Friday, February 14, 2020

Ilmu Agama Ḍorūriyy Yang Diabaikan

Apabila berkata tentang ilmu ḍorūriyy, iaitu ilmu yang penting dan wajib diketahui dalam agama sehingga apabila seseorang berbicara tentangnya, maka pengetahuan itu automatik diketahui oleh umatnya dan tidak ada tanda tanya lagi tentang kesamaran dan ketidaktahuannya, kebanyakan orang menyatakan tentang ilmu fardu ain seperti ilmu usuluddin yang membahaskan ilmu ketuhanan, kerasulan, alam ghaib dan lain-lain atau ilmu fiqh yang merangkumi hal-hal ibadah dan praktik individu atau ilmu penyucian jiwa dalam mendidik aspek adab, kesantunan dan hal ehwal jiwa. Pentingnya yang ditekankan dalam perkara ini seolah-olah seseorang tidak berhak mendapat gelaran Muslim yang sejati dan tidak berhak mendapat syurga serta kesempurnaan dalam beragama jika beberapa hal dalam perkara ini tidak diketahui atau tidak dihabiskan pelajaran baginya.

Dalam penekanan terhadap ilmu-ilmu ini walaupun penting, tetapi sebenarnya terdapat perkara yang penting perlu ditekankan dalam pendidikan ilmu ḍorūriyy. Antaranya ialah ilmu yang menghasilkan jiwa yang seseorang tidak akan mengambil sesuatu perkara dalam urusan agama melainkan setelah dipastikan kebenaran dan kekukuhan penghujahannya sebelum beramal dengannya. Ilmu ini sebenarnya sangat penting kerana teras penting dalam agama ini ialah seseorang berdiri di atas keyakinan yang tertegaknya bukti dan sandaran yang kuat bagi menjadi kepercayaan yang sejahtera dan amalan yang berpijak di tapak yang stabil dalam kehidupan. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

قُلْ هَـٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّـهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّـهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿١٠٨

Katakanlah, "Inilah jalanku yang aku seru kepada Allah. Aku dan orang yang mengikutiku di atas kenyataan. Maha Suci Allah dan bukanlah aku daripada orang Musyrik". [Surah Yūsuf ayat 108].

Pendirian yang dinyatakan ini ialah sebagai mercu bahawa agama ini tidak dianuti dan diikuti melainkan di atas pegangan yang tidak dapat diragukan lagi kebenarannya. Apabila seseorang mengakui bahawa dia berlepas diri daripada orang Musyrik, pasti dia punyai hujah dan alasan yang munasabah lagi jitu dalam menyatakan perlawanannya di antara dirinya dengan golongan yang dia menyelisihinya. Jika tidak, maka dia tidak memenuhi tuntutan agama yang mesti dipenuhi oleh umatnya dan penganutnya. Apakah gunanya seseorang yang mendakwa dirinya di atas kebenaran, tetapi kebenaran yang dicanangkan dan digembar-gemburkan itu sekadar sentimen kosong yang tidak berisi sesuatu apappun?

Antara salah satu peranan, sifat dan ciri-ciri al-Qur^ān sebagai bukti bagi setiap petunjuk-petunjuk yang diturunkan kepada manusia. Firman Allah *Azza Wajalla :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

"Bulan Romaḍōn ialah bulan yang diturunkan al-Qur^ān sebagai petunjuk kepada manusia serta bukti daripada petunjuk dan pembeza". [Surah al-Baqoroh ayat 185].

Maknanya, dalam menjiwai al-Qur^ānsebagai penghayatan hidupnya, seseorang perlu berteraskan bukti dan dalil dalam setiap pegangan dan seruan dakwah. Orang yang berpedomankan al-Qur^ān dan menjadikan al-Qur^ān sebagai junjungan yang mutlak lagi berdaulat, maka dia perlulah sentiasa berpaut dengan keterangan-keterangan yang bebas daripada sebarang pencemaran syubhat dan syak wasangka. Jika al-Qur^ān menunjukkan contoh yang mulia dalam mempamerkan bukti yang nyata, apakah mungkin seseorang yang ingin hidup di lembayung al-Qur^ān hanya berasaskan angan-angan dan khayalan?

Malah, banyak kali ayat diulang-ulang tentang datangnya ayat al-Qur^ān bersama nilai bukti yang jelas. Misalnya seperti firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā seperti berikut :

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ مَّا كَانَ حُجَّتَهُمْ إِلَّا أَن قَالُوا ائْتُوا بِآبَائِنَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٥

Apabila dibacakan ayat-ayat Kami yang jelas, tidaklah mereka berhujah melainkan mereka berkata: "Hidupkanlah nenek moyang kami jika kalian orang yang benar". [Surah al-Jāṯiyah ayat 25].

Firman Allah Ta*ālā :

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ هَـٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ ﴿٧

Apabila dibacakan ayat-ayat yang jelas kepada mereka, berkatalah orang yang kafir apabila datangnya kebenaran kepada mereka: "Ini ialah sihir yang nyata". [Surah al-Aḥqōf ayat 6].

