Monday, February 10, 2020

Satu Nas Yang Boleh Mempunyai Dua Atau Beberapa Dapatan Illah

Dalam membahaskan sesuatu teks suci agama ini, iaitu al-Qur^ān dan hadis, iaitu ketikamana kita mengambil faedah fiqh daripadanya atau menyimpulkan sesuatu melalui teks tersebut, sebahagian nas itu memiliki makn atau konteks yang terhad dan sebahagiannya boleh menjadi banyak dan meluas. Di sini, saya cuba kongsikan antara nas yang mempunyai banyak dapatan yang menjadikan banyak prinsip atau dasar yang boleh dibangunkan melaluinya. Misalnya seperti hadis tentang larangan mendekati masjid untuk mereka yang memakan bawang :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ ، حَدَّثَنَا كَثِيرُ بْنُ هِشَامٍ ، عَنْ هِشَامٍ الدَّسْتَوَائِيِّ ، عَنْ أَبِي الزُّبَيْرِ ، عَنْ جَابِرٍ ، قَالَ : " نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، عَنْ أَكْلِ الْبَصَلِ ، وَالْكُرَّاثِ ، فَغَلَبَتْنَا الْحَاجَةُ فَأَكَلْنَا مِنْهَا ، فَقَالَ : مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ الْمُنْتِنَةِ ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا ، فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ تَأَذَّى مِمَّا يَتَأَذَّى مِنْهُ الإِنْسُ " .

Abū Bakr bin Abū Šaybah telah merawi hadis kepada kami; Kaṯīr bin Hišām telah merawi hadis kepada kami, daripada Hišām ad-Dastawā^iyy, daripada Abū az-Zubayr, daripada Jābir, ia berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- melarang memakan bawang. Tetapi kami sangat berhajat untuk memakannya. Lalu baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam-: "Sesiapa yang memakan pohon yang berbau busuk ini, maka janganlah ia mendekati masjid kami. Sesungguhnya malaikat terganggu terhadap apa-apa yang manusia terganggu dengannya". [Ṣoḥīḥ Muslim, kitāb al-Masājid wa Mawāḍi* aṣ-Ṣolāh, no. 879].

Ada enam prinsip fiqh yang boleh dikeluarkan :

Pertama : Larangan ini adalah disebabkan faktor bau bawang tersebut yang tidak menyenangkan jemaah masjid. Oleh itu, seseorang dilarang mendekati masjid jika memakan bawang lalu timbulnya bau tersebut daripada pemakanan tersebut, maka hendaklah dia membersihkannya. Jika seseorang memakan bawang, tetapi tidak menimbulkan bau yang tidak menyenangkan, maka larangan ini tidak teraplikasi padanya kerana faktor larangannya sudah tiada lagi. Oleh itu, tidak ada lagi masalah untuk memasuki masjid dengannya. Illah larangan ini adalah kerana menimbulkan ketidaksenangan pada sesuatu uruf manusia yang khusus. Jika uruf tidak menyukai akan hal itu, maka larangan hadis ini teraplikasi. Jikalau uruf tidak menerima sebarang apa-apa masalah, maka larangan hadis ini tidak teraplikasi terhadapnya kerana sebab larangan tersebut telah pun terangkat dan ini tidak menghalang seseorang untuk ke masjid atas perkara ini.

Kedua : Oleh sebab faktor larangan ini adalah bau yang tidak menyenangkan, memaka apa-apa sahaja makanan atau faktor yang menimbulkan bau yang tidak menyenangkan kepada jemaah masjid, maka larangan ini teraplikasi padanya, walaupun makanan atau minuman itu adalah selain daripada bawang. Contohnya, durian adalah bukan makanan kebiasaan orang Eropah dan mereka tidak menyenangi baunya. Oleh itu, sesiapa yang memakan durian, maka hendaklah membersihkannya jika dia ingin bersolat di masjid di Eropah.

