Friday, November 6, 2020

Tersalah Menghalalkan Sesuatu Lebih Baik Dari Tersalah Mengharamkan Sesuatu

Kita sedia maklum dalam kehakiman bahawa tersalah melepaskan hukuman lebih baik daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Bukanlah kata-kata ini bermakna kita bermudah-mudahan untuk memberi maaf kepada orang lain atau bersikap longgar dalam urusan kehakiman, namun jika ditimbang antara tahap keseriusan kesalahan, maka tersalah melepaskan hukuman lebih kurang seriusnya berbanding tersalah menjatuhkan hukum.

Mengapa tersalah melepaskan hukuman ditimbang lebih kurang seriusnya berbanding tersalah menghukum orang lain? Ini kerana dalam Islam, apabila seseorang yang mengaku dirinya berzina, maka ada lebih baik menghindarkan diri dalam perbicaraan mahkamah. Jika pengaku itu berkeras juga, kemudian dia dijalani hukuman had, lalu tidak mampu menanggung hukuman tersebut, maka tidak boleh meneruskan hukumannya. Sebaliknya, lepaskan dia dan tidak perlu lagi mengganggunya. Lihat kisah berikut :

حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ قَالَ : حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بْنُ سُلَيْمَانَ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ : حَدَّثَنَا أَبُو سَلَمَةَ ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : جَاءَ مَاعِزٌ الأَسْلَمِيُّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : إِنَّهُ قَدْ زَنَى ، فَأَعْرَضَ عَنْهُ ، ثُمَّ جَاءَ مِنْ شِقِّهِ الآخَرِ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّهُ قَدْ زَنَى ، فَأَعْرَضَ عَنْهُ ، ثُمَّ جَاءَ مِنْ شِقِّهِ الآخَرِ ، فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّهُ قَدْ زَنَى ، فَأَمَرَ بِهِ فِي الرَّابِعَةِ ، فَأُخْرِجَ إِلَى الحَرَّةِ فَرُجِمَ بِالحِجَارَةِ ، فَلَمَّا وَجَدَ مَسَّ الحِجَارَةِ فَرَّ يَشْتَدُّ ، حَتَّى مَرَّ بِرَجُلٍ مَعَهُ لَحْيُ جَمَلٍ فَضَرَبَهُ بِهِ ، وَضَرَبَهُ النَّاسُ حَتَّى مَاتَ ، فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ فَرَّ حِينَ وَجَدَ مَسَّ الحِجَارَةِ وَمَسَّ المَوْتِ ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هَلَّا تَرَكْتُمُوهُ

Abū Kuroyb telah merawi hadis kepada kami, dia berkata *Abdah bin Sulaymān telah merawi hadis kepada kami Daripada Muammad bin *Amr, dia berkata Abū Salamah telah merawi hadis kepada kami Daripada Abū Huroyroh, dia berkata Datang Mā*iz al-Aslamiy kepada Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wasallam-, lalu dia berkata bahawasanya dia berzina. Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wasallam- pun berpaling daripadanya. Kemudian, dia datang dari arah lain, lalu berkata: "Wahai Rasulullah", sesungguhnya dia berzina. Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wasallam- pun berpaling daripadanya. Kemudian, dia datang dari sudut lain, lalu berkata: "Wahai Rasulullah" sesungguhnya dia berzina. Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam- memerintahkan rejaman kepadanya pada yang keempat. Lantas, dia pun dibawakan ke tanah lapang, lalu direjam dengan batu. Ketikamana dia terkena batu, dia pun lari kerana kesakitan sehingga dia melewati seorang lelaki yang membawa tulang dagu unta. Lelaki itu pun memukulnya dan orang ramai memukulnya sehingga mati. Lantas, mereka menyebutkan kepada Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wasallam- bahawasanya dia lari ketika dia terkena batu dan dia pun telah mati. Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wasallam- berkata: "Kenapa kalian tidak membiarkannya?". [Sunan at-Tirmiḏiyy﹇Kitāb Abwāb al-udūdno. 1412].

Yang jelas bersalah melalui pengakuan pun mendapat pelepasan apabila tidak mampu menanggung seksaan dalam hukuman. Cuba bayangkan bagaimana jika seseorang itu sebenarnya tidak bersalah, tetapi kalah dalam perbicaraan mahkamah, kemudian dijatuhi hukuman. Bagaimana keadaannya orang tersebut yang tidak dapat melepaskan diri meskipun separuh mati menanggung sakit ketika hukuman dijalankan?

Malah, dalam ajaran Islam juga, apabila berlaku pertikaian, lebih elok diselesaikan di luar mahkamah selagimana bukan melibatkan urusan yang besar merangkumi rakyat jelata kebanyakan atau negara atau seumpamanya.

حَدَّثَنَا عَفَّانُ ، حَدَّثَنَا وُهَيْبٌ ، حَدَّثَنَا ابْنُ طَاوُسٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ صَفْوَانَ بْنِ أُمَيَّةَ ، أَنَّهُ قِيلَ لَهُ : لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ هَاجَرَ ، قَالَ : فَقُلْتُ : لَا أَدْخُلُ مَنْزِلِي ، حَتَّى آتِيَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْأَلَهُ ، فَأَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ هَذَا سَرَقَ خَمِيصَةً لِي لِرَجُلٍ مَعَهُ فَأَمَرَ بِقَطْعِهِ ، فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، فَإِنِّي قَدْ وَهَبْتُهَا لَهُ ، قَالَ : فَهَلَّا قَبْلَ أَنْ تَأْتِيَنِي بِهِ

*Affān telah merawi hadis kepada kami Wuhayb telah merawi hadis kepada kami Ibn ōwūs telah merawi hadis kepada kami Daripada ayahnya Daripada ofwān bin Umayyah, bahawasanya dikatakan kepadanya: "Tidak masuk syurga kecuali orang yang berhijrah". Aku berkata: "Aku tidak masuk ke rumahku sehingga aku datang kepada Rasulullah -ollallāhu *alayhi wasallam-, lalu aku bertanya kepadanya. Aku datang kepada Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam-, lalu berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang ini yang mencuri kain milik aku untuk teman yang bersamanya. Baginda pun memerintahkan untuk memotong tangannya. Aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah memaafkannya. Baginda berkata: Mengapa tidak sebelum membawakannya kepadaku?. [Musnad Amadno. 15081].

Sebab utama tidak boleh diringkan hukuman atau dilepaskan hukuman apabila kes tersebut telah dibawa ke mahkamah adalah kerana menjaga imej keluhuran mahkamah. Ini kerana apabila mahkamah menjadi tempat mudahnya menerima rayuan atau kemaafan sewenang-wenangnya, institusi kehakiman boleh tercemar dan tercalar.

Sebab itulah prinsip kehakiman perlu tegas apabila telah sampai kesnya di mahkamah. Jika ia sekadar isu remeh, tidak perlu dibawa ke mahkamah. Dan jangan pula kita menjadi orang yang ingin menconteng arang ke institusi pengadilan.

Apapun, yang jelas bersalah pasti akan dipotong tangannya jika cukup nisabnya. Bagaimana pula yang tidak bersalah, tetapi tidak menang dalam mahkamah? Seluruh umurnya menanggung dalam keadaan tangannya yang dikudung secara zalim.

Daripada dua hadis ini, jelas bahawa benarnya kenyataan tersalah melepaskan hukuman lebih ringan fatalnya berbanding tersalah menjatuhkan hukuman. Ini kerana prinsip utama dalam kehakiman adalah setiap orang tidak bersalah selagimana tidak ada keraguan yang munasabah atau bukti yang meyakinkan. Jika tidak berjaya dibuktikan, maka hukuman tidak boleh dijatuhkan kerananya.

Maknanya, Islam lebih mahu dapat melepaskan seseorang berbanding mengheret seseorang ke dalam hukuman. Sekurang-kurangnya, apabila tersalah melepaskan hukuman, semestinya ia tidak akan terlepas daripada hukuman Allah di hari akhirat kelak bagi orang yang teguh keyakinannya. Sekurang-kurangnya, apabila tersalah melepaskan hukuman, maka ia selamat dari kemungkinan berlaku zalim terhadap sesuatu yang belum pasti.

Kemudian, Islam sangat menekankan penjagaan hak kemanusiaan. Islam tidak mahu manusia ini dirampas haknya dari mana-mana sudut. Ini kerana perampasan hak sesungguhnya akan merugikan manusia secara individu atau sekeliling sehingga mampu menyebarkan dan mewariskan ketidakadilan. Sebab itulah tidak boleh merampas nyawa seseorang melainkan dengan cara yang benar. Firman Allah *Azza Wa Jalla :

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

"Dan janganlah kalian membunuh nyawa yang Allah mengharamkannya melainkan dengan cara yang benar. Sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka Kami menjadikannya walinya sebagai penguasa. Lalu, janganlah ia melampaui dalam pembunuhan. Sesungguhnya dia benar-benar akan ditolong". [Surah al-Isrō^ ayat 33].

Nyawa yang dihilangkan kerana tersalah penghukuman adalah sesuatu yang serius. Tidak ada apa lagi yang mampu menggantikannya atau mengembalikannya. Sekurang-kurangnya jika terlepas, ia tidak mendekati kemungkinan yang memihak kezaliman bagi kes yang belum terbukti kesalahannya dan akan ada peluang kedua dengan izin Allah untuk wujudnya bukti yang baru sama ada benar atau tidak salah lakunya. Jika hakikatnya dia bersalah, lalu bertaubat dengan sebenar-benarnya, maka keampunan Allah menantinya dengan izin-Nya.

