Sunday, June 28, 2020

Ringkasan Ilmu Takhrij Hadis : Selangkah Ke Praktikal *Ilal al-Ḥadīṯ

Ini adalah ringkasan daripada penulisan yang berjudul "Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan *Ilal al-Ḥadīṯ" yang memfokuskan kepada ilmu takhrij hadis.

Saya memahami bahawa sebahagian pembaca agak keberatan untuk menelaahnya kerana terlalu panjang yang dimuatkan dalam satu artikel. Oleh yang demikian, saya pecahkannya ke dalam penulisan ini yang memfokuskan kepada ilmu takhrij hadis.

Perlu diingatkan bahawa sebarang pembetulan akan didahulukan kepada judul yang asli. Jika ada pertentangan antara judul asli dengan judul ringkasan ini, didahulukan judul yang asli.

Takhrij Hadis

Takhrij hadis berkisar tentang penyebutan atau menyenaraikan sumber primer yang meriwayatkan hadis itu sama ada secara bersanad atau dipotong sanad itu berdasarkan pusat sanad itu. Di sini ada dua perkara penting dalam pentakhrijan hadis, iaitu sumber primer dan pengambilkiraan pada pusat sanad. Yang pertama adalah sumber primer. Sumber ini berbeza dengan sumber sekunder yang berorientasikan penukilan daripada sumber primer. Maka, mana-mana penyebutan atau penyenaraian sumber sekunder tidak dikira. Kadangkala, sumber primer mempunyai unsur sumber sekunder kerana kadangkala penulis itu menukilkan daripada sumber primer di samping mereka juga membawakan riwayat secara bersanad atau terpotong. Jika seseorang tidak menemui sumber primer disebabkan kitab itu telah hilang ditelan zaman atau kitab itu masih belum ditemui, maka penyenaraian sumber sekunder sekadar untuk memberitahu sabitnya kewujudan riwayat itu kerana ada penukil daripadanya, bukan mengangkat taraf ia menjadi sumber primer.

Perkara ini penting untuk diketahui kerana apabila sumber sekunder menyalahi sumber primer, maka sumber primer akan didahulukan walau apa jua keadaan. Sumber sekunder tidak akan menukilkan sesuatu hadis melainkan daripada sumber primer juga. Apabila penukilan sumber sekunder bertentangan dengan periwayatan sumber primer, maka sumber primer akan menjadi hakim. Mana mungkin seseorang menyatakan bahawa hadis yang diriwayatkan itu ada dalam Sunan Abū Dāwud sedangkan Sunan Abū Dāwud meriwayatkan dengan sanad atau lafaz yang lain berbeza? Demikian pentingnya untuk mengetahui sumber primer dan sumber sekunder.

Antara contoh situasi tersebut adalah apa yang dinyatakan oleh al-Mizziyy dalam Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl, jilid 17, m/s 441, Mu^assasah ar-Risālah, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf seperti berikut :

وقال أَحْمَد بْن مُحَمَّد بْن أَبِي بَكْر المقدمي عَنْ علي بْن المديني: إذا اجتمع يحيى بْن سعيد، وعبد الرَّحْمَن بْن مهدي على ترك رجل لم أحدث عنه، فإذا اختلفا أخذت بقول عَبْد الرَّحْمَن، لأنه أقصدهما، وكان فِي يحيى تشدد

Berkata Aḥmad bin Muḥammad bin Muḥammad bin Abū Bakr al-Muqaddamiyy, daripada *Aliyy bin al-Madiniyy: "Jika Yaḥyā bin Sa*īd dan *Abdul Roḥmān bersepakat atas meninggalkan seorang perawi, maka aku tidak meriwayatkan daripadanya. Apabila kedua-duanya berselisihnya, maka aku mengambil perkataan *Abdul Roḥmān kerana ia paling sederhana di antara keduanya. Manakala, Yaḥyā merupakan seorang yang keras".

Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl adalah sumber sekunder. Namun, penukilan ini bertentangan dengan sumber primer, iaitu pada sanad Aḥmad bin Muḥammad bin Muḥammad bin Abū Bakr al-Muqaddamiyy, daripada *Aliyy bin al-Madiniyy. Ini adalah kesilapan. Yang lebih tepat adalah Aḥmad bin Muḥammad bin Muḥammad bin Abū Bakr al-Muqaddamiyy, daripada ayahnya, daripada *Aliyy bin al-Madiniyy sepertimana yang dinyatakan dalam sumber primer, iaitu yang dinyatakan oleh al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dalam Tārīẖ Baġdād, jilid 11, m/s 512, Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf :

أخبرنا الحسن بن الحسين بن العباس، قال: حدثني خالي أبو بكر بن إسحإق النعالي قال: حدثنا علي بن الحسن بن دليل، قال: حدثنا أبو عبد الله المقدمي، قال: سمعت أبي، قال: سمعت علي ابن المديني يقول: إذا اجتمع يحيى بن سعيد وعبد الرحمن بن مهدي على ترك رجل لم أحدث عنه. فإذا اختلفا أخذت بقول عبد الرحمن لأنه أقصدهما. وكان في يحيى تشدد

Al-Ḥasan bin al-Ḥusayn bin al-*Abbās telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Pakcikku, Abū Bakr Muḥammad bin Isḥāq an-Na*āliyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; *Aliyy bin al-Ḥasan bin Dulail telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Abū *Abdullah al-Muqaddamiyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Ayahku telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; aku mendengar *Aliyy bin al-Madiniyy berkata: "Jika Yaḥyā bin Sa*īd dan *Abdul Roḥmān bin Mahdiyy bersepakat ke atas meninggalkan seorang perawi, maka aku tidak akan meriwayatkan daripadanya. Jika kedua-duanya berselisih, maka aku mengambil perkataan *Abdul Roḥmān kerana dia lebih sederhana di antara kedua-duanya. Manakala, Yaḥyā sangat keras".

Jika berlakunya situasi seperti ini, maka sumber primer, iaitu Tārīẖ Baġdād akan didahulukan berbanding sumber sekunder, iaitu Tahḏīb al-Kamāl. Maka, di sinilah peri pentingnya mengetahui sumber primer dengan sekunder supaya seseorang tidak tersalah dalam membuat keputusan disebabkan merujuk kepada sumber yang tidak tepat daripada asalnya.

Yang kedua, penyebutan sumber itu perlu melihat daripada pusat sanad tersebut. Kadangkala, satu matan hadis itu mempunyai pelbagai sanad padanya. Satu rujukan kadangkala tidaklah sama pusat sanadnya dengan rujukan yang lain meskipun matannya sama. Malah, kadangkala dalam satu rujukan pun boleh mempunyai pelbagai pusat sanad yang berbeza. Ini penting untuk diketahui, terutamanya dalam aplikasi *ilal al-Ḥādiṯ kerana perbandingan riwayat akan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa. Misal bagi pusat sanad yang berbeza pada satu matan yang sama adalah seperti hadis tentang Asbābun Nuzūl Surah Hūd ayat 114. Riwayat ini mengandungi beberapa pusat sanad yang berbeza. Misalnya jalur sanad yang pertama berpusat pada Sulaymān at-Taymiyy, daripada Abū *Uṯmān an-Nahdiyy, daripada Ibn Mas*ūd seperi berikut :

عَنْ أَبِي عُثْمَانَ النَّهْدِيِّ ، عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ ، " أَنَّ رَجُلًا أَصَابَ مِنَ امْرَأَةٍ قُبْلَةً ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ سورة هود آية 114 ، فَقَالَ الرَّجُلُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَلِي هَذَا ؟ قَالَ : لِجَمِيعِ أُمَّتِي كُلِّهِمْ " .

Daripada Abū *Uṯmān an-Nahdiyy, daripada Ibn Mas*ūd; Bahawasanya ada seorang lelaki mencium seorang wanita. Lantas dia datang kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, maka dia pun  mengkhabarkan kepadanya. Lantas Allah &Azza wa Jalla menurunkan: {Dirikan solat pada dua tepi siang dan awal-awal malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan keburukan} (Surah Hūd ayat 114). Berkata lelaki itu: "Wahai Rasulullah, adakah ini untukku?". Baginda berkata: "Untuk sekalian umatku keseluruhannya".

