Friday, February 14, 2020

Manhaj Tafsir Dan Fiqh Ahli Sunnah Adalah Manhaj Yang Konsisten

Dalam penafsiran atau penghukuman fiqh, wajar bagi setiap yang berdiri di atas manhaj ahli sunnah mempunyai set pemikiran yang lurus, disiplin minda yang teratur dan neraca pertimbangan yang lurus supaya penilaian kita didasari dengan kerangka dan metodologi yang kemas, lalu menghasilkan suatu pendirian yang konsisten dan boleh adaptasi untuk mana-mana jua kes. Manhaj ahli sunnah mengerti dengan sesungguhnya di mana perlunya tekal, di mana boleh menerima pengecualian dan di mana boleh menghasilkan lebih daripada dua pendapat. Mana-mana penghukuman fiqh atau penafsiran yang menatijahkan kontradik tanpa sebab munasabah, maka yakinilah ia bahawa adalah salah dan tidak benar. Ini sama sekali bukan dari manhaj ahli sunnah. Allah Tabāroka Wa Ta*ālā telah mengingatkan celaan terhadap manhaj ini :

قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّـهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّـهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى اللَّـهِ تَفْتَرُونَ ﴿٥٩

Katakanlah: "Apa pandangan kalian tentang apa yang Allah turunkan kepada kalian berupa rezeki, lalu kalian menjadikannya itu adalah halal dan itu adalah haram?". Katakanlah: "Adakah Allah yang mengizinkan kalian? Ataukah kalian mengada-adakan terhadap Allah?". [Surah Yūnus ayat 59].

Ayat ini mencela orang yang menetapkan sesuatu itu adalah halal dan haram secara sesuka hatinya. Demikian juga mereka yang menisbahkan hal itu adalah halal dan haram tanpa didasari ilmu yang kukuh terhadapnya. Sebab itulah manhaj ahli sunnah sangat berwaspada dalam hal ini kerana ia bukan sahaja melibatkan masalah fiqh semata-mata, ia juga akan membabitkan kepada masalah iman dan kufur.

Renungilah firman Allah *Azza Wajalla seperti berikut :

أَلَكُمُ الذَّكَرُ وَلَهُ الْأُنثَىٰ ﴿٢١﴾ تِلْكَ إِذًا قِسْمَةٌ ضِيزَىٰ ﴿٢٢

"Adakah anak lelaki itu adalah untuk kalian dan anak perempuan untuk Allah? Kalau demikian, itu adalah pembahagian yang tempang!". [Surah an-Najm ayat 21-22].

Allah menemplak pembahagian seperti itu kerana menganggap Allah memiliki anak perempuan dan itu seberhak baginya sedangkan anak perempuan di sisi mereka adalah kehinaan kalau diandaikan sememangnya Allah itu ada hak untuk memiliki anak. Bagaimana mungkin kehinaan yang mereka meluat dengan sesungguhnya itu dicampurkan bersama zat yang Maha Mulia tiada tara bagi-Nya? Bagaimana pula jika perkara yang berkaitan dengan kebenaran, tetapi dicampuradukkan dengan manhaj yang bercelaru dan rancu sehingga menghalalkan dan mengharamkan sesuatu tanpa metodologi yang jelas. Sudah tentu ia adalah perkara yang serius.

Saya akan bawakan beberapa contoh antara manhaj yang bercelaru dalam penghukuman fiqh. Contoh pertama adalah kes melihat aurat yang bukan hakiki. Aḥmad bin Muḥammad bin *Aliyy bin Ḥajar al-Ḥaitamiyy berkata :

خَرَجَ مِثَالُهَا فَلَا يَحْرُمُ نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةٍ كَمَا أَفْتَى بِهِ غَيْرُ وَاحِدٍ وَيُؤَيِّدُهُ قَوْلُهُمْ لَوْ عَلَّقَ الطَّلَاقَ بِرُؤْيَتِهَا لَمْ يَحْنَثْ بِرُؤْيَةِ خَيَالِهَا فِي نَحْوِ مِرْآةٍ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَرَهَا وَمَحَلُّ ذَلِكَ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ حَيْثُ لَمْ يَخْشَ فِتْنَةً وَلَا شَهْوَةً

