Wednesday, February 12, 2020

Perolehan Illah Tidak Semestinya Memerlukan Naṣ al-Qur^ān dan Hadis

Sebahagian mereka salah faham bahawa apabila ingin mendapatkan illah hukum di dalam naṣ semestinya memerlukan dalil naṣ yang zahir atau qarinah daripada al-Qur^ān  dan hadis supaya dapat menerbitkan pembentukan hukum. Ini tidaklah benar kerana di sana terdapat illah yang boleh difahami melalui petunjuk yang lain sama ada melalui dalil-dalil umum, bahkan melalui qarinah yang wujud sekelilingnya boleh dijadikan sumber dalam memahami illah hukum.

Dalil Pertama : Tiga Waktu Aurat

Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لِيَسْتَأْذِنكُمُ الَّذِينَ مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ وَالَّذِينَ لَمْ يَبْلُغُوا الْحُلُمَ مِنكُمْ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ ۚ مِّن قَبْلِ صَلَاةِ الْفَجْرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ الظَّهِيرَةِ وَمِن بَعْدِ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ۚ ثَلَاثُ عَوْرَاتٍ لَّكُمْ ۚ لَيْسَ عَلَيْكُمْ وَلَا عَلَيْهِمْ جُنَاحٌ بَعْدَهُنَّ ۚطَوَّافُونَ عَلَيْكُم بَعْضُكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ ﴿٥٨﴾ وَإِذَا بَلَغَ الْأَطْفَالُ مِنكُمُ الْحُلُمَ فَلْيَسْتَأْذِنُوا كَمَا اسْتَأْذَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمْ آيَاتِهِ ۗ وَاللَّـهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ﴿٥٩

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba sahaya mereka dan mereka yang belum baligh meminta izin sebanyak tiga kali, iaitu ketika sebelum solat subuh, ketika kalian menanggalkan pakaian kalian pada tengahari dan selepas waktu isyak. Itulah tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atas kalian dan juga mereka pada selepas itu. Sebahagian kalian saling keluar masuk sesama kalian. Demikian itu Allah memperjelaskan keterangan itu kepada kalian. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Jika kanak-kanak kalian telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sebagaimana orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikian Allah memperjelaskan keterangan-keterangan-Nya pada kalian. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana". [Surah an-Nūr ayat 58].

Illah bagi suruhan untuk meminta izin sebelum masuk ialah supaya pembantu atau selainnya tidak terserempak orang itu dalam keadaan aurat terbuka kerana kebiasaan waktu itu ialah ketikamana aurat seseorang terbuka. Jika ada waktu lain selain daripada tiga ini yang seseorang itu membuka auratnya, tetap juga diperintahkan untuk meminta izin kerana ia berada di situasi yang illahnya adalah sama. Dengan itu, mana-mana waktu pun perlu bagi seseorang meminta izin supaya tidak menganggu privasi orang atau aurat itu terdedah kepada orang yang dia tidak izinkan.

Dalil Kedua : Asingkan Tempat Tidur Apabila Berusia Sepuluh Tahun

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الطُّفَاوِيُّ ، وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ بَكْرٍ السَّهْمِيُّ الْمَعْنَى وَاحِدٌ ، قَالَا : حَدَّثَنَا سَوَّارٌ أَبُو حَمْزَةَ ، عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ جَدِّهِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مُرُوا أَبْنَاءَكُمْ بِالصَّلَاةِ لِسَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا لِعَشْرِ سِنِينَ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ ، وَإِذَا أَنْكَحَ أَحَدُكُمْ عَبْدَهُ أَوْ أَجِيرَهُ ، فَلَا يَنْظُرَنَّ إِلَى شَيْءٍ مِنْ عَوْرَتِهِ ، فَإِنَّ مَا أَسْفَلَ مِنْ سُرَّتِهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ مِنْ عَوْرَتِهِ "

Muḥammad bin *Abdul Roḥmān aṭ-Ṭufāwiyy dan *Abdullah bin Bakr as-Sahmiyy telah merawi hadis kepada kami yang sama makannya; Sawwār Abū Ḥamzah telah merawi hadis kepada kami, daripada *Amr bin Šu*ayb, daripada ayahnya,, daripada datuknya, dia berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Perintahkanlah anak-anak kalian untuk bersolat pada tujuh tahun dan pukullah mereka kerananya pada sepuluh tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka antara mereka. Jika salah seorang daripada kalian mengahwinkan hamba sahayanya atau pelayannya, maka janganlah dia melihat sesuatu pada auratnya, iaitu apa-apa yang di bawah pusatnya sehingga lututnya adalah auratnya". [Musnad Aḥmad, no. 6579].