Bagaimana jika yang tidak bersalah terus dijatuhi hukuman mati? Kalau ada bukti baru yang menunjukkan tidak bersalah, ia tidak bermanfaat lagi. Keadilan tidak lagi dapat ditegakkan. Hanya tinggal dokumentasi dan pampasan sahaja. Kemudian, andaikata si mati itu meninggalkan hutang yang belum dilunaskan? Hakim yang rugi dan si mati akan berdepan dengan masalah, tentu lagi sang warisnya juga kerunsingan.

Sekali lagi, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak memaksudkan lebih baik mendahulukan pelepasan berbanding menjatuhkan hukuman seadilnya. Saya sekadar ingin memberikan membandingkan yang mana satu lebih serius dampak seriusnya; tersalah melepaskan hukuman atau tersalah menjatuhkan hukuman. Kemudian, menegaskan dalam prinsip kehakiman supaya sentiasa peka dengan prinsip keadilan dan memiliki ketelitian yang serius dalam urusan perbicaraan.

Mungkin ada yang tertanya, apa sebenarnya motif saya membuat pendahuluan sebegini? Ini supaya saya tidak mahu pembaca akan menerima kejutan yang mengguruh di jantungnya setelah membaca tajuk. Apabila terus masuk kepada isinya, mungkin sahaja akan bertambah-tambah lagi kepedihannya. Lebih baik dapatkan gambaran konsep dahulu dalam penilaian berat antara dua kesilapan.

Lantas, bagaimana tersalah menghalalkan sesuatu lebih baik daripada tersalah mengharamkan sesuatu? Sebelum itu, apa yang saya ingin kupaskan di sini adalah intisari dari penulisan saya yang berjudul «Khuatir Fitnah Yang Membawa Fitnah». Saya bentangkan poin yang penting untuk dijadikan peringatan yang perlu diambil keutamaan.

Kita perlu tahu kaedah fiqh menyebutkan :

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

"Asal bagi tiap-tiap sesuatu adalah harus".

Maksudnya, setiap urusan kehidupan sama ada perbuatan atau percakapan adalah harus melainkan dibawakan dalil yang memalingkannya. Dengan kata lain, kita tidak boleh menisbahkannya sesuatu itu sebahagian daripada agama atau inti daripada agama melainkan ditegakkan hujahnya.

Kemudian, kita perlu tahu bahawa kaedah fiqh juga menyebutkan :

الْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ

"Yakin tidak terhapus dengan syak".

Untuk memalingkan sesuatu hukum yang telah putus petunjuk dalilnya, maka ia tidak boleh dipalingkan kepada hukum yang lain dengan syak atau ketidakcukupan keraguan yang munasabah. Contohnya, kita telah maklum bahawa asal tiap-tiap sesuatu dalam pertuturan dan perbuatan adalah harus. Ini adalah sesuatu yang diyakini dan telah putus petunjuk dalilnya.

Untuk memalingkannya, sama ada menuju kepada wajib, sunat, makruh atau haram, lebih-lebih lagi yang jelas disandarkan kepada Allah dan rasul-Nya, maka tidak boleh sama sekali dipalingkan dengan syak atau sesuatu yang belum pasti.

Yang menjadi masalah, terutamanya orang yang mengeksploitasi sewenang-wenangnya atau mengaplikasikan secara serampangan kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎; penghadang haluan kerosakan, mereka sering sahaja menegah keharusan sesuatu atas alasan untuk mengelakkan fitnah.

Tidak kiralah apa pun alasannya sama ada untuk menjaga diri dari terjebak maksiat atau mengundang rasa syahwat atau bersikap, ia semua adalah alasan yang sama ada daripada pendapat peribadi, sesuatu yang relatif, kemungkinan kecil dan yang paling teruk adalah lepas cakap tanpa berfikir.

Mereka tidak takutkah apabila menyempitkan pintu halal yang Allah dan rasul-Nya tidak menyempitkannya? Mereka ingin mengelakkan fitnah. Akan tetapi, hakikatnya mereka sebenarnya membuat fitnah terhadap Allah dan rasul-Nya serta mencemarkan agama dengan slogan pemurniaan jiwa, warak dan kembali kepada agama. Mereka menyangka buruk terhadap keharusan yang dilapangkan oleh Allah ini tanpa hujah yang kukuh.

Dengan kata lain, mereka cuba meragukan keyakinan dengan syak mereka yang berupa pendapat peribadi, sesuatu yang relatif, kemungkinan kecil dan yang paling teruk adalah lepas cakap tanpa berfikir ia akan menimbulkan fitnah dan lain-lain.

Mereka ini dengan mempergunakan ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ bersama hiasan ayat-ayat agama juga mencuba memonopoli pula persepsi ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎ kepada manusia. Bagi mereka tidak ada yang relatif atau subjektif. Semua persepsi baik dan buruk perlu absolut menurut kaca mata mereka.

Mereka ingin kawal dan mencipta dogma bahawa itu ini adalah tidak baik pada imej agama kononnya. Mereka dengan semberononya ingin berkata itu ini adalah makruh dan dicela bagi orang yang beriman jika mengkonsumsinya, memakainya, mengamalkannya atau membawa bersamanya. Hakikatnya mereka terjebak dalam apa yang Allah Tabāroka Wa Ta*ālā berfirman :

قُلْ أَرَأَيْتُم مَّا أَنزَلَ اللَّـهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّـهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى اللَّـهِ تَفْتَرُونَ

Katakanlah: "Apa pandangan kalian tentang apa yang Allah turunkan yang berupa rezeki, lalu kalian menjadikan ia adalah haram dan halal daripadanya?". Katakanlah: "Adakah Allah memberi izin kepada kalian? Ataukah kalian mengada-adakan terhadap Allah?". [Surah Yūnus ayat 59].

Selepas ini apa? Wanita tidak boleh berurus niaga kerana dikhuatiri mengundang syahwat dan menimbulkan fitnah? Wanita tidak boleh menulis buku untuk lelaki kerana dikhuatiri mengundang syahwat dan menimbulkan fitnah? Lelaki tidak boleh keluar rumah dalam keadaan bersyahwat?

Mereka rasa janggal dengan kenyataan ini? Walhal itulah yang mereka perbuat dalam banyak perkara yang lain. Habis kebanyakannya mahu diharamkan dan ditegah kononnya hendak menutup pintu kemungkaran dan fitnah. Padahal mereka tidak sedar bahawa mereka sendiri sedang menutup pintu kemungkaran dengan kunci kemungkaran dengan menyempitkan apa yang halal lagi ₍aṭ-Ṭoyyibāt₎.

Atas sebab itulah lebih baik untuk mengekalkan keharusannya berbanding kita merosakkan keyakinan hukum asalnya dengan sesuatu yang belum pasti. Meskipun kita tidak menyukainya atas dasar pandangan peribadi, bukan bermakna kita boleh melampaui batas atau cuba menjadi wakil kepada Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam- untuk menetapkan makruh atau haram bagi agama ini. Ingatlah peringatan Allah seperti berikut :

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kalian mengharamkan kebaikan-kebaikan yang Allah halalkan untuk kalian dan jangan kalian melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas". [Surah al-Mā^idah ayat 87].

Az-Zamaẖšariyy berkata :

معنى لا تُحَرِّمُوا لا تمنعوها أنفسكم كمنع التحريم. أو لا تقولوا حرّمناها على أنفسنا مبالغة منكم في العزم على تركها تزهداً منكم وتقشفاً

"Makna Janganlah kalian mengharamkan adalah janganlah kalian menegah diri kalian terhadapnya sepertimana tegahan keharaman atau kalian mengatakan: "Kami mengharamkannya untuk diri kami" secara berlebihan dengan sepenuh hati dalam meninggalkannya kerana ingin berzuhud dan hidup serba kekurangan". [Al-Kaššāf *An Ḥaqō^iq Ġowāmiḍ at-Tanzīljilid 1m/s 670keluaran Dār al-Kitāb al-*Arobiyy].

Jika sengaja menyempitkan diri seolah-olah mengharamkan sesuatu adalah tercela, bagaimana pula dengan orang yang sengaja mengharamkan atau menetapkan makruh bagi sesuatu hanya dengan sandaran syak sahaja?

Sekarang, fahamlah mengapa saya mengatakan bahawa tersalah menghalalkan sesuatu lebih baik daripada tersalah mengharamkan sesuatu? Ini kerana hukum asal harus adalah sesuatu yang pasti. Tidak boleh seseorang menyandarkan sesuatu dengan intipati agama dalam memalingkan hukumnya melainkan setelah tertegaknya hujah.

Ingatlah bahawa urusan bidaah adalah sesuatu yang besar dan berat dalam agama ini. Dampak orang yang tersalah mengharamkan sesuatu jauh lebih serius berbanding orang yang menghalalkan sesuatu. Apabila mengharamkan sesuatu, bermakna kita telah mengatakan Allah dan rasul-Nya membencinya. Bayangkan jika pengharaman ini adalah berasaskan pendapat peribadi atau dasar yang rapuh? Tidakkah ini cukup membuatkan kita merasa gerun?