Riwayat ini ada dalam Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, kitāb Mawāqit aṣ-Ṣolāh, no. 497 // Ṣoḥīḥ Muslim, kitāb at-Tawbah, no. 5092 // at-Tirmiḏiyy, kitāb Abwāb Tafsīr al-Qur^ān, no. 3186 // Sunan Ibn Mājah, kitāb az-Zuhd, no. 4288 // Ṣoḥīḥ Ibn H̱uzaymah, no. 313 // Ṣoḥīḥ Ibn Ḥibbān, no. 1759; Muṣonnaf *Abdul Rozzāq, no. 13378 // Musnad al-Bazzār, no. 1662 dan lain-lain.

Jalur sanad yang kedua berpusat pada Ibrōhīm an-Naẖo*iyy, daripada *Alqamah dan al-Aswad, daripada Ibn Mas*ūd :

عَنْ إِبْرَاهِيمَ ، عَنْ عَلْقَمَةَ ، وَالْأَسْوَدِ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنِّي لَقِيتُ امْرَأَةً فِي الْبُسْتَانِ ، فَضَمَمْتُهَا إِلَيَّ ، وَبَاشَرْتُهَا وَقَبَّلْتُهَا ، وَفَعَلْتُ بِهَا كُلَّ شَيْءٍ ، غَيْرَ أَنِّي لَمْ أُجَامِعْهَا . قَالَ : فَسَكَتَ عَنْهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ : { إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ } ، قَالَ : فَدَعَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَرَأَهَا عَلَيْهِ ، فَقَالَ عُمَرُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَلَهُ خَاصَّةً ، أَمْ لِلنَّاسِ كَافَّةً ؟ ، فَقَالَ : بَلْ لِلنَّاسِ كَافَّةً

Daripada Ibrōhīm, daripada *Alqamah dan al-Aswad, daripada *Abdullah, dia berkata; Seorang lelaki datang kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bertemu seorang wanita di kebun. Aku pun merangkulnya kepadaku, aku pun merabanya, aku menciumnya dan aku memperlakukannya segala sesuatu melainkan aku tidak menyetubuhinya". Baginda tidak menjawab apa-apa kepadanya. Lantas, turun ayat ini: {Sesungguhnya kebaikan memadamkan kejahatan. Itu adalah peringatan bagi orang yang beringat}.  Berkata *Umar: "Wahai Rasulullah, adakah ini khusus untuknya atau untuk orang ramai secara keseluruhannya?". Baginda berkata: "Bahkan untuk orang ramai secara keseluruhannya".

Riwayat ini dalam Musnad Aḥmad, no. 4121// Ṣoḥīḥ Muslim, kitāb at-Tawbah, no. 5093 // Sunan Abū Dāwud, kitab al-Ḥudūd, no. 3937 // Ṣoḥīḥ Ibn H̱uzaymah, no. 314 // Ṣoḥīḥ Ibn Ḥibbān, no. 1760 // Muṣonnaf *Abdul Rozzāq, no. 13377 // Musnad Abū Dāwud aṭ-Ṭoyālisiy, no. 279 // Musnad Abū Ya*lā, no. 5262 // Musnad al-Bazzār, no. 1444 dan lain-lain.

Jalur sanad yang ketiga adalah pada *Uṯmān bin *Abdullah bin Mawhab, daripada Mūsā bin Ṭolḥah, daripada Abū al-Yasar seperti berikut :

حَدَّثَنَا عُثْمَانُ بْنُ مَوْهَبٍ ، عَنْ مُوسَى بْنِ طَلْحَةَ ، عَنْ أَبِي الْيُسْرِ بْنِ عَمْرٍو ، قَالَ : أَتَتْهُ امْرَأَةٌ وَزَوْجُهَا قَدْ بَعَثَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْثٍ فَقَالَتْ لَهُ : بِعْنِي بِدِرْهَمٍ تَمْرًا ، قَالَ : فَقُلْتُ لَهَا وَأَعْجَبَتْنِي : إِنَّ فِي الْبَيْتِ تَمْرًا أَطْيَبُ مِنْ هَذَا ، فَانْطَلَقَ بِهَا فَغَمَزَهَا وَقَبَّلَهَا ، فَفَزِعَ ثُمَّ خَرَجَ فَلَقِيَ أَبَا بَكْرٍ فَقَالَ لَهُ : هَلَكْتُ ، قَالَ : مَا شَأْنُكَ ؟ فَقَصَّ عَلَيْهِ أَمْرَهُ وَقَالَ لَهُ : هَلْ لِي مِنْ تَوْبَةٍ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، تُبْ وَلَا تَعُدْ ، وَلَا تُخْبِرَنَّ أَحَدًا ، ثُمَّ انْطَلَقَ حَتَّى أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَصَّ عَلَيْهِ فَقَالَ : خَلَّفْتَ رَجُلًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِهَذَا ؟ وَظَنَنْتُ أَنِّي مِنْ أَهْلِ النَّارِ ، وَأَنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ لِي أَبَدًا ، وَأَطْرَقَ عَنِّي نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى نَزَلَتْ عَلَيْهِ { وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ }فَأَرْسَلَ إِلَيَّ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَرَأَهُنَّ عَلَيَّ

