Saturday, May 2, 2020

Jangan Semudah "Ini Ada Di at-Tahḏīb"

Nota : At-Taẖḏīb merujuk kepada kitab Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl karya al-Mizziy, Ikmal Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl karya Muġlaṭōy bin Qulayj, Tahḏīb at-Tahḏīb karya Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy dan lain-lain yang semanhaj dengannya berkenaan dengan qowl al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl yang bersifat sumber rujukan sekunder seperti A*lām an-Nubalā^, Tārīẖ al-Islām Wa Wafayāt al-al-Mašāhir Wa al-A*lām, Mawsū*ah al-Aqwāl dan lain-lain.

Ketika berpihak pada at-Tajrīḥ terhadap an-Nu*mān bin Ṯābit, saya tidak mengambil kedua-dua riwayat ini sekalipun ia merupakan bahan peledak pada sisi saya.

حدثنا أحمد بن حفص، حدثنا أحمد بن سعيد الدارمي، قال: سمعت النضر بن شميل يقول: كان أبو حنيفة متروك الحديث ليس بثقة.

Aḥmad bin Ḥafṣ telah merawi hadis kepada kami; Telah menceritakan kepada kami AAḥmad bin Sa*īd ad-Dārimiyy, dia berkata; aku mendengar aan-Naḍr bin Šumayl berkata: "Abū Ḥanīfah ditinggalkan hadisnya dan tidak tsiqah". [Al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl, karya Ibn *Adiyy, jilid 8, m/s 235, keluaran al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Riwayat ini dhaif kerana Aḥmad bin Ḥafṣ bin *Umar bin Ḥātim as-Sa*diyy al-Jurjāniyy dinilai munkar hadisnya yang tidak boleh diikuti akannya sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn *Adiyy dalam al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl, jilid 1, m/s 328-330, keluaran al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut.

حدثنا محمد بن سعد الشاشي، قال: حدثنا شيبان، قال: حدثني يحيى بن كثير أبو النضر، قال: كان أيوب السختياني إذا سمع حديثه يعجبه، قال: عن من؟ فيقال: عن أبي حنيفة. فيقول: دعوه.

Muḥammad bin Sa*d aš-Šāšiyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Šaybān telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Yaḥyā bin Kaṯīr Abū an-Naḍr telah merawi hadis kepadaku dia berkata; Dahulu apabila Ayyūb as-Saẖtiyāniyy mendengar sebuah hadis, dia merasa hairan terhadapnya. Dia berkata: "Daripada siapa?". Dikatakan kepadanya: "Daripada Abū Ḥanīfah". Lantas dia berkata: "Jauhkan daripadanya". [Aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, karya Abū Ja*far al-*Uqoyliyy, jilid 4, m/s 268, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy].

Riwayat ini dhaif kerana Yaḥyā bin Kaṯīr adalah orang yang ditinggalkan hadisnya menurut penilaian ad-Dāroquṯniy dalam al-*Ilal al-Wāridah Fī al-Aḥādīṯ an-Nabawiyyah, jilid 1, m/s 192. Yaḥyā bin Ma*īn mendhaifkannya, *Amr bin *Aliyy al-Falās menyatakan bahawa dia meriwayatkan dengan banyak kecelaruan dan waham, Abū Zur*ah menyatakan bahawa dia lemah hadisnya dan Abū Ḥātim ar-Rōziyy menyatakan bahawa dia lemah hadisnya lagi hilang hadisnya sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, jilid 9, m/s 182, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut. Abū Ja*far al-*Uqoyliyy menilainya sebagai munkar hadisnya dalam aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, jilid 4, m/s 424, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy. Ibn *Adiyy dalam al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl, jilid 9, m/s 101, keluaran al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut menyatakan bahawa dia termasuk para dhaif yang ditulis hadisnya.