Tidak ada alasan dan dalih lagi untuk menerapkan perkara ini ke dalam pendidikan dan pembelajaran bagi setiap Muslim kerana inilah dasar yang membina dan membentuk agama. Sesungguhnya agama ini tidak mendidik umatnya menjadi jahil, bebal, dungu, bodoh lagi tolol dalam perhatian terhadap ilmu, kecelikan dan kecendekiaan. Sememangnya agama ini menerapkan penganutnya terhadap nilai-nilai intelektual yang tahqiq dan kefahaman yang tuntas serta cemerlang pencapaian dalam pengetahuan dan cerapan. Sesuatu yang tercela dalam agama ini ialah mengikuti sesuatu yang bukan pengetahuan terhadapnya. Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā :

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَـٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ﴿٣٦

"Janganlah engkau mengikuti sesuatu yang tidak engkau mempunyai ilmu tentangnya. Sesungguhnya telinga, pendengaran dan fuad kesemuanya itu akan ditanyakan tentangnya". [Surah al-Isrō^ ayat 36].

Firman Allah Yang Maha Agung :

قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّـهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّـهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٣

Katakanlah: "Tuhanku hanyalah mengharamkan kekejian yang zahir daripadanya dan yang tersembunyi daripadanya, dosa, melampaui batas tanpa hak, mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang diturunkan keterangan tentangnya dan mengatakan sesuatu terhadap Allah dengan apa-apa yang kalian tidak ketahui". [Surah al-A*rōf ayat 33].

Jika kita mendakwa sesuatu itu sebagai salah satu bahagian dalam pensyariatan agama, apakah kita bersedia untuk bertanggungjawab akan hal itu di akhirat kelak? Di sini peri pentingnya sikap yang perlu diserapkan dalam ilmu yang dipelajari bagi setiap Muslim kerana Allah tidak mengingatkan hal ini melainkan di situ terdapat kepentingan terhadapnya. Ini benar-benar dhoruri bagi umat kerana mengikuti sesuatu dalam keadaan tidak mengerti tentangnya bersama keyakinan yang disuntikkan bahawa itu ini daripada Allah dan Rasul-Nya, sedangkan kedua-duanya berlepas diri daripada dakwaan itu?

Apakah sekadar ikut-ikutan yang menjadi penenang hati yang gelisah dengan waswas yang berpusar dan berbisik-bisik, sedangkan dirinya mampu dan berkebolehan untuk menilainya secara komprehensif? Adakah kerana terpedaya dengan aura sakti lagi keramat yang bergema ketika disebut-sebutkan nama seseorang menyebabkan kita lentur diri untuk menyaring? Sesungguhnya Allah Jalla Wa *Azza mengecam orang yang sengaja tidak menggunakan akalnya dalam keadaan deria itu berfungsi elok dan mampu dimaksimumkan dayanya untuk mengamatinya dengan teliti. Firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā :

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تُؤْمِنَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۚ وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ﴿١٠٠

"Tidaklah seseorang akan beriman melainkan dengan izin Allah. Dan Dia menjadikan kehinaan ke atas orang yang tidak berakal". [Surah Yūnus ayat 100].

Firman Allah Ta*ālā :

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَـٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ ﴿٤٦

"Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lantas jantung mereka berakal terhadapnya atau telinga mereka mendengar terhadapnya. Maka, sesungguhnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta ialah jantung dalam dada". [Surah al-Ḥajj ayat 46].

Usah dipandang ringan lagi dalam hal ini kerana menjauhkan diri daripada nilai yang diperjuangkan dalam agama merupakan kecelakaan yang kita halakan arah tujunya. Agama kita berasaskan sandaran bukti yang jelas lagi nyata. Jangan kita letakkan pegangan kita terhadap sesuatu sebelum kita yakin dengan pasti tentang pilihan yang dibuat. Biarlah proses penyaringan dan penelitian itu berjalan lama kerana wahyu diturunkan bukan sekaligus. Ikuti kebenaran bukan soal lama atau sekejap, tetapi soal sama ada tahqiq ataupun tidak sehingga hal itu berhak menjadi sesuatu yang kita setia terhadapnya. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

قُلْ يَا قَوْمِ اعْمَلُوا عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّي عَامِلٌ ۖ فَسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن تَكُونُ لَهُ عَاقِبَةُ الدَّارِ ۗ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ ﴿١٣٥

Katakanlah: "Wahai kaumku! Beramallah berdasarkan kedudukanmu. Sesungguhnya aku pun beramal. Kelak kalian mengetahui siapakah yang memperoleh balasan yang baik. Sesungguhnya tidaklah orang yang zalim itu berjaya". [Surah al-An*ām ayat 135].

Firman Allah Yang Maha Mulia :

وَيَا قَوْمِ اعْمَلُوا عَلَىٰ مَكَانَتِكُمْ إِنِّي عَامِلٌ ۖسَوْفَ تَعْلَمُونَ مَن يَأْتِيهِ عَذَابٌ يُخْزِيهِ وَمَنْ هُوَ كَاذِبٌ ۖ وَارْتَقِبُوا إِنِّي مَعَكُمْ رَقِيبٌ ﴿٩٣

"Wahai kaumku! Beramallah berdasarkan kedudukanmu. Sesungguhnya aku pun beramal. Kelak kalian akan mengetahui siapakah yang akan ditimpakan azab yang menghinakannya dan siapakah yang berdusta. Nantikanlah kerana aku pun menantikan bersama kalian". [Surah Hūd ayat 93].

