yang tidak berubah perkara yang dapat dicerna akal dengannya. Akan tetapi, sesiapa yang diharamkan runtunan, pasti dia akan dibelakangkan jalan itu dan ditinggalkan kebolehdapatan tu".  [Al-Iqtiṣōd Fī al-I*tiqōdm/s 20keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah].

Sememangnya benar apa yang disebutkan ini. Mengapa perlu faham makna dahulu sebelum melihat lafaz? Ini kerana lafaz sekadar medium penyampaian kepada makna. Ia seperti lisan yang mengungkapkan sikap sebenar sanubari. Ia seperti seseorang yang memberikan keizinan kepada kita, tetapi dari segi reaksi, nada dan intonasi, kita menyedari bahawa keizinannya bukan semestinya ia redha atau menyukainya.

Atas sebab itulah adakalanya tidak boleh bergantung kepada lafaz atau ungkapan semata-mata jika kita ingin tahu makna yang dia memaksudkan atau pendirian seseorang dalam suatu isu. Hala tuju konteks dan cerapan yang dikehendaki penulis atau penutur lebih utama untuk didahulukan berbanding lafaz yang tersusun.

Namun, adakalanya lafaz boleh menjadi hijab, penghalang dan penyukar untuk menggapai maksud sebenarnya. Kadangkala lafaz menunjukkan keizinan, tetapi hakikatnya dia tidak meredhainya. Kadangkala penggunaan lafaz seperti memuji, tetapi sebenarnya menyindir. Kadangkala lafaz seolah-olah mengambil kira penghujahan lawanya, tetapi tidak bermakna dia bersetuju. Kadangkala dia mendiamkannya, tetapi dia memperakui pandangan itu. Begitulah seterusnya.

Saya tidaklah menyalahkan para penulis yang menggunakan ungkapan yang sukar dan penyusunan kalimah yang kompleks. Boleh jadi bagi mereka atau menurut zaman dan tempat mereka, itulah pengungkapan dan cara penyusunan yang biasa difahami oleh segenap lapisan masyarakat. Hanya sahaja saya mungkin berada di latar belakang yang berbeza sehingga berlaku jurang antara pemahaman memahami gaya pengungkapan.

Begitu juga faktor latar belakang dan peribadi seseorang itu mempengaruhi cara pengungkapan. Apabila seseorang itu ahli sastera, maka kesan-kesan pengungkapan yang bersastera akan dirasakan pengaruhnya. Apabila seseorang itu ahli undang-undang, maka kesan-kesan pengungkapan yang informatif dan unsur-unsur tegas serta penggunaan kalimah yang formal akan terlekat dalam penulisannya. Begitu juga seterusnya. Orang yang berlainan bidang mungkin akan merasakan jurang kefahamannya.

Lagipun, saya bukanlah orang Arab dan bahasa Arab bukanlah bahasa ibunda saya. Malah, saya tidak menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi secara kerap kecuali jika saya berinteraksi dengan orang Arab.

Oleh sebab ungkapan bahasa Arab ini agak asing daripada saya dalam banyak keadaan, saya berhadapan dengan cabaran ini. Saya berdoa kepada Allah agar membantu saya untuk dirapatkan jurang yang terpisah antara saya dengan maksud penulis.

Saya ada impian bahawa saya akan menulis semula semua ilmu usul yang penting dalam agama dengan bahasa yang mudah difahami agar semua orang yang di luar sana dapat manfaat bersama. Saya bersyukur kepada Yang Maha Pemurah kerana menganugerahkan saya kemudahan kefahaman dalam banyak perkara sehingga mampu menggali isi yang tertanam pada kambusan lembaran tinta.

Cuma, saya berharap agar nikmat ini dapat dan berasa patut dikongsi bersama kerana di ada di antara kita sangat mendambakan mencicipi kefahaman sepertimana yang kita telah nikmati.

Saya juga berdoa agar dengan kefahaman yang diperoleh, kita semua secara amnya terus menjadi hamba-Nya yang bersyukur, sentiasa terpandu dalam hidayah-Nya, diangkat darjat kerana terbekal pertambahan ilmu dan kefahaman serta kekal di atas jalan yang lurus di dunia dan di akhirat. Bagi yang belum menguasai bahasa Arab, saya berdoa agar Allah mempercepatkan kalian untuk mencapai hajat yang telah lama terpendam.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/643803698932400129/celoteh-peribadi-46-cabaran-saya-dalam-memahami

Celoteh 47 : Kejelekan Falasi Argumentum Ad Verecundiam


Kenyataan ini daripada sekular liberal yang mendakwa muslim. Dia bukan daripada mana-mana aliran yang dominan sama ada ašᶜarian atau salafi. Malah, kedua-dua aliran ini tidak akan berani mengaku secara terbuka bahawa dia adalah sekular.

Apapun, cuba lihat bagaimana dia bermain falasi ₍Argumentum Ad Verecundiam₎. Disebabkan nama-nama tokoh itu berpendapat dengan apa yang dia menuju padanya, maka untuk mengelakkan diri daripada dikritik dan ditolak pandangannya, maka sebeginilah cara dia bermain untuk menyatakan bahawa dia tidak bersalah dan kononnya berdiri di atas ilmu.

Ini sememangnya mengingatkan saya bagaimana aswajaean bermain falasi sebegini. Tidak berbeza cara sindirannya apabila mempertahankan pendapatnya dan menyindir mereka yang berbeza pendirian dengannya. Dengan memetik nama-nama ahli ilmu yang besar pengaruhnya, maka nama-nama mereka ini digunakan untuk mencela lawannya dan merobekkan nilai hujahnya.

Sudah banyak tempat saya mengingatkan tentang bahaya falasi ini. Setiap kali saya mengingatkan falasi ini, saya dituduh tidak menghormati ulama, biadap terhadap para sarjana dan berlagak pandai. Bermacam-macam hamburan celaan yang jelas menunjukkan bahawa hujah yang saya utarakan tidak bermakan di sisi mereka.

Sekarang tengoklah bagaimana sang sekular ini bermain falasi yang sama cara bermainnya dengan aswajaean. Rasa jelek? Sedemikianlah selama ini yang mereka lakukan. Jika merasakan falasi ini jelek, maka fahamlah mengapa bernilainya hujah yang ilmiah.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/644106318351876096/celoteh-peribadi-47-kejelekan-falasi-argumentum

Celoteh 48 : Pembuktian Nilai Diri Saya Dalam Sumbangan Ilmiah

Saya sudah biasa menjadi mangsa serangan ₍Ad Hominem₎. Ia sudah sememangnya menjadi makanan ruji apabila saya menyertai atau diheret dalam diskusi, malah debat. Cara mudah untuk mendiamkan saya supaya saya tidak terus bercakap lagi atau menjatuhkan kredibiliti saya atau menyahkreditkan nilai hujah saya adalah dengan membangkitkan erotisisme yang ada pada saya.

Itu sahajalah modal yang sang menyedihkan ini dapat mereka persembahkan kepada orang ramai untuk mengaut kemenangan di mata orang ramai dan mengangkat diri sebagai wira di mata masyarakat. Atau itu sahajalah cara untuk mereka tidak mahu mengakui hujah di sisi pihak lain atau menutup keingkaran mereka terhadap hujah yang ditegakkan ke atas mereka atau alasan supaya mereka ada justifikasi yang kebenaran seolah-olah masih belum jelas.

Saya tidak menafikan bahagian erotisisme. Namun, untuk mengatakan saya seolah-olah tidak ada apa-apa yang dapat membuktikan nilai ilmu saya adalah sesuatu yang perlu saya tepis. Dengan segala puji bagi Allah, penulisan saya yang telah saya siapkan dengan izin-Nya menjadi bukti dan saksi kepada orang ramai sama ada benar atau tidak kesungguhan saya dalam menabur bakti untuk ilmu dan kebenaran. Silakan para pembaca untuk meneliti penghujahan saya dan bagaimana saya menegakkan hujah saya dalam membuktikan kebenaran pandangan saya dengan objektif dan adil.

Dan dengan segala puji bagi Allah, saya menghasilkan penulisan yang belum pernah dihasilkan secara tuntas di Malaysia dengan bantuan-Nya dan kekuatan-Nya. Antaranya adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan *Ilal al-Ḥadīṯ». Ini adalah penulisan yang pendedahan kaedah-kaedah asas dalam memahami ilmu *ilal al-Ḥadīṯ dengan melihat secara praktikal secara mendalam.

Antaranya adalah «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah». Ini adalah penulisan yang membahaskan secara tuntas dalam mempertahankan pandangan ulama ḥanbalian dalam mengisbatkan huruf dan suara bagi kalam Allah. Antaranya adalah «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy». Ini adalah penulisan yang komprehensif yang mempertahankan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy dari dituduh secara keterlaluan oleh golongan ekstrimis.

Demi Allah saya bersumpah! Ketiga-tiga judul penulisan ini adalah penulisan berbahasa Melayu yang pertama di Malaysia secara khusus. Buktikan pada saya yang sebelum 2021, sudah ada karya yang khas sebegini di Malaysia. Jika tiada, saya berharap penulisan saya yang berjudul «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah» dan «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy» adalah yang pertama di nusantara. Kemudian, saya mengharapkan judul «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Sa*īd ad-Dārimiyy» adalah yang pertama di dunia.

Apapun, saya bukannya ingin membesar-besarkan diri atau mengangkat diri sebagai ahli ilmu yang setara dengan mereka yang lain yang dijulang tinggi. Apa yang dikurniakan pada saya adalah milik Allah Tabāroka Wa Ta*ālā semata-mata. Saya hanya cuma membuktikan harga diri saya yang diperlekeh dan tidak dihargai.

Saya tidak ada masalah jika ada orang memandang remeh terhadap apa yang ada diri saya, lebih-lebih lagi kerana tidak mengenali saya. Namun, apabila tiba masanya, saya perlu mempertahankan diri saya dari terus dicela dan dicemuh seolah-olah saya tidak ada sesuatu yang dapat dibanggakan dalam sumbangan kepada ilmu dan seolah-olah saya hanya mengambil sambil lewa untuk menjustifikasikan pendirian saya.

Mungkin saya dicemuh kerana erotisisme. Saya faham tentang itu dan saya tidak ada masalah jika seseorang tidak mahu menerimanya. Saya ada pendirian saya tentang hal itu dan mereka ada sudut pandang mereka. Namun, saya juga akan cuba sedaya upya yang ikhlas kerana Allah untuk menyumbangkan ilmu.

Saya berharap ketiga-tiga judul penulisan itu sudah cukup membantu dalam memenuhi apa yang masyarakat begitu memerlukannya dalam pendedahan bahagian ilmu tersebut. Saya harap saya telah melaksanakan tanggungjawab saya untuk menampal kelompongan yang belum dilakukan oleh ilmuan tempatan kita.

Banyak lagi penulisan saya yang lain yang mungkin sudah diperhebatkan oleh tokoh-tokoh di luar dan saya sekadar membantu untuk mengembangkan dan membela mereka apabila saat diperlukan. Saya mungkin dilihat seperti biasa atau mungkin teruk di mata mereka yang mengenali sudut erotisisme saya, tetapi saya akan buat yang terbaik untuk sumbangan ilmiah walaupun saya tidak begitu diambil berat kerana khidmat saya hanya untuk Allah dan kebaikan diri saya sendiri, seterusnya mereka yang ingin mengambil manfaat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/644495292419522560/celoteh-peribadi-48-pembuktian-nilai-diri-saya

Celoteh 49 : Antara Dakwah Saya Dengan Penzahiran Erotisisme

Ada sebab mengapa saya mewacanakan ilmu-ilmu agama dengan menzahirkan erotisisme. Tujuan saya adalah saya mahu mereka semua yang erotikawan ini tidak mahu merasakan ada jurang antara agamawan dengan erotikawan.

Saya lihat mereka semua ini enggan untuk mendekati hal ehwal yang berkaitan dengan agama atau jika mereka terbabit dalam isu agama pun, mereka tidak mahu mendalaminya. Mereka merasakan bahawa tindakan mereka berdosa dan orang seperti mereka tidak layak untuk menjamah santapan-santapan keagamaan yang hanya dinikmati oleh golongan yang mereka fikirkan alim, warak dan soleh.

Justeru, saya datang kepada mereka dengan pendekatan erotisisme ini untuk membetulkan salah faham kepada mereka bahawa orang seperti mereka pun boleh mencicip kemanisan hidup beragama, meneroka ilmu agama lebih tuntas, menjadi orang yang memiiliki sentimen beragama dan bersama-sama berjuang untuk agama sama ada melalui lisan atau tindakan mereka.

Saya juga mendekati mereka dengan pendekatan ini untuk menyatakan bahawa erotisisme yang menjadi hobi dan kegemaran mereka bukan semuanya berdosa. Cuma, memerlukan pelarasan dan penjelasan tentangnya. Setelah mereka memahami tentang hakikatnya, saya harap mereka boleh terus dengan aktiviti mereka secara terkawal tanpa perlu menjauhi dan mengabaikan ilmu agama yang membimbing dan memantapkan.

Walhasilnya, saya melihat mereka ini mula ada rasa minat untuk mempelajari ilmu agama apabila saya berkongsi tentangnya. Mereka ada kemahuan untuk meneliti kupasan subjek agama yang lebih dalam dan kompleks apabila saya membahaskannya dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya.

Mereka tidak merasa segan untuk menyatakan apa yang benar tentang agama. Mereka tidak merasakan pun pemisah yang pahit antara mereka dan agamawan. Segala puji bagi Allah. Semoga Allah melimpahkan kekuatan untuk menjadi faqih lagi hamba-Nya yang soleh.

Saya tahu pendekatan saya ini ditentang oleh banyak pihak. Mereka sukar untuk menerima bahawa mereka ini bahawa erotisisme dan agama ini sesuatu yang boleh disepadukan. Saya hormati pendirian mereka. Cuma, apa yang saya lakukan adalah bukan untuk orang awam secara keseluruhan, tetapi khusus untuk para erotikawan ini. Dan apa yang saya lakukan ini ada justifikasinya dan saya telah menjelaskannya dalam beberapa penulisan.

Jika disebut pemakaian seperti kopiah, jubah dan serban atau pakaian yang khas memberikan tanggapan imej agamawan, saya sememangnya memakainya apabila ke masjid dan surau untuk solat berjemaah atau menghadiri kuliah atau kelas keagamaan.

Mungkin hanya di media sosial atau sebatas pada waktu dan tempat tertentu sahaja untuk saya menzahirkan erotisisme.Cuma, kalau menjadikan pakaian seperti itu sebagai satu-satunya aras tanda kewibawaan seseorang dalam ilmu agama dan keberagamaan seseorang, maka ini tidak benar sama sekali.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/644803466100899840/celoteh-peribadi-49-antara-dakwah-saya-dengan

Celoteh 50 : Pelajaran Saya Dari Insan Yang Jiwanya Dipalingkan Allah Dari Kebenaran

*Abdullah al-Qoṣīmiyy adalah antara ilmuwan ultrasalafi yang terbilang di tanah Arab dan semasa zamannya. Pernah juga mendapat sosok gelaran Ibn Taymiyyah yang kedua. Aktif mempertahankan salafi, khususnya dakwah Muḥammad bin *Abdul Wahhāb.

Kitabnya yang berjudul «aṣ-Ṣirō* Bayna al-Islām Wa al-Waṯaniyyah» adalah karya yang kebanggaannya dan karya yang dikagumi para ulama salafi di tanah Arab. Melalui karya ini, ia mendapat pengiktirafan yang terbilang daripada para ulama.