Saya juga tidak mengambil kalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl dari *Aliyy bin al-Madiniyy melalui riwayat Muḥammad bin *Uṯmān bin Abū Šaybah, Yaḥyā bin Ma*īn melalui riwayat Ibn Muḥriz dan mana-mana nāqid yang terbukti riwayat daripadanya adalah dhaif. Tidaklah saya nukil kalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl melainkan setelah saya yakin kesahihannya dan menukilkan dari sumber primernya melainkan jika saya tidak menemui sumber primernya, kemudian barulah saya menukilkan dari at-Taẖḏīb.

Saya tekankan perkara ini kerana saya melihat sikap sebahagian pengkaji hadis sangat bermudah-mudahan mengutip penukilan daripada at-Taẖḏīb dan yang semanhaj dengannya tanpa mahu meneliti sumber aslinya untuk banyak perkara sama ada dalam pentakhrijan, pentahqiqan dan kehujahan. Padahal sebahagiannya tidaklah sahih dan tidak boleh menjadi apa-apa kehujahan terhadapnya. 

Mereka kerapkali menabur seberapa banyak qaul al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl yang sehinggakan bumi pun boleh pecah menanggung isi nukilan mereka, tetapi kadangkala tidak disemak apa sumber asal bagi kata-kata tersebut; apakah ia dari al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl karya Ibn *Adiyy atau apakah ia dari Tārīẖ Baġdād karya al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy, malah tidak disemak pun sama ada sanad qaul tersebut adalah sahih atau tidak!

Usah bersikap seolah-olah tidak percaya lagi dengan realiti sebegini kerana kegagalan untuk bersikap realistik tanda was-was syaitan yang berusaha memperdayakan seseorang atau kemungknan kejahilan mereka sendiri dalam kajian hadis. Tentu sahaja yang menentang akan hal ini adalah syaitan yang menentang ahli ilmu. Bagaimana seseorang boleh bersikap bermudah-mudahan akan hal ini sedangkan ia berpotensi untuk memberi kesan kepada darjat kesahihan hadis sama ada dari hadis sahih kepada dhaif dan hadis dhaif kepada sahih?

Saya mungkin boleh memaafkan dalam lapangan pentakhrijan, iaitu mengambil sumber sekunder walaupun saya begitu mencela hal tersebut. Lapangan yang saya cela adalah semuanya melepaskan nukilan sesuatu qaul al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl dengan menyandarkan kitab at-Taẖḏīb tanpa berusaha semaksimum yang mungkin mencari sumber primer qowl tersebut. 

Sebenarnya sifat lengah sebegini menyukarkan kajian semula untuk meneliti kesahihan dari sumber primer tersebut. Apabila kalian tahu hakikat tentang wujudnya riwayat-riwayat dhaif dalam kenyataan al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, sanggupkah kalian berbuat sedemikian? 

Saya memuji usaha Baššār *Awwaḍ Ma*rūf yang mentahqiq kitab Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl karya al-Mizziyy dalam mentakhrij sumber penukilan asal kerana hal tersebut memudahkan pencarian dan penelitian kesahihan sumber asal. Semoga ada yang lain yang menyambung legasi hamba Allah ini mudah-mudahan mereka mendapat rahmat atas usaha kemanfaatan bagi sekalian umat. 

Sesungguhnya diam Baššār *Awwaḍ Ma*rūf ketikamana tidak mengetahui asal usul atau sumber primer qowl yang dinukilkan lebih saya sukai berbanding seseorang yang hanya bersikap mencampakkan catatan kaki yang hanya suruh merujuk karya at-Taẖḏīb. Bahagian yang saya maafkan adalah mereka cuma serahkan kuncinya, tetapi tidak memberitahu tentang pintunya.