Melalui ayat ini, pengetahuan tentang kebenaran mungkin akan diperoleh dari suatu masa tertentu yang lama. Sekalipun hal ini berkaitan dengan hari akhirat, tetapi pengajaran daripada hal ini juga ia juga berkaitan dengan dunia yang kita diami sekarang. Jika berbalah antara satu sama lain dalam suatu permasalahan, maka masing-masing berpendirian sepertimana pendirian yang dinyatakan dalam al-Qur^ān. Kemudian, masing-masing terus mengkaji dan menganalisis, lalu mendapati kebenaran terungkap di suatu pihak dan kesalahan terbeber di pihak yang lain. Kronologi seperti ini tetap menepati yang diterangkan dalam al-Qur^ān dan memberikan pengajaran kepada kita bahawa kebenaran mungkin akan lambat diperoleh yang kita tidak tahu waktu ditemukan dan diungkapkannya. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَانتَظِرْ إِنَّهُم مُّنتَظِرُونَ ﴿٣٠

"Berpalinglah daripada mereka dan tunggulah kerana sesungguhnya mereka juga menunggu". [Surah as-Sajadah ayat 30].

Sebab itulah saya selalu tegaskan bahawa selagimana seseorang tidak menguasai bahasa Arab yang essensial untuk memahami agama, maka janganlah dia terjun dalam pengamalan yang bersandarkan pensyariatan. Malah, seseorang perlu mendalami usul fiqh dan menyelami lautan ilmu *ilal al-Ḥādīṯ sebelum berhujah akan hal itu sebagai amalan untuk agama dirinya. Menjadikan ini sebagai prioriti yang kurang utama dan tidak penting hanyalah pentaksiran daripada orang yang tidak lalai daripada tuntutan agama ini. Sekalipun subjek ini susah, sukar dan rumit untuk dipelajari dan memahirkannya itupun kalau bukan sepertimana yang dimomokkan, itu lebih baik daripada yang mudah tetapi hanya menerbangkan layang-layang yang rapuh talinya. Firman Allah Yang Maha Mulia :

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا﴿٥﴾ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦

"Maka, sesungguhnya pada kesenangan itu ada kemudahan. Sesungguhnya pada kesusahan itu ada kesenangan". [Surah aš-Šarḥ ayat 5-6].

Usah terpedaya dengan dakwaan perkara itu telah sepakat tentang penghukumannya, diamalkan secara meluas merata-rata tempat dan telah terus-menerus tradisi dan warisan tersebut sepanjang zaman. Selagimana belum jelasnya terhadap penghujahan daripada al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka perkataan seseorang atau sesiapapun tidak diambil kira sekalipun telah disokong oleh jutaan yang lain. Yang menentukan kebahagiaan terletak pada diri kita, bukan orang lain. Ilmu fardu ain ialah yang mesti dipenuhi untuk keperluan dirinya dan diri individu itulah yang mengisi bekalan diri, bukan sekadar menumpang pencapaian orang lain. Biarlah kita lambat daripada beramal lima puluh lamanya kerana agama ini sendiri bukan dididik dan diimplementasikan sekaligus, tetapi berperingkat dan beransur-ansur. Lebih-lebih lagi sanad hadis yang berkepelbagaian sehingga hal ini mendesak seseorang memerlukan kajian yang besar dan lama untuk memastikan tiada kecacatan tersembunyi dalam beramal. Bukanlah semudah untuk terus beramal.

Tidakkah mereka sedari bahawa kesukaran mereka untuk tahqiq dan tuntas dalam mencari kebenaran yang penuh kepayahan dan lelah serta memakan masa yang lama akan menatijahkan kesenangan yang mereka akan begitu asyik mencicipinya? Walhasil kesenangan adalah pencapaian ilmu yang banyak, kefahaman yang teguh, keimanan yang kukuh, hujah yang tegap konkrit dan konsisten di jalan yang lurus. Tidakkah semua ini adalah nikmat kesenangan yang seharusnya disyukuri dan dituntut untuk memperolehnya? Usah mengeluh dan merengek dalam kesungguhan yang dilaburkan. Yakinilah bahawa kesenangan sentiasa bersama dalam kesukaran itu.

Kesan yang paling ketara untuk dilihat kepincangan dalam ikutan membuta tuli ialah pada penentuan darjat hadis. Kadangkala apabila seseorang terbiasa untuk memilih taklid, seseorang hanya akan berhujah dengan berdasarkan pandangan ahli hadis yang sepakat dengan kehujahan dalam amalannya. Jika ada pendapat sebaliknya, seseorang sanggup membuangnya tanpa alasan yang kukuh. Malah, apabila beramal amalan yang lain, seseorang akan memilih pendapat ahli hadis yang dia tolak dan dia pula menolak pendapat yang dahulu dia ambil. Sangatlah keji praktik ini dalam agama kerana berpindah pendapat tanpa alasan yang kukuh. Hanya berpaksikan kaedah "Ikutilah selagimana terdapat pandangan ahli hadis ternama tentangnya".

