Saturday, May 2, 2020

Kepentingan Mempelajari Dan Mengkaji Ilmu Seksologi

Ilmu seksologi adalah ilmu yang berkaitan dengan aktiviti seks seharian kita. Skop cakupannya begitu luas sekali kerana pembelajaran atau pengkajian ilmu ini adalah merangkumi banyak aspek seperti psikologi, patologi, kriminiologi, falsafah, kardiologi, sosiologi dan lain-lain. Tidak hanya terhad dalam agama sahaja.

Seks merupakan aktiviti rutin dalam sesebuah masyarakat, maka tidak dapat tidak, sememangnya kita perlu berikan perhatian yang besar terhadapnya dan membawanya ke arus perdana. Jika penggunaan gajet mendapat tumpuan dan perkembangan yang besar sehingga mencipta banyak perkara dalam kemajuan dan pengkajian, apakah mungkin isu seksual hanya terhad dalam ruangan yang terbantut?

Kita perlu tahu mengapa pentingnya pengkajian secara komprehensif dan terkehadapan serta pembelajaran yang membuka kecelikan dalam perkara yang berkaitan dengannya. Saya sebutkan sebab yang penting yang sewajarnya diberikan keutamaan dalam rangkuman kajian dan lingkungan pembelajaran.

🄰 Aspek Kesihatan Dan Keselamatan

Sudah tentu tidak ada yang perlu diberikan keutamaan dalam kehidupan manusia melainkan kesihatan yang terjamin dan keselamatan yang terjaga untuk mereka. Penting untuk kita belajar dan kenal kedua-dua aspek ini kerana tidak ada guna keseronokan yang kita rasai dalam senggama jika kita melalaikannya yang kesannya akan tampak sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Seks bukan sahaja perlu seronok, tetapi kita juga perlu waspadai mudarat dan kerosakan yang berpotensi untuk menyerang sepanjang kita beraktiviti dengannnya. Mahu atau tidak mahu, kita perlu celik dengan mempelajarinya dan mereka yang berkeahlian juga perlu menceburkan diri untuk menyumbangkan ilmu dan kajian tentangnya.

Kita tunjukkan contoh mengapa pentingnya untuk kita mengetahui aspek keselamatan dan kesihatan dalam aktiviti ini. Contoh pertama, amalan seks secara oral sebenarnya boleh menyebabkan kanser kepala dan leher menurut kajian daripada Albert Einstein College of Medicine di New York yang telah diterbitkan online di JAMA Onchology[1] dan Journal of the American Medical Association[2]

Walaupun amalan ini diperkenankan oleh ahli ilmu seperti al-Qurṭubiy[3], namun kita perlu berjaga-jaga dalam hal ini. Akan tetapi, tidak dinafikan adanya manfaat daripada seks secara oral, iaitu mengurangkan risiko Preeclampsia sepertimana yang dinyatakan dalam kajian yang telah diterbitkan Journal of Reproductive Immunology[4]. Contoh yang lain adalah posisi seks Woman-on Top adalah posisi seks yang berbahaya yang bertanggungjawab dalam fraktur penis[5].

Tanpa kita mengenal semua ini, sudah pasti kita telah menjemput risiko kepada kita dalam aktiviti seks tanpa kita sedar walaupun pada asalnya adalah harus dalam agama ini. Kajian kesihatan perlu lebih luas yang merangkumi semua aspek dan bidang sama ada daripada psikologi, epidemiologi, patologi, pediatrik, etiologi, kardiologi, sitologi, farmakologi dan lain-lain untuk memaksimakan gaya hidup seks yang sihat.

🄱 Memaksimakan Keseronokan

Seks tidak ada makna apa-apa tanpa keseronokan antara kedua-dua pasangan. Mempelajari seksologi, walaupun tampak seperti ilmiah dan pembelajaran serius, tetapi praktikalnya adalah santai dan bersahaja. Ilmu seksologi mendedahkan tentang psikologi antara lelaki dan wanita, komunikasi yang sebetulnya dan panduan yang menjadi perisa kelazatan untuk persenggamaan, seterusnya mengeratkan keintiman antara pasangan.

