Thursday, May 7, 2020

Khuatir Fitnah Yang Membawa Fitnah

Mereka selalu menjaja-jaja khuatir fitnah, terutamanya dalam menetapkan keharaman dalam sesuatu isu, tetapi kebimbangan mereka itu sendiri sebenarnya fitnah yang hakiki atau lebih besar fitnahnya daripada fitnah yang mereka khuatirkan. Mereka selalu menegah sesuatu atas alasan khuatir fitnah, sedangkan mereka membuat fitnah bahawa fitnah itu akan berlaku.

Kalau mengambil kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎, iaitu penghadang haluan kerosakan pun, ia cuma pada makruhtanzīhĩ jika potensinya kecil atau makruhtarīmĩ jika potensinya besar. Tidak sampai kepada haram. Kalau sememangnya itu potensinya, tidak perlu lagi ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎. Sebagai tambahan, bukan semua perkara adanya ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ berdasarkan hadis daripada Anas yang berikut :

أَنَّ الْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتِ الْمَرْأَةُ فِيهِمْ ، لَمْ يُؤَاكِلُوهَا وَلَمْ يُجَامِعُوهُنَّ فِي الْبُيُوتِ فَسَأَلَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ سورة البقرة آية 222 إِلَى آخِرِ الآيَةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا النِّكَاحَ.

Bahawasanya orang Yahudi pada dahulunya jika isterinya datang haid padanya, mereka tidak makan bersama dengannya dan mereka tidak berkumpul dengannya di rumah. Lalu para sahabat Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- bertanya kepada Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam-. Kemudian, Allah Ta*ālā turunkan ayat: {Dan mereka bertanya tentang orang yang haid. Katakanlah: "Ianya kotor". Maka, hendaklah kamu semua menjauhi wanita ketika haid} [Surah al-Baqoroh ayat 222] sehingga akhir ayat. Lantas, Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wasallam- bersabda: "Kamu semua perbuatlah semua sesuatu kecuali persetubuhan". [Ṣoḥīḥ MuslimKitāb al-Hayḍno. 460].

Kalau kita memerlukan ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ untuk hal ini, nescaya kita tidak boleh sama sekali berbuat apa-apa jua, bahkan duduk serumah juga tidak boleh kerana khuatir terjatuh kepada yang haram. Akan tetapi, jelaslah bahawa naṣ ini menyatakan bahawa bukan semua keadaan memerlukan ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ baginya. Lagipun, sekalipun ada naṣ menyatakan bahawa penegasan untuk ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ bukan semuanya boleh beramal dengannya. Ibn Wahb berkata :

لو لا مالك بن أنس والليث بن سعد هلكت، كنت أظن أن كل ما جاء عن النبي صلى الله عليه وسلم يفعل به

"Kalau bukan kerana Mālik bin Anas dan Layṯ bin Sa*d, nescaya aku binasa. Dahulu aku menyangka bahawa semua yang datang daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- perlu beramal dengannya". [Tārīẖ Baġdādkarya al-H̱oṭīb al-Baġdādiyyjilid 14m/s 524keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyytahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf].

Abū *Abdullah Muḥammad berkata :

قال ابن عيينة: الحديث مضلة إلا للفقهاء. يريد: أن غيرهم قد يحمل شيئًا على ظاهره، وله تأويل من حديث غيره. أو دليل يخفي عليه، أو متروك أوجب تركه غير شيء مما لا يقوم به إلا من استبحر وتفقه.

"Ibn *Uyainah berkata: Hadis itu menyesatkan kecuali pada fuqaha. Yang dimaksudkan ialah selain mereka kadangkala berhujah sesuatu pada zahirnya, walhal padanya ada takwil daripada hadis yang lainnya atau dalil yang tersembunyi padanya atau ditinggalkan atau menetapkan peninggalannya yang bukannya sesuatu daripada yang dapat menjustifikasikan dengannya melainkan orang yang berilmu dan faqih". [Al-Jāmi* Fī as-Sunan Wa al-Ādāb Wa al-Maġōzī Wa at-Tārīẖkarya Ibn Abū Zayd al-Qoyrowāniyym/s 118-119keluaran Mu^assasah ar-Risālahtahqiq Muammad Abū al-Ajfān dan *Umān Baṭṭīẖ].

Misalnya, hadis dari Abū Huroyroh yang berkata sepertei berikut :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، "أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْمُبَاشَرَةِ لِلصَّائِمِ فَرَخَّصَ لَهُ وَأَتَاهُ آخَرُ فَسَأَلَهُ فَنَهَاهُ فَإِذَا الَّذِي رَخَّصَ لَهُ شَيْخٌ وَالَّذِي نَهَاهُ شَابٌّ".

"Bahawasanya seorang lelaki bertanya kepada Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam- tentang penciuman untuk berpuasa, maka baginda membenarkan. Datang kepada baginda yang lain, lantas bertanya tentangnya, maka baginda pun melarangnya. Ternyata yang baginda berikan keizinan adalah seorang lelaki tua dan yang baginda menegahnya adalah pemuda". [Sunan Abū DāwudKitāb a-oumno. 2042].

