Monday, June 29, 2020

Isu Penguatan Hadis Dhaif Melalui Gabungan Beberapa Jalur Hadis Dhaif

Dalam kaedah penguatan hadis yang dhaif melalui gabungan beberapa jalur hadis yang dhaif dengan cara šawāhid, kita melihat cara mereka hanyalah dengan melihat persamaan matan hadis, maka terus dianggap masing-masing menguatkan antara satu sama lain sehingga ia naik darjatnya sama ada menuju kepada ḥasan liġorihi atau sahih. Ini adalah sikap yang bermudah-mudahan dalam mensahihkan hadis atau mengḥasankan hadis yang sebenarnya begitu pincang.

Mereka tidak sedar bahawa mereka yang dikritik pada kejituannya bukan hanya lupa atau celaru pada matan sahaja, tetapi pada sanad. Lihat beberapa contoh kritikan perawi pada kejituan :

حدثنا محمد بن إسماعيل وبشر بن موسى، قالا: حدثنا الحميدي، قال: سمعت سفيان يقول: لقيت صالحا مولى التوأمة سنة خمس أو ست وعشرين ومائة أو نحوها وقد تغير. وليقه الثوري بعدي فجعلت أقول له: أسمعت من ابن عباس؟ أسمعت من أبي هريرة؟ أسمعت من فلان؟ فلا يجيبني بها. فقال الشيخ عنده: إن الشيخ قد كبر.

Muḥammad bin Ismā*īl dan Bišr bin Mūsā telah merawi hadis kepada kami, mereka berdua berkata; Al-Ḥumaydiyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Aku mendengar Sufyān berkata, Aku bertemu Ṣōliḥ, mawlā at-Taw^amah pada tahun seratus kelima puluh atau seratus enam puluh atau seumpamanya dan dia telah pun berubah hafalannya. Aṯ-Ṯawriyy bertemu dengannya selepasku, lalu aku mula berkata kepadanya: "Adakah engkau mendengar daripada Ibn *Abbās? Adakah engkau mendengar daripada Abū Huroyroh? Adakah engkau pernah mendengar daripada fulan?". Dia tidak menjawab persoalanku. Berkata seorang syeikh di sisinya: "Sesungguhnya dia syeikh yang telah tua". [Aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, karya Abū Ja*far al-*Uqoyliyy, jilid 2, m/s 204, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy].

حدثنا ابن حماد، حدثنا صالح بن أحمد، قال: حدثنا علي، قال: سمعت عبد الرحمن بن مهدي: وقيل له: تحمل عن عبد الله بن يزيد القصير عن ابن لهيعة. قال عبد الرحمن: لا أحمل عن ابن لهيعة قليلا ولا كثيرا. ثم قال عبد الرحمن: كتب إلي بن لهيعة كتابا فيه حدثنا عمرو بن شعيب. قال عبد الرحمن، فقرأته على ابن المبارك، فأخرج إلي ابن المبارك من كتابه عن ابن لهيعة فإذا حدثني إسحاق بن أبي فروة عن عمرو بن شعيب.

Ibn Ḥammād telah merawi hadis kepada kami; Ṣōliḥ bin Aḥmad telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; *Aliyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; aku mendengar *Abdul Roḥmān bin Mahdiyy dan dikatakan kepadanya: "Engkau meriwayatkan dari *Abdullah bin Yazīd al-Qoṣīr, daripada Ibn Lahī*ah?". Dia berkata: "Aku tidak meriwayatkan daripada Ibn Lahī*ah walaupun sedikit, mahupun banyak". Kemudian *Abdul Roḥmān  berkata: "Ibn Lahī*ah menulis sebuah kitab kepadaku padanya: #*Amr bin Šu*ayb telah merawi hadis kepada kami#". Berkata *Abdul Roḥmān: "Lantas, aku membacanya di hadapan Ibn al-Mubārok. Ibn al-Mubārok mengeluarkannya untukku daripada kitabnya, daripada Ibn Lahī*ah. Ternyata, ianya: Isḥāq bin Abū Farwah telah merawi hadis kepadaku, daripada *Amr bin Šu*ayb". [Aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, karya Abū Ja*far al-*Uqoyliyy, jilid 2, m/s 204, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy].