Memperoleh keseronokan dalam aktiviti ini sememangnya mendapat sarana di dalam agama, terutamanya apabila Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- menyarankan kepada Jābir -semoga Allah meredhainya- untuk berkahwin dengan perawan berbanding yang janda :

فَهَلَّا جَارِيَةً تُلَاعِبُهَا وَتُلَاعِبُكَ وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ ؟

"Mengapa tidak perawan yang engkau boleh bermain dengannya dan dia pun bermain dengan engkau serta engkau bercanda dengannya dan dia pun bercanda dengna engkau?". [Ṣoḥīḥ al-BuẖōriyyKitāb an-Nafaqōtno. 4973].

Di sini bukan untuk membahas sama ada berkahwin dengan yang perawan lebih atau selainnya, mahupun untuk menafikan bahawa janda juga boleh sahaja menjadi teman sepermainan, tetapi yang ingin difokuskan bahawa perkahwinan terbina dengan rasa seronok dan kegirangan sesama pasangan.

Sebab itu sangatlah penting perhubungan intim dapat dikekalkan atmosferanya dan klimaksnya supaya perjalanan panjang berkeluarga tidaklah hambar dan membawa kepada duka dan menjemukan. Sekurang-kurangnya ilmu seksologi boleh membantu untuk membimbing pasangan dalam mencapai kesemua ini.

Masalah ketidakpuasan untuk memperoleh kenikmatan dalam senggaman selalu sahaja menjadi rungutan dan keluhan kepada ahli terapi seks[6] atau mereka yang berkeahlian dengannya, terutamanya wanita. Paling teruk, kadang aktiviti itu dipura-purakan rasa kenikmatan semata-mata untuk menjaga hati pasangan[7].

Ini tidak lebih daripada penyeksaan terhadap diri. Ia boleh mengganggu keharmonian dan kemesraan dalam ruangan kasih. Sebab itu kita tidak boleh abaikan nilai keseronokan dalam hubungan intim. Untuk mengekalkan dan memeliharanya, ilmu seksologi memberi bekalan yang dihajati dalam berlayar di samudera perkahwinan.

🄲 Menjaga Kualiti Ilmu

Jika tiada siapa yang ingin memperhebatkan kajian seksologi dan mewacanakan bidang ini, daripada mana lagi sumber yang orang ramai boleh ambil? Apakah kita hanya mahu bergantung kepada cakap-cakap orang atau cuba-cuba sendiri yang tidak dapat disahkan dan dibuktikan secara saintifik? 

Inilah sebab yang penting kepada ilmu ini wajar diketengahkan kepada prioriti yang tertinggi disebabkan seks merupakan rutin harian dan kebiasaan. Kita tidak boleh biarkan masyarakat melakukan sesuatu secara berterusan tanpa mengetahui dan memahami kesannya dan keberkesanannya.

Ahli ilmu yang berkemampuan perlu ambil tanggungjawab dan fokus untuk memastikan pengukuhan ilmu dalam masyarakat. Maslahat yang diperlukan sangat terdesak dan tidak boleh dibiarkan bertangguh. Walaupun kita telah hidup di zaman globalisasi dan maklumat yang terlalu padat, ini bukan bermakna kita seharusnya menjadi perlahan dalam produktiviti. Masih banyak persoalan yang belum terungkai, masih banyak kajian yang perlu disemak semula dan masih belum selesai perkembangannya sehinggalah ke hujung waktu dunia.

Cabaran Dalam Pengukuhan Ilmu Seksologi

Apabila isu seksual disentuh, sememangnya kita akan dapati atau mungkin sahaja kita sendiri akan tersipu malu dan berperasaan janggal yang akan menjadi reaksi kita. Tidaklah kita katakan ia adalah subjek yang tabu, tetapi perbincangan mengenainya adalah sesuatu yang sensitif yang mencucuk ketidaksenangan tatkala hal ini diketengahkan. Meskipun seks adalah rutin normal bagi seseubuah masyarakat, stigma rasa segan masih menebal. Mungkin inilah pengaruh pengaiban seks (sex shaming) yang telah terbina berpanjangan dan terus-menerus menekan.

Tidak hairan apabila sebahagian kes rogol tidak dilaporkan dan direkodkan[8]. Jelas bagi kita bahawa maruah tentang seks ini seperti mempunyai suatu tempat yang khas yang tidak sama interaksi kita apabila berhadapan dengan kes kecurian, rompakan, pembunuhan dan lain-lain padahal rogol juga adalah jenayah yang agak berat.

