Sunday, February 9, 2020

Ibadah, Adat Dan Bidaah

Dalam menetapkan suatu hal itu adalah hal itu adalah bidaah ataupun tidak, kadangkala seseorang itu terkeliru dalam menentukan sama ada ia adalah urusan adat yang mana keharusan adalah hukum asalnya sehinggalah ditunjukkan dalil yang memalingkannya atau urusan ibadah yang wajib bagi seseorang untuk tidak membuat tatacara sendiri. Penulisan ini akan membantu untuk merungkaikan kekeliruan yang menyebabkan campur baur antara ibadah atau adat.

Takrif ibadah untuk konteks perbahasan kita adalah :

"Sesuatu praktis yang mempunyai identiti secara zat terhadap agama Islam yang dibawa oleh syariat Muhammad -ṣollallahu *alayhi wasallam- dan keberdiriannya itu bukan dipengaruhi oleh selain daripada apa yang benar daripada al-Qur^ān dan as-Sunnah".

Jadi, terdapat tiga perkara yang penting dalam memahami sesuatu itu dikatakan ibadah :

Pertama : Identiti Secara Zat Terhadap Agama Islam.

Praktis itu apabila ia dilaksanakan ia dibuat kerana hal tersebut yang bersangkut paut dengan apa yang dituntut di dalam agama ini. Atau dengan kata lain, apabila praktis itu dilaksanakan, mahu atau tidak, pasti ia akan berbalik kepada apa yang telah ditetapkan peraturannya di dalam Islam. Misalnya seperti keimanan, akidah, solat, haji, puasa, zakat, umrah, wuduk dan lain-lain. Namun, kadangkala dalam bersangkut paut dengan urusan keduniaan juga ada praktis yang mahu atau tidak, ia akan dilaksanakan kerana ia identikal terhadap peraturan Islam. Misalnya, seperti pengharaman memakai sutera dan emas bagi lelaki, sunatnya memakan tamar *Ajwah dan lain-lain. Oleh hal yang demikian, apa yang dikatakan ibadah adalah apabila ia dilakukan, mesti atau tidak, ia berbalik kepada apa yang telah ditetapkan peraturannya di dalam Islam, bukan yang lainnya.

Saya sengaja menggunakan perkataan "identiti secara zat" kerana di sana terdapat yang menjadi "simbolik yang disandarkan" kepada agama ini. Perkara ini tidak termasuk dalam takrif ibadah sekalipun ia disimbolkan seperti itu. Dan ini akan dijelaskan nanti.

Ada dua analisis yang penting untuk dilihat dalam memahami perbincangan ini.

Analisis Pertama : Firman Allah Ta*ālā :

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّـهُ ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ ۗ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٢١

"Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu dalam urusan agama yang mensyariatkan apa yang bukan daripada izin Allah? Kalau bukan kerana ketetapan keputusan (menangguhkan seksa), pasti telah dilaksanakan di antara mereka. Dan sesungguhnya bagi orang yang zalim ada azab yang pedih untuk mereka". [Surah aš-Šūrō ayat 21].

Antara contoh yang menetapkan pensyariatan yang tidak didasari daripada apa yang diizinkan Allah adalah seperti, yang pertama adalah menetapkan sebahagian haram dan sebahagian halal tanpa didasari hujah yang kukuh sepertimana firman-Nya Yang Maha Mulia :

قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّـهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّـهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى اللَّـهِ تَفْتَرُونَ ﴿٥٩

Katakanlah: "Apakah kamu telah melihat apa yang telah Allah turunkan rezeki kepada kamu, lalu kamu menjadikannya sebahagiannya halal dan sebahagiannya haram?". Katakanlah: "Apakah Allah mengizinkan untuk kamu atau kalian mengada-adakan (sesuatu) terhadap Allah?". [Surah Yūnus ayat 59].

Kedua, mengharamkan aṭ-Ṭoyyibāt dan perhiasan-perhiasan untuk hamba-Nya.

