Friday, November 13, 2020

Diari Diri : Puji-Pujian Bagi Allah Atas Limpah Kurnia-Nya Kepada Saya

Segala puji bagi Allah. Dialah Yang Maha Tinggi yang wajib bagi sekalian hamba-Nya memuji-mujiNya. Dialah Yang Pemurah lagi Maha Pemberi. Segala puji bagi Allah yang mencetuskan ilham kepada hamba-Nya, lalu memanifestasikan kebesaran-Nya melalui pujian hamba-Nya. Segala puji bagi Allah yang tidak ada yang mampu memuji-Nya melainkan bantuan dari-Nya.

Segala puji bagi Allah atas nikmat yang tidak terkira semenjak kejadianku, kelahiranku, nafasku, kerlipan mataku melihat dunia fana ini dan nikmat-nikmat yang terbekal pada diriku dan sekelilingku yang aku mampu menyebutnya, yang tidak aku mampu menyebutnya, yang aku ingat akannya, yang aku mengalpakannya sama sedar atau tidak sedar, yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Segala puji bagi Allah. Kemudianߨ segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah atas kesihatan tubuh jasadku dan keselamatan dari penyakit dan situasi getir. Kepada-Nya❟ aku memohon agar aku dapat menggunakan nikmat ini untuk mengabdikan diriku kepada-Nya dan berkhidmat untuk agama-Nya. Segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah yang membenihkan Islam dan iman dalam dadaku dengan pemahaman yang lurus dan berpaut di atas bukti yang kukuh. Dengan anugerah ini❟ tersematlah keyakinan bahawa inilah agama yang benar, inilah agama yang memberikan kesejahteraan kepada sekalian umat dan inilah agama yang menjamin segala kebaikan buat penganutnya. Segala puji bagi Allah yang tidak tertanggung kecukupan di lidahku dalam ucapan pujianku kepada-Nya.

Segala puji bagi Allah yang memperkenankan hajatku ketika aku meminum air zamzam yang dibawa pulang oleh ibu bapaku dari tanah suci agar aku dikurniakan kefaqihan sepertimana Abū Ḥāmid al-Ġozzāliyy. Jika hakikatnya permintaan seperti ini bukan yang diperkenankanޱ sekurang-kurangnya Dia telah memperkenankan hajatku untuk menjadi sang faqih lagi miliki produktif dalam ilmu.

Sekali lagiܦ puji-pujian kepada-Nya bahawa yang menjadikan aku terdorong untuk melakukannya setelah membaca pengamalan ulama agar dikabulkan permintaannya ketika meminum air zamzam dan ketikamana tokoh inspirasiku melakukan yang sama. Segala puji bagi Allah atas kurniaan yang teragung yang mengubah hidupku ini.

Segala puji bagi Allah yang memakaikan dalam mindaku selendang kemahiran bahasa Arab setelah lama aku mengimpikannya dan setelah lama aku mengadu pada-Mu betapa deritanya menanggung kekurangan dalam ilmu alat yang vital. Segala puji bagi Allah yang mempertemukan aku dengan Rusdi Alias yang melalui pendidikan-Nyaܦ tercapailah hajatku dengan pantas dan penuh manfaat. Segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah yang membimbingku dalam kemahiran ilmu hadis. Meski tanpa guruޱ Engkaulah sebaik-baik pembimbing dan sebaik-baik pengajar kepada hamba-Nya. Segala puji bagi Allah yang memperlihatkan aku pembentangan Rozaimi Ramle dan Kamilin Jamilin dalam penganalisisan hadisߨ seterusnya kepada karya-karya hadis yang lainߨ lalu menjadi bertambah yakin dalam jantungku bahawa benar-benar aku berada di manhaj yang lurus. Segala puji bagi Allah melalui pengalaman iniܦ terbuktilah bahawa wujudnya ilmu yang boleh dikuasai meskipun hanya melalui pembacaan dan pengamatan fikiran serta menempuh pelbagai situasi.