*Uṯmān bin Mawhab telah merawi hadis kepada kami, daripada Mūsā bin Ṭolḥah, daripada Abū al-Yasr bin *Amr, dia berkata; Seoraang wanita yang suaminya diutuskan oleh Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- untuk suatu perutusan datang kepadanya, lalu perempuan itu berkata kepadanya: "Belikan tamar untukku dengan satu dirham". Dia berkata; Aku berkata kepadanya dan dia mengujakan aku. "Sesungguhnya ada tamar yang lebih di dalam rumah daripada yang ini". Aku pun pergi bersamanya, lalu aku merabanya, lalu aku menciumnya dan selesai. Kemudian, dia keluar, lalu bertemu Abū Bakr, lalu dia berkata: "Celakalah aku!". Abū Bakr berkata: "Apa yang terjadi padamu?". Dia pun menceritakan halnya kepada Abū Bakr. Dia berkata: "Adakah ada taubat untukku?". Abu Bakr berkata: "Ya. Janganlah engkau ulangi dan jangan engkau beritahu itu kepada sesiapapun". Kemudian, aku pun pergi sehingga aku bertemu Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, lalu aku menceritakan kepadanya, baginda pun berkata: "Engkau mahu menggantikan lelaki Muslim yang berperang di jalan Allah dengan yang ini?". Aku sangka bahawa aku ahli neraka dan Allah sama sekali tidak mengampuni aku selama-lamanya. Baginda pun pergi daripadaku sehingga turun ayat kepadanya: {Tunaikanlah solat pada dua tepi siang dan awal-awal malam. Sesungguhnya kebaikan memadamkan kejahatan. Itu adalah peringatan bagi orang yang beringat}. Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- mengutuskan seseorang kepadaku, lalu membacanya kepadaku. 

Riwayat ini ada dalam perriwayatan an-Nasā^iyy dalam as-Sunan al-Kubō, no. 9875 // aṭ-Ṭobrōniyy dalam al-Mu*jam al-Kabīr, no. 15097 dan at-Tirmiḏiyy, kitāb Abwāb Tafsīr al-Qur^ān, no. 3187.

Jalur sanad yang keempat adalah berpusat pada Ḥammād bin Salamah, daripada *Aliyy bin Zayd, daripada Yusūf bin Mihrōn, daripada Ibn *Abbās :

حَدَّثَنَا حَمَّادٌ ، قَالَ : حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ زَيْدٍ ، عَنْ يُوسُفَ بْنِ مِهْرَانَ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ : أَنَّ امْرَأَةً مُغِيبًا أَتَتْ رَجُلًا تَشْتَرِي مِنْهُ شَيْئًا ، فَقَالَ : ادْخُلِي الدَّوْلَجَ حَتَّى أُعْطِيَكِ ، فَدَخَلَتْ ، فَقَبَّلَهَا وَغَمَزَهَا ، فَقَالَتْ : وَيْحَكَ إِنِّي مُغِيبٌ ، فَتَرَكَهَا ، وَنَدِمَ عَلَى مَا كَانَ مِنْهُ ، فَأَتَى عُمَرَ ، فَأَخْبَرَهُ بِالَّذِي صَنَعَ ، فَقَالَ : وَيْحَكَ ، فَلَعَلَّهَا مُغِيبٌ قَالَ : فَإِنَّهَا مُغِيبٌ ، قَالَ : فَائْتِ أَبَا بَكْرٍ ، فَاسْأَلْهُ فَأَتَى أَبَا بَكْرٍ ، فَأَخْبَرَهُ ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ : وَيْحَكَ لَعَلَّهَا مُغِيبٌ قَالَ : فَإِنَّهَا مُغِيبٌ قَالَ : فَائْتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَأَخْبِرْهُ ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لَعَلَّهَا مُغِيبٌ قَالَ : فَإِنَّهَا مُغِيبٌ ، فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَنَزَلَ الْقُرْآنُ { وَأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ } إِلَى قَوْلِهِ : { لِلذَّاكِرِينَ } ، قَالَ : فَقَالَ الرَّجُلُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَهِيَ فِيَّ خَاصَّةً ، أَوْ فِي النَّاسِ عَامَّةً ؟ قَالَ : فَقَالَ عُمَرُ : لَا وَلا نَعْمَةَ عَيْنٍ لَكَ ، بَلْ هِيَ لِلنَّاسِ عَامَّةً ، قَالَ : فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ : صَدَقَ عُمَرُ