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

"Katakanlah, siapa yang mengharamkan perhiasan Allah yang dikeluarkan untuk hamba-Nya dan kebaikan-kebaikan yang berupa rezeki?". [Surah al-A*rōf ayat 32].

Ketiga, antara contoh pengharaman yang tidak ada dalil baginya adalah sepertimana yang Allah berfirman tentangnya :

ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ ۖ مِّنَ الضَّأْنِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْمَعْزِ اثْنَيْنِ ۗ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ ۖ نَبِّئُونِي بِعِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿١٤٣﴾ وَمِنَ الْإِبِلِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْبَقَرِ اثْنَيْنِ ۗ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ ۖ أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ وَصَّاكُمُ اللَّـهُ بِهَـٰذَا ۚ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا لِّيُضِلَّ النَّاسَ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿١٤٤

Dan lapan (haiwan) yang berpasangan daripada sepasang biri-biri dan daripada sepasang kambing, katakanlah: "Apakah dua jantan (dari biri-biri dan kambing) yang Dia haramkan atau dua yang betina (daripada biri-biri dan kambing) ataukakah dua yang betina (daripada biri-biri dan kambing) yang ada dalam kandungannya? Jelaskan kepadaku berdasarkan ilmu jika engkau adalah benar!". Dan daripada sepasang unta dan daripada sepasang lembu, katakanlah: "Apakah dua yang jantang (daripada unta dan lembu) yang Dia haramkan atau dua yang betina (daripada unta dan lembu) ataukah dua betina apa yang ada dalam kandungannya? Apakah kalian semua menjadikan saksi ketika Allah menetapkan terhadap ini? Maka siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang mengadakan kedustaan terhadap Allah untuk menyesatkan manusia tanpa ilmu? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim". [Surah al-An*ām ayat 143-144].

Semua ini adalah di dalam kategori yang dipayungi oleh kaedah fiqh :

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

"Asal dalam tiap-tiap sesuatu adalah harus".

Kecaman Allah di atas tadi adalah kerana mereka membuat sesuatu pensyariatan yang mana dia mengharamkan apa yang termasuk dalam keterikatan hukum asalnya adalah harus tanpa didasari hujah yang valid.

Namun, di sana adanya praktis yang mana keterikatan hukum asalnya adalah haram melainkan ada dalil yang membenarkannya, tetapi ia telah diciptakan pensyaritannya tanpa hujah. Contohnya seperti, yang pertama adalah praktis-praktis agama :

وَجَعَلُوا لِلَّـهِ مِمَّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالْأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُوا هَـٰذَا لِلَّـهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـٰذَا لِشُرَكَائِنَا ۖفَمَا كَانَ لِشُرَكَائِهِمْ فَلَا يَصِلُ إِلَى اللَّـهِ ۖ وَمَا كَانَ لِلَّـهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَىٰ شُرَكَائِهِمْ ۗ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ ﴿١٣٦

Dan mereka menyediakan sebahagian hasil tanaman dan haiwan tertentu (bahagian) untuk Allah sambil berkata menurut pandangan mereka: "Ini adalah untuk Allah dan ini untuk sekutu-sekutu (berhala) kami". Maka apa yang mereka jadikan bahagian untuk sekutu-sekutu mereka, maka tidak akan sampai kepada Allah dan apa yang jadi (bahagian) untuk Allah, maka tidak sampai kepada sekutu-sekutu mereka. Sangatlah buruk terhadap apa yang mereka putuskan. [Surah al-An*ām ayat 137].

Kedua, menetapkan perkara ghaib tanpa didasari ilmu yang benar.

وَجَعَلُوا لِلَّـهِ شُرَكَاءَ الْجِنَّ وَخَلَقَهُمْ ۖ وَخَرَقُوا لَهُ بَنِينَ وَبَنَاتٍ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۚ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يَصِفُونَ ﴿١٠٠

"Dan mereka (orang-orang Musyrik) menjadikan jin sekutu-sekutu bagi Allah. Padahal Dia menciptakan mereka dan mereka berbohong bahawa Allah mempunyai anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan tanpa pengetahuan. Maha Suci-Nya dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka sifatkan". [Surah al-An*ām ayat 100].