Segala puji bagi Allahߨ kemudian segala puji bagi Allah. Saya membenarkan apa yang telah dilalui oleh Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy; tokoh ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah ⁃ṣollallāhu ᓫalayhi wa ālihi wasallam⁃ sepertimana yang dia menyebutkannya dalam «al-Baḥr al-ᓫAmīq Fī Marwiyyāt Ibn aṣ-Ṣiddīq» bahawa dia menguasai ilmu hadis sehingga ke tahap huffaz yang terulung tanpa bertalaqqi dengan sesiapa pun. Meskipun saya tidaklah sampai ke tahap yang telah dia capaiߨ bahkan masih terlalu jauh untuk mengecapinyaޱ namunߨ pembelajaran kendiri mampu memberikan manfaat yang agung buat peribadi.

Segala puji bagi Allah kerana mengunggulkan Aḥmad al-Ġumāriyy dalam bidang hadis meskipun penguasaannya tanpa melalui guru. Segala puji bagi Allah kerana membantu saya untuk membenarkan apa yang telah dia lalui dan memberikan impak yang berguna kepada saya.

Segala puji bagi Allah sekali lagi yang melalui penulisanku yang berjudul «Intisari Penting Dalam Ilmu Takhrij Hadis Dan ᓫIlal al-Ḥadīṯ»ܦ ia adalah bukti terhadap penguasaanku dan hemat pemerhatianku dalam ilmu ini. Malahߨ penulisanku ini adalah penulisan yang terawal di Malaysia membahas dalam memberi kefahaman teori dan praktikal ilmu ᓫilal al-Ḥadīṯ secara terperinci. Segala puji bagi Allah. Kemudianߨ segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah yang mengilhamkan aku dalam menepis kecurigaan terhadap hafalan para imam hadis yang mencecah ratusan ribu hadis dengan mengemukakan bukti yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana orang sebelumku dan semasa dengankuߨ malah mungkin tidak terfikir di minda para pengkajinya melalui pembentangan karya al-Jarḥ Wa at-Taᓫdīl dan al-ᓫIlal serta rujukan penting dalam kajian takhrij hadis sehingga setiap orang meskipun jahil dalam hakikat tradisi ilmu hadis yang sebenar yang menelaahnya dapat melihat bukti kemampuan tokoh hadis. Semoga Allah menjadikan pembelaan saya ini sebagai pencambah kecintaan saya kepada ahli hadis dan institusinya serta menjadikannya sebab menjadi hamba yang diredhai-Nya. Segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah yang memantapkan penguasaan ilmu uṣūl fiqh dalam daku agar aku terbekal dengan manhaj penafsiran yang lurus, metodologi penilaian yang mapan dan cerapan pemikiran yang jitu. Segala puji bagi Allah yang melaluinyaܦ sampailah aku kepada darjat orang yang faqih walau untuk yang sedikit. Mudah-mudahan aku menggapai lebih lagi agar aku ditambahkan lagi dengan kefaqihan yang semoga ia membawa kepada jalan yang lurus dan iltizam dengan kebenaran.

Segala puji bagi Allah yang menanamkan ketegasanku terhadap seruan kepada Quran, sunnah dan manhaj ilmu yang sejati. Aku memuji-muji kepada-Nya yang mencegah aku dari menjadi orang yang memandang ringan dan mempersenda seruan ini sebagaimana sang jadong yang tidak mengenal tradisi keilmuan dalam ilmu. Dengan seruan ini❟ terpimpinlah aku dan mereka yang lain menuju kepada pemikiran kritis dan kecintaan kepada pemahaman yang utuh. Segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Penulisan-penulisanku adalah bukti kepada kenyataanku ini. Segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah yang menyelamatkan aku dari kesesatan, penyelewengan dan kebatilan dari golongan jadong yang berperwatakan agamawan. Mereka semua merosakkan agama ini dengan kedunguan yang didorong hawa nafsu, falasi, bias dan kebiadaban terhadap manhaj ilmu, budaya ilmu, medan intelektual dan kebenaran. Ya Allah! Wahai Yang mendengarkan rintihan hamba-Nya! Tetapkanlah jiwaku agar tidak cenderung dan terpesong kepada kebejatan mereka.