Ḥammād telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; *Aliyy bin Zayd, daripada Yusūf bin Mihrōn, daripada Ibn *Abbās, bahawsanya seorang wanita yang berpergian suaminya datang kepada seorang lelaki untuk membeli sesuatu daripadanya. Lelaki itu berkata: "Masuklah ke kamar kecil supaya aku boleh memberinya kepadamu. Lalu, wanita itu masuk. Lantas, lelaki itu menciumnya dan merabanya. Wanita itu berkata: "Celaka engkau. Sesungguhnya aku wanita yang berpergian suaminya". Dia pun meninggalkannya dan menyesal apa yang berlaku padanya. Dia pun bertemu kepada *Umar, lalu dia memberitahukan apa yang dia lakukan padanya. *Umar berkata: "Celaka engkau! Entah-entah dia adalah orang yang berpergian suaminya!". Dia berkata: "Sememangnya dia adalah orang yang berpergian suaminya". 'Umar berkata: "Pergilah kepada Abū Bakr, lantas bertanyalah kepadanya". Lalu, dia pun datang kepada Abū Bakr dan memberitahunya. Abu Bakr berkata: "Celaka engkau! Entah-entah dia adalah orang yang berpergian suaminya!". Dia berkata: "Sememangnya dia adalah orang yang berpergian suaminya". Abū Bakr berkata: "Pergilah kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, lantas beritahulah kepadanya". Dia pun datang kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- dan mengkhabarkannya: "Entah-entah dia adalah orang yang berpergian suaminya!". Dia berkata, "Sememangnya dia adalah orang yang berpergian suaminya". Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- diam. Kemudian, turun al-Quran: {Dirikan solat pada dua tepi siang dan awal-awal malam} sehingga firman-Nya: {bagi orang yang beringat}. Dia berkata; Seorang lelaki itu berkata: "Adakah ia khusus untukku atau kepada orang ramai secara umum?". Berkata *Umar: "Tidak dan bukanlah ia dinikmati untuk kamu seorang sahaja, bahkan ia untuk orang ramai secara umumnya". Dia berkata: "Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- ketawa, lalu berkata; *Umar benar".

Riwayat ini ada dalam Musnad Aḥmad, no. 2362 // Musnad al-Ḥāriṯ, no. 701 dan aṭ-Ṭobrōniyy dalam al-Mu*jam al-Kabīr, no. 12760

Jalur sanad yang kelima adalah berpusat pada *Abdul Mālik bin *Umayr, daripada *Abdul Roḥmān bin Abū Laylā, daripada Mu*āḏ bin Jabal seperti berikut :

ثنا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ عُمَيْرٍ ، عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ قَالَ : أَتَى رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَا تَرَى فِي رَجُلٍ لَقِيَ امْرَأَةً لَا يَعْرِفُهَا ، فَلَيْسَ يَأْتِي الرَّجُلُ مِنِ امْرَأَةٍ شَيْئًا إِلَّا قَدْ أَتَاهُ مِنْهَا ، غَيْرَ أَنْ لَمْ يُجَامِعْهَا ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : { أَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ } فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَوَضَّأْ ثُمَّ صَلِّ قَالَ مُعَاذٌ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَهِيَ لَهُ خَاصَّةً ، أَمْ لِلْمُؤْمِنِينَ عَامَّةً ؟ فَقَالَ - ثَلَاثَ مَرَّاتٍ - : بَلْ هِيَ لِلْمُؤْمِنِينَ عَامَّةً