Pada hadis ini, hakikatnya seseorang pemuda tidaklah dilarang untuk mencium isterinya ketika puasa. Akan tetapi, tegahan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- adalah kerana mengambil langkah berjaga-jaga agar pemuda itu tidak terjebak kepada persetubuhan yang membatalkan puasa memandangkan keadaannya tidak sama dengan yang tua.

Ini salah satu daripada banyak yang lain. Kita perlu ingat bahawa bukan semua perintah atau perbuatan Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- itu atas dasar taabbudi yang bersifat pensyariatan. Kadangkala, hal itu didasari daripada sifatnya sebagai pemimpin atau hakim atau pembimbing atau peranan yang lain yang baginda meletakkan sesuatu keputusan berdasarkan realiti seseorang atau situasi itu, zaman dan tempat itu walaupun sebahagiannya tidak jelas sebab dan alasan baginda berkeputusan sebegitu sehingga mudah untuk diketahui kedudukan hukum bagi sesuatu perkara. 

Hal ini perlu diperhatikan dengan baik dan disaring dengan teliti supaya kita adil dalam meletakkan teks dan konteks itu pada tempat yang benar.

Perlu juga kita ketahui bahawa kadangkala Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- menggunakan kaedah yang agak keras untuk mencapai sesuatu objektif.

عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الْأَكْوَعِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى نِيرَانًا تُوقَدُ يَوْمَ خَيْبَرَ ، قَالَ: "عَلَى مَا تُوقَدُ هَذِهِ النِّيرَانُ؟". قَالُوا: "عَلَى الْحُمُرِ الْإِنْسِيَّةِ". قَالَ: "اكْسِرُوهَا وَأَهْرِقُوهَا. قَالُوا: "أَلَا نُهَرِيقُهَا وَنَغْسِلُهَا؟". قَالَ : "اغْسِلُوا".

Daripada Salamah bin al-Akwa* -roḍiyallahu *anh- Bahawasanya Nabi -ollallahu *alayhi wasallam- melihat nyalaan api pada hari Khaibar, baginda berkata: "Untuk apa api-api ini dinyalakan?". Mereka berkata: "Untuk keldai peliharaan". Baginda berkata: "Hancurkanlah dan bakarkan". Mereka berkata: "Adakah boleh kita tidak pecahkan, tetapi kami membasuhnya?". Baginda berkata: "Basuhlah". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyyno. 2309].

Sekalipun sememangnya sudah memadai dengan membasuh, tetapi kadangkala Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- memilih pendekatan yang keras untuk suatu sebab yang tertentu. Dalam hal ini, kita tidak tahu mengapa baginda memilih yang lebih keras sedangkan di sana terdapat pilihan yang lebih ringan dalam menyelesaikan masalah. Kalau ingin mengetahui, mungkin memerlukan kajian yang komprehensif tentang hal ini dan orang yang dibantu oleh Allah Ta*ālā akan mengetahui tentangnya dengan izin-Nya.

Walau bagaimanapun, keadilan baginda tidak dipertikaikan sekalipun kita agak samar atau tidak tahu sebab baginda memerintahkan atau melakukan sebegitu. Sekalipun begitu, kesamaran atau ketidaktahuan ini bukan bermakna hal itu adanya unsur pensyariatan padanya sehingga tidak memungkinkan wujudnya hukum yang lain daripada apa-apa yang telah ditekskan padanya. Oleh itu, wajar perkara ini perlu dipertimbangkan baik-baik.

Dengan itu, hendaklah seseorang itu berjaga-jaga dalam menjajakan khuatir fitnah secara gamblang sekalipun mereka menggunakan teks agama dalam menjustifikasikan hal itu. Ini kerana asal tiap-tiap sesuatu harus dan halal sehingga dibuktikan hukum yang sebaliknya. Mereka yang sengaja mergukan yang halal tanpa alasan yang kukuh hendaklah merenungi firman Allah Ta*ālā seperti berikut :

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

"Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia keluarkan untuk hamba-Nya dan kebaikan-kebaikan yang berupa rezeki". [Surah al-A*rōf ayat 32].

Perhiasan di sini bukanlah semestinya alat atau sesuatu yang dipakai pada anggota badan atau yang dijadikan dekorasi, tetapi perhiasan di sini juga merujuk kepada segala sesuatu yang ada di bumi. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

"Sesungguhnya Kami jadikan apa-apa yang ada di bumi sebagai perhiasan untuk Kami menguji yang mana satukah antara mereka yang terbaik amalannya". [Surah al-Kahfi ayat 6].

Antaranya adalah seperti pakaian, anak-anak, harta dan juga tubuh badan yang dinisbahkan sebagai perhiasan. Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

"Wahai anak-anak Adam! Kenakanlah pakaian setiap kali ke masjid. Makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan". [Surah al-A*rōf ayat 31].

Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

"Harta dan anak-anak itu ialah perhiasan kehidupan dunia, sedangkan amal soleh yang berterusan lebih baik pahalanya di sisi Tuhamu dan lebih baik harapannya". [Surah al-Kahfi ayat 46].

Firman Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā :

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖوَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup dadanya dengan tudung mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan mereka atau hamba-hamba sahaya mereka atau pengikut lelaki yang tiada lagi keberahian atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan". [Surah an-Nūr ayat 31].

Manakala, ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎ di sini merujuk kepada sesuatu yang melazatkan yang jiwa menggemarinya sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Jarir Jarīr aṭ-Ṭobariyy dalam «Jāmi* al-Bayān *An Ta^wīl Āy al-Qur^ān». Az-Zamaẖšāriyy dalam «al-Kaššāf *An Ḥaqō^iq Ġowāmiḍ at-Tanzīl» menyatakan bahawa ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎ ialah sesuatu yang baik dan lazat. Manakala, Ibn *Aṭiyyah dalam «al-Muḥarror al-Wajīz Fī Tafsīr Kitāb al-*Azīz» menyatakan bahawa ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎ ialah sesuatu yang dianggap lazat.

Maka, sesuatu yang lazat di sini bukan hanya pada objek di sekeliling atau yang ada pada diri kita yang memberikan kenikmatan pada kita, tetapi apa yang kita lakukan itu juga termasuk dalam hal ini kerana itu juga memberikan kesenangan dan kepuasan pada jiwa. Dalam mendefinisikan ₍Taronnam₎, Ibn Manẓūr menyatakan :

كُلُّ مَا اسْتُلِذَّ صَوْتُهُ وَسُمِعَ مِنْهُ

"Setiap sesuatu yang dianggap sedap suaranya dan didengarkannya". [Lisān al-*Arobjilid 12m/s 257keluaran Dār Ṣōdir].

Di sini jelas bahawa yang dianggap sedap ini bukan semata-mata objek, tetapi perbuatan yang dapat menyenangkan jiwa.

Pada ayat tersebut, Allah menemplak bukan sahaja terhadap mereka yang mengharamkan perhiasan dan kebaikan tanpa alasan yang kukuh, tetapi Allah juga menemplak mereka yang sengaja meragukan kehalalannya setelah hal itu Allah telah halalkannya tanpa ragu dalam keadaan tanpa membawakan alasan yang kukuh dan Allah juga menemplak terhadap mereka yang sengaja membencinya melainkan jika hal itu sememangnya tidak mendapat tempat di jiwanya secara naluri peribadi seperti ketidaksukaan untuk memakan dhab atas dasar bukan makanan yang digemari dan menjadi kesukaan pada adatnya. Ini kerana mereka yang seperti ini sengaja memalingkan perkara yang Allah dan rasul-Nya telah tetapkan hal itu tanpa alasan yang kukuh.

Orang yang suka menjaja perkataan "khuatir fitnah" adalah mereka yang terpedaya yang kononnya ingin menjaga agama dan bersikap warak. Mereka tidak lebih seperti orang yang disebutkan oleh Allah Tabāroka Wa Ta*ālā seperti berikut :

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ﴿١١﴾ أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَـٰكِن لَّا يَشْعُرُونَ ﴿١٢

"Apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kalian melakukan kerosakan di bumi. Mereka berkata: Kami hanyalah membuat kebaikan. Ingatlah! Sesungguhnya mereka itulah perosak, tetapi mereka tidak menyedarinya". [Surah al-Baqaroh ayat 11-12].

Mereka yang kononnya ingin menjaga agama dan bersikap warak ingin keluar daripada bahaya dan kemaksiatan, tetapi masuk kepada bahaya dan kemaksiatan yang lain. Sewenang-wenangnya mereka menggunakan ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ dalam keadaan mereka menyalahgunakannya dan mengeksploistasinya demi memuaskan ketamakan semangat agamanya yang hanya berdasarkan sentimen, bukan atas dasar pemikiran yang waras dan di atas landasan ilmu.

Jika mereka orang yang warak, sepatutnya mereka lebih berjaga-jaga dalam mengharamkan sesuatu berbanding menyempitkan pintu kehalalannya. Kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ merupakan kaedah fiqh yang mengerikan untuk seseorang ambil sebagai sumber fatwa dan kaedah ini hanya digunakan setelah dilakukan penelitian yang jelas padanya. Ingatlah bahawa Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda :

إِنَّ أَعْظَمَ المُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرَّمْ فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ

"Sesungguhnya kesalahan yang paling besar untuk muslimin ialah apabila seseorang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan padanya, kemudian menjadi haram disebabkan pertanyaannya". [Ṣoḥīḥ al-BuẖōriyyKitāb al-I*tiṣōm Bi al-Kitāb wa as-Sunnahno. 6897].