حدثنا محمد بن إسماعيل، قال: حدثنا الحسن بن علي الحلواني، قال: حدثنا علي بن المديني، قال: حدثنا ابن علية، قال: قدم علينا عطاء بن السائب البصرة وكنا نسأله، قال: فكان يتوهم. قال: فيقول له: من؟ فيقول: أشايخنا ميسرة وزاذان وفلان وفلان. قال علي، قال وهيب: قدم عطاء بن السائب، فقلت: كم حملت عن عبيدة؟ قال: أربعين حديثا، قال علي: وليس يروي عن عبيدة حرفا واحدا. فقلت: فعلى ما يحمل هذا؟ قال: على الاختلاط إنه اختلط. قلت ليحيى: وكان أبو عوانة حمل عن عطاء بن السائب قبل أن يختلط؟ فقال: كان لا يفصل هذا من هذا، وكذلك حماد بن سلمة، وكان يحيى لا يروي حديث عطاء بن السائب إلا عن شعبة وسفان. قال يحيى: قلت لأبي عوانة، فقال: كتبت عطاء قبل وبعد فاختلط علي.

Muḥammad bin Ismā*īl telah merawi hadis kepada kami; Al-Ḥasan bin *Aliyy al-Ḥulwāniyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; *Ali bin al-Madiniyy telah merawi hadis kepada kami, dia berkata; Ibn *Ulayyah telah merawi hadis kepada kami, dia berkata: "'*Aṭō^ bin as-Sā^ib datang kepada kami di Basrah dan kami bertanya kepadanya". Ibn *Ulayyah berkata: "Dia menjadi waham". Dia berkata kepadanya: "Dari siapa?". Dia berkata: "Guru-guru kami ialah Maysaroh, Zāḏān, fulan dan fulan". Berkata*'Aliyy; Wuhaib berkata; *Aṭō^  datang, lalu kamu berkata: "Berapa banyak engkau riwayatkan daripada *Ubaydah?". Dia berkata: "Empat puluh hadis". *Aliyy berkata: "Dia tidak pernah meriwayatkan daripada *Ubaydah walau sehuruf pun". Aku berkata: "Dari mana dia meriwayatkan ini?". Dia berkata: "Dari campur baurnya kerana dia telah bercampur baur". Aku berkata kepada Yaḥyā: "Abū *Awānah meriwayatkan daripada *Aṭō^ bin as-Sā^ib sebelum bercampur baur?". *Aliyy berkata: "Dia tidak membezakan antara ini dengan yang ini. Dan demikian juga Ḥammād bin Salamah. Yaḥyā tidak pernah meriwayatkan hadis *Aṭō^ bin as-Sā^ib kecuali dari Šu*bah dan Sufyān". Berkata Yaḥyā; Aku bertanya kepada Abū *Awānah, lalu dia berkata: "Aku menulis daripada *Aṭō^ sebelum dan selepas dia bercampur baur padaku". [Aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, karya Abū Ja*far al-*Uqoyliyy, jilid 3, m/s 398, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy].

أخبرنا أبو بكر بن أبي خيثمة فيما كتب إلي، قال: سئل يحيى بن معين عن محمد بن عمرو، فقال: ما زال الناس يتقون حديثه. قيل له: وما علة ذلك؟ قال: كان محمد بن عمرو يحدث مرة عن أبي سلمة بالشئ رأيه ثم يحدث به مرة أخرى عن أبي سلمة عن أبي هريرة.