Untuk yang berkaitan, kita lihat bagaimana Mohd Khafidz Soroni mengingatkan tentang pengalaman kaedah ini sewenang-wenangnya yang sebenarnya juga membawa kerosakan yang parah dalam penghukuman yang jauh lebih teruk daripada kerosakan yang disangka apabila melakukan sesuatu perbuatan dan meluruskan pengamalan kaedah ini dengan sebetulnya.

Mohd Khafidz Soroni berkata tentang isu lakaran capal Rasulullah -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam-: Sebahagian pihak mendakwa lakaran capan Nabi -ollallāhu *alayhi wasallam- boleh membawa kepada syirik. Justeru, atas dasar ₍Sadd a-arō^i*, maka hukumnya adalah tidak harus atau haram. Dakwaannya yang berkata: "Lakaran tapak capal yang didakwa milik Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam- boleh membuka pintu-pintu yang merosakkan akidah seorang muslim. Maka, pintu-pintu hendaklah ditutup rapat dan dikunci sejak awal".

Bagaimanapun, untuk mengenal pasti pintu kerosakan yang perlu ditutup, ini adakalanya hanya berbentuk ijtihad  sahaja dan tiada kesepakatan ulama terhadapnya. Dalam isu lakaran misalnya, perlu dilihat apakah faktor penyebab atau pendorong kepadanya dan apakah kesan hasil atau kesudahan daripadanya. 

Jika faktor penyebab atau pendorong kepadanya ialah untuk memuja dan mendewakan Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam-, sudah pasti ia adalah haram. Namun, ini tidak mungkin berlaku dalam kalangan orang mukmin ahli tauhid yang berilmu dan waras. Jika faktor penyebab atau pendorong kepadanya ialah untuk mentakzim dan memuliakan Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam- kerana rasa cinta dan menunjukkan rasa rendah diri terhadap baginda -ṣollallāhu *alayhi wasallam-, sudah pasti ia tidak haram. Malah, dasar mencintai Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam- lebih daripada segalanya merupakan perkara wajib yang dituntut oleh syarak.

Bagi menentukan faktor penyebab atau pendorong ini pada yang didakwa bukanlah semudah A~B~C serta bukan hanya dengan andaian dan tekaan sahaja. Akan tetapi, ia perlu kepada proses pemeriksaan dan bukti pihak terbabit. Jika tidak, maka yang berlaku hanya fitnah dan tuduhan yang tidak benar terhadapnya.

Jika faktor penyebab atau pendorong kepadanya ialah untuk bertawassul dan mengambil keberkatan dengan pemilik asal capal itu, iaitu baginda, Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam-, maka hal ini akan melibatkan isu perselisihan pendapat ulama mengenai masalah berkenaan. Dalam situasi ini, perpecahan dan permusuhan sepatutnya tidak berlaku berlandaskan kaedah :

لَا يُنكَرُ المختَلَفُ فِيهِ وَإِنَّمَا يُنكَر المُجْمَعُ عَلَيْهِ

"Tidak diingkari perkara yang diperselisihkan padanya. Akan tetapi, diingkari pada yang disepakati padanya".

Begitu juga dengan kaedah :

الْاجْتِهَادُ لَا يُنْقَضُ بِالْاجْتِهَادِ

"Ijtihad tidak boleh dirobohkan dengan ijtihad".

Justeru, dalam isu lakaran capal, pihak yang mengharamkan bertawassul dan bertabarruk sudah tentu melihat ia sebagai pintu kerosakan yang perlu ditutup. Akan tetapi, bagi pihak yang tidak mengharamkan bertawassul dan bertabarruk, lubang atau pintu kerosakan yang mana yang hendak ditutup?

Jika dilihat pula pada kesan hasil atau kesudahan daripadanya, pihak yang mengharamkannya berpendapat ia boleh membawa atau menyebabkan syirik. Namun, hakikatnya, semenjak Ibn Taymiyyah menimbulkan isu syirik bertawassul dan bertabarruk, iaitu semenjak lebih 700 tahun yang lalu, tidak pernah berlaku pun ulama ḥanafian, ulama šāfiᶜian, ulama mālikian dan lain-lain yang merupakan majoriti ahli sunnah akhirnya menyembah Nabi -ṣollallāhu *alayhi wasallam-, menjadikan baginda sebagai tuhan atau meyakini baginda boleh memberikan manfaat dan mudarat seperti tuhan. Sangat jauh sekali!

Kedudukan tawassul dan tabarruk hanyalah seperti kedudukan doa yang lain, iaitu sama ada diperkenankan oleh Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā ataupun tidak. Tiada kewajipan pada hak Allah. Dakwaan yang berkata: "Telah ada dan akan ada muslim yang meyakini lakaran capal tersebut dapat memberikan manfaat dan menjauhkan mudarat daripada dirinya" atau "Telah berlaku dan akan berlaku kerosakan akidah di mana lakaran tersebut diyakini dapat memberikan manfaat dan menjauhkan mudarat kepada orang yang memakainya".

Ia hanya sekadar andaian dan terjahan kepada perbuatan ahli tauhid yang bertawassul dan bertabarruk, bukan hakikat sebenar perbuatannya. Atau tuduhan hanya layak ditujukan kepada orang jahil yang bukan di atas jalan ahli sunnah yang sebenar dalam hal ini. Ini kerana tabarruk bermaksud mencari tambahan kebaikan daripada Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā atau mengharapkan terhasilnya kebaikan daripada-Nya melalui jalan asbab.

Justeru, menurut pandangan ahli sunnah, zahir perbuatannya menunjukkan dia telah mengambil suatu sebab dan ikhtiar dengan pengharapan kepada Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā agar Dia memberikan manfaat dan menjauhkan mudarat daripada dirinya. Hukumnya sama seperti keharusan mengambil ubat atau penawar bagi sesuatu penyakit sebagai asbab, usaha dan ikhtiar penyembuhan. Akan tetapi, bukan mempercayai dan meyakininya kerana yang menyebuhkan hanyalah Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā sahaja.

Pengambilan asbab ini merupakan konsep umum tawassul dan tabarruk sebagaiaman yang disepakati oleh para ulama berdasarkan berbagai-bagai dalil, termasuk hadis sahih riwayat al-Buẖōriyy dan Muslim tentang tawassul tiga orang yang terperangkap dalam gua dengan amalan masing-masing.

Mereka yang mendakwa lakaran ini adalah permulaan kepada penyembahan berhala hanya merupakan satu pendekatan pemikiran ekstrim dan picu kepada asas fahaman khawarij moden! Walhal sejak lakaran capal ini dipopularkan oleh ulama kurun ketujuh Hijrah seperti al-Ḥāfiẓ Abū al-Yumn Ibn *Asākir dan lain-lain dalam kurun ketujuh Hijrah hingga zaman sekarang ini, tidak pernah pula disaksikan ahli tauhid ahli sunnah telah syirik menyembah selain Allah Subḥānahu Wa Ta*ālā disebabkan olehnya. Bagaimanapun, ironinya, rasa khuatir dan paranoia terhadap khayalan ini terus dimainkan oleh para pendokong fahaman ala khawarij tersebut.

Sekiranya benar ada berlaku kesyirikan seperti yang didakwa, maka tidak pantas untuk terus dikaitkan dengan pendapat ulama ahli sunnah yang mengharuskan tawassul dan tabarruk kerana kesesatan yang berlaku adalah akibat kebodohan dan kejahilan orang terbabit, bukannya di atas jalan ilmu dan akidah sebenar ahli sunnah. Sama sebagaimana punca kemunculan fahaman-fahaman sesat dan masyarakat Islam yang berlaku dari semasa ke semasa. Semuanya bermula dari ketiadaan ilmu dan enggan mengikuti petunjuk alim ulama.

Dalam konteks di Malaysia, majoriti ulama berpegang dengan usul mazhab šāfiᶜian. Meskipun mereka tidak menolak ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎, namun ia tidak menjadi usul utama dalam mazhab. Ini berbeza dengan mazhab lain seperti mazhab ḥanbalian yang menjadikan kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ sebagai usul utama mazhab mereka.

Justeru, tidak semua perkara dalam mazhab šāfiᶜian boleh digunakan kaedah ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎. Antara syarat utama ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ adalah kemungkinan yang akan berlaku mestilah sesuatu yang berbentuk sangkaan yang kuat. Tidak hanya sekadar syak wasangka sahaja. Jika ₍Sadd aḏ-Ḏarō^i*₎ ini digunakan dalam semua perkara, nescaya banyaklah perkara yang halal akan menjadi haram.

Maka, pihak yang berpegang dengan usul mazhab ḥanbalian dan fatwa sebahagian ulama mereka seharusnya berlapang dada dalam isu lakaran capal ini. Tidak perlu mendabik dada bahawa tegurannya kepada pihak lain sebagai teguran suci dan seumpamanya. Dengan makluman, isu tawassul dan bertabarruk pada asalnya bukanlah isu yang disepakati hukumnya dalam mazhab ḥanbalian itu sendiri. [Status & Falsafah Lakaran Capal Nabi -Ṣollallāhu *Alayhi Wasallam-terangkum bersama dalam judul Tabarruk Dari Perspektif Ahli Sunnah Wal Jamaahm/s 102-108ARG Training & Consultancy dengan penyesuaian teknikal dan penukilan secara makna].