Orang yang suka menjaja khuatir fitnah adalah mereka yang berlebih-lebihan pertanyaannya seperti: "Nanti kalau terjadi sebegini, bagaimana?" atau "Kalau ini terjadi, bagaimana?" atau seumpamanya yang andaian-andaian itu membawa impak kepada keharamannya apabila hal itu dijawab. Jika tidak diharamkan pun, ia menjadikan halal itu samar dan diragukan.

Kadangkala, sememangnya pengharaman atau keraguan itu adalah benar jika diteliti pada konteksnya, tetapi malangnya mereka cuba menjadikan konteks yang tertentu itu menjadi konteks yang umum dan sengaja perbesar-besarkan konteks yang tertentu itu seolah-olah konteks itulah yang akan terjadi dalam keadaan hal itu belum pasti atau kepastian itu tidak besar.

Mereka sangat licik dan penuh muslihat supaya kononnya menampakkan agama yang selamat daripada kerosakan dan musibah, sedangkan di sebaliknya adalah racun dan jerat yang membawa kepada malapetaka. Mereka boleh berbohong kepada manusia dengan slogan dan kata-kata manis sebegitu, tetapi Allah lebih mengetahui apa yang tersembunyi pada jantung mereka.

Mengapa saya mengingatkan tentang muslihat dan kelicikan? Sebabnya adalah sebahagian orang begitu licik dalam mengambil kesempatan supaya keharusan pada hukum asalnya tidak ada relevan padanya. Dia berkata dia tidak menisbahkan keharaman, tetapi di sebalik itu, dia ambil kesempatan untuk gambarkan betapa jahatnya orang yang mengamalkannya.

Taktik ini sama seperti seseorang kata cukup sesorang itu hanya makan sepinggan. Kemudian, mereka beri nasihat supaya jangan makan sampai dua pinggan. Alasan mereka perbuatan itu nanti boleh terjebak untuk makan sampai lima pinggan. Malah, mereka juga berkata perbuatan memakan dua pinggan adalah tidak bermanfaat, padahal itu cumalah pendapat mereka sahaja. Hanya satu pinggan sahaja yang bermanfaat.

Lihatlah! Di sebalik nasihat itu, mereka cuba cipta imej bahawa hanya memakan dengan sepinggan sahaja yang baik, lebih daripada itu adalah buruk yang diimejkan secara halus.

Ingatlah bahawa apa yang kita tidak suka secara peribadi belum bermakna hal itu adalah salah. Janganlah faktor peribadi dibawa dan digembar-gemburkan seperti penerimaan umum. Inilah yang kadangkala tidak disedari oleh sebahagian orang. Asal merasa pelik, janggal dan jijik akan sesuatu itu, terus dicari-cari bermacam cara agar hal itu menjadi haram atau kehalalannya diberikan ruang yang sangat sempit padanya tanpa alasan yang kukuh.

Agama ini bukan berdiri atas apa yang kita rasakan dan apa yang kita persepsikannya, tetapi ia adalah hujah yang bersandarkan dengan al-Quran dan sunnah. Jangan cuba tundukkan al-Quran dan sunnah supaya memenuhi dan mengikuti kemahuan sendiri untuk mencipta agama yang tidak diredhai Allah dan rasul-Nya walau bagaimana bersemangatnya seseorang itu terhadap agama.

Sangat wajar untuk diperingatkan bahawa tidak boleh sama sekali memonopoli persepsi ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎, iaitu memaksa dan menekan orang lain supaya berpersepsi sama sepertinya kerana itu adalah kezaliman terhadap orang lain.

Benci dan jijik walau macam mana pun pada sesuatu itu, sama sekali bukan alasan untuk menjadikan ia dalih dalam menetapkan larangan agama secara halus. Lebih-lebih lagi jika ia sekadar pendapat peribadi, sesuatu yang subjektif, kemungkinan yang kecil dan sekadar rasa sakit di jiwa.

Perbuatan ini hakikatnya merugikan diri sendiri walaupun orang lain meninggalkannya akibat suntikan yang kita doktrinkan kepadanya kerana merampas dan mendiskriminasi hak orang lain untuk membuat penilaian dalam mempersepsi sesuatu secara kendiri termasuk orang yang diberi peringatan oleh Allah :

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kalian mengharamkan kebaikan-kebaikan yang Allah halalkan untuk kalian dan jangan kalian melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas". [Surah al-Mā^idah ayat 87].

Az-Zamaẖšariyy berkata :

معنى لا تُحَرِّمُوا لا تمنعوها أنفسكم كمنع التحريم. أو لا تقولوا حرّمناها على أنفسنا مبالغة منكم في العزم على تركها تزهداً منكم وتقشفاً

"Makna Janganlah kalian mengharamkan adalah janganlah kalian menegah diri kalian terhadapnya sepertimana tegahan keharaman atau kalian mengatakan: Kami mengharamkannya untuk diri kami" secara berlebihan dengan sepenuh hati dalam meninggalkannya kerana ingin berzuhud dan hidup serba kekurangan". [Al-Kaššāf *An aqō^iq Ġowāmi at-Tanzīljilid 1m/s 670keluaran Dār al-Kitāb al-*Arobiyy].