*Abdul Mālik bin *Umayr telah merawi hadis kepada kami, daripada *Abdul Roḥmān bin Abū Laylā, daripada Mu*āḏ bin Jabal, dia berkata; Seorang lelaki datang kepada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah. Apa pandangan engkau tentang seorang lelaki yang bertemu dengan wanita yang bukan mahramnya. Tidaklah dia berbuat apa-apa terhadap terhadap wanita itu melainkan berasmara dengannya tanpa melakukan persetubuhan". Lantas, Allah *Azza wa Jalla menurunkan: {Tunaikanlah solat pada dua tepi siang dan awal-awal malam. Sesungguhnya kebaikan memadamkan kejahatan. Itu adalah peringatan bagi orang yang beringat}. Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam- berkata kepadanya: "Berwuduklah, lalu bersolatlah". Berkata Mu*āḏ; Aku berkata: "Wahai Rasulullah. Adakah ia khusus untuknya atau untuk sekalian orang beriman?". Baginda berkata sebanyak tiga kali: "Bahkan ia untuk sekalian orang beriman". 

Riwayat ini ada dalam periwayatan aṭ-Ṭobrōniyy dalam al-Mu'jam al-Kabīr, no. 16091 // Musnad Aḥmad, no. 21361 // at-Tirmiḏiyy, kitāb Abwāb at-Tafsīr al-Qur^ān, no. 3185 // Sunan ad-Dāroquṭniyy, no. 422 & al-Bayhaqiyy dalam as-Sunan al-Kubrō, no. 569.

Dan lain-lain jalur sanad yang mempunyai penceritaan yang serupa. Maka, di sini ada beberapa perkara yang boleh diperhatikan. Pertama, tidak dinyatakan sama sekali sumber sekunder di sini seperti Riyāḍ aṣ-Ṣōliḥīn karya an-Nawāwiyy, *Umdah al-Ḥakam karya al-Maqdisi, at-Taġrīb wa at-Tarhīb karya al-Munḏiriyy, al-Lu^lu^ wa al-Marjān karya Muḥammad Fu^ād *Abdul Bāqī dan seumpamanya kerana semua ini merupakan sumber penukilan daripada sumber primer sehingga tidak diperlukan lagi untuk menyebutkan di sini. Oleh itu, sebutkan hanya pada sumber primer sahaja dan tidak perlu melambakkan dengan sesuatu yang tidak penting. Penting untuk diingatkan bahawa banyaknya rujukan yang dinamakan tidak menatijahkan riwayat itu benar dan kekuatannya adalah tinggi. Usah terpedaya seolah-olah seseorang mahu menampakkan nilai ilmiah yang tinggi dengan melonggokkan rujukan-rujukan yang bertimbun, padahal sumber primer kadangkala hanya sedikit, tetapi diperbanyakkan dengan sumber sekunder.

Jika tidak ditemukan sumber primer baginya, maka sebutkan sumber sekundernya dan nilai berdasarkan sumber itu. Misalnya seperti berikut :

قال أبو علي بن السكن: حدثنا يحيى بن محمد بن صاعد، حدثنا الحسن ابن أحمد بن أبي شعيب الحراني، حدثنا مسكين بن بكير عن الأوزاعي، عن يحيى بن أبي كثير، عن محمد بن عبد الرحمن عن جابر، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " إذا تغوط الرجلان فليتوار كل واحد منهما عن صاحبه، ولا يتحدثان على طوقتهما. فإن الله يمقت على ذلك " .

Berkata Abū *Aliy bin as-Sakan; Yaḥyā bin Muḥammad bin Sō*id telah merawi hadis kepada kammi; Al-Ḥasan Ibn Aḥmad bin Abū Šu*ayb al-Harrōniyy telah merawi hadis kepada kami; Miskīn bin Bukayr telah merawi hadis kepada kami, daripada al-Awzā*iy, daripada Yaḥyā bin Abū Kaṯīr, daripada Muḥammad bin *Abdul Roḥmān, daripada Jābir, dia berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Apabila dua orang sedang berhadas, hendaklah mereka menutupi diri mereka daripada dilihat oleh sahabatnya. Dan jangan berbicara di tempat perkumuhan mereka. Sesungguhnya Allah membenci perbuatan itu". [Bayān al-Wahm Wa al-Īhām Fi Kitāb al-Aḥkām, karya *Aliyy bin Muḥammad bin *Abdul Mālik al-Ḥimyariyy al-Fāsiyy Abū al-Ḥasan Ibn al-Qoṭṭōn, jilid 5, m/s 260, keluaran Dār Thoyyibah, ar-Riyāḍ].