Segala puji bagi Allah. Segala puji bagi Allah. Dengan bantuan-Nya dan dengan kemampuan-Nya❟ terhasillah penulisan-penulisan ilmiah yang menjadi bukti khidmatku terhadap ilmu, menjadi penanda aras tahap penguasaan ilmuku yang tidak akan mampu dinafikan oleh mata peneliti yang adil dan menjadi saksi pembelaan di hari akhirat kelak dalam menghadapi seteru-seteruku yang mengingkariku. Segala puji bagi Allah. Dialah Yang Maha Benar dan Dialah yang memberi hidayah kepada hamba-Nya yang Dia kehendaki.

Segala puji bagi Allah yang menzahirkan aku sebagai erotikawan yang paling berwibawa di antara mereka dalam pengetahuan agama. Segala puji bagi Allah yang dengan izin-Nya❟ aku mengungguli kebanyakan mereka yang paling tinggi pun sekadar di tahap prasederhana.

Segala puji bagi Allah yang menghindarkan aku dari menjadi sepertimana erotikawan yang lain yang ragu terhadap pemahaman dan pengamalan agama. Aku berdiri di atas hujah yang kukuh dan yakin dengan pegangankuߨ sedangkan mereka meski memperoleh banyak punޱ ia tidak menjawab pertentangan mereka. Aku memuji Allah dengan setinggi-tinggi pujian atas nikmat ini.

Segala puji bagi Allah. Dia adalah cahaya atas cahaya. Dialah yang menerangi mataku dan mindaku untuk melihat sudut ilmu dan hujah yang ampuh yang tidak digapai oleh sesiapaku dari kalangan ahli ilmu sebelumku. Sehingga sudut itu yang aku menegakkannya tidak mampu dipatahkan walau bagaimana kerasnya usaha untuk dilakukan sedemikian. Sehingga inti yang aku ekstrak daripadanya sesungguhnya manis manfaatnya dan direbut dalam mencicip rasanya dengan tamak. Benar-benar Dialah yang akan meninggikan darjat kepada sesiapa yang Dia kehendaki yang melangkaui jangkaan hamba-Nya. Segala puji bagi Allah. Aku berdoa agar kesemua nikmat ini bukanlah istidraj daripada-Mu.

Segala puji bagi Allah yang menanamkan benih kecintaanku pada para ulama dan menggenangkan kelazatan dalam jantungku dalam menikmati ketepatan dan kritis pandangan mereka yang didasari metodologi ilmu yang mapan, manhaj yang lurus serta ketangkasan dalam pemikiran serta menjadi pembela bagi autoriti ilmu mereka dalam arena agama. Semoga Dia sentiasa membimbingku dan membawaku istiqamah di atas haluan yang benar serta menyelamatkan aku dari kesesatan serta pendorongnya sama ada yang aku menyedarinya atau yang di luar kesedaranku.

Segala puji bagi Allah. Dengan bimbingan-Nya❟ berjayalah aku menghasilkan karya «Merungkai Paradoks Antara Ketetapan Takdir Dengan Kebebasan Ikhtiar Manusia» yang mampu menjernihkan kefahaman mereka yang terkeliru dan bingung pertentangan takdir yang telah tetap sejak azali dan kebebasan pilihan manusia dalam memilih hala tuju hidupnya dengan penjelasan yang mudah, ringkas dan mesra kepada walau yang bukan ahli falsafah pun.

Segala puji bagi Allah yang membukakan khazanah melalui tanganku untuk meleraikan pergelutan dalam isu lama yang masih menjadi polemik yang tidak berkesudahan sehingga yang terbabas di antara mereka menjadi orang yang mengingkari tuhan kerana terhijab dari pemahaman sebenar. Segala puji bagi Allah yang menerangi alam ini dengan cahaya bintang yang bergermelapan.