Terkecuali pada yang diserupakannya (aurat), maka tidaklah haram lihatannya pada bayangan cermin sepertimana yang telah difatwakan lebih daripada seorang. Pendapat ini disokong oleh pendapat mereka yang menyatakan jika seseorang seseorang berta*līq talak terhadap isterinya dengan lihatannya pada seorang wanita, maka tidaklah dia melanggar ta*līqnya hanya dengan lihatan pada bayangannya di cermin kerana dia tidak melihatnya (secara hakiki). [Tuḥfah al-Muḥtāj Fi Šarḥ al-Minhāj, jilid 7, m/s 192, keluaran al-Maktabah at-Tijāriyah al-Kubrō].

Sebahagian orang tidak mahu menerima adanya perbezaan hukum antara lihatan jasad yang hakiki dengan lihatan sesuatu yang diserupakan dengan aurat seperti imej pantulan cermin atau air, gambar, ukiran, foto, paparan elektronik, hologram dan lain-lain. Namun, mereka tidak sedar kesan hukum yang mendatang apabila mereka menyamakan kedua-duanya. Jika kedua-duanya sama, maka menyentuh gambar faraj boleh membatalkan wuduk! Pasti tidak akan ada orang terima pendapat ini melainkan seseorang itu sanggup digelar gila dan tidak waras. 

Namun, dalam masa yang sama, saya tidak menemukan lagi pendapat kontemporari yang menyatakan bahawa persetubuhan dengan patung seks atau patung seks adalah sama dengan zina. Ini sekaligus membenarkan perbezaan antara faraj yang hakiki dengan objek yang diserupakan dengan faraj. Jika sesiapa yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut adalah zina, maka ia juga menatijahkan bahawa persetubuhan tersebut menatijahkan wajibnya mandi dan batalnya puasa seseorang itu. Lihat, bagaimana manhaj keliru ini dalam menentukan hukum.

Contoh kedua adalah pengharaman mencium kaki seseorang atas dasar cinta dan hormat. Namun, mereka sama sekali tidak segan silu mengharuskan untuk menyepong. Bahkan, ada yang memetik nukilan al-Qurṭubiy yang menyebutkan :

وَقَدْ قَالَ أَصْبَغُ مِنْ عُلَمَائِنَا: يَجُوزُ لَهُ أَنْ يَلْحَسَهُ بِلِسَانِهِ.

Berkata Aṣbaġ dari kalangan ulama kami: "Diperbolehkan untuk menjilatnya (faraj) dengan lidahnya". [Al-Jāmi* Li Aḥkām al-Qur^ān, jilid 12, m/s 232, Dār al-Kutub al-*Aṣriyyah, Kaherah, tahqiq Aḥmad al-Bardawiy dan Ibrōhīm Aṭfayš].

Mungkin ada orang membezakan bahawa kedua-dua hal tersebut berbeza kerana mencium kaki adalah pentakziman yang berlebihan, manakala yang lainnya adalah untuk menghangatkan keghairahan dalam aktiviti seks. Ini pembahagian yang tidak jelas, bagaimana kehangatan keghairahan itu dapat diperoleh kalau tiada rasa cinta yang mendalam sesama pasangan? Jika ada yang konsisten mengharamkan kedua-dua hal ini pun, sebenarnya tetap juga salah kerana tidak ada beza mencium dahi, hidung, pipi, tangan atau mana-mana anggota atas dasar cinta dan penghormatan. Ya, pentakziman berlebihan perlu dikawal dan dielakkan, tetapi untuk mengharamkan anggota tertentu seolah-olah hanya bahagian itu sahaja tempat atau cara memuliakan dan menzahirkan kasih sayang, maka ini sama sekali tidak benar.

Contoh ketiga, mereka yang berpendapat syariat para rasul terdahulu boleh terpakai untuk syariat Muḥammad -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Namun, yang anehnya, apabila berlakunya pertentangan antara syariat terdahulu dengan syariat ini, perkara pertama yang mereka fikirkan adalah menganggap hukum tersebut telah mansukh. Ke mana mereka telah campak kaedah ini? :

إِعْمَالُ الدَّلِيلِ أَوْلَى مِنْ إِهْمَالِهِ

"Mengamalkan dalil lebih utama daripada mengabaikannya".