قَالُوا اتَّخَذَ اللَّـهُ وَلَدًا ۗ سُبْحَانَهُ ۖ هُوَ الْغَنِيُّ ۖ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۚ إِنْ عِندَكُم مِّن سُلْطَانٍ بِهَـٰذَا ۚ أَتَقُولُونَ عَلَى اللَّـهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ﴿٦٨

Mereka berkata" "Allah mempunyai anak". Maha Suci Dia! Dialah Yang Maha Kaya. Dia memliki apa-apa yang ada langit dan apa-apa yang ada di bumi. Tidaklah di sisi kalian mempunyai kekuasaan untuk ini, mengapa kalian memperkatakan terhadap Allah pada apa yang kamu tidak tahu?". [Surah Yūnus ayat 68].

وَيُنذِرَ الَّذِينَ قَالُوا اتَّخَذَ اللَّـهُ وَلَدًا ﴿٤﴾ مَّا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ وَلَا لِآبَائِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةً تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ ۚإِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًا ﴿٥

Dan untuk memperingatakan kepada orang yang berkata: "Allah mengambil anak". Mereka tidak ada pengetahui tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah buruknya perkataan yang keluar daripada mulut-mulut mereka". Tidaklah mereka berkata melainkan dusta". [Surah al-Kahfi ayat 4-5].

Semua perkara tersebut termasuk dalam kaedah :

الأصل في العبادات التحريم

“Asal pada ibadah adalah haram”.

Kecaman Allah di atas kerana menetapkan sesuatu pensyaritan yang mana menetapkan sesuatu yang termasuk dalam keterikatan hukum asalnya adalah haram tanpa bersandarkan hujah yang valid.

Dalam memahami perbezaan kedua-dua ini akan dijelaskan lebih lanjut. 

Apapun, jika sesuatu itu telah ditentukan bahagian di tempat pengelasan keterikatan hukum asalnya masing-masing, apabila ia menetapkan atau mengharamkan sesuatu tanpa berdasarkan hujah agar hukum asalnya dipalingkan, maka ia termasuk perkara yang dikecam dalam agama. Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

 " مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ " .

"Barangsiapa yang membuat perkara baharu yang tidak ada dalam urusan kami ini, maka ia tertolak". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, kitāb aṣ-Ṣulḥ, no. 2512].

Begitu juga dengan sabda baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

وَشَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا , وَكُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ , وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ , وَكُلَّ ضَلالَةٍ فِي النَّارِ

“Seburuk-buruk perkara adalah perkara baharu. Tiap-tiap yang baharu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat di dalam neraka”. [Ṣoḥīḥ Ibn Ḥuzaymah, kitāb al-Jum'ah, no. 1689].

Analisis Kedua : *Ā^išah berkata: 

أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ أَصْوَاتًا ، فَقَالَ : " مَا هَذِهِ الْأَصْوَاتُ ؟ " قَالُوا : النَّخْلُ يُؤَبِّرُونَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ . فَقَالَ : " لَوْ لَمْ يَفْعَلُوا لَصَلُحَ " . فَلَمْ يُؤَبِّرُوا عَامَئِذٍ ، فَصَارَ شِيصًا ، فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : " إِذَا كَانَ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ دُنْيَاكُمْ فَشَأْنَكُمْ بِهِ ، وَإِذَا كَانَ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ دِينِكُمْ فَإِلَيَّ " .

Bahawasanya Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- mendengar suara-suara, lantas baginda berkata: "Apakah bunyi-bunyi ini?". Mereka berkata: "Mereka mengahwinkan pohon tamar, wahai Rasulullah". Baginda pun berkata: "Kalau mereka tidak melakukan, pasti lebih baik". Maka, mereka pun tidak mengahwinkannya. Pada tahun itu, pohon tersebut menjadi rosak. Lalu mereka menyebutkan tentang hal kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, maka baginda pun berkata: "Adapun jika ia berkenaan dengan urusan dunia kalian, maka itu urusan kalian, adapun jika ia sesuatu urusan agama kamu semua, maka rujuklah kepadaku". [Musnad Aḥmad, no. 24356].