Mereka yang menegah orang lain seolah-olah seperti haram juga termasuk dalam golongan ini kerana mereka cuba mencari-cari alasan supaya ia dianggap sebagai buruk, kotor, hina, jijik dan nista. Mereka berlebih-lebihan dalam memaksa orang lain supaya berpersepsi sepertimana dia sehingga orang lain terhalang daripadanya untuk dinikmati dan dilakukan akibat doktrin durjana yang disumbat secara halus, bukan sebab ia sebenar-benar haram.

Mereka sememangnya syaitan berwajah manusia kerana membuat tipu daya terhadap orang lain dengan memonopoli tafsiran ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎. Moga Allah merugikan mereka atas kezalimannya terhadap orang lain.

Akhir kata, apa yang dinyatakan di sini bukanlah kita ingin menafikan wujudnya bahaya dalam sesuatu perkara dan sentiasa waspada dengan bahaya yang mendatang, namun yang kita perkirakan adalah kita tidak perlu terlalu khuatir memikirkan soal bahaya secara melampau, lebih-lebih lagi jika hal itu sekadar andaian yang tidak pasti berlaku. Lihat firman Allah *Azza Wa Jalla seperti berikut :

الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّـهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

"Iaitu, orang yang apabila sekelompok orang berkata: Manusia telah mengepung kamu. Maka, takutlah kalian terhadap mereka, bertambahlah imannya dan mereka berkata: Cukuplah Allah untuk kami. Dialah sebaik-baik pelindung". [Surah Āli *Imrōn ayat 173].

Apabila ada orang atau timbulnya fikiran yang memomok-momokkan bahawa hal itu akan menimbulkan fitnah, maka cukuplah kita berkata: "Cukuplah Alah untuk kami. Dialah sebaik-baik pelindung". Biarkan Dia uruskan selebihnya kerana tidaklah Allah menyatakan hal itu halal melainkan terjaminnya hal itu kebaikan dan keselamatan.

Yakin tidak terbatal dengan syak. Yang telah jelas adalah halal dan yang masih dalam syak adalah yang haram atau makruh. Tanyalah diri ke mana iman itu pergi apabila seseorang sengaja mengaburkan sesuatu yang Allah telah nyalakan halalnya dengan kekaburan yang kita melalut terhadapnya.

Kesimpulannya, jajaan khuatir fitnah mampu menjerumuskan seseorang kepada empat jenayah. Pertama, mereka menuduh sesuatu itu berdosa yang belum dipastikan dosa itu. Tuduhan yang berasaskan sangkaan, pendapat peribadi, kemungkinan yang kecil, pandangan bersifat subjektif dan lepas cakap merupakan suatu kemungkaran dan sama sekali tidak boleh diterima.

Menisbahkan seseorang itu melakukan dosa sedangkan masih samar status dosanya secara nyata merupakan kezaliman terhadap diri sendiri dan orang lain. Mencegah kemungkaran mestilah nyata kemungkaran itu, bukan sesuatu yang masih kabur. Sebab itulah fatalnya kesalahan ini kerana ia tanda seseorang yang rosak dalam pertimbangan ilmunya untuk realisasikan suatu hajat, lalu dengan itu, ia merosakkan sekelilingnya.

Kedua, mereka melanggar tegahan Allah dalam Surah al-Mā^idah ayat 87 bahawa tidak boleh mengharamkan a-oyyibāt dan jangan berlebihan. Az-Zamaẖšāriyy dalam «al-Kaššāf *An aqō^iq Ġowāmi at-Tanzīl» berkata bahawa ia juga merujuk kepada orang yang menegah terhadapnya untuk dirinya sepertimana keharamannya secara berlebihan walaupun untuk diri sendiri.

Manakala, ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎ di sini merujuk kepada sesuatu yang dianggap lazat sepertimana yang dinyatakan Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy dalam «Jāmi* al-Bayān *An Ta^wīl Āy al-Qur^ān» dan selainnya.

Dengan itu, mereka yang sengaja membuat tegahan seolah-olah seperti haram termasuk orang yang bermaksiat terhadap Allah kerana mengada-adakan suatu alasan agar ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎ itu tidak boleh dinikmati dan dimanfaatkan.

Ketiga, mereka melanggar peringatan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- dalam «Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy» bahawa sebesar-besar kesalahan adalah seseorang yang bertanya tentang sesuatu yang tidak diharamkan, lalu menjadi haram disebabkan pertanyaan itu. Melalui hadis ini, peringatan ini bukan sahaja mereka yang melontarkan pertanyaan: "Apa jadi jika begini? Apa jadi jika begitu?" demi menciptakan kekhuatiran secara sengaja atau pertanyaan :"Bagaimana jika ia menimbulkan fitnah?" atau seumpamanya, tetapi mereka juga yang membawa bermacam-macam andaian yang hanya berasaskan pendapat sendiri, sesuatu yang subjektif, kemungkinan yang kecil dan lepas cakap, lalu dengan andaian itu, ia menyebabkan sesuatu yang tidak diharamkan menjadi haram.