Ketiga :  Dengan sebab konsekuensinya adalah menimbulkan ketidaksenangan jemaah masjid, maka apa-apa sahaja unsur yang tidak menyenangkan orang lain, larangan ini tetap teraplikasi. Contoh yang menimbulkan ketidaksenangan pada orang lain adalah pakaian yang aneh menurut setempat. Disebabkan pemakaian ini menyebabkan jemaah masjid terganggu dan tidak senang terhadpanya, maka janganlah dia dekati masjid dalam keadaan sedemikian.

Keempat : Oleh sebab Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- memberikan peringatan keras supaya tidak menimbulkan ketidaksenangan terhadap masyarakat, sebaik-baiknya kita elakkan. Misalnya, membuang hajat di pohon rendang. Pada asalnya, bukanlah salah perbuatan itu, tetapi jika ia adalah kawasan yang orang lalu lalang dan tempat orang ramai berteduh, maka ini akan menyebabkan kutukan daripada manusia. Jika di hutan belantara yang nun jauh di dalam sana, maka ini tidak termasuk larangan.

Kelima : Ini menunjukkan bahawa bukan semua hadis perlu diambil secara literal sahaja. Apabila baginda menyebutkan "Sesungguhnya malaikat terganggu terhadap apa-apa yang manusia terganggu dengannya", baginda tidak memaksudkan bawang sahaja. Ia boleh apa jua bentuk yang lain. Malah, baginda hanya menyebut sesuatu yang sesuai dengan urufnya. Katakan jika durian dimakan di negara Arab, lalu seseorang itu datang ke masjid dalam keadaan dia tidak membersihkan mulutnya, tetap juga sama hukumnya.

Keenam : Hadis ini juga boleh menjadi dalil untuk menetapkan kaedah fiqh :

الْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

"Adat sebagai hakim".

Bagaimana kita boleh tahu ini boleh menjadi sandaran untuk menetapkan kaedah fiqh? Ini dilihat pada sebutan baginda: "Sesungguhnya malaikat terganggu terhadap apa-apa yang manusia terganggu dengannya". Apabila kita perhatikan, kadangkala masyarakat tidak sama dalam memberi gambaran, persepsi dan tafsiran tentang baik atau buruk tentang sesuatu perkara. Semua ini melihat kepada konteks budaya yang ada pada masyarakat itu. Maka, nyatalah bahawa inilah yang menjadi asas untuk mensabitkan keabsahan kaedah ini.

Malah, kalau baginda tidak menyebutkan hal itu, tetap kita tahu juga bahawa penilaian bau yang tidak menyenangkan atau tidak adalah pada uruf masyarakat. Sangat tidak logik untuk mengatakan hanya bawang sahaja yang tidak menyenangkan, sedangkan ada uruf masyarakat yang tidak ada masalah pada hal itu. Jadi, baginda berbicara atas dasar uruf setempat baginda. Selebihnya dilihat pada konteks masing-masing.

Agama Islam bukan sekadar hanya berputar pada teks sahaja, tetapi melihat dan mencerap pada sudut konteks kemasyarakatan, zaman, suasana dan tempat. Sebab itulah pandangan perundangan fiqh boleh fleksibel dan berubah mengikut latar belakang yang tempat keberadaan ahli fiqh. Dan sebab itu juga kita tidak boleh hanya melihat dan bergantung apa yang orang Arab faham dan buat kerana bukan semua keadaan akan sama untuk bukan Arab atau juga budaya yang lain. Misalnya, seperti kes bawang tadi. Orang Arab barangkali tidak menyenangi baunya sepertimana orang Eropah tidak menyenangi bau durian. Oleh itu, penilaian adalah berdasarkan situasi setempat.

Demikian faedah-faedah yang boleh diperoleh melalui satu dalil daripada nas al-Qur^ān dan as-Sunnah. Maka, perhatikanlah dengan baik-baik kerana Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- memiliki Jawāmi* al-Kalim yang mana ia serba ringkas, tetapi padat maknanya.

No comments:

Post a Comment