Sekarang, perlukah mencari kenapa perlu dipisahkan tempat tidur? Lihatlah bahawa tanpa naṣ yang lain pun boleh diketahui illahnya.

Dalil Ketiga : Sukatan Penduduk Madīnah Dan Timbangan Penduduk Makkah

أَنْبَأَ أَحْمَدُ بْنُ سُلَيْمَانَ الرُّهَاوِيُّ ، قَالَ : حدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا سُفْيَانُ ، عَنْ حَنْظَلَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ الْمَكِّيِّ ، عَنْ طَاوُوسٍ ، عَنِابْنِ عُمَرَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " الْمِكْيَالُ مِكْيَالُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ، وَالْوَزْنُ وَزْنُ أَهْلِ مَكَّةَ "

Aḥmad bin Sulaymān ar-Ruhāwiyy telah merawi berita kepada kami, dia berkata; Abū Nu*aym telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Sufyān telah merawi hadis kepada kami, daripada Ḥanẓolah bin Abū Sufyān al-Makkiyy, daripada Ṭōwus, daripada Ibn *Umar, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, baginda bersabda: "Sukatan mengikut sukatan penduduk Madīnah dan timbangan mengikut timbangan penduduk Makkah". [An-Nasā^iyy dalam as-Sunan as-Sughrō, no. 2282]

Al-Bahūtiyy menjelaskan :

وكلامه صلى الله عليه وسلم يحمل على تبيين الأحكام فما كان مكيالا بالمدينة في زمنه صلى الله عليه وسلم. وما لا عرف له بهما اعتبر عرفه في موضعه

"Sabda Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- dianggap suatu penjelasan berkenaan sukatan di Madinah yang wujud pada zamannya. Dan sesiapa yang tiada uruf tersebut, terpakailah uruf mereka di tempat mereka". [Kaššāf al-Qinā* Šarḥ Matn al-Iqnā* jilid 3, m/s 263, keluaran Dār al-Fikr, Dimašq].

Zaharuddin Abdul Rahman menjelaskan, "Dalam konteks hari ini, adakah tidak sunnah jika pemimpin di sesebuah negara menggunakan sukatan dan timbangan selain Makkah dan Madinah dalam negara mereka? Jawapannya, sudah tentu Islam tidak rigid sedemikian, kerana mana-mana timbangan dan sukatan yang lebih dikenali, diterima serta difahami dewasa ini seperti kilogram, gram, kaki serta meter boleh diterima pakai. Tatkala itu, cara kiraan boleh digunakan keraan mampu mencapai objektif redha meredhai dalam perjanjian dan kontrak komersial. Walaupun hal ini dalam bab jual beli dan perniagaan namun ia tidak terlepas daripada urusan politik dan pentadbiran kerana penetapan polisi sukat dan timbang yang dominan tentunya diiktiraf oleh sesebuah pemerintah sebelum digunapakai oleh rakyat jelata". [Indahnya Politik Cara Islam, Dr. Zaharuddin 'Abdul Rahman, m/s 120, terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd].

Daripada ini, jelas kita boleh mendapatkan illah tanpa semestinya bergantung kepada zahir atau qarinah daripada al-Qur^ān dan hadis. Qarinah yang mengelilingi hukum ini adalah praktik ekonomi dan jual beli yang biasa diamalkan oleh uruf. Dengan qarinah ini, kita boleh memahami sebab perintah padanya.

Dalil Keempat : Katil Keempat Untuk Syaitan

حَدَّثَنِي أَبُو الطَّاهِرِ أَحْمَدُ بْنُ عَمْرِو بْنِ سَرْحٍ ، أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ ، حَدَّثَنِي أَبُو هَانِئٍ ، أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، يَقُولُ : عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " لَهُ فِرَاشٌ لِلرَّجُلِ ، وَفِرَاشٌ لِامْرَأَتِهِ ، وَالثَّالِثُ لِلضَّيْفِ ، وَالرَّابِعُ لِلشَّيْطَانِ " .

Abū aṭ-Ṭōhir Aḥmad bin *Amr bin Sarḥ telah merawi hadis kepadaku; Ibn Wahb telah merawi khabar kepada kami; Abū Hāni^ telah merawi hadis kepadaku, bahawasanya dia mendengar daripada Abū *Abdul Roḥmān, daripada Jābir bin *Abdullah, bahawasanya Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Satu katil untuk tidur seorang lelaki, satu lagi katil untuk wanita dan katil yang satu lagi untuk tetamu. Dan katil keempat untuk syaitan". [Ṣoḥīḥ Muslim, kitāb al-Libās wa az-Zinah, no. 3893].