Contoh dalam kecelaruan ini adalah dalam interaksi hadis tentang mandi bertelanjang secara bersama pada bani Isrō^īl :

حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ نَصْرٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ ، عَنْ مَعْمَرٍ ، عَنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ ، وَكَانَ مُوسَى يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ ، فَقَالُوا : وَاللَّهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلَّا أَنَّهُ آدَرُ ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ فَفَرَّ الْحَجَرُ بِثَوْبِهِ ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ ، يَقُولُ : ثَوْبِي يَا حَجَرُ ، حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى ، فَقَالُوا : وَاللَّهِ مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ وَأَخَذَ ثَوْبَهُ فَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا " ، فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ : وَاللَّهِ إِنَّهُ لَنَدَبٌ بِالْحَجَرِ سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ ضَرْبًا بِالْحَجَرِ .

Isḥāq bin Naṣr telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; *Abdul Rozzāq telah merawi hadis kepada kami, daripada Ma*mar, daripada Hammām bin Munabbih, daripada Abū Huroyroh, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, baginda bersabda; Dahulu bani Isrō^īl mandi dalam keadaan telanjang, melihatlah sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain. Dan Mūsā -*alayhissalām- mandi secara bersendirian. Mereka berkata: "Demi Allah! Tidak ada yang menghalang mula untuk mandi bersama kita melainkan bahawasanya dia berpenyakit pada zakarnya". Lalu pada saat Mūsā -*alayhissalām- mandi dan meletakkan pakaiannya pada batu, lalu batu itu lari dengan pakaiannya. Kemudian, Mūsā keluar dari tempat mandinya lalu berkata: "Bajuku! Wahai batu!". Sehingga terlihatlah bani Isrō^īl pada Mūsā. Lalu mereka berkata: "Demi Allah! Tidak ada pada Mūsā sesuatu yang penyakit". Lalu Mūsā mengambil pakaiannya dan memulai memukul batu tersebut". Abū Huroyroh berkata: "Demi Allah! Sungguh pada batu tersebut ada enam atau tujuh bekas kerana pukulan pada batu". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriy, kitāb al-Ghusl, no. 247].

حَدَّثَنِي إِسْحَاقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ ، حَدَّثَنَا رَوْحُ بْنُ عُبَادَةَ ، حَدَّثَنَا عَوْفٌ ، عَنْ الْحَسَنِ وَمُحَمَّدٍ وَخِلَاسٍ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ مُوسَى كَانَ رَجُلًا حَيِيًّا سِتِّيرًا لَا يُرَى مِنْ جِلْدِهِ شَيْءٌ اسْتِحْيَاءً مِنْهُ فَآذَاهُ مَنْ آذَاهُ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ ، فَقَالُوا : مَا يَسْتَتِرُ هَذَا التَّسَتُّرَ إِلَّا مِنْ عَيْبٍ بِجِلْدِهِ إِمَّا بَرَصٌ وَإِمَّا أُدْرَةٌ وَإِمَّا آفَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ أَرَادَ أَنْ يُبَرِّئَهُ مِمَّا ، قَالُوا لِمُوسَى : فَخَلَا يَوْمًا وَحْدَهُ فَوَضَعَ ثِيَابَهُ عَلَى الْحَجَرِ ثُمَّ اغْتَسَلَ فَلَمَّا فَرَغَ أَقْبَلَ إِلَى ثِيَابِهِ لِيَأْخُذَهَا وَإِنَّ الْحَجَرَ عَدَا بِثَوْبِهِ فَأَخَذَ مُوسَى عَصَاهُ وَطَلَبَ الْحَجَرَ فَجَعَلَ ، يَقُولُ : ثَوْبِي حَجَرُ ثَوْبِي حَجَرُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى مَلَإٍ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ فَرَأَوْهُ عُرْيَانًا أَحْسَنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ وَأَبْرَأَهُ مِمَّا ، يَقُولُونَ : وَقَامَ الْحَجَرُ فَأَخَذَ ثَوْبَهُ فَلَبِسَهُ وَطَفِقَ بِالْحَجَرِ ضَرْبًا بِعَصَاهُ فَوَاللَّهِ إِنَّ بِالْحَجَرِ لَنَدَبًا مِنْ أَثَرِ ضَرْبِهِ ثَلَاثًا أَوْ أَرْبَعًا أَوْ خَمْسًا فَذَلِكَ قَوْلُهُ يَأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَكُونُوا كَالَّذِينَ آذَوْا مُوسَى فَبَرَّأَهُ اللَّهُ مِمَّا قَالُوا وَكَانَ عِنْدَ اللَّهِ وَجِيهًا سورة الأحزاب آية 69 " .