Bahkan, kita boleh lihat bagaimana pihak polis di Malaysia langsung tidak mendapat keterangan mangsa dalam kalangan kanak-kanak yang dicabul oleh pedofilia Britain yang bernama Richard Huckle. Walaupun jumlah kanak-kanak yang dicabul sebanyak 200 orang[9], namun dia masih mampu berkeliaran sepanjang 12 tahun[10] tanpa dapat dikesan oleh pihak polis beberapa lama.

Sengaja saya ketengahkan perkara ini terlebih dahulu. Sebab utamanya adalah supaya kikiskan sifat malu yang tidak terkawal dan tidak kena pada tempatnya. Saya tidak nafikan trauma tersendiri yang memberi pengaruh kepada psikologi bagi wanita dan saya minta maaf jika ini sememangnya menyinggung seseorang, tetapi jika kita bersikap segan tidak bertempat, kita sebenarnya membiarkan penjenayah itu akan mencabul orang lain atau mencabul kita pada hari yang lain. Ada masanya kita tidak boleh bersikap mementingkan diri, terutamanya apabila ia melibatkan maslahat orang ramai dan keselamatan jangka masa yang panjang.

Kita mungkin patut berterima kasih dan bangga dengan gerakan #MeToo yang menyuarakan dan memperjuangkan dalam penentangan terhadap pencabulan serta membela mereka yang menjadi mangsa kepada salah laku seksual[11]. Di United States telah menerima perubahan yang besar dalam revolusi dan pembaharuan dalam undang-undang serta pembinaan moral masyarakat hasil daripada aktif dan kuat resistansi daripada gerakan ini[12]. Kalaulah mereka semua hanya terus-menerus dalam mengurungkan diri, pasti kita tidak akan nampak hasil yang cukup besar seperti ini

Jangan biarkan pengaiban seks sebati dan menebal di dalam minda dan jiwa sehingga ia merasuk kewarasan kita. Tidak mengapa ada rasa malu kerana itu juga boleh menjadi bayu yang mencipta atmosfera dan suasana keseronokan. Malu boleh menjadi panduan untuk kita memahami di mana kita berpotensi untuk terangsang dan ia juga boleh menjadi pembatas dalam memelihara diri.

Namun, jika sampai tidak mengenal tempat dan keterlaluan dalam mencela seolah-olah seperti tidak ada assosiasi dengan urusan seksual, lebih-lebih lagi dalam aspek kebenaran, ia adalah sesuatu penyakit yang merosakkan pertimbangan akal.

Penyakit ini berjangkit boleh terjadi dalam penafsiran dan garapan kefahaman dalam agama. Misalnya, saya ada terbaca blog milik syiah[13] yang mencela riwayat tentang Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- menyetubuhi para isterinya dalam satu malam dengan satu mandian[14] walaupun sanadnya sahih.

Rasanya kalau dia lebih terbuka dan tidak terlalu melayani tanggapan buruk itu yang bersadur dalam jiwanya, pasti dia akan melihat perspektif yang berbeza. Kita sendiri tidak tahu apa yang tercela sangat dengan riwayat sebegini. Inilah masalah stigma pengaiban seks yang menjadi dasar dalam menilai sesuatu. Apa sahaja yang berkaitan dengan seks mahu sahaja diburukkan dan dikeji semberono tanpa bersikap objektif dalam menilai.

Kemudian, penterjemahan ₍al-Kawā*ib₎ (الْكَوَاعِب) dalam Surah an-Nabā^ ayat 33. Saya melihat beberapa terjemahan yang sekadar menyebutkan gadis atau bidadari atau perawan atau wanita atau seumpama dengannya tanpa menyifatkan bersama berbuah dada menombol atau yang selari dengannya secara eksplisit[15], sedangkan apabila kita melihat tafsir al-Quran, hampir kesemua ahli tafsir mentafsirkan sedemikian tanpa berlapik[16]. Adakah ini kebetulan? Adakah para penterjemah tidak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan?

Pasti tidak mungkin kerana kitab tafsir yang menjadi rujukan utama seperti al-Qurṭubiy, Ibn Kaṯīr, aṭ-Ṭobariyy, az-Zamaẖšariy, al-Bayḍowiy, Ibn Ḥayyān, al-Baġowiy dan lain-lain sama sekali tidak menyembunyikan maksud sebenar. Mustahil mereka langsung tidak menyedari hal ini.