Jika kita teliti, adakah kita ditegah untuk menyediakan katil lebih daripada tiga di rumah berdasarkan zahir hadis ini? Tidak semestinya kerana illah kecaman ini boleh difahami sekalipun tanpa naṣ lain untuk menerangkan illahnya sama ada secara zahir ataupun melalui qarinahnya. An-Nawawiyy berkata :

قَالَ الْعُلَمَاءُ مَعْنَاهُ أن مازاد عَلَى الْحَاجَةِ فَاتِّخَاذُهُ إِنَّمَا هُوَ لِلْمُبَاهَاةِ وَالِاخْتِيَالِ وَالِالْتِهَاءِ بِزِينَةِ الدُّنْيَا وَمَا كَانَ بِهَذِهِ الصِّفَةِ فَهُوَ مَذْمُومٌ وَكُلُّ مَذْمُومٍ يُضَافُ إِلَى الشَّيْطَانِ لِأَنَّهُ يَرْتَضِيهِ وَيُوَسْوِسُ بِهِ وَيُحَسِّنُهُ وَيُسَاعِدُ عَلَيْهِ وَقِيلَ إِنَّهُ عَلَى ظَاهِرِهِ وَأَنَّهُ إِذَا كَانَ لِغَيْرِ حَاجَةٍ كَانَ لِلشَّيْطَانِ عَلَيْهِ مَبِيتٌ وَمَقِيلٌ كَمَا أَنَّهُ يَحْصُلُ لَهُ الْمَبِيتُ بِالْبَيْتِ الَّذِي لايذكر اللَّهَ تَعَالَى صَاحِبُهُ عِنْدَ دُخُولِهِ عِشَاءً وَأَمَّا تَعْدِيدُ الْفِرَاشِ لِلزَّوْجِ وَالزَّوْجَةِ فَلَا بَأْسَ بِهِ لِأَنَّهُ قَدْ يَحْتَاجُ كُلُّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا إِلَى فِرَاشٍ عِنْدَ الْمَرَضِ وَنَحْوِهِ وَغَيْرِ ذلك واستدل بعضهم بهذا على أنه لايلزمه النَّوْمُ مَعَ امْرَأَتِهِ وَأَنَّ لَهُ الِانْفِرَادَ عَنْهَا بِفِرَاشٍ وَالِاسْتِدْلَالُ بِهِ فِي هَذَا ضَعِيفٌ لِأَنَّ الْمُرَادَ بِهَذَا وَقْتُ الْحَاجَةِ كَالْمَرَضِ وَغَيْرِهِ كَمَا ذَكَرْنَا وَإِنْ كَانَ النَّوْمُ مَعَ الزَّوْجَةِ لَيْسَ وَاجِبًا لَكِنَّهُ بِدَلِيلٍ آخَرَ وَالصَّوَابُ فِي النَّوْمِ مَعَ الزَّوْجَةِ أَنَّهُ إِذَا لَمْ يَكُنْ لِوَاحِدٍ مِنْهُمَا عُذْرٌ فِي الِانْفِرَادِ فَاجْتِمَاعُهُمَا فِي فِرَاشٍ وَاحِدٍ أَفْضَلُ وَهُوَ ظَاهِرُ فِعْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الَّذِي وَاظَبَ عَلَيْهِ مَعَ مُوَاظَبَتِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ فَيَنَامُ مَعَهَا فَإِذَا أَرَادَ الْقِيَامَ لوظيفته قام وتركها فيجمع بين وظيفته وقضاء حقها المندوب وعشرتها بالمعروف لاسيما إِنْ عَرَفَ مِنْ حَالِهَا حِرْصَهَا عَلَى هَذَا ثُمَّ إِنَّهُ لَا يَلْزَمُ مِنَ النَّوْمِ مَعَهَا الْجِمَاعُ وَاللَّهُ أَعْلَمُ