Segala puji bagi Allah. Akulah antara pembela Abū Saᓫīd ad-Dārimiyy dari tuduhan mujassim atau korporealis terhadapnya dengan memberikan jawapan balas secara kritis yang selayaknya dengan kefahaman salaf sebenar terhadap beberapa kutipan teks yang bertujuan untuk memalitkan namanya dengan kekotoran. Dengan pertolongan-Nya dan pimpinan-Nya❟ terhasillah karyaku yang berjudul «Ilham Bersemi Yang Menepis Tuduhan Mujassim Terhadap Abū Saᓫīd ad-Dārimiyy» yang pertama di dunia yang memberikan jawapan tuntas bagi membelanya. Sedangkanߨ selainku dari kalangan salafi masih terpinga-pinga dan terkelu lidahnya untuk membentangkan jawapan balas yang memadamkan syubhat para penuduh nan nista terhadapnya. Setinggi-tinggi pujianku kepada Allah atas kelebihan yang Dia lebihkan padaku daripada orang lain.

Segala puji bagi Allah. Dialah yang menganugerahkan kekuatan padaku untuk menghasilkan judul «Teguh Menyerlah Dalam Isbat Huruf Dan Suara Bagi Kalam Allah» yang mungkin pertama di nusantara yang membahaskan secara komprehensif dalam membela pandangan ḥanbalianߨ seterusnya aliran ahli sunnah secara umum dalam menegakkan hujah bahawa kalam Allah itu berhuruf dan bersuara. Segala puji bagi Allah. Segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah. Dengan cahaya-Nya❟ aku mampu melihat salah guna dan eksploitasi serta jenayah dalam penggunaan kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^iᓫ₎؛ iaitu penghadang haluan kerosakan secara sewenang-wenangnya yang tidak disedari oleh ramai agamawan atau mereka yang memandang ringan terhadapnya.

Segala puji bagi Allah. Dengan kekuatan-Nya❟ aku mampu membongkar kejelekan mereka, taktik mereka yang kotor lagi licik dan mencantas kebobrokan mereka dengan hujah ilmiah. Segala puji bagi Allah. Aku mengharapkan pendedahan ini menjadi inspirasi kepada selepasku agar ia dibawa peringatan secara meluas dan tegas terhadap salah laku orang yang menggunakan kaedah ini.

Segala puji bagi Allah. Meski mengunakan cara fundamentalis, ortodoks, tradisionalis atau apa sahaja yang menjadi label ejekan golongan liberalߨ aku mampu membuktikan bahawa liwat tidaklah haram tanpa aku menagih takwil yang batil dari para liberal yang jahil terhadap manhaj ilmu tulen dalam agama ini dan begitu tampak dalam menentangi syariat agama ini dengan kebodohan dan hawa nafsu. Pasti golongan liberal akan tergamam terpesona melihat pembentanganku dari seorang yang menjadikan ortodoks dan fundamentalis sebagai dasar serta berpaut dengan pembentangan aku. Segala puji bagi Allah.

Segala puji bagi Allah. Aku memuji kepada Allah dengan setinggi-tinggi pujian kerana memaparkan kesilapan yang ada pada diriku dalam sesuatu pandangan atau penghujahan, mencerahkan mataku untuk mengamatinya, melenturkan jantungku untuk mengakuinya dan mendorongkan semangatku untuk meninggalkannya, memadamkan kedegilan pada diriku serta mencantas ketaksuban dalam diriku.

Aku memohon ampun kepada-Nya atas kesilapan yang telah aku perbuat dan aku memohon kepada sesiapa sahaja yang terjebak dalam kesilapan yang sama sepertikuߨ lebih-lebih lagi tanpa dia sedar. Wahai tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Pendengar! Ampunilah aku dan mereka yang mengambil pandangan tersebut, namun tidak menyedarinya.