Dalam memahami maksud perkataan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-: "Jika ia berkenaan dengan urusan dunia kalian, maka itu urusan kalian", kita boleh fahami bahawa yang dimaksudkan urusan dunia adalah sesuatu urusan yang bukan daripada ketetapan di dalam agama Islam pada perlaksanaannya yang bukan dengan faktor yang lain daripada apa yang benar daripada al-Qur^ā dan as-Sunnah. Maksudnya, sesuatu perkara yang mana hal tersebut tidak ada ketetapan di dalam agama Islam dalam perlaksanaannya, semua itu terserah kepada kita bagaimana mengendalikannya sehinggalah apabila datangnya perintah yang khusus secara wahyu untuk menetapkan cara pengendaliannya.

Contoh yang mudah, dalam urusan kurma tersebut, maka kita boleh mengendalikannya dengan cara kebijaksanan kita tanpa perlu merujuk atau bergantung dengan teks daripada oleh al-Qur^ān dan as-Sunnah. Namun, andaikan jika ada datangnya tatacara yang ta*abbudiyy yang menetapkan secara khusus dalam pengendaliannya, maka  hal tersebut adalah perkara yang berada dalam lapangan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang mana baginda lebih mengetahui akan hal demikian dan kebijaksanaan kita tidak dapat teraplikasi dalam perkara itu. Mahu atau tidak mahu, kita perlu patuh dan taat. Maka, jika perkara ini berlaku, jika perlaksanaan yang ditetapkan ini kembali sebabnya dengan apa yang dibawa oleh agama Islam, maka itulah yang dikatakan ibadah.

Perlu diingatkan di sini, identiti di sini adalah ia sememangnya nyata dan jelas daripada apa yang dipaparkan dalam al-Qur^ān dan as-Sunnah. Identiti di sini juga adalah dengan maksud secara zatnya hal itu sememangnya telah menjadi ketetapan di dalam Islam. Adapun, perkara-perkara yang mendatang yang disandarkan kepadanya, maka itu sekadar simbolik semata-mata, pada hakikatnya bukanlah ia dianggap sesuatu yang dianggap urusan ibadah. Namun, bukan bermakna ia salah dan tertolak. Ia cumalah dipakaikan dengan makna simbolik sahaja, bukan dalam ketetapan zat yang ada di dalam agama itu sendiri. Dan ini akan dijelaskan kemudian.

Kedua : Dibawa Oleh Syariat Nabi Muhammad -ṣollallahu *alayhi wasallam-

Sudah tentu ibadah yang diterima untuk ini adalah apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad -ṣollallahu *alayhi wasallam-, bukannya kebergantungan dengan syariat yang terdahulu atau selain yang dibawa oleh baginda.

Ketiga : Keberdiriannya Itu Bukan Dipengaruhi Oleh Selain Daripada Apa Yang Benar Daripada Al-Qur^ān Dan As-Sunnah.

Sebelum menjelaskan lebih lanjut, terlebih dahulu kita mengetahui apakah yang dikatakan al-Quran dan as-Sunnah. Al-Qur^ān adalah :

 كلام الله تعالى المعجز المنزل على خاتم الأنبياء والمرسلين بواسطة الأمين جبريل عليه السلام المكتوب في المصاحف المنقول إلينا بالتواتر المتعبد بتلاوته، المبدوء بسورة الفاتحة، والمختتم بسورة الناس

Kalamullah yang berupa mukjizat, diturunkan kepada penutup para nabi dan rasul melalui perantara al-Amīn, Jibril -*alayhissalām- yang tertulis pada mushaf, diriwayatkan kepada kita secara mutawattir, membacanya adalah dianggap suatu ibadah dan ia dimulai dengan surah al-Fātiḥah dan diakhiri dengan Surah an-Nās. [At-Tibyān Fī *Ulūm al-Qur^ān, karya Muḥammad *Aliyy aṣ-Ṣōbūniyy, m/s 8, keluaran Dār Iḥsān Li an-Našr wa at-Tawzī*].