Berdasarkan contoh ini, Ibn al-Qoṭṭōn menukilkan riwayat Abū *Aliy bin as-Sakan dalam kitabnya yang bersumber sekunder. Namun, sumber primer baginya tidak ditemui yang dikatakan namanya adalah "Ṣoḥīḥ Ibn as-Sakan" sama ada kerana hilang ditelan zaman atau belum ditemui atau belum dicetak atau lain-lain sebab. Maka, kita akan melakukan penilaian berdasarkan apa yang dinukilkan oleh sumber sekunder ini. Misal yang lain adalah seperti berikut :

في مسند أبي يعلى، قال: حديثا جويرية بن أشرس، قال: أخبرنا عقبة بن أبي الصهباء الباهلي، قال: سمعت الحسن يقول: سمعت عليا يقول: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مثل أمتي مثل المطر.

Dalam Musnad Abū Ya*lā, dia berkata; Juwayriyyah bin Ašros telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; *Uqbah bin Abū Suhabā^ al-Bāhiliyy telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Aku mendengar al-Ḥasan berkata; Aku mendengar *Aliyy berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Permisalan umatku seperti hujan". [Al-Ḥāwī Li al-Fatāwā, karya as-Suyūṭiyy, jilid 2, m/s 125, Dār al-Fikr Li aṭ-Ṭibā*ah Wa an-Našr, Beirut].

As-Suyūṭiyy menyatakan bahawa riwayat ini diambil daripada Musnad Abū Ya*lā, tetapi cetakan pada hari ini tidak ditemukan riwayat seperti ini. Walau apapun sebabnya, kita akan menilai berdasarkan apa yang dinukilkan. Tidak ada semua bukan bermakna kita meninggalkan kesemuanya.

Kedua, sekalipun jalur Ibrōhīm an-Naẖō*iyy dan Abū *Uṯmān an-Nahdiyy menatijahkan hujungnya adalah Ibn Mas*ūd, tetap perlu diasingkan kerana pusat sanadnya berbeza. Ini perkara yang penting untuk dilakukan kerana kadangkala riwayat yang hujung sanadnya adalah pada seorang sahabat Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-, tetapi mempunyai pelbagai jalur sanad yang menyampaikannya. Kadangkala masing-masing tidak sama darjat kekuatannya dan hal itu dilihat pada pusat sanad itu. Keperluan ini kadangkala relatif dan terpulang pada kebijaksanaan masing-masing untuk pengasingannya. Mungkin sahaja jalur Ibrōhīm an-Naẖō*iyy  itu boleh dipecahkan kepada jalur sanad yang berpusat pada Isrō^īl daripada Ibrōhīm dan Simāk daripada Ibrōhīm  mengikut kesesuaiannya tersendiri.

Apapun, pengasingan ini sangat penting, lebih-lebih lagi jika berada dalam praktik *ilal al-Ḥadīṯ  Misalnya adalah hadis tentang bacaan sujud tilawah yang diriwayatkan oleh *Ā^išah. Terdapat dua pusat sanad pada riwayat ini. Yang pertama ialah ia berpusat pada H̱ōlid al-Ḥaḏḏā^, daripada seseorang, daripada Abū al-*Āliyyah, daripada 'Aisyah seperti berikut :

حَدَّثَنَا خَالِدٌ الْحَذَّاءُ ، عَنْ رَجُلٍ ، عَنْ أَبِي الْعَالِيَةِ ، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي سُجُودِ الْقُرْآنِ بِاللَّيْلِ ، يَقُولُ فِي السَّجْدَةِ مِرَارًا : سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ ، بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ

H̱ōlid al-Ḥaḏḏā^ telah merawi hadis kepad kami, daripada seseorang, daripada Abū al-*Āliyyah, daripada*Ā^išah -roḍiyallahu *anha-, dia berkata: "Dahulu Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- mengucapkan dalam sujud al-Qur^ān pada waktu malam dengan pengucapan yang berkali-kali dalam sujdunya: Wajahku bersujud kepada yang menciptakannya serta menyempurnakan pendengarannya dan penglihatannya dengan keupayaan-Nya dan kekuatan-Nya". 

