Tuesday, November 17, 2020

Kaedah Fiqh "Asal Penyelisihan Terhadap Syariat Adalah Dosa Dan Batal"

Kaedah fiqh menyebutkan bahawa :

الأصل في المخالفة على الشريعة الإثم والبطل

"Asal penyelisihan terhadap syariat adalah dosa dan tertolak".

Yang bermaksud bahawa apa-apa sahaja perkataan dan perbuatan yang menyalahi syariat pada asalnya mampu menatijahkan kepada dosa dan batal. Dosa di ini adalah sesuatu yang syariat memberikan hukuman terhadapnya sama ada fasik atau kafir. Batal di sini adalah merujuk kepada kategori hukum waḍ*iyy.

Dalil yang pertama untuk hal ini adalah :

حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ ، حَدَّثَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ سَعْدٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ مُحَمَّدٍ ، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ " .

Ya*qūb telah merawi hadis kepada kami; Ibrōhīm bin Sa*d telah merawi hadis kepada kami, daripada ayahnya, daripadaal-Qōsim bin Muḥammad, daripada *Ā^išah -roḍiyallahu *anhā- , dia berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- bersabda: "Barangsiapa yang membuat perkara baharu yang tidak ada dalam urusan kami ini, maka ia tertolak". [Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, kitāb aṣ-Ṣulḥ, no. 2512].

Oleh itu, sesiapa sahaja yang mengada-adakan bidaah, maka hal tersebut bukan sahaja tertolak dalam penilaian bahawa itu ialah sesuatu yang baik, bahkan hal itu tidak sah dikerjakan. Penolakan di sini pada asalnya bersifat mutlak dan menyeluruh.

Dalil yang kedua untuk hal ini ialah :

أَخْبَرَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ دَاوُدَ ، قَالَ : أَخْبَرَنَا ابْنُ وَهْبٍ ، قَالَ : أَخْبَرَنِي يُونُسُ ، عَنِ ابْنِ شِهَابٍ ، قَالَ : أَخْبَرَنِي عُرْوَةُ ، عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ : قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَطَبَ النَّاسَ ، فَقَالَ : " يَا مَعْشَرَ الْمُسْلِمِينَ ، مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَشْتَرِطُونَ شُرُوطًا لَيْسَتْ فِي كِتَابِ اللَّهِ ، مَنِ اشْتَرَطَ شَرْطًا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ ، وَإنِ اشْتَرَطَ مِائَةَ مَرَّةٍ فَلَيْسَ لَهُ ، شَرْطُ اللَّهِ أَحَقُّ وَأَوْثَقُ " .

Sulaymān bin Dāwud telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Ibn Wahb telah merawi khabar kepada kami, dia berkata; Yūnus telah merawi khabar kepadaku, daripada Ibn Šihāb, dia berkata; *Urwah telah merawi khabar kepadaku, daripada *Ā^išah, dia berkata; Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-  bangun dan memberikan khutbah kepada manusia: "Wahai sekalian kaum Muslimin! Apakah di dalam fikiran kaum yang membuat syarat-syarat yang tidak ada di dalam kitab Allah? Sesiapa yang membuat syarat yang tidak ada di dalam kitab Allah sekalipun dia membuat seratus syarat, tetapi tidak ada di dalamnya, maka syarat Allah adalah lebih benar dan lebih berkredibiliti" [An-Nasā^iyy dalam as-Sunan al-Kubrō, no. 9654].

Mana-mana syarat yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah rasul, maka hal tersebut terbatal dan tidak layak ditaati, dilaksanakan dan diamalkan. Islam adalah membawa kebaikan yang menyeluruh, mustahil ada hal yang dianggap kebaikan dan maslahat tidak disentuh dalam agama ini. Maka, mana-mana yang menyalahi kitab Allah dan sunnah rasul, hal tersebut tertolak dan tidak diterima.

Dalil yang ketiga untuk hal adalah :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَهَّابِ ، حَدَّثَنَا أَيُّوبُ ، عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ سَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " مَنْ أَحْيَا أَرْضًا مَيْتَةً فَهِيَ لَهُ وَلَيْسَ لِعِرْقٍ ظَالِمٍ حَقٌّ "

Muḥammad bin al-Muṯannnā telah merawi hadis kepada kami; *Abdul Wahhāb telah merawi hadis kepada kami; Ayyūb telah merawi hadis kepada kami, daripada Hišām bin *Urwah, daripada ayahnya, daripada Sa*īd bin Zayd, daripada Nabi -ṣollallahu *alayhi wasallam-, baginda bersabda: "Sesiapa yang menghidupkan tanah yang mati, maka itu adalah miliknya. Tidak ada hak bagi urat yang zalim". [Sunan Abū Dāwud, kitāb al-H̱orōj Wa al-Imāroh Wa al-Fay^i, no. 2674].

Melalui dalil ini, orang yang mendapatkan tanah secara zalim bukan sahaja berdosa, bahkan pemilikannya tidak sah. Oleh itu, asal perbuatan yang menyalahi syariat, maka hal tersebut bukan sahaja menatijahkan dosa, tetapi ia juga menatijahkan pembatalan.