Aku mengharapkan kebaikan daripada kesilapan ini agar ia menjadi pelajaran berguna sepanjang perjalananku dalam meneroka ilmu dan membina kefahaman agar aku tidak jatuh ke lubang yang sama kali kedua atau lebih menekuni dalam mencerapi sesuatu maklumat dan analisis atau lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan.

Semoga Dia terus melembutkan jiwaku agar sentiasa mengakui kesilapan itu jika ada dan melimpahkan kekuatan dalam dadaku untuk aku berubah serta sentiasa menyelamatkan aku daripada kerosakan terhadap diriku sendiri, bidang ilmiah dan orang sekeliling.

Segala puji bagi Allah dengan segenap pujian yang melimpah lagi tidak terbilang. Dialah yang memimpinku kepada kebenaran yang diyakiniߨ lalu memperkenalkan kepadaku ahlinya yang beriltizam di atas jalan tersebut, kemudian bertunas cintaku pada mereka, bertambah kehormatanku pada mereka dan semakin utuh kebanggaanku dengan kewujudan orang seperti mereka.

Meskipun aku dan mereka ada perbalahan, perselisihan dan perlawanan dalam beberapa isu sama ada yang mendasar atau rantingޱ kita tetap di atas manhaj yang sejati dan bersama-sama mengharapkan agar Allah memberkati perhubungan persaudaraan kita, memperbaiki kelemahan kita, membentangkan kebenaran terhadap perselisihan kita dan bersama-sama mengharapkan agar menjadi sahabat di syurga kelak.

Semoga Allah memperkenankan permintaan murni kami ini. Segala puji bagi Allah yang mewujudkan orang seperti mereka yang menjadi penguat lagi penyokong kepada pendirianku, menjadi teman seperjuangan, sifu yang diambil manfaat daripadanya dan bersama-sama menentang musuh agama yang merosakkan sama ada dari luar dan dalam.

Segala puji bagi Allah yang melenturkan jantungku untuk terbuka dengan pelbagai aliran supaya pengamatanku dalam sesuatu topik, perbahasan dan isu menjadi luasߨ lalu aku mengambil manfaat dari butir-butir mutiara itu meskipun dari aliran yang berbeza atau aliran yang kebanyakan orang mengecamnya. 

Segala puji bagi Allah yang memberikan ketabahan jiwaku untuk tidak mendiskriminasi mana-mana input yang baik, bermanfaat dan berguna meskipun daripada seteruku, pendukung aliran yang berbeza dan orang yang fasik. Malahߨ Dialah yang melusuhkan permusuhan yang membisakan sehingga kami dapat menjadi teman, sama-sama mengambil manfaat dan sama-sama menguatkan antara satu sama lain sama ada melalui motivasi, kerancakan ilmiah dan perjuangan untuk objektif yang murni sekalipun memiliki pergeseran yang berbahang dalam berbicara tentang perbezaan pandangan. 

Segala puji bagi Allah. Semoga Allah sentiasa menjadikan kami orang yang menolak keburukan dengan cara yang terbaik sehingga kami adalah seolah-olah teman yang erat dan semoga Allah memberikan kesabaran untuknya dan peluang yang besar untuk menjayakannya.

Segala puji bagi Allah. Dengan kelurusan kefahaman tentang riyak, ujub, syukur, tawaduk dan kesombongan❟ aku dapat menzahirkan kesyukuran dan menyebut-nyebut kenikmatan sebanyak-banyaknya yang terbebas dari sisipan riyak, ujub, berlebih-lebihan dan dusta dengan izin-Nya dan mudah-mudahan hakikatnya sedemikian sepertimana yang telah dilakukan oleh ahli ilmu yang berwibawa sebelumku seperti Ibn al-Jawziyy dalam «Dafᓫ Šubah at-Tašbīh Bi Akaff at-Tanzīh» yang mengakhiri penulisannya dengan mendendangkan syair yang menyisipkan puji-pujian pada dirinya sehabis-habisnya bersama kesyukuran.