Berkata para ahli ilmu: "Maknanya adalah apa yang lebih daripada hajat, maka mengambilnya adalah perbuatan saling berbangga, bermegah dan sibuk dengan perhiasan dunia. Apa yang berkait dengan sifat ini, maka ia adalah tercela. Setiap yang tercela disandarkan kepada syaitan kerana ia meredhainya, membisikkan waswas terhadapnya, mencantikkanya dan membantunya". Dikatakan: "Sesungguhnya pada zahirnya dan sesungguhnya apabila ia untuk selain hajat, maka ia adalah tempat bermalam dan tempat berehat untuk syaitan sepertimana yang terjadi pada tempat bermalam di rumah yang penghuninya tidak mengingati Allah ketika masuknya isyak". Adapun membahagikan katil untuk suami dan isteri, maka tidak ada masalah baginya kerana kadangkala setiap orang daripada kedua-duanya memerlukannya kepada suatu katil ketika sakit atau seumpamanya atau selain itu. Sebahagian mereka mengambil dalil ini kerana bukanlah selalunya suami tidur dengan isterinya dan elok untuk ada katil yang tersendiri untuknya. Sebahagian mereka mengambil dalil dengannya -untuk ini adalah lemah- kerana yang dikehendaki dengannya adalah waktu keperluan seperti sakit dan selainnya sepertimana yang telah kami sebutkan. Jika tidur bersama isteri bukanlah suatu kewajipan, tetapi ia dengan dalil yang lain dan yang benar dalam kes tidur dengan isteri adalah jika tidak ada keuzuran untuk salah seorang daripada mereka berdua untuk bersendiri, maka tidur bersama dalam satu katil adalah afdal. Ini adalah yang nyata daripada perbuatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- yang sentiasa dengannya walaupun baginda -ṣollallahu *alayhi wasallam- konsisten dengan qiyamullail, lalu baginda tidur dengannya. Apabila baginda mahu melakukan qiyamullail kerana tanggungjawabnya, baginda bangun, lalu baginda tinggalkan isterinya, tetapi baginda menggabungkan tanggungjawabnya, penunaian haknya yang digalakkan dan pergaulannya yang makruf, lebih-lebih lagi jika orang mengenali keinginan kuatnya terhadap ini. Kemudian, sesungguhnya tidak semestinya tidur bersama mesti bersenggama. Allah lebih megnetahui [Al-Minhāj Šarh Ṣoḥīḥ Muslim, jilid 14, m/s 59-60, Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut]

Dalil Kelima : Pengembaran Bersendiri, Berduaan Dan Bertiga

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ الْقَعْنَبِيُّ ، عَنْ مَالِكٍ ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ حَرْمَلَةَ ، عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ جَدِّهِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " الرَّاكِبُ شَيْطَانٌ وَالرَّاكِبَانِ شَيْطَانَانِ وَالثَّلَاثَةُ رَكْبٌ " .

*Abdullah bin Maslamah al-Qo*nabiyy telah merawi hadis kepada kami, daripada Mālik, daripada *Abdul Roḥmān bin Ḥarmalah, daripada *Amr bin Šu*ayb, daripada ayahnya, daripada datuknya, dia berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Pengembara sendiri adalah syaitan, pengembara dua bersamaan adalah syaitan dan tiga orang adalah pengembara". [Sunan Abū Dāwud, kitab al-Jihād, no. 2243].

Adapun dalil ini, sama sekali ia bukan larangan untuk mengembara secara sendirian atau secara dua orang. Illah yang memalingkan larangan ini tidak diperoleh daripada mana-mana naṣ yang lain bagi menunjukkan hal itu. Kata Umar Mohd. Noor: "Kata syaitan bukan hakikat melainkan sebuah isyarat untuk menunjukkan marabahaya yang setiap saat dapat menimpa orang yang bermusafir seorang diri. Sebab jika hanya seorang diri atau berdua, musafir terancam untuk gangguan pencuri, perompak dan binatang buas. Namun, apabila bilangannya telah mencapai tiga orang atau lebih, maka mereka dapat saling membantu dalam kesulitan sehinggakan anacaman itu menjadi lebih kecil, bahkan hilang sama sekali". [Takwil Hadis, m/s 111-112, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd].

Memungkinkan Takwil?

Terdapat kaedah fiqh menyebutkan :

الْحُكْمُ يَدُورُ عَلَى عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

"Hukum itu berputar pada wujud atau ketiadaan illah".

Halal itu jelas dan haram itu jelas, tetapi apakah bukti bahawa halal dan haram itu jelas? Kaedah fiqh inilah akan menjadi penentu sama ada jelasnya ia ataupun tidak. Apabila dalil itu telah diuji beberapa kali atau dengan bermacam-macam cara, tetapi tidak ada yang mampu merubah penafsiran yang ada pada dalil itu atau menambahkan tafsirannya atau mengurangkan tafsirannya, maka di situ akan jelas bahawa sama ada hal itu halal atau haram. Jelas atau tidak, ia dicabar dan disaring terlebih dahulu.