Tidak syak lagi bahawa orang begini adalah pelaku kesalahan yang besar kerana melakukan pengharaman yang pada asalnya tidak haram.

Keempat, mereka sengaja menyangka buruk terhadap apa yang Allah tetapkan hukum asalnya sebagai halal. Yakin tidak boleh dihapuskan dengan syak. Yang menjadi hukum haram atau makruh itu sesuatu yang syak, sedangkan yang halal masih dalam keyakinan.

Mereka yang melakukan ini adalah orang yang menghina Allah Ta*ālā dengan menetapkan sesuatu yang Dia dan rasul-Nya tidak melangkauinya. Mereka fikir mereka lebih mengerti daripada-Nya dalam mensabitkan suatu larangan tatkala Dia hanya membiarkan sesuatu itu dalam keharusan. Inilah orang yang hilang sifat warak dan taqwa dalam memutuskan suatu ketetapan akibat terpedaya dengan sentimen yang kononnya mahu menegakkan agama.

Sebagai tambahan, amat elok kita melihat penyebutan *Abdul Ḥayy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli uṣūl yang berketurunan Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- setelah membantah dalil yang dijadikan hujah untuk menetapkan keringanan bagi musafir hanya untuk yang berniat menetap tiga hari sahaja :

ولسي فيه مع هذا إلا التشديد الذي يستلزم أن لا يمكن العمل بهذه الرخصة إلا لقلة قلية من المسافرين ويحرم من العمل بها الكثرة الكثرة منهم لأنهم لا يتأتى لهم قضاء مصالحهم في أربعة أيام أو أكثر منها فيكون العمل بهذه الرخصة محرما عليهم إذا نووا الإقامة أربعة أيام!

"Tidak ada padanya meskipun demikian melainkan keberkerasan yang memestikan tidak memungkinkan pengamalan keringanan ini melainkan sedikit yang minimum dari kalangan orang yang bermusafir dan menjadi haram yang banyak lagi banyak daripada mereka dari pengamalan dengannya kerana mereka tidak tersedia penunaian maslahat untuk mereka pada empat hari atau lebih banyak daripada itu, lalu menjadilah pengamalan dengan keringanan ini diharamkan ke atas mereka apabila mereka berniat menetap selama empat hari!". [Ruẖoṣ aṭ-Ṭohāroh Wa aṣ-Ṣolāh Wa Tašdīdāt al-Fuqohā^terhimpun dalam judul al-Ajwibah al-Fiqhiyyah Li al-Uṣūliyy Li *Abd al-ayy Ibn a-iddīq al-Ġumāriyy yang dihimpunkan oleh Muḥammad Ilyās al-Marrōkišiyym/s 463keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah].

Untuk memahami lebih meluas apa yang dia bicarakan ini, kita lihat apa yang dia berkata tentang konteks latar belakang dan sebab penghasilan karya ini :

أما بعد، فإني حررت في الجزء الأول من كتاب المجتبى بحثا قيما مفيدا في رخصة قصر الصلاة في السفر. أبطلت فيه تلك التشديدات التي قررها الفقهاء في صحة العمل بها حتى صارت تلك الرخصة التي شرعها الله سبحانه لعباده تيسيرا عليهم ورفعا للحرج عنهم أشد عسرا من العمل بالعزيمة المشروعة ابتداء. ولما اطلع بعض الإخوان على ما أتينا به من الدلائل القاطعة على بطلان ما اشترطوه من شروط لا يجوز العمل بتلك الرخصة إلا إذا تحققت تلك الشروط جميعها، أعجب به كل الإعجاب واستحسنه غاية الاستحسان وطلب مني وألح في الطلب أن أجعل ذلك البحث في كتاب خاص ليطبع ويستفيد منه الواقفون عليه حكم تلك الرخصة على الوجه الصحيح الذي تؤيده النصوص الشرعية الموافق لمقصود الشارع من تشريعها وتيسر العمل بها. فلم أجد بدا من تلبية طلبه وتحقيق رغبته لما رأيته في نشره من نفع وفائدة عظيمة للمطلعين عليه لأنهم سيعلمون بما قررته فيه أن ما هو مسطور في الكتب الفقهية من شروط وواجبات في جواز العمل بها أكثرها لا سند له من الأدلة الشرعية، بل مناقضة كلية. وتتميما للكلام في هذا البحث، قدمت تمهيدا في تعريف العزيمة والرخصة وذكرت رخصا أخرى تتعلق بالطهارة والصلاة لأن الفقهاء شددوا فيها أيضا بدون آية نيرة ولا حجة بينة جريا على عادتهم في كثير مما قرروه في كتبهم حتى صار الفقه بعيدا كل البعد عن أدلته الصحيحة لتقديم نصوص المذهب عليها كما نبهت عليه في جميع كتبي انتصارا لما دل عليه كتاب الله وسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم ونبذا لكل ما خالفهما. وإني لأعلم أن ما رجحته بناء على الأدلة الصحيحة وتأييد القواعد الأصولية لدلالة الأدلة على ما رجحته سيثيره ثائرة الذين لا يميزون الحق من الباطل والصواب من الخطأ بالبرهان. وإنما يعرفون القرق بينهما بنص فلان وقول فلان.