Manakala as-Sunnah pula adalah khabar sahih yang marfu' daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam segenap aspek yang boleh dijadikan hujah dalam urusan agama.

Yang dimaksudkan "Keberdiriannya itu bukan dipengaruhi oleh selain daripada apa yang benar daripada al-Quran dan as-Sunnah" adalah dilihat daripada empat aspek.

Aspek Pertama : Adat.

Adat adalah apa-apa yang bukan ditetapkan dalam ibadah. Atau dengan kata lain, ia sesuatu yang lain daripada ibadah yang ditetapkan. Sesuatu yang dikatakan ibadah itu bukan kerana ia didirikan atas kerana adat. Misalnya pengharaman sutera dan emas bagi lelaki bukan disebabkan kerana uruf sesuatu tempat atau sesuatu zaman atau sesuatu situasi. Misal yang lain adalah perlaksanaan wuduk bukan disebabkan kerana praktik pembersihan dan penyucian yang diamalkan oleh orang. Misal yang lain adalah perlaksanaan haji bukan kerana disebabkan perlancongan, perantauan atau pengembraan yang dilakukan oleh orang lain. Semua ini adalah kerana ia sememangnya ketetapan di dalam Islam itu sendiri, bukan elemen-elemen yang disebabkan oleh adat ataupun kewujudan adat itu sendiri yang menerbitkan ketetapan dalam ibadah, sama ada penghapusan atau kewujudan ibadah itu.

Jika ditanya "adakah ibadah boleh berkaitan dengan adat?", kita katakan ia boleh saling berkaitan. Misalnya dalam perlaksanaan haji semestinya memerlukan kos belanja yang mencukupi dan berkemampuan secara fizikal. Dalam memenuhi syarat ini, ia bergantung pada cara masing-masing untuk memperolehnya secara adat. Namun, walaupun perlaksanaan ibadah itu ada berkaitan dengan adat, namun bukanlah adat itu sendiri yang mempengaruhi keberdirian ibadah itu. Dengan kata lain, bukanlah berkemampuan fizikal dan cukupnya kos belanja menghasilkan pensyariatan haji atau sebab wujudnya ibadah haji, tetapi ketetapan agama itu sendiri yang menjadi keberdirian ibadah haji. Jika seseorang itu tidak mempunyai kos yang cukup atau tidak mempunyai kemampuan fizikal, ia sesekali tidak membatalkan ibadah haji kerana yang menetapkan hal tersebut bukan adat itu sendiri, tetapi ketetapan daripada agama itu sendiri yang menjadi keberdirian ibadah itu. Walaupun perlaksanaannya tidak memungkinkan untuk dilaksanakan kerana tidak mencukupi syarat, ia sesekali bukan sebab ibadah haji terhapus dan tidak valid.

Aspek Kedua : Ijtihad

Sesuatu yang dikatakan ibadah itu bukan atas kerana ijtihad. Ijtihad yang dimaksudkan di sini bukan yang maklum dalam usul fiqh, tetapi ijtihad di sini adalah keputusan yang ditetapkan berdasarkan persepsi dan perspektif. Ijtihad di sini terbahagi kepada dua kategori, sama ada ia ijtihad dari kajian beberapa maklumat atau data ataupun ia berhasil disebabkan pemerhatian dan andaian yang ia diperoleh berdasarkan istishan, iaitu apa yang dirasakan baik untuk dilaksanakan atau ditinggalkan. Ibadah di dalam agama ini bukan berdiri atas faktor ini.