Imam Masjid al-Ḥarōm ketika itu; *Abdul Ẓōhir Abū as-Samḥ mendendangkan syair yang memuji melambung-lambung terhadapnya kerana karya ini. Syair ini tersemat dalam akhir judul muka surat kitab ini pada jilid satu. Malah, sebahagian ulama berkata bahawa al-Qoṣīmiyy telah membayar maharnya untuk ke syurga dengan kitab ini!

Namun, pengakhiran hidupnya agak mendukacitakan seluruh dunia. Dia telah menjadi ateis dan menjadi penentang terhadap apa yang dia pertahankan dan binakan dahulu. Tidak diketahui sebab dia memilih untuk murtad memandangkan tiada perakuan daripada lidahnya sendiri mengapa dia memilih sedemikian. Yang ada hanyalah andaian-andaian yang cuba menjelaskan sebabnya dan semua itu tidak begitu dipastikan.

Sangatlah sedih jika ini berlaku pada tokoh muslim yang bukan calang-calang orangnya dan menjadi panutan orang ramai. Apabila Allah berkehendak untuk memalingkan jiwa seseorang daripada iman, tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Jika ini berlaku pada tokoh yang teguh memempertahankan tauhid, maka apatah lagi kita yang mungkin kurang sentimen keagamannya jika dibandingkan dengan dirinya. Kita lebih terdedah dengan bahaya seperti ini. Walaupun kita bukanlah sama-sama aliran, kita perlu bersedih kerana ini berlaku pada saudara kita, lebih-lebih lagi tokoh kenamaan.

Berdoalah sebanyak-banyaknya kepada Allah agar tidak memalingkan jiwa kita daripada iman. Sebesar mana pun dosa kita, jangan berhenti meminta ampun dan jangan berputus asa daripada rahmat-Nya. Jangan sama sekali melalaikan doa kita kepada Allah agar sentiasa meneguhkan jantung kita dengan Islam sehingga akhir hayat.

Pemalingan jiwa ini juga berlaku pada mentor kebanggaan saya. Saya banyak mengambil pelajaran dan inspirasi daripadanya. Dia benar-benar merubah hidup saya sehingga diri saya yang sekarang ini adalah daripada kesan-kesan daripada cetusannya. Saya amat mendalam meneladani corak pemikirannya dan mengumpulkan sebanyak yang mungkin penulisan-penulisannya untuk mencapai darjat sebagaimana yang dia telah rangkulkan untuk dirinya.

Dengan izin Allah, dengan ketekunan saya, saya dinobatkan sebagai anak muridnya. Penobatan ini adalah sesuatu yang istimewa kerana dia sangat sukar untuk menobatkan ini kepada sesiapa sahaja. Hanya beberapa orang sahaja yang terpilih untuk dinobatkannya.

Cuma, pada suatu hari, dia menjadi orang yang keterlaluan dan melampaui batas. Saya sampai tidak tahu apa yang ada di fikirannya. Namun, saya tetap bersangka baik bersama rasa pahit bahawa apa yang dia justifikasikan itu memiliki asas dan hujah. Lama-kelamaan, setelah lama saya pendam perasaan gelisah dan benci, sedangkan dia tetap dengan kerancuannya, saya memilih untuk meninggalkannya dan tidak mengikutinya lagi.

Sungguh menyedihkan dia menjadi orang yang menentang apa yang dia binakan dahulu dan apa yang dia ajarkan pada saya. Akhirnya, saya perlu memilih untuk berdiri di kaki sendiri dan memiliki prinsip yang jelas dalam ikutan terhadap kebenaran.

Sudah tentu saya sedih kerana orang yang menjadi tokoh yang saya julang tinggi, kini saya begitu malu untuk menyebut namanya. Saya kadangkala cuba jenguk untuk ambil tahu perkembangannya terkini. Namun, dia masih di takuk yang sama.

Pun begitu, peristiwa ini mengajarkan saya supaya kita perlu memiliki pendirian yang diyakini pada diri untuk selamat di dunia dan di akhirat. Kita tidak boleh bertaklid buta dan bergantung kebenaran hanya pada pandangan seseorang.

Kita perlu berusaha sedaya yang mungkin untuk menjadi independen dan tidak berharap kepada manusia, tetapi sentiasa setia dengan Allah dan berpaut kepada jalan yang ditempuhi Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam-.

Ini juga nasihat saya kepada para pembaca dan sahabat-sahabat yang lain. Apabila membaca penulisan saya, jangan mudah terikut-ikut. Cari lompong sedaya yang boleh. Setelah yakin bahawa saya berpihak pada kebenaran, maka ambillah pandangan saya. Malah, saya sama sekali tidak menggalakkan orang yang mengikuti pandangan saya tanpa menguasai bahasa Arab, ilmu uṣūl fiqh dan ilmu hadis.

Mengapa saya berpesan sedemikian? Kalau suatu hari Allah palingkan jiwa saya -kita berlindung kepada Allah daripada musibah ini-, sekurang-kurangnya kalian kekal dengan prinsip yang jelas dan ilmu yang terbekal di dada kalian. Janganlah sampai sama-sama jadi sesat kerana terlalu fanatik atau taksub dalam mengikuti pandangan seseorang. Setialah dengan al-Quran dan sunnah, bukan seseorang.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/645677958085902336/celoteh-peribadi-50-pelajaran-dari-insan-yang

Celoteh 51 : Mengapa Saya Tidak Mempercayai Bercinta Setelah Bernikah?

Saya sebenarnya secara peribadi tidak percaya kepada cinta selepas bernikah, lebih-lebih jika perancangan itu adalah untuk jangka masa panjang atau sepanjang hayat. Saya lebih percaya kepada persahabatan menuju kepada pernikahan. Ia bermula dari salam perkenalan, kemudian hubungan persahabatan, seterusnya kerapatan dan sehinggalah kepada keintiman. 

Mengapa sedemikian? Sebab saya mempercayai keserasian adalah faktor penting untuk penyatuan antara suami dan isteri, seterusnya kepada pembinaan rumah tangga.

Dalam membina mahligai cinta, kita perlu ada perancangan. Kalau katakan takdir kita akan hidup bersama selama 50 tahun, sudah tentu perancangan semestinya mega dan teliti. Tidak boleh hanya sekadar membaca bismillah dan bertawakkal, lalu membabi buta dalam bertukang.

Untuk menjayakan pembinaannya, semestinya kita memerlukan keserasian antara dua insan. Ada pelbagai perkara yang perlu dipadankan dan disefahamankan bersama supaya projek pembinaan tersebut sentiasa dalam keadaan terjaga, terkawal, terselia dan akhirnya membawa kepada kebahagiaan hidup secara bersama, secara harmoni dan secara seragam.

Banyak perkara yang masing-masing perlu ambil berat dan ambil tahu. Perancangan kewangan, masa hadapan anak, pola pemikiran atau ideologi dan lain-lain. Jika ini tidak diselesaikan dengan lebih awal, ia akan menyebabkan pelbagai kesulitan.

Saya pernah mendengar cerita bahawa apabila sang isteri melahirkan anak, barulah dia tahu bahawa suaminya seorang antivaksin. Apa jadi? Sudah tentu berlakunya konflik. Siapa yang akan merana?

Anak daripada benih kita. Mahukah anak kita yang mengenangkan sengsara hidupnya di kemudian hari berpunca kebodohan ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka? Mahukah anak kita merasa sesal hidupnya tersepit dalam kesukaran sambil menyalahkan takdir dan menudingkan puncanya kepada ibu bapanya yang dungu?

Sebab itulah saya berprinsip bahawa keserasian merupakan teras utama bagi pembinaan rumah tangga. Kita tidak boleh bermula dengan kosong. Kita perlu bermula dengan perancangan yang disefahami bersama. Lebih baik kita berkahwin dengan orang yang telah kita kenal lama dan memiliki kerapatan daripada mempercayai sesuatu yang tidak berdasar yang digubah dengan pelbagai aroma seni untuk menutup risikonya yang terlalu tinggi.

Jangan berkahwin dengan orang yang tidak kita kenal walaupun zahirnya seperti menepati ciri-ciri agamawan yang soleh. Kita tidak tahu bagaimana aliran agamanya, pandangannya tentang vaksin dan pelbagai sudut lagi.

Usah membahayakan diri dengan pelbagai soalan yang penting yang tidak terjawab. Kita sedang memilih kebahagiaan hidup kita dan dalam masa yang sama kita sedang membuat perancangan untuk zuriat kita. Pilih yang lebih meyakinkan untuk menuju kepada kebahagiaan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/645678578445533184/celoteh-peribadi-51-mengapa-saya-tidak

Celoteh 52 : Antara Sebab Saya Tidak Kritik Berhadapan



Gambar ini mengingatkan saya yang orang bertanya mengapa saya tidak mengkritik secara berhadapan dan terus menyerang daripada belakang. Saya katakan mereka itu sendiri yang tidak ingin membenarkan saya untuk mengkritik secara berdepan.

Apabila saya menegakkan hujah saya, yang dibalas mereka cumalah bermain ₍Ad Hominem₎. Membangkitkan isu-isu peribadi yang tidak ada kena mengena dengan hujah pun. Setiap kali saya ke sana, pasti saya akan dipermainkan, disindir, diejek, dicela dan dicemuh.

Apa manfaat lagi jika ingin masuk ke wilayah mereka dan dirikan penentangan saya di sana? Tidak ada guna pun kalau akhirnya memang orang tidak mahu dengar dan hanya disambut untuk sebagai objek dicela dan dipermainkan.

Tinggalkan sahajalah orang bodoh sebegini. Khinzir memang suka melumurkan diri dalam najis dan apabila kita cuba bergusti dengannya, kita juga akan sama-sama dilumuri najis dan itulah yang disukai khinzir.

Malah, adakalanya sebahagian orang ini sememangnya mudah memblokir orang lain dan memadam komen yang menegurkan sehingga ramai beberapa daripada yang menegurnya diblokir dan komennya dihapuskan apabila disampaikan berhadapan. Kalau begini, maka apa faedahnya jika kita menulis panjang yang akhirnya ia tergantung dalam senarai blokir dan dibuang komennya melalui butang padam?

Kalau ini yang berlaku di media sosial yang mana semua yang menegur di profilnya atau saluran rasminya disekat dan tidak diendahkan, bagaimana mungkin ini dapat direalisasikan dengan pertemuan bersemuka dan bertentang mata?

Bahkan, sebahagiannya pula sememangnya sudah dikenali dengan kepala batunya dan keras kepalanya sepanjang hayatnya sekalipun sudah disuarakan beberapa kali setiap kali sesi pertemuan. Dalam situasi sebegini, hanya di tangan Allah sahajalah kekuasaan untuk merubah jiwa seseorang.

Adakalanya, kita bukannya bacul. Namun, beberapa pertimbangan yang diambil berdasarkan audien, situasi, tempat, latar belakang, untung rugi, masa yang diambil dan lain-lain. Kita tidak mahu mencurah air ke daun keladi. Lebih baik kita mengalirkannya ke tanaman yang lebih bermanfaat untuk kita tuai pada masa akan datang.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/645678886310559744/celoteh-peribadi-52-antara-sebab-saya-tidak

Celoteh 53 : Menepis Falasi Ad-Hominem Terhadap Saya



Falasi ₍Ad Hominem₎ adalah cara yang paling mudah untuk merangkul kemenangan dan memeprtahankan kedegilan diri. Cukuplah membangkitkan isu peribadi yang dapat memburukkannya, lalu dijadikan itu sebagai modal untuk menyahkreditkan penghujahan seseorang serta meruntuhkan kredibiliti daripada seseornag itu.

Tidak perlu sentuh hujah dan tidak perlu mengerahkan minda untuk menyelidik dan membina hujah. Tidak perlu sibuk untuk menjawab balas hujah. Cukup bermain isu peribadi.

Cara permainan ₍Ad Hominem₎ ini sama seperti orang yang berkata: "Saya ragu dengan kemampuan tinju kamu kerana kamu berpihak pada parti politik tertentu. Memandangkan ini adalah latar belakang kamu, maka sayalah pemenang dalam pusingan ini!".

Sebegitu mudah untuk mendakwa kemenangan tanpa melihat terdahulu bagaimana kemampuannya bertinju. Hanya dengan memalukan atau mengejeknya pada isu peribadi, maka seseorang itu memperoleh kejayaan menurut arah tujuannya secara mudah.

Cara ini sama seperti ketika perbincangan atau debat. Dia meragukan kemampuan ilmu seseorang dengan hanya membangkitkan isu-isu yang tiada kaitan dengan hujah seperti penampilan, sanad pengajian dan seumpamanya.

Tujuannya adalah jelas. Sama ada kerana degil tidak mahu mendengar hujah pihak lawan atau mahu mempertahankan keingkarannya dengan menutupnya melalui pengungkitan isu peribadi yang dengan itu, dia menjustifikasikan bahawa kebenaran seolah-olah tidak jelas di matanya dan di mata orang lain kerana isu peribadi yang ditiup-tiupkan.

Sudah banyak kali saya mengingatkan kebobrokan dan kejelekan falasi ini. Ia bukan sahaja jenayah dalam ilmu dan melanggar adab-adab ketika berdiskusi, malah ia adalah pengundang dosa kesombongan yang melayakkan seseorang itu ke neraka. Sehingga kepada penulisan ini pun saya terpaksa ulang lagi peringatan terhadap falasi kerana betapa jahatnya orang yang menggunakan falasi ini dan betapa gamblangnya orang menggunakannya demi meraih kemenangan yang mudah.

Saya sudah biasa terkena falasi ini, lebih-lebih lagi jika orang tahu latar belakang saya yang erotikawan. Biasanya mereka menggunakan falasi ini untuk mendiamkan saya dan mempermainkan saya. Mereka tidak mahu pandang hujah yang saya kemukakan dan mereka mahu melarikan diri daripada pembentangan saya.

Namun, saya serahkan kepada para pembaca untuk menilai penulisan saya yang telah pun saya paparkan dan persembahkan secara percuma untuk para pembaca. Adakah benar seperti gambaran daripada yang orang bermain falasi ini? Allah adalah sebaik-baik penilai.

Malah, penulisan saya ini akan menjadi saksi dan pembela saya di hari akhirat kelak dan ia akan menjadi hujah saya di hadapan Yang Maha Adil. Kalau mereka yang bermain falasi ini sebagai hujah untuk dijawab di akhirat, dipersilakan.

Biar saya perkenalkan penulisan yang bagi saya adalah antara opus magnum bagi saya. Yang pertama adalah «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Dan *Ilal al-Ḥadīṯ». Yang kedua adalah «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah». Yang ketiga adalah «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Saīd ad-Dārimiyy».

Demi Allah saya bersumpah! Ini adalah karya yang belum pernah dihasilkan secara tuntas dan mendalam sebelum saya di tanah air kita, iaitu Malaysia secara khususnya.

Dan saya juga mencabar mereka untuk membuktikan bahawa sebelum 2021, sudah ada karya atau penulisan yang komprehensif sebegini. Saya cabar untuk membuktikan telah ada penulisan yang membahaskan ilmu kemahiran asas *ilal al-Ḥadīṯ secara mendalam di Malaysia sebelum judul penulisan saya «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Dan *Ilal al-Ḥadīṯ» pada tahun 2021.

Saya cabar untuk membuktikan yang perincian perbahasan isu isbat huruf dan suara bagi kalam Allah telah pun ada di nusantara sebelum penulisan saya «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah» pada tahun 2021.

Saya cabar untuk membuktikan bahawa terdapat penulisan khas yang mempertahankan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy di dunia secara mendalam sebelum judul penulisan saya «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Saīd ad-Dārimiyy» pada tahun 2021.