Begitu juga as-Suyūṭiyy dalam «Ḥusn al-Muḥāḍoroẗ Fī Tārīẖ Miṣr Wa al-Qōhiroẗ» yang menyebutkan bahawa dirinya telah dilengkapi dengan ilmu alat yang menyampaikannya ke kedudukan mujtahid sambil menyatakan pujian kepada Allah. 

Begitu juga Aḥmad al-Ġumāriyy melalui kitabnya yang «al-Baḥr al-ᓫAmīq Fī Marwiyyāt Ibn aṣ-Ṣiddīq» yang memuatkan biografi dirinya dan memasukkan kelebihan dirinya di dalamnya. Begitu juga adiknya; ᓫAbdullah yang menyebut beberapa dapatan kelebihan yang ada pada dirinya melalui karyanya «Sabīl at-Tawfīq Fī Tarjamaẗ ᓫAbdillah Ibn aṣ-Ṣiddīq». 

Begitu juga adiknya; ᓫAbdul ᓫAzīz melalui karyanya «Taᓫrīf al-Mu^tasī Bi Aḥwāl Nafsī» yang banyak menceritakan kelebihan dan keupayaan dirinya. Begitu juga dengan ᓫAbdullah bin ᓫAbdul Qōdir at-Talīdiyy; tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah ⁃ṣollallāhu ᓫalayhi wa ālihi wasallam⁃ melalui kitabnya «Ḏikriyyāt Min Ḥayātī». 

Begitu juga Maḥmūd Saᓫīd Mamdūḥ pada 11 November 2020 di hantaran Facebook miliknya yang menyebut-nyebutkan nikmat Allah yang dianugerahkan kepada dirinya sepertimana yang saya lampir di penulisan saya yang berjudul «Seloka Yang Mampu Merombak Kefahaman Syukur, Tawaduk, Ujub, Riyak dan Takabbur».

Dengan limpah kefahaman yang Dia isikan dalam jantungku❟ dapatlah aku menjiwai ungkapan mereka tanpa memandang dengan perasaan nista walau sebesar zarah pun terhadap pujian diri mereka bersama kesyukuran kepada Allah dan dapatlah aku mencontohi mereka dengan cara yang sebenarnya. Segala puji bagi Allah. Seluruh umur hidupku ini tidak akan sama sekali mampu mencukupkan pujian yang selayaknya dengan kemuliaan-Mu.

Segala puji bagi Allah. Apa yang mereka lakukan benar-benar menjadi inspirasi untuk aku melakukan yang sama. Segala puji bagi Allah. Kemudian, segala puji bagi Allah. Kemudianߨ segala puji bagi Allah.

Ya Allah! Wahai tuhan yang Maha Mendengar lagi yang memperkenankan doa hamba-Nya yang tulus. Aku bertawassul dengan amalan kebaikan ini agar ditambahkan nikmat yang berupa kebaikan dan manfaat di dunia dan di akhirat. Jadikanlah aku dengan sebab amalan ini❟ aku terus menerus menjadi hamba yang bersyukur dan sentiasa menzahirkan kesyukuran dengan ketaatan yang ikhlas.

Wahai Yang Maha Pengasih yang dirindui oleh mereka yang mencintai-Nya! Tetapkanlah aku di atas jalan kebenaran yang menghindari aku dari menjadi ahli syirik, pengikut hawa nafsu, pejuang bidaah dan yang memenuhi jiwa dengan sifat yang tercela. Wahai Yang Maha Mendengar hajatku! Aku berlindung dari doa kebaikan di dunia dan di akhirat yang tidak dikabulkan, nafsu yang tidak kenyang, pandangan yang memperdaya dan amalan yang tidak diterima. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Dekat lagi Maha Mengawasi terhadap hamba-Nya.

No comments:

Post a Comment