Isḥāq bin Ibrōhīm telah merawi hadis kepadaku; Rowḥ bin *Ubādah telah merawi hadis kepada kami; *Awf telah merawi hadis kepada kami, daripada al-Ḥasan, Muḥammad dan H̱ilās, daripada Abū Huroyroh -roḍiyallahu *anh- , dia berkata, Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda; Sesungguhnya Mūsā adalah seorang lelaki yang pemalu dan tertutup sehingga tidak tampak pun kulitnya kerana pemalunya dia. Pada suatu hari, ada daripada orang-orang bani Isrō^īl mengolok-olokkannya. Mereka berkata: "Tidaklah dia menutup dengan tutupan ini melainkan ada aib pada kulitnya, atau sangat jelek, atau kusta, atau bisul atau penyakit lainnya". Dan sesungguhnya Allah berkehendak untuk membebaskannya daripada apa-apa yang mereka perkatakan pada Mūsā. Pada suatu hari, dia mandi bersendirian, kemudian dia meletakkan pakaiannya pada batu. Kemudian dia pun mandi. Dan ketika ia berganjak untuk mengambil pakaiannya, lalu batu itu lari dengan pakaiannya. Lalu Mūsā mengambil tongkatnya, lalu mengejar batu tersebut sambil memanggil: "Pakaianku! Wahai batu! Pakaianku! Wahai batu!". Hingga akhirnya, dia sampai ke tempat kerumunan pembesar bani Isrō^īl dan melihat Mūsā dalam keadaan telanjang yang sebaik-baik ciptaan Allah. Lalu Allah membebaskannya daripada apa yang mereka perkatakan. Akhirnya batu itu berhenti, lalu dia mengambil pakaiannya dan memakainya, kemudian dia mula memukul batu itu dengan tongkatnya. Maka demi Allah! Sesungguhnya pada batu itu terdapat bekas tiga atau empat atau lima pukulan. Demikianlah firman-Nya: {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu semua menjadi orang-orang yang menyakiti Mūsā, lalu Allah membebaskannya daripada apa yang mereka perkatakan, sesungguhnya di sisi Allah itu punyai kemuliaan} [Surah al-Ahzab ayat 69]. [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, kitāb Aḥādiṯ al-Anibiyā^, no. 3175].

Disebutkan bahawa syariat zaman Mūsā membenarkannya. Namun, mereka mengharamkannya untuk praktik syariat ini kerana hal itu telah dimansukhkan melalui hadis berikut :

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ ، حَدَّثَنَا زَيْدُ بْنُ الْحُبَابِ ، عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ عُثْمَانَ ، قَالَ : أَخْبَرَنِي زَيْدُ بْنُ أَسْلَمَ ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ ، عَنْ أَبِيهِ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ " ، وحَدَّثَنِيهِ هَارُونُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ، وَمُحَمَّدُ بْنُ رَافِعٍ ، قَالَا : حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي فُدَيْكٍ ، أَخْبَرَنَا الضَّحَّاكُ بْنُ عُثْمَانَ ، بِهَذَا الإِسْنَادِ ، وَقَالَا : مَكَانَ عَوْرَةِ ، عُرْيَةِ الرَّجُلِ ، وَعُرْيَةِ الْمَرْأَةِ .