Jika benar-benar tiada, maka semoga ini menjadi bukti khidmat yang terbaik dari saya dengan bantuan Allah dan izin-Nya demi keredhaan-Nya dan umat Islam yang ingin mengambil manfaat. Saya tidak ada hak untuk mendakwa semua ini hasil daripada tangan saya sendiri tanpa kekuatan yang Dia anugerhakan kepada saya. Saya tidak ada hak untuk berbangga dengan apa yang telah saya usahakan tanpa mengikat kesyukuran saya kepada-Nya.

Apa yang saya bentangkan di sini bukan untuk mengangkat diri secara bongkak, tetapi untuk mempertahankan diri daripada direndahkan dan dipermainkan. Seolah-olah saya tidak ada nilai yang berguna langsung. Saya buktikan di mana dan apa nilai saya dalam menabur bakti dalam bidang ilmu dalam kupasan, penjelasan dan penghujahan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/645734424930074624/celoteh-peribadi-53-menepis-falasi-ad-hominem

Celoteh 54 : Komentar Kalian Yang Membina Meningkatkan Mutu Penulisan Saya

Saya begitu mengalu-alukan komentar kalian yang membina untuk penulisan saya demi melestarikan mutu penulisan saya. Tidak terhad tentang pengejaan atau isu-isu teknikal, tetapi kepada kandungan penghujahan dan keabsahan pandangan tersebut. Ada beberapa sebab saya begitu mengalu-alukan komentar yang membina.

Pertama, kadangkala saya menulis mengikut rentak saya, tetapi kadangkala saya juga alpa, mengabaikan bagaimana tahap yang sebetulnya dalam berinteraksi dengan pembaca yang ingin saya terangkan padanya. Kadangkala, mungkin ia mudah difahami menurut saya, tetapi ia rumit untuk orang lain sehingga saya perlu mengolah semula cara penjelasan.

Kadangkala, terlalu pendek bagi sebahagian orang, tetapi bagi saya ia cukup padat untuk menjelaskannya atau kerana ia adalah ringkasan atau intisari dari judul penulisan yang lain sehingga saya perlu tambah lagi beberapa ayat bagi mengisi kelompongan tersebut. Kadangkala, mungkin terlalu panjang bagi sebahagian orang, tetapi bagi saya, ia sememangnya perlu dijelaskan dengan cara demikian sehingga saya perlu mempertimbangkan untuk pengolahan semula.

Komentar kalian barangkali akan membantu saya melihat bahagian yang kurang yang mungkin saya tidak menyedarinya atau tidak mengambil kira.

Kedua, adakalanya bertambah pengetahuan saya tentang sesuatu perkara dengan izin Allah dan segala puji bagi-Nya atas limpah kurnia tersebut. Pertambahan itu sama ada pertambahan maklumat seperti nukilan atau idea yang baharu atau bahagian yang dikenalpasti kelompongannya. Namun, disebabkan kesibukan saya, selalunya saya tidak sempat melakukan suntingan semula terhadap isi-isinya dalam penulisan sehingga kadangkala saya terabai akibat badai kesibukan.

Sebahagian penulisan saya juga ada yang telah bertahan bertahun-tahun lamanya tanpa disunting atau disemak semula secara kerap, namun tidak disedari kesilapan dan kekurangannya. Boleh jadi komentar kalian akan membuahkan peringatan kepada saya untuk menggesa melakukan suntingan terhadap penulisan tersebut secepat yang boleh supaya para pembaca yang lain tidak terlepas atau terabai dengan pertambahan yang baharu daripada saya.

Ketiga, kemungkinan juga ada pandangan saya tentang sesuatu perkara telah saya tarik balik -semoga Allah mengampunkan saya atas kesilapan saya- atau ia agak keterlaluan sehingga ia memerlukan penyuntingan, tetapi saya tidak berkesempatan untuk menyemak semula penulisan tersebut.

Malah, barangkali saya telah melakukan kontradiksi antara satu penulisan saya dengan penulisan saya yang lain tanpa saya sedar -semoga Allah menghindarkan saya daripada musibah ini-. Atas sebab inilah saya mengalu-alukan komentar kalian supaya saya dapat memperbetulkannya.

Sebab itulah saya selalu berpesan agar tidak mengikut bulat-bulat penulisan saya tanpa mencari kelompongannya terlebih dahulu sehinggalah kalian berpuas hati apabila ia adalah benar. Bentangkan komentar dan kritikan jika ada. Mudah-mudahan ia memberi faedah kepada saya dan juga mutu penulisan.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/646605657425018880/celoteh-peribadi-54-komentar-kalian-yang-membina

Celoteh 55 : Benarkah Saya Tidak Menekankan Adab?

Sebahagian orang menuduh saya dengan mengatakan bahawa saya tidak menekankan adab. Ini adalah sejelas-jelas fitnah yang dilemparkan kepada saya.

Sudah banyak tempat saya mengingatkan tentang bahasa bermain falasi dan terjebak dengan bias kognitif seperti ₍Ad Hominem₎, ₍Argumentum Ad Verecundiam₎, kesan Kontras dan pelbagai lagi. Semua ini adalah akhlak dan disiplin bagi minda supaya kita dapat menilai ilmu dengan pemikiran yang lurus serta dapat berwacana dengan lebih objektif. Di mana pula saya tidak menekankan adab yang begitu penting sekali ketika berdiskusi, malah berdebat?

Saya juga mengingatkan di banyak tempat agar merujuk kepada al-Quran dan sunnah serta dasar-dasar ilmu yang jitu lagi mapan sepertimana yang diserukan oleh para ulama sunnah daripada dahulu sehingga sekarang. Mereka semua menyeru untuk menjauhi ketaksuban dan sentiasa menunaikan hak-hak ilmu dan kebenaran. Di mana pula saya mengatakan bahawa saya tidak menekankan adab?

Saya juga menyeru untuk merujuk kepada karya-karya salaf yang khususnya bernuansakan penentangan terhadap jahmian seperti «H̱olq Af*āl al-*Ibād» karya al-Buẖōriyy, «as-Sunnah» karya Aḥmad bin *Abdullah bin Ḥanbal, «as-Sunnah» karya Abū Bakr al-H̱ollāl dan pelbagai lagi yang lain. Ini semua supaya kita ada neraca yang betul dan hakim yang adil dalam mencitrakan manhaj salaf dalam isu-isu sifat Allah. Adakah seruan seperti ini bukan adab kepada neraca ilmu?

Banyak lagi yang lain khususnya yang berkaitan dengan interaksi kita dengan ilmu. Semua ini supaya kita semua sentiasa melazimi disiplin dan adab ilmu agar minda kita sentiasa sihat lagi terlatih dengan teguh agar berfikir secara sistematik, menaakul secara berperaturan dan menilai dengan kematangan.

Walaupun saya berpenampilan erotikawan, saya juga pernah menyatakan bahawa untuk menjaga kehormatan tempatnya dengan berpakaian yang elok. Jika ke masjid, saya menekankan untuk memakai pakaian yang terbaik, elok dan indah. Jika ke majlis ilmu, maka pakailah yang sesuai dengannya. Begitu yang seterusnya. Di mana pula saya tidak menekankan adab?

Jika hanya ingin mengatakan adab pada kelunakan tutur kata, kemanisan bicara dan penampilan semata-mata, ingatlah bahawa tidak menunaikan hak-hak ilmu dengan mengikuti kebenaran dan menilai atas neraca ilmu adalah kebiadapan dan kelancangan. Tidak ada guna pun tutur kata yang lunak, bicara yang manis dan penampilan yang beraurakan agamawan, tetapi di lidahnya terbit dengan hadis-hadis palsu, riwayat yang batil dan pendapat yang menyalahi kaedah ilmu yang sejati.

Kadangkala, kata-kata yang kasar juga apabila kena pada tempatnya, ia adalah kesaksamaan. Ini boleh sahaja didapati dalam beberapa karya yang khusus atau sisipan yang memfokuskan kritikan. Lihat bagaimana kritikan keluarga al-Ġumāriyy dan kritikan terhadap mereka pun sudah memadai. Hujah tetap dilawan dengan hujah. Namun, kadangkala kata-kata kasar ini juga perlu digunakan supaya membekas dalam peringatan.

Kemudian, kalau saya tukar penampilan kepada yang dimahukan orang, hujah saya tetap sama dan tidak berubah. Hanya penampilan luaran sahaja yang berbeza. Dan apa guna kalau saya tukar penampilan kalau seseorang hanya ingin mencampak kad falasi dan menghamburkan bias kognitif? Ia bukan masalah saya lagi, tetapi masalah orang lain yang tidak tahu jaga adab ilmu dan perbincangan, tetapi asyik ingin menjadi polis adab terhadap orang lain!

Saya tidak ada masalah pun untuk memenuhi permintaan untuk merubah penampilan untuk perbincangan bersama tanpa rasa kekok. Namun, ia adalah sia-sia dan membuang masa jika hanya ingin bermain falasi. Saya pernah sahaja datang dengan penampilan yang diingini orang, tetapi akhirnya saya dijadikan subjek celaan, permainan, persendaan dan mangsa ₍Ad Hominem₎ yang sama sekali tidak bertujuan untuk menghargai penghujahan saya. Apakah itu masalah saya sekarang?

Benar. Saya tidak banyak penulisan yang berkaitan dengan kezuhudan, kewarakan, kesolehan, kesungguhan ibadah dan seumpamanya. Ini kerana sudah banyak penulisan dari orang lain yang sehingga saya tidak berhajat untuk menulisnya.

Malah, kebanyakan daripadanya yang saya akan sekadar mengongsikannya dan mengiyakannya sahaja kerana kebanyakan kandungannya adalah benar. Untuk apa lagi saya menulis lagi jika penulisan yang telah membicarakan segalanya yang ingin saya bicarakannya?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/646905689181143040/celoteh-peribadi-55-benarkah-saya-tidak

Celoteh 56 : Saya Tetap Akan Menulis Walaupun Saya Bersendirian

Walaupun saya seperti bercakap, malah melalak seorang diri, saya tetap akan menyampaikan dan berkomunikasi dalam bentuk penulisan sehala meskipun tiada siapa yang menjadi audiens. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari kemudian.

Al-Buẖōriyy di hujung hayatnya menjadi insan buangan dan tidak diberikan perhatian yang sewajarnya melainkan sedikit. Setelah pemergiannya, barulah karya-karyanya dijulang dan diangkat tinggi. Dia mungkin tidak dapat melihat kejayaan, apatah lagi kemanisan capaian itu, tetapi dia telah pun menikmati saham pahala yang terus bercucuran sehingga hari kiamat.

Sebab itu, suatu hari jika dengan izin Allah yang penulisan saya mendapat perhatian orang ramai dan mungkin setelah saya mati yang mungkin beberapa puluh tahun kemudian setelah itu barulah dapat perhatian, saya cuba meninggalkan wasiat, pesanan dan jawapan-jawapan kepada yang dijangkakan akan menjadi pertikaian buat saya sebanyak yang boleh supaya seseorang telah mendapat penjelasan yang secukupnya serta lontaran persoalan dan pertikaian kepada saya telah pun dijawab terlebih awal.

Saya tidak dapat menjangkakan hal ini, tetapi sekurang-kurangnya membuat persiapan untuk pada masa hadapan jika Allah kehendaki ianya berlaku. Barangkali persiapan saya pada hari ini akan berguna pada hari kemudian. Kata pepatah Melayu: "Sediakan payung sebelum hujan".

Pun begitu, semua yang lakukan adalah kerana Allah dan menabur bakti kepada bidang keilmuan semampu yang saya boleh dengan pemberian daripada-Nya. Saya tidak mengharapkan pujian dan sanjuangan daripada saya.

Saya tidak mengharapkan pemikiran saya dikaji sepertimana tokoh-tokoh yang lain melainkan jika Allah melapangkan kepemurahan-Nya untuk mengganjari bonus tersebut. Yang penting, saya akan buat yang terbaik meskipun saya bersendirian dan meskipun saya tidak meninggalkan pengikut.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/646960852278312960/celoteh-peribadi-56-saya-tetap-akan-menulis

Celoteh 57 : Antara Hasil Apabila Saya Memperkenalkan Manhaj Keluarga al-Ġumāriyy


Saya pernah mengongsikan kepada beberapa kenalan saya tentang manhaj keluarga al-Ġumāriyy yang menyeru kepada ijtihad, membebaskan diri daripada taklid yang tercela dan menentang ketaksuban mazhab meskipun mereka meraikan mazhab mālikian, tetapi ada beberapa bahagian mereka menyelisihinya. Malah, mereka juga memmbawa perubahan kepada dunia kesufian dengan menepis riwayat yang batil, penafsiran yang menyeleweng dan pengamalan yang menyalahi sunnah serta memartabatkan ilmu hadis dalam kalangan sufi.

Kalau para sufi mengetahui hakikat manhaj keluarga al-Ġumāriyy ini, pasti akan berubah perspektif kesufian mereka yang tidak hanya terhad melihat pada pergeseran salafi dan sufi. Misalnya sepertimana testimoni gambar ini yang merupakan komen salah seorang kenalan saya yang aswajaean dan menentang wahabi.

Segala puji bagi Allah kerana sudi mengerahkan usaha untuk mengkaji pemikiran keluarga al-Ġumāriyy ini melalui perkongsian saya. Mudah-mudahan ia bermanfaat dan memberikan cetusan perspektif yang baru dalam bidang keilmuan.

Dari testimoni ini, jelas bahawa untuk menjernihkan kesufian dan menapisnya tidak memestikan adanya pemisahan antara sufi dan aliran lain. Malah, sesama sufi juga boleh mengkoreksi dan mengkritik pandangan sufi yang lain berdasarkan metodologi yang mapan dalam ilmu agama.

Ini baru salah satunya. Ada banyak lagi yang lain yang membuktikan kesungguhan keluarga al-Ġumāriyy untuk mereformasikan dunia kesufian dengan bersikap kritis dan objektif.

Kalau para sufi tidak mahu mengambil pelajaran, mungkin yang paling ekstrim sekali adalah menuduh keluarga al-Ġumāriyy ini adalah golongan aswajaean, tetapi berbaju wahabi. Sebab bagi mereka, yang mengkritik kesufian ini hanya dari golongan salafi sahaja.

Sememangnya ini kebanyakan para sufi. Mereka hanya meraikan keluarga al-Ġumāriyy kerana mereka berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam-, sufi, ahli hadis dan menentang al-Albāniyy dan wahabi. Namun, obor perjuangan mereka dalam membawa pembaharuan dalam kesufian dengan menepis riwayat batil, menyanggah penafsiran yang menyeleweng dan menentang pengamalan yang menyalahi sunnah serta melawan ketaksuban mazhab langsung tidak diendahkan oleh para sufi. Entah kerana hanya mengenali keluarga al-Ġumāriyy secara selapis tanpa menelaah karyanya atau mereka membelakangkannya kerana ia tidak sesuai menurut kepentingan mereka.

Sebab itu, saya tidak akan hairan jika sufi ini sukar menelan kenyataan bahawa *Abdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dalam «Iršād aṭ-Ṭōlib an-Najīb Fi Mawlid an-Nabiyy Min al-Akāḏīb» ini menyatakan hadis Nūr Muḥammad yang merupakan penciptaan awal adalah palsu. Saya juga tidak hairan jika mereka ini juga sukar menghadam kritikan *Abdullah al-Ġumāriyy ini terhadap Ibn *Arobiyy yang menyatakan keimanan Firaun ketika di ambang kematiannya dalam kitabnya «Bida* at-Tafāsīr» dan di beberapa tempat yang lain untuk pelbagai isu. 