Abū Bakr bin Abū H̱oyṯamah telah merawi khabar kepada kami daripada apa-apa yang dia tuliskan untukku, dia berkata; Yaḥyā bin Ma*īn ditanya tentang Muḥammad bin *Amr, dia berkata: "Orang ramai sentiasa takut dengan hadisnya". Dikatakan kepadanya: "Apa puncanya?". Dia berkata: "Dahulu Muḥammad bin *Amr meriwayatkan sekali daripada Abū Salamah dengan sesuatu daripada pandangannya, kemudian pada waktu lain, dia meriwayatkannnya dengan menjadi daripada Abū Salamah, daripada Abū Huroyroh". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 8, m/s 31, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

وقال لي علي عن ابن أبي الوزير عن مالك أنه ذكر ابن عجلان فذكر خيرا، وقال يحيى القطان: لا أعلم إلا إني سمعت ابن عجلان يقول كان سعيد المقبري عن أبيه عن أبي هريرة وعن رجل عن أبي هريرة فاختلطت علي فجعلتها عن أبي هريرة.

Berkata *Aliyy kepadaku, daripada Ibn Abū al-Wazīr, daripada Mālik, bahawasanya dia menyebutkan tentang Ibn *Ajlān, lantas dia menyebutkannya dengan kebaikan. Berkata Yaḥyā al-Qoṭṭōn; "Aku tidak mengetahui kecuali Ibn *Ajlān berkata: #Sa*id al-Maqburiyy daripada ayahnya daripada Abū Huroyroh# dan #Dari perawi daripada Abu Hurairah#. Dia bercampur baur menurutku, lantas dia menjadikan #Daripada Abū Huroyroh#. [At-Tārīẖ al-Kabīr, karya al-Buẖōriyy, jilid 1, m/s 196, keluaran Dā^iroh al-Ma*ārif al-*Uṯmāniyyah, Hyderabad, Deccan].

Banyak lagi yang boleh ditemui dalam mengumpulkan kitab al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl terhadap perawi seperti al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl karya Ibn *Adiyy dan lain-lain. Semestinya akan menemui tentang kritikan perawi yang membolak-balikkan sanad, tertukar sanad, silap penyebutan  dan lain-lain yang berkaitan dengan kecelaruan dalam membawakan sanad.

Jika masih sukar untuk mempercayainya, carilah nama-nama perawi di atas atau perawi-perawi yang dikritik kejituan dalam kitab yang mengumpulkan hadis yang mempunyai illah seperti *Ilal al-Ḥadīṯ karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, al-*Ilal al-Wāridah Fī al-Aḥādīṯ an-Nabawiyyah karya ad-Dāroquṭniyy, al-*Ilal al-Kabīr karya at-Tirmiḏiyy dan lain-lain. Lihat sendiri bagaimana mereka semua tertukar sanadnya atau celaru dalam membawakan sanad atau berlaku iḍṭirōb dalam periwayatan mereka.

Sekarang, bagaimana lagi seseorang tergamak bersikap mudah menaikkan darjat hadis hanya dengan melihat matan yang sama sahaja dan tidak mengambil peduli tentang sanad? Mari, kita lihat andaian ini untuk membuktikan betapa pincangnya cara mereka.

Satu sanad menyebutkan Aḥmad, daripada Muḥammad, daripada Maḥmud, daripada Nu*aym, daripada sahabat Rasulullah, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, kemudian, kita andaikan Muḥammad adalah perawi yang dhaif. Manakala sanad yang lain adalah Ḥibbān, daripada Ḥabīb, daripada Hišām, daripada Ḥumayd, daripada sahabat Rasulullah, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, kemudian kita andaian Ḥabīb adalah dhaif. Kita andaikan kedua-dua sanad membawa matan yang sama. Sekarang, mereka yang bersikap bermudah-mudahan ini terus menganggap hadis ini ḥasan kerana kedua-duanya saling menguatkan. Walhal, ia tidak sama sekali.