Tentu lagi tidak patut beramal sesuatu hanya kerana orang ramai melakukannya dan berterusan dalam warisannya. Banyaknya orang bukan pengukur segala-galanya. Malah, yang sedikit pun bukan juga indikatornya. Bilangan bukan penentu kebenaran yang mutlak untuk diikuti. Selagimana tiada paksi al-Qur^ān dan as-Sunnah yang menjadi landasan kepada perjalanan amalan itu, maka tidak ada terhadapnya. Ingatlah bahawa sebaik-baik amalan ialah amalan yang didasari dengan penghujahan yang jitu padanya dan amalan yang terbaik merupakan tuntutan daripada Allah *Azza Wa Jalla :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ﴿٢

"Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kalian yang mana satukah di antara kalian yang terbaik amalnya. Dialah Maha Luhur lagi Maha Pengampun". [Surah al-Mulk ayat 2].

Jangan kerana dipengaruhi rasa tamak untuk beramal dan terliur dengan kegopohan menyebabkan kita abai pengamatan kita dalam menjalani aktiviti dan perbuatan yang disandarkan kepada agama. Tidak perlu peduli kecaman dan bentakan orang jahat yang kita lambat beramal disebabkan orang sekelilingnya sudah selesa dengan rutin mereka. Tutuplah pendengaran dari celaan orang yang bebal kerana tidak mahu beramal sesuatu yang belum dipastikan keabsahannya dalam agama walaupun ia telah dibiasakan secara turun-temurun dan meluas berleluasa. Sebab kita yang memilih jalan kebahagiaan dan kita yang menjadikan al-Qur^ān sebagai teman sewajarnya kita mengutamakan petunjuknya lebih daripada yang lain. Bukan daripada sesiapa yang mendakwa-dakwi tentang agama sehinggalah dibuktikan dengan kukuh. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ﴿١١٦

"Kalau engkau taat terhadap kebanyakan orang di bumi ini, pasti mereka menyesatkan engkau daripada jalan Allah. Tidaklah mereka mengikuti melainkan persangkaan dan bukanlah mereka itu melainkan orang yang degil". [Surah al-An*ām ayat 116].

Firman Allah Ta*ālā :

وَمَا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ ۖ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ ۖ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا ﴿٢٨

"Tidaklah mereka mempunyai pengetahuan terhadapnya. Tidaklah mereka mengikuti melainkan persangkaan. Sesungguhnya persangkaan tidak mencukupkan kebenaran walau sesuatu pun". [Surah an-Najm ayat 27].

Firman Allah Ta*ālā :

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ إِلَّا ظَنًّا ۚ إِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ ﴿٣٦

"Tidaklah kebanyakan mereka mengikuti apa-apa melainkan persangkaan. Sesungguhnya persangkaan tidak mencukupkan kebenaran walau sesuatu pun. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap apa-apa yang mereka lakukan". [Surah Yūnus ayat 36].

Firman Allah Ta*ālā :

وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُ فَاتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِيقًا مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٢٠

"Benar-benar sesungguhnya iblis telah membenarkan persangkaan mereka, lantas mereka mengikutinya melainkan sekumpulan daripada orang yang beriman". [Surah Saba^ ayat 20].

Sebab itulah menjauhi segala sangkaan yang tidak membawakan kita kepada kebenaran merupakan tuntutan dalam agama. Tidak patut kita berkata sesuatu itu merupakan sah dan batal di sisi syariat sedangkan kita hanya menyangka dan tidak nyata dengan terang sama ada Allah dan Rasul-Nya membelanya ataupun tidak tidak. Firman Allah Yang Maha Mulia :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada persangkaan. Sesungguhnya sebahagian persangkaan adalah berdosa". [Surah al-Ḥujurōt ayat 12].

Sebahagian bukti bukanlah semestinya pembuktian yang sempurna seratus peratus. Kadangkala sembilan puluh peratus sahaja keyakinan itu. Walaupun tidak sempurna, bukanlah bermakna bukti itu tidak kuat. Sesiapa yang memilih bukti yang lemah daripada itu sedangkan terdapat bukti yang lebih kuat tertegak ke atasnya, maka dia telah memilih hawa nafsunya sebagai tunggangan dan kenderaan. Sesiapa yang berpaling daripada bukti yang berkuasa tujuh puluh peratus, tetapi berpaling memilih selainnya yang lebih lemah, maka dialah yang memilih persangkaan.

Adapun yang masing-masing sama kuat tetapi tidak terbukti salah satunya yang lebih jelas, maka inilah pilihan yang masing-masing untuk menjejakkan jalan yang ditujukan. Ini tidak lagi dikira persangkaan yang batil diikuti kerana masing-masing saling bertolak-tolakan dan tarik-menarik sehingga keputusan muktamad sukar ditentukan. Di sini tidak ada pencelaan terhadap yang lain atau lebih baik daripada yang lain kerana kekuatan untuk membatalkan yang lain tidak mencukupi sehingga mampu menjadi dominan. Persangkaan yang tercela ialah apabila seseorang memilih potensi salah dan mudarat yang lebih besar, sedangkan yang lebih kecil telah dibentangkan hujahnya, maka inilah yang ditempelak. Firman Allah *Azza Wajalla :

قَالَ أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَىٰ بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ

Musa berkata: "Adakah kalian ingin menukarkan sesuatu yang lebih kurang dengan yang lebih baik?". [Surah al-Baqoroh ayat 61].