Malah, *Abdullah al-Ġumāriyy dalam muqaddimah kitab «Awliyā^ Wa Karōmāt» menyatakan bahawa apabila kitabnya ini didengari oleh kebanyakan orang, pasti dia akan dituduh sebagai orang yang cenderung kepada wahabi kerana kitab ini banyak memaparkan penolakan terhadap kisah karamah para wali Allah yang diada-adakan oleh pelampau sufi.

Abangnya; Aḥmad al-Ġumāriyy adalah orang yang paling dibenci oleh golongan pentaklid selain daripada wahabi sepertimana yang disebut oleh murid *Abdullah al-Ġumāriyy; Maḥmūd Sa*īd Mamdūḥ. [Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=492624834485128&id=100012128473491].

Begitu juga jika mereka juga akan merasa tercengang apabila membaca «az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh» karya Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang banyak mengkritik pengamalan sufi yang sesat. Kalaulah sesiapa yang membaca kitab ini tanpa mengenali penulis ini, pasti orang akan sembarangan menyatakan bahawa penulisnya adalah jurucakap kepada wahabi!

Malah, karya-karya adiknya; *Abdul Ḥayy al-Ġumāriyy pada hampir keseluruhan judulnya yang sangat keras, tajam dan radikal terhadap pentaklid ini sememangnya tidak akan disenangi oleh mana-mana aswajaean yang sudah selesa dengan tradisi ini. Apabila berbahas dalam fiqh tanpa mengenali penulisnya, pasti dia juga akan dianggap sebagai wahabi yang benci kepada keterikan kepada suatu mazhab, giat aktif mengetuk pentaklid serta banyak mengkritik imam dan ulama mazhab.

Bagaimana mungkin seseorang yang mendakwa pengagum keluarga ini dan beriltizam di atas jalannya, tetapi masih berbicara seperti aswajaean yang pekat taklidnya, enggan untuk kritis dalam berijtihad dan sanggup menjadi pentaksub kepada sesuatu golongan semata-mata tidak mahu dilabel wahabi?

Inilah sebabnya mereka enggan menerima hakikat perjuangan keluarga ini, apatah lagi ingin mengambil pelajaran dan menyematkannya menjadi dasar perjuangan. Ini kerana ia mampu merobohkan semua atau mungkin kebanyakan dasar keseronokan fantasi yang mereka teguk dalam praktik kesufian mereka. 

Sebab itu mereka meninggalkannya atau berpura-pura tidak tahu kerana ia tidak bermanfaat untuk mereka. Hanya memilih bahagian yang tertentu sahaja untuk mengekalkan ketaksuban mereka seperti penentangan terhadap al-Albāniyy.

Sikap ketaksuban ini dilihat jelas bagaimana mereka mengkultuskan dan mengkuduskan kesemua yang daripada dari tokoh zuriat baginda yang menyandang al-Ḥabīb. Apabila kita mengkritik mereka yang telah jelas silapnya, mereka pasti akan bermain falasi ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ dengan mengatakan: "Fulan ini keturunan Rasulullah" semata-mata untuk membenamkan hujah lawan, mempertahankan kedegilan dan mengkuduskan apa yang terbit daripada mereka. Seolah-olah keturunan baginda tidak ada neraca ilmu yang boleh ditimbang dan terbebas daripada hak-hak ilmu yang wajib diikuti bagi setiap Muslim.

Sebegitukah mereka akan ucapkan di hadapan Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang juga berketurunan baginda kalau dia masih hidup?

Inilah dampak apabila mereka melecehkan perjuangan keluarga ini. Mereka gagal menjadikan akal mereka berfungsi untuk meneliti sama ada benar atau tidak yang terbit daripada seseorang itu. Jalur al-Ḥabīb telah mendominasi sehingga pemikiran keluarga ini ditenggelamkan dari ikutan dan pemerhatian mereka sehingga ia hanya tinggal sekadar nama, bukan warisan perjuangan dan kesan ilmiah yang memberikan bekas di jiwa. Akhirnya, mereka yang al-Ḥabīb ini yang enggan menelusuri jalan yang ditempuhi oleh keluarga ini menjadi terjebak dengan kejahilan dan penyelewengan tanpa mereka sedar.

Darah baginda yang mengalir di tubuh mereka dijadikan modal untuk menjaja tipu daya dan penyimpangan dari landasan ilmu serta membekukan akal dari pemikiran yang kritis. Sufi yang membawa kebatilan diberi toleransi dan riwayat yang batil menjadi dendangan dalam penyampaian agama. Apakah ini yang akan diredhai oleh keluarga al-Ġumāriyy yang juga berketurunan baginda dan sufi?

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/647032870906544128/celoteh-peribadi-57-antara-hasil-apabila-saya

Celoteh 58 : Saya Dan Khidmat Kepada Ilmu

Saya bukan ulama atau tokoh yang sesiapa pun boleh angkat saya setaraf dengan ahli ilmu kebesaran. Saya akui hal itu dan inilah yang perlu saya tegaskan. Saya cumalah penuntut ilmu yang sudi berkongsi ilmu dengan sebaik yang saya mampu semata-mata untuk mencari redha-Nya dan menabur bakti dalam bidang ilmiah.

Usah mengharapkan banyak perkara daripada saya. Saya bukan tempat rujuk fatwa ataupun untuk menjadi seseorang yang orang ramai berpusu-pusu untuk mendapatkan pandangan daripada saya. Kalau ada orang ingin berbuat sedemikian, saya akan menyarankan untuk mencari ahli ilmu yang lain yang jauh lebih berpengalaman dan lebih mendalam ilmunya daripada saya.

Malah, jika saya perlu menjawab pun, kadangkala saya tidak memberikan pandangan saya sendiri, tetapi saya menyarankan untuk membaca karya orang lain atau menukilkan pandangan daripada orang lain.

Ibn Qoyyim al-Jawziyyah berkata :

وقد قال القفال: لو أدى اجتهادي إلى مذهب أبي حنيفة قلت: مذهب الشافعي كذا لكني أقول بمذهب أبي حنيفة؛ لأن السائل إنما يسألني عن مذهب الشافعي، فلا بد أن أعرِّفه أنَّ الذي أفتيتُه به غير مذهبه، فسألت شَيَخنا -قدَّس اللَّه روحه- عن ذلك فقال: أكثر المُستفتين لا يخطر بقلبه مذهب معين عند الواقعة التي يسأل عنها، وإنما سؤاله عن حكمها، وما يعمل به فيها، فلا يسع المفتي أن يفتيه بما يعتقد الصواب في خلافه

"Al-Qoffāl pernah berkata: Kalau aku melaksanakan ijtihadku untuk mazhab Abū anīfah, aku berkata bahawa mazhab šāfiian sebegini, tetapi aku berpendapat dengan mazhab Abū anīfah kerana yang bertanya sebenarnya bertanya kepadaku tentang mazhab šāfiᶜian. Tidak dapat tidak aku memperkenalkannya bahawa yang aku beri fatwa kepadanya dengannya adalah bukan mazhabnya. Aku bertanya guruku -semoga Allah menyucikan roh-Nya- tentang itu, dia berkata: Kebanyakan orang yang meminta fatwa ini tidak terdetik mazhab tertentu di jantungnya pada realiti yang ditanyai tentangnya. Sebenarnya soalannya tentang hukumnya dan apa yang dia beramal padanya dengannya. Tidak ada keluasan bagi mufti untuk berfatwa berlainan dengan apa yang dia mempercayai kebenarannya". [Ilām al-Muwaqqiīn *An Robb al-*Alāmīnjilid 4m/s 183keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyahtahqiq Muammad *Abdul Salām Ibrōhīm].

Benar bahawa yang bertanya mungkin inginkan pandangan daripada saya sendiri, tetapi kadangkala apa yang dibentangkan orang lain barangkali adalah jawapan saya juga dan jawapan yang mungkin memuaskan penanya. Atau kadangkala saya tidak mendalami hal itu sehingga saya serahkan kepada mereka yang lain untuk merungkai persoalannya.

Namun, saya akan cuba sedaya upaya untuk membezakan pendirian saya dan pendapat orang lain dalam sesuatu itu. Jika ia bukan bahagian yang saya dalami, maka saya akan tegaskan bahawa nukilan atau penyerahan saya kepada tokoh yang lain bukan pandangan saya. Saya akan menyatakan pendirian saya dalam hal tersebut jika saya benar-benar mengetahui dan menguasai hal ehwal tersebut.

Pada zaman para sahabat Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- dahulu, hanya sedikit daripada mereka yang aktif menyampaikan fatwa. Malah, sehingga sekarang pun bukan ramai yang aktif dalam pengeluaran fatwa walaupun nama tokoh untuk ini adalah ramai dan walaupun telah ramai graduan yang berpengkhususan dalam bidang agama.

Saya termasuk kebanyakan orang yang tidak bergiat aktif untuk itu. Sejujurnya, saya bukanlah orang yang ada cita-cita kuat untuk menjadi seperti itu memandangkan saya juga ada komitmen lain untuk diberi penumpuan dan memiliki hala tuju kehidupan yang berbeza.

Cuma, bukan bermakna saya berlepas diri sepenuhnya untuk membantu mereka yang memerlukan agar faham dan mendapatkan pandangan yang benar dalam agama. Kita semua ada peranan masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab kita sebagai pendakwah secara umum.

Apa yang saya buat adalah untuk merapatkan jurang antara ahli ilmu dan orang awam. Jika ingin benar-benar menjadi ahli ilmu, saya mencadangkan belajar dengan ahlinya. Saya hanya cuma pembantu untuk rapatkan jurang sahaja, bukan untuk melahirkan ahli ilmu memandangkan saya sendiri bukanlah tokoh tertinggi dalam ilmu.

Saya memang ada beri penumpuan pada para erotikawan sepertimana yang saya selalu kongsikan, tetapi saya juga membantu secara umum bagi mereka yang mendambakan ilmu yang mudah-mudahan menyuluh mereka untuk ke jalan yang benar. Saya akan membantu semua orang tanpa diskriminasi semampu saya dengan kadar limpahan yang dikurniakan Allah selagimana mereka menunjukkan minat dalam mempelajari.

Saya mungkin bukan guru yang dikagumi atau sifu yang dapat mencetuskan inspirasi atau mentor yang terbaik untuk dicontohi, tetapi saya berharap saya sebagai sahabat yang sudi menghulurkan tangan kerana redha Allah dan melaksanakan tanggungjawab sebagai orang yang menanggung amanah ilmu dalam dada.

Saya berharap segala perkongsian saya benar-benar memberikan manfaat kepada para pembaca. Saya mengharapkan keampunan daripada Allah jika saya tersalah dan tersilap.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/649303399933804544/celoteh-peribadi-58-saya-dan-khidmat-kepada-ilmu

Celoteh 59 : Mereka Yang Hanya Menyasarkan Celaan Kepada Saya Semata-Mata

Apabila saya mengeluarkan pandangan sendiri, sudah tentu saya dicela meskipun saya telah membentangkan hujah ilmiah saya.

Yang menghairankan adalah saya ambil pandangan ulama dan menguatkan mereka dengan dalil dan hujah ilmiah pun dicela.

Entah apa di minda para pembenci ini sampai semua mahu dipersalahkan.

Saya tidak ada masalah kalau celaan tersebut tertuju pandangan peribadi saya, tetapi kalau sampai menyalahkan kutipan saya daripada para ulama sebagai sokongan yang kononnya sedang menyerang saya, saya tidak tahu bagaimana dia akan jawab di hari akhirat kelak.

Mereka mungkin berkata bahawa mereka tidak menyinggung para ulama yang saya kutip pendapat dan pembentangan mereka, tetapi mereka berkata bahawa saya mempergunakan, mengeksploitasi dan menunggang nama mereka untuk kepentingan diri saya.

Cuma, yang dapat dipastikan bahawa dakwaan mereka ini jauh tersasar daripada realiti memandangkan mereka langsung sama sekali tidak dapat membentangkan di mana mereka betul dalam pemahaman kalam yang saya nukil dan di mana saya salah dalam kutipan tersebut.

Ia sebenarnya alasan untuk menghamburkan segala kebencian pada saya dan sengaja membutakan diri untuk melihat bahawa saya teguh bersama ulama dalam isu tersebut. Bagaimana kalau pandangan saya bertepatan dengan mereka? Adakah mereka akan memusuhi para ulama yang saya kutip dan mereka terus beralasan bahawa mereka hanya mensasarkan celaan kepada saya?

Saya teringat sebahagian orang menghamburkan celaan kepada Ibn Taymiyyah yang mengisbatkan sifat suara bagi kalam Allah dan mensasarkan serangan terhadapnya, tetapi diam dan berpura-pura buta apabila Aḥmad bin Ḥanbal dan al-Buẖōriyy berpendirian dalam mengisbatkannya.

Begitu juga terhadap Abū Muḥammad Maḥmūd ad-Daštiyy yang dituduh mujassim kerana mengisbatkan had bagi Allah, sedangkan ia juga adalah pandangan *Abdullah bin al-Mubārok, Isḥāq bin Rōhūyah dan Abū S*aīd ad-Dārimiyy.

Kalau mahu berseteru pun berpada-padalah. Jangan sampai melebihkan sentimen dan emosi sehingga dasar-dasar ilmiah sudah lagi tidak dipandang berat. Kalau pendapat ulama tersebut salah, nyatakan sahaja ia salah jika memiliki hujah. Jangan berdalih kononnya untuk mengunci sasaran kepada saya semata-mata, walhal saya mengambil pandangan daripada para ulama sepertimana yang mereka selalu tuntut daripada semua orang.

Apapun, saya akan tetap menyampaikan ilmu dengan semampu yang saya boleh demi redha-Nya dan menabur bakti dalam dunia ilmiah. Terpulang bagi mereka yang ingin mengambil manfaat atau berpaling daripadanya. Saya sama sekali tidak menagih kesemua itu.

Jika ia bermanfaat kerana ia menepati kebenaran, semoga ia adalah kebaikan di dunia dan di akhirat. Jika tidak kerana kesalahan, maka saya mengharapkan keampunan daripada Allah atas kesilapan dan kekurangan saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/649304388032249856/celoteh-peribadi-59-mereka-yang-hanya

Celoteh 60 : Saya Dan Dakwah Kepada Erotikawan

Di luar sana, ada yang tidak mahu atau ambil perhatian yang sedikit untuk mempelajari dan mendalami ilmu agama kerana mereka ini adalah erotikawan.

Bagi mereka, orang seperti mereka tidak layak untuk mencicipi hidangan sepertimana para agamawan atau mereka yang berpengkhususan dalam bidang agama kerana mereka menganggap diri mereka tidak suci lagi tidak layak untuk menjamahnya.

Kadangkala, mereka mendengar ceramah dan membaca kupasan agama, tetapi itu sama sekali tidak menyemikan rasa kecintaan dan semangat untuk mendalami ilmu agama. Bukan faktor lain bidang pembelajaran, tetapi faktor perasaan yang serba salah dan penghinaan terhadap diri sendiri yang menyelubungi diri mereka.

Mereka ini tidak membenci agama dan juga para agamawan, tetapi mereka merasakan mereka tidak layak mendampingi dan mengikuti mereka kerana mereka menganggap bahawa mereka telah dicemari kekejian yang jika para agamawan mengetahuinya, pasti mereka akan diherdik, dihalau dan disingkirkan.

Itulah sebabnya mereka tidak mahu mendekati mana-mana insan yang memiliki sentimen keagamaan yang kuat. Mereka berasa terancam jika mereka bersahabat dengan golongan ini dan golongan tersebut barangkali akan menjadi kesakitan buat mereka.

Demi membersihkan tanggapan seperti ini, saya ambil inisiatif untuk merapati mereka ketikamana para agamawan dan para pendakwah akan menyisihkan mereka jika mereka tahu bahawa golongan ini memiliki kesukaan dalam erotisisme.

Sememangnya ada agamawan yang cuba mendekati mereka ini atas usaha dakwah, tetapi selalunya mereka tidak ingin merapati mereka. Malah, kalau ada peluang untuk menyingkirkan mereka atau menjatuhkan mereka, pasti mereka akan melakukannya.

Saya tidak sedemikian. Selagimana mereka tunjukkan kesungguhan mereka untuk mendalami agama, saya akan bantu mereka untuk mencapai hajat mereka tanpa diskriminasi.

Jika mereka jahil dan memerlukan bimbingan, saya akan bantu tunjuk ajar. Jika ditakdirkan mereka setara dengan saya pada suatu hari nanti, maka dia akan menjadi teman yang saya bina kesefahaman bersamanya, teman sepembelajaran dan teman seperjuangan. Jika ditakdirkan mereka lebih alim daripada saya, maka saya akan menadah manfaat daripadanya.

Saya membentangkan penjelasan kepada mereka bahawa apa yang mereka berpaut dengannya bukanlah kesalahan dengan beberapa penerangan yang perlu diambil perhatian. Supaya mereka tidak perlu merasa bersalah untuk meneruskan aktiviti mereka di samping tanpa perlu rasa menjauhkan diri dari agama.

Saya juga mahu mereka ini juga jangan merasa segan atau merasa hina untuk mempelajari ilmu yang mulia ini. Ia adalah untuk semua orang dan usah mempersia-siakan rahmat yang Allah luaskan untuk sesiapa yang menekuni ilmu agama kerana mencari redha-Nya.

Malah, mereka juga boleh bermulazamah dengan pengamalan agama sepertimana ahli ibadah yang lain. Ringankan lidah untuk membaca al-Quran, sentiasa aktifkan diri dalam keadaan zikir dan kekal bersemangat untuk ibadah sunat serta amalan yang mampu meraih pahala tanpa perlu rasa terhalang.

Mereka juga jangan malu untuk menelaah karya-karya ulama dan mendengar kuliah mereka. Hadiri majlis ilmu mereka dengan penampilan yang beretika. Bersoal jawab dan berbincang dengan mereka. Diskusikan ilmu bersandarkan hujah ilmiah tanpa perlu rasa terhina hanya kerana erotisisme.

Malah, mereka juga boleh memiliki sentimen keagamaan yang kuat seperti para pejuang agama yang lain. Mereka boleh sama-sama berdiri sesama para jemaah yang mengangkat dan memperjuang isu-isu Islam tanpa perlu rasa bersalah atau menghinakan diri bahawa mereka adalah orang yang kotor yang tidak layak menyuarakan kebenaran dan hak-hak penganut Islam.

Cuma, apabila sudah sampai masa untuk santai dan berehat, maka lakukanlah apa yang tidak menyalahi syariat. Bacalah kitab dan bersungguhlah dalam mendalaminya, tetapi apabila sampai masa untuk melancap, maka melancaplah dengan menghadirkan kesyukuran kepada Allah sambil menatap pornografi jika mahu tanpa perlu rasa segan.

Bersuka rialah dengan erotisisme, tetapi jangan sampai tergelincir pada kemabukan hedonisme. Sampai masa, tunaikan hak untuk ilmu dan ibadah serta fokus untuknya.

Itulah keseimbangan yang saya mahu perkenalkan dan bawakan kepada teman-teman erotikawan. Jangan malu dan terhina menjadi golongan agamawan yang erotikawan. Kita juga ingin termasuk orang yang beriman dan beramal soleh serta orang yang mendalam ilmunya. Ia adalah untuk kita semua tanpa had. Usahakanlah dengan upaya masing-masing.

Kita semua adalah manusia. Adakalanya, bergelora syahwat kita yang kadangkala kita tidak terfikir untuk memintanya. Ringankan keberatan beban di kemaluan dan lunaskanlah rayuannya dengan ihsan. Janganlah malu meskipun ketika itu berpakaian jubah dan serban. Itu pun boleh menjadi peluang untuk kita beribadah. Seusai daripada itu, sambunglah apa yang menjadi kesibukan kita untuk kebaikan di dunia dan di akhirat.

Saya bersyukur kepada Allah. Perkongsian agama dan beberapa wacana saya tentang agama memberikan dorongan dan menarik minat beberapa teman yang erotikawan untuk mendalami dan mengambil tahu tentang agama.

Pendekatan saya ini membuahkan hasil dengan izin Allah. Walaupun sedikit, tetapi saya berharap ia adalah permulaan yang baik dan memberikan impak yang menjana kepada langkah seterusnya pada hari kemudian.

Semoga Allah membantu mereka untuk menjadi orang yang faqih dan menjadi orang yang soleh.

Saya meraikan mereka dan saya tetap akan menyampaikan ilmu agama kepada mereka biarpun keadaan mereka seperti itu. Saya tahu ada orang tidak menyenangi cara saya mendekati mereka dengan erotisisme. Namun, sampai bila ingin menyisihkan dan menjauhkan mereka hanya kerana rasa benci terhadap erotisisme, lebih-lebih lagi mereka ini bukan orang yang memiliki rasa kurang senang terhadap agamanya sendiri?

Ya. Saya pun tidak akan bertoleransi mereka jika didapati mereka melakukan sesuatu yang menyalahi syariat. Jika perlu tinggalkan mereka, saya sama sekali tidak meninggalkan mereka atas alasan erotisisme semata-mata.

Saya juga ada terima ketidaksetujuan dan keraguan daripada para erotikawan sendiri, lebih-lebih lagi mereka yang tersentak melihat kupasan saya dalam isu erotisisme ini agak berbeza daripada yang lain walaupun saya membentangkan hujah saya. Mereka tetap ingin berkata bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah salah walaupun itu menjadi hobi yang mereka luangkan selalu.

Saya faham perasaan mereka. Pun begitu, saya tetap menegaskan bahawa saya memiliki justifikasi untuk menyatakan bahawa erotisisme yang mereka dan saya nikmati ini tidaklah salah dan saya memiliki justifikasi untuk menyatakan pendirian sedemikian. Saya merapati mereka bukan kerana sama-sama minat sahaja, tetapi dengan pendekatan ilmiah juga.

Apa yang saya lakukan adalah khidmat untuk ilmu dan juga agama sekadar kemampuan yang dikurniakan Allah. Saya tidak menjadikan erotisisme sebagai matlamat, tetapi sebagai merapatkan jurang sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Erotisisme juga sama sepertimana hobi yang lain. Jika kita berhemah dalam memperuntukkannya, maka itu adalah kepuasan diri yang bermakna dengan izin Allah. Mudah-mudahan ia menjadi sebahagian sebab pengikat persaudaraan antara sesama kita dalam perkongsian sama minat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/649368941793312768/celoteh-peribadi-60-saya-dan-dakwah-kepada

Celoteh 61 : Saya Hanya Membantu Untuk Merapatkan Jurang

Saya bukan ulama, tetapi saya akan cuba bantu sesiapa yang ingin mencapai kepada kedudukan tersebut. Jika ingin benar-benar menjadi ulama, carilah guru atau sifu yang sesuai. Saya hanya sekadar untuk merapatkan jurang sahaja, khususnya antara golongan erotikawan dengan para ulama.

Saya tidak mahu sahabat saya yang erotikawan ketinggalan, malah enggan untuk mendalami agama kerana mereka merasakan bahawa mereka bukanlah dari kalangan orang yang layak untuk mencicipi ilmu agama.

Saya juga mahu mereka ada minat untuk mendalami ilmu agama dan juga memiliki sentimen hidup beragama. Dengan beberapa penjelasan tentang sempadannya, mereka juga boleh menikmati erotisisme mereka tanpa perlu rasa serba bersalah untuk menjadi yang menyerlah dalam agama.

Dan saya tidak ada minat untuk merebut siapa yang lebih berilmu. Saya berterus terang bahawa saya bukanlah ahli ilmu. Kalau saya duduk bersama tokoh kenamaan dari kalangan ulama, pasti saya tidak ada apa-apa yang boleh dibandingkan dengan mereka sama ada dari segi keilmuan, kesolehan, amalan dan sumbang baktinya.

Bahkan, orang ramai barangkali akan berebut mengerumuni mereka dalam menadah ilmu berbanding saya. Malah, saya pun akan termasuk daripada orang yang mengerumuni mereka untuk mendengarkan pengajaran mereka.

Sesiapa yang Allah lebihkan dia dari sudut kefaqihan dan keilmuan, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Dan saya berharap saya boleh mengambil faedah dan pembelajaran daripada mereka serta mereka menjadi penampal apa yang saya kurang sehinggalah menjadi pembela kebenaran untuk agama ini.

Oleh itu, saya tiada masa untuk bersaing. Untuk apa bersaing pada asalnya? Untuk kedudukan dan populariti? Orang yang bodoh dan ahli bidaah pun boleh merangkul apa yang dicita-citakan orang yang mengejar kedua-duanya jika mereka mahir mempengaruhi orang sekeliling.

Orang yang paling berilmu pun tetap akan dipinggirkan, malah ditentang jikalau tidak mampu berstrategi dalam mencari pengaruh. Sebab itu saya tanya. Untuk apa bersaing? Apa kebaikan pada matlamat akhir?

Malah, jika akhirnya ada rakan erotikawan menyerlah jauh lebih unggul daripada saya, maka saya ingin menimba ilmu daripada mereka sama ada melalui wacana, diskusi atau selainnya. Mereka akan menjadi guru saya atau sekurang-kurangnya rakan yang lebih berkemahiran berbanding saya untuk saya mengutip manfaat daripadanya.

Maka, matlamat saya hanyalah ingin memberi khidmat kepada ilmu kerana redha-Nya dan manfaat kaum muslim. Meskipun saya bukan ahli ilmu, saya tetap akan memberikan yang terbaik dalam memberikan sumbangan ilmiah dan penegakan hujah supaya ia adalah berteraskan kepada kebenaran, manhaj ilmu yang mapan dan seterusnya dapat memanfaatkan para pembacanya dengan pengetahuan yang berguna.

Apapun, marilah sama-sama kita menuntut ilmu, menabur bakti kepada lapangan ilmiah, menjadi pembela kepada kebenaran dan saling menampung kekurangan saudara serta sama-sama berjuang untuk jalan yang lurus sehingga akhir hayat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/649369443760259072/celoteh-peribadi-61-saya-hanya-membantu-untuk

Celoteh 62 : Patutkah Diri Sendiri Menceritakan Dan Membiografikan Diri Sendiri?

Mungkin ada yang tertanya bahawa adakah sememangnya elok menuliskan cerita tentang diri dalam satu penulisan khusus yang dipaparkan secara terbuka, khususnya menyentuh tentang kelebihan diri dan sebagainya? Ini kerana selalunya yang menceritakan dan membiografikan tentang seseorang adalah hasil tangan orang lain, bukan diri sendiri.

Sebenarnya, apa yang saya lakukan adalah bukanlah yang baru melakukan ini. Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dalam «al-Baḥr al-*Amīq Fī Marwiyyāt Ibn aṣ-Ṣddīq» memuatkan biografi dirinya yang panjang , bahkan memasukkan pujian para ulama ke atas dirinya atas keluasan penelaahannya dan kelebihannya.

Adiknya; *Abdullah pernah menulis biografi dirinya dalam satu judul khas yang bertajuk «Sabīl at-Tawfīq Fī Tarjamah *Abdullah Ibn Aṣ-Ṣiddīq». Penulisan ini bukan hanya menceritakan maklumat asas tentang dirinya, tetapi juga memuatkan kelebihan yang dianugerahkan padanya seperti penguasaan ilmu, pujian ulama terhadapnya dan perolehan beberapa mubaššarōt.

Malah; adiknya; *Abdul *Azīz juga menghasilkan karya yang sama dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī». Karya ini juga menyentuh lebih banyak perolehan tentang dirinya dan menyebut lebih banyak kelebihan yang dianugerahkan padanya berbanding apa yang dikongsikan abangnya.

Sebegitu juga yang dilakukan oleh muridnya; *Abdullah bin *Abdul Qōdir at-Talīdiyy dalam «Ḏikriyāt Min Ḥayātī» yang metod penulisannya adalah seumpama dengan gurunya, Aḥmad al-Ġumāriyy.

*Abdul *Azīz al-Ġumāriyy dalam muqaddimah karya «Ta*rīf al-Mu^tasī» menyebutkan bahawa dia juga bukan orang yang pertama menghasilkan karya seperti itu. Ia juga pernah dilakukan oleh Abū al-Fatḥ al-Mizziyy. Kemudian, ia juga diteruskan anak muridnya; Ibn Ṭūlūn yang berjudul «al-Fulk lal-Mašḥūn Fī Aḥwāl Ibn Ṭūlūn». Dia juga menyebutkan bahawa itu juga dilakukan oleh datuk sebelah neneknya; Abū al-*Abbās Aḥmad bin *Ajībah.

Malah, dia juga mengutip pembentangan Ibn Ṭūlūn bahawa penceritaan biografi diri sendiri dalam karya sendiri sudah pun didahuluinya. Namun, ia bukanlah dalam satu buku yang khas sepertimana contoh yang disebutkan, tetapi dalam karya berbentuk sisipan. Antaranya adalah as-Suyūṭiyy menceritakan tentang dirinya dalam karyanya yang berjudul «Ṭobaqōt an-Nuḥāh». Ini juga dilakukan oleh Yāqūt al-Ḥamawiyy dalam «Mu*jam al-Udabā^», al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dalam «at-Tārīẖ», at-Taqiyy al-Fāsiyy dalam «Tārīẖ Makkah» dan Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy dalam «Quḍōh Miṣr» dan Yūsuf *Abdul Hādī dalam «Manāqib al-Imām Aḥmad Ibn Ḥanbal».

Kemudian, *Abdul *Azīz menambahkan bahawa as-Suyūṭiyy juga melakukan yang sama dalam «Ḥusn al-Muḥāḍoroh Fī Aẖbār al-Miṣr Wa al-Qōhiroh». Demikian juga abangnya, Abū al-Fayḍ Aḥmad dalam «Subḥah al-*Aqīq Bi Ḏikr Aẖbār Sīdī Muḥammad Ibn aṣ-Ṣiddīq».

Kemudian, dia membawa kesimplan daripada Abū al-Ḥasan *Aliyy al-Yūsiyy dalam «al-Muḥaḍorōt» bahawa telah menjadi adat bagi orang yang menulis tentang dirinya. Lalu, dia menyatakan beberapa kelebihan daripada pengenalan seperti ini. Antaranya adalah mengenali mazhabnya dan meneladaninya. Dia juga menukilkan daripada *Abdul Qōdir at-Tamīmiyy dalam «al-Jawāhir al-Muḍiyyah Fī Ṭobaqōt al-Ḥanafiyyah» beberapa kelebihan dalam penghasilan biografi ulama.

Ini juga antara yang dikupas oleh *Abdullah at-Talīdiyy dalam karya tersebut dengan membawakan beberapa keterangan pendirian salaf dan pengamalan mereka dalam menzahirkan kesyukuran nikmat kepada Allah.

Malah, abangnya, Aḥmad al-Ġumāriyy dalam muqaddimah «al-Baḥr al-*Amīq» membentangkan dalil untuk menjustifikasikan pujian ke atas dirinya, bahkan dia sampai mengatakan ia adalah wajib!

Apa yang mereka lakukan adalah kerana menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah melalui penceritaan diri yang berkenaan dengan nikmat, kurnia dan anugerah yang diagihkan dari kepemurahan-Nya. Ini kerana salah satu cara menzahirkan kesyukuran adalah menyebutkan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada seseorang tanpa berlebih-lebihan dan tanpa mengurangi serta tidak membawa kepada riyak.

Maka, apa yang saya lakukan adalah meneladani mereka dalam cara mensyukuri nikmat yang Dia kurniakan kepada saya meskipun sedikit di sisi pengetahuan saya. Saya akui secara jujur bahawa saya bukanlah orang yang layak diangkat tinggi sepertimana tokoh-tokoh yang telah disebutkan nama dan saya mungkin sahaja tidak ada kelebihan yang besar dan banyak sepertimana yang mereka peroleh.

Saya bukanlah sesiapa di mata mereka dan juga orang ramai. Jika dibariskan saya dengan mereka, pasti orang ramai lebih tertumpu untuk menuju kepada mereka berbanding saya. Malah, saya sendiri juga akan menyuruh orang lain untuk menuju tokoh yang lain dan saya pun akan ambil manfaat daripada para ilmuwan yang terbilang.

Saya juga ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur, di samping mengharapkan keampunan daripada-Nya. Saya mungkin tidak ada banyak amalan yang mampu dipersembahkan sebagai pemberat yang membanggakan dan saya juga barangkali bukanlah orang yang terbaik dalam memberi khidmat kepada agama. Sekurang-kurangnya, saya berharap apa yang saya lakukan ini sedikit sebanyak mampu menjadi modal amalan yang bermakna buat diri saya dan manfaat kepada orang lain yang ingin mengenali saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/650483538760810496/celoteh-peribadi-62-patutkah-diri-sendiri

Celoteh 63 : Mazhab Saya Dalam Akidah Dan Furuk Fiqh

*Abdul *Azīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- berkata tentang mazhab akidahnya :

ومذهبي في الاعتقاد هو مذهب السلف السالم من الشكوك والأوهام ومن القول في ذات الله وصفاته بالظن وضروب من الآراء والتخمينات كما هو مذهب المتأخرين الذين أدخلوا على الآيات والأحاديث الواردة في صفاته الله تعالى تأويلات يأباها المؤمن الصادق ويمجها طبع المسلم لأنها كلها ضلال من غير شك ورجم بالغيب وحكم على الله وصفاته بالرأي المحض وتحريف، بل تكذيب لله ورسوله بالمرة. ونعوذ بالله من كل سوء. بل أعتقد أن الله سبحانه وتعالى واحد لا شريك له وأنه منزه عن كل ما يماثل الحوادث {ليس كمثله شيء وهو السميع البصير}. وأومن بما أخبر في كتابه وعلى لسان رسوله صلى الله عليه وآله وسلم من صفاته من غير تأويل ولا تبديل ولا تحريف مع تنزيهه سبحانه وتعالى عن التجسيم والتشبيه. {ليس كمثله شيء وهو السميع البصير}. وهذا هو المذهب الحق الذي لا ينبغي لمن يريد السلامة في عقباه أن يحيد عنه ويعتقد خلافه. وهو المذهب الذي كان عليه الصحابة والتابعون ومن تبعهم بإحسان إلى أن ظهر البدع القبيحة بواسطة كتب الملل التي ترجمت إلى العربية فاختلط على الناس الأمر وجرتهم الأهواء إلى الخوض فيما نهوا عنه، فابتلاهم الله بسبب ذلك إلى ترك القول الحق في عقيدتهم وانصرفوا إلى خرفات وأباطيل يأباها ديننا القويم وشريعتنا السمحة. {وليحذر الذين يخالفون عن أمره أن تصيبهم فتنة أو يصيبهم عذاب أليم}.

Mazhabku dalam iktikad adalah mazhab salaf yang selamat daripada syak, waham dan pendapat tentang zat Allah dan sifat-Nya dengan persangkaan dan jenis-jenis pandangan dan dugaan sepertimana mazhab terkebelakangan yang mereka memasukkan takwil-takwil yang orang beriman yang sejati menyentanya dan karakter muslim memuntahkannya pada ayat-ayat al-Quran dan hadis yang warid tentang sifat Allah Ta*ālā kerana ia adalah sesat tanpa syak lagi, terkaan terhadap yang ghaib, penghukuman terhadap Allah dan sifat-Nya pandangan induktif semata-mata serta penyimpangan, bahkan pendustaan terhadap Allah dan rasul-Nya sekaligus. Kami berlindung kepada Allah dari segala kejahatan.

Bahkan, aku bertiktikad bahawa Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā adalah esa yang tiada sekutu bagi-Nya dan Dia tersuci dari segala yang sekalian baharu menyerupai-Nya. {Tidak ada sesuatu yang seakan-akan menyerupai-Nya. Dialah Yang Mendengar lagi Maha Melihat}. Aku beriman dengan apa yang Dia khabarkan dalam kitab-Nya dan melalui lisan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wa ālih wasallam- tentang sifat-Nya tanpa takwil, pengubahan dan penyimpangan bersama mentazihkan-Nya Subḥānahu Wa Ta*ālā daripada penjisiman dan tasybih. {Tidak ada sesuatu yang seakan-akan menyerupai-Nya. Dialah Yang Mendengar lagi Maha Melihat}.

Ini adalah mazhab yang benar yang tidak sepatutnya bagi sesiapa yang berkemahuan keselamatan di hari akhirnya untuk melencong daripadanya dan beriktikad selainnya. Inilah mazhab yang para Sahabat, tabiin dan yang mengikuti mereka dengan sebaik-baiknya berada di atasnya sehingga munculnya bidaah yang buruk dengan perantara kitab-kitab agama yang diterjemahkan kepada bahasa Arab, lalu perkara itu telah mencampur-baurkan orang ramai dan hawa nafsu mengheret mereka kepada pendalam fikiran terhadap apa yang ditegah daripadanya. Lantas, Allah menimpakan bala kepada mereka dengan sebab sedemikian yang meninggalkan pendapat yang benar dalam akidah mereka dan berpaling kepadak khurafat dan kebatilan yang agama kita yang tertegak dan syariat kita yang lapang menyentanya. {Hendaklah orang yang menyalahi urusan-Nya berjaga-jaga terhadap terjadinya kekacauan menimpa mereka atau azab yang pedih yang menimpa mereka}. [Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsīm/s 23-24keluaran Dār ar-Rowoh al-Islāmiyyah].

*Abdul *Azīz al-Ġumāriyy berkata tentang mazhab furuk fiqhnya :

وأما الفروع، فلست بحمد الله مقيدا فيها بمذهب من المذاهب، بل مذهبي في ذلك ما صح عن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم من غر نظر إلى موافق أو مخالف. ولعلك تستغرب هذا وتستبعده لقصورك وقصور من حولك عن إدراكه ولكن فضل الله يؤتيه من يشاء ولا ينكر فضله إله القوم الخاسرون. وقبل أن تنكر وتعرض علي وعل من يقول مثل قولي، جرِّبْ نفسك في الدخول في مثل ما دخلنا فيه وروِّضْها على العمل بمقتضاه واعمل على الحصول على الأسباب الموصلة إليه فإنك إن شاء الله سندرك ما أدركناه وتبلغ إلى المقام الذي بلغناه. ثم تصير تعجب ممن يزعم بعد حصول مثل هذا كما تحتقر من يرضى في دينه بالدنية فيقلد فيه كل ناعق ويتبع كل داع كاذب أو صادق. والوصول إلي هذا المقام سهل لمن وفقه الله وهداه إلى العمل على الحصول عليه. فبشيء من الاجتهاد والمباثرة على مطالعة كتب الخلاف العالي مع دوام النظر والمراجعة في كتب الأحكم من الحديث والوقوف على شروحها المبينة لنساخها من منسوخها ومجملها من مُفَصَّلها وخاصها من عامتها، تستطيع أن تصل إلى المرتبة تختار فيها القول الذي تراه موافقا للدليل الصحيح من غير أن ترجع إلى قول إمام من أئمة المذهب مطلقا. والله أعلم.

Adapun bahagian furuk, bukanlah aku -dengan segala puji bagi Allah- terikat dengan suatu mazhab dari mana-mana mazhab. Bahkan, mazhabku pada hal itu adalah apa yang sahih daripada Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- tanpa perlu melihat orang yang menyetujui atau menyalahinya.

Mungkin sahaja engkau merasa hairan terhadap ini dan merasa asing terhadapnya kerana keterhadanmu dan keterhadan upayamu dari mencapainya. Akan tetapi, kurniaan Allah adalah pemberian-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tidak mengingkari kurniaan ini melainkan kaum yang rugi. Sebelum engkau mengingkari dan merintangiku serta orang yang berkata sepertimana kata-kataku, ujikajilah dirimu dalam memasuki semisal apa yang kami masuk ke dalamnya dan latihlah untuk pengamalan yang bersesuaian dengannya serta lakukanlah sampai ke perolehan sebab-sebab yang menyampaikan kepadanya. Ini kerana sesungguhnya dengan izin Allah, engkau akan mencapai apa yang kami telah mencapainya dan engkau sampai kepada kedudukan yang kami telah sampai kepadanya. Kemudian engkau akan hairan terhadap orang yang mendakwa jauhnya perolehan seperti ini sepertimana engkau memperlekeh terhadap orang yang puas beragama dengan kenistaan, lalu dia bertaklid pada setiap yang mengoceh serta mengikut penyeru yang berdusta atau benar.

Penyampaian kepada kedudukan ini adalah mudah bagi orang yang dituntun oleh Allah dan orang yang Dia beri hidayah kepadanya kepada perlaksanaan untuk memperolehnya. Dengan sesuatu daripada ijtihad, ketekunan dalam menelaah kitab-kitab khilaf yang tinggi bersama kesentiasaan pemerhatian dan ulangkaji dalam kitab hukum-hakam hadis serta mengetahui syarahan-syarahannya yang menjelaskan nasikh pada mansukhnya, mujmal pada mufassolnya, kekhasannya pada keumumannya, engkau mampu mencapai martabat yang engkau memilih pendapat yang engkau lihat bertepatan dengan dalil yang sahih padanya tanpa merujuk kepada pendapat salah seorang imam daripada para imam mazhab secara mutlak. Allah lebih mengetahui. [Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsīm/s 34-35keluaran Dār ar-Rowḍoh al-Islāmiyyah].

Seperti inilah yang saya akan katakan tentang mazhab saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/650875298240462848/celoteh-peribadi-63-mazhab-saya-dalam-akidah-dan

Celoteh 64 : Impian Saya Untuk Mengekslopediakan Karya Saya

Saya sebenarnya memang ada impian yang karya-karya saya akan dikumpulkan dan dibukukan dengan beberapa jilid seperti ensiklopedia *Abdullah bin Muḥamamd bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dan koleksi karya Robī* bin Hādi al-Madẖoliyy.

Sebahagian judul penulisan saya ada yang mencecah lebih 50 muka surat yang cukup untuk membuat satu judul buku. Jika dicantum pelbagai penulisan yang panjang dan pendek, mungkin sudah cukup untuk menjadikan kira-kira tujuh jilid.

Cuma, saya sentiasa sahaja melakukan pengeditan semula. Malah, ada beberapa penulisan saya yang saya belum berpuas hati mutunya dan persembahannya yang saya fikir ia memerlukan penyemakan, pengolahan semula dan penghasilan semula penulisan.

Beberapa penulisan saya ini bercampur baur antara yang lama dan yang baru. Ada sebahagiannya telah bertahan lebih tujuh tahun semenjak saya mula berkarya, tetapi telah melalui pelbagai proses pengeditan dan penghasilan semula.

Kadangkala, perolehan yang baru sama ada dalam berbentuk idea atau nukilan ini sememangnya mengubah tanggapan kita tentang mutu yang ada dalam karya tersebut. Kelompongan yang didapati mendesak kita untuk melakukan pembaharuan dan pengubahsuaian.

Bukan bermakna pandangan yang saya nyatakan dalam penulisan tersebut adalah salah di sisi saya dan tidak mewakili pandangan saya. Setakat ini, kesemua penulisan yang saya telah kongsikan kepada para pembaca semuanya adalah pandangan yang terbit daripada saya. Hanya sahaja ia memerlukan tampalan kepada kelompongan agar lebih bermutu.

Itu belum lagi penulisan-penulisan yang pendek yang sememangnya akan ditambah dari semasa ke semasa sesuai dengan perolehan ilmu baharu atau respons kepada isu semasa yang sedang terjadi pada waktu itu.

Mungkin saya tidak akan dapat menatap koleksi buku seperti ini dalam hidup saya. Apatah lagi saya bukan tokoh kebesaran yang menjadi rujukan orang ramai. Sudah tentu tidak begitu ramai yang ingin memandang berat penulisan saya. Apatah lagi mengharapkan agar ada orang menerbitkan karya sebegini yang seolah-olah saya ini seumpama figura kenamaan.

Dan saya sememangnya sengaja untuk tidak aktif dalam melebarkan pengaruh untuk popular kerana komitmen saya bukanlah sama seperti para pendakwah dan para ilmuwan di luar saya. Saya tidak menyimpan impian saya untuk duduk di meja pensyarah atau tenaga pengajar sepenuh masa serta merantau ke banyak tempat untuk meluaskan sayap pengaruh.

Selalunya saya akan menolak untuk berceramah dan mengajar. Selalunya saya akan menyuruh sesiapa yang lain untuk mempelajari dan mendengar kuliah daripada orang lain yang memiliki kewibawaan yang lebih unggul daripada saya. Pun begitu, penulisan saya adalah lisan saya. Cukuplah penulisan saya menjadi ceramah berbentuk perkataan yang tertulis.

Lagipun, saya perlu akui bahawa saya bukanlah jaguhan ulama yang boleh dibanggakan ramai. Saya sekadar penuntut ilmu yang hanya ingin berbakti kepada lapangan ilmiah yang terbaik yang saya mampu dengan izin Allah demi redha-Nya dan manfaat muslim bersama. Tidak perlu pun angkat saya sebagai ilmuan yang terulung. Ambillah dan lazimilah mereka yang jauh lebih berpengetahuan dan lebih berwibawa daripada saya.

Apapun, saya telah meninggalkan koleksi saya ini di beberapa laman web serta di laman sosial. Semuanya boleh dibaca dengan percuma. Sekurang-kurangnya apabila saya menerbitkannya di dalam talian, saya dapat melakukan pengeditan secepat yang boleh agar para pembaca tidak terlepas apa yang terkini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/651207369236381696/celoteh-peribadi-64-impian-saya-untuk

Celoteh 65 : Keselamatan Saya Daripada Mendiskriminasikan Penghujahan Orang Lain

*Abdul *Azīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī» mengungkapkan kesyukuran kepada Allah yang dia memiliki keteguhan dalam tawakkal sepenuhnya kepada Allah dalam urusan rezeki, selamat daripada hasad dan dendam, selamat daripada rasa megah dan congkak terhadap mana-mana makhluk, selamat daripada waswas dan pelbagai lagi perolehan.

Saya juga ingin berkongsi sesuatu daripada perasaan yang ditetapkan dalam jiwa dengan izin Allah sebagai kesyukuran kepada Yang Maha Penganugerah dengan menyebutkan nikmat pemberian-Nya. Saya berharap agar penyebutan ini dapat menambahkan lagi nikmat yang Dia limpahkan kepada saya dan dikurniakan istiqamah untuk kebaikan yang telah Dia tunjukkan kepada saya.

Saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah yang saya tidak akan mendiskriminasi mana-mana pandangan yang didasari pembentangan ilmiah dan hujah yang membina tanpa mengira aliran sama ada salafi ataupun ašᶜarian.

Saya terjauh daripada sikap sebahagian orang yang suka menyangka buruk terhadap kemampuan saudara muslim yang lain serta saya sama sekali tidak merendahkan keupayaannya dan memperlekeh kedudukan yang berhak dia rangkul padanya meskipun dia seorang ynag fasik, kontroversi dan memiliki masalah.

Jika perokok yang saya benci pun akan saya mendengar nasihatnya jika ia adalah yang menuju kepada kebaikan. Malah, jika penzina datang kepada saya untuk membetulkan kesalahan tajwid kepada saya, tetap saya akan mengambil kira pandangannya jika ia didasari dengan hujah dan kebenaran.

Ada empat faktor yang menyebabkan saya mampu teguh dan konsisten dengan sikap ini dengan izin Allah. Pertama, saya amat takut tergolong dalam apa yang Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

وَلَكِنَّ الْكِبْرَ : مَنْ بَطِرَ الْحَقَّ وَغَمَطَ النَّاسَ " .

"Tetapi kesombongan adalah mereka yang menolak kebenaran dan meremehkan manusia". [Sunan Abū DāwudKitāb al-Libāsno. 3571].

Saya tidak tergamak untuk menolak mana-mana penghujahan yang berteraskan pembentangan ilmiah dan melekehkan nilai kebenaran dengan mengejek seseorang itu tidak ada sanad pengajian, pengambilan sumber daripada penulisan di internet, fulan dari aliran tertentu dan bermacam-macam lagi. Saya takut kalau saya menolak kebenaran yang disampaikan oleh seseorang dan saya menghina orang tersebut, maka saya akan tergolong yang dijanjikan neraka padanya disebabkan sikap ini.

Kedua, saya mempelajari riwayat hidup Yaḥyā bin Akṯam. Dia merupakan seorang fuqaha yang diperakui kedudukannya oleh para ulama. Akan tetapi, dia terkenal dengan homoseksual. Apa yang saya dapat pelajari daripada apa yang Allah jadikan peristiwa bersejarah ini adalah supaya kita bijak dalam menentukan nilai penghujahan seseorang.

Kalaulah dia masih hidup atau ada orang sepertinya menegakkan hujah kebenaran, ada orang mungkin akan bertanya sama ada patut atau tidak kita mengambil pandangannya? Saya katakan, jika ia adalah benar, maka ambillah ia.

Adakah pandangan yang diutarakan itu tidak ada nilai? Sudah tentu ada nilai berdasarkan kemampuan ilmu yang dia ada, lebih-lebih lagi jika ia adalah berasaskan hujah dan diperakui kedudukan ilmunya. Adapun orientasi homoseksualnya, itu bukan isu utama dalam menentukan benar atau salah pandangannya.

Inilah kadangkala seseorang itu gagal dalam menapis, menyaring dan menganalisis hujah seseorang. Isu-isu peribadi dan yang tidak ada kaitan dimasukkan sekali seolah-olah ia adalah asas pendirian hujah. Kewujudan tokoh ini sememangnya mampu merombak tanggapan orang dalam menilai hujah untuk membezakan asas hujah dan isu peribadi.

Ketiga, jika wali Allah itu ada di mana sahaja dan ia mungkin terselindung daripada pandangan zahir kita, maka orang faqih pun ada di mana sahaja. Inilah yang saya percaya dalam jiwa saya. Dengan kepercayaan sebegini, saya sama sekali tidak mudah memperlekehkan seseorang yang hanya tampak biasa, bahkan tampak mencurigakan pada zahirnya.

Kadangkala, wali Allah terbukti hikmahnya dan pembukaan daripada Allah kepadanya dengan mematahkan kecurigaan kita dan pandangan kita yang tampak biasa sahaja. Seperti itu jugalah sang faqih yang berpenampilan seperti orang biasa.

Keempat, saya adalah erotikawan dan menampilkan erotisisme khususnya di laman maya sepertimana yang telah maklum bagi orang yang mengenali saya. Peribadi ini memberi kesan kepada saya agar saya tidak hanya mengambil zahir sebagai penentu sama ada bernilai hujah seseorang itu atau tidak.

Misalnya, jika seseorang itu tidak berpakaian datang kepada saya untuk menegakkan hujah kebenaran, maka apa guna lagi saya membangkitkan isu pemakaian atau penampilan jika saya sendiri melakukan yang sama? Ia tidak ubah seperti hipokrit.

Malah, orang buta jika ingin mencari kebenaran pun dia tidak akan mempedulikan penampilan. Patutkah kita menjadi lebih teruk dari orang buta dalam pencarian kebenaran?

Pun begitu, bukan dari semua orang saya bulat-bulat mengambilnya atau menganggap memiliki nilai hujah. Sudah tentu adalah lebih utama kita dahulukan orang yang memiliki kewibawaan dalam ilmunya dan memiliki ilmu alat yang secukupnya.

Pandangan orang yang menguasai bahasa Arab adalah lebih utama daripada mereka yang tidak menguasainya. Pandangan ahli hadis dalam penilaian hadis lebih diutamakan daripada pandangan fuqaha. Begitulah seterusnya.

Saya sendiri pun tidak mengambil pandangan agama daripada liberal kerana mereka ini terbukti selalu sahaja membawa manhaj yang rancu dan bercelaru dalam metodologi penafsiran dan penggalian hukum.

Kebanyakan yang saya menemukan ini sememangnya jauh daripada rujukan yang menjadi teras utama dalam pandangan Islam serta bergantung kepada penafsiran dan pemahaman yang asing daripada Islam. Atas sebab itulah, pandangan mereka dalam agam selalu sahaja penuh dengan keserabutan dan kecelaruan serta tidak konsisten.

Apapun, saya berdoa agar Allah terus tetapkan dalam jiwa saya dan kita semua secara umumnya untuk terus tidak mendiskriminasi mana-mana penghujahan yang datang kepada kita, tidak merendah-rendahkan mereka yang hakikatnya berkeupayaan dan memandang lekeh nilai pembentangannya hanya dengan mengaitkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan penghujahannya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/651576502261071872/celoteh-peribadi-65-keselamatan-saya-daripada

Celoteh 66 : Tanggapan Orang Lain Tentang Saya Dan Hakikat Diri Saya

Kebiasaan tanggapan orang terhadap saya adalah saya ini hanya mahu bergelumang dengan seks dan syahwat. Sememangnya sedemikian jika mereka ikuti saya di beberapa di laman sosial yang sememangnya saya mengongsikan beberapa erotika dan dizahirkan keseronokannya sepertimana para erotikawan yang lain.

Hakikatnya, saya telah memberi fokus lebih banyak daripada apa yang disentuh dalam isu seksual. Penulisan saya adalah bukti dan saksi. Mereka yang menanggapi saya sedemikian sebenarnya orang yang tidak pernah menelaah penulisan saya atau hanya membaca dengan sedikit.

Penulisan saya membela pandangan ulama yang disalahi, malah dicela kerananya. Saya membela para sarjana ḥanbalian daripada tuduhan buruk daripada ašᶜarian dalam isu sifat Allah. Saya juga mempertahankan ilmu kalam ašᶜarian dari tuduhan buruk.

Saya juga telah mempertahankan Abū Sa*īd ad-Dārimiyy dan Abū Muḥammad ad-Daštiyy dari dituduh mujassim. Malah, dalam penulisan saya yang berkaitan dengan fiqh seksual pun saya membela beberapa pandangan ulama.

Penulisan saya juga memperkenalkan beberapa karya tokoh ulama yang bermanfaat pembacaannya dan yang saya sangat mencadangkan untuk pembacaannya. Adakah perlu hairan erotikawan juga mencadangkan pembacaan karya-karya ulama?

Saya juga sama seperti penuntut ilmu yang lain yang terkesan dengan beberapa karya ulama dan rasa seronok untuk dikongsikan agar orang ramai dapat manfaat bersama sepertimana yang dirasai penuntut ilmu yang lain.

Malah, saya juga menyentuh penekanan adab dalam ilmu dan perbincangan, khususnya dalam menjauhi falasi-falasi yang merosakkan pertimbangan dalam pemikiran dan penghujahan. Saya juga ambil peranan untuk menangkis fahaman batiniah dan penglipur lara dalam kalangan sufi. Banyak lagi isu lain yang saya memberikan fokus yang tiada kaitan dengan seks sama sekali.

Saya bukanlah ingin memposisikan diri saya sebagai tokoh ilmuwan. Saya akui yang saya pun bukanlah sesiapa jika ingin dibandingkan jaguhan yang telah menempa namanya di persada masyarakat dan merangkul kedudukannya yang terunggul. Saya hanyalah penuntut ilmu yang berkidmat untuk ilmu serta berusaha untuk menabur bakti dalam bidang ilmiah dengan semampu yang saya boleh.

Saya bukan sengaja bermatlamatkan untuk menjadi yang lain daripada yang lain dalam menzahirkan erotisisme. Saya telah nyatakan di beberapa tempat bahawa saya mengambil langkah ini untuk menarik minat dan merapati golongan erotikawan untuk menceburi kepada agama tanpa perlu rasa terhina. Saya tidak mahu mereka ini menjauhkan diri daripada agama dan merasa serba salah untuk mencicipi apa yang agamawan telah menikmatinya.

Apapun, saya memaafkan orang yang salah tanggap terhadap saya. Kita pun tidak boleh memuaskan hati setiap orang. Saya tetap dengan cara saya dan mereka dengan cara mereka.

Cuma, saya tidak suka jika orang suka bermain falasi ₍Ad Hominem₎ dengan mengungkit isu-isu erotisisme pada saya. Itu adalah taktik kotor yang menjelekkan untuk mendapatkan kemenangan yang mudah serta cara yang tidak perlu menggunakan kemampuan ilmu dan keupayaan akal semata-mata untuk menjatuhkan orang lain.

Walau apapun, tidak kira apa pun bagaimana kita tanggap tentang diri kita ini dan apa jua orang lain tanggap tentang kita, yang penting adalah sentiasa berkhidmat kepada agama Allah dengan menjadi hamba-Nya yang sedaya upaya yang ada. Redha-Nya lebih patut kita utamakan dan kita cuba sedaya upaya menjadi penyumbang kontribusi yang bermakna buat masyarakat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/651791876986421248/celoteh-peribadi-66-tanggapan-orang-lain-tentang

Celoteh 67 : Mengapa Saya Selalu Sahaja Menyinggung Aswajaean?

Kebanyakan tema penulisan saya, selalu sahaja saya menyinggung golongan yang antitalfiq, mereka dari aliran ašᶜarian yang khusus tentang isu interaksi dengan naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah dan sufi batiniah. Boleh dikatakan kesemua mereka yang saya singgung ini adalah mereka daripada golongan aswajaean.

Dan sesiapa sahaja yang menyelisihi dan melawan arus mereka ini, pasti sahaja digelar wahabi walaupun seseorang itu tidak pernah pun mengambil Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah, Muḥammad bin *Abdul Wahhāb dan beberapa salafi kontemporari sebagai teras ikutan.

Saya memilih salafi sekarang bukan kerana saya dilahirkan atau dibesarkan dengan suasana salafi sepenuhnya atau ia adalah aliran awal yang terjebak pada awal fasa pendalaman saya dalam ilmu agama. Saya dahulu antara mereka yang kuat mempertahankan aswajaean.

Saya telah melalui ketiga-tiga ciri tersebut dan saya tahu bagaimana bobroknya apabila seseorang bergelumang dengan semua ini. Oleh itu, saya mengkritik mereka ini sebab saya sudah pun bermulazamah berada di dunia mereka dan terpengaruh dengan mereka. Sedikit sebanyak saya tahu hakikat sebenar mereka ini.

Saya menyergah batiniah kerana saya tahu betapa merepeknya dan karutnya ajaran mereka. Saya antara yang pernah menyebarkan fahaman mereka dan mengumpul karya-karya mereka yang berkaitan. Sesiapa sahaja yang masuk ke alam batiniah, dia tidak akan lagi menemukan neraca salah dan benar dalam menilai dakwaan seseorang itu tentang dapat kerohanian dan falsafah padanya.

Semua orang boleh bercakap dan berpendapat apa sahaja. Ambilan ilmu adalah mana yang secocok sahaja. Tiada apa yang boleh menolak pandangan yang kontra memandangkan bekalan ilmu yang dikutip pun tidak diketahui benar dan salahnya.

Saya menyinggung ašᶜarian dalam isu naṣ-naṣ mutasyabihat yang berkaitan dengan sifat Allah kerana saya tahu mereka ini sememangnya berdelusi dan syok sendiri. Lebih tepat lagi, dahulu saya juga terjebak dengan sisa-sisa fahaman jahmian.

Saya antara yang mengingkari pengisbatan sifat ₍al-*Uluww₎ bagi Allah, iaitu Allah di langit dan menuduh mana-mana penyifatan sifat tangan, wajah dan lain-lain kepada-Nya adalah tasybih dan iktikad sifat anggota bagi-Nya.

Setelah saya membaca karya-karya salaf yang menentang jahmian, barulah saya sedar yang kefahaman saya tidak berpijak di atas realiti. Apabila saya menyatakan hal ini, selalunya mereka yang mencemuh saya ini tidak pernah membaca karya-karya salaf yang telah saya sebutkan di banyak tempat.

Saya menentang antitalfiq atau pentaklid tegar kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya bagi seorang muslim untuk ikuti pemahaman dan pengamalan berdasarkan al-Quran dan sunnah. Sikap antitalfiq ini tidak hanya mematikan akal dan membantutkan progresif dalam gerakan intelektual, tetapi ia akan melahirkan generasi yang suka bermain falasi ₍Argumentum Ad Verecundiam₎ apabila dikritik dan diselisih.

Mereka sangka perjuangan untuk kembali kepada sunnah adalah yang dieksploitasi dan disalah guna oleh salafi. Kalaulah mereka tahu bagaimana keluarga al-Ġumāriyy; keluarga keturunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- yang ahli hadis lagi sufi ini, khususnya Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adik-beradiknya seperti *Abdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, *Abdul *Azīz dan *Abdul Ḥayy tidak bermazhab, menentang ketaksuban mazhab dan menyanggah taklid yang tercela, pasti mereka tidak akan menghamburkan kata-kata nista terhadap salafi pada isu ini.

Maknanya, bukan salafi sahaja yang menggiatkan seruan kepada ini, tetapi juga dari tokoh sufi dari keluarga al-Ġumāriyy dan mereka yang menwarisi khazanah ilmiahnya. Semoga Allah merahmati mereka atas usaha dan ketekunan mereka untuk membangunkan masyarakat dengan manhaj yang sahih.

Saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah Tabāroka Wa Ta*ālā dengan setinggi-tinggi kesyukuran kerana saya boleh merasa lapang tanpa ada prasangka yang buruk sepertimana golongan antitalfiq dan mengambil ikutan daripada kata-kata *Abdul *Azīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy tentang mazhab furuk fiqhnya :

وأما الفروع، فلست بحمد الله مقيدا فيها بمذهب من المذاهب، بل مذهبي في ذلك ما صح عن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم من غر نظر إلى موافق أو مخالف. ولعلك تستغرب هذا وتستبعده لقصورك وقصور من حولك عن إدراكه ولكن فضل الله يؤتيه من يشاء ولا ينكر فضله إله القوم الخاسرون. وقبل أن تنكر وتعرض علي وعل من يقول مثل قولي، جرِّبْ نفسك في الدخول في مثل ما دخلنا فيه وروِّضْها على العمل بمقتضاه واعمل على الحصول على الأسباب الموصلة إليه فإنك إن شاء الله سندرك ما أدركناه وتبلغ إلى المقام الذي بلغناه. ثم تصير تعجب ممن يزعم بعد حصول مثل هذا كما تحتقر من يرضى في دينه بالدنية فيقلد فيه كل ناعق ويتبع كل داع كاذب أو صادق. والوصول إلي هذا المقام سهل لمن وفقه الله وهداه إلى العمل على الحصول عليه. فبشيء من الاجتهاد والمباثرة على مطالعة كتب الخلاف العالي مع دوام النظر والمراجعة في كتب الأحكم من الحديث والوقوف على شروحها المبينة لنساخها من منسوخها ومجملها من مُفَصَّلها وخاصها من عامتها، تستطيع أن تصل إلى المرتبة تختار فيها القول الذي تراه موافقا للدليل الصحيح من غير أن ترجع إلى قول إمام من أئمة المذهب مطلقا. والله أعلم.

Adapun bahagian furuk, bukanlah aku -dengan segala puji bagi Allah- terikat dengan suatu mazhab dari mana-mana mazhab. Bahkan, mazhabku pada hal itu adalah apa yang sahih daripada Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- tanpa perlu melihat orang yang menyetujui atau menyalahinya.

Mungkin sahaja engkau merasa hairan terhadap ini dan merasa asing terhadapnya kerana keterhadanmu dan keterhadan upayamu dari mencapainya. Akan tetapi, kurniaan Allah adalah pemberian-Nya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Tidak mengingkari kurniaan ini melainkan kaum yang rugi. Sebelum engkau mengingkari dan merintangiku serta orang yang berkata sepertimana kata-kataku, ujikajilah dirimu dalam memasuki semisal apa yang kami masuk ke dalamnya dan latihlah untuk pengamalan yang bersesuaian dengannya serta lakukanlah sampai ke perolehan sebab-sebab yang menyampaikan kepadanya. Ini kerana sesungguhnya dengan izin Allah, engkau akan mencapai apa yang kami telah mencapainya dan engkau sampai kepada kedudukan yang kami telah sampai kepadanya. Kemudian engkau akan hairan terhadap orang yang mendakwa jauhnya perolehan seperti ini sepertimana engkau memperlekeh terhadap orang yang puas beragama dengan kenistaan, lalu dia bertaklid pada setiap yang mengoceh serta mengikut penyeru yang berdusta atau benar.

Penyampaian kepada kedudukan ini adalah mudah bagi orang yang dituntun oleh Allah dan orang yang Dia beri hidayah kepadanya kepada perlaksanaan untuk memperolehnya. Dengan sesuatu daripada ijtihad, ketekunan dalam menelaah kitab-kitab khilaf yang tinggi bersama kesentiasaan pemerhatian dan ulangkaji dalam kitab hukum-hakam hadis serta mengetahui syarahan-syarahannya yang menjelaskan nasikh pada mansukhnya, mujmal pada mufassolnya, kekhasannya pada keumumannya, engkau mampu mencapai martabat yang engkau memilih pendapat yang engkau lihat bertepatan dengan dalil yang sahih padanya tanpa merujuk kepada pendapat salah seorang imam daripada para imam mazhab secara mutlak. Allah lebih mengetahui. [Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsīm/s 34-35keluaran Dār ar-Rowḍoh al-Islāmiyyah].

Segala puji bagi Allah yang mengeluarkan saya daripada delusi dan kepincangan fahaman, pegangan dan pendirian serta memperlihatkan saya kepada realiti yang membawa saya kepada jalan yang sepatutnya saya ikuti.

Semoga Allah sentiasa pelihara iman saya dan meneguhkan saya untuk istiqamah di atas kebenaran secara tulus sehingga akhir nafas saya. Dan semoga mereka yang membaca penulisan saya dapat memperoleh faedah ilmu, kemantapan kefahaman, seterusnya kepada pembinaan menjadi hamba yang terbaik untuk Yang Maha Pengasih di dunia dan di akhirat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653029149885218816/celoteh-peribadi-67-mengapa-saya-selalu-sahaja

Celoteh 68 : Sosok Yang Tidak Terkenal, Tetapi Unggul

Siapakah sosok yang tidak terkenal dan tidak memiliki kenamaan yang besar, tetapi memiliki kemampuan yang hebat dan memberikan pengaruh kepada seseorang individu atau keluarganya generasi didikan dan cetusannya?

Kalau soalan ini ditanya kepada saya, maka saya menjawab antara orang tersebut adalah Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy. Nama inilah yang saya selalu terlintas dan teringat apabila berbicara topik seperti ini.

Kalau disebut tentang keturunan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- daripada keluarga al-Ġumāriyy, kita akan dikenalkan dengan nama-nama anak-anak Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang merupakan tokoh ahli hadis, mujtahid, mujaddid lagi sufi. Mereka adalah Aḥmad, *Abdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, *Abdul Ḥayy, *Abdul *Azīz, al-Ḥasan dan Ibrōhīm. Lima yang terawal adalah lebih dominan pengaruhnya jika disebut tentang keluarga al-Ġumāriyy. Akan tetapi, kebetulankah mereka menjadi unggul sebegini?

Ia adalah melalui didikan ayah mereka yang juga seorang ilmuan yang terbilang. Dia seorang yang menguasai pelbagai ilmu secara tahqiq seperti ilmu nahu, ilmu kalam, ilmu tafsir, ilmu mantiq, ilmu fiqh, ilmu uṣūl, luas pembacaannya, kuat hujahnya, seorang yang fasih lagi bijaksana serta bersemadinya sifat-sifat yang mulia dalam dirinya.

Dialah yang giat aktif memperjuangkan seruan untuk mengikuti sunnah, menjauhi taklid yang tercela, menentang ketaksuban mazhab, menghidupkan tradisi ilmu dan pengamalan kepada kesufian yang murni.

Dia menunjukkan keterbukaanya kepada pelbagai mazhab dengan menelaah pelbagai kitab mazhab yang berlainan, berdebat dengan beberapa tokoh yang menzahirkan ketaksuban kepada mazhab, mengembalikan pengamalan sufi kepada landasan yang lurus serta menunjukkan teladan yang baik yang dikagumi dan dicontohi oleh anak-anaknya dan mereka di sekelilingnya.

Cerita tentangnya lebih panjang oleh anak sulungnya; Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy dalam «at-Taṣowwur Wa at-Taṣdīq Bi Aẖbār aš-Šayẖ Sīdī Muḥammad Ibn aṣ-Ṣiddīq» dan adiknya; *Abdul *Azīz dalam «Ta*rīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī» serta disentuh sedikit oleh adiknya; Muḥammad az-Zamzamiyy juga dalam «az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bida* Wa al-A*māl al-Munkaroh». Sesiapa yang berkeinginan untuk mengetahui ceritanya lebih lanjut, boleh membaca tiga karya utama ini yang memperincikan ceritanya.

Nama ayah mereka tidak begitu popular di mata di dunia. Menurut *Abdul *Azīz, dia tidak begitu minat menulis sebarang kitab meskipun kemapanan ilmunya dan keluasan hafalannya sudah pun memudahkan untuk mencapaikan cita-citanya.

Salah satu sebabnya kerana tidak mahu meraih populariti. Kalau pun menulis, dia akan membakar sebahagiannya. Sebahagiannya pula tidak lagi ditemukan seperti penulisan tentang ₍at-Ta*awwuḏ ₎dan pembacaan basmalah dalam solat menurut mazhab Mālik.

Malah, Aḥmad menceritakan sememangnya secara umumnya dia tidak mahu dikenali sehinggakan dia sanggup berjalan ke jalan yang sunyi yang jauh dari tempatnya jika ingin keluar untuk ziarah atau memenuhi undangan atau menyampaikan pengajaran.

Kita dapat tahu tentang ayahnya pun melalui penceritaan anak-anaknya yang tersohor. Kalau anak-anaknya tidak tersohor, tentu sahaja nama ayahnya juga akan tersembunyi di mata sejarah. Kalau ada di karya lain yang menceritakan tentang Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, ia tidak seterperinci sepertimana yang diceritakan anak-anaknya. Namun, keunggulannya dan gilang-gemilangnya diwarisi melalui anak-anaknya yang telah menyaksikannya dan membekas kesemua itu dalam ke seluruh hayat mereka.

Masing-masing mungkin ada nama yang ingin diperkenalkan. Saya mengalu-alukan kepada sesiapa untuk berkongsi tentang nama-nama yang terasing dalam lipatan sejarah, tetapi memberi pengaruh yang besar kepada seseorang individu atau keluarganya atau generasinya. Mengenali mereka ini mungkin sahaja memberikan kita teladan dan pelajaran yang berguna untuk tatapan pembaca.

Apapun, saya berkongsi cerita ini supaya mereka yang menjadi warga pendidik atau pendakwah agar jangan merasa kecewa jika tidak pernah mendapat tempat di buah mulut atau ingatan di biografi yang tertulis serta dia dikenangi dalam wacana ilmiah.

Lebih baik kita fokus membentuk dan membina seorang individu yang mampu menjadi bermanfaat buat dirinya, bidang keilmuan dan masyarakat setempatnya berbanding merekrut ramai pengikut yang akhirnya tidak menatijahkan apa-apa melainkan sekadar ketaksuban atau kemandulan yang tidak mampu menjadi progresif sepertimana gurunya.

Biarlah kita dalam ingatan yang bermakna daripada seorang individu atau beberapa orang sahaja. Dan apa yang lebih penting adalah apa yang kita usahakan adalah semata-mata untuk redha Allah, berkhidmat untuk agama-Nya dan berbakti kepada dunia keilmuan, bukan mengejar kemahsyuran dan tatapan keterujaan dari pelbagai pengikut.

Kemudian, supaya kita tidak memandang rendah atau memperlekeh orang lain yang tidak dikenali secara sembarangan. Jika wali Allah boleh berada di mana sahaja dengan penzahiran yang kita tidak menyedari keberadaannya, para faqih juga boleh jadi sedemikian.

Kita tidak tahu yang mungkin sahaja kita akan berkonfrontasi dengan seorang yang memiliki kewibawaan dan kesarjanaan akibat lunturnya sangka baik terhadap sesama muslim dan tawaduk sesama saudara. Hanya sebab seseorang itu tidak terkenal, kita bersikap keterlaluan dalam berlaga ataupun berselisih. Sebab itu, berjaga-jagalah apabila berinteraksi dengan orang yang tidak kita kenali.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653274196443545600/celoteh-peribadi-68-sosok-yang-tidak-terkenal

Celoteh 69 : Terlunturnya Kecintaan Populariti Dalam Diri Saya

Saya bersyukur kepada Allah kerana Dia melunturkan kedambaan untuk meraih populariti dalam jiwa saya dan tidak peduli siapa yang akan mengikuti dan meninggalkan saya. Mungkin sahaja sudah lebih daripada tujuh tahun saya bergelumang dalam penulisan ilmiah.

Namun, saya tetap mara ke hadapan dan tetap menyampaikan dan mengongsikan meskipun penulisan saya tidak dicapai oleh mana-mana orang. Semoga Allah kekalkan nikmat ini sehingga saya menghembuskan nafas akhir saya.

Saya sememangnya menulis atas dasar minat untuk menabur bakti kepada bidang keilmuan, di samping mencari keredhaan Allah Tabāroka Wa Ta*ālā. Walaupun saya telah menghasilkan penulisan yang beraneka, tetapi saya tidak terkesan jika sedikit atau tiada siapa yang ingin membacanya.

Walaupun saya ada menaruh harapan bahawa pada suatu hari nanti, ada orang berminat untuk membacanya dan mengambil manfaat daripadanya, saya tetap mengutamakan kepuasan diri saya, fokus untuk membentangkan penulisan yang terbaik dan kekal untuk mengharapkan limpahan rahmat daripada-Nya.

Kalau pun saya menginginkan pengikut, saya akan hanya mengiktiraf mereka yang memiliki kemampuan ilmu bahasa Arab, ilmu uṣūl dan ilmu hadis dan beberapa ilmu yang lain serta memiliki entusias dalam intelektual dan pemikiran kritis. Tentu lagi jika ingin mengangkat sebagai sahabat atau teman sefikrah.

Saya sama sekali tidak menganggap seseorang pengikut jika hanya bertaklid pandangan saya atau mereka yang sama sekali tidak memiliki ilmu yang penting bagi seorang yang faqih. Para pentaklid ini sebenarnya terdedah dengan ikutan hawa nafsu atau mudah terumbang-ambing dalam ikutan. Sebab itulah lebih baik kita ditemani oleh rakan yang memiliki mutu yang tinggi berbanding ramai pengikut sekeliling, tetapi tidak memberi apa-apa faedah.

Pun begitu, bukan bermakna saya tidak menganggap mereka adalah saudara seagama yang sama-sama berpegang dan berjuang untuk akidah yang murni dan keluhuran Islam. Malah, saya boleh sahaja untuk bergaul dan beramah mesra dengan mereka sebagai sahabat yang biasa. Cuma, untuk mengatakan bahawa dia seyogianya dipanggil pengikut saya atau teman sekefahaman dengan saya, maka saya perlu ada piawaian.

Syarat yang saya letakkan ini bukan untuk kepentingan saya semata-mata, tetapi untuk kebaikan mereka. Saya sedang menyarankan kepada mereka agar pelajari ilmu-ilmu yang vital dan krusial yang menyampaikan seseorang kepada faqih.

Biarlah ikutan kita dalam agama berasaskan kritis dan penghujahan yang kukuh. Sama ada ingin mengikuti saya atau orang lain atau mana-mana tokoh, lebih baik kita mengikuti mereka atas dasar kecelikan dan kecendekiaan. Mana-mana orang pun akan merasa bangga jika pengikutnya adalah terdiri daripada golongan yang faqih.

Bukanlah di sini saya menganggap bahawa saya sama berdiri dengan para sarjana yang terbilang. Saya mungkin lebih hina daripada debu di sisi mereka. Allah lebih mengetahui kedudukan saya.

Saya pun menzahirkan kesyukuran kepada-Nya dengan setinggi-tinggi kesyukuran kerana menganugerahkan beberapa ilmu yang berguna untuk diri saya. Namun, saya sedaya upaya agar tidak berlebihan dalam mengungkapkan kesyukuran serta sentiasa meletakkan kedudukan diri yang sewajarnya.

Apapun, saya juga seorang penuntut ilmu yang masih berusaha untuk melaburkan ketekunan dan usaha untuk memperbaiki kelemahan saya, meningkatkan penguasaan ilmu saya dan menambahkan bekalan di dada.

Dalam masa yang sama, saya akan berjuang untuk menebarkan kebenaran dan menyangkal penyelewengan, kebatilan dan kesesatan semampu yang saya ada dengan izin-Nya dan kurniaan-Nya kerana itulah tanggungjawab sebagai seorang muslim yang diberikan nikmat ilmu.

Saya berkongsi kerana dasar kecintaan saya untuk menyumbang kepada lapangan ilmiah. Sama ada orang ingin mengambil manfaat ataupun tidak, itu saya tidak peduli.

Namun, jika ia bermanfaat kepada minda dan jiwa, saya mengharapkan pahala yang besar dari sisi-Nya dan melimpahkan kebaikan kepada para pembaca. Jika ia tidak bermanfaat, maka saya mengharapkan keampunan daripada-Nya terhadap kekurangan, keaiban, kelompongan dan kesilapan saya.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/653374673366794240/celoteh-peribadi-69-terlunturnya-kecintaan

No comments:

Post a Comment