Jika tidak ditemukan illahnya, maka jadilah pengamalannya adalah ta*abbudiyy. Ini kerana tidak ada apa lagi yang munasabah untuk ditentukan sebab untuk dilakukan atau diperintahkan. Jika ada, maka tidak lagi dianggap suatu yang ta*abbudiyy kerana terdapat qarinah yang menyebabkan hukum itu berdiri.

Illah Yang Munasabah

Illah yang diterbitkan itu semestinya sesuatu yang munsabah sama ada dari penilaian al-Qur^ān  dan as-Sunnah ataupun petunjuk-petunjuk lain yang lebih dekat. Petunjuk-petunjuk yang lebih dekat adalah sesuatu petunjuk yang mengelilingi dalam konteks naṣ tersebut. Misalnya pada hadis timbangan dan sukatan, petunjuk illah itu didasari dengan praktik jual beli yang diamalkan secara kebiasaan pada uruf. Dengan itu, kita boleh faham bahawa illah pada perintah itu adalah supaya kita mempunyai neraca pertimbangan yang benar lagi adil supaya sukatan dan timbangan itu tidak menzalimi mana-mana pihak.

Tetapi, di sana ada juga petunjuk yang jauh sehingga tidak memungkinkan untuk dijadikan illah hukum. Misalnya, pengharaman daging babi sepertimana yang dinyatakan oleh Allah *Azza Wajalla :

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٧٣

"Sesungguhnya Dia mengharamkan bangkai, darah, daging khinzir dan apa-apa yang disembelih untuk selain Allah ke atas kamu. Maka, barangsapa yang terpaksa (memakan dengan) tidak menginginkan dan tidak melampaui batas, maka tidak ada dosa ke atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah al-Baqarh ayat 173].

Illah pengharaman daging babi bukan kerana penyakit yang ada di dalamnya kerana ia tidak memungkinkan bagi kita sebagai petunjuk yang kukuh untuk menetapkannya. Hal ini kerana tidak diketahui sama ada ketika turunnya ayat ini sememangnya didasari dengan perkaitan terhadap penyakit yang diketahui oleh uruf tersebut. Begitu juga dengan memakan darah. Ia diharamkan bukan atas dasar kerana perbuatan tersebut menjijikkan atau perbuatan yang tidak sopan. Atas sebab itulah kita menerimanya tanpa mengetahui illah di sebalik pengharamannya. Dengan kata lain, kita menjauhi daging babi dan darah bukan kerana sebab-sebab tertentu, tetapi atas dasar taat kepada perintah agama semata-mata.

Akal kita mampu mempertimbangkan sama ada ia perkaitan yang dekat ataupun jauh. Jika kita telusuri penyakit dalam sains kognitif yang bernama Ḥoṭo^ at-Tasbīb (خَطَأ التَّسْبِيبِ), iaitu salah penyebaban atau dalam bahasa Inggeris "False-Causality", pasti kita akan menemui kaedah mantiq Al-Irtibāṭ Lā Ya*nī as-Sabab (الْارْتِبَاطُ لَا يَعْنِي السَّبَبَ), iaitu keseiringan tidak semestinya penyebaban atau dalam bahasa Inggeris "Correlation does not imply causation". Sekali gus kita mengenal sama ada ia perkaitan yang jauh ataupun dekat untuk mengistinbath hukum melalui qiyas.

Misalnya, apabila disebutkan sebuah negara telah berlaku pertambahan jualan aiskrim sehingga mengurangkan serangan jerung di pesisiran pantai negara itu, secara automatik akal kita mampu menangkap bahawa ianya bukan sebab musabab yang saling berkaitan sehingga kita hanya mampu menganggap ianya kebetulan semata-mata. Begitu juga dengan qiyas ini, kadangkala akal mampu mengenalpasti sama illah itu relevan atau tidak relevan melalui jarak keberkaitan antara satu sama lain, iaitu objek yang dihukumkan, sebab untuk dihukumkan dan persamaan dalam kehukuman.

Tidak semestinya akal dan ia sebagai salah satu contoh sahaja. Banyak lagi faktor dan nercaya dalam menilai sama ada relevan atau tidak illah tersebut.

Penutup

Dengan itu, bukanlah semestinya dalam menentukan illah semestinya bergantung kepada illah yang dinyatakan secara zahir atau qarinah daripada al-Qur^ān  dan as-Sunnah, jika didapati daripada petunjuk yang lain selagimana ianya munasabah, maka ia boleh diambil dan diterima untuk penghujahan. 

No comments:

Post a Comment