Walau bagaimanapun, kita sentiasa perlu mengkehadapankan sikap tamak terhadap menuntut kepada kebenaran dan mengikutinya tatkala hal itu menyuluh dengan sinaran cerah. Demikian sahutan cabaran ini sentiasa dikumandangkan dan digema secara berulang kali dan lantang kerana agama ini sentiasa berpaksikan atas hujah, fakta dan dalil. Agama ini sentiasa meriah dengan suasana budaya dan wacana cenndekia serta aktif dalam mengejar kenyataan yang menjadi kebenaran yang didambakan. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

قُلْ فَأْتُوا بِكِتَابٍ مِّنْ عِندِ اللَّـهِ هُوَ أَهْدَىٰ مِنْهُمَا أَتَّبِعْهُ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٤٩

Katakanlah: "Bawakanlah kitab di sisi Allah yang lebih memberi petunjuk daripada kedua-duanya, pasti aku akan mengikutinya jika kalian orang yang benar". [Surah al-Qoṣoṣ ayat 49].

Firman Allah Ta*ālā :

ائْتُونِي بِكِتَابٍ مِّن قَبْلِ هَـٰذَا أَوْ أَثَارَةٍ مِّنْ عِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٤

"Bawakan kitab daripada sebelum ini atau peninggalan daripada pengetahuan jika kalian orang yang benar". [Surah al-Aḥqōf ayat 4].

Firman Allah Ta*ālā :

قُلْ إِن كَانَ لِلرَّحْمَـٰنِ وَلَدٌ فَأَنَا أَوَّلُ الْعَابِدِينَ ﴿٨١

Katakanlah: "Kalau ar-Roḥmān memiliki anak, pasti aku orang yang terawal menyembahnya". [Surah az-Zuẖruf ayat 81].

Kalau seseorang enggan dan berpaling daripada jalan ini, mana mungkin seseorang ingin meneladai firman Allah Tabāroka Wa Ta*ālā seperti berikut :

بَلْ نَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَى الْبَاطِلِ فَيَدْمَغُهُ فَإِذَا هُوَ زَاهِقٌ ۚ وَلَكُمُ الْوَيْلُ مِمَّا تَصِفُونَ ﴿١٨

"Bahkan kami melemparkan kebenaran kepada batil, lantas kebenaran itu menghancurkannya, maka kebatilan itu lenyap. Kecelakaan bagi kalian terhadap apa-apa yang kalian sifatkan". [Surah al-Anbiyā^ ayat 18].

Jika seseorang ingin mengalahkan kebatilan dan menghancurkannya, pasti perlunya kebenaran yang menyirnakan kegelapan dengan pelita yang menyala. Seseorang yang menjadikan al-Qur^ān sebagai panduan hidupnya pastilah mengisi dan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi tentangan dan terkaman kebatilan dalam menzahirkan kewibawaan keunggulannya. Tidaklah Allah menyampaikan dengan kata-kata kosong dan sekadar mencangkul angin. Bagaimana mungkin kita membiarkan diri dalam keadaan kekosongan sedangkan kita mendakwa bahawa kita merupakan hamba-Nya? Apakah kita ingin menyeru manusia kepada bukti yang nyata sedangkan kita hanya berlayar dengan kapal yang tidak dipastikan keselamatannya? Firman Allah *Azza Wajalla :

أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنسَوْنَ أَنفُسَكُمْ وَأَنتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ ۚ أَفَلَا تَعْقِلُونَ ﴿٤٤

"Adakah kalian mengajak manusia kepada kebaikan sedangkan kalian melupakan diri kalian dan kalian membaca kitab? Tidakkah kalian berakal?". [Surah al-Baqoroh ayat 44].

Beberapa Teladan

Berikut saya paparkan beberapa kenyataan daripada tokoh dan sarjana dalam pendirian mereka dalam ikutan terhadap agama. Sesungguhnya kenyataan yang dipaparkan ini adalah sebagai peringatan kepada kita bahawa agama ini bukan milik sesiapa dan bukan dipengaruhi oleh sesiapa, tetapi agama ini berdiri sendiri dengan kekuasaan Allah yang diteguhkan ke atas rasul-Nya. Maka, sesiapa yang ingin menggapai sebenar-benar kefaqihan dan kebaikan dalam beragama, maka sentiasalah al-Qur^ān dan as-Sunnah menjadi timbangan yang berat untuk segala urusan yang diperselisihkan dan yang dinyatakan. Berikut adalah ungkapan-ungkapan yang boleh diambil teladan daripadanya supaya kita melihat semula sisi penting dalam beragama :

A) Abū Ḥanīfah berkata :

لا يحل لمن يفتى من كتبي أن يفتي حتى يعلم من أين.