Di sini bukanlah untuk memaparkan bahawa saya bersetuju dengan pandangannya dalam isu lakaran capal baginda -ṣollallāhu *alayhi wa ālihi wasallam-. Saya cuma bersetuju dengan poin besarnya tentang penerapan kaedah ini secara gampang yang hakikatnya membawa tuduhan yang berasas dan ekstrim. Ia hakikatnya adalah perbuatan dosa dengan terjahan sembarangan terhadap seseorang yang melakukan perbuatan tersebut, bahkan sehingga menyamakan orang yang berada di lorong itu sama dengan orang yang ada di destinasi tersebut.

Jika kaedah yang diaplikasikan secara gampang dalam isu lakaran capal ini menyebabkan tuduhan kepada syirik, maka yang selainnya adalah tuduhan kepada perbuatan itu haram dan pelakunya berdosa, melunturkan maruahnya sebagai muslim, melakukan kesia-siaan dan pelbagai lagi nista yang dicalitkan kepadanya.

Mereka lebih bimbang bahawa muslim terjebak dengan yang haram atau yang mencemarkan maruahnya. Namun, tuduhan yang tidak berasaskan disebabkan pengaplikasian kaedah ini secara sewenang-wenangnya juga adalah sesuatu yang haram dan mencemarkan kemurniaan penghukuman fiqh. Apatah lagi jika pengaplikasian kaedah ini berasaskan pandangan peribadi, tekaan, lepas cakap atau dalam kemungkinan yang lemah.

Kalaulah kita tidak bermudah-mudahan menuduh orang lain sebagai pelaku syirik dan natijahnya adalah menuduh kafir terhadap seseorang muslim yang lain, mengapa perlu sembarangan menuduh orang lain sebagai pelaku maksiat atau fajir yang mencemarkan maruah dirinya? 

Jika kita mengusahakan ruang takwil atau keuzuran bagi orang yang melafazkan kalimah kufur supaya kita tidak mengkafirkannya atau menuduhnya sebagai terkeluar dari agama atau sesat dari jalan kebenaran, mengapa tidak dilakukan yang sama untuk dosa yang lebih ringan daripada itu?

Kita sama sekali tidak menafikan orang yang terjebak dengannya atau sememangnya menghala ke sana secara sangkaan kuat. Akan tetapi, lebih baik kita tersalah dalam menghukum orang lain sebagai kekal sebagai seorang muslim atau bertauhid atau tidak melakukan kesalahan berbanding kita menghukum yang sebaliknya.

Lebih-lebih kaedah ini adalah kaedah yang diaplikasikan melihat kepada kekuatan kemungkinan. Selagimana ada kemungkinan yang terjadi, selagi itu ada kemungkinan yang tidak terjadi. Berhati-hatilah dalam menghukum seolah-olah kemungkinan itu adalah sama sepertimana hujung dosa yang lengkap syaratnya.

Sikap Orang Berakal Dalam Pemeliharaan Ketulenan Hadis

Berkata al-Aṣmu*iyy :

إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَعْرِفَ عَقْلُ الرَّجُلِ فِي مَجْلِسٍ وَاحِدٍ فَحَدَّثَهُ بِحَدِيثٍ لَا أَصْلَ لَهُ، فَإِنْ رَأَيْتَهُ أَصْغَى إِلَيْهِ وَقَبِلَهُ فَاعْلَمْ أَنَّهُ أَحْمَقُ، وَإِنْ أَنْكَرَهُ فَهُوَ عَاقِلٌ

"Jika engkau ingin mengenali kadar akal seseorang dalam suatu majlis, maka sampaikanlah kepadanya hadis yang tidak ada asal baginya. Jika engkau melihat dia terpesona dengannya dan menerimanya, maka ketahuilah bahawa dia adalah dungu. Jika dia mengingkarinya, maka dia seorang yang berakal". [Aẖbār al-Ḥamqō Wa al-Muġoffilīn, karya Ibn al-Jawziy, m/s 32, keluaran Dār al-Fikr].

Orang yang berakal menyedari bahawa ketulenan hadis merupakan dasar kepada syariat ini. Jika tidak, ia tidak lebih daripada kekosongan. Apa sahaja pendapat atau bicaranya tidak akan bermakna apa-apa jika sokongannya rapuh. Orang yang berakal beragama bukan sekadar atas dasar semangat dan sentimen semata-mata, tetapi mereka berpandukan ilmu dan berpedomankan sumber yang sahih.

Dalam ilmu hadis, antara ilmu yang paling awal kita belajar adalah syarat kesahihan hadis. Bahkan, lafaz hadis atau yang semakna dengannya yang menyebutkan :

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

"Sesiapa yang berdusta terhadapku secara sengaja, maka sediakanlah tempat duduknya dari neraka".

Sepakat ahli hadis bahawa ia adalah mutawatir. Dalam hadis yang telah terkumpul, tidak banyak hadis yang mutawatir. Namun, hadis ini berjaya merangkul tempatnya. Maknanya, sangat unik hadis ini. Maka, ada perkara yang sangat penting daripada hadis ini. Iaitu pendustaan terhadap hadis adalah sesuatu yang sangat diperingatkan dan sentiasa perlu diperingatka. Betapa besarnya kesalahan dalam pemalusan hadis sehingga ia adalah isu yang besar yang disampaikan secara mutawatir.

Sebab itulah hadis tidak boleh disabitkan daripada Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- jika adanya keterputusan sanad dan perawi yang tidak dikenali, khususnya dalam hal ehwal akidah dan hujah syariat. Ini kerana untuk menyandarkan bahawa kepercayaan atau amalan tersebut adalah sebahagian daripada agama, ia memerlukan bukti yang kuat. Sebab itulah dalam hal ehwal sejarah, terputus sanad atau wujudnya perawi yang tidak dikenali diberi kelonggaran kerana ia tidak membabitkan sandaran syariat melainkan adanya unsur yang menyalahi syariat atau kemuliaan baginda atau sebab-sebab lain yang tidak boleh hadis itu digunakan.

Sebab itulah asal bagi hadis adalah dhaif melainkan setelah cukupnya syarat bersambungnya sanad melalui perpindahan perawi yang berkredibiliti lagi berkejituan dari perawi yang berkredibiliti lagi berkejituan sehinggalah empunya kalam tanpa illah dan syaz. Mana-mana hadis yang kurang dari satu daripada syarat ini atau lebih, maka ia adalah dhaif. Dan Ibn aṣ-Ṣolāḥ berkata :

اعْلَمْ أَنَّ الْحَدِيثَ الْمَوْضُوعَ شَرُّ الْأَحَادِيثِ الضَّعِيفَةِ

"Ketahuilah bahawa hadis palsu adalah seburuk-buruk hadis dhaif". [Ma*rifah Anwā* *Ulūm al-Ḥadīṯ, m/s 98, keluaran Dār al-Fikr, tahqiq Nūruddīn *Itr].

Salah satu sebab mengapa hadis palsu dikategorikan juga dalam hadis dhaif adalah kerana ia berkongsi pada ciri-ciri hadis dhaif, iaitu tidak cukup syarat kesahihannya. Justeru, walaupun pada asalnya ia tidak layak untuk disebutkan sebagai hadis, tetapi ia tidak memenuhi kriteria kesahihan hadis, iaitu kredibiliti.

Sebab itulah tidak hairan bahawa kadangkala nāqid hadis saling berbeza penilaian perawi dalam penyebutan antara dhaif dan pendusta, walhal hakikatnya sama penilaiannya. Dengan kata lain, berbeza lafaz, tetapi sama natijahnya. Ini kerana perawi tersebut dhaif adalah sebab perawi tersebut adalah pemalsu hadis. Tidaklah dikatakan bahawa mereka sedang berselisih sama ada perawi tersebut dhaif sahaja atau pemalsu hadis.

Mari kita lihat contoh Ayyūb bin Mudrik. Dia disebutkan sebagai dhaif oleh Ya*qūb bin Sufyān al-Fārisiyy dalam al-Ma*rifah Wa at-Tārīẖ, jilid 3, m/s 61, keluaran Mu^assasah ar-Risālah, Beirut, tahqiq Akrom Ḍiyā^ al-*Umariyy dan Abū Zur*ah sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, jilid 2, m/s 258, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut. Namun, dalam masa yang sama, nāqid lain mengisyaratkan bahawa dia bukan sekadar dhaif biasa. An-Nasā^iyy menilainya sebagai orang yang ditinggalkan hadisnya dalam aḍ-Ḍu*afā^ wa al-Matrūkūn, m/s 15, keluaran Dār al-Wa*y, Halab, tahqiq Maḥmūd Ibrōhīm Zāyid. Yaḥyā bin Ma*īn menyatakan bahawa Ayyūb bin Mudrik tidak bernilai dan di tempat lain dia mengatakan bahawa dia adalah pendusta sepertimana yang dinukilkan oleh Abū Ja*far al-*Uqoyliyy dalam aḍ-Ḍu*afā^ al-Kabīr, jilid 1, m/s 115, keluaran Dār al-Maktabah al-*Ilmiyyah, Beirut, tahqiq *Abdul Mu*ṭī Amīn Qol*ajiyy. Ad-Dāroquṭniyy menilainya sebagai orang yang ditinggalkan dalam aḍ-Ḍu*afā^ wa al-Matrūkūn, jilid 1, m/s 258, keluaran Majallah al-Jāmi*ah al-Islāmiyyah al-Madīnah al-Munawwaroh. Abū Ḥātim ar-Rōziyy menyatakan bahawa dia lemah hadisnya lagi ditinggalkan sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam rujukan yang telah disebutkan. Adakah ahli hadis berselisih pada kedudukan Ayyūb bin Mudrik? Tidak sama sekali kerana pendusta sememangnya membawa hadis-hadis yang selayaknya ditinggalkan. Hadis-hadis yang ditinggalkan adalah hadis yang tidak boleh dijadikan hujah dan ia adalah ciri-ciri hadis dhaif. Mereka langsung tidak berselisih untuk meninggalkan hadisnya walaupun hanya menyebutkan sahaja.