Adapun sesudah itu, sesungguhnya aku telah mengupas teliti perbahasan yang bernilai lagi bermanfaat pada juzuk awal dari kitab «al-Mujtabā» tentang keringanan solat qasar ketika musafir. Terbatal padanya keberkerasan itu yang para fuqaha menetapkannya dalam keabsahan pengamalan dengannya sehingga keringanan itu yang Allah Subḥānahu mensyariatkannya untuk hamba-Nya sebagai pemudahan ke atas mereka dan mengangkat bebanan itu daripada mereka menjadi yang lebih sukar daripada pengamalan dengan obligasi yang disyariatkan secara mendasar.

Tatkala sebahagian saudara mengetahui atas apa yang aku membawakannya dengan dalil-dalil yang definit terhadap pembatalan apa yang mereka mensyaratkannya dari syarat-syarat yang tidak harus beramal dengan keringanan itu melainkan apabila terealisasi syarat-syarat itu secara keseluruhannya, mereka kagum dengannya dengan segenap kekaguman dan memandang baik terhadapnya dengan kemuncak pandangan baik. Mereka meminta daripadaku -dan menjadi berterusan permintaan itu- agar aku menjadikan perbahasan itu dalam suatu buku khas untuk dicetak dan orang yang cakna padanya mengambil faedah daripadanya tentang hukum keringanan itu atas bentuk yang sahih yang teks-teks syariat yang selari dengan maksud Yang Mensyariatkan dari pensyariatannya menguatkannya dan memudahkan pengamalan dengannya.

Aku tidak mendapati pengelakan daripada menyambut permintaannya dan merealisasikan keinginannya kerana apa yang aku telah melihatnya pada penyebarannya yang berupa manfaat dan faedah yang besar untuk orang yang mengamatinya kerana mereka nanti mengetahui dengan apa yang aku memperakui padanya bahawa apa yang dicoretkan dalam kitab-kitab fiqh yang berupa syarat-syarat dan kewajipan-kewajipan pada keharusan beramal dengannya yang terbanyaknya adalah tidak ada penopang padanya yang berupa dalil-dalil syariat. Bahkan, bercanggahan secara menyeluruh.

Sebagai penyempurnaan untuk bicara pada perbahasan ini, aku mengemukakan pengantar dalam pendefinisian obligasi dan rukhsah. Aku menyebutkan beberapa keringanan yang lain yang berkaitan dengan penyucian dan solat kerana para fuqaha juga bersikap keras terhadapnya tanpa tanda-tanda yang menyala dan hujah yang nyata kerana berjalan atas adat mereka dalam kebanyakan apa yang mereka menetapkannya dalam kitab-kitab mereka sehingga menjadi fiqh itu jauh dengan segenap kejauhan daripada dalil-dalil yang sahih kerana mendahulukan teks-teks mazhab ke atasnya sepertimana aku mengingatkannya dalam segenap kitab-kitabku kerana membelaapa yang kitab Allah dan sunnah rasul-Nya -ṣollallahu *alayhi wasallam- serta menepis setiap apa yang menyalahi kedua-duanya.

Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui bahawa apa yang aku merajihkannya terbina atas dalil-dalil yang sahih dan penguatan kaedah-kaedah uṣūl untuk pendalilan dalil-dalil atas apa yang aku merajihkannya. Nanti gelojak mereka tidak membezakan kebenaran berbanding kebatilan dan yang betul berbanding yang salah dengan pembuktian mencetuskannya. Sebenarnya mereka mengenali pecahan-pecahan itu di antara kedua-duanya melalui teks fulan atau pendapat fulan. [Ruẖoṣ aṭ-Ṭohāroh Wa aṣ-Ṣolāh Wa Tašdīdāt al-Fuqohā^terhimpun dalam judul al-Ajwibah al-Fiqhiyyah Li al-Uṣūliyy Li *Abd al-ayy Ibn a-iddīq al-Ġumāriyy yang dihimpunkan oleh Muammad Ilyās al-Marrōkišiyym/s 337keluaran Dār al-Kutub al-*Ilmiyyah].

Dari apa yang dinyatakan di sini, dia ingin menemplak sikap sebahagian para fuqaha yang sangat cerewet dan bersikap sempit dalam memberikan kelonggaran dalam pengamalan keringanan yang disyariatkan Allah untuk hamba-Nya, lebih-lebih lagi jika ia berteraskan pendalilan yang salah seakan-akan ia lebih sukar dari melaksanakan apa yang menjadi obligasi kepada setiap Muslim. Seakan-akan keringanan adalah perpindahan dari suatu obligasi kepada obligasi yang lain yang sama beratnya, bahkan lebih lagi.