Namun, dari sudut kehujahan, saya begitu rigid untuk bertoleransi jikalau seseorang bersikap lengah terhadap ini. Mereka berhujah untuk mensahihkan atau mendhaifkan hadis tetapi mereka tidak ingin mengkaji faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kehujahan al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl menjadi rapuh sehingga al-Jarḥ tidak mampu lagi mencacatkan kedudukan perawi dan at-Ta*dīl tidak mampu lagi memurnikakan kredibiliti perawi sehingga kedudukan sahih dan dhaif hadis itu tidak berdiri di atas tapak yang ampuh. Tentu apatah lagi kecelaan yang bertambah mereka menaburkan qaul-qaul tanpa menamakan sumber-sumber pengambilan mereka. 

Sesungguhnya saya begitu suka untuk meneliti sanad panjang berjela-jela dari kitab Tārīẖ Dimašq karya Ibn *Asākir berbanding hanya bersikap mencampakkan nukilan-nukilan daripada sumber sekunder, yakni at-Taẖḏīb kerana mudah jemu melihat sanad yang pelbagai nama orang!

Tidaklah saya ingin cela karya-karya at-Taẖḏīb khususnya yang datang dari al-Mizziyy, Muġlaṭōy dan Ibn Ḥajar kerana mereka adalah orang berjasa untuk menghimpunkan semaksima yang mungkin qowl-qaul al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl dari beraneka sumber. Jika saya tidak mendapati suatu qaul al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl daripada rujukan ini, saya akan meraguinya memandangkan mereka adalah hafiz besar yang luas pencapaian wilayahnya dalam sumber-sumber rujukan yang hampir-hampir memustahilkan bagi mereka untuk terlepas daripadanya. 

Saya tidak menafikan sebahagian qaul tidak tertulis di dalam karya mereka dan saya dapati hal tersebut mempunyai sumber primer baginya serta hal tersebut adalah sahih. Namun, hal tersebut tidaklah sebanyak sebanding waspada mereka dari keterluputan itu sehingga saya  anggap itu cumalah lumrah yang biasa dalam kemampuan manusia.

Adakalanya, saya  tidak menemui sumber primernya, namun tidaklah saya bersikap menolaknya mentah-mentah kerana mereka adalah kepercayaan lagi amanah yang nukilan-nukilan mereka sentiasa melazimi sebagaimana yang tertulis dalam rujukan mereka. Kemungkinan sahaja kitab-kitab itu atau muka surat daripadanya hilang, terhapus atau apa-apa faktor lain sehingga zaman moden ini kita tidak dapat menelaah karya-karya sumber primernya. 

Walaupun kadangkala saya merasa luluh jiwa kerana mereka tidak menamakan sumber-sumer pengambilan mereka, namun tidak ada apa-apa erti lagi jika saya ingin memarahinya atau mencelanya kerana hal tersebut tidak mampu mengubah apa-apa realiti melainkan sekadar mencangkul angin sahaja. 

Akan tetapi, tidak memperoleh semua bukan seharusnya kita meninggalkan kesemuanya. Maka, hal ini kita serahkan pada Allah Tabāroka Wa Ta*ālā dan integriti mereka dalam menghasilkan penulisan yang bermanfaat untuk umat. Namun, apabila ditemui sumber primernya, maka menjadi tanggungjawab untuk diri kita menyemak dan menganlisis jika ia mempunyai sanad padanya kerana hal tersebut belum tentu hal tersebut sahih. Mereka hanya cuma menukilkan, tetapi belum tentu mereka menghakimi hal tersebut.

Maka, saya pesan kepada para pengkaji hadis, jangan semudah menaburkan qaul-qaul dari kutipan at-Taẖḏīb setelah kita tahu realiti yang wujud pada penukilan sumber sekunder atau mungkin tertier. Semua ini bukan semata-mata untuk menguatkan hujah dalam mempertahankan pendapat kita dalam sesuatu hadis, tetapi supaya penilaian kedudukan hadis itu tidak menjadi caca merba akibat sikap lengah kita dalam mengambil riwayat dan kehujahan. Tidak mungkin hadis tersebut disahihkan dengan qaul at-Ta*dīl yang tidak sahih riwayatnya dan begitu juga seterusnya.

No comments:

Post a Comment