"Tidak halal untuk seseorang berfatwa daripada kitab-kitab aku yang dia berikan fatwa sehinggalah dia mengetahui sumbernya". [Al-Intiqō^ Fī Faḍō^il aṯ-Ṯalāṯah al-A^immah al-Fuqohā^ Mālik Wa aš-Šāfi*iyy Wa Abū Ḥanīfah Roḍiyallahu *Anhum, karya Ibn *Abdur Barr, m/s 145, keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Kita juga wajar berpendirian sedemikian tatkala menyatakan pendapat kita. Walaupun kita telah kerahkan segala tenaga dan daya dalam menggeladah kebenaran daripada al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka kita sama sekali tidak berhak untuk memaksa orang lain bersependapat dengan kita. Serahkan selebihnya untuk mereka analisis hujah kita dan meneliti segala kajian yang kita kemukakan. Kita telah pun tunaikan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu yang mengejarkan kebenaran. Apabila orang lain bersependapat dengan kita bahawa hal itu terbukti benar-benar menepati al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka itu bukan sahaja keuntungan diri kita sahaja, tetapi keuntungan kepada umat kerana memanfaatkan dan mengambil perhatian dengan pendapat. Jika mereka menyalahi tanpa alasan yang munasabah, maka beban itu terpikul pada mereka, bukan lagi pada kita. Kita tidak dapat memberi hidayah sekalipun terhadap orang yang kita amat cintai. Hanya Allah sahaja yang segala kekuasaan di sisi-Nya.

B) Abū Yūsuf berkata ketikamana saat kematiannya :

كل ما أفتيت به فقد رجعت عنه إلا ما وافق الكتاب السنة

"Setiap apa-apa yang aku fatwakan tentangnya, maka aku telah menarik balik daripadanya kecuali mana-mana yang menepati al-Qur^ān dan as-Sunnah". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^, karya aḏ-Ḏahabiyy, jilid 7, m/s 471, keluaran Dār al-Ḥadīṯ, al-Qōhiroh].

Walaupun kita telah lama dan banyak menelusuri pengetahuan dan kefahaman demi memperoleh kebenaran yang agung, kadangkala kita terlepas pandang terhadap kesalahan kita yang tidak kita sengaja dan tanpa kita sedari sedangkan kita bukan sememangnya bertujuan untuk beralih dari jalan yang sejahtera. Maka, mudah-mudahan Allah mengampuni kita atas kesilapan yang kita lakukan sama ada besar atau kecil yang kita lakukan secara sedar atau tidak sedar dan yang sengaja atau tidak sengaja. Apabila kita telah menyedari hal itu, maka seharusnya bagi kita menarik semula pandangan itu dan beralih kepada mentari yang bersinar. Demikian juga kita peringatkan kepada saudara kita bahawa kita berlepas diri daripada penyimpangan kepada kiblat kebenaran. Mana-mana yang didapati bahawa hal itu bertentangan arah, maka peringatkanlah kepadanya supaya usah peduli untuk menyelisihinya dan ambillah bekalan yang memenuhi jiwa dengan ketakwaan. Jika kita sayangi saudara kita untuk beriltizam dengan kebenaran, maka sentiasalah wasiatkan dan nasihatkan yang ini.

C) Mālik bin Anas berkata :

كل أحد يؤخد عن قوله ويترك إلا صاحب هذا القبر صلى الله عليه وسلم

"Setiap orang diambil pendapatnya dan ditinggalkan melainkan penyemadi di dalam kubur ini, iaitu Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^, karya aḏ-Ḏahabiyy, jilid 7, m/s 178, keluaran Dār al-Ḥadīṯ, al-Qōhiroh].

Agama ini telah pun terputus wahyunya sejajar kewafatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Tidak ada yang lebih autoriti dalam urusan agama melainkan di tangan Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang mendakwa sesuatu itu dalam pensyariatan Allah dan Rasul-Nya, maka hendaklah diteliti sumber ambilannya. Jika benar dan menepati kaedah-kaedah yang digariskan oleh agama ini, maka pendapat itu menjadi hujah dan kebenaran. Ini bukannya bermaksud kalam manusia lain itu menjadi sisipan yang setara dengan kedudukan firman Allah dan Rasul-Nya, tetapi seseorang itu menjadi cermin yang memantulkan cahaya kebenaran-Nya kepada umat ini. Dengan kata lain, kebenaran itu zahir melalui wasilah dirinya, bukan dia itu sendiri menjadi tiang bagi agama ini.

D) Mālik bin Anas berkata :

إنما أنا بشر أخطئ وأصيب فانظروا في رأيي فكلما وافق الكتاب والسنة فخذوا به وكلما لم يوافق الكتاب والسنة فاتركوه.

"Aku cumalah seorang manusia yang kadangkala benar dan kadangkala tersilap. Maka, hendaklah kalian telitilah pandanganku. Apabila bertepatan dengan al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka ambillah ia. Apabila tidak bertepatan dengan al-Qur^ān dan as-Sunnah, maka tinggalkanlah ia". [Jāmi* al-Bayān al-*Ilm Wa al-Faḍl, karya Ibn *Abdul Barr, jilid 1, m/s 775, kelaran Dār Ibn al-Jawziyy, as-Saudi, tahqiq Abū al-Ašbāl az-Zuhayriyy].