Misalan untuk ijtihad daripada hasil kajian beberapa maklumat atau data seperti kajian seseorang mengenai manfaat pengulangan "mantra" dalam meditasi. Maka, seseorang itu mengamalkannya dengan praktis sebutan zikir yang berulang-ulang. Pada hakikatnya, ibadah zikir atau bacaan al-Quran bukanlah wujud disebabkan perkara ini, tetapi bacaan al-Qur^ān dan amalan zikir itu datangnya daripada ketetapan agama. Jikalau tidak ada ijtihad yang berdasarkan kajian berikut, ia sesekali tidak mempengaruhi keberdiriaan ibadah itu sama ada untuk mewujud atau terhapus. Hanya apa yang disampaikan oleh Allah dan dibawa oleh Rasul-Nya sahaja yang menjadi penyebab pada keberdirian ibadah itu sendiri.

Misalan untuk ijtihad daripada pemerhatian dan andaian yang diperoleh berdasarkan istishan adalah seperti menganggap perlaksanaan solat adalah disebabkan wujudnya ritual penyembahan dan pengabdian yang pelbagai dan berbeza, lalu dengan itu solat dianggap sebagai sesuatu yang didatangkan sebagai alterantif atau gantian. Sebenarnya keberdirian perlaksanaan solat bukan kerana adanya praktis-praktis ritual yang pelbagai dan berbeza, kemudian wujudnya ibadah solat itu, tetapi ia wujud kerana apa yang telah dibawa oleh agama Islam itu sendiri. Jikalau tidak wujudnya ritual-ritual itu, perlaksanaan solat tetaplah sepertimana keadaannya yang mana ia wajib dilaksanakan atas dasar tuntutan ketetapan daripada agama.

Aspek Ketiga : Tafsiran Yang Salah

Sebab itu digunakan lafaz "selain daripada apa yang benar daripada al-Quran dan as-Sunnah" kerana di sana terdapat kesilapan dan penyelewengan dalam penafsiran, kefahaman dan kaedah dalam berinteraksi dengan al-Quran dan as-Sunnah sehinggakan ia tersasar daripada pembawaan yang sebenar dalam agama ini. Perkara itu tidak dianggap ibadah sekalipun ia didakwa dihujahkan dengan al-Quran dan as-Sunnah dan disalutkan dengan imej pembawaan syariat Nabi Muhammad -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Namun, jika ia sesuatu yang termasuk dalam ikhtilaf yang muktabar, perkara ini tidak diingkari dan masing-masing boleh mengikuti mana-mana pandangan yang terpilih baginya.

Aspek Keempat : Illah

Secara asasnya, di dalam perkara ibadah, ia mestilah bersifat ta*abbudiyy yang mana perlaksanaan tersebut tidak ada illah yang menerangkan tentangnya. *Illat di sini adalah sesuatu perkara yang menyebabkan hukum itu berdiri. Misalnya, tidak ada sesuatu sebab pun sama ada secara logik ataupun petunjuk-petunjuk yang lain yang menyebabkan perlaksanaan solat itu wujud atau solat Zohor dilakukan sebanyak empat rakaat atau kewujudan ibadah puasa atau pun yang lain-lain. Mahu atau tidak, ia wujud kerana ia memang telah menjadi ketetapan di dalam agama ini, bukan kerana faktor yang lain. Termasuk juga tidak ada sebab untuk beriman kepada malaikat, perkara ghaib dan lain-lain melainkan kerana ia disebabkan ketetapan di dalam agama ini untuk diyakini dan mempercayai tentangnya.

Bidaah : Antara Identiti Dan Simbolik Pada Agama

Dalam memahami bidaah pula, ia berlaku pada permasalahan yang ketiga, iaitu bersangkut paut dengan pengaruh daripada apa yang selain yang benar daripada al-Qur^ān dan as-Sunnah, lalu ia dianggap sebagai praktik yang mempunyai identiti secara zat di dalam Islam.. Misalnya elemen adat mempengaruhi ibadah seperti mempercayai riwayat-riwayat sejarah Islam. Sesiapa yang mengatakan wajib beriman kepada khabar tentang Muḥammad bin Idrīs aš-Šāfi*iyy yang sahih, maka ini adalah bidaah kerana menjadikan identiti secara zatnya dalam ketetapan Islam, iaitu perkara-perkara keimanan.