Jelas, inilah kesan nyata apabila kita bersikap acah-acah suci yang tidak terbabit dengan seks dan akhirnya menuruti rasa malu tanpa melihat tempatnya. Kesannya adalah mereka sembunyikan kebenaran yang wajib untuk disampaikan sepertimana keadaannya.

Ia juga boleh memberi impak negatif kepada kajian saintifik. Kesan buruk yang paling dominan dan nyata dalam hal ini adalah Bias Keinginan Sosial (Social Desirablity Bias)[17] ketika temubual berkenaan seksual. Kita boleh lihat bahawa sebahagian yang ditemubual sanggup untuk menipu atau tidak menjawab persoalan dengan jelas dan tepat semata-mata untuk selari daripada apa yang diterima oleh sosial[18].

Padahal, ini akan menyukarkan kajian khususnya dalam bidang perubatan dalam memahami transmisi HIV dan STI[19]. Kesan paling parah adalah mereka akan memberikan maklumat yang salah dan tidak benar sepertimana realitinya semata-mata untuk tidak mahu dipulaukan dan dipandang serong oleh masyarakat sekitar[20].

Ini tidak berlaku secara sendiri, tetapi ia adalah kesan dari perpanjangan yang terbina dan dikukuhkan dalam norma. Kita terlalu biarkan nista ini melekat dan terus berjangkit sehingga membentuk suatu konstruk pemikiran yang melagak suci dan doktrin pengaiban terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan seks. 

Mungkin sahaja atas dasar untuk memelihara maruah yang ia boleh tercemar apabila seseorang berasosiasi dengannya, tetapi apa gunanya kalau ia menggadaikan nilai kebaikan yang lebih besar? Rasa malu yang ada bukan alasan untuk mempertahankan kebatilan, menjumudkan kuriositi, mencela apa sahaja yang berkaitan dengan seks serta membina dasar yang bercelaru dalam kotak penilaian.

Saat sekarang, kita boleh lihat bidang kajian ini telah meluas dan pengetahuan yang dapat dicapai boleh dikatakan ia di paras optimum. Semua ini bukan sahaja atas sumbangan dan tanggungjawab yang dipikul oleh para pengkaji seksologi, tetapi anda juga sendiri yang memberikan manfaat kepada mereka agar memperoleh pengetahuan tentang kesihatan dan keseronokan dalam aktiviti ini.

Kalaulah setiap orang hanya merendam dalam stigma ini, nescaya ilmu ini tidak dapat membangun dan maju sepertimana sekarang. Sebab itulah kita tidak boleh berminda simplistik yang hanya bergelumang dengan sentimental dan tanggapan buruk yang salah haluannya. Nilai kajian saintifik dan dapatan empirikal sesungguhnya terlalu tinggi dan lebih berharga jika dibandingkan dengan sikap jelek yang menjadi dinding penghalang kepada ilmu.

Saya bukanlah orang yang ingin menghilangkan perasaan malu dan segan dalam hal seksual. Apa yang saya ingin nyatakan bahawa adalah supaya hal-hal seksual ini dapat diketengahkan dalam arus perdana yang mempunyai kedudukan yang setaraf dengan ilmu astronomi, biologi, sosiologi dan lain-lain sama ada dalam keutamaan dalam ilmu mahupun penerimaan dalam masyarakat tanpa diskriminasi.

Kita semua sentiasa mahukan aktiviti seks itu sihat, selamat dan juga menyeronokkan sepertimana sihatnya, selamatnya dan seronoknya bermain alat muzik, mendaki gunung, berlayar dan lain-lain aktiviti.

Justeru, kita perlu lebih terbuka dan lebih waras. Kalau perasaan malu masih kuat ketika perbualan biasa tentang seks, sekurang-kurangnya kita tidak perlu malu untuk isu-isu yang melibatkan kesihatan dan keselamatan. Malah, memahami bagaimana untuk menggapai keseronokan juga adalah penting kerana keseronokan adalah antara yang terpenting dalam kebahagiaan rumah tangga. 