Demikian juga dengan *Aliyy bin Qorīn. Yaḥyā bin Ma*īn, Ibn Qōni* dan Abū al-Fatḥ al-Azdiyy menyatakan bahawa dia seorang pendusta. Ad-Dāroquṭniyy dan Abū Nu*aym menyatakan bahawa dia seorang yang dhaif. Ini dinukilkan oleh al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dalam Tārīẖ Baġdād, jilid 13, m/s 510, keluaran Dār al-Ġorob al-Islāmiyy, Beirut, tahqiq Dr. Baššār *Awwād Ma*rūf. Abū Ḥātim ar-Rōziyy menyatakan bahawa dia ditinggalkan hadisnya lagi tidak ada nilai walau sesuatu sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy dalam al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, jilid 6, m/s 201, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut. Melalui hal ini, adakah ahli hadis berselisih dengan kedudukan *Aliyy bin Qorīn? Sama sekali tidak sekalipun lafaz yang diungkapkan adalah berbeza. Walaupun ad-Dāroquṭniyy dan Abū Nu*aym menyebutkannya sebagai dhaif sahaja, tetapi yang dimaksudkan kedua-duanya adalah dhaif yang layak ditinggalkan dan tidak dipercayai riwayatnya.

Inilah yang selalu sang jahil yang tidak pernah menelusuri kalam ahli hadis secara praktikal. Mereka hanya bergantung kepada istilah yang dikanunkan atau istilah yang terhad terpakai secara kesimpulan, tetapi langsung tidak melihat bagaimana realiti penggunaan dan memerhati perbandingan pelbagai kalam ahli hadis. Apabila ditemukan ahli nāqid menyebutkan "ḍo*īf jiddan" (ضَعِيف جِدًّا) dan yang lain menyebutkan "ḍo*īf" (ضَعِيف) sahaja, lalu disimpulkan bahawa ahli hadis berbeza pandangan.

Motifnya hanya satu sahaja apabila sang jahil berbuat sedemikian. Ini kerana mahu cuba selamatkan tembelang mereka yang terbungkam. Misalnya apabila tokoh kegemaran mereka dikritik kerana meriwayatkan hadis yang teruk dhaifnya, maka cara inilah yang digunakan untuk berselindung luka parah mereka.

Yang menghairankan adalah mereka ini jugalah yang berbicara tentang warak. Namun, tidakkah mereka sedar bahawa dhaif itu sebenarnya sangat hampir dengan palsu, iaitu mendekati yang haram disebarkan, apatah lagi diamalkan? Masih lagi tidak cukup hadis yang sampai secara mutawatir menggerunkannya lagi? Yang anehnya lagi, mereka ini juga yang kuat menentang tatabbu* ar-Ruẖoṣ, tetapi mereka juga sedang mengambil yang longgar dan terlalu luas.

Apabila kita berkata seperti ini, mereka berkata: "Jangan bermudah-mudahan menyamakan hadis dhaif dengan hadis palsu". Slogan ini tidak pernah dipromosi pun oleh mana-mana salaf. Yang paling diingatkan secara berterusan dan besar-besaran adalah menjaga ketulenan hadis, bukan slogan seperti ini. Dan jangan dilupakan bahawa hadis palsu juga termasuk dalam kategori hadis dhaif sepertimana yang telah disebutkan. Kemudian, mana-mana yang celik dalam ilmu hadis walau sedikit akan cakna perbezaan dhaif dan palsu. Jelaslah bahawa sebenarnya slogan ini ada motif tersendiri.

Dengan kata lain, meskipun slogan ini benar, kehendaknya adalah batil. Taktik orang sebegini untuk memandang kecil betapa krusialnya dalam agama ini untuk memelihara ketulenan hadis. Malah, ini juga adalah untuk mempertahankan kelangsungannya supaya dia tidak menanggung aib apabila menyebarkan hadis-hadis yang batil, lalu memberi alasan bahawa ia sekadar dhaif sahaja. 

Kalian lihatlah sendiri penceramah dan golongan yang sentiasa terbongkar menyebarkan hadis-hadis palsu, batil dan tidak ada asas. Bagaimana ketegasannya dalam mengingatkan orang ramai dalam memelihara ketulenan hadis? Bagaimana perhatiannya dalam membasmi hadis-hadis palsu agar orang ramai sedar tentangnya? Jarang sekali untuk dia menyebutkannya dalam kuliahnya dan pengajarannya. Sebab baginya, ia sesuatu yang boleh diambil ringan dan dipandang sepi. Sehingga ia memberi kesan kepada jiwanya untuk bersikap semberono dalam menerima dan menyampaikan hadis. Tidak hairan yang mereka ini sentiasa sahaja terbongkar menyampaikan hadis batil. Bahkan, boleh jadi di sisi mereka langsung tidak ada hadis palsu. Jika ditanya mereka, koleksi hadis palsu seakan-akan begitu sedikit, malah dipertahankan pula supaya tidak nampak ia palsu, lebih-lebih lagi jika dia dan tokoh kegemarannya terbongkar meriwayatkan yang parah darjatnya.

Malah, mereka ini selalunya beriringan bersama pendapat atau ceramah yang membodohkan akal dan menzahirkan bingainya serta penuh dengan merapu dan merepek. Sekarang kalian nampak betapa benarnya kata-kata al-Aṣmu*iy tadi.

Inilah akibat orang yang memandang kecil isu memelihara ketulenan hadis. Tidak cukup lagi status riwayatnya yang mutawatir sehingga berani untuk menjaja sana sini slogan "Jangan bermudah-mudahan menyamakan hadis dhaif dengan hadis palsu" demi memandang kecil terhadap hadis palsu dan berslogan demi menutup atau mempertahankan kebejatan diri tatkala terbongkar menyebarkan riwayat yang batil? Apabila kerapkali membawa riwayat yang batil, pasti kita akan melihat ceramahnya juga penuh dengan pengisian yang merepek lagi mengarut. Lalu, banyak menghasilkan pandangan agama yang memiliki kesalahan yang serius. Orang yang dungu sememangnya terpesona dan tertarik dengan sesuatu yang dungu.

Kemudian mereka berkata bahawa hadis dhaif boleh digunakan dalam Faḍō^il al-A*māl sebagai amalan penggalakan atau penggerunan di sisi sebahagian ahli hadis. Kita katakan hadis dhaif yang bagaimana? Kesimpulan yang dhaif tidak boleh utuk kita menutup mata melihat bagaimana penilaian ahli nāqid pada seseorang perawi. Apakah benar perawi hadis tersebut sekadar dinilai dhaif yang biasa? Apakah wujud perawi hadis tersebut dinilai sebagai dhaif yang bersangatan? Adakah wujud perawi hadis yang dituduh membawa hadis munkar sama ada secara keseluruhan atau riwayat tertentu? Adakah wujud perawi hadis yang ahli nāqid menyatakan bahawa dia ditinggalkan hadisnya? Jika ada, boleh jadi sebenarnya hadis tersebut masuk dalam kategori yang berat yang ahli hadis sepakat untuk meninggalkan pengamalannya.

Malah, kenyataan "hadis dhaif boleh diamalkan dalam Faḍō^il al-A*māl" kadangkala disalah guna untuk membenarkan perbuatan yang tidak ada asal yang sahih baginya. Dengan kata lain, ia menjadi justifikasi untuk membenarkan amalan tersebut sekalipun tidak ada sokongan daripada yang sahih. Misalnya, apabila dikatakan apa status hadis tersebut, mereka menjawab dhaif. Kemudian, ditanyakan apa hukum pengamalan perbuatan tersebut, mereka berkata ia adalah sunat atau harus berdasarkan hadis tersebut. Ini sebenarnya kesalahan yang tersembunyi yang tidak disedari oleh mereka. Bagaimana mungkin seseorang itu mengatakan sunat atau harus melalui hadis dhaif sedangkan ia tidak boleh menjadi hujah syariat dalam halal dan haram? Ini bukan lagi jadi penggalakan atau penggerunan, tetapi menetapkan keharusan atau sunat bagi amalan tersebut berdasarkan hadis dhaif tersebut! Celiklah wahai dungu!

Salah satu sebab mengapa hadis dhaif tidak boleh digunakan dalam Faḍō^il al-A*māl adalah kerana menetapkan Allah menyukai amalan tersebut, lalu memberikan ganjaran itu dan ini. Sedangkan bagaimana kita sanggup menyandarkan perkara yang ghaib dengan berdasarkan hadis dhaif? Bagaimana kita boleh mengatakan Allah akan beri ganjaran itu dan ini, tetapi sandarannya adalah dhaif? Anehnya, mereka ini menekankan sikap warak untuk perut, tetapi tidak warak untuk akal dan jantung mereka!

Sekali lagi, pasti kita akan melihat kebanyakan yang menggunakan justifikasi ini juga tidak terlepas daripada orang yang menyampaikan kebatilan dalam ceramahnya. Ini kerana mereka tahu hadis itu dhaif, tetapi senyap untuk menyatakan hadis itu dhaif. Atau walaupun diberitahu, mereka menganggap ia adalah sesuatu yang ringan. Kalangan mereka ini juga kurang memberi perhatian kepada masyarakat untuk berjaga-jaga dengan hadis palsu. Oleh sebab mereka longgar terhadap penyemakan hadis, maka kesedaran mereka untuk memelihara ketulenan hadis juga menjadi longgar.