Adakah mereka yakin bahawa Muḥammad itu membawakan sanad yang betul? Entah-entah boleh jadi ia sebenarnya Maḥmūd, daripada Zubayr yang kita andaikannya sebagai perawi yang ditingalkan hadisnya. Tetapi kerana Muḥammad itu bermasalah kejituannya, dia waham dalam menamakannya dengan Nu*aym yang kita andaikan dia adalah perawi yang berkredibiliti. Lalu, dengan itu, kita beranggapan sanadnya tidak ada apa-apa masalah melainkan Muḥammad. Walhal, mungkin sahaja sanad itu tidak betul akibat waham Muḥammad. Sekarang bandingkan pula dengan sanad Ḥabīb. Benarkah Hišām daripada Ḥumayd? Entah-entah ia adalah Hišām, daripada Bukayr yang kita andaikan dia sebagai pemalsu hadis. Namun, Ḥabīb bercelaru kejituannya sehingga tertukar nama namanya kepada orang yang berkredibiliti. Sekarang bagaimana mungkin ia mampu menjadi penguat?

Bawalah berpuluh-puluh sanad yang berbeza pusat pun, ia tetap bukan penguat. Sesiapa yang tidak boleh menerima andaian seperti ini atau menganggap andaian ini tidak berasaskan realiti, iaitu adanya kemungkinan perawi itu celaru pada sanad, tidak hanya pada matan, maka tidak syak lagi bahawa dia adalah ignoran terhadap perbahasan *ilal al-Ḥadīt. Tidak ada ubat kepada ignoran ini melainkan dia menelaah kitab yang mengumpulkan hadis yang mempunyai illah.

Sekarang jelas mengapa penguatan hadis yang dhaif tidak hanya berpada melihat matan sahaja. Kumpulkanlah sebanyak mana pun, ia tetap tidak berbeza dengan tafarrudāt dhaif yang dikumpulkan. Masing-masing tidak akan menguatkan antara satu sama lain. Kalau dengan beragam sanad yang dhaif sudah cukup untuk menganggap hadis itu sahih sebagai hujah, sekarang mana perawi yang terdiri daripada kalangan imam dan mereka yang ternama kedudukannya? Kenapa tidak ada dari kalangan mereka pun yang meriwayatkan hadis tersebut? Kenapa hanya perawi yang dhaif sahaja meriwayatkan hadis tersebut dan hanya berlegar dari kalangan yang dhaif? Nyatalah bahawa hadis tersebut bukanlah dari hadis dari kalangan orang yang berkredibiliti. Berhaklah ia termasuk dalam kategori hadis yang ġorīb dan munkar.

Kemudian, perawi yang dhaif bagaimana pula yang ingin dikuatkan? Mari kita lihat contoh Ayyūb bin Mudrik. Dia disebutkan sebagai dhaif oleh Ya*qūb bin Sufyān al-Fārisiyy dalam al-Ma*rifah Wa at-Tārīẖ, jilid 3, m/s 61, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut, tahqiq Akrom Ḍiyā^ al-*Umariyy dan Abū Zur*ah sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, jilid 2, m/s 258, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut. Namun, dalam masa yang sama, nāqid lain mengisyaratkan bahawa dia bukan sekadar dhaif biasa. An-Nasā^iyy menilainya sebagai orang yang ditinggalkan hadisnya dalam aḍ-Ḍu*afā^ wa al-Matrūkūn, m/s 15, keluaran Dār al-Wa*y, Halab, tahqiq Maḥmūd Ibrōhīm Zāyid. Yaḥyā bin Ma*īn menyatakan bahawa Ayyūb bin Mudrik tidak bernilai dan di tempat lain dia mengatakan bahawa dia adalah pendusta sepertimana yang dinukilkan oleh Abū Ja*far al-*Uqoyliyy  dalam aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, jilid 1, m/s 115, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy. Ad-Dāroquṭniyy menilainya sebagai orang yang ditinggalkan dalam aḍ-Ḍu*afā^ wa al-Matrūkūn, jilid 1, m/s 258, keluaran Majallah al-Jāmi*ah al-Islāmiyyah al-Madīnah al-Munawwaroh. Abū Ḥātim ar-Rōziyy menyatakan bahawa dia lemah hadisnya lagi ditinggalkan sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam rujukan yang telah disebutkan. Adakah ahli hadis berselisih pada kedudukan Ayyūb bin Mudrik? Tidak sama sekali kerana pendusta sememangnya membawa hadis-hadis yang selayaknya ditinggalkan. Hadis-hadis yang ditinggalkan adalah hadis yang tidak boleh dijadikan hujah dan ia adalah ciri-ciri hadis dhaif. Mereka langsung tidak berselisih untuk meninggalkan hadisnya walaupun hanya menyebutkan sahaja.