Analisis dan nilai sama ada ia ada nilai praktikal ataupun tidak tanpa diskriminasi sebagaimana kita mengambil tips tentang pemasakan yang memberikan keseleraan kepada teman.

Nota Kaki

[1]http://www.independent.co.uk/news/science/oral-sex-can-raise-risk-for-head-and-neck-cancer-researchers-say-a6827636.html

[2]http://www.deccanchronicle.com/lifestyle/health-and-wellbeing/150216/men-face-higher-risk-of-cancers-linked-to-oral-sex.html

[3]Al-Qurṭubiy menyebutkan :

وَقَدْ قَالَ أَصْبَغُ مِنْ عُلَمَائِنَا: يَجُوزُ لَهُ أَنْ يَلْحَسَهُ بِلِسَانِهِ.

Berkata Aṣbaġ dari kalangan ulama kami: "Diperbolehkan untuk menjilatnya (faraj) dengan lidahnya". [Al-Jāmi* Li Aḥkām al-Qur^ānjilid 12m/s 232keluaran Dār al-Kutub al-*Ariyyahtahqiq Amad al-Bardawiy dan Ibrōhīm Afayš].

[4]http://www.medicaldaily.com/causing-cancer-treating-depression-6-little-known-facts-about-oral-sex-343010

[5]http://www.independent.co.uk/life-style/health-and-families/health-news/study-reveals-the-most-dangerous-sex-position-9992841.html?cmpid=facebook-post

[6]https://www.huffpost.com/entry/the-10-most-common-complaints-sex-therapists-hear-from-couples_n_56203b85e4b06462a13b8494

[7]https://psychcentral.com/blog/why-women-fake-orgasm-and-why-most-no-longer-do/

[8]http://www.nij.gov/topics/crime/rape-sexual-violence/pages/rape-notification.aspx

[9]http://www.bbc.com/news/uk-36458472

[10]http://www.theweek.co.uk/73210/richard-huckle-britains-worst-paedophile-handed-22-life-sentences

[11]https://metoomvmt.org/about/#history

[12]https://www.vox.com/identities/2019/10/4/20852639/me-too-movement-sexual-harassment-law-2019

[13]Antaranya di sini ⮯

https://jakfari.wordpress.com/2010/04/10/potret-sang-nabi-mulia-dalam-hadis-bukhari-2/

http://syiahindonesia.net/kajian-ilmu-hadis-perlakuan-buruk-ahli-hadis-terhadap-nabi-muhammad-saw/

[14]Riwayatnya adalah seperti berikut :

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ ، حَدَّثَنَا حَمَّادُ بْنُ سَلَمَةَ ، عَنْ ثَابِتٍ ، عَنْ أَنَسٍ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " طَافَ عَلَى نِسَائِهِ فِي لَيْلَةٍ وَاحِدَةٍ ، فِي غُسْلٍ وَاحِدٍ " .

*Abdul Roḥmān telah merawi hadis kepada kami ammād bin Salamah telah merawi hadis kepada kami Daripada Ṯābit daripada Anas: "Bahawasanya Rasulullah -ollallāhu *alayhi wasallam- menyetubuhi isteri-isterinya pada satu malam dengan satu mandian". [Musnad Aḥmadno. 12682].

[15]Boleh semak beberapa terjemahan di sini : http://tanzil.net/#78:33

[16]Saya sudah bahaskan secara terperinci dalam penulisan saya yang berjudul «Tafsir Surah an-Nabā^ Ayat 33 Dan Isu Yang Berkaitan Dengan Seksual».

[17]Bias Keinginan Social bermaksud laporan diri yang mana seseorang memberikan laporan yang tidak tepat dalam topik sensitif untuk mempamerkan diri mereka di kedudukan yang terbaik. Rujuk : http://www.psychologyconcepts.com/social-desirability-bias/

Kadangkala mereka melaporkan dalam bentuk penipuan, mengurangi dan menambah deskripsi dalam sesuatu maklumat supaya selari dengan norma masyarakat yang mana ia sama sekali tidak menepati piawaian kehendak yang diperlukan dalam keterangan deskripsi itu.

[18]https://www.blogger.com/]https://psychology.wikia.org/wiki/Social_desirability

[19]http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4023461/

[20]https://www.bbc.com/news/magazine-21601880

No comments:

Post a Comment