Walaupun aš-Šāfi*iyy adalah tokoh fiqh dalam Islam dan ia bersangkut paut dengan hal ehwal agama Islam, tetapi bukan bermakna mempercayai khabar tentang dirinya termasuk perkara yang wajib diimani sepertimana khabar-khabar ghaib tentang kenabian dan rasul yang terdahulu. Namun, menolak khabar tentang sejarah dan perkara yang berkaitan aš-Šāfi*iyy yang sahih adalah kebodohan walaupun ia bukan dalam lingkungan perkara yang wajib diimani.

Jadi dapatlah kita faham beza identiti yang secara zatnya dalam ketetapan Islam dan simbolik yang disandarkan kepada Islam. Kerana pembawaan Islam adalah keimanan yang telah ditetapkan untuk mempercayainya, bukan pada sejarah-sejarah Islam sekalipun ia tidak asing dalam urusan agama kerana pada zatnya bukan itu yang ada pada dalam teras agama Islam. Apa yang disandarkan itu sekadar simbolik, bukan secara terasnya bahawa itu adalah apa yang dibawa oleh Islam.

Begitu juga dengan hal-hal yang berkaitan dengan amalan. Misalnya sambutan maulidurrasul, sekalipun ia disandarkan kepada agama, namun ia simbolik kepada agama itu, bukan identiti pada zat dan teras agama itu sendiri. Kerana kedudukan sambutan maulidurrasul adalah sama seperti kedudukan sambutan mengingati aš-Šāfi*iyy dan tokoh yang lain. Ia tidaklah salah untuk diadakan, namun apabila ia dianggap sebagai teras atau zat pada identiti agama, maka inilah yang dikatakan bidaah.

Perlu diketahui juga bahawa ibadah adalah perkara-perkara ta*abuddiyy dan illah tidak mencangkup dalam perkara ini. Kerana illah terrdedah kepada ijtihad dan ia boleh terhapus dengan faktor-faktor yang lain sedangkan perkara ibadah tidak boleh dipengaruhi oleh sesuatu sebab yang lain untuk keberdirian kewujudannya atau ketiadaannya. Misalnya, pengharaman pemakaian sutera dan emas bagi lelaki, ia adalah perkara ta*abuddiyy sehinggakan tidak ada illah tentang pengharamannya sama ada ia berkaitan dengan uruf ataupun faktor-faktor lain. Jika adanya illah, pasti pengharaman tersebut boleh diangkat dan keharamannya boleh berubah keadaannya.

Dengan itu dapatlah kita membezakan kaedah fiqh "Asal tiap-tiap sesuatu itu harus" dengan "Asal perkara ibadah itu adalah haram". Dalam menetapkan tiap-tiap sesuatu itu harus, mestilah merujuk kepada illah untuk keharusannya. Manakala di dalam perkara ibadah, perlulah ia diteliti apakah ia sesuatu yang ta*abuddiyy ataupun tidak. Kerana itu terdapat kaedah fiqh menyatakan :

الْحُكْمُ يَدُورُ مَعَ الْعِلَّةِ وُجُودًا وَعَدَمًا

"Hukum itu berkisar pada kewujudan atau ketiadaan illah".

Supaya kita tidak tersilap dalam menentukan sama ada ia perkara ibadah ataupun adat. Walaupun ibadat mempunyai sangkut paut dengan adat, tetapi adat itu sesekali tidak menjadi sebab keberdirian ibadah itu untuk kewujudannya atau ketiadaannya.