Riwayat ini ada dalam Sunan Abū Dāwud, kitāb aṣ-Ṣolāh, no. 1240 // Musnad Aḥmad, no. 25261 // Muṣonnaf Ibn Abū Šaybah, no. 4322 // al-Baihāqiyy dalam as-Sunan al-Kubrō, no. 693 dan lain-lain.

Yang kedua kedua ialah ia berpusat pada H̱ōlid al-Ḥaḏḏā^, daripada Abū al-*Āliyyah, daripada 'Aisyah seperti berikut :

حَدَّثَنَا خَالِدٌ الحَذَّاءُ ، عَنْ أَبِي العَالِيَةِ ، عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي سُجُودِ القُرْآنِ بِاللَّيْلِ : سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ

H̱ōlid al-Ḥaḏḏā^ telah merawi hadis kepada kami, daripada Abū al-*Āliyyah, daripada *Ā^išah, dia berkata: "Dahulu Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- mengucapkan dalam sujud al-Quran pada waktu malam: Wajahku bersujud pada yang menciptakannya serta menyempurnakan pendengarannya dan penglihatannya dengan keupayaan-Nya dan kekuatan-Nya".

Riwayat ini ada dalam Sunan at-Tirmiḏiyy, kitāb Abwāb as-Safar, no. 582 // Musnad Aḥmad, no. 23477 // al-Ḥākim dalam al-Mustadrok *Alā aṣ-Ṣoḥīḥayn, no. 762 // aṭ-Ṭobrōniyy dalam al-Mu*jam al-Kabīr, no. 3610 // Sunan ad-Dāroquṭniyy, no. 1316 // an-Nasā^iyy dalam as-Sunan al-Kubrō, no. 706 // Muṣonnaf Ibn Abū Šaybah, no. 4320 dan lain-lain.

Sekalipun kedua-dua ini daripada *Ā^išah dan berpusat pada H̱ōlid al-Ḥaḏḏā^, tetapi jalur yang menyampaikannya adalah berbeza. Inilah sebabnya penting untuk mengenal pasti dan mengasingkan pusat sanad kerana peranan *ilal al-Ḥadīṯ akan berfungsi ketika ini.

Ketiga, kadangkala kepelbagaian pusat sanad itu ada dalam satu rujukan sepertimana yang telah ditunjukkan. Sekalipun begitu, pengasingan tetap perlu dilakukan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan penyelesaian *ilal al-Ḥadīṯ. Ini kerana rujukan yang sama tidak menatijahkan kekuatan status hadis itu akan sama darjatnya. Kadangkala, ia menjadi petunjuk bahawa sesuatu hadis itu ada kecacatan atau adanya muḍṭorib atau pendokong bagi riwayat yang lain atau seumpamanya. Kegagalan dalam membezakan pusat sanad menatijahkan bahawa hadis itu sahih kerana menganggap bahawa semua sanadnya adalah sahih kerana sama dalam satu rujukan atau sebaliknya. Inilah perkara yang perlu diambil perhatian supaya kelompangan ini tidak berlaku.

Keempat, pentingnya untuk perbanyakkan hafalan dan perolehan rujukan. Takhrij seperti ini tidak dapat dilakukan melainkan di kepala seseorang itu telah mempunyai pelbagai data yang telah difahal dan memiliki perpustakaan untuk membuat rujukan serta penamaan sumber. Terlepasnya perkara ini menyebabkan praktikal *ilal al-Ḥadīṯ akan terdedah kepada kelompangan kerana ketidaksampaian pusat sanad yang diperlukan untuk perbandingan. Sebab itu, ilmu ini bukan sama sekali untuk para pemula. 

Demikian beberapa isi yang dapat diambil melalui contoh yang ditunjukkan yang menggambarkan keseluruhan praktik ilmu takhrij. Diharapkan dengan keterangan konsep ini, seseorang akan mendapat panduan untuk praktikal ilmu takhrij hadis dan mudah-mudahan menyampaikan kepada kemahiran dalam *ilal al-Ḥadīṯ dengan izin Allah.

No comments:

Post a Comment