Demikian juga dengan *Aliyy bin Qorīn. Yaḥyā bin Ma*īn, Ibn Qōni* dan Abū al-Fatḥ al-Azdiyy menyatakan bahawa dia seorang pendusta. Ad-Dāroquṭniyy dan Abū Nu*aym menyatakan bahawa dia seorang yang dhaif. Ini dinukilkan oleh al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dalam Tārīẖ Baġdād, jilid 13, m/s 510, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf. Abū Ḥātim ar-Rōziyy menyatakan bahawa dia ditinggalkan hadisnya lagi tidak ada nilai walau sesuatu sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, jilid 6, m/s 201, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut. Melalui hal ini, adakah ahli hadis berselisih dengan kedudukan *Aliyy bin Qorīn? Sama sekali tidak sekalipun lafaz yang diungkapkan adalah berbeza. Walaupun ad-Dāroquṭniyy dan Abū Nu*aym menyebutkannya sebagai dhaif sahaja, tetapi yang dimaksudkan kedua-duanya adalah dhaif yang layak ditinggalkan dan tidak dipercayai riwayatnya. Sebab itulah saya persoalkan ini kerana jika seseorang mahu menguatkan riwayat perawi yang dhaif, maka perawi yang dhaif yang bagaimana? Supaya seseorang tidak ambil mudah untuk terus mengambilnya sebagai sokongan tanpa meneliti pelbagai komentar nāqid daripadanya.

Cara yang membolehkan untuk saling menguatkan riwayat adalah dengan cara mutāba*ah. Lihat andaian ini. *Imrōn, daripada Jarīr, daripada Ibrōhīm, daripada Aslam, daripada sahabat Rasulullah, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, kemudian kita andaikan Jarīr adalah dhaif. Kemudian, ada riwayat lain Ādam, daripada Idrīs, daripada Ibrōhīm, daripada Aslam, daripada sahabat Rasulullah, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, kemudian kita andaikan Idrīs adalah perawi yang dhaif. Kemudian, dibawa lagi sanad yang sama, cuma murid Ibrōhīm tersebut adalah dhaif. Ketika ini, barulah ia boleh jadi penguat selagimana tidak ada pertentangan dengan yang lebih berkejituan daripada mereka. Ini kerana tidak mungkin anak muridnya sepakat untuk bercelaru. Sekarang bebaslah keraguan bahawa perawi tersebut melakukan kesilapan dalam periwayatan. Maka, kaedah mutāba*ah adalah kaedah yang paling mapan dalam menghilangkan keraguan berlakunya kecelaruan dalam hadis. Adapun kaedah šawāhid, ia sukar untuk menghilangkan keraguannya.

Jadi, manhaj ahli hadis sebenar, bukanlah menolak total penguatan hadis yang dhaif, tetapi sangat berhati-hati dalam melakukannya. Malangnya, saya belum menemukan mana-mana penulisan tentang bab al-*Itibār, terutamanya šawāhid mengingatkan hal ini. Iaitu fakta bahawa perawi dilemahkan bukan kerana celaru pada matan sahaja, tetapi dalam meriwayatkan sanad. Lantas, mereka bermudah-mudahan dengan menganggap dua hadis dhaif boleh diangkat menjadi ḥasan hanya kerana sama matannya. Mereka mengabaikan aspek sanad. Akhirnya, lahirlah ramai yang bermudah-mudahan mensahihkan hadis hanya dengan melihat persamaan dua matan.

Untuk mendapatkan idea lebih luas, saya mencadangkan untuk membaca kitab yang berjudul al-Ḥasan Bi Majmū* aṭ-Ṭuruq Fī Mīzān al-Iḥtijāj Bayna al-Mutaqoddimīn Wa al-Muta^aẖẖirīn karya *Amr *Abdul Mun*im Salīm.

No comments:

Post a Comment