Untuk memahami kecaman Allah pada surah aš-Šūrō ayat 42, contohnya jika seseorang ingin menetapkan pengharaman sesuatu perhiasan secara qoṭ*iyy sepertimana pengharaman emas dan sutera bagi lelaki tanpa dalil, inilah yang dikatakan bidaah kerana melanggar identiti pada zat atau teras agama itu sendiri, iaitu membolehkan seseorang untuk memakai perhiasan dengan apa yang ia mahu dan dengan cara yang ia kehendaki. Begitu juga seseorang ingin menetapkan sesuatu yang pada identiti pada zat atau teras agama itu sendiri (perkara-perkara ibadah), tanpa dalil, maka inilah yang dikatakan bidaah kerana mencipta ketetapan dalam teras agama tanpa bersandarkan dalil yang mana keterikatan hukum asalnya adalah "asal perkara ibadah adalah haram".

Oleh itu, lapangan-lapangan di dalam bidaah adalah kerana menyalahi ketetapan yang menjadi zat dan teras kepada agama ini, bukan pada yang simbolik yang disandarkan itu. 

Kesimpulan

Dengan itu dapatlah kita memahami erti ibadah, adat dan bidaah serta menyingkapi ketiga-tiga perkara ini dengan hakikat yang berbeza. Pentingnya kefahaman tentang ini dengan yang sebenar kerana konsekuensinya akan berlaku kepada dua perkara.

Pertama, apabila bidaah difahami dengan makna yang terlalu sempit, iaitu perkara yang menyerupai syariat dianggap bidaah, ini akan menyebabkan sesuatu perkara yang lain yang berkaitan dengan urusan dunia atau adat yang disandarkan kepada agama dianggap bidaah, sedangkan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- tidak mencampuri urusan ini yang mana ia terserah kepada kebijaksanaan kita melainkan perkara tertentu yang tercangkup dalam apa yang menjadi ketetapan dalam syariat. Maka, dengan menganggap apa yang disandarkan atau disimbolkan kepada Islam sebagai bidaah adalah melulu dan keterlaluan.

Kedua, apabila bidaah difahami dengan makna yang terlalu luas, seperti yang difahami oleh kebanyakan orang bahawa ibadah adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah, maka ini akan menyebabkan urusan adat dan ibadah menjadi bercampur baur sehinggakan adat boleh dianggap ibadah, padahal Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menyerahkan urusan dunia ini kepada kebijaksanaan kita yang mana ia tidak ada kena mengena dengan ibadah atau syariat yang menjadi ketetapan dalam agama ini. Jika beberapa perkara adat boleh dikategorikan ibadah, maka ini akan menganggap apa yang disandarkan atau disimbolkan menjadi ketetapan yang hakiki di dalam teras agama Islam, padahal ianya tidak sesekali begitu dan tidak pula adat mempengaruhi keberdirian ibadah itu.

Oleh itu, hendaklah difahami dengan telus dan benar supaya tidak terkeliru dan terbabas terhadap salah faham dalam menyingkapi sesuatu perkara.

Peringatan

Apa yang dibahaskan di sini bukan bermaksud praktik agama Islam dengan urusan dunia terpisah. Atau dengan kata lain syariat agama ini tidak menyeluruh untuk mencangkup seluruh aspek urusan keduniaan. Akan tetapi, yang ingin dibahaskan adalah supaya kita dapat membezakan perkara yang menjadi identiti yang pada zatnya atau secara terusnya adalah benar-benar apa yang dibawa oleh agama ini dengan apa yang menjadi sandaran dan simbolik kepada agama ini.  Jikalau agama ini tidak mencangkupi segenap aspek kehidupan khususnya dalam perkara adat dan dunia, tidaklah wujud kaedah fiqh "asal tiap-tiap sesuatu itu harus" kerana dalam agama ini sentiasa meraikan dan toleransi adat dan urusan dunia yang diamalkan oleh manusia, namun agama ini menetapkan suatu ketetapan yang perlu dipatuhi untuk kebaikan yang lebih baik, petunjuk yang benar dan penyelesaian dalam setiap masalah. Oleh itu, fahami perbezaan ini dengan sebaik-baik supaya hidup beragama ini tidak saling bergoyangan kerana kurangnya penghayatan dan pengetahuan tentang agama ini.

No comments:

Post a Comment