Yang anehnya juga, mereka yang mengutip pendapat ahli hadis tentang kelonggaran dalam hadis Faḍō^il al-A*māl yang dhaif, tetapi kita sama sekali tidak dapati bahawa ahli hadis tersebut terjebak dengan periwayatan yang batil, tidak berasas lagi palsu sepertimana yang terpalit kotor pada syeikh penglipur lara ini. Jauh beza bak batu dan permata. Jika ada pun riwayat kontroversi dari nukilan mereka, ia tidaklah signifikan berbanding sang penglipur lara yang tidak tahu tempat rujukan yang benar dan kurang cermat dalam saringan hadis.

Ya, sememangnya ada beberapa hadis yang statusnya diperselisihkan. Namun, adakah ini bermakna kempen kesedaran tentang bahayanya hadis palsu boleh dipinggirkan? Adakah kerana wujudnya beberapa hadis yang tidak disepakati statusnya boleh menjadi alasan supaya kita biarkan sahaja hadis disebarkan kepada orang ramai tanpa ditapis? Adakah kerana adanya beberapa hadis yang ahli hadis berbeza pendapat tentang statusnya boleh menjadi sebab untuk kita diamkan sahaja tanpa menyemak keasliannya? Adakah kerana wujudnya perbezaan pandangan dalam status hadis itu boleh menjadi sebab untuk menggertak seseorang untuk bertanya atau meminta kepastian tentang ketulenannya? Adakah itu semua adalah sebab untuk menutup ruang perbincangan dan seruan kepada kepentingan menjaga hadis daripada dicemari?

Jika kita sentiasa sebatikan pemahaman ini dalam diri kita, kita akan lebih peka untuk menjaga ketulenan hadis. Kita telah sematkan prinsip itu dalam lubuk sanubari kita. Ini akan melahirkan kesedaran yang kuat supaya seseorang itu bersikap tegas dalam penerimaan dan periwayatan hadis. Jika kita abaikannya atau menganggap kecil padanya, ia tidak akan menjadi perhatian yang perlu diberikan secara teguh.

Kita bertegas terhadap hadis dhaif bukan kerana kita menyamakan hadis dhaif adalah sama dengan hadis palsu. Ini kerana kita melihat realiti sikap sebahagian orang yang mengambil ringan terhadap hadis dhaif. Natijahnya mereka mudah bersikap longgar dengan riwayat-riwayat yang tidak ada asas, batil lagi palsu. Yang manakah lebih selamat? Berpada dengan yang sahih lagi kuat jaminan keselamatannya atau yang menjerumuskan dalam kerapuhan dan tidak lekang dari kontroversi? Orang berakal pasti mengerti perbezaannya.

Agama ini sangat menekankan pemeliharaan ketulenan hadis. Atas dasar inilah kita tidak menerima kesahihan hadis melainkan dibuktikannya melalui lima syarat utama walau dari sesiapa pun. Meskipun daripada orang yang mempunyai kesolehan, itu bukanlah syarat penerimaan hadis. Mālik bin Anas berkata :

لَا يُؤْخَذُ الْعِلْمُ عَنْ أَرْبَعَةٍ، وَيُؤْخَذُ مِمَّنْ سِوَى ذَلِكَ: لَا يُؤْخَذُ مِنْ صَاحِبِ هَوًى يَدْعُو النَّاسَ إِلَى هَوَاهُ، وَلَا مِنْ سَفِيهٍ مُعْلِنٌ بِالسَّفَهِ، وَإِنْ كَانَ مِنْ أَرْوَى النَّاسِ، وَلَا مِنْ رَجُلٍ يَكْذِبُ فِي أَحَادِيثِ النَّاسِ، وَإِنْ كُنْتَ لَا تَتَّهِمُهُ أَنْ يَكْذِبَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلَا مِنْ رَجُلٍ لَهُ فَضْلٌ وَصَلَاحٌ وَعِبَادَةٌ إِذَا كَانَ لَا يَعْرِفُ مَا يُحَدِّثُ

"Tidak diambil ilmu dripada empat orang, tetapi diambil daripada selain daripada empat orang itu. Pertama, tidak diambil ilmu daripada ahli hawa nafsu yang menyeru kepada hawa nafsunya. Kedua, tidak juga daripada sang dungu yang menampakkan kedunguannya walaupun dia terdiri daripada orang yang paling banyak periwayatannya. Ketiga, tidak juga daripada seseorang yang berdusta dalam hadis-hadis orang ramai walaupun engkau tidak menuduhnya berdusta terhadap Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam-. Keempat, tidak juga daripada seorang lelaki yang ternama, soleh dan ahli ibadah apabila dia tidak mengerti apa yang dia riwayatkan". [Al-Muḥaddiṯ al-Fāṣil Bayna ar-ar-Rōwī Wa al-Wā*ī, karya ar-Rōmaharmuziy, m/s 403, keluaran Dār al-Fikir, Beirut, tahqiq Muḥammad *Ajjāj al-H̱oṭīb].

Al-Ḥizāmiy berkata :

فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِمُطَرِّفِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ فَقَالَ: مَا أَدْرِي مَا تَقُولُ، غَيْرُ أَنِّي أَشْهَدُ لَسَمِعْتُ مَالِكًا يَقُولُ: أَدْرَكْتُ بِبَلَدِنَا هَذَا، يَعْنِي الْمَدِينَةَ، مَشْيَخَةً لَهُمْ فَضْلٌ وَصَلَاحٌ وَعِبَادَةٌ، يُحَدِّثُونَ، فَمَا كَتَبْتُ عَنْ أَحَدٍ مِنْهُمْ حَدِيثًا قَطُّ قُلْتُ: لِمَ يَا أَبَا عَبْدِ اللَّهِ، قَالَ: لِأَنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْرِفُونَ مَا يُحَدِّثُونَ

Aku menyebutkan hal ini kepada Muṭorrif bin *Abdullah. Dia pun berkata; Aku tidak tahu apa yang engkau katakan. Namun, aku benar-benar bersaksi bahawa aku memang mendengar Mālik berkata: "Aku telah menemui para syeikh yang ternama, soleh dan ahli ibadah yang meriwayatkan hadis di negeri ini, iaitu Madinah. Namun, aku tidak menulis hadis dari seorang pun dari kalangan mereka sama sekali". Aku berkata: "Kenapa wahai Abū *Abdullah?". Dia berkata: "Kerana mereka tidak mengerti apa yang mereka riwayatkan". [Al-Muḥaddiṯ al-Fāṣil Bayna ar-ar-Rōwī Wa al-Wā*ī, karya ar-Rōmaharmuziy, m/s 403, keluaran Dār al-Fikir, Beirut, tahqiq Muḥammad *Ajjāj al-H̱oṭīb].

Antara contohnya adalah *Abbād bin Kaṯīr. Yaḥyā bin Ma*īn berkata tentangnya :

لَيْسَ بِشَيْءٍ فِي الْحَدِيثِ وَكَانَ رَجُلًا صَاِلحًا.

"Dia tidak bernilai apa-apa dalam hadis, padahal dia adalah seorang lelaki yang soleh". [Al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl, karya Ibn *Adiyy, jilid 5, m/s 538, keluaran al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Kata Aḥmad bin Ḥanbal :

عَبَّادٌ بْنُ كَثِيرٍ أَسْوَأُ حَالًا مِنَ الْحَسَنِ بْنِ عُمَارَةَ وَأَبِى شَيْبَةَ إِبْرَاهِيمَ بْنِ عُثْمَانَ رَوَى أَحَادِيثَ كَاذِبَةً لَمْ يَسْمَعْهَا وَكَانَ مِنْ أَهْلِ مَكَّةَ وَكَانَ صَالِحًا

"*Abbād bin Kaṯīr lebih teruk halnya daripada al-Ḥasan bin *Umāroh dan Abū Šaybah Ibrōhīm bin *Uṯmān. Dia meriwayatkan hadis-hadis dusta yang dia tidak pernah mendengarnya. Dia salah seorang penduduk Makkah dan dia seorang yang soleh". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 6, m/s 84, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy bertanya kepada Abū Zur*ah ar-Rōziyy sama ada dia ditulis hadisnya atau tidak. Dia berkata tidak. Kemudian, dia berkata:

كَانَ شَيْخًا صَالِحًا وَكَانَ لَا يَضِْبُط الْحَدِيثَ

"Dia seorang syeikh yang soleh, tetapi tidak berkejituan hadisnya". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 6, m/s 89, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Contoh yang lain adalah Abān bin Abū *Ayyāš. Abū Ḥātim ar-Rōziyy berkata tentangnya :

مَتْرُوكُ الْحَدِيثِ وَكَانَ رَجُلًا صَالِحًًا لَكِنْ بُلِيَ بِسُوءِِ الْحِفْظِ.

"Ditinggalkan hadisnya. Dia seorang lelaki yang soleh, tetapi diuji dengan buruk hafalannya". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 6, m/s 296, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Contoh yang lain adalah Yāsīn az-Zayyāt. Abū Ḥātim ar-Rōziy berkata tentangnya :

كَانَ رَجُلًا صَالِحًا لَا يَعْقِلُ مَا يُحَدِّثُ بِهِ، لَيْسَ بِقَوِّيٍ، مُنْكَرُ الْحَدِيثِ.