Namun, ada juga perbuatan-perbuatan yang dianggap dosa, tetapi ia tidak terbatal dari segi hukum waḍ*iyy. Misalnya, seseorang menyerahkan pemilikan tanah kepada orang yang membuat kerosakan di muka bumi, sekalipun penyerahmilikan itu sah, tetapi ia berdosa terhadapnya.

*Abdul Malik bin *Abdul Roḥmān as-Sa*diyy berkata :

البطلان والفساد: هل هما مترادفان؟ فيها رأيان. أحدهما: هما مترادفان. وبه قال الحنابلة والشافعية وجمهور الأصوليين. وثانيها: متباينان. وبه قال أبو حنيفة: إذ الباطل عنده ما لم يشرع بالكلية كبيع الميتتة والخنزير. أما الفساد فهو شرع في أصله وامتنع لاشتماله على وصف محرَّم كالربا. أما الجمهور: فما حرم لأصله أو لوصفه باطل وفاسد. ويترتب على ذلك مسائل: إذا قبض العين في العقد الباطل فإنه لا يملكها. وإذا قبضها في الفاسد ملكها. والباطل في النكاح ما كان مجمعا على بطلانه. والفاسد المختلف فيه يثبت له أحكام الصحيح. الخلوة في النكاح الفاسد تكون محل الصداق كالصحيح. عدة الوفاة في النكاح تجب. وقال ابن حامد: لا عدة عليها. الطلاق في النكاح الفاسد يقع في قول أكثر الحنابلة ولا يصح عند أبي الخطاب حتى يعتقد صحته.

"Batal dan rosak: Adakah kedua-duanya sama? Padanya terdapat dua pandangan. Salah satunya adalah kedua-duanya adalah sama. Ḥanbaliyy, aš-Šāfi*iyy dan kebanyakan ahli uṣūl berpandangan pada hal ini. Kedua, kedua-duanya berbeza. Abū Ḥanīfah berpandangan pada hal ini memandangkan batal di sisinya adalah apa yang tidak disyariatkan secara keseluruhan seperti jual beli bangkai dan khinzir. Adapun, yang rosak, maka ia adalah syariat pada asalnya dan tertegah secara keseluruhannya atas penyifatan pengharamannya seperti riba. Adapun menurut majoriti, maka apa yang haram kerana asalnya atau kerana sifatnya adalah batal dan rosak. Beberapa isu tersusun melalui hal itu. Apabila dia menerima barang pada akad yang batal, maka sesungguhnya dia tidak memilikinya. Apabila dia menerimanya pada yang rosak, maka dia memilikinya. Dan yang batal pada pernikahan adalah apa yang disepakati pada batalnya. Yang rosak adalah yang diperselisihkan padanya yang sabitnya hukum-hukum yang sahih padanya. Khalwat pada nikah yang rosak mewajibkan mas kahwin sepertimana nikah yang sahih. Iddah yang sempurna pada pernikahan tersebut adalah wajib. Berkata Ibn Ḥāmid tidak ada iddah padanya. Talak pada pernikahan nikah yang rosak adalah boleh terjadi menurut pendapat kebanyakan Ḥanbaliyy. Tidak sahih menurut Abū al-H̱oṭṭōb sehingga dia percaya keabsahannya". [Namāḏij Min al-Qowā*id al-Fiqhiyyah Wa al-Uṣūliyyah Ma*a Ba*ḍ at-Taṭbīqōt al-Far*iyyah *Alayhā Wa Yalīh al-Furūq al-Fiqhiyyah. m/s 127, keluaran Dār al-Fatḥ Li ad-Dirōsāt Wa an-Našr].

Saya cenderung dengan pendapat bahawa adakalanya batal dan rosak wujud bersamaan dan kadangkala perlu dibezakan antara batal dan rosak kerana ia adalah bertepatan dengan realiti. Cuma, pembezaan saya adalah yang batal, sekaligus merosakkan adalah apabila ia adalah asal larangan bagi syariat, manakala yang rosak, tetapi tidak membatalkan adalah penyifatan pada pengharamannya atau yang mendatang yang bukan asas daripada jual beli itu sendiri. 

Misal yang tidak batal, tetapi merosakkan adalah pada asalnya, menjual senjata tidaklah haram, tetapi apabila kita menjual senjata itu kepada musuh Islam, maka ini adalah jual beli yang sah, tetapi rosak, iaitu haram. Ini kerana penyifatan pada jualan kepada musuh Islam itulah yang menyebabkan pengharamannya, bukan kerana musuh Islam itu sendiri. Misal yang batal dan merosakkan adalah jual beli barang yang bukan kepunyaannya. Maka, yang menjadi sebab batalnya adalah kerana ia adalah sabit dari larangan asalnya yang menjadi teras kepada syarat jual beli.

Seperti itulah dalam kes pemberian geran tanah kepada orang yang zalim. Ia adalah sah pada kerana memenuhi syarat akad penyerahan, tetapi haram kerana sifatnya dalam akad tersebut, iaitu kezaliman.

No comments:

Post a Comment