Sesiapa yang tidak dikurniakan wahyu daripada Allah, maka janganlah dia segan, malu dan keberatan untuk mengungkapkan seperti ini. Sesungguhnya kebenaran mampu melangkaui sesiapa sahaja tanpa kita sangka. Jika bertuah, seseorang mendapat bahagian kebenaran itu di sisi Allah. Jika tidak, maka kebenaran bukan terikat dengan sesiapa. Allah menurunkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa kita sangka, jangka dan ramalkan. Maka, Allah bebas untuk zahirkan kebenaran dengan cara yang Dia mahu dan semua itu di atas kebijaksanaan-Nya, keadilan-Nya, pengetahuan-Nya dan ketelitian-Nya. Jika seseorang mendapati kebenaran daripada orang yang bukan kita sukai dan gemari, maka sesungguhnya janganlah kita mengingkari kurniaan yang Dia anugerahkan kepada kita. Kalau kita sayang kepada seseorang, maka kebenaran lebih berhak untuk dicintai dan didambai.

E) Aḥmad bin Ḥanbal berkata :

لا تقلدني ولا تقلد مالكا ولا الثوري ولا الأوزاعي وخذ من حيث أخذوا.

"Jangan engkau bertaklid kepadaku dan jangan engkau bertaklid kepada Mālik, aṯ-Ṯawriyy dan al-Awzā*iyy, tetapi ambillah daripada mana yang mereka ambil". [I*lām al-Muwaqqi*īn *An Robb al-*Ālamīn, karya Ibn al-Qoyyim al-Jawziyyah, jilid 2, m/s 138, keluaran Dālr al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq Muḥammad bin *Abdul Salām Ibrōhīm].

Sekalipun pendapat itu telah disepakati oleh ramai orang, maka janganlah dia peduli dengan jumlah itu selagimana kehujahan al-Qur^ān dan as-Sunnah belum diyakini dengan pasti dan belum dibuktikan dengan kukuh. Agama ini bukan dipengaruhi oleh sesiapapun sekalipun seseorang itu atau kelompok itu merupakan bayangan dan cerminan kepada agama ini. Tetapi, kitalah yang perlu dipengaruhi oleh agama yang diredhai oleh Allah. Agama mempengaruh tetapi tidak dipengaruhi. Sesiapa yang mendakwa sesuatu perkara itu daripada Allah dan Rasul-Nya, maka telitilah kerana wahyu merupakan milik Allah yang mutlak dan disampaikan kepada rasul-Nya sahaja. Yang selain itu boleh jadi menepati dan boleh jadi menyimpang.

F) Aš-Šāfi*iyy berkata :

إذا صح الحديث عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فاضربوا بقولى الحائط

"Apabila sahihnya hadis daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, maka campaklah pendapatku ke dinding". [I*lām al-Muwaqqi*īn *An Robb al-*Ālamīn, karya Ibn al-Qoyyim al-Jawziyyah, jilid 3, m/s 223, keluaran Dālr al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq Muḥammad bin *Abdul Salām Ibrōhīm].

Setiap orang wajib menjadikan rasul-Nya sebagai hakim yang mutlak untuk segala keputusan dan tidak boleh bagi sesiapapun menyelisihinya tatkala ketetapan telah dimuktamadkan ke atasnya. Sesiapa yang menyampaikan kebenaran kepada kita, maka berpalinglah daripada keenakan yang kita santap dan menujulah kepada penawar yang menyembuhkan jantung. Janganlah kita menolak kebenaran hanya kerana daripada orang yang kita tidak suka sedangkan alasan untuk meragukan kebenaran itu tidak mencapai kemunasabahan. Kebenaran mampu dizahirkan di mana jua dengan izin Allah dan Dialah merezekikan hamba-Nya dengan laluan yang Dia kehendaki.

G) Aš-Šāfi*iyy berkata :

كل ما قلته فكان من رسول الله صلى الله عليه وسلم خلاف قولي مما صح فهو أولى ولا تقلدوني

"Setiap apa-apa yang aku berpendapat tentangnya, lantas terdapat hadis daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menyalahi pendapatku setelah terbukti kesahihannya maka hadis itu lebih utama dan jangan kalian bertaklid kepadaku". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^, karya aḏ-Ḏahabiyy, jilid 8, m/s 248, keluaran Dār al-Ḥadīṯ, al-Qōhiroh].

Begini sepatutnya yang menjadi pendirian setiap orang yang beriman terhadap rasul-Nya yang merupakan kemuncak segala hikmah dan pengetahuan. Jika sesiapa berpaling daripada cahaya mentari yang memadam sinaran rembulan dan bintang, maka dia telah memilih kesesatan dan kecelakaan untuk dirinya. Merasa berat untuk melepaskan segala yang menyinggung kebenaran yang mutlak dan berkeras terhadapnya, maka itu adalah ikutan hawa nafsu sebagai kekasih yang meracuni jiwa dan sanubari.