"Dia seorang lelaki yang soleh yang tidak mengerti apa yang dia riwayatkannya. Dia tidak begitu kuat lagi munkar hadisnya". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 9, m/s 313, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Sekarang jelas bahawa kesolehan dan ahli ibadah bukan alasan untuk mengautomatikkan kesahihan hadis. Ini kerana para ahli hadis tidak hanya melihat dari sudut itu, tetapi mengambil kira juga kekuatan kejituan seseorang.

Kadangkala entah mengapa ada orang khianat ilmu yang dipelajari tentang syarat kesahihan hadis. Dia faham benar dan sungguh bahawa ada lima syarat perlu dipenuhi. Namun, apabila syeikhnya atau gurunya atau tokohnya riwayatkan hadis yang entah dari mana atau jelas batil, terus dia percaya bulat-bulat. Dia campak ilmu yang dia pelajari macam campak sampah. Dia pijak dan tendang ilmu tersebut macam bola. Ilmu yang dia junjung, lalu dia hinakan tanpa teragak-agak. Aura syeikhnya jauh lagi sakral daripada keagungan ilmu yang disusun oleh ahli hadis. Apa yang diajar dan disusun oleh ahli hadis semacam tidak setanding dengan syeikhnya. Para ahli hadis lebih bodoh daripada tok syeikhnya.

Ilmu yang dia belajar bukan untuk diamalkan atau dijadikan pertimbangan untuk dia berfikir. Namun, mengikut kehendak syeikhnya. Kalau syeikhnya cakap lain daripada apa yang dia belajar, terus dia membelakangkan ilmu. Apa yang dia belajar selama ini hanya untuk dihafal, lalu dibuang bila-bila masa yang dia mahu. Syeikhnya meriwayatkan hadis yang entah dari mana, tiba-tiba terus sahih. Ke mana perginya syarat kesahihan hadis yang dia belajar? Inikah adab terhadap ilmu yang dipelajari?

Ya. Kita memang perlu sangka baik sedapat yang mungkin dan elakkan tuduhan yang tidak elok atau celaan sembarangan, namun dalam hadis, kita tidak boleh terlalu sangka baik.*Abdul Roḥmān bin Mahdiyy berkata :

خَصْلَتَانِ لَا يَسْتَقِيمُ فِيهِمَا حُسْنُ الظَّنِّ الْحُكْمُ وَالْحَدِيثُ

"Dua perkara tidak ada sangka baik padanya, iaitu hukuman mahkamah dan hadis". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 2, m/s 35, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Lihat pendirian Yaḥyā bin Sa*īd al-Qoṭṭōn tentang hadis-hadis mursal yang diriwayatkan oleh perawi yang berkredibiliti :

مُرْسَلاَتُ ابْنِ عُيَيْنَةَ شِبْهُ الرِّيحِ، ثُمَّ قَالَ: أَيْ وَاللهْ وَسُفْيَانُ بْنُ سَعِيدٍ.

"Riwayat mursal Ibn *Uyainah serupa angin". Kemudian, beliau berkata: "Ya. Demi Allah! Demikian juga Sufyān bin Sa*īd". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 1, m/s 244, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

أَوَّلُ مَا طَلَبْتُ الْحَدِيثَ وَقَعَ فِي يَدِي كِتَابٌ فِيهِ مُرْسَلَاتٌ عَنْ أَبِي مِجْلَزٍ فَجَعَلْتُ لَا أَشْتَهِيهَا وَأَنَا يَوْمَئِذٍ غُلَامٌ

"Awal-awal ketika aku belajar hadis, terdapat dalam kitabku yang dalamnya hadis mursal daripada Abū Mijlaz. Aku pun mula tidak berkeinginan terhadapnya. Aku ketika itu masih budak". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 2, m/s 243, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

مُرْسَلَاتُ أَبِي إِسْحَاقَ عِنْدِي شِبْهُ لَا شَيْءَ وَالْأَعْمَشُ وَالتَّيْمِيُّ وَيَحْيَى بْنُ أَبِي كَثِيرٍ

"Mursal Abū Isḥāq serupa tidak ada apa-apa nilai menurutku. Demikian juga al-Aʿmash, at-Taimiy dan Yaḥyā bin Abū Kaṯsīr". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 1, m/s 244, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

مُرْسَلَاتُ ابْنِ أَبِي خَالِدٍ لَيْسَ بِشَيْءٍ

"Riwayat mursal Ibn Abū Khālid tidak bernilai apa-apa". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 1, m/s 244, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Aḥmad bin Sinān al-Wāsiṭiy berkata :

كَانَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْقَطَّانُ لَا يَرَى إِرْسَالَ الزُّهْرِيِّ وَقَتَادَةَ شَيْئًا، وَيَقُولُ: هُوَ بِمَنْزِلَةِ الرِّيحِ

Yaḥyā bin Sa*īd al-Qoṭṭōn tidak berpandangan mursal az-Zuhriy dan Qotādah bernilai apa-apa. Beliau berkata: "Mursal tersebut di tempat angin". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 1, m/s 246, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Lihat juga kata Yaḥyā bin Ma*īn ini :

مُرْسَلُ الزُّهْرِيِّ لَيْسَ بِشَيْءٍ

Aku mendengar Yahyā berkata: "Mursal az-Zuhriy tidak ada nilai". [Tārīẖ Ibn Maʿīn riwayat ad-Dūriyy, jilid 3, m/s 221, keluaran Markaz al-Baḥṯ al-*Ilmiyy Wa Iḥyā^ at-Turōṯ al-Islāmiyy, Makkah al-Mukarromah, tahqiq Aḥmad Muḥammad Nūr Sayf].

Mengapa mereka berdua tidak sangka baik sahaja riwayat mereka walaupun terputus sanadnya? Bukankah mereka semua berkredibiliti? Ini kerana ahli hadis bersikap objektif dalam menimbang penerimaan hadis. Sekadar perilaku baik dan kuat ibadah atau tokoh ternama bukan sebab untuk terus sahihkan hadis itu atau anggap hadis itu sahih secara terus. Jika itu yang berlaku semisal az-Zuhriyy, Qotādah, Ibn *Uyainah dan lain-lain yang merupakan nama besar dalam periwayatan hadis, iaitu apabila adanya hadis mursal daripada mereka, maka ia tidak diterima, masakan syeikh zaman ini boleh kita langkau dengan hanya menerima sahaja secara mudah?

Tambahan pula, banyak meriwayatkan hadis yang tidak sahih boleh menjejaskan reliabiliti seseorang dalam hadis. Ini yang berlaku pada *Uṯmān bin ʿAbdul Roḥmān bin Muslim al-Ḥarrōniyy. Ibn *Adiyy berkata tentangnya :

وَهُوَ فِي نَفْسِهِ ثِقَةٌ لَا بَأْسَ بِهِ صَدُوقٌ مَا يَقَعُ فِيهِ حَدِيثُهُ مِنَ الإِنْكَارِ فَإِنَّمَا يَقَعُ مِنْ جِهَةِ مَنْ يَرْوِي عَنْهُ

"Dia itu sendiri adalah berkredibiliti, tidak ada apa-apa masalah lagi boleh dipercayai. Cuma, terjadinya keingkaran terhadap hadisnya kerana pada sudut orang yang dia riwayatkan daripadanya". [Al-Kāmil Fī Ḍu*afā^ ar-Rijāl, jilid 6, m/s 297, keluaran al-Kutub al-*Ilmiyyah, Beirut].

Apa maksudnya? Maksudnya jika *Uṯmān bin *Abdul Roḥmān meriwayatkan hadis, dia berkata jujur dan tidak berbohong. Cuma, disebabkan dia selalu meriwayatkan hadis-hadis dari perawi yang lemah dan banyak menyampaikan hadis-hadis yang dhaif sehinggakan sebahagian ahli hadis memandang atau memberi komentar negatif terhadapnya. Misalnya Abū Aḥmad al-Ḥākim berkata tentangnya :

إِنَّمَا لُقِّبَ بِالطَّرَائِفِيِّ لِأَنَّهُ كَانَ يَتْبَعُ طَرَائِفَ الْحَدِيثِ يَرْوِي عَنْ قَوْمٍ ضِعَافٍ حَدِيثُهُ لَيْسَ بِالْقَائِمِ

"Dia dipanggil aṭ-Ṭorō^ifiyy kerana dia menjejaki hadis yang aneh yang dia riwayatkan daripada para ḍhoʿīf. Hadisnya tidak ada dasar". [Tahḏīb at-Tahḏīb, karya Ibn Ḥajar al-*Asqolāniy, jilid 7, m/s 135, keluaran Dā^iroh al-Ma*ārif an-Niẓōmiyyah, al-Hind].

Sebab itulah kita tidak boleh sembarangan menyebarkan berita walaupun kita nukilkan sumbernya. Ini juga yang diingatkan oleh Rasulullah -ṣollallahu *alayhi wasallam- :

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا ، أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ " .

"Cukuplah seseorang itu dikira berdusta bagi yang menceritakan semua yang dia dengar". [Muṣonnaf Ibn Abū Šaybah, no. 25029].