Keringanan yang diluaskan menjadi lorong yang sempit untuk mencapainya dan yang banyak tersedia menjadi terhad perolehannya kerana beberapa syarat yang terbina yang tidak berasas, bahkan menyelisihi dalil-dalil yang sahih menyebabkan perahu keringanan itu dilonggokkan dengan pelbagai bebanan seakan-akan tidak mahu memberikan langsung keringanan itu dan berkemahuan agar umat ini tidak merebut potongan diskaun yang ditawarkan oleh Allah atau mengehadkan kepada mereka yang betul-betul yang bertuah setelah berasak dengan bersusah payah disebabkan bermacam-macam keranah yang sebahagian fuqaha menetapkannya.

Yang malangnya adalah sikap keras ini bukan sahaja ada pada keringanan yang sabit dari teks-teks agama yang suci, tetapi ia juga sampai kepada perkara yang harus yang mana beberapa daripadanya, bahkan banyak daripadanya dicela, ditegah dan dihadang seakan-akan ia adalah haram tanpa disebutkan secara eksplisit bahawa ia sebagai haram atau wasilah yang menyampaikan kepada suatu dosa.

As-Suyūṭiyy dalam «al-Amr Bi al-Ittibā* Wa an-Nahy *An al-Ibtidā*» memasukkan penyeksaan diri dan meninggalkan perkara yang harus termasuk dalam bidaah. Sememangnya benar kerana mengharamkan sesuatu yang tidak patut diharamkan atau semberono mengharamkan sesuatu atas alasan menjaga agama, memelihara individu daripada terjebak ke kancah maksiat atau apa sahaja alasan adalah termasuk suatu kemungkaran, dosa, bahkan bidaah dan jenayah ilmiah.

Ini antara sebab saya menghasilkan penulisan ini. Ia sememangnya khas untuk menentang tipu daya orang yang acah-acah suci mahu menjadi rahib di sebalik alasan ini dan bagaimana mereka ini sebenarnya penjenayah umat terhadap penjarahan hak pengamalan sesuatu yang harus dalam agama.

Betapa banyak amalan yang harus dianggap sebagai tidak bermanfaat atau mengurangkan nilai maruah sebagai seorang muslim, ditegah atas alasan ia menimbulkan fitnah dan disindir dengan bahawa mendengar kuliah agama lebih baik daripada melakukan ini. Mereka tidak berkata mereka mengharamkan, tetapi cara mereka adalah halus, terselindung dan barangkali mereka tidak menyedarinya. Mereka mungkin boleh berselindung dari mata manusia, tetapi itu tidak terlepas daripada pengetahuan Yang Maha Melihat.

Sepertimana tempelak *Abdul Ḥayy al-Ġumāriyy terhadap mereka yang menyempitkan rukhsah yang terbentang luas untuk setiap penganut agama ini dan sangat sedikit umat ini untuk mencicipi pengamalan rukhsah itu, seperti itu jugalah apa yang terjadi pada hal-hal keharusan ini.

Pembebanan ini jika ia berkaitan dengan rukhsah, ia menyebabkan kesempitan dan kesukaran untuk merealisasikannya seakan-akan ia sama untuk menunaikan jenis obligasi yang lain, maka dalam isu keharusan ini, ia sememangnya menatijahkan penyeksaan diri sama ada berbentuk fizikal atau mental atau spiritual kerana yang harus seakan-akan sama dengan makruh atau haram.

Sebahagian orang sikap hemat dan warak adalah mengambil yang lebih membebankan dan mensyaratkan yang lebih banyak kononnya supaya keringanan tidak dieksploitasi dan ia tidak mengheret seseorang ke kebinasaan yang lebih mendalam. Padahal, antara sikap warak adalah sama sekali tidak mengharamkan apa yang Allah dan rasul-Nya tidak mengharamkannya serta tidak memandang buruk terhadap apa yang kitab-Nya dan sunnah baginda menegaskannya.

Para puritan ini entah suka hidup dalam kerahiban sehingga mahu mendogma orang lain hidup dalam kebiasaan itu dengan beranggapan itu adalah cara hidup seorang Muslim yang terbaik atau dengki melihat kesenangan orang lain sehingga mereka membebankan beberapa syarat atau halangan untuk orang lain memperolehnya. Bertambah teruk adalah apabila para pelampau ini berpengaruh dalam masyarakat dan memiliki kekuatan untuk mengimposkan apa yang dia bercita-cita terhadapnya.

Apabila kita menentang dan merintangi mereka dengan membawakan hujah, kaedah dan metodologi, mereka bersungguh-sungguh mengingkarinya sambil menuduh kita bahawa kita ingin beragama dengan pengamalan zindik, pelaku bidaah dan fasik. Padahal, merekalah penjenayah umat di sebalik kerahiban yang diangkat tinggi oleh orang sekeliling.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari arus kerahiban dan menjadikan kita beragama berorientasikan hanifisme dan kasual tanpa melangkah ke arah puritan.

No comments:

Post a Comment