H) Aš-Šāfi*iyy berkata :

إذا وجدتم في كتابي خلاف سنة رسول الله صلى الله عليه وسلم فقولوا بها ودعوا ما قلته.

"Apabila kalian mendapati dalam kitabku menyalahi sunnah Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, maka berfatwalah dengannya dan tinggalkan apa-apa yang aku perkatakan". [Siyar A*lam ām an-Nubalā^, karya aḏ-Ḏahabiyy, jilid 8, m/s 248, keluaran Dār al-Ḥadīṯ, al-Qōhiroh].

Sebagai orang yang sentiasa menjunjung kebenaran dengan sepenuh jiwa dan raga, maka bersiap sedialah untuk menyelisihi pendapat yang kita salah dan menjaring kebenaran yang zahir kepada kita. Hendaklah kita berani untuk menerima kesalahan diri setelah terbukti dan merelakan diri untuk dibawakan arus kebenaran yang membawanya. Hidup ini bukan hanya untuk kepuasan ketamakan diri, tetapi menikmati kemenangan dengan terbitnya kebenaran. Kalau kita sentiasa mendambakan kebenaran, maka sanggupkan diri untuk menerimanya sekalipun pahit dan sakit. Itu lebih baik keselesaan dan keseronokan yang dihidangkan oleh fantasi dan ilusi.

I) Ibn Wahb berkata :

قال مالك: الحكم حكمان حكم جاء به كتاب الله وحكم أحكمته السنة. قال: ومجتهد رأيه لعله يوفق. وقال: ومتكلف فطعن عليه.

Mālik berkata: "Hukum itu ada dua, iaitu hukum yang datang daripada kitab Allah tentangnya dan hukum yang as-Sunnah tetapkannya". Dia berkata: "Pandangan mujtahid kadangkala bertepatan". Dia berkata: "Orang yang mengada-adakan dicela terhadapnya". [Jāmi* al-Bayān al-*Ilm Wa al-Faḍl, karya Ibn *Abdul Barr, jilid 1, m/s 775, kelaran Dār Ibn al-Jawziyy, as-Saudi, tahqiq Abū al-Ašbāl az-Zuhayriyy].

Setelah kita mengerti akan hal ini, maka sentiasalah kita teliti dengan pengambilan amalan dan penghujahan dalam agama ini. Janganlah kerana aura sakti dan keramat tatkala disebutkan nama seseorang, maka kita tersalah anggap untuk mementaskan bersama dalam posisi al-Qur^ān dan as-Sunnah. Jangan kerana kita merasa tersinggung dengan seseorang, maka kita abaikan dan tidak mengendahkan kebenaran yang disampaikan kepadanya. Kebenaran tetap kebenaran walau daripada sesiapapun.

J) Ibn *Umar ditanya tentang pendapatnya yang bertentangan dengan ayahnya dalam isu haji tamattu^, dia menjawab :

أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ أَبِي نَهَى عَنْهَا وَصَنَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَأَمْرَ أَبِي نَتَّبِعُ أَمْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ الرَّجُلُ بَلْ أَمْرَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَقَدْ صَنَعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

"Apa pendapat engkau jika ayahku melarang daripadanya, sedangkan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- melakukannya? Adakah pendapat ayahku yang kita ikuti atau perbuatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-?". Maka lelaki itu berkata: "Bahkan perbuatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-". Dia berkata: "Benar-benar Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- pernah melakukannya". [Sunan at-Tirmiḏiyy, kitāb al-Ḥajj *An Rosūlillah, no. 823].

Ini sebagai tempelak kepada orang yang menyamatarafkan penghujahan sahabat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dengan penghujahan syariat. Kadangkala sebahagian orang manis berkata dalam menyebutkan keperluan dalam mengikut al-Qur^ān dan as-Sunnah, tetapi apabila berkenaan dengan para sahabat -roḍiyallahu *anh- , mereka tiba-tiba kerdil dan kaku untuk menyatakan pendirian yang sama. Kadangkala mereka seperti menganggap sama kehujahan para Sahabat -roḍiyallahu *anh-  dengan kehujahan syariat. Sedangkan para sahabat sendiri bertegas sepertimana yang mereka tegaskan bahawa hanya al-Qur^ān dan as-Sunnah merupakan tonggak segala hujah. Mereka sendiri pun tidak segan dan tidak pula keberatan untuk menyelisihi sesama mereka apabila nyata kehujahan al-Qur^ān dan as-Sunnah pada mereka. 

Maka, Sahabat -roḍiyallahu *anh-  bukan diterima kesemuanya dan ditolak kesemuanya. Telitilah dengna sebaik-baiknya. Jangan kerana sesuatu yang dianggap ta*abbudiyy dan tidak ada unsur ijtihad padanya menyebabkan kita terlindung untuk menyemak semula asal usulnya. Biarlah kita tidak beramal dengannya berbanding kita beramal dalam keadaan kita tidak mengerti apa-apa. Hujah kita tetap sentiasa berpaksikan dengan al-Qur^ān dan as-Sunnah, bukan selainnya.

No comments:

Post a Comment