Renungi kata-kata Ibn Taymiyyah seperti berikut :

ومن تكلم في الدين بلا علم كان كاذبًا وإن كان لا يتعمد الكذب

"Sesiapa yang berbicara tentang agama tanpa ilmu, maka dia adalah pendusta walaupun tidak bersengaja untuk melakukan pendustaan". [Majmū* al-Fatāwā, jilid 10, m/s 449, keluaran Majma* al-Malik Fahd Li Ṭobā*ah al-Muṣḥaf aš-Šarīf, al-Madīnah al-Munawwaroh, tahqiq *Abdul Roḥmān bin Muḥammad bin Qōsim].

Demikian juga mereka yang kerap meriwayatkan hadis-hadis palsu walaupun dia tidak bersengaja untuk berdusta. Ini kerana mereka yang kerap membawa riwayat-riwayat yang meragukan, maka orang tersebut akan terpalit sama dalam status keraguan walaupun apa yang dia sampaikan itu didasari sumbernya.

Dalam realiti kita pun memang sama. Kalau ada orang lain selalu sahaja sebar berita-berita yang tidak sahih walaupun dia beritahu di mana nukilannya, dia juga boleh diragukan reliabilitinya walaupun dia tidak berbohong. Ini kerana apabila jika dia mengkhabarkan sesuatu, boleh jadi dia akan mengambil berita itu dari sumber yang meragukan.

Ini juga berlaku pada tokoh fiqh ternama, Ibn Abū Laylā. Aḥmad bin Ḥanbal berkata :

ابْنُ أَبِي لَيْلَى كَانَ سَيِّءَ الْحِفْظِ مُضْطَرِبَ الْحَدِيثِ وَكَانَ فِي فِقْهٍ ابْنُ أَبِي لَيْلَى أَحَبَّ إِلَيْنَا مِنْ حَدِيثِهِ، حَدِيثُهُ فِيهِ اضْطِرَابٌ.

"Ibn Abū Laylā seorang yang buruk hafalannya lagi bergoncang hadisnya. Aku lebih sukai fiqh Ibn Abū Laylā berbanding hadisnya. Hadisnya mempunyai kegoncangan". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy, jilid 3, m/s 323, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Walaupun Ibn Abū Laylā seorang yang mahir dalam fiqh, namun dia bermasalah dalam periwayatan hadis kerana lemah hafalannya. Pendapatnya diterima dan penganalisaannya diambil kira, tetapi jika dia meriwayatkan hadis, seseorang perlu berjaga-jaga kerana rekodnya yang buruk. Inilah prinsip yang dinyatakan oleh Sufyān aṯ-Ṯawriyy :

خُذِ الْحَلَالَ وَالْحَرَامَ مِنَ الْمَشْهُورِينَ فِي الْعِلْمِ، وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَمِنَ الْمَشْيَخَةِ

"Ambillah ilmu halal dan haram daripada yang terkenal dalam ilmunya. Manakala, yang selain itu, maka daripada syeikhnya". [Al-Muḥaddiṯ al-Fāṣil Bayna ar-ar-Rōwī Wa al-Wā*ī, karya ar-Rōmaharmuziy, m/s 406, keluaran Dār al-Fikir, Beirut, tahqiq Muḥammad *Ajjāj al-H̱oṭīb].

Ini juga sekali lagi membuktikan bahawa ahli hadis bersikap objektif dalam menimbang kesahihan hadis. Seseorang yang pakar dalam fiqh sebagai contoh, bukan bermakna riwayatannya diterima sebegitu sahaja jika terbukti ada periwayatan yang bermasalah. Setiap bidang ada ahlinya. Masakan pula seseorang pada hari ini yang pandai berceramah penuh dengan kelunakan dan kehalusan bahasa sehingga mampu menitiskan air mata para pendengar boleh kita terima bulat-bulat tanpa membuat semakan?

Kadang, apabila kita ingin bersikap transparensi, kita akan ditempelak: "Kamu bukan ahli hadis, maka kamu tidak layak tanya". Walaupun orang yang bertanya itu bukan pakar hadis, bukan bermakna dia tidak ada hak untuk tahu sumber dan nukilannya. Mengetahui sama ada benar atau tidak apa yang seseorang riwayatkan atau sama ada tepat atau tidak nukilan seseorang itu tidak sama tafaqquh atau mentafsirkan hadis. Kita ingin tahu wujud atau tidak hadis itu sepertimana yang didakwa, bukan mahu memahami apa fiqh atau faedah daripada hadis tersebut. Pemahaman datang kemudian. Kita perlu tahu dahulu dan buat semakan sama ada ia betul-betul ada asas ataupun kutipan entah dari mana.

Saya tidak faham mengapa perlu gelabah dan berang apabila ditanya sumber hadisnya. Apa yang susah untuk bersikap telus atau transparensi? Seolah-olah bertanya atau ingin menyemak kewujudan sumbernya semacam telah mengisytiharkan perang. Jika ada di Ṣoḥīḥ al-Buẖōriyy, beritahu sahaja ia ada di kitab tersebut. Apa masalahnya? Kenapa perlu sembunyi, berdalih, mengelak atau takut, malah mengherdik orang yang bertanya dan meminta kepastian? Ya, kadangkala kita perlu mengingatkan supaya tidak sesuka hati membuat penafsiran terhadap hadis, tetapi objektif asalnya adalah ada sumber ataupun tidak hadis itu? Adakah tepat nukilan itu? Bezakan baik-baik!

Adakah kerana seseorang itu bukan ahli hadis, maka boleh untuk kita semberono meriwayatkan hadis? Adakah kerana seseorang itu bukan ahli hadis, maka tidak ada masalah kita biarkan sahaja hadis yang tidak disaring terus tersebar kepada orang ramai? Adakah kerana seseorang itu bukan ahli hadis, maka orang ramai perlu diamkan sahaja, mengiyakan sahaja secara terus tanpa perlu meminta kepastian? Adakah kerana orang itu bukan ahli hadis, maka seruan kepada kepentingan menjaga kemurniaan hadis itu boleh diabaikan, tidak diletakkan dalam prioriti dan disisihkan?

Jika tidak ingat atau sukar untuk akses bagi mendapatkan rujukan untuk disemak, mengapa sukar untuk tahan mulut daripada menyebarkannya sebelum memastikannya terlebih dahulu? Usah menjaja hadis ke sana ke mari seolah-olah seperti yakin kesahihannya, tetapi apabila ditanya, disemak dan diperiksa, tiba-tiba berkata tidak pasti di mana ambilannya! Jika ini berterusan dan berlaku secara kerap, boleh gugur kepercayaan kerana boleh jadi hadis yang dia sebarkan itu sebenarnya masih tidak pasti. Rekodnya selalu sahaja bercakap seolah-olah macam pasti, tetapi dia sendiri kabur dan terkial-kial mencari rujukan.

Jika tanda-tanda orang yang tidak berakal adalah mudah terpesona dengan hadis-hadis palsu, bagaimana pula pendakwah yang suka menyebarkan hadis palsu untuk menarik perhatian pendengar? Tentu sahaja mereka juga termasuk orang yang tidak berakal. Jika mereka benar-benar berakal, mereka pasti sedar bahawa tidak ada guna menyeru kepada kebenaran jika ia adalah riwayat yang batil dan tidak ada asas.

Begitu juga apabila kita mengingatkan tentang hadis-hadis palsu, ada si bodoh bermain kad Argumentum Ad Misericordiam dengan berkata: "Ramai lagi orang tidak kenal apa itu hadis. Ini lagi mahu sibuk berbahas tidak sudah tentang hadis?". Saya tahu alasan ini pada asalnya untuk menempelak mereka yang sibuk dengan perselisihan dan perbalahan sesama sendiri tentang status hadis dan seumpamanya. Saya faham bahawa kita perlu menjauhi polemik yang tidak berkesudahan yang tidak membawa manfaat kepada jangka masa panjang dan komuniti Muslim setempat.

Namun, kadangkala tempelak ini diletakkan pada tempat yang salah, lagi-lagi ketika kita sedang mengingatkan hadis palsu. Saya ingat lagi apabila ada pendakwah sedang memberitahu hadis jeritan pada pertengahan bulan Ramadhan merupakan hadis palsu, alasan sebeginilah yang diungkapkan untuk bersikap sinis terhadap orang yang mengingatkan hal ini. Tidak segan silu untuk menzahirkan secara tidak langsung bahawa seolah-olah dia tidak peduli pun jika hadis tersebut palsu. Kalaulah dia benar-benar membenarkan hadis tersebut, maka betapa kejinya orang tersebut. Semoga Allah menampakkan kekejian itu kepadanya, lalu dia bertaubat daripadanya.

Kita ulangi sekali lagi bahawa hadis tentang ancaman meriwayatkan hadis palsu adalah mutawatir. Ia adalah ancaman neraka yang pasti! Jika mutawatir, maksudnya ia adalah perkara sangat penting dan paling mendasar dalam agama ini. Masihkah kita mahu ambil ringan dan pandang kecil? Ya, memang di luar sana ramai yang tidak mengenali hadis. Apakah dengan itu kita boleh biarkan sahaja penyebaran hadis batil bertebaran dan berleluasa?

Kita mahu berdakwah dan mengajak kepada hadis pun perlu daripada sumber yang tulen. Bukan petik entah dari mana. Kita sama-sama saling menasihati kepada kebenaran. Adakah boleh kita katakan seseorang itu menyampaikan kebenaran dengan hadis-hadis yang tidak ada asas, diragui ketulenannya, malahan batil?