Abū Bakr bin Abū Šaybah telah merawi hadis kepada kami; Zayd bin al-Ḥubbāb telah merawi hadis kepada kami, daripada aḍ-Ḍoḥḥāk bin *Uṯmān, dia berkata; Zayd bin Aslam telah merawi khabar kepada kami, daripada *Abdul Roḥmān Abū Sa*īd al-H̱udriyy, daripada ayahnya, bahawasanya Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Janganlah seseorang lelaki melihat aurat lelaki lain dan jangan seseorang wanita melihat aurat wanita lain. Jangan seseorang lelaki berkelubung dengan lelaki lain dalam satu baju dan jangan seseorang wanita berkelubung dengan wanita lain dalam satu baju". Hārūn bin *Abdullah dan Muḥammad bin Rōfi* telah merawi hadis kepada kami, mereka berdua berkata; Ibn Abū Fudayk telah merawi hadis kepada kami; Aḍ-Ḍoḥḥāk bin *Uṯmān telah merawi khabar kepada kami dengan sanad ini. Mereka berdua berkata dengan penggantian aurat dengan telanjang lelaki dan telanjang wanita. [Soḥīḥ Muslim, kitāb al-Ḥayḍ, no. 517].

Semudah ini? Sepatutnya apa yang mereka buat adalah jangan lupuskan riwayat Abū Huroyroh itu. Apa yang sepatutnya mereka buat adalah palingkan hukum daripada haram kepada sunat untuk tidak melihatnya atau dituntut untuk tidak melihatnya atau apa sahaja yang membawa kepada pengharaman yang mutlak menurut analisis masing-masing. Bukan tinggalkan salah satu riwayat sebegitu sahaja.

Salah satu sebab manhaj seseorang itu bercelaru adalah kerana sentimen. Sedangkan ahli sunnah membuat penilaian secara objektif dan menganlisis dengan metodologi ilmu, bukan perasaan yang membuak dalam jiwa. Saya sengaja ketengahkan contoh yang berkaitan dengan seksual kerana ingin paparkan betapa parahnya dan seriusnya kebobrokan apabila manhaj agama atas dasar sentimen. 

Dalam kesempatan ini, ingin dinyatakan bahawa fiqh andaian sangat berguna apabila ia mampu untuk menguji kekonsitenan dalam membina metodologi dan pendirian. Ini telah banyak dilakukan dalam kitab fiqh mazhab yang empat serta kitab uṣūl al-fiqh dan kaedahnya. Walaupun hal itu belum berlaku dalam dunia nyata atau mungkin sahaja tidak mungkin, tetapi cara tersebut boleh menjadi bahan eksperimen dalam pengujiannya.

Misalnya, seseorang menyatakan bahawa mimpi boleh dijadikan hujah dan sandaran dalam mensahihkan hadis. Dalam membuktikan keampuhan dan kukuhnya pendapat ini, kita akan uji dalam beberapa andaian. Contohnya, jika mimpi boleh jadi alasan untuk mensahihkan sesuatu hadis, maka mimpi juga boleh menjadi sebab untuk melemahkan hadis. Bahkan, ia mampu melemahkan hadis dalam Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy! Tentu ada orang yang berkata: "Perkara ini belum pernah berlaku setakat ini". Kita katakan, sememangnya ia belum berlaku, tetapi kita perlu ingat bahawa andaian sebegini boleh menjadi pengukur sejauh mana kemunasabahan pendapat seperti ini boleh dipakai. Kita andaikan seberapa banyak yang boleh isu lain yang menyusul yang mempunyai persamaan dalam cakupannya atau kesan domino apabila pendapat itu dijadikan pendirian. 

Ini kerana manhaj ahli sunnah berdiri di atas konsistensi, bukan berselerak sana sini. Tidak boleh mengatakan mimpi boleh dijadikan hujah, tetapi dalam masa yang sama tidak mahu menerima bahawa mimpi juga boleh menjadi hujah dalam melemahkan hadis dalam Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy. Apa alasan untuk membezakannya sehingga mimpi untuk kes ini tidak boleh dipakai? Jika tidak ada, maka ingatlah kecaman Allah Jalla Wa *Azza sepertimana yang telah dinyatakan! Ia sama sahaja seperti seseorang mengatakan haram meminum arak, tetapi tidak mahu mengharamkan konsumsi dadah. Jelas betapa buruknya sikap memilih-milih seperti ini, lebih-lebih lagi jika dasarnya adalah sentimen.

No comments:

Post a Comment