Tuesday, February 18, 2020

Asal Perbuatan Rasulullah Bukanlah Hukum Šar*iyy Melainkan Ditunjukkan Dalilnya

Pada perbuatan Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, bukanlah sekali-kali dianggap hukum yang šar*iyy yakni wajib atau sunat melainkan ada dalil-dalil yang menyokong hal tersebut. Pertama, jika semua perbuatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- adalah šar*iyy, maka wajib atau sunat mengikuti garis masa dan tahapan peringkat kehidupan baginda. Ini sangat tidak mungkin kerana bukan semua orang terikat untuk memulakan dakwah secara senyap, mengutuskan utusan dan lain-lain dalam kehidupan seharian. Kedua, jika kita berinteraksi dengan nas-nas berikut :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى ، وَمُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ ، قَالَا : حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ ، حَدَّثَنَا شُعْبَةُ ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ ، قَالَ : سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ يَزِيدَ يُحَدِّثُ ، عَنْ الْأَسْوَدِ ، عَنْ عَائِشَةَ ، أَنَّهَا قَالَتْ : " مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ شَعِيرٍ يَوْمَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ ، حَتَّى قُبِضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " .

Muḥammad bin al-Muṯannā dan Muḥammad bin Baššār telah merawi hadis kepada kami, mereka berdua berkata; Muḥammad bin Ja*far telah merawi hadis kepada kami; Šu*bah telah merawi hadis kepada kami, daripada Abū Iṣhāq, dia berkata; aku mendengar *Abdul Roḥmān bin Yazīd menceritakan daripada al-Aswad, daripada *Ā^išah bahawasanya dia berkata: "Keluarga Muhammad -ṣollallahu *alayhi wasallam- tidak pernah kenyang dengan roti gandum selama beberapa hari sehingga Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- wafat". [Ṣoḥīḥ Muslim, kitāb az-Zuhd Wa ar-Roqō^iq, no. 5280].

حَدَّثَنَا عَفَّانُ ، حَدَّثَنَا ثَابِتٌ يَعْنِي ابْنَ يَزِيدَ ، حَدَّثَنَا هِلَالٌ ، عَنْ عِكْرِمَةَ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاس ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ " يَبِيتُ اللَّيَالِي الْمُتَتَابِعَةَ طَاوِيًا ، وَأَهْلُهُ لَا يَجِدُونَ عَشَاءً " , قَالَ : وَكَانَ عَامَّةُ خُبْزِهِمْ خُبْزَ الشَّعِيرِ .

*Affān telah merawi hadis kepada kami; Ṯābit, yakni Ibn Yazīd telah merawi hadis kepada kami; Hilāl telah merawi hadis kepada kami, daripada *Ikrimah, daripada Ibn *Abbās: "Bahawasanya Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- pernah mengalami kelaparan untuk beberapa malam berturutan dan keluarganya tidak mempunyai makan malam". Dia berkata: "Sedangkan kebanyakan roti mereka adalah roti gandum".[Musnad Aḥmad, no. 2218].

حَدَّثَنَا عَبَّاسُ بْنُ مُحَمَّدٍ الدُّورِيُّ ، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ أَبِي بُكَيْرٍ ، حَدَّثَنَا حَرِيزُ بْنُ عُثْمَانَ ، عَنْ سُلَيْمِ بْنِ عَامِرٍ ، قَال : سَمِعْتُ أَبَا أُمَامَةَ يَقُولُ : " مَا كَانَ يَفْضُلُ عَنْ أَهْلِ بَيْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خُبْزُ الشَّعِيرِ "

*Abbās bin Muḥammad ad-Dūriyy telah merawi hadis kepada kami; Yaḥyā bin Abū Bukayr telah merawi hadis kepada kami; Ḥarīz bin *Uṯmān telah merawi hadis kepada kami, daripada Sulaym bin *Āmir, dia berkata; aku mendengar Abū Umāmah berkata: "Tidak pernah ada lebihan gandum pada keluarga Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-". [Sunan at-Tirmiḏiyy, kitāb az-Zuhd, no. 2294].

Pasti tidak ada yang pernah terlintas untuk menetapkan kewajiban ataupun sunat untuk gaya hidup seperti ini. Maka, asal hukum dalam perbuatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- adalah bukanlah hukum šar*iyy sehingga ditunjukkan dalil terhadapnya sama ada larangan kerana pengkhususan sesuatu hukum atau kewajiban atau sunat